5 Nov 2010

2 Lagi Kanak-kanak Dikhuatiri Lemas Di Alor Setar

Dua lagi kanak-kanak dikhuatiri lemas di Alor Setar

Gambar: Orang ramai melihat Pasukan Bomba dan Penyelamat serta pasukan Polis yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat dua mangsa Nur Irshah Rosli, 9 dan Awwad Hakimi Rudaini, 7 kerana dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam tali air kira-kira pukul 12.30 tengah di Tanjung Bendahara dekat sini semalam. Foto Bernama

ALOR SETAR - Dua kanak-kanak dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam tali air di kawasan sawah padi di Tanjung Bendahara di sini, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Abdul Ghafar Rajab berkata, dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa Nur Irshah Rosli, 9, dan rakannya Awwad Hakimi Rudaini, 7, dikatakan sedang bermain-main di kawasan sawah tersebut yang dipenuhi air.

Katanya semasa kejadian, ada beberapa orang lagi kanak-kanak bermain di kawasan itu.

"Kanak-kanak itu memberitahu selepas dua mangsa itu terjatuh ke dalam tali air, mereka dipercayai tersedut masuk ke dalam lubang yang dalam," katanya kepada Bernama hari ini.

Abdul Ghafar berkata, orang ramai gagal menyelamatkan mangsa kerana air terlalu deras dan kawasan tali air tersebut sangat berbahaya.

Sementara itu, bapa Nur Irshah, Rosli Ismail, 45, berkata, anak ketiga daripada empat beradik itu pada mulanya bermain bersama beberapa rakan di halaman rumahnya di Taman Sultan Abdul Halim, Tanjung Bendahara dekat sini.

Setengah jam kemudian beliau yang berada di rumah menerima panggilan daripada salah seorang anak lelakinya mengenai kejadian yang menimpa anaknya itu dan bergegas ke tempat kejadian, 500 meter dari kediamannya.

"Sejak awal lagi saya dah nasihat dia (mangsa) jangan pergi main jauh-jauh sebab takut berlaku perkara yang tidak diingini.

"Tiba-tiba saya dapat panggilan dari abang mangsa yang mengatakan Irshah lemas ketika bermain bersama rakan-rakan di tepi tali air yang mengalir deras," katanya.

Operasi mencari dan menyelamat dua kanak-kanak itu sedang giat dijalankan oleh polis dan bomba. Hadir sama di tempat kejadian adalah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Anggota Parlimen Alor Setar Datuk Chor Chee Heung yang melawat dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Diculik, Dirogol & Diseksa Tanpa Diberikan Makanan Berhari-hari...

Warga Nigeria dijel 3 tahun

SHAH ALAM – Tujuan seorang wanita Filipina ke Malaysia untuk merancang perkahwinan, tetapi berakhir dengan detik ngeri setelah dia diculik, dibogelkan dan diseksa tanpa diberi makanan berhari-hari.

Peristiwa itu pasti pahit dirasakan Sophia De Jesus Kobayashi, 45, tetapi Mahkamah Tinggi di sini, semalam memberi keadilan kepada lelaki yang melakukan jenayah itu ke atasnya.

Oparaugo Uchenna Samuel dari Nigeria dihukum penjara tiga tahun setelah mengaku bersalah menculik Sophia di Blok E, Mentari Court, Jalan PJS 8/9 Taman Sri Mentari, Petaling Jaya.

Dia bersama seorang yang masih bebas melakukan perbuatan itu antara jam 5.20 petang, 12 Disember 2009 hingga jam 9.50 pagi, 17 Disember 2009.

Sementara itu, teman wanitanya, seorang gadis tempatan, Nurul Atika Baharuddin, 21, dan seorang pelajar kolej swasta, Khairun Azhan Mohammed Aziddin, 25, dihukum penjara enam bulan kerana tidak melaporkan kepada pihak berkuasa sedangkan mereka mengetahui penculikan itu.

Mengikut keterangan kes, Sophia diperdaya Uchenna Samuel dan seorang lelaki masih bebas yang menyamar sebagai ‘Edmond Wax’, seorang duda warganegara Amerika Syarikat.

Perkenalan mereka melalui Internet dan Edmond dikatakan merancang untuk mengahwini mangsa.

Mereka berdua mendorong Sophia datang ke Malaysia untuk berbincang mengenai perkahwinan itu sekaligus meraikan hari lahir duda terbabit.

Sophia dari Jepun tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada petang 12 Disember 2009 dan me-ngambil teksi ke rumah kejadian.

Mangsa dipelawa masuk dan bermulalah tragedi itu setelah dia diterpa lalu diikat kaki dan tangan serta mulutnya disumbat dengan satu bahan yang menyebabkannya pengsan.

Setelah sedar, mangsa dapati berada dalam bilik, diikat dengan keadaan berbogel dan tidak diberi makan empat hari, malah dipukul sekiranya meminta makan.

Lebih kejam mangsa dimarahi, ditendang dan diterajang sekiranya cuba melarikan diri serta diseksa dengan pisau panas sekiranya cuba melarikan diri.

Setelah beberapa hari mangsa dipengsankan lagi, tetapi akhirnya ditinggalkan di tepi jalan di Petaling Jaya dan ditemui orang awam yang kemudian membawanya ke hospital untuk rawatan.


Bagaimanapun barang berharga mangsa seperti telefon bimbit dan komputer riba dirampas.

Dalam pada itu, Nurul Atika dan Khairun Azhan mengetahui mangsa dikurung tetapi tidak bertindak melaporkannya kepada polis dan mereka berdua mengaku salah terhadap perbuatan itu.

Bagaimanapun memandangkan mereka berdua selama ini berada dalam tahanan reman, bermakna kedua-duanya bebas semalam setelah hakim memerintahkan pelaksanaan hukuman penjara bermula dari hari tangkapan.

Selama tempoh reman itu, Nurul Atika melahirkan seorang bayi di penjara hasil hubungannya dengan Uchenna Samuel.

Terdahulu, ketiga-tiga mereka masing-masing diwakili peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali, Salim Bashir dan Abu Dzarr Ab Karim manakala pendakwaan dijalankan, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Kamal Roslan. -SH

Pasca Galas: BN Menang Tapi Tak Senang

BN tidak boleh selesa walaupun menang di Galas dan Batu Sapi: Muhyiddin

KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) tidak harus mengambil mudah dengan kemenangannya pada pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas semalam, sebaliknya perlu terus berusaha memastikan kejayaan serupa dicapai pada pilihan raya umum ke-13 kelak.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun kejayaan itu menampakkan adanya perubahan baik dan harapan kepada BN menjelang pilihan raya umum ke-13 kelak, tetapi ia tidak boleh diambil mudah.

"Kita tidak boleh ukur kemenangan di Galas dan Batu Sapi. Walaupun ada perubahan besar, perubahan yang baik, tetapi BN tidak boleh ambil sikap mudah dengan perubahan dan kejayaan ini kerana kita masih ada banyak kerja yang perlu dibuat," katanya kepada pemberita pada sambutan Hari Deepavali MIC di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, demikian ketika diminta mengulas kesediaan BN untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 setelah memperoleh kemenangan berganda semalam.

BN merampas kembali kerusi DUN Galas di Kelantan dengan majoriti undi 1,190 selain mengekal kerusinya di Parlimen Batu Sapi, Sabah dengan majoriti besar iaitu 6,369 undi.

Ulasan GB

Kemenangan yang dihasilkan dari perbuatan sogokan wang dan penipuan kertas undi yang tiada logo untuk mengelirukan rakyat jelas tidak akan menyenangkan pihak yang menang.

Demokrasi yang tercemar adalah seperti coklat yang berulat yang ditemui di Mersing Johor menjelaskan bahawa jika corak politik kotor sedemikian diterima menjadi budaya pilihanraya oleh BN ia akan menyebabkan BN sendiri yang akan terus menderita lantaran tersuap "coklat yang berulat" itu.


Lelaki Mati Ditikam Ditemui Dalam Bonet

Lelaki mati ditikam ditemui dalam bonet

Gambar: Polis Forensik memeriksa kenderaan yang mana ditemui mayat lelaki yang ditikam di dada dalam tempoh 24 jam lepas, diletakkan dalam but belakang kenderaan itu, dekat sini petang tadi. Kereta pacuan empat roda itu yang ditemui di belakang deretan kedai di Jalan Awan Jawa, Taman Yarl dipercayai milik mayat berkaitan yang juga pemilik sebuah kedai elektrik. Foto Bernama

Kuala Lumpur – Orang ramai terkejut melihat mayat di dalam kereta di lorong belakang rumah kedai di Jalan Awan Jawa, Taman Yarl, di sini, semalam.

Mayat lelaki lingkungan 20-an ditemui berlumuran darah dengan kesan tikaman di dada dalam kenderaan pacuan empat roda.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, mangsa yang juga pemilik kedai barangan elektrik itu ditemui orang awam kira-kira 1 tengah hari.

“Pada mulanya mereka berasa hairan kerana kereta Toyota Hilux itu diletakkan di tengah jalan sehingga menghalang kenderaan lain untuk melepasinya.

“Namun apa yang mengejutkan: ialah setelah diperiksa, didapati seorang: :lelaki dalam keadaan terlentang berlumuran darah di dalam bonet dengan kesan tikaman di bahagian dada kiri,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Orang ramai kemudian membuat laporan polis memaklumkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, mangsa dipercayai mati dibunuh dalam tempoh 24 jam di tempat lain menggunakan senjata tajam malam kelmarin dan kemudian, suspek meninggalkan mayat di lorong itu.

Bagaimanapun, senjata yang digunakan tidak ditemui di lokasi kejadian.

Chin Wah berkata, polis sedang menyiasat kes berkenaan bagi mengenal pasti suspek serta motif kejadian.

Siasatan awal mendapati kereta terbabit didaftarkan atas nama syarikat lelaki itu.

“Identiti mangsa masih belum diketahui kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri atau dompet ditemui.

“Cuma berdasarkan maklumat diperoleh, mangsa adalah pemilik kedai barangan elektrik,” katanya.

Mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi polis.

Kematian Paling Ramai Akibat Letusan Gunung Merapi Malam Tadi

Letusan Merapi paling dahsyat akibat banyak kematian

Gambar: MANGSA letusan Gunung Merapi tersandar kaku diseliputi abu panas letusan ketika anggota penyelamat mencari mangsa lain di perkampungan Argomulyo, Yogyakarta, Indonesia, yang dilanda awan gas panas hari ini. Letusan terbaru Gunung Merapi malam tadi menyebabkan penduduk di kawasan "zon bahaya" dipindahkan

JAKARTA: Letusan Gunung Merapi tengah malam tadi adalah yang paling dasyat setakat ini dengan semburan awan panas setinggi 8,000 meter ke udara, selain menghasilkan hujan abu volkanik, hujan pasir serta kerikil sehingga ke Yogyakarta yang terletak kira-kira 40 kilometer dari gunung berapi itu.

Sekurang-kurangnya 54 orang, kebanyakannya dari kawasan Cangkringan di daerah Sleman, mati akibat melecur di seluruh badan terkena abu volkanik, manakala 66 lagi cedera dengan lebih 40 peratus kesan lecuran.

Berpuluh ribu penduduk dipindahkan selepas pihak berkuasa meningkatkan radius zon keselamatan kepada 20 kilometer di luar puncak Gunung Merapi, termasuk penduduk Sleman (dipindahkan ke Stadium Maguharjo) yang sering terdedah kepada ancaman awan panas Merapi.

Lapangan Terbang Adisucipto di Yogyakarta pula ditutup kerana ditimpa abu volkanik, sementara penerbangan ke destinasi itu serta ke Solo dibatalkan.

Sementara itu, lebih 500 pelajar Malaysia di Yogyakarta, Magelang dan Solo kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk dibawa pulang.

Pengarah Education Malaysia (EM) di Indonesia, Datuk Dr Junaidy Abu Bakar, berkata semua pelajar sedang dipindahkan ke Solo, yang terletak 65 kilometer dari Merapi dan 85 kilometer dari Yogyakarta, sebelum diterbangkan ke Malaysia.

Beliau berkata, EM telah memohon agar kuliah ditangguhkan buat sementara waktu sehingga 13 Nov ini, dan perkara itu dipersetujui pihak universiti.

"Bagi pelajar yang ingin pulang, (mereka) akan dibawa pulang terus ke Malaysia. Usaha-usaha untuk membawa pesawat TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia) ke Solo sedang dilakukan oleh pihak kerajaan Malaysia.

"Semua pelajar dalam keadaan selamat, dan mereka telah mula berkumpul di Universiti Gadjah Mada. Sebanyak 10 buah bas disediakan untuk mengangkut pelajar ke Solo," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata ibu bapa pelajar terbabit tidak perlu risau dengan keselamatan dan kesihatan anak-anak mereka.

Katanya, pegawai EM dan kedutaan akan membantu mereka pada setiap masa, selain pasukan sukarelawan pelajar Universiti Negeri Surakarta Sebelas Maret, Solo, yang turut menyelaras pemindahan pelajar berkenaan. - BERNAMA

Afiq, Korban Banjir Ditemui Tersangkut Di Jembatan

Kangar: Mayat seorang pemuda yang terjatuh dalam Terusan Arau di Simpang Empat dekat sini Rabu lalu, ditemui tersangkut pada sebuah jambatan di Sungai Baru dekat sini hari ini.

Gambar: Anggota-anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mengangkat mangsa lemas yang ditemui dalam operasi mencari di Sungai Baru dekat sini, hari ini.

Mayat Muhammad Nurul Afiq Mohd Rozaidi, 21, ditemui orang ramai 8.45 pagi tadi kira-kira dua kilometer dari tempat dia terjatuh dalam terusan itu.

Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Abdul Rahman Noordin, berkata semasa ditemui, mayat mangsa yang berasal dari Simpang Empat itu telah kembung.

Mangsa dilaporkan terjatuh dalam terusan itu kira-kira 1.05 tengah hari Rabu lalu ketika sedang menunggang basikal di pinggir terusan dan dihanyutkan arus deras.

Usaha mencari dan menyelamat oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat serta Pasukan SMART sebaik kejadian juga gagal kerana arus kuat namun kawasan kejadian itu tidak dilanda banjir.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah dan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut. - BERNAMA

Eli Yousseff Najem Dakwa Dia Bukan Islam

Elie dakwa dia bukan Islam

KUALA LUMPUR – ”Tolong buat semakan di gereja, saya pernah berkahwin di sana,” itulah kata-kata Elie Youseff Najem dengan nada tinggi ketika hadir perbicaraan kes khalwatnya di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam.

Elie, 50, kelihatan berpakaian seragam hadir kira-kira jam 8.30 pagi diiringi tiga pegawai Penjara Kajang.

‘Hartawan Lubnan’ itu mengaku dia bukan Islam dan tidak perlu dibicara di Mahkamah Syariah sebelum Hakim Syarie, Mohd Amran Mat Zain yang menetapkan 20 Januari tahun depan untuk pembicaraan.

Elie yang tidak diwakili peguam syarie berbuat demikian kerana tidak berpuas hati kes itu dibicarakan dan kemudiannya meminta Pendakwa Syarie, Hanifah Haydar Ali Tajuddin supaya menarik pertuduhan terbabit.:

Mohd Amran yang marah dengan perbuatan itu mengarah polis membawa ‘jutawan’ itu keluar dari mahkamah serta-merta. Elie bersama pasangannya, Roslin Tahar, 49, didakwa berkhalwat di sebuah bilik di Tingkat 8, Wisma Belia, Brickfields, di sini, kira-kira jam 3.45 petang, 27 April lalu.

Kedua mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 27(a) dan 27(b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya.

Elie yang banyak menimbulkan kontroversi, pernah didakwa di Mahkamah Rendah Syariah sama atas tuduhan bernikah tanpa kebenaran Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk dengan bekas isterinya, Farinnie Mohd Farid, 24.

Pasangan itu yang sudah bercerai, dikurniakan dua cahaya mata, Prince-Kovadis Yousseff Najem, 3, dan Nur Analeeza Sofya, 2.

Pada 13 Ogos lalu, Mahkamah Majistret Jalan Duta menjatuhkan hukuman penjara enam tahun terhadap Elie setelah bersalah menipu Tan Sim Chai di sebuah premis beralamat Blok B, Megan Avenue 2, Jalan Yap Kwan Seng, pada 19 September 2005.

Kalau Saya Masih Dalam PKR, Saya Akan Pilih Zaid Ibrahim - Zukri Aksah

Kalau saya masih dalam PKR, saya akan pilih Zaid Ibrahim

Oleh Zukri Aksah

Tidak salah sebenarnya untuk mengangkat seseorang yang ada latar belakang kepimpinan UMNO atau BN sebelum ini ke posisi tertinggi yang mungkin dalam PKR. Dalam kehangatan kempen pemilihan PKR sekarang, isu ini tidak sewajarnya dimainkan, lainlah jika ada orang yang boleh menemukan persamaan antara susuk Zaid Ibrahim dengan mana-mana "tokoh" dalam Konsensus Bebas di parlimen.

Kita kena ingat, Nabi Musa lahir dari dokongan Firaun. Sebagaimana Masyitah, si tukang sisir puteri Firaun yang Muslim dalam istana Firaun, Zaid juga ketika masih lagi di dalam UMNO sudah menunjukkan bahawa dia menganut banyak agenda yang diperjuangkan PKR, termasuk Negara Berperlembagaan, mengangkat keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang serta mempertahankan doktrin pemisahan kuasa.

Ini dibuktikannya bila sewaktu menjawat jawatan Menteri Undang-Undang (baca: Menteri Di Jabatan Perdana Menteri), Zaid telah meluluskan pembayaran gratuiti kepada bekas-bekas hakim yang telah dipecat di era Mahathir, termasuklah Salleh Abbas, yang sudah sah seorang ahli PAS, pernah bertanding sebagai calon PAS dalam pilihanraya, dan pernah menjadi Exco Hisbah dalam Kerajaan Negeri Terengganu di bawah kekuasaan PAS dari 1999 – 2004. Nyata prinsip yang dipegangnya melangkaui taksub politik.

Masyitah bersama anak-anaknya direbus hidup-hidup oleh Firaun, Zaid Ibrahim dipecat dari UMNO. Tetapi bila Zaid memilih untuk mencari ruang kepimpinan dalam PKR, apakah akan ada orang PKR pula yang mahu "merebus" Zaid?

Memang mungkin Zaid ada cerita gelap pasal hobi peribadinya satu ketika dahulu. Zaid ketika itu hidup dalam istana UMNO, secara umumnya saya boleh katakan Nabi Musa, ketika hidup di istana Firaun, makan apa yang Firaun makan, minum apa yang Firaun minum. Tetapi selepas wahyu kenabian, Nabi Musa adalah manusia baru yang dibersihkan Tuhan.

Maka ketika dalam istana UMNO, Zaid juga makan apa yang UMNO makan, minum apa yang UMNO minum. Saya suka membaca biografi, saya membaca biografi Almarhum Tunku, saya juga membaca biografi Allayarham Dr. Ismail, kedua-duanya dicerita sebagai "peminum", harus dinyatakan di sini, biografi Almarhum Tunku yang saya baca adalah tulisan Ramlah Adam, yang dikenal sebagai profesor UMNO, buku itu pula diterbitkan oleh DBP.

Cerita Nabi Musa dan Masyitah mungkin contoh yang terlalu besar untuk digandingkan dengan Zaid. Hakikat bahawa Anwar Ibrahim juga bekas pemimpin kanan UMNO, bahkan lebih kanan dari Zaid yang kini sedang diyakini memimpin PKR tidak pernah diperdebatkan kesetiaannya. Kamaruddin Jaafar, juga bekas pemimpin UMNO, pernah dipercaya untuk menjadi Setiausaha Agung PAS, jauh sebelum itu, Kampoo Rajoo, bekas pemimpin BN/Perikatan, pernah beralih ke pembangkang dan kemudiannya menjadi pemimpin aliran kiri yang disegani dan dihormati.

Lalu, kenapa Zaid Ibrahim tidak boleh diberi peluang?

Mungkin saya kelihatan berat sebelah, kerana saya pernah mempertikai perlantikan Fauzi Abdul Rahman, seorang lagi bekas pemimpin kanan Umno (dikenal sebagai sahabat rapat Anwar) sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Pahang. Saya tidak kisah apa yang orang lain kata, kerana saya punya pengalaman peribadi dengan "permainan politik" Fauzi Abd Rahman ini sehari sebelum hari penamaan calon Pilihanraya Umum 2004 (ketika itu Fauzi masih di dalam UMNO). Apa kisahnya saya rasa tidak perlulah saya perturunkan di sini, cukuplah saya katakan tokoh-tokoh dalam PKR Negeri Pahang masih ada untuk menjelaskannya, mereka ialah bekas Pengerusi Perhubungan Keadilan Negeri Pahang, Jefri Rashid, dan Cikgu Dzul, bekas calon Parlimen Indera Mahkota dalam PRU2004 itu, boleh juga bertanya Ezam yang ketika itu Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia.

Saya menyokong Zaid Ibrahim bukan kerana saya kenal rapat dengannya, tidak! Cuma saya memang membaca bukunya, Saya Pun Melayu. Saya juga menyokong Zaid bukan kerana saya benci Azmin, saya tidak punya ikatan atau apa-apa pertalian dengan kumpulan yang menggelarkan diri mereka ABA (Asal Bukan Azmin) itu.

Premis kempen Zaid bahawa ahli perlu melihat parti melangkaui Anwar mengundang sokongan saya, kerana sejak sekian lama, saya juga berpendapat begitu. Sudah tiba masanya ahli PKR secara bersungguh-sungguh memikirkan bagaimanakah bentuk parti ini selepas era Anwar, adakah ia kekal seperti hari ini? Sebuah parti pelbagai kaum dengan dominasi Melayu, PKR membina penampilan yang begitu mempengaruhi persekitaran politik Malaysia kerana bentuk demografiknya benar-benar mewakili bentuk komposisi kaum di Malaysia.

Untuk kekal dalam keadaan begini, PKR mesti terus wujud sebagai parti pelbagai kaum yang dipimpin tokoh Melayu. Saya bukan rasis, bahkan saya begitu menghormati pimpinan-pimpinan muda dalam PKR dari kaum Tionghua seperti Chang Ming Kai dan Jonson Chong, tetapi kita di sini bercakap soal politik "real" di Malaysia.

Persoalannya, siapakah dari barisan kepimpinan Melayu sedia ada dalam PKR yang mampu mengambil-alih dan memimpin parti ini secara "stand alone" dalam ketiadaan Anwar dan Syed Husin, serta dapat pula diterima secara terbuka dan lapang dada oleh fraksi pelbagai kaum yang wujud sekarang ini? Saya tidak mengatakan Azmin Ali tidak hebat, saya juga tidak menafikan kredibiliti Mustafa Kamil Ayub, tetapi saya harus memaksa ahli PKR berfikir apakah akhirnya PKR akan berkesudahan seperti Gerakan? Sebuah parti yang asalnya diasaskan oleh kepimpinan profesional Melayu, dek kerana tiada pelapis pimpinan Melayu yang mampu dominan secara "stand alone" selepas itu, demografik kepimpinan Gerakan akhirnya berubah. Hari ini Gerakan sudah menjadi parti yang dianggap kecil dan tidak berpengaruh.

Mengenali Zaid dari jauh, dialah bagi saya yang berupaya menghalang nasib PKR menjadi seperti Gerakan, kalau tidak, tidak usahlah menggamit mimpi Putrajaya, tidak kesampaian pun! -MR

*Zukri Aksah ialah bekas aktivis keADILan (PKN - PKR), pernah terpilih sebagai Exco AMK selama dua penggal. Beliau meninggalkan PKR pada tahun 2007, kini sebagai kolumnis Harakahdaily.

Banjir terburuk Di Kedah Dalam 100 Tahun, 40,000 Dipindahkan

Mangsa banjir di Kedah meningkat hampir 40,000

ALOR SETAR: Jumlah penduduk yang dipindahkan kerana banjir di Kedah meningkat kepada 39,512 orang pagi ini berbanding 32,990 orang malam tadi berikutan peningkatan mendadak mangsa banjir di Kubang Pasu dan Alor Setar.

Bagaimanapun, semakin ramai mangsa banjir di Daerah Padang Terap yang dibenarkan pulang.

Mangsa di tiga daerah iaitu Kubang Pasu, Kota Setar dan Pendang terus meningkat.
Di Kubang Pasu, jumlah penduduk yang dipindahkan meningkat kepada 21,111 orang membabitkan 5,740 keluarga manakala di daerah Kota Setar, seramai 15,736 orang (4,047 keluarga) dan di daerah Pendang pula 241 orang (60 keluarga).

Mangsa banjir di Padang Terap berkurangan kepada 657 orang berbanding 2,279 orang malam tadi membabitkan 204 keluarga dan daerah Pokok Sena juga menunjukkan penurunan daripada 1,868 orang kepada 1,767 orang melibatkan 313 keluarga.

Jurucakap bilik gerakan Majlis Keselamatan Negara berkata sehingga 8 pagi ini, 100 pusat penempatan mangsa banjir dibuka dan daripada jumlah itu, 50 adalah di Kubang Pasu, 10 di Padang Terap, 32 di Kota Setar, tujuh di Pokok Sena dan satu di Pendang.

Katanya, keadaan di Padang Terap bertambah baik dengan 2,722 orang daripada 339 keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat manakala 10 pusat pemindahan ditutup.
Tinjauan di kawasan sekitar bandaraya Alor Setar mendapati semakin banyak jalan raya dan premis kerajaan digenangi air dan semakin banyak kediaman berdepan dengan gangguan bekalan air termasuk terputus bekalan.

Kawasan perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah dan juga pejabat BERNAMA Biro Kedah, kedua-duanya di Jalan Stadium, mula digenangi air. - BERNAMA

Tangguhkan Pemilihan, Selesaikan Dulu Isu Yang Dipertikaikan - Mustaffa

Calon timbalan presiden PKR gesa pemilihan ditangguh, selesai semua isu

KUALA LUMPUR, 4 Nov — Ketika Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersiap sedia untuk mengadakan pusingan susulan pengundian hujung minggu ini, calon timbalan presiden Mustaffa Kamil Ayub minta agar pemilihan ditangguhkan kerana banyak isu dipertikaikan belum diselesaikan.

“Justeru, bagi memastikan kelangsungan perjuangan parti yang berlandaskan keadilan untuk semua, kami mohon supaya status JPP ini digantung dan proses pemilihan parti ditangguhkan sehingga kita yakin sepenuhnya badan atau jawatankuasa pemilihan ini mengambil tindakan yang proaktif membaiki kelompangan yang ada.

“Tindakan ini perlu, supaya ianya tidak akan menimbulkan pelbagai masalah dalam proses Pemilihan Parti 2010 seterusnya,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini.

Mustaffa Kamil bersaing bersama Azmin Ali dan Datuk Zaid Ibrahim.

Pengundian tiga hari pertama mulai Jumaat hingga Ahad lalu membabitkan 68 cabang menyaksikan Azmin berada di depan dan disusuli oleh Zaid dan Mustaffa.

Cadangan agar pemilihan ditangguhkan dan diselesaikan segala isu berbangkit bukan pertama kali dikemukakan.

Ia pernah dibangkitkan oleh Mustaffa sendiri dan beberapa pihak lain sebelum dan selepas pemilihan bahagian berakhir.

Dalam kenyataan media hari ini, Mustaffa yang juga Pengerusi PKR Perak berkata, “kami juga menegaskan, bentuk tindakan yang kami lakukan ini adalah kerana kami meletakkan kepentingan parti itu di atas, malah juga untuk menjaga keharmonian dan kepentingan parti ini.”

Kata beliau, hasrat baik pendekatan parti untuk memberi kuasa memilih kepada kepada setiap anggota pastinya tergugat dan terhalang sekiranya badan atau jawatankuasa yang dilantik tidak dapat berperanan dengan sebaiknya.

“Kita tidak mahu anggota parti sendiri ditipu dan dizalimi oleh kerana kepentingan pihak tertentu sepertimana apa yang kita perjuangkan untuk memberi keadilan untuk semua.

“Suara anggota akar umbi mestilah dikembalikan dalam PKR,” katanya lagi. -TMI

Letusan Gunung Merapi Paling Kuat Semalam

Gunung Merapi, Pulau Jawa - Gunung Merapi kembali meletus dengan mengeluarkan gas panas dan debu setinggi 4,000 meter ke udara selain mengalirkan lahar dalam satu letusan kuat pada awal pagi semalam, namun tiada kematian baru dilaporkan.

Seorang pakar gunung berapi Indonesia, Surono memberitahu, letusan itu tiga kali lebih kuat berbanding letusan pada minggu lalu.

"Ia letusan yang luar biasa. Nampaknya, kita mungkin memasuki peringkat yang lebih teruk sekarang," kata Surono.

Ketua Agensi Pengurusan Bencana Jawa Tengah, Djarot Nugroho memberi amaran bahawa wang untuk membeli mi segera, air bersih, ubat-ubatan dan bekalan lain akan habis dalam tempoh lima hari untuk membantu lebih 70,000 penduduk yang terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing.

Askar-askar membawa golongan wanita dan kanak-kanak ke dalam trak, ketika batu dan debu gugur dari langit.

Letusan itu turut menyebabkan sejumlah kenderaan, pokok dan jalan-jalan di bandar-bandar yang terletak sejauh 130 kilometer dilitupi debu.

Seramai 44 orang terbunuh sejak Gunung Merapi yang setinggi 2,914 meter itu meletus buat kali pertama pada 26 Oktober lalu. - AP

Tsunami Di Mentawai: Hanya Masjid Terselamat

Kepulauan Mentawai: Kuasa Allah, itu yang hanya mampu dilafaz apabila sebuah masjid di perkampungan Pasapuat, Pulau Pagai Utara, di sini, masih teguh berdiri meskipun kawasan rumah sekitarnya hancur akibat dilanda tsunami.

Ketika kejadian malam Isnin itu, tiga keluarga berlindung dalam masjid yang gelap selepas bekalan elektrik terputus dan mereka hanya mengalami cedera ringan.

Masjid berkenaan yang sudah berusia 31 tahun tidak dimasuki air seolah-olah air mengelak sebaik tiba di pagar masjid itu sebaliknya hanya melalui tepi kiri dan kanan dindingnya.

Ombak setinggi pokok kelapa ketika tsunami itu juga menghancurkan kawasan perumahan sejauh 100 meter dari pantai berkenaan, namun tidak mengorbankan nyawa 321 penduduk yang menghuni kampung berkenaan.

Tinjauan mendapati semua mereka masih menghuni kawasan dalam masjid itu sementara yang lain menghuni khemah yang dibina di atas bukit berhampiran.

Seorang penduduk, Idris, 35, berkata, ketika kejadian itu mereka merasa gegaran kuat sebelum beberapa bahagian rumah runtuh dan selepas itu mereka mula melarikan diri ke arah bukit. -hm




Kebangkitan Semula BN?

Menang Galas dan Batu Sapi: BN kini merapatkan jurang dengan 5-8

Barisan Nasional akhirnya berjaya mempertahankan kerusi parlimen Batu Sapi dengan majoriti yang lebih besar, sementara merampas kerusi DUN Galas dari PAS-Pakatan Rakyat, dalam Pilihan Raya Kecil yang diadakan pada hari ini. Kemenangan 2-0 ini semestinya memberangsangkan pemimpin dan penyokong BN, setelah sekian lama diselubungi kesuraman sejak dilanda "tsunami politik" pada 8 Mac 2008.

Malah, kemenangan BN ini berjaya memperbaharui rekod pertarungan antara BN dengan PR kepada 5-8, dalam 13 PRK yang diadakan sejak Pilihan Raya Umum ke-12.


Majoriti 6,359 undi di Batu Sapi

Di Batu Sapi, calon PBS-BN, Linda Tsen Thau Lin meraih 9,773 undi, menang dengan majoriti 6,359 undi. Ansari Abdullah dari PKR memperolehi 3,414 undi, mengatasi calon SAPP Yong Teck Lee yang hanya mendapat 2,031 undi. Bagaimanapun, jumlah undi Ansari Abdullah dengan Yong Teck Lee hanya 5,445 undi, iaitu 914 undi lebih kurang daripada undi majoriti. Di samping itu, terdapat 372 undi rosak mengikut perkiraan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Jumlah pengundi berdaftar Batu Sapi adalah 25,582 orang, terdiri daripada 15,099 orang bumiputera Islam (59.02%), 689 orang bumiputera (2.69%), 9,737 orang Cina (38.06%) dan kaum lain 57 orang atau 0.22%. Peratus mengundi pada hari ini mencatat 61.47%, atau 15, 774 orang, agak dekat dengan 61.45% pada PRU ke-12.

Dalam PRU ke-12 pada 8 Mac 2008, 61.45% pengundi tampil melaksanakan tanggungjawab mereka. Edmund Chong Ket Wah dari BN meraih 9,479 undi, mengalahkan calon bebas Chung Kwong Wing dengan majoriti 3,708 undi. Mendiang Edmund Chong meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya pada 9 Oktober 2010.

PRK Galas: Undi PAS menurun

Sementara di Galas, calon UMNO-BN Abdul Aziz Yusoff memperolehi 5,324 undi, menewaskan calon PAS-PR Zulkefli Mohamed dengan majoriti 1,190 undi. Dalam PRU ke-12 pada 8 Mac 2008, Allahyarham Chek Hashim Sulaima (PAS) berjaya meraih 4,399 undi, menewaskan Saufi Deraman (UMNO-BN) dengan majoriti 646 undi. Allahyarham Chek Hashim Sulaima meninggal dunia pada 27 September 2010, memberi laluan kepada PRK ke-12 selepas PRU ke-12.

Di Galas, jumlah pengundi berdaftar seramai 11,553 orang, terdiri daripada 7,125 orang Melayu (61.67%), 2,317 orang Cina (20.06%), 1,839 orang asli (16.35%), 185 orang India (1.6%), 10 orang bumiputera Sarawak (0.09%) dan kaum lain-lain 27 orang atau 0.23%). Peratus mengundi adalah setinggi 83%, iaitu 2% lebih tinggi daripada PRU ke-12.

Menurut perkiraan DAP, undi Cina yang diperolehi PAS menurun kira-kira 2% hingga 3.5%. Malah, undi yang diperolehi PAS jelas berkurang berbanding PRU ke-12, seandainya dibaca dari perbezaan antara menang dengan majoriti 646 undi, dengan kalah 1,190 undi - membawa kepada kehilangan 1,836 undi, mengikut perkiraan kasar.

BN bangkit dari tsunami politik?

Seandainya diimbas kembali, sentimen rakyat jelas menyebelahi Pakatan Rakyat (PR), untuk satu jangka yang agak panjang selepas PRU ke-12. Situasi ini dapat diperlihatkan apabila PR memenangi dua PRK selepas PRU ke-12, iaitu Permatang Pauh dengan majoriti yang lebih besar, dan Kuala Terengganu dengan rampasan kerusi dari BN.

BN hanya berjaya mempertahankan satu kerusi di DUN Batang Ai, Sarawak pada 7 April 2009. Namun, kemenangan ini sedikitpun tidak menceriakan BN, khususnya Najib Razak yang baru mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan, memandangkan dua PRK yang berlangsung serentak, iaitu Bukit Gantang (Perak) dan Bukit Selambau (Kedah) kekal dalam genggaman PR.

Kekalahan demi kekalahan ini mungkin antara faktor yang membelenggu BN, sehingga tidak menurunkan calon dalam PRK Penanti, yang berlangsung pada 31 Mei 2009. Bagaimanapun, kekalahan tetap menghantui UMNO-BN apabila tewas sekali lagi di PRK Permatang Pasir, kira-kira tiga bulan selepas itu.

Undi Melayu kembali ke UMNO?

Bagaimanapun, UMNO-BN hampir mengecapi kemenangan dalam PRK Manek Urai pada Julai 2009, apabila berjaya menghakis undi majoriti PAS dari 1,352 ke 65 undi, tetapi tetap gagal untuk menembusi kubu PAS. BN hanya berjaya menikmati manisan kemenangan pertamanya di Semenanjung Malaysia, melalui Mohd Isa Samad apabila mempertahankan DUN Bagan Pinang dengan majoriti lebih besar pada Oktober 2009.

Sejak itu UMNO-BN kembali dengan keyakinan bahawa undi Melayu telah balik ke pangkuan UMNO. Dakwaan ini diperkukuhkan apabila BN merampas kerusi parlimen Hulu Selangor dari PKR-PR, pada April 2010. Namun, kegembiraan ini tidak kekal lama, apabila DAP-PR mencipta keajaiban dengan merobohkan kubu BN di Sibu, Sarawak sebulan kemudian.

Kini, BN berjaya merampas DUN Galas, sementara mempertahankan Batu Sapi dengan majoriti yang lebih besar. Keputusan ini sekurang-kurangnya melegakan BN di Sabah, sementara merunsingkan PR di Semenanjung Malaysia. Kemenangan BN pada malam ini lantas mengundang spekulasi bahawa pilihan raya umum kilat mungkin diadakan pada bila-bila masa dari sekarang. -MR

Muhasabah 1: Berakhirnya Era Kegemilangan PR. Perlu Penjenamaan Semula

Suka atau tidak, siri kekalahan Pakatan Rakyat (PR) di dalam pilihanraya-pilihanraya kecil yang diadakan akhir-akhir ini menjalaskan bahawa Pakatan Rakyat sedang mengalami anti-klimaksnya di dalam satu kitaran kewujudannya di pentas politik negara.

Tanpa sebarang tindakan diambil, Pakatan Rakyat hanya akan menjadi satu nama yang gah di dalam sejarah, kemudian akan pupus perlahan-lahan dengan tiada siapa lagi memperdulikan seperti apa yang berlaku kepada Angkatan Perpaduan Ummah.

Kekalahan berturut-turut, Batang Ai, Bagan Pinang, Hulu Selangor kini serentak di Galas dan Batu Sapi, memberikan loceng amaran kepada PR bahawa gelombang rakyat sudah tidak lagi berpihak kepadanya dan jika perhatian tidak diambil, maka PR akan menjadi bahan sejarah.

GB melihat bahawa sejaran pilihanraya 2004 akan berulang pada PRU13 akan datang. Ramai ahli palimen dan ADUN PR akan terlentang dan beberapa negeri yang dikuasai oleh PR akan diambil alih semula oleh BN.

Pemimpin-pemimpin PR perlu akur dan perlu jujur bahawa sebahagian besar dari mereka perlu berundur.

Sepertimana sebuah syarikat konglomerat, prestasi yang buruk berkali-kali, sebelum ia menggulung tikarnya, maka terlebih dahulu CEO dan kumpulannya perlu dicarikan ganti sebagai usaha penyelamatan sebelum penggulungan tikar itu menjadi realiti.

Ketiga-tiga parti komponen terlibat, samada PAS, PKR atau DAP.

Ketiga-tiga parti tersebut perlu menukarkan "CEO"nya di dalam mempastikan kelansungan PR untuk melonjakkan semula nama PR di dalam hati sanubari rakyat.

Menuding jari memang tidak lagi perlu, tetapi merekayasa strategi untuk memperkukuhkan parti tidak boleh dipandang sepi.

PAS misalnya perlu menggantikan segugusan pimpinan tertinggi mereka. GB tidak perlu untuk menghuraikan "kenapa" di sini. Masing-masing sudah sedia maklum sebab-sebabnya dan sekali lagi kita ingin nyatakan ia hanya dapat dilakukan apabila adanya kejujuran untuk penjenamaan semula, jika ada keinginan untuk menang di dalam perjuangan menentang kebobrokan nilai yang dibawa oleh parti yang sedang menguasai kerajaan pusat. Jika tidak, lupakan saja soal penjenamaan semula dan pemerekayasaan strategi kita.

PKR perlu menukarkan imej parti dari tertumpu kepada kelompok "kroni dan keluarga" kepada pemilikan massa semula. GB telah ulas hal ini berkali-kali sebelum ini, namun seperti adanya "mental block" dan "denials syndrome" yang bertongkol di minda pengikut-pengikut taksub terhadap "idola" mereka.

Pemikiran kita tentang idola kita tidak semestinya selari dengan pemikiran rakyat terbanyak. Kita perlu melihat situasi ini dari kacamata burung, bukan dari tempurung.

DAP juga menukarkan beberapa orang pimpinan tertingginya. Jika benar DAP ingin menjadi parti yang ingin melepaskan diri dari tanggapan "cauvinisme" kepada sebuah parti yang benar-benar "multi-racial", DAP perlu memaksikan semula perjuangannya dengan menerima hakikat bahawa dari pola pengundian terkini, rakyat lebih menerima kumpulan yang lebih "moderate". Sebarang unsur yang menggugat status quo kedudukan raja, agama, bangsa atau keharmonian yang sedia ada pasti akan menerima penolakan hebat sewaktu pilihanraya.

Penjenamaan semula PR dengan perubahan materi terhadap pucuk pimpinan parti-parti komponennya adalah sangat-sangat kritikal untuk memulihkan semula ketenatan PR di minda dan hati rakyat.

Tanpanya, selekeh-lekeh calon dari parti seberang pun bakal mengalahkan sehebat-hebat calon PR. Galas membuktikannya semalam.

Kalau Bukan Di Kelantan, PAS/PR Dah Kalah Lebih Teruk Lagi

Galas beri isyarat Umno akan rampas Kelantan

GALAS: Barangkali terlalu awal untuk mengatakan rakyat Kelantan kembali menyokong BN khususnya Umno ekoran kemenangan dalam pilihanraya kecil Galas hari ini.

Bagaimanapun, ia memberi isyarat bahawa BN sedia merampas Kelantan yang diperintah PAS sejak 20 tahun lalu.

Jika keputusan Galas dijadikan ukuran, PAS menghadapi laluan sukar untuk mengekalkan kuasa di negeri pantai timur itu.

Calon BN Abdul Aziz Yusof menang dengan majoriti menyakinkan iaitu 1,190 undi. Beliau mendapat 5,324 undi manakala calon PAS, Dr Zulkifli Mohammad mendapat 4,134 undi.

Daripada 13 peti undi, PAS hanya menang satu di Sungai Terah dengan majoriti 285 undi.

Agak mengejutkan BN mendapat undi majoriti pengundi kaum Cina yang pada pilihanraya umum lalu menyokong PAS.

Mengapa PAS kalah kali ini sedangkan pada 2008 calon mereka, Che Hashim Sulaima menang dengan majoriti 646 undi. Che Hashim meninggal dunia 29 September lalu akibat kanser.

Tengku Razaleigh Hamzah nyata masih berpengaruh di kalangan pengundi Gua Musang. Tiada siapa pengundi Galas yang tidak mengenalinya. Peribadi anak raja itu menjadi ikon di Gua Musang.

Pengaruh Tengku Razaleigh atau Ku Li di kalangan penduduk tempatan masih mencengkam kemas di Galas. Beliau akan menjadi aset BN dalam pilihanraya umum akan datang.

Serangan bersepadu jentera kempen BN terhadap kerajaan negeri pimpinan PAS berjaya menyakinkan pengundi secara keseluruhan. Terlalu banyak penyelewengan kerajaan PAS didedahkan oleh BN termasuk isu ladang rakyat.

Satu lagi faktor kemenangan BN ialah demam bola sepak Kelantan yang menjalar hingga ke Galas. Gelombang merah ekoran kemenangan Piala Malaysia sedikit sebanyak mempengaruhi pengundi memberi sokongan kepada BN.

Ini kerana Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa yang membawa kemenangan bola sepak Kelantan dalam piala paling prestij itu merupakan orang kuat Umno Kelantan. Beliau merupakan ketua Umno bahagian Peringat.

Keputusan petugas BN dan Umno memakai baju T merah sebagaimana idea bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh telah menyemarakkan lagi semangat petugas BN.

Kesimpulannya, kemengan BN di Galas ini adalah hasil kerja keras parti itu yang mahu menyelamatkan rakyat Kelantan dari terus ketinggalan.

Bagaimanapun, adalah silap untuk mengatakan keputusan Galas itu merupakan satu jaminan kepada BN merampas Kelantan dalam pilihanraya umum akan datang.

Cuma ia memberi sedikit kelegaan kepada Umno negeri itu yang diketahui kaya dengan pemimpin berwibawa tetapi sering bermasalah.

Tengku Razaleigh akan menjadi penyelesai kepada BN Kelantan kali ini. -FMT

Ulasan GB

Bukan itu saja.

Ia adalah isyarat bahawa PR keseluruhannya sudah parah. Adakanlah pilihanraya kecil dimana-mana selepas ini, peluang PR untuk tewas terlalu besar.

Kepimpinan PR kini yang dipersoalkan.

Pemerhatian GB - jika pilihanraya kecil itu bukan di Kelantan, besar kemungkinan PR kalah LEBIH DASYAT lagi.