Sebut sahaja nama Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, pasti terbayang di fikiran kita seorang pemimpin yang begitu sederhana dan rendah diri penampilannya apabila berhadapan dengan rakyat jelata.
Baru-baru ini, baginda telah mencemar duli ke beberapa pusat pemindahan mangsa banjir di negerinya bagi melihat sendiri keadaan semasa selain melawat dan bermesra dengan rakyatnya.
Menariknya, Sultan Kelantan juga dilihat memandu sendiri kenderaan pacuan empat rodanya menuju ke destinasi tersebut.
Menerusi satu screenshot komen Facebook, Muhammad Imran telah berkongsi satu cerita yang cukup menarik mengenai Sultan berjiwa rakyat itu sewaktu berlakunya bencana banjir.
Menurutnya, sewaktu adiknya sedang duduk berehat, dia didatangi oleh seseorang yang kemudiannya duduk di sebelahnya sambil minum kopi dalam cawan polisterin.
Dia kemudiannya dengan selamba berbual sebelum menyedari individu tersebut merupakan Sultan Kelantan dan segera memohon maaf kerana memanggilnya dengan panggilan ‘abang’.
Namun, baginda langsung tidak marah, sebaliknya turut memeluk mangsa banjir tersebut.
Sejujurnya kami amat kagum dengan ketenangan yang ditampilkan oleh baginda kerana tidak terus memperkenalkan dirinya sebagai Sultan, sebaliknya menjawab ‘orang sini’ sahaja.
Inilah antara secebis kisah Sultan Kelantan yang cukup dikagumi bukan sahaja oleh rakyatnya, tetapi juga rakyat Malaysia. -mynewshub
Jangan bersengketa dengan alam, nasihat Sultan Kelantan
Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V mahu seluruh rakyat supaya menjadikan alam sekitar sebagai sahabat baik kerana musibah banjir yang berlaku ketika ini mempunyai hubung kait daripada perbuatan manusia.
Titah baginda, rakyat perlu bermuhasabah dengan apa yang dilakukan selama ini dan perlu memperbaiki kesilapan yang dilakukan.
"Marilah kita menghulurkan tangan persahabatan dengan alam sekitar dan marilah kita sedar bahawa segala macam musibah bencana dan malapetaka yang terjadi semua itu akibat daripada olahan tangan-tangan kita.
"Semoga Allah mengampuni kita semua dan menjadikan musibah ini dengan kebaikan yang banyak," titah baginda dalam teks yang diedarkan kepada media di Kota Baru, hari ini.
Baginda juga mahu rakyat agar tidak menyebarkan berita yang boleh menambahkan kekeruhan terhadap musibah yang berlaku itu.
"Janganlah ada dalam kalangan ahli masyarakat yang tidak sensitif dan ingin menangguk di air keruh dengan menyebarkan berita-berita yang boleh menambahkan kekeruhan dan kekusutan," titah baginda.
Titah baginda ujian yang dialami ketika ini bukan masanya untuk saling menyalahkan sesama sendiri.
Baginda turut mengucapkan takziah kepada rakyat Kelantan yang terjejas banjir dan berharap mereka menerima ketentuan Allah itu dengan penuh berlapang dada.
"Banjir yang berlaku ini adalah sebahagian daripada qada dan qadar Allah. Hal ini harus diyakini dan diimani," titah baginda. – Bernama