4 Apr 2010

Skandal Hospital Shah Alam, PAC Perlu Siasat Pemberian Tender

Masalah pembinaan Hospital Shah Alam yang ditunggu-tunggu penduduk bandar raya ini sejak sekian lama tetapi tertangguh berikutan karenah subkontraktor, menunjukkan keburukan amalan sistem rundingan terus.

Hal ini ditegaskan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Phua berhubung masalah yang menimpa Hospital Shah Alam bernilai RM482 juta yang dijadual dibuka November ini.

"Saya rasa masalah Hospital Shah Alam adalah satu contoh untuk menunjukkan kelemahan kepada kerajaan Barisan Nasional yang menawarkan kontrak secara terus kepada kontraktor.

"Ia membawa kesan buruk kepada kerajaan di seluruh negara. Bukan Hospital Shah Alam sahaja, sebelum ini pun kita ada banyak kes. Hospital di Alor Gajah, hospital di Tuaran sudah dibina tapi tidak ada katil.

"Selain itu, hospital di Johor Bahru pun banyak masalah," katanya kepada TV Selangor.

Pemegang kontrak Hospital Shah Alam, Sunshine Fleet Sdn Bhd kini mengalami masalah kerana berdepan kemungkinan diisytihar bankrap selepas gagal membayar tuntutan RM10 juta oleh subkontraktornya, GMH Healthcare Sdn Bhd.

Mengikut laporan Malasyia kini, Sunshine Fleet, pada mulanya memberi kontrak itu kepada Isyoda Corporation Berhad.
Isyoda kemudian gagal menyiapkan projek itu selepas dikeluarkan dari Bursa Malaysia dan dalam proses diisyitihar bankrap.

Projek itu diambil alih pula GMH yang terpaksa membayar Isyoda 10 juta ringgit bagi pihak Sunshine Fleet sebagai bayaran bon pendahuluan.

Tony Phua mendesak perkara itu disiasat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) kerana ia berkaitan masalah pemberian kontrak melalui rundingan terus walaupun mengikut pengumuman awal, ia akan dilakukan menerusi sistem tender terbuka.

Beliau menyifatkan rakyat marhaen menjadi mangsa dalam kes berkenaan berikutan pembinaan Hospital Shah Alam itu penting bagi mengurangkan beban yang ditampung Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang. -TVS


Sub-kontraktor hospital Shah Alam tuntut hutang RM10j

Sub-kontraktor pembinaan Hospital Shah Alam, GMH Healthcare, telah menghantar surat tuntutan hutang pinjaman berjumlah RM10 juta, kepada kontraktor turnkey pembinaan hospital bernilai RM482 juta itu - Sunshine Fleet.

Sehubungan itu, Sunshine Fleet milik adik Sultan Selangor - Tengku Putri Arafiah Sultan Abd Aziz Shah - berdepan dengan kemungkinan diisytihar muflis kerana didakwa gagal membayar balik hutang tersebut.

Perkembangan terbaru ini mungkin mengakibatkan kelewatan menyiapkan pembinaan hospital tersebut.

GMH telah mengeluarkan notis tuntutan itu, bertarikh 31 Mac mengikut Seksyen 218 Akta Syarikat 1965, kepada Sunshine Fleet milik adik Sultan Selangor, Tengku Putri Arafiah Sultan Abd Aziz Shah.

Seksyen tersebut menyebut bahawa mahamah boleh mengeluarkan perintah penggulungan sekiranya syarikat terbabit gagal membayar hutangnya. Jika perintah itu dikeluarkan, aset syarikat berkenaan akan dirampas dan digunakan untuk membayar hutangnya,

Dalam surat tersebut yang diserahkan kepada Sunshine Fleet Khamis lalu, GMH menuntut syarikat Tengku Arafiah - yang merupakan kontraktor utama projek pembinaan Hospital Shah Alam - membayar jumlah dihutang berkenaan.

Sunshine Fleet dimiliki oleh Tengku Arafiah (70%), anak lelakinya Putera Azamuddin Shah Abdul Aziz (10%), dan bapa saudaranya, Tengku Abdul Samad Shah Sultan Salahuddin Abdul Aziz.

Selepas memenangi kontrak tersebut pada 2007, projek itu disub-kontrak oleh Sunshine Fleet kepada syarikat pembinaan Isyoda. Bagaimanapun Isyoda gagal menyiapkan projek tersebut selepas ia dinyah-senarai dari Bursa Malaysia, dan kini dalam proses diisytiharan muflis.

Projek tersebut kemudiannya disub-kontrak kepada GMH.

GMH mendakwa, selepas ia mengambil alih projek tersebut tahun lalu daripada Isyoda, ia telah membayar RM10 juta bon dengan Jabatan Kerja Raya bagi pihak Sunshine Fleet.

Menurut prosedurnya, bon tersebut perlu dibayar oleh kontraktor turnkey Sunshine Fleet selaku pemegang kontrak utama.

Sunshine Fleet mempunyai tempoh 21 hari dari tarikh menerima surat tersebut, untuk membayar balik RM10 juta atau berdepan dengan tindakan selanjutnya. -malaysiakini



Formula One : 1-2 Untuk Red Bull Di Grand Prix Malaysia 2010

Dua orang pelumba dari pasukan Red Bull berjaya memenangi perlumbaan Formula One Grand Prix Malaysia petang ini dengan kedudukan 1-2 dan diikuti dengan pasukan Mercedes GP di tempat ketiga.

Sebastian Vettel yang merampas tempat pertama dari rakan sepasukan, Mark Webber berjaya mengekalkan pemanduan dari mula hingga ke garisan penamat.

Nico Rosberg dari pasukan Mercedes GP pula di tempat ketiga mengatasi Robert Kubica dari pasukan Renault di tempat keempat dan Adrian Sutil dari Force India-Mercedes di tempat kelima.

Tujuh pelumba terkeluar, termasuklah juara Michael Schumacher yang menghadapi masalah teknikal di keretanya pada pusingan yang kesepuluh dan pemandu kereta Lotus 1Malaysia, Kovalainen yang terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal akibat kerosakan setelah bergesel apabila memotong Di Grassi pada pusingan ke 12.

Yang lain yang terkeluar ialah De La Rosa, Glock, Liuzzi dan Petrov.

Seorang lagi pemandu Lotus 1Malaysia, Jarno Trulli berjaya menamatkan perlumbaan sekalipun ditempat yang terakhir (tempat ke 17).

Dengan perlumbaan hari ini, keseluruhannya Felipe Massa, pemandu Ferrari masih mengatasi pemandu-pemandu lain dengan 39 mata, manakala Alonso (Ferrari) dan Vettel (Red Bull) mendapat 37 mata, Jenson Button dan Nico Rosberg masing-masing 35 mata.

Di kategori pasukan, Ferrari didepan dengan 76 mata diikuti McLaren Mercedes 66 mata, RBR Renault tempat ketiga dengan 61 mata, Mercedes GP 44 mata dan Reanult 40 mata.







Hulu Selangor : Muhyiddin Tabur Rasuah Politik, Kenapa SPR Dan SPRM Diam?

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) mengecam tindakan desperado UMNO-BN memenangi undi rakyat Hulu Selangor dengan menaburkan rasuah politik yang keterlaluan.

Ini dapat dilihat melalui kunjungan Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin ke Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (Semashur) semalam, di mana kempen politik UMNO-BN terus-menerus dilaksanakan di kalangan guru yang dipaksa berhimpun di sekolah tersebut.

Di dalam lawatan yang sama, Muhyiddin telah dilihat melaksanakan tiga janji pembangunan yang sama sekali bersifat politik iaitu:

(i) mengumumkan penubuhan sebuah sekolah menengah dan tiga sekolah rendah di kawasan Hulu Selangor;
(ii) peruntukan RM2 juta untuk penyelesaian masalah banjir di Kampung Sentosa, Batang Kali; dan
(iii) peruntukan RM100,000 untuk pembaikpulihan dan pembelian van jenazah Masjid Al-Sajdin, Kampung Sentosa.

Pertamanya, ini jelas bercanggah dengan Perkara 10 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 (Pindaan 2006) yang menyebut seseorang didapati bersalah atas kesalahan melakukan sogokan apabila:

"tiap-tiap orang yang, sebelum, semasa atau selepas sesuatu pilihan raya, secara langsung atau tidak langsung, dengan sendiri atau melalui mana-mana orang lain bagi pihaknya, memberikan, meminjamkan, atau bersetuju untuk memberikan atau meminjamkan, atau menawarkan, menjanjikan, atau berjanji untuk mendapatkan atau berusaha untuk mendapatkan, apa-apa wang atau balasan bernilai kepada atau untuk manamana pemilih atau pengundi, atau kepada atau untuk mana-mana orang bagi pihak mana-mana pemilih atau pengundi atau kepada atau untuk mana-mana orang lain, bagi mendorong mana-mana pemilih atau pengundi supaya mengundi atau tidak mengundi, atau yang secara rasuah melakukan apa-apa perbuatan yang disebut terdahulu oleh sebab pemilih atau pengundi itu telah mengundi atau tidak mengundi dalam mana-mana pilihan raya.."

Kedua, AMK melihat tindakan ini adalah satu tindakan terdesak yang sangat drastik, dalam keadaan penamaan calon baru sahaja diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) hari ini, dan itupun tarikhnya melangkau dua minggu dari tarikh semasa.

Tindakan menawarkan pembangunan mi segera seumpama ini bukanlah sesuatu yang menghairankan dalam strategi UMNO-BN untuk memancing undi, apatah lagi saban waktu pilihanraya kecil, rakyat setempat akan sentiasa ditawarkan ganjaran pembangunan yang mendadak meskipun pembangunan tersebut tidak dapat rakyat kecapi selepas 50 tahun pemerintahan UMNO-BN.

DUN Batang Kali misalnya, merupakan kawasan DUN yang menjadi kubu kuat UMNO-BN turun temurun, malah pernah melahirkan seorang Menteri Besar iaitu Muhammad Muhd Taib, tetapi jika dilihat keadaan semasa, ianya jauh lebih mendukacitakan jika hendak dibanding dengan kawasan-kawasan di Pantai Timur seperti Kelantan yang diperintah oleh PAS-Pakatan Rakyat.

Apakah UMNO-BN merasakan bahawa 'fasa pembodohan rakyat' yang mereka jalankan tahun demi tahun melalui taburan pembangunan mi segera seumpama ini mampu menawan hati rakyat di sebalik pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor selama dua tahun?

Rentetan daripada ini, AMK akan mengemukakan bantahan kepada SPR mengenai taburan pembangunan mi segera ini yang jelas merupakan satu bentuk rasuah politik yang sewajarnya dibendung oleh SPR dan SPRM. Ini merupakan satu cabaran terbuka buat Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru, Abu Kassim Mohamed yang mahu mengembalikan keyakinan masyarakat ke atas integriti SPRM.

AMK mencabar Perdana Menteri, Najib Razak untuk menjadi jantan dengan berhadapan Pakatan Rakyat secara 'gentleman' tanpa menggunakan sebarang instrumen kerajaan seperti Kementerian Kewangan dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) untuk membanjirkan Hulu Selangor dengan projek pembangunan mi segera.

*Kenyataan media oleh Shamsul Iskandar Mohd Akin selaku Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia.

Siapa Kata Tiada Pengundi Hantu Di Hulu Selangor? 300 Dikesani Di Gedangsa

Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil Parlimen P094 Hulu Selangor masih ada 12 hari namun usaha jahat Umno-Barisan Nasional untuk membawa masuk pengundi hantu dan memanipulasi daftar pemilih sudah bermula secara senyap.

Terbaru Ranting KEADILAN Kalumpang mendakwa terdapat 300 pengundi berdaftar yang disenaraikan bagi kuarters anggota polis Gedangsa yang tidak wujud.

Menurut ketua ranting, Zulrushdi Ismail, Balai Polis Gedangsa sediada yang terletak di Kuala Kubu Baharu hanya mempunyai 10 anggota yang bertugas sementara kuarters penginapan ahli keluarga mempunyai kira-kira 120 penghuni.

"Kami sudah periksa lokasi di mana kononnya kuarters itu dibina tetapi tempat itu kosong, malah kami sudah mengambil gambar dan akan kemukakan bukti kepada pihak Cabang Hulu Selangor untuk tindakan susulan.

"Disamping itu kami juga akan mendapatkan senarai pengundi yang bertukar alamat ke Hulun Selangor bagi tempoh bulan Januari 2010 hingga April 2010. Selalunya purata hanya membabitkan 10-50 pengundi sahaja dan kalau ada peningkatan mendadak ini bermakna Umno-BN membawa pengundi luar yang menggunakan alamat di Hulu Selangor untuk mengundi dalam pilihan raya ini," kata Zulrushdi.

Beliau berkata KEADILAN akan sentiasa memantau daftar pengundi terkini akakn membuat pemeriksaan teliti bagi menyaring pengundi yang menragukan menjelang PRK Hulu Selangor 25 April depan. -SK

Ulasan GB

Apakah ini termasuk 2561 "pengundi baru" yang diumumkan oleh SPR?





Hulu Selangor :Analisis dan Faktor Kemenangan PR

Desas-desus awal tahun 2010 ialah pilihan raya kecil P.094 Hulu Selangor bakal diadakan berikutan keadaan ahli parlimennya, Dato' Dr Zainal Abidin Ahmad (KeADILan) yang menjalani pembedahan di Hospital Pantai. Perkara itu disahkan menerusi blog Dato Seri Anwar Ibrahim, 18 September 2009). Maka, sejak itu timbul sangkaan kemungkinan kekosongan kerusi bagi parlimen Hulu Selangor.

Selepas itu, pada Januari 2010 timbul lagi propaganda BN yang memainkan isu kononnya berlaku peletakan jawatan ahli parlimen Hulu Selangor, Dr. Zainal Abidin Ahmad. Namun perkara itu dibidas oleh pimpinan PKR dalam Majlis Makan Malam anjuran KeADILan Hulu Selangor pada 2 Januari lalu. Tan Sri Khalid Ibrahim menegaskan, tiada kekosongan bagi parlimen itu dan Dr. Zainal akan bertugas seperti biasa.

Menurut Pengarah Strategik PKR, Tian Chua Chang berkata, timbul peletakan jawatan MP Hulu Selangor itu ada kaitannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib akan mengadakan satu program Umno di kawasan itu. Sedangkan sebelum ini, sepanjang menjadi Timbalan Perdana Menteri beliau tidak pernah datang di Hulu Selangor sejak 10 tahun lalu termasuklah di era Abdullah Ahmad Badawi.

Namun, takdir Ilahi siapa yang sangka. Pada jam 9.30 malam Jumaat 25 Mac lalu, ahli parlimen Hulu Selangor, Dr. Zanal Abidin telah kembali ke rahmatullah di rumahnya dekat Jalan Cheras, Kajang selepas mengalami barah otak sejak sekian lama.

Dalam rakaman takziah Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (Harakahdaily, 26 Mac) menzahirkan bahawa pemergian Zainal itu bukan sahaja dirasai oleh ahli keluarga Allahyarham dan penduduk Hulu Selangor, tetapi juga merupakan satu kehilangan besar kepada seluruh pejuang keadilan ke arah perubahan politik yang lebih baik di Malaysia. Beliau juga berharap semoga seluruh anggota keluarga beliau bersabar dengan ketentuan dan ujian dari Allah SWT ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim pula dalam rakaman takziahnya menyatakan pemergian beliau, seorang sahabat dan rakan seperjuangan, pastinya amat dirasai. Persahabatan kami bermula tatkala di Universiti Malaya lagi.

“Kami bersama-sama bergiat dalam PBMUM memperjuangkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Allahyarham merupakan sosok sederhana dan murah dengan senyuman. Namun ketegasan menentang kezaliman membuatkan beliau memilih wadah Keadilan.

Rakaman takziah parlimen

Sementara pada Isnin lalu (29 Mac), Persidangan Dewan Rakyat menghadiahkan bacaan al-Fatihah dan bertafakur seketika serta mengucapkan takziah atas pemergian Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad itu. Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata anggota Dewan dan pihak Parlimen seluruhnya merakamkan ucapan takziah dan mendoakan semoga tuhan mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan di antara roh orang yang soleh.

Pilihan raya kecil

Ekoran daripada kematian itu, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah bermesyuarat pada hari ini (2 April) bagi mengadakan pilihan raya kecil. Keptusan mesyuarat itu diumumkan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof iaitu tarikh penamaan calon jatuh pada Sabtu 17 April dan pengundian pada Ahad 25 April. Ini bermakna SPR dan parti-parti politik (BN dan Pakatan Rakyat) mempunyai masa 15 hari lagi ke arah persiapan penamaan calon. Sementara tempoh rasmi berkempen adalah tujuh hari bermula sehari selepas pencalonan dan tamat sehari sebelum pengundian. Ini bermakna pihak SPR telah memperuntukkan tempoh kempen paling singkat seperti mana pilihan raya kecil Bagan Pinang (pencalonan 3 Oktober, pengundian 11 Oktober 2009).

Tempoh kempen yang singkat sudah tentu akan memberi kelebihan kepada BN, kerana keupayaan jentera kempen BN akan menggunakan semua aparatus kerajaan Pusat, termasuk penglibatan langsung semua kementerian dan menteri berkaitan. Pun begitu, tempoh kempen singkat dikatakan sesuai dengan keadaan kemelut ekonomi sekarang, dan ia sudah tentu dapat menjimatkan perbelanjaan parti-parti berkempen.

Pilihan raya umum 2008

Kemenangan Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari KeADILan di parlimen Hulu Selangor pada pilihan raya umum (PRU) 2008 adalah kemenangan tipis. Allahyarham menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel dengan majoriti tipis hanya198 undi. KeADILan memperoleh 23,177 undi, manakala BN mendapat 22,979 undi. Jadual 1 berikutnya adalah butiran keputusan PRU 2008 bagi parlimen Hulu Selangor.

Jadual 1:

PRU 2008:keputusan P.094 Hulu Selangor




Kemenangan KeADILan adalah mewakili Pakatan Rakyat dan kekalahan MIC adalah kekalahan BN. Menurut demokrasi, keputusan pilihan raya umum lalu adalah satu bukti penolakan rakyat kepada BN. Meskipun keputusan itu pada majoriti tipis, ia cukup untuk mengatakan bahawa rakyat Hulu Selangor sudah menolak BN dan calon MIC.

Analisis keputusan PRU 2008

Berpandukan pemerhatian kepada keputusan PRU 2008 di parlimen Hulu Selangor, menunjukkan Pakatan Rakyat lebih popular berbanding BN. Namun, keputusan di dewan undangan negeri (DUN) untuk ketiga-tiga DUN dalam parlimen Hulu Selangor membuktikan Pakatan Rakyat begitu tercorot berbanding BN. Pakatan Rakyat telah kalah kesemua tiga DUN (N.05 Hulu Bernam, N.06 Kuala Kubu Baharu, dan N.07 Batang Kali). Calon Pakatan Rakyat yang bertanding di DUN adalah diwakili parti PAS di Hulu Bernam, DAP di Kuala Kubu Baharu dan KeADILan di Batang Kali.

Namun, keputusan PRU 2008 itu (seperti dalam Jadual 1) boleh dikatakan sebagai kemenangan terpilih ekoran daripada pengaruh peribadi Allahyarham Dr Zainal Abidin mengatasi Palanivel. Sudut pandangan ini dilihat logik apabila membandingkan keputusan PRU 2008 dengan PRU 2004.

Pada PRU 2004, jelas didapati pengaruh Pakatan Rakyat jauh tercorot berbanding BN, apabila mencapai kemenangan dengan majoriti besar sebanyak 14,483 undi sedangkan PRU 2008 BN tewas hanya 198 undi.

Bandingan populariti pengaruh Pakatan Rakyat dengan BN bagi dua pilihan raya umum tersebut digambarkan dalam Jadual 2 berikut.

Jadual 2:

Bandingan PRU 2004-2008: P.094 Hulu Selangor



Secara jelas, undi Pakatan Rakyat dari PRU 2004 ke PRU 2008 melonjak besar sebanyak 9,853 undi dan BN pula merosot 4,828 undi. Sokongan pengundi kepada Dr. Zainal Abidin amat kuat, mungkin kerana Allahyarham adalah bekas Timbalan Menteri Besar ketika Anwar Ibrahim masih dalam Umno. Pencalonan beliau di Hulu Selangor telah mengubah sokongan pengundi yang menolak BN di kubu BN yang diwakili MIC.

Hakikat tersebut dianggap benar apabila membandingkan undi-undi diperoleh calon-calon DUN dalam parlimen Hulu Selangor dari Pakatan Rakyat dalam PRU 2008. Pakatan Rakyat didapati telah kalah di semua DUN dengan purata 2,118 undi. Jadual 3 berikut menjelaskan analisis ini di setiap DUN.

Jadual 3:

PRU 2008:keputusan setiap DUN di Hulu Selangor



Daripada Jadual 3, menunjukkan kekalahan terbesar Pakatan Rakyat berlaku di DUN Hulu Bernam, diikuti Batang Kali dan Kuala Kubu Baharu. PAS bertanding Hulu Bernam mungkin kalah teruk kerana kira-kira 1,000 pengundi Orang Asli dan Melayu luar bandar tidak bersedia melakukan perubahan. Sementara DAP kalah tipis di Kuala Kubu Baharu, dikaitkan dengan sokongan agak baik kalangan pengundi Cina dan India kerana di situ komposisi pengundi melebihi 50 peratus bukan Melayu. Di DUN Batang Kali pula adalah DUN campuran kaum yang ditandingi calon KeADILan, namun pengaruh BN khususnya Umno agak kuat di kalangan orang Melayu. Mungkin kerana DUN ini adalah tapak politik asal bagi bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Mohd Taib.

Justeru itu, kemenangan Pakatan Rakyat pada PRU 2008 lalu adalah kuat dipengaruhi oleh faktor peribadi Allahyarham Dr Zainal Abidin yang merupakan tokoh politik lama berkecimpung dalam Umno (sebelum menyertai KeADILan) dan banyak berjasa kepada rakyat.

Peluang Pakatan rakyat di Hulu Selangor

Secara bandingan undi Pakatan Rakyat yang diperoleh di DUN dengan parlimen didapati perbezaannya agak besar, kira-kira 3,069 undi lebih besar di parlimen. Jadual 4 berikut menerangkan fakta ini.

Jadual 4:


Tanggapan umum, sudah pasti rahsia besar Pakatan Rakyat boleh menang di parlimen pada PRU 2008 lalu adalah kombinasi isu-isu politik ketika itu dan disokong kuat oleh pengaruh peribadi calon Pakatan Rakyat, Dr. Zainal Abidin. Sebenarnya pengaruh isu politik hanya berupaya melonjak sokongan kira-kira 9,000 undi sahaja. Namun, sokongan peribadi kepada Allahyarham Dr. Zainal Abidin mampu menarik kira-kira 800 undi lagi. Atas jumlah undi inilah, Pakatan Rakyat menang di parlimen Hulu Selangor.

Sehubungan itu, peluang Pakatan Rakyat untuk menang pada pilihan raya kecil nanti amat kuat bergantung pada siapa calon yang boleh mengatasi pengaruh peribadi calon BN. Atas hujah ini, rasanya Pakatan Rakyat tidak ketandusan tokoh untuk diberi mandat bertanding. Mungkin ia terletak kepada keputusan parti KeADILan yang memiliki status-quo bertanding di kerusi Hulu Selangor untuk menentukan calon nanti.

Apa yang penting Pakatan Rakyat sewajarnya rasional dan membuat pertimbangan tepat bagi memenangi hati pengundi. Keutamaannya hendaklah kepada calon yang terbaik pada perkiraan pengundi tempatan yang bersifat campuran kaum. Masa yang ada kurang lebih 15 hari lagi adalah masa yang sesuai untuk meninjau pandangan pelbagai pihak bagi memilih seorang calon yang terbaik.

Di samping, faktor pelengkap ke arah kemenangan pilihan raya kecil nanti adalah bergantung pada sejauh mana Pakatan Rakyat sebagai sebuah kerjasama politik yang menyaingi BN mampu mengolah gaya persembahan di pentas politik baru ini.

Bagi memenuhi nilai-nilai politik baru tersebut, medan pilihan raya kecil Hulu Selangor ini adalah peluang bagi Pakatan Rakyat membina keutuhan dan perpaduan dalaman, mempamerkan keupayaan jentera parti dan kerajaan Negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat hendaklah cepat menangani isu-isu rakyat. Sekali gus berlakunya kebersamaan pemimpin dengan rakyat bagi memenangi pilihan raya kecil ke-10 ini. Selamat berjuang memenangi hati nurani rakyat. Semoga kemenangan berpihak kepada Pakatan Rakyat.

Oleh :
Wan Nik Wan Yussof
Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan

Hulu Selangor, BN Lebih Ofensif, PKR Ambil Pendekatan Mesra Rakyat

Barisan Nasional (BN) akan menggunakan pendekatan lebih "ofensif" (menyerang) pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor 25 April ini.

Timbalan Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata ini kerana parti itu mempunyai banyak "modal" untuk menyerang pakatan pembangkang yang kini memerintah Selangor, BERNAMA dipetik.

"Dalam kempen (pilihan raya kecil) sebelum ini kita selalunya defensif... kali ini kita akan lebih ofensif untuk pecahkan tembelang pembangkang. Ini perlu untuk dedahkan kepada rakyat," katanya selepas mengikuti majlis ramah mesra Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama rakyat di Kampung Sentosa, Batang Kali di sini semalam.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani diminta mengulas mengenai isu yang menjadi taruhan pada pilihan raya kecil itu yang diadakan ekoran kematian penyandangnya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad akibat barah otak pada 25 Mac lepas.

Ditanya pemberita apakah isu yang mungkin digunakan pakatan pembangkang pada pilihan raya kecil itu, Noh berkata: "apa isu pembangkang ada selain timbulkan fitnah".

Mengenai polemik calon di kawasan itu antara MIC atau Umno, Noh berkata siapa saja yang dipilih akan disokong jentera parti bagi memastikan kemenangan BN.

Secara tradisi, kerusi parlimen Hulu Selangor diwakili calon daripada MIC.

Sementara itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menggunakan pendekatan mesra rakyat dalam kempennya untuk pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor ini.

Pengerusi PKR Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang juga Menteri Besar berkata, PKR tidak akan terbabit dalam sebarang pertelingkahan atau bermain dengan emosi orang ramai dalam usaha meraih sokongan dalam kempennya.

“Ceramah kami semasa kempen nanti akan lebih berorientasikan rakyat dan bukannya berorientasikan janji-janji, tapi kami akan jadi ofensif sekiranya terdapat usaha menipu rakyat Selangor,” kata beliau selepas sesi bertemu rakyat di Hulu Bernam dekat sini.

Beberapa jam selepas Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan tarikh pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor semalam, Datuk Seri Noh Omar berkata Barisan Nasional (BN) akan menggunakan pendekatan ofensif menghadapi saingan kali ini.

“Kalau selama ini kita menggunakan cara defensif, mulai sekarang kita akan menggunakan cara ofensif,” kata Timbalan Pengerusi Umno Selangor itu.

Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor merupakan yang pertama di Selangor sejak pilihan raya umum Mac 2008.

Merujuk kepada calon PKR untuk pilihan raya kecil itu Abdul Khalid berkata, kepimpinan tertinggi parti akan mengumumkan namanya apabila tiba masanya, malah menurutnya beliau sendiri sehingga kini tidak tahu siapa yang akan diketengahkan sebagai calon.

Majlis Pimpinan Pusat PKR akan mengadakan mesyuarat esok, dijangka menyentuh soal calon sebelum diputuskan oleh jawatankuasa pemilihan minggu depan.

Khalid juga berkata beliau akan mengetuai jentera pilihan raya PR-PKR.

Pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu Datuk Zainal Abidin Ahmad, 71 dari PKR akibat barah otak

pada 25 Mac lepas, dan hari penamaan calon ditetapkan pada 17 April, manakala hari mengundi ditetapkan pada 25 April.

Dalam perkembangan lain Khalid yang dipetik Bernama berkata, ibu bapa yang tinggal lebih dari lima tahun di Selangor kini boleh mendaftarkan anak-anak mereka dengan Tabung Anak Selangor (Tawas) walaupun anak-anak mereka dilahirkan di luar Selangor.

“Para ibu bapa berkenaan perlu mendapat pengesahan daripada ketua kampung atau pengawai daerah masing-masing bagi tujuan itu,” tambahnya.

Tawas merupakan antara projek kerajaan Selangor dalam agenda Merakyatkan Ekonomi Negeri, dan antara lain agendanya ialah bagi membolehkan anak-anak yang terpilih untuk didaftar berpeluang menerima RM 1,500 tiap seorang hasil daripada pelaburan mereka dalam tabung itu.

Tiba-tiba Ada 2561 Pengundi Baru Di Hulu Selangor

Pakatan Rakyat (PR) sangsi dengan kehadiran lebih 2,500 pengundi baru yang direkodkan dalam tempoh dua tahun lalu sejak pilihan raya umum Mac 2008 sambil menyifatkannya sebagai sesuatu yang “ajaib dan luar biasa.”

Sehubungan itu, Pengarah Pilihan Raya Selangor Parti Keadilan Rakyat (PKR) Abdullah Sani Abdul Hamid berkata pihaknya juga terkejut dengan perkembangan tersebut walaupun tidak menafikan parti-parti politik terlibat dalam kerja-kerja mendaftar pengundi baru.

“Kami pun tidak tahu dari mana datangnya angka ini (lebih 2,500 pengundi baru)... ini sesuatu yang ajaib, luar biasa. Kami akan mendapatkan penjelasan Suruhanjaya Pilihan Raya berhubung perkara ini,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Sambil mengakui pihaknya juga ada mendaftar pengundi-pengundi baru tetapi jumlah tersebut adalah sesuatu yang begitu besar bagi tempoh dua tahun ini, kata Ahli Parlimen Kuala Langat ini.

“Kita (PKR) juga akan membincangkan, membentangkan laporan mengenai ini esok (hari ini),” kata beliau merujuk kepada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR hari ini.

“Kita sangsi, kita tidak tahu dari mana datangnya jumlah ini,” kata beliau.

Berdasarkan daftar induk terkini, kawasan pilihan raya parlimen itu mempunyai 64,500 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 63,701 pengundi biasa dan 799 pengundi pos.

Daripada jumpah tersebut, seramai 2,561 merupakan pengundi baru manakala mereka yang menukar alamat pula adalah seramai 1,343 orang.

Seramai 32,380 pengundi terdiri daripada pengundi lelaki manakala 32,120 adalah wanita.

Daripada jumlah tersebut, kaum Melayu merupakan pengundi majoriti dengan 34,020 pengundi atau 52.7 peratus manakala kaum Cina dan India masing-masing mencatatkan bilangan 16.964 atau 26.3 peratus dan 12,453 atau 19.3 peratus.

Abdullah Sani berkata, walaupun peningkatan 2,561 pengundi baru itu boleh mempengaruhi arah aliran pengundian tetapi masih yakin PR-PKR boleh mengekalkan kerusi Hulu Selangor yang dimenangi menerusi Allahyarham Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad pada 8 Mac 2008.

“Kami cukup yakin untuk menang, saya percaya akan mengekalkan kerusi ini dengan majoriti yang lebih besar berbanding dua tahun lalu,” kata beliau.

Zainal Abidin menewaskan Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel dengan perbezaan 198 undi. -MI

Najib Sokong PERKASA, 1Malaysia Omong Kosong

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) bukan kumpulan pelampau ekstrem, jika seseorang benar-benar memahami tuntutan mereka.

Justeru, katanya PERKASA boleh terus memperjuangkan hak Melayu selagi tuntutan dan pandangan mereka tidak melampau, - kerajaan akan cuba memenuhinya, sama seperti kerajaan memenuhi tuntutan kumpulan bukan Melayu.

Najib berkata demikian ketika diwawancara oleh Al-Jazeera menerusi rancangan 101 East, malam semalam oleh wartawan Fauziah Ibrahim sempena genap setahun beliau menerajui Malaysia.

Menurut Najib adalah tidak benar PERKASA tidak akan menyokong Umno kerana sebahagian besar ahlinya sedar bahawa hanya parti itu yang mampu mempertahankan kepentingan Melayu dan pada masa yang sama menyatukan negara.

“Umno adalah parti yang kukuh dan ditubuhkan dengan asas yang mantap. Umno mampu berdepan dengan PERKASA ataupun kumpulan lain," jelasnya.

Najib juga diminta ditanya mengenai konsep 1Malaysia yang diperkenalkannya.

“1 Malaysia adalah semangat kekitaan yang kita adalah satu masyarakat, satu negara. Ia dicapai melalui perubahaan minda.

"Dalam perkataan lain, kita bertolak-ansur sesama kita dan bertoleransi berhubung perbezaan bangsa dan agama. Tetapi itu peringkat permulaan.

“Seterusnya, ialah menerima perbezaan itu. Kita menerima perbezaan itu sebagai sesuatu yang baik untuk negara ini.

“Kemudian adalah berkaitan sistem nilai kita dari segi minda dan akhirnya jika kita menerima semua itu, maka kita akan meraikan perbezaan berkenaan. Ini bererti kita selesa dengan hakikat bahawa kita adalah masyarakat berbilang bangsa dan agama,” jelas Perdana Menteri dengan panjang lebar.

Bagaimanapun apabila ditanya wartawan, mengapa selepas lebih 50 tahun negara mencapai kemerdekaannya, - kini rakyat perlu diajar bagaimana untuk hidup dengan harmoni, Najib menjadi tidak selesa.

“Come on. Come on. Lihat apa yang berlaku di Eropah. Yugoslavia berpecah, Ada masalah di Ireland Utara. Kumpulan pelampau wujud di Amerika. Di sana ada Klu Klux Klan moden, okay. Pelampau wujud di mana-mana masyarakat termasuk di negara ini. Hakikat wujudnya pelampau dalam masyarakat bermakna kita perlukan 1Malaysia,” katanya.

Najid kemudiannya diasak dengan soalan bagaimana dia sebagai ketua parti yang memperjuangkan hak, kepentingan dan keperluan Melayu tetapi pada masa yang sama cuba mempelopori agenda untuk menyatukan Malaysia.

“ Ia bukan zero-sum game,” jawabnya ringkas tetapi dtempelak Fauziah dengan dakwaan jawapan Perdana Menteri itu sesuatu yang ironi.

Najib mengulangi: “Ia bukan zero-sum game. Ia adalah kenyataan kerana apabila kita perjuangkan kepentingan Melayu, ia bukan bererti bukan-Melayu dipinggirkan. Malaysia mempunyai sumber negara yang mencukupi untuk membantu semua bangsa di negara ini. Dan saya yakin berdasarkan semangat dan falsafah 1Malaysia, semua rakyat mempunyai hak mereka,” jelasnya lagi.

Al Jazera kemudiannya mengajukan kepada Najib sama ada dia adalah Melayu terlebih dahulu dan rakyat Malaysia selepas itu.

Bagaimanapun sekali lagi, Najib yang kurang selesa berputar-belit menjawap soalan berkenaan.

“Secara teknikal, jika bercakap mengenai perlembagaan, saya adalah Melayu tetapi saya selesa menjadi Melayu dalam masyarakat Malaysia. Dan saya mahu semua berusaha menjadi masyarkat 1Malaysia. Tetapi saya bangga menjadi Melayu. Saya juga bangga yang saya seorang Muslim. Bagaimanapun hakikat bahawa saya bangga sebagai Melayu dan Muslim tidak bermakna saya tidak boleh mendampingi yang lain.”

Najib juga menafikan bahawa dia akan meminda perlembagaan untuk menyesuaikannya dengan 1Malaysia kerana 1Malaysia didirikan atas perlembagaan sekarang yang melindungi hak orang Melayu. -MK


Khalid Samad: PM 1Malaysia Tidak Wajar Sokong Perkasa

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, berkata sokongan yang ditunjukkan Perdana Menteri Najib Abdul Razak kepada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) bercanggah dengan konsep 1Malaysia yang disuarakan.

Beliau menjelaskan pemerintah yang mewar-warkan kesatuan semua kaum dan agama tidak seharusnya merestui retorik perkauman melampau yang dibawa oleh Perkasa, atau mana-mana pihak sekalipun.

"Kerajaan kalau ingin menjaga hubungan yang baik dikalangan kaum mesti tidak membenarkan sikap-sikap keterlaluan yang sepertimana di bawa oleh Perkasa itu untuk terus diperjuangkan, kerana ianya merupakan satu corak hasutan kepada rakyat, terutamanya menghasut bangsa Melayu kita untuk membenci dan mencurigai kaum lain, walhal kita bicara soal 1Malaysia," tegas Khalid.

Khalid Samad berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri semalam. Najib dalam temubualnya bersama agensi berita Al-Jazeera berkata Perkasa bukan pelampau ekstrem dan demikian itu kerajaan akan cuba memenuhi permintaan mereka.

Khalid berkata jelas sekali 1Malaysia yang dicanangkan hanyalah wayang kulit untuk melunakkan wajah perkauman Umno, sekaligus menutup imej yang telah sedia tercalar.

"Saya pun hairan mengapa datuk seri Najib berkata sebaliknya, lebih-lebih lagi kalau kita melihat tentang tuntutan yang dibawa oleh mereka jelas bercanggah dengan konsep 1Malaysia," katanya.

"Tindak-tanduk mereka mengapi-apikan semangat kebangsaan akan menimbulkan ketegangan," tambah beliau. -TVS




Mafrel Bidas Sogokan Pilihanraya

Badan pemantau pilihanraya, Malaysian for Free and Fair Election (Mafrel) membidas usaha kerajaan Umno-BN menyogok pengundi Hulu Selangor dengan limpahan projek perumahan dan sekolah.

Pengerusi Mafrel, Syed Ibrahim Syed Noh berkata Umno-BN sekali lagi menunjukkan ia tidak menghormati proses pilihanraya demokratik, dan menggesa Suruhanjaya Pilihanraya mengambil tindakan tegas terhadap parti itu.

"Ini satu jenis kempen dan kalau berbalik kepada peraturan pilihanraya dia merupakan satu kesalahan peraturan pilihanraya. Jadi seharusnya pihak SPR memberikan amaran dan kemudian mungkin mengambil tindakan supaya mengeluarkan arahan supaya tidak ada berlaku apa-apa kempen sekarang sehinggalah apabila hari penamaan calon"

Belumpun bermula Pilihanraya Kecil Hulu Selangor, Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan para pengundi Hulu Selangor akan mendapat empat buah sekolah baru, dan projek pembinaan banjir bernilai RM2 juta ringgit.

Muhyiddin juga berkata Kementerian Pendidikan sedang mengenalpasti tapak sesuai untuk membina sebuah sekolah aliran Cina.

Keesokannya, Perdana Menteri Najib Abdul Razak mengumumkan projek perumahan baru untuk pendudk Felda di Gugusan Sungai Dusun. Projek bernilai RM32 juta ringgit ini melibatkan 2,50 unit, setiapp satunya bernilai antara RM42,000 dan RM75,000 ringgit.

"Walaupun mungkin apa yang dinyatakan oleh pihak kerajaan khususnya mereka melakukan itu dalam rangka mereka menjalankan tanggungjawab sebagai penjawat jawatan kerajaan. tetapi hakikatnya kalau kita lihat kepada kenyataan-kenyataan mereka ianya jelas berunsurkan kempen.

Ulasan GB

Mungkin ada kesilapan teknikal di dalam berita di atas. MAFREL dipengerusikan oleh Abdul Malek Hussin sementara Syed Ibrahim ialah Timbalannya.