1 Feb 2010

Honda Dan Toyota Tarik Balik Beberapa Model Kereta

Honda Malaysia Sdn Bhd mengumumkan penarikan balik 16,025 unit Honda City dan Honda Jazz kerana masalah pada kekunci utama tingkap automatik.

Model kereta Honda yang ditarikbalik adalah 12,935 unit dari generasi kedua Honda City keluaran 2008. Selain itu, 3,090 unit Honda Jazz buatan 2003 juga ditarikbalik. Pengumuman rasmi ini dikeluarkan hari ini.

Honda Malaysia hingga saat ini mendakwa belum ada kemalangan di Malaysia dari masalah power window master switch yang berpotensi terbakar jika kaca dibiarkan terbuka dan air hujan masuk ke sela-sela "power window switch" tersebut.

Di Amerika Serikat (AS), Honda menyatakan ada dua kejadian dengan masalah yang sama dan satu kejadian di Afrika Selatan yang mengorbanlan jiwa seorang kanak-kanak berumur dua tahun bernama Vanilla Nurse.

“Kami akan menulis dan memaklumkankan secepatnya kepada para pengguna kereta kami mengenai masalah ini. Kami akan bertanggungjawab untuk penggantian komponen yang bermasalah," ujar Managing Director and Chief Executive Officer Honda Malaysia Toru Takahashi.

Sebelum ini, Toyota telah memohon maaf di atas langkah syarikat itu menarik balik berjuta-juta kereta keluarannya di seluruh dunia berikutan kegagalan pedal minyak yang telah menjejaskan reputasi gergasi automotif Jepun itu dari segi mutu keluarannya.

“Kami benar-benar kesal kerana telah menyebabkan pelanggan berasa tidak senang,” kata Akio Toyoda kepada stesen televisyen NHK, kenyataan pertamanya berhubung perkara berkenaan sejak kejadian itu meluas ke seluruh dunia.

“Ketika ini, kami sedang mengumpul fakta dan menyediakan penjelasan supaya ia dapat menghilangkan kerisauan di kalangan pengguna secepat mungkin,” katanya.

Toyota menarik balik 1.8 juta kenderaannya di Eropah, Jumaat lalu - jumlah terbesar dalam siri penarikan balik itu yang telah menjejaskan kira-kira lapan juta kereta Toyota di seluruh dunia - lebih tinggi daripada jumlah jualan global Toyota tahun lalu yang berjumlah 7.8 juta unit.

Toyota, yang memintas kedudukan General Motors sebagai penjual kenderaan tertinggi pada 2008, berdepan pelbagai isu keselamatan yang menimbulkan tanda-tanya sama ada ia telah mengetepikan soal mutu yang sebelum ini begitu disebut-sebut sehingga menjadikannya pengeluar nombor satu dunia.

Tamparan hebat diterima Toyota apabila ia mengumumkan menarik balik 2.3 juta kereta di Amerika Syarikat (AS) minggu lalu kerana kebimbangan terhadap pedal minyak, masalah sama yang dihadapi 75,000 kereta Toyota di China.

Ia juga menarik balik kira-kira 5.3 juta kenderaan di AS bagi menggantikan alas lantai yang mungkin tersangkut pada pedal minyak.

Sekurang-kurangnya 1.7 juta kereta telah ditarik balik di luar Eropah disebabkan kedua-dua masalah itu, kata Toyota.



Ulasan GB

Toyota, mengingatkan GB mengenai kemalangan yang dialami oleh Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang memandu Toyota Camry, yang terlibat di dalam kemalangan beberapa minggu lalu.

Apakah ia ada kaitan dengan kegagalan pedal yang dimaksudkan, lalu terbabas dan terbalik?


Tindakan UMNO BN Cuba Rampas Selangor Dikecam

Tindakan UMNO BN memperalatkan agensi-agensi kerajaan pusat disamping memperkudakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan Polis untuk merampas Selangor dari Pakatan Rakyat menerima kecaman hebat dari Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor hari ini.

AMK menuntut agar kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) di peringkat persekutuan menghormati mandat rakyat Selangor yang telah memilih Pakatan Rakyat pada PRU-12 lepas.

“Justeru, AMK Selangor menggesa agar kerajaan persekutuan menghormati konsep federalisme yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Ketua Penerangan AMK Selangor, Mohd Ezli Mashut dalam satu kenyataannya hari ini.

Beliau berkata, AMK Selangor mengulangi desakan agar kerajaan persekutuan bersikap profesional mengenai peruntukan dan geran pembangunan yang telah termaktub.“AMK Selangor juga berharap kerajaan persekutuan tidak mensabotaj sebarang usaha untuk membawa pelaburan langsung asing (FDI) ke Selangor,” jelas beliau.

“Kita berharap usaha giat membawa FDI ke Selangor dapat memperbaiki kedudukan ekonomi negara yang kini masih memerlukan pemulihan dan suatu usaha bersepadu kerajaan persekutuan dan negeri,” tambahnya.

Kata Mohd Ezli, “suara pilihan rakyat dalam PRU-12 perlu dihormati. Justeru kerajaan persekutuan di bawah Umno-BN tidak harus menganaktirikan negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat jika pimpinan persekutuan mempunyai jiwa besar memajukan negara.”

“Kita tidak mahu ada usaha-usaha mana-mana menteri persekutuan menghalang mana-mana agensi kerajaan persekutuan untuk berbincang dan bertukar-tukar kepakaran bersama agensi di bawak kerajaan negeri Selangor,” tambahnya.

AMK Selangor juga menggesa agar tiada kekangan dan sekatan peruntukan geran pembangunan yang sepatutnya disalurkan kepada kerajaan Selangor dilencongkan menggunakan apa jua alasan yang tidak profesional dan terkongkong dalam persepsi politik sempit.

“Kita menggesa agar kerajaan persekutuan menghentikan sebarang usaha yang cuba mengganggu-gugat kerajaan Selangor disebabkan perbezaan dan pandangan politik,” ujar beliau.

Sementara itu pemerhati politik berpendapat bahawa tindakan UMNO BN yang memperlatakan agensi kerajaan pusat, SPRM dan Polis untuk menekan bagi menjayakan missi rampas Selangor tanpa menunggu pilihanraya umum sebagai keterlaluan dan tidak boleh dimaafkan rakyat.

"Mereka telah berjaya melaksanakan kudeta di Perak, kini mereka cuba di Selangor dan di Pulau Pinang dibantu pula oleh media-media arus perdana untuk memburuk-burukkan pemerintahan PR di negeri-negeri tersebut," tegas seorang pensyarah IPTA.


Sayalah polis yang tangkap awak (dulu)...

Polis Dan Hak-Hak Asas Anda
Oleh Puspawati Rosman

Hujung minggu lalu ketika saya sedang berehat selepas mendaki Bukit Gasing dan bersarapan pagi, saya telah dihubungi dan dimaklumkan tentang penangkapan sembilan orang mahasiswa oleh polis dan mereka telah meminta bantuan guaman. Penangkapan dikatakan berlaku di sekitar Kuala Lumpur, yang mana pihak polis mendakwa bahawa mahasiswa-mahasiswa tersebut telah terlibat dalam satu perhimpunan haram.

Sejak kebelakangan ini, saya memang mengikuti perkembangan kebangkitan mahasiswa-mahasiswa universiti tempatan kita yang semakin berani menyuarakan pendapat dan ketidakpuasan hati mereka terhadap sistem pentadbiran universiti dan lain-lain isu yang berkaitan dengan kebebasan akademik dan orang ramai secara keseluruhan. Saya pernah menghadiri beberapa siri forum yang mana terdapat beberapa wakil mahasiswa bersuara, dan pendapat yang disuarakan sangat tajam, bernas dan berani.

Rancangan AUKU gagal

Justeru itu, saya tidak terkejut sekiranya kerajaan persekutuan kini sudah mula berasa takut dan risau, walaupun isu yang dibangkitkan oleh golongan mahasiswa ini kebanyakannya adalah isu politik kampus dan bukannya negara, tetapi nampaknya rancangan kerajaan untuk melahirkan lebih banyak lagi mahasiswa-mahasiswa kurang bijak melalui AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti) nampaknya sudah tidak berjaya.

Ketika mahasiswa-mahasiswa tersebut menghubungi saya, saya telah meminta mereka memberikan saya nama pegawai polis yang bertugas dan jikalau boleh, mendapatkan nombor telefonnya sekali. Selepas lebih satu jam, salah seorang rakan mahasiswa yang ditangkap telah memberikan nama pegawai yang bertugas tetapi beliau gagal mendapatkan nombor telefonnnya. Maka saya telah menghubungi sendiri balai polis di mana mahasiswa-mahasiswa tersebut ditahan dan minta dihubungkan dengan pegawai terbabit.

"Sayalah polis yang tangkap awak (dulu)..."

Baru saja saya memperkenalkan diri saya sebagai "Puspa" kepada pegawai polis tersebut yang berpangkat ASP, beliau menyambung "Puspawati Rosman". Jadi saya sangkakan bahawa mahasiswa-mahasiswa yang ditahan telah memaklumkan kepada beliau bahawa saya adalah peguam yang mereka telah hubungi untuk khidmat guaman. Akan tetapi, pegawai tersebut berkata "tidak, tapi saya ingat nama tu. Sayalah polis yang tangkap dan lepaskan awak di Masjid Jamek tahun lepas". Saya tidak tahu reaksi bagaimana yang harus saya berikan selepas mendengar ayat penyata tersebut.

Pegawai tersebut memberitahu saya bahawa beliau adalah pengadu di dalam kes tersebut dan bukannya pegawai yang bertugas, dan pegawai penyiasat masih belum ditentukan untuk kes tersebut. Selepas lebih sejam, saya dan dua orang lagi peguam daripada Pusat Bantuan Guaman, Murnie dan Latheefa pergi bertemu dengan pegawai yang bertugas, yang berpangkat Inspektor.

Pada waktu yang sama, saya telah dihubungi oleh salah seorang daripada mahasiswa yang ditangkap yang memberitahu saya bahawa Inspektor tersebut telah mendesak supaya mereka menghubungi dan menyuruh ibu bapa masing-masing datang ke balai untuk mengikat jamin mereka.

Diperbodohkan oleh polis

Pada pendapat saya, permintaan daripada Inspektor tersebut adalah keterlaluan dan tidak masuk akal. Kebanyakan mahasiswa yang ditahan bukan berasal daripada Kuala Lumpur. Adakah polis sengaja hendak menyusahkan mereka, sedangkan tidak ada peruntukan di dalam mana-mana undang-undang pun bahawa ibu bapa wajib datang ke balai untuk menjamin anak yang sudah cukup umurnya?

Pegawai Inspektor tersebut juga bersikap dingin ketika kami para peguam meminta untuk dibenarkan berjumpa dengan anak guam. Katanya "tak boleh, saya masih menyiasat". Dengan penuh sabar kami bertanya kepada beliau atas dasar apakah permintaan kami ditolak dan Inspektor itu hanya menjawab "pergi periksa undang-undang".

Yang itu memang benar-benar menguji tahap kesabaran saya, kerana itu bukan pertama kali saya rasa diperbodohkan oleh polis. Di dalam Kanun Prosedur Jenayah, terdapat beberapa keadaan di mana hak anak guam untuk berjumpa dengan peguamnya boleh dinafikan, tetapi ia hanya boleh dilakukan oleh seorang pegawai polis berpangkat DSP ke atas atau di atas arahan DSP ke atas, bukan Inspektor. Inspektor di dalam kes masa kini bukan sahaja tidak memberitahu kami atas keadaan yang mana satukah penyebab hak anak guam kami dinafikan, tetapi beliau juga telah menyalahguna kuasa dan pangkat Inspektornya untuk menafikan hak anak guam kami.

Peguam diminta keluar

Selepas bertikam lidah dan membuat beberapa desakan melalui pelbagai cara selama lebih dua jam, akhirnya kami dibenarkan untuk berjumpa dengan anak guam dan menemani mereka memberikan keterangan. Kami pun berpecah. Akan tetapi terdapat satu insiden di mana ketika rakan saya Murnie menemani dua orang mahasiswa memberikan keterangan, tiba-tiba beliau telah diminta keluar daripada bilik siasatan oleh pegawai yang bertugas, kononnya kehadiran beliau di situ menyebabkan anak guamnya enggan memberikan kerjasama apabila memilih untuk tidak menjawab beberapa soalan yang diajukan. Murnie enggan keluar.

Terdapat peruntukan undang-undang di dalam Kanun Prosedur Jenayah di mana seseorang itu berhak berdiam diri atau tidak mahu menjawab soalan yang diajukan ketika siasatan, sekiranya beliau berasakan bahawa jawapan yang diberikan boleh menyebabkan beliau dikaitkan dengan mana-mana jenayah atau penalti atau perlucutan hak. Malah, hak ini wajib dibacakan oleh pegawai penyiasat sebelum proses pengambilan keterangan bermula. Maka salahkah para mahasiswa tersebut menggunakan hak mereka itu?

"Kamu nak buat kacau saje, kan?"

Ketika saya pergi berjumpa dengan Inspektor bertugas yang menyuruh saya memeriksa undang-undang tadi, saya bertanya secara elok kepada beliau berapa ramaikah lagi mahasiswa yang masih belum diambil keterangan mereka, kerana saya mahu berada bersama mereka. Inspektor tersebut membalas "kamu ni nak buat kacau saja kan, tak payahlah". Beliau merujuk kepada insiden yang berlaku ketika Murnie dibenarkan menemani dua orang mahasiswa tadi, dan menunjukkan kertas keterangan dua orang mahasiswa itu kepada saya.

"Ni apa ni? Tak nak jawab soalan! Kamu ni memang mengganggu kerja saya!" Kali ini saya tidak boleh bersabar lagi.

"Puan, ini kan memang hak mereka di bawah seksyen 112(2) Kanun Prosedur Jenayah", kata saya.

"Mana undang-undang pasal hak tu? Tunjuk pada saya!" Reaksi balas Inspektor itu memang memeranjatkan saya. Ini adalah kerana Kanun Prosedur Jenayah mewajibkan seseorang polis itu membacakan hak di bawah seksyen 112(2) tersebut kepada orang yang ditahan sebelum keterangan diambil!

Macam halau anjing...

Perang mulut berlaku di antara kami, yang mana akhirnya Inspektor tersebut mengugut untuk membuat laporan polis terhadap saya selepas saya menyifatkan bahawa cara beliau menghalau saya adalah seperti menghalau anjing.

Secara sindiran, saya serahkan kad saya kepada beliau bagi memudahkan beliau membuat laporan terhadap saya. Selepas itu, saya menuju ke kaunter pengaduan dan membuat laporan rasmi terhadap Inspektor tersebut yang telah menyalahguna kuasanya dan bertindak tidak mengikut undang-undang. Rupa-rupanya, rakan saya Latheefa telah terlebih dahulu membuat laporan polis terhadap Inspektor tersebut atas sebab yang sama.

Tidak lama kemudian, Murnie telah menyertai kami. Beliau memberitahu bahawa Inspektor tersebut telah marah-marah kerana ketika sesi mengambil keterangan. Mahasiswa tersebut tidak memberikan jawapan seperti yang beliau mahukan, dan Inspektor itu menyatakan hasratnya untuk mengambil semula keterangan semua mahasiswa tanpa kehadiran peguam.

Jelas sekali Inspektor tersebut tidak faham dengan peranan sebenar peguam di dalam situasi sedemikian. Dalam apa jua keadaan sekalipun, peguam adalah dilarang melatih dan memberikan anak guam jawapan untuk soalan ketika siasatan. Kami berada di situ hanya untuk memastikan supaya anak guam kami dilayan mengikut undang-undang dan supaya anak guam kami boleh menggunakan segala hak yang diperuntukkan kepada mereka dengan bebas. Ketiga-tiga kami mengeluh.

Walaupun saya tidak dapat menemani anak guam ketika mereka memberi keterangan, tetapi saya tetap menunggu di luar balai bersama-sama dengan kumpulan mahasiswa lain yang memberikan sokongan kepada rakan-rakan mereka yang ditahan. Mereka ini juga telah menguruskan proses ikat jamin dengan bantuan beberapa ahli keluarga mahasiswa yang ditahan. Saya pulang dengan ke rumah dengan keyakinan bahawa mahasiswa-mahasiswa ini sudah mampu mengawal situasi dan menguruskan proses ikat jamin sehingga selesai. Tugas saya berakhir setakat itu sahaja. Mahasiswa yang terakhir dilepaskan pada kira-kira pukul 12:30 tengah malam.

Polis buta undang-undang?

Saya seringkali berfikir di manakah silapnya sistem keselamatan dan kepolisan negara kita, sehingga pegawai polis yang sepatutnya bertanggungjawab menjaga keamanan dan undang-undang sendiri tidak tahu apakah undang-undang dan prosedur yang patut dipatuhi ketika menjalankan tugas (atau mungkin mereka tahu tapi sengaja buat-buat tak tahu?).

Adakah hak asasi orang kena tahan, yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tidak bernilai langsung di mata mereka? Kadangkala saya menyalahkan diri sendiri apabila anak guam saya dinafikan hak untuk mendapat bantuan guaman yang sewajarnya walaupun saya berada dekat dengan mereka, kerana saya tertanya-tanya adakah ia berlaku selepas saya bertindak agresif melawan polis yang buta undang-undang itu?

Tapi, siapa yang mampu menahan sabar dengan manusia yang begitu?

*Puspawati Rosman ialah seorang peguam, juga Ketua Projek Jawatankuasa Kesedaran Undang-undang Pusat Bantuan Guaman (PBG) - Merdeka review

Raub Ghani Terlepas Dari Tindakan Hina Mahkamah

Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Raub Ghani (gambar), yang membuat laporan polis terhadap pakar patologi Thailand berhubung pendedahan laporan bedah siasat kematian Teoh Beng Hock tidak akan dikenakan tindakan menghina mahkamah.

Koroner Azmil Muntapha Abas membuat keputusan itu setelah menolak permohonan abang mendiang, Teoh Meng Kee, supaya pegawai berkenaan dikenakan tindakan menghina mahkamah.

Keputusan itu dibuat setelah mahkamah mengambil kira fakta bahawa pihak Peguam Negara tidak akan mendakwa Dr Pornthip Rajanasunand atas tuduhan membocorkan maklumat laporan forensik bekas setiausaha politik itu, kepada akhbar tabloid tempatan, Suara Keadilan.

"Dalam kes ini, Raub telah pun membuat laporan polis dan siasatan dijalankan oleh pihak polis berhubung dakwaan itu, bagaimanapun kuasa untuk mendakwa adalah terletak pada Peguam Negara dan pihak Peguam Negara telah berpuas hati tiada kes terhadap Dr Pornthip," kata koroner.

Koroner Azmil berkata, beliau turut mengambil kira hujahan panjang lebar yang diberikan peguam Karpal Singh, bagi Meng Kee serta peguam Datuk Abdul Razak Musa bagi SPRM pada 15 dan 22 Januari lalu, sebelum membuat keputusan itu. -Bernama

Kesal SPRM Diperalatkan - Wawancara Bersama Huseein Ahmad S/U Kerja Exco Selangor

Setiausaha Kerja kepada Exco Selangor, Hussien Ahmad dukacita kerana SPRM dipergunakan oleh pihak tertentu untuk membuat pertuduhan fitnah terhadapnya.

Beliau berkata penahanannya oleh SPRM berpunca daripada fitnah anasir-anasir yang tidak berpuas hati kerana gagal mendapatkan kontrak pasir.

Pegawai kanan kepada EXCO Yaakob Sapari itu dibebaskan tanpa syarat setelah ditahan reman selama lima hari minggu lalu.

“Pasir adalah sumber alam yang di bawah YB Yaakob, tapi sebenarnya YB Yaakob sebagai Exco Sumber Alam, tapi pasir ini adalah bawah jagaan anak syarikat kerajaan Selangor yang bernama Kumpulan Semesta Sdn Bhd jadi ini yang berlaku apabila setiap permohonan terpaksa dihantar kepada pihak KSSB, tapi malangnya melihat mereka ini tidak faham prosedur yang sedia ada dan saya terlibat dengan konflik untuk menjatuhkan saya kerana tak dapat kontrak pasir”, katanya yang ditemui baru-baru ini.

Hussein ditemubual dalam program Apa Khabar Selangor terbitan TV Selangor di Shah Alam.

Hussien turut disoal siasat SPRM atas lawatannya ke Hangzhou, China pada Oktober lalu di bawah program lawatan kerja usahawan yang ditanggung kerajaan negeri.

“Kita pergi ke Hangzhou sebagai usahawan, tapi dalam ramai-ramai itu, rupanya terselit 2-3 orang yang kita tak dapat terima keinginan dia itu, yang dia mahu bukannya usahawan, tetapi pasir, tapi kita tak tahu, tuduhan yang kita terima dia kata semasa dalam perjalanan itu pergi Hangzhou, tuduhan dia telah memberi saya 10 ribu yuen untuk saya meluluskan permit pasir dan juga gambar China, apa yang saya tahu, saya tak pernah meluluskan permit pasir, kerana saya tak pernah meluluskan permit pasir dan saya tak boleh meluluskan permit pasir begitu juga YB Yaakob Sapari”, jelasnya lagi.

Beliau tidak menolak kemungkinan tuduhan terhadapnya didalangi oleh golongan terdesak dalam Umno-Barisan Nasional yang mahu menggulingkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN (TVS)



UMNO Kelantan Gerun Untuk Bertindak Ke Atas Ku Li

Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata hanya majlis tertinggi parti yang boleh mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Barisan Nasional Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.(gambar Ku Li turut mengamin doa yang dipohon oleh TGNA -GB)

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai ceramah yang disampaikan oleh Ku Li pada Khamis lalu di Kota Bharu mengenai tuntutan royalti minyak oleh kerajaan negeri Kelantan yang bercangggah dengan pendirian Kerajaan Pusat.

"Perkara ini bukan di bawah bidang kuasa Umno Kelantan," katanya dan menambah "hanya Majlis Tertinggi boleh membuat keputusan terhadap tindakan yang hendak diambil terhadap Tengku Razaleigh."

Mustapa, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ditanya sama ada Umno Kelantan akan bertindak terhadap Ku Li kerana berkata Kelantan harus diberi royalti minyak dan bukan wang ihsan.

Berikutan kenyataan itu, Perdana Menteri dan juga Presiden Umno, Najib Abdul Razak berkata pimpinan parti akan meneliti ucapan Ku Li ketika perhimpunan raksasa menuntut royalti minyak di Stadium Sultan mohammed ke IV di Kota Bharu.

Pada mesyuarat dengan Umno Bahagian Pasir Puteh kelmarin, Mustapa berkata Jawatankuasa Perhubungan Umno akan bertemu Najib untuk memberi cadangan tentang projek-projek yang akan dibiayai dengan wang ihsan.

Mustapa, sebelum ini berkata Kerajaan Pusat akan menyediakan peruntukan RM20 juta wang ihsan kepada Kelantan, iaitu lima peratus dari hasil pengeluaran minyak dan gas di pesisir luar pantai Kelantan untuk tahun 2008. – Bernama

PAS Shah Alam Berdiri Teguh Di Belakang Khalid Samad

Menurut sumber-sumber yang dipercayai Pas Kawasan Shah Alam telah buat mensyuarat tergempar malam tadi untuk bincang isu Khalid Samad yang digantung jawatan sebagai YDP Shah Alam dan jawatan peringkat Pusat selama 6 bulan oleh JK Disiplin Pas Pusat. Antara isu yang dibangkitkan adalah seperti berikut;

1-Pas Kawasan Shah Alam akan hantar surat bantahan atas penggantungan jawatan Khalid Samad sebagai YDP Shah Alam dan AJK Lajnah Politik Pas Pusat kepada JK Disiplin Pas Pusat dan Pas Pusat.

2-Pas Kawasan Shah Alam juga berdiri teguh dan bagi sokongan penuh kepada Khalid Samad yang digantung jawatan

3-Pas Kawasan Shah Alam juga menganggap keputusan JK Disipilin Pas Pusat itu tidak adil dan berat sebelah.

4-Dalam masa yang sama Pas Shah Alam tetap tegas pertahankan Khalid Samad.

5-Seorang Ketua Cawangan turut membangkitkan isu Khalid Samad dilucut jawatan sebagai Timbalan Pesuruhjaya 11 Pas Selangor. Pas Kawasan langsung tidak ada rasa simpati dengan perlucutan jawatan tersebut (hanya bersangka baik ,atas nama wala' kepada pimpinan).Seolah-olah Khalid Samad keseorangan dalam mempertahankan apa yang berlaku dalam Pas Selangor.Ada yang berkata takkan nak tunggu Khalid Samad diambil tindakan ketiga (dipecat daripada Pas).

6-Sepatutnya JK Disiplin Pas Pusat diadili dan dianggotai oleh Majlis Syura untuk jatuhkan hukuman kepada Khalid Samad dan Hasan Ali.

7-Pas Shah Alam rasa sedih dengan keputusan JK Disiplin terhadap Khalid Samad dan akan menjemput wakil JK Disiplin Pas Pusat yang buat keputusan penggantungan Khalid Samad datang ke Pas Shah Alam untuk terangkan keputusan penggantungan jawatan tersebut.

8- Ada yang suruh JK Disiplin Pas Pusat merujuk kepada kenyataan Exco Dewan Pemuda Pas Pusat (Abdullah Abdul Karim) yang turut mempertikaikan keputusan JK Disiplin Pas Pusat terhadap Khalid.Salinan tulisan Abdullah turut diedarkan kepada semua yang hadir mensyuarat tergempar tersebut.

Dalam mensyuarat tergempar itu juga ada yang berkata ,"Curi telor ayam dipenjara 6 bulan ,curi duit beribu hanya diberi amaran". Sama juga orang yang curi lembu .Lembu curi tu siap sembelih, buat kenduri pula jamu orang Pas makan lagi !Lain-lain maklumat belum diperolehi. -misaimerah

PANAS : Ku Li Gesa Kelantan Kaji Kedudukan Dalam Persekutuan

Ahli Parlimen Gua Musang mencadangkan kepada Kerajaan Negeri Kelantan supaya mengkaji semula kedudukan mereka dalam Persekutuan.

Beliau menegaskan kajian itu penting kerana sikap angkuh serta tidak bertanggungjawab Kerajaan Persekutuan yang mengamalkan sikap diskriminasi terhadap Kelantan.

Menurut beliau banyak ketiadakadilan Persekutuan kepada Kerajaan Kelantan terutama dalam pengagihan pembangunan, geran tahunan dan pelbagai kepincangan yang dilakukan terhadap negeri itu.

Sebaliknya, Ku Li menegaskan, Kerajaan Kelantan begitu komited sebagai sebuah negeri yang mendokong kedaulatan undang-undang serta perlembagaan persekutuan.

Antaranya banyak cukai yang kerajaan negeri berikan kepada Persekutuan, menjelaskan hutang kerajaan negeri kepada persekutuan setiap tahun tanpa gagal, walhal hutang berkenaan angkara kerajaan Umno-Barisan Nasional yang memerintah Kelantan dahulu.

Beliau dipetik berkata demikian oleh akhbar rasmi Pas, Harakah selepas sesi penerangan isu royalti minyak kepada rakyat Kelantan di Stadium Sultan Muhamad di Kota Bharu, baru-baru ini.

TV Selangor sedang mendapatkan reaksi daripada Kerajaan Kelantan berhubung kedudukan itu. -TVS

Majlis Tertinggi SUPP Sertai Pakatan Rakyat

Ketika gerombolan BN sibuk melobi dan cuba merasuah pimpinan Pakatan Rakyat (PR) termasuk wakil rakyatnya agar melompat parti, pada hari ini pemimpin mereka pula yang berhijrah untuk menyertai Pakatan Rakyat.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Pengerusi DAP Sarawak, Chiew Chiu Sing kepada erapakatan.com di sini hari ini.

Menurut Chiew, ahli Majlis Tertinggi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Wong Chin Yong secara rasminya telah meninggalkan parti lamanya itu untuk menyertai gagasan PR melalui DAP.

“Beliau memohon menyertai DAP sejak Jumaat lalu dan hasil mesyuarat kepimpinan parti (DAP) hari ini, kami sebulat suara bersetuju untuk menerima beliau,” katanya.

Beliau memberitahu, Wong Chin juga telah membayar yuran keahlian RM100 sekaligus menjadi ahli DAP seumur hidup.

“Kita juga tidak menawarkan apa-apa jawatan kepada beliau dan permohonannya untuk menyertai DAP diterima atas dasar komitmennya yang konsisten dalam perjuangan dan itu selari dengan dasar parti,” tambahnya.

Chiew yang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Kidurong menjelaskan, Wong Chin ialah seorang pemimpin kanan kepada Menteri Muda Sarawak, iaitu Dr. Soon Choon Teck dan ini pastinya akan memberi tekanan kepada SUPP yang dilanda krisis sejak akhir-akhir ini.

Untuk rekod, dalam pilihanraya negeri Sarawak 2006, SUPP kehilangan lapan kerusi Dun dan ia merupakan antara kekalahan terburuk dalam sejarah parti itu.

SUPP juga merupakan satu-satunya sekutu BN yang hilang kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum (PRU), 8 Mac 2008 serta dipingggirkan oleh Ketua Menteri Taib Mahmud dalam rombakan kabinet negeri baru-baru ini walaupun parti itu merupakan rakan setia BN di Sarawak sejak sekian lama.

Sarawak dijangka akan berdepan dengan pilihanraya negeri dalam masa terdekat dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dipercayai telah menemui Taib Mahmud baru-baru ini. -erapakatan

PAS Perlukan Pelan Hala Tuju Program Transformasi Jemaah

Rakyat sedang menilai PAS, PR

Pilihan raya Umum mungkin akan berlaku dalam masa setahun atau lebih. Pilihan raya kecil di Perak juga tidak mustahil akan berlaku dalam masa terdekat. Adakah gelombang perubahan rakyat akan berlaku lagi jika pilihan raya diadakan? Adakah rakyat di sesetengah tempat masih setia menyokong PAS dan PR?

Kepimpinan dan penyokong PAS serta PR perlu tahu dan faham bahawa rakyat sedang menilai kemampuan parti dokongan mereka. Parti yang mahu menggantikan Umno mestilah lebih mantap dan kuat. Begitu jugalah jika Pakatan Rakyat (PR) mahu menggantikan Barisan Nasional.

Kekalutan beberapa pemimpin PR yang dihadapkan ke Lembaga Disiplin Parti menunjukkan PR sendiri tidak mantap dan mudah goyah. Pemimpin pusat dilihat tidak mampu mentarbiah pemimpin dan ahli bawahannya. Dengan kata lain, beberapa ahli parti gagal memahami konsep serta gagasan parti dan Pakatan Rakyat itu sendiri.

Tuduh-menuduh, menyaman serta mengeluarkan kenyataan media di kalangan ahli parti dan Pakatan sepatutnya tidak berlaku. Media arus perdana memang telah berjaya memainkan isu bagi kepentingan Umno.

Begitu juga kenyataan umum seperti penggunaan kalimah Allah, keagamaan serta isu-isu nasional perlu dikeluarkan melalui saluran pusat. Komen yang didedahkan kepada media tanpa melalui saluran pusat boleh menjejaskan imej parti.

Untuk semua ahli dan penyokong PAS serta PR, kembalilah kepada konsep berparti. Apa hebatnya jika niat yang disangka baik boleh merosakkan parti itu sendiri? Parti yang mantap sudah tentu mempunyai saluran tertentu bagi meluahkan ketidakpuasan hati ahlinya. Persoalannya, mengapa saluran berkenaan tidak digunakan?

Adakah kita mahu tujuan murni Pakatan Rakyat menggantikan Kerajaan Barisan Nasional berkubur begitu sahaja disebabkan kerenah beberapa pemimpinnya. Justeru itu tindakan Lembaga Disiplin dilihat sangat wajar.

Ketahuilah, kelemahan Umno tiada memberikan apa-apa makna jika PAS dan Pakatan semakin lemah. Jangan kerana kepentingan peribadi, kepercayaan dan harapan rakyat dilupakan begitu sahaja. Semoga apa yang terjadi akan lebih mematangkan PAS dan PR. - Seri Terengganu


Ulasan GB

Tulisan di atas menggambarkan satu sikap tradisional PAS yang masih ada di kalangan ahlinya.

GB telah mengulas mengenai keperluan pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli PAS menyedari bahawa perjuangan PAS di era baru adalah berbeza, perjuangan yang tidak boleh mengikut rentak hari semalam. Maka itu PAS perlukan Pelan Hala Tuju Program Transformasi Jemaah.

Seperti yang GB pernah katakan di sambutan Maal Hijrah, PAS kini sedang melalui proses perkembangan dan kematangan sebagai sebuah organisasi dakwah dan politik sehingga timbul fenomena yang dilihat seperti ianya digoncang sekuat-kuatnya bagi melihat keutuhannya untuk mengharungi cabaran di era baru.

Zaman transisi dari sebuah organisasi dakwah yang sifatnya begitu tradisional kepada sebuah organisasi yang progresif untuk berdepan dengan cabaran-cabaran baru seperti globalisasi, ledakan teknologi maklumat, diikuti dengan kehadiran golongan masyarakat yang berdasarkan pengetahuan (k-community) dan seumpamanya memerlukan perubahan kepimpinan dan struktural organisasi.

Ia sekaligus menyaksikan sudah berlalunya zaman "zon selesa" untuk pemimpin dan organisasi parti untuk sekadar mempertahankan status quo.

Kita perlu renungkan mengenai kepincangan yang sedang dialami oleh PAS kini, sebagai satu bahan penelitian untuk menerima seadanya apa yang berlaku kini sebagai satu "sunnatullah" untuk mentransformasikan PAS kepada sebuah organisasi dakwah dan politik yang lebih berjaya yang mampu menghadapi tantangan kontemporari.

Suka atau tidak suka, perubahan pasti berlaku. Tidak ada dua hari yang bernar-benar serupa pada manusia dan sekalian alam, begitulah kepada PAS. Kesemua faktor perubahan berlaku dengan mengakui adanya nilai konstans - iaitu dasar perjuangan yang tetap.

Hari ini tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi lagi. Kejayaan dan kegagalan, kekuatan dan kelemahan sesbuah organisasi dan kepimpinannya diteliti, dibedah, disiasat, dianalisa dan didokumentasikan di bilik-bilik kuliah universiti di dalam pelbagai matapelajaran di dalam bentuk "case study" dan PAS tidak terlepas darinya.

Malah dalam beberapa keadaan ia kini menjadi desertasi untuk seseorang bergelar sarjana dan pemegang PhD.

Zaman untuk merajuk, zaman untuk bersembunyi, zaman untuk mempertahankan sikap "futur" (lembab) telah tersangat semalam.

Persoalan "adab jemaah" yang ditimbulkan oleh beberapa rakan di lingkaran usrah-usrah kini perlu ditafsirkan dengan parameter baru. "Adab jemaah" bukan lagi dengan mengakui keperluan untuk mengkritik secara berbisik atau apa yang dikatakan "mengikut saluran parti". Cara itu sudah terlalu semalam, sudah ketinggalan zaman.

Kini sudah ada istilah-istilah baru yang mengambil tempat yang diterima sebagai "adab jemaah", seperti "wistle-blowing" - satu kaedah di mana ahli organisasi mendedahkan kepincangan yang dikesannya secara terbuka, "pengurusan strategik" di mana penetapan visi, misi dan objektif organisasi dibuat secara telus dan dipacu bersama oleh pemimpin dan ahli serta "etika professional" dimana nilai-nilai sejagat diakui diterima pakai oleh segenap lapisan petugas dan pekerja organisasi.

Mereka yang berdiam diri dan menjadi pak angguk terhadap kepincangan dan kesalahan serta berrahsia untuk menutup kelemahan sudah dilihat sebagai "tidak beradab" malah dikira bersubahabat dengan kegagalan organisasi di zaman kontemporari ini.

Tanpa melupai fakta bahawa sebagai sebuah organisasi dakwah, PAS akan menghadapi tribulasi-tribulasi, tetapi di dalam bentuk baru. PAS akan menempuh gelombang tribulasi Badar, Uhud dan Khandaqnya sendiri, malah PAS akan mengharungi "Perjanjian Hudaibiyah" dan "fathul Makkah"nya sendiri.

Sebagai entiti politik pula PAS perlu bersedia untuk berdepan dengan mehnah baru. Perlu memperlengkapkan diri untuk diheret ke mahkamah bila-bila masa. Perlu bersedia menghadapi tantangan daripada ahlinya sendiri yang akan mencabar kepimpinan yang futur (lembab). Perlu menerima hakikat bahawa struktur yang ada boleh dirombak bila-bila masa pabila ia dilihat sudah tidak mampu menatangi zamannya. Kitar hayatnya (Life cycle) akan menetapkan bahawa proses kematangan parti tidak lagi menunggu pasang-surut sokongan terhadapnya.

Sebagai entiti politik zaman baru juga PAS perlu sentiasa melakukan penyelidikan dan analisa SWOT (Strength, Weakness, Opportunities, Waknessess)nya sendiri. Perlu melakukan matriks pengurusan dan kajian "market share" yang diperolehi untuk mengetahui kedudukan dan status quo dirinya berbanding dengan parti-parti politik lain.

Pemimpin PAS yang secara sesuka hati cuba untuk memanipulasi dan mengubah haluan perjuangan untuk disesuaikan dengan pemikiran mereka semata-mata akan segera dihidu, didedahkan dan ditentang habis-habisan kerana itu adalah adalah perkara dasar yang tidak wajar dirombak sesuka hati, dasar perjuangan adalah nilai konstan sedangkan perubahan-perubahan tatacara berorganisasi itu tetap satu keperluan dimana jaya-gagal maju-mundur sesebuah organisasi ditentukan oleh angkubah-angkubah selain dari faktor konstan tersebut.

Faktor wala' pula bukan sesuatu yang boleh dipaksa-paksa. Pemimpin perlu menzahirkan kredibiliti dan integriti kepimpinan bagi mendapatkan wala' pengikutnya.

Di dalam organisasi dan jemaah zaman kini, pemimpin yang kuat tidurnya, pemimpin yang hanya pandai berkata tapi tak rajin bekerja, pemimpin futur, wajib dan perlu dipaksa untuk turun demi untuk menyelamatkan jemaah dan ummah dari terus ketinggalan dan hanyut dialun gelombang zaman. Inilah diantara perkara-perkara yang perlu di re-tune oleh PAS untuk menjadi jemaah yang berkredibiliti dan progresif.

Dokongan kepemimpinan yang memberdayakan (empowerement) amat kritikal, ertinya memberikan contoh tauladan yang baik, mendelegasi dan melahirkan sebuah gerakan yang bermaklumat.


Al Marhum Prof Zulkifli Muhammad berkata:

".... ingatlah bahawa tidak ada kebenaran yang menang dengan tidak bekerja, dan tidak ada kejahatan yang kalah kalau dia bekerja. "