16 Ogo 2010

Penyelewengan Pemimpin UMNO Terhadap FELDA Akan Dibogelkan

Felda Saman Malu Suara Keadilan, Lima Defenden RM200 Juta

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan anak syarikatnya, Felda Global Ventures Holdings hari ini memfailkan saman malu RM200 juta terhadap akhbar rasmi KEADILAN, Suara Keadilan dan lima defendan berikutan penyiaran artikel "Felda Bangkrap" dalam akhbar tersebut Jun lalu.

Saman itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pukul 3.11 petang tadi.

Lima defenden yang dinamakan dalam saman malu tersebut termasuk Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden, Senator Dr Syed Husin Ali, pencetak dan penerbit Suara Keadilan.

Sabtu lepas, peguam yang mewakili Suara Keadilan, N Surendran berkata tindakan saman itu menimbulkan persoalan sama ada agensi tersebut sudah lingkup setelah mengalami penurunan rizab tunai secara mendadak dalam tempoh lima tahun.

Surendran berkata undang-undang jelas menunjukkan Felda ditubuhkan dengan dana awam dan tujuannya adalah untuk memberikan bantuan kepada rakyat melalui rancangan tanah dan program skim pertanian.

Katanya lagi, undang-undang adalah jelas dan Felda tidak boleh saman fitnah terhadap Suara Keadilan.

Surendran berkata ugutan saman yang diambil oleh Felda tidak mempunyai asas dan prinsip undang-undang.

Mana-mana badan berkanun yang menggunakan wang rakyat dan memberikan perkhidmatan untuk kepentingan rakyat, tidak boleh mengeluarkan saman fitnah setiap kali dikritik oleh rakyat tegas beliau.


Ketika dihubungi Suara Keadilan, Naib Presiden KEADILAN, Sivarasa Rasiah berkata parti belum lagi menerima writ saman yang baru difailkan hari ini.

"Kami akan meneliti dan mengkaji dokumen saman tersebut terlebih dahulu sebelum menganbil tindakan susulan.

"Walau apa pun kita tetap berpendirian apa yang disiarkan oleh Suara Keadilan berhubung isu Felda bankrap adalah berasaskan fakta. Kita akan tetap lawan kerana apa yang didedahkan adalah mengenai isu rizab tunai Felda yang merudum," kata Sivarasa. -SK


Peguam: Felda Tidak Boleh Saman Suara Keadilan

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) tidak boleh menyaman fitnah ke atas akhbar Suara Keadilan kerana agensi itu ditubuhkan dengan menggunakan dana rakyat.

"Soal yang timbul di sini adakah secara undang-undang, moral dan etika, Felda tidak boleh membawa apa-apa tindakan undang-undang kepada rakyat yang mengeluarkan kritikan ke atas Felda.

"Felda adalah badan berkanun yang ditubuhkan dengan menggunakan wang rakyat. Felda ditubuhkan untuk memberi bantuan dan faedah kepada rakyat. Undang-undang adalah jelas, Felda tidak boleh saman fitnah (kepada Suara Keadilan).

"Prinsip undang-undang adalah jelas, apa-apa badan yang yang ditubuhkan dengan wang rakyat dan untuk kebaikan rakyat, tidak boleh mengeluarkan saman fitnah setiap kali dikritik oleh rakyat," katanya peguam yang dilantik oleh akhbar berkenaan, N Surendran.

Menurutnya, berdasarkan undang-undang lazim atau 'commom law' itu, yang diamalkan kerajaan negeri, kerajaan persekutuan, kerajaan tempatan atau badan berkanun tidak boleh membuat saman fitnah ke atas rakyat.

Sehubungan itu, Surendren menasihatkan Felda agar mencari penasihat undang-undang yang bijak, membuat kajian serta tidak mengeluarkan kenyataan yang tidak mempunyai asas undang-undang.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media bagi mengulas bahawa Felda akan memfailkan SAMAN terhadap lidah rasmi PKR itu pada "bila-bila masa".

Turut hadir pada sidang media itu adalah naib presiden PKR Sivarasa Rasiah, pengerusi biro Felda PKR Suhaimi Said dan bekas timbalan menteri tanah dan koperasi Datuk Tan Kee Kwong di ibu pejabat parti itu petang ini.

Mengulas lanjut, Surendren mendakwa selain badan berkanun, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri juga tidak dibenarkan menyaman rakyat.

"Jika perkara itu dibenarkan, maka hak rakyat untuk mengeluarkan kritikan terhadap kerajaan, institusi kerajaan dan badan berkanun, akan tergugat," katanya.

Menjawab soalan, Surendren berkata, pihaknya belum menerima writ saman daripada Felda sebaliknya hanya menerima NOTIS TUNTUTAN saman daripada agensi kerajaan itu pada 1 Julai lalu.

Mengulas dari sudut moral, Surendren berkata Felda ditubuhkan dengan menawarkan skim-skim tertentu bagi membantu peneroka, bukannnya "dipergunakan oleh segelintir orang untuk menghentam parti politik pembangkang".

"Itu bukan tujuan (penubuhan) Felda. Tujuan Felda adalah untuk membantu orang (peneroka) di luar bandar dengan skim-skim perladangan.

"Bagaimana sebuah badan berkanun, yang ditubuhkan untuk tujuan itu, menggunakan wang dan sebagainya untuk menyerang individu tertentu dan parti-parti politik. Langsung tidak masuk akal," katanya

Dalam sidang media yang sama, Suhaimi mendakwa tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan pemberian duit raya sebanyak RM350 dan RM150 masing-masing kepada peneroka bersama dan tidak bersama agensi itu adalah "satu perkara lama yang telah diamalkan oleh BN".

Beliau mendakwa duit yang diberikan itu adalah asalnya duit yang dikumpulkan oleh peneroka dan ia dikembalikan kepada mereka semula.

PENGERUSI FELDA DAPAT RM2 JUTA SETAHUN?

"Seolah-olah peneroka tidak tahu, bahawa duit itu adalah duit mereka sendiri," katanya.

Pada sidang media yang sama, Sivarasa melontar persoalan kepada pengerusi Felda Tan Sri Yusof Nor (kiri, tengah) sama ada benar atau tidak jumlah gaji dan elaun yang diterimanya adalah sebanyak hampir RM2 juta setahun.

“Adakah benar atau tidak bahawa jumlah gaji, elaun, dan apa-apa bayaran yang Tan Sri Yusof dapat daripada Felda dan daripada anak-anak syarikat Felda, jumlah ini adalah hampir RM2 juta setahun. Sila beritahulah (kepada rakyat), betul atau tidak," katanya.

Sivarasa yang juga ahli parlimen Subang berkata rakyat dan peneroka Felda menunggu jawapan yang akan diberikan Yusof susulan soalan yang dilontarkannya.

“Saya cuma nak tahu ya atau tidak, itu sahaja. Jadi saya menantikan jawapan daripada beliau.

“Ini kerana sebagai Pengerusi Felda yang mengawal anak-anak syarikat sudah tentu pendapatannya tinggi.

“Itu yang saya mahu tahu apakah ganjaran sebenarnya yang diperoleh beliau setiap tahun. Adakah ia ada mencecah RM2 juta,” kata Sivarasa.




Permohonan Anwar Ditolak, Rakyat Tuntut Sistem Juri DIkembalikan

Permohonan Anwar batal tuduhan liwat ditolak

Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya membatalkan tuduhan liwat ke atas dirinya.

Mahkamah memutuskan hubungan antara saksi utama den timbalan pendakwa raya tidak menjejaskan integriti pihak pendakwa.

Anwar membuat permohonan itu berikutan dakwaan ada hubungan mesra antara Mohd Saiful Bukhari Azlan dan DPP Farah Azlina Latif.

Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah juga menolak permohonan peguam Anwar supaya prosiding digantung sehingga rayuannya diputuskan pagi ini.

Hakim mengarahkan peguam sedia untuk meneruskan perbicaraan hari ini.

DPP digugurkan

Dalam permohonan difailkan pada 2 Ogos lalu, Anwar memohon membatalkan tuduhan liwat dengan alasan integriti dan kesaksamaan pasukan pendakwaan terjejas berikutan dakwaan hubungan sulit antara seorang timbalan pendakwa raya dengan saksi utama kes itu.

Berdasarkan afidavit yang diikrarkan olehnya, Anwar mendakwa Farah yang mempunyai pengetahuan kepada kertas-kertas siasatan, telah menjalinkan hubungan dengan Mohd. Saiful saksi utama pendakwaan dalam kes itu.

Justeru saksi pendakwa pertama itu didakwa mempunyai akses kepada kertas-kertas siasatan yang diklasifikasi sebagai terhad dan sulit di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) termasuk kenyataan Anwar di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah dan minit-minit sulit antara pihak polis dan pendakwaan.

Oleh itu, katanya, Farah telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(1) OSA manakala Mohd. Saiful Bukhari melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(2) akta sama.

Bagaimanapun, hakim berkata, peranan Farah Azlina dalam kes pendakwaan adalah terhad dengan mencatat nota prosiding saja, tidak mempunyai akses kepada kertas siasatan, tidak mengetahui mengenai strategi pendakwaan dan tidak mengendalikan saksi.

Kedua-dua Mohd Saiful dan Farah tidak berkata apa-apa tentang dakwaan hubungan mereka.

Anwar, 63, didakwa meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful, 25, di Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara jam 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Ulasan GB

Terperanjatkah kita? Lansung tidak kerana kita sudah tahu Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah sudah pun ada keputusan sebelum mendengar permohonan Anwar tersebut.

Dasyat gila sistem kehakiman yang ada kini.

Hanya satu - kembalikan sistem juri di dalam sistem kehakiman negara dan nyahkan hakim-hakim durjana yang banyak berkeliaran di dalam Palace Of Justice.


PAS Bakal Kecundang Di Terengganu Dan Selangor

Ambil alih tempat UMNO, Salahuddin Ayub: PAS perlu lebih proaktif

Bagi menggantikan UMNO sebagai sebuah parti yang memperjuangkan nasib masyarakat Melayu dan Islam dalam negara ini, maka PAS perlu lebih proaktif bagi mengambil alih kepimpinan tersebut. Menurut Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, PAS bukannya sebuah parti kecil lagi, malah merupakan sebuah parti yang memperjuangkan nasib semua rakyat yang memerlukan pembelaan.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS di Kompleks An-Nadhoh, Penanti, Bukit Mertajam tengahari semalam.

Salahuddin juga berkata, PAS harus memandang ke hadapan bagi menerajui kepimpinan bersama dengan PKR dan DAP yang berganding dalam Pakatan Rakyat (PR).

"Bagi mencapai realiti ini, maka kepimpinan dan juga ahli PAS perlu mendokong konsep yang diamalkan iaitu sidiq, amanah, tabligh dan fatanah yang merupakan ciri-ciri penting bagi menuju ke arah kejayaan tersebut."

Beliau berkata lagi, "PAS telah meletakkan dirinya sebagai sebuah parti Islam yang lebih inovatif dalam membawa produk baru yang mampu dimanfaatkan kepada semua golongan masyarakat dalam negara ini."

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, untuk menjadikan hasrat melangkah ke Putrajaya satu realiti, maka reformasi dalam perjuangan PAS adalah salah satu perkara utama yang perlu mendapat keutamaan semua ahli dan pendokong PAS.

Beliau juga menyokong kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang ingin menerapkan nilai-nilai murni dalam kepimpinan yang berteraskan konsep perjuangan Khalifah Umar Abdul Aziz.

Beliau berkata, Lim Guan Eng sepatutnya diberi peluang dan ruang untuk merealisasikan hasrat beliau menjadikan sistem pentadbiran Khalifah Umar sebagai satu perkara yang akan membawa kejayaan dalam pemerintahan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

"Guan Eng perlu mengambil pendekatan untuk membuktikan kepada masyarakat bahawa DAP mampu untuk menganjak paradigma yang lebih baik di bawah kepimpinan beliau jika dibandingkan dengan kepimpinan Lim Kit Siang."

"Sekiranya beliau mampu untuk membuktikan bahawa kepimpinan yang ingin diterapkan berdasarkan kepada kepimpinan yang telah dibawa oleh Khalifah Umar itu adalah satu sistem yang boleh memberi keadilan dan kesejahteraan kepada rakyat, maka barulah DAP dapat keluar dari kerangka dan persepsi negatif sesetengah pihak," katanya lagi.

Mujahid:

Manakala Ahli Parlimen Parit Buntar, Mujahid Yusof Rawa dalam ucapannya menyarankan kepada ahli PAS supaya membuang persepsi negatif bahawa PAS adalah pembangkang di Pulau Pinang.

"Di Pulau Pinang khususnya, kita walaupun mempunyai satu kerusi tetapi PAS adalah bersama-sama dengan kerajaan negeri menerajui Pulau Pinang. Oleh kerana itu persepsi yang seolah-olah mengatakan kita adalah pembangkang harus dibuang jauh," kata Mujahid Yusof Rawa.

"Dalam banyak isu UMNO dan Barisan Nasional (BN) cuba menjadikan isu masyarakat Melayu sebagai modal politik mereka bagi mengaut simpati masyarakat Melayu yang sememangnya semakin tipis menyokong mereka," katanya.

Mujahid yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang berkata, isu tanah perkuburan di Jelutong yang selama ini telah 15 tahun tidak dapat diselesikan oleh UMNO dan BN.

Namun begitu dalam tempoh Kerajaan PR memerintah Pulau Pinang, PAS telah mengorak langkah bagi mengatasi masalah ini bagi manfaat masyarakat Melayu dan umat Islam khususnya dalam kawasan tersebut.

Beliau juga berkata antara kejayaan yang telah berjaya dilakukan oleh PAS di Jelutong ialah menyatukan dua puak yang bertelagah dalam isu Kampung Pokok Assam yang suatu ketika telah diarahkan pindah oleh pemaju bagi projek pembangunan dikawasan tersebut.

"Hasil dari perbincangan yang telah dilakukan maka kita meminta supaya pihak kerajaan negeri menekankan kepada pemaju dasar untuk menempatkan semula penduduk di kampung yang terlibat dengan projek pembangunan. Sekiranya ini dapat dilakukan maka persepsi bahawa kerajaan negeri mengusir masyarakat Melayu dapat ditangkis," tambahnya lagi.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah kepimpinan Pemuda, Muslimat dan PAS Negeri Pulau Pinang. -MR


Daftar Pemilih: Apa PAS Terengganu buat?

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

Aku suka merujuk kepada jadual di bawah. Jadual tersebut menunjukkan jumlah pemilih yang didaftarkan oleh Penolong Pendaftar (PP) oleh parti-parti politik di Semenanjung Malaysia.



Ketika mula-mula melihat jadual di atas, terdetik juga di hati. Apakah PAS Terengganu begini teruk dan lemah berbanding negeri-negeri lain terutama Kedah dan Kelantan? Sekali dilihat, memang Terengganu agak kebelakang dalam mendaftar pengundi baru.

Mengikut rekod SPR, masih ada Kira-kira 28% atau 4.39 juta penduduk negara ini yang berusia lebih 21 tahun dan layak bergelar pengundi masih belum mendaftar sebagai pemilih sehingga akhir tahun lalu (2009). Daripada jumlah tersebut, 65% daripada mereka adalah Bumiputera. Daripada jumlah itu, Selangor mencatat jumlah yang paling tinggi iaitu seramai 787,000 orang, diikuti Johor (605,000), Perak (526,000), Sarawak (473,000) dan Kelantan (240,000). Manakala di Terengganu sekitar hanya 77,093 orang sahaja (12.3%) yang belum berdaftar.

Jadi, apabila dikaitkan pendaftaran pemilih dengan mereka yang belum mendaftar, Terengganu sebenarnya tidaklah jauh ke belakang. Cuma jika dilihat pada angka, memang ianya kurang pada bilangan.

Wallahua'lam.

p/s: Sekadar menjawab beberapa tulisan yang nakal dan tidak sudah-sudah mengkritik. -amdang81



Ulasan GB

Bagi GB, PAS masih leka dengan kemenangan silam dan parti masih diterajui oleh pemimpin-pemimpin pemalas dan pengamal budaya kepimpinan Pak Lah.

Pemimpin PAS yang ada bukan saja tidak pro-aktif, malah tidak innovatif, tidak kreatif malah lansung tidak ambil pusing bab-bab menjadi teladan di dalam kepimpinan, lantas parti menjadi lemah dan tidak bergerak ke hadapan.

Tanya kini, apa yang dah mereka lakukan untuk parti selama ini? Berapa minit yang diperuntukkan untuk berfikir dalam sehari untuk parti berbanding untuk hal-hal kepentingan diri dan famili? Apa landmark yang mejadi bukti sumbangannya selama ini untuk parti? Ada tak berfikir contohnya bagaimana nak wujudkan lebih ramai teknokrat Islam, usahawan Islam, mengumpulkan pakar-pakar IT dan telekomunikasi bagi membantu parti, menjadikan negara sebagai hub untuk pusat Ilmu mengenai pemerintahan Islam? Illekkk...

Paling tinggi adakan kuliah di surau tempat sendiri. Macam UMNO juga, bincang bab feqah sampai ke pagi. Wudhu sah tak sah jika tahi cicak jatuh ke dalam baldi. Tak berganjak dari dulu sampai kini.

Tetapi mereka (yang jumud) ini handal-handal belaka. Sebab, All The President's Men!
Presiden suka orang semacam ini sebab ampunya lebih.

Ada pula pemimpin cuba menunjukkan dirinya "terlebih kreatif", mencari jalan mudah untuk mencapai kemenangan sehingga melakukan tindakan yang bertentangan lansung dengan Perlembagaan parti dan yang tidak diamalkan oleh Rasulullah seperti idea "kerajaan perpaduang" yang telah digagalkan Allah s.w.t. Pemimpin jenis ini ramai di Selangor dan di Terengganu.

Di Selangor paling teruk, diterajui oleh seorang pemimpin berbudaya UMNO yang melakukan kerja-kerja gelap dan kemudian pandai memutar lidah menjustifikasikan tindakannya. Beliau pengamal budaya cantas mencantas dalam PAS. Awal-awal lagi dua pemimpin yang mengkritiknya dicantas dari Dewan Harian, Khalid dan Shaari.

Pemimpin tertinggi PAS termamsuk Pengerusi Disiplin membiarkan beliau bermaharaja lela. Kerana apa? Satu gangsi - UG namanya!

UG dah mati kata mereka. Tapi timbul cerita pertemuannya dengan seorang mufti UMNO-APCO yang mendedahkan petualang sebenar parti.

GB mendapat makluman, sebagai YDP Negeri, beliau yang ada kuasa mencadangkan nama-mana calon untuk negerinya akan mencantas beberapa YB daripada dicalonkan semula untuk parlimen dan DUN di negeri tersebut (termasuk Khalid dan Shaari) untuk digantikan dengan calon-calon pilihannya.

Itu merupakan sebab utama nanti jika PAS tewas di dalam PRU akan datang.

Bagi rencana kedua oleh sdra amdang81 dari Pemuda Terengganu yang cuba mempertahankan tindakan PAS Terengganu di dalam usaha melakukan pendaftaran pengundi baru, GB lihat ia tidak lebih sebagai satu sikap bodoh sombong seorang Pemuda PAS Terengganu.



Mengapa GB berkata demikian?

Tengok. Mengapa SPR buat pengumuman yang Terengganu hanya tinggal 12.3% yang belum berdaftar? Supaya PAS leka untuk melakukan kerja2 tersebut... kerana ketika ini UMNO sudahpun mendahlui PAS dari segi pendaftaran dan bilangan.

Bagi negeri-negeri lain pula seperti Selangor, Johor, Perak, Sarawak dan Kelantan - kesemua negeri-negeri itu sebenarnya negeri yang merbahaya buat UMNO - BN. SPR mendedahkannya supaya nanti rakyat jangan terperanjat jika di tahun hadapan angka pendaftaran pengundi baru meningkat mendadak... siapa melakukannnya? SPR sendiri!

GB membuat tuduhan di bulan mulia? Sembah sujud kepada Allah untuk diperlihatkan kebenarannya. InsyaAllah kita akan diberikan jawapannya.

Marah dengan GB kerana mengkritik pemimpin parti? Mudah, pecat saja GB dari menjadi ahli parti. Mungkin lagi aman dan lagi cepat parti bersemadi?

Ada Sekolah Untuk Pelajar Mengandung

Sekolah Mengandung Galakkan Gejala Negatif

Pelajar yang mengandung anak luar nikah disaran meneruskan pembelajaran mereka dirumah- rumah perlindungan bukannya di sekolah kerajaan seperti mana pelajar- pelajar lain.

Tindakan itu perlu supaya mesej yang betul dihantar kepada pelajar lain bahawa mengandung anak luar nikah merupakan kesalahan.

Akan tetapi Ahli Parlimen Shah Alam Khalid samad berkata, jika pelajar hamil itu sudah berkahwin, masih boleh diterima jika mereka mengikuti sesi persekolahan seperti pelajar lain.

“Saya rasa pendekatan yang sebegitu tidak wajarlah. Bila pelajar lain nampak macam tidak ada apa- apa masalah, kita akan hantar mesej yang salah seolah- olah perkara itu adalah biasa."

"Mereka mesti diasingkan dan kita mesti tolong mereka yang tersilap langkah ini. Kita tidak mahu mereka terus tersilap langkah,” katanya.

Meskipun dikritik hebat oleh pelbagai pihak, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam masih mahu meneruskan cadangan menubuhkan sekolah mengandung kononnya untuk mengurangkan kes kelahiran bayi luar nikah di negeri itu.

Namun, Khalid menolak cadangan itu kerana ia seolah- olah membuka ruang dan membantu muda belia untuk mengandungkan anak luar nikah.


“Sekolah mengandung tu saya rasa luculah. Kalau kita hantar ke sekolah mengandung itu nampak tiada kesalahan. Malah ada pula satu intitusi khas yang membantu mereka jika mereka terlanjur."

"Akan tetapi jika mereka dihantar ke rumah perlindungan, masyarakat akan terkesan mesej yang dihantar bertapa apa yang mereka lakukan itu merupakan kesalahan yang tidak patut dituruti," kata Khalid.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar berpandangan pelajar yang hamil samaada sudah berkahwin atau mengandung luar nikah perlu diberi peluang untuk menuntut ilmu.

Namun, beliau menegaskan, hukuman kepada mereka yang melakukan kesalahan itu tetap perlu dilaksanakan.

“Penjenayah sekalipun mesti kita bagi peluang untuk mereka belajar. Kita berharap dengan ilmu yang mereka pelajari mereka boleh tentukan kelak apa yang baik dan apa yang buruk.Tetapi, hukuman keatas mereka yang lakukan kesilapan tetap perlu dilaksanakan," kata Kamaruddin.

Kementerian Pelajaran sebelum ini dilapor membenarkan pelajar- pelajar yang mengandung samada berkahwin atau tidak, untuk mengikuti sesi persekolahan sebagaimana pelajar lain.

Seorang pegawai kementerian pelajaran mengesahkan pelajar hamil masih boleh ke sekolah kebangsaan sekaligus menolak persepsi bahawa mereka tidak boleh berbuat demikian, menurut portal The Malaysian Insider.

Sumber itu juga menambah tiada peraturan yang menghalang pelajar perempuan daripada menghadiri sekolah seperti biasa jika mereka telah berkahwin atau mengandung anak luar nikah.

Bagaimanapun bagi mereka yang ada rekod mengelak daripada datang ke sekolah selama 60 hari akan dibuang secara automatik. -TVS