2 Jul 2012

Kerajaan Pusat Sekat Royalti, Allah Limpahkan Kelantan Dengan Bijih Besi

R minyak dinafi, bijih besi pula ditemui

KOTA BHARU: Ketika kerajaan pusat masih menafikan hak Kelantan ke atas royalti petroleum, sebaliknya bijih besi pula ditemui di bumi negeri ini.

Bijih besi tersebut sekarang dieksport sebanyak 40,000 tan metrik setiap minggu melalui Tok Bali ke China.

Kapal dari China kini berlabuh kira-kira 1.4 batu nautika dari pantai Tok Bali bagi mengangkut bijih besi, di mana ia diangkut ke kapal menggunakan 20 tongkang dari jeti di Tok Bali.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa berkata, sebelum ini bijih besi tersebut dieksport ke China melalui pelabuhan di Kemaman dan Kuantan yang melibatkan kos agak tinggi.

“Namun sekarang bijih besi tersebut dieksport melalui pelabuhan di Tok Bali yang ternyata lebih menjimatkan kos pengangkutan,” katanya menjawab soalan Abdul Latif Abdul Rahman (PAS-Mengkebang) pada persidangan Dun hari ini.

Beliau berkata, hasil royalti tersebut dijangka dapat menampung kos pembinaan pembinaan lebuh raya rakyat Kuala Krai-Kota Bharu.

Menurutnya daripada hasil royalti besi sekurang-kurangnya dapat menampung bayaran tertunda projek lebuh raya berkenaan yang ditetapkan dalam masa 25 tahun.

“Kita telah berusaha memecahkan benteng kongkongan dan halangan oleh kerajaan pusat sebelum ini. Idea yang dicetus Menteri Besar bagi mengamalkan konsep wakaf sebagai satu nilai tambah.

“Usaha itu ternyata mendapat sambutan menggalakkan biar pun promosinya belum dilakukan secara meluas, namun dana yang disumbang secara online sekarang sebanyak RM430,000,” ujarnya.

Kata beliau kerajaan negeri akan mewujudkan dana amanah di bawah Perbendaraan Negeri bagi mengurus sumbangan orang ramai.

Malah pada 7 Julai ini artis-artis yang menyertai PAS akan mengadakan program khusus bagi menyokong projek lebuh raya rakyat.

“Pada Ramadan nanti kita juga akan lancarkan kutipan dana di Kuala Lumpur bagi membolehkan orang ramai turut sama menyumbang,” ujarnya.

Husam juga memberitahu lapan juruukur yang mengambil alih peranan juruukur awal menyiapkan jajaran projek lebuh raya rakyat sudah berjaya menyiapkan kerja-kerja ukur sepanjang 30 km.

Kata beliau kerja-kerja mengukur jajaran jalan raya tersebut sebenarnya sudah disiapkan pada 2007, namun juruukur yang terbabit tidak dbenarkan menyerahkan laporan kepada kerajaan negeri.

Bagaimanapun katanya, kerja-kerja pembinaan lebuh raya tersebut dijangka akan dimulakan selepas mendapat kelulusan mesyuarat Exco kerajaan negeri dalam masa terdekat ini.

Menurutnya jentera berat milik syarikat juga sudah berada di lokasi bagi memulakan kerja-kerja pembinaan.

“Kita akan laporkan setiap minggu perkembangan projek pembinaan lebuh raya tersebut selepas ini bagi pengetahuan rakyat,” katanya. -HD

Ulasan GB

kerajaan UMNO BN cuba dengan segala cara untuk menyekat pembangunan di negeri Kelantan, khususnya dengan menyekat royalti minyak, tetapi Allah itu Maha Kaya. Kerajaan Kelantan pimpinan TG Nik Aziz akan terus mendapat perlindungan dan rahmat dari Allah swt apabila kita terus berusaha mempertahan dan memperjuangkan kalimah Allah di atas mukabumi ini.

Biarkan, kezaliman UMNO BN itu akan memakan diri mereka sendiri!

Cacing 5 Inci Dikeluarkan Dari Bola Mata

Seorang lelaki yang mengalami sakit dan gatal di bahagian mata terkejut selepas mendapati keadaan berkenaan berlaku akibat seekor cacing sepanjang lima inci yang hidup di sebalik bola matanya.

Keadaan itu disedarinya selepas doktor membuat pemeriksaan mata.

PK Krishnamurthy, 75, yang juga seorang pesara dari Mumbai sebelum ini berulang kali ke hospital selepas mendapati matanya sakit dan tidak selesa.

Doktor kemudiannya memberikan ubat, namun dia masih terus dilanda kesakitan.

Susulan itu, doktor memutuskan untuk membuat pemeriksaan lanjut dan alangkah terkejutnya mereka apabila menemui cacing di dalam matanya itu.

Cacing itu bagaimanapun berjaya dikeluarkan dalam satu pembedahan kecil, semalam.

Menurut pakar mata di Hospital Fortis, Dr V Seetharaman, Krishnamurthy bernasib baik kerana cacing itu dikesan dan dikeluarkan dengan segera.

“Simptom kesakitan pada bahagian matanya telah hilang dan dia amat bertuah kerana cacing itu hanya berada di bahagian mata.

“Jika ia memasuki bahagian otak pesakit, maka ia akan menyebabkan masalah neurologikal yang amat besar kepada Krishnamurthy,’’ katanya.

Setakat ini doktor masih belum mendapat jawapan bagaimana cacing berkenaan boleh berada di dalam mata pesara berkenaan.

“Cacing itu berjaya memasuki saluran darahnya dan membesar di dalam badan manusia. Ia telah dihantar ke makmal untuk kajian ,’’ kata Dr V Seetharaman .

Dalam pada itu, Krishnamurthy gembira kerana penyakitnya itu dapat dikesan lebih awal. -mynewshub

Kemenangan Dr Morsi – Gendang Perjuangan, Bukan Loceng Rehat


Dr Morsi, calon Presiden Mesir dari Parti Kebebasan dan Keadilan yang dikelolakan oleh Ikhwaanul Muslimin, telah secara rasminya diumumkan menjadi Presiden Mesir pertama pasca Revolusi Mesir 25 Januari 2011. Seluruh dunia yang bersama dengan perjuangan menuntut keadilan dan menumbangkan kezaliman, bergempita dengan rasa syukur atas kemenangan ini. Rata-rata manusia yang jiwanya masih lurus dan akalnya masih berada pada tempatnya, merasa lapang dan senang dengan kemenangan ini. Grafik: HalaqahMaya.Com

Kita tidak mahu ketinggalan merakamkan ucapan tahniah. Kepada Ikhwaanul Muslimin, kepada Dr Morsi dan semestinya, kepada yang memainkan peranan paling besar sekali atas kemenangan hari ini – Rakyat Mesir. Tanpa kami tinggalkan syukur dan rasa rendah diri kami kepada Allah SWT yang menggerakkan semua ini.

Namun apa yang lebih besar daripada kemenangan Dr Morsi hakikatnya adalah kesedaran kita.

Sesungguhnya bagi kami di LangitIlahi, kemenangan Dr Morsi adalah merupakan bunyi gendang perjuangan.

Bukanlah deringan loceng rehat.

Kita Teruskan Usaha-Usaha Kita. Dan Dr Morsi Meneruskan Usaha-usahanya.

Kita hidup dalam dunia global yang luas. Kemenangan di satu tempat, belum lagi bererti kemenangan di merata-rata tempat. Bahkan, pada realiti hari ini, kemenangan di sesebuah tempat itu sendiri belum bererti kemenangan penuh. Contohnya di Mesir, selepas ini Dr Morsi akan berhadapan dengan saki baki regim Mubarak pula di dalam pemerintahannya. Di Turki dahulu, Erdogan berhadapan dengan tentera Turki sendiri.

Bahkan, jika kemenangan di satu-satu tempat tersebut adalah kemenangan solid, ia tetap akan mendapat ancaman daripada Barat contohnya. Mereka tidak akan berdiam diri. Justeru, kita tidak patut berdiam diri juga. Tidak patut untuk kita berehat. Bahkan, apabila ada sesebuah kumpulan Islam menang di satu-satu kawasan, kita perlu memberikan sokongan kepadanya.

Bagaimana memberikan sokongan kepadanya? Dengan kita berusaha mengislah diri, serta mengislah keluarga dan masyarakat di tempat kita. Kemenangan Islam di sesebuah kawasan, perlu dibantu dengan kemenangan Islam di sesebuah kawasan yang lain. Barulah kemenangan itu mampu mencetus kekuatan yang sebenarnya.

Namun jika Dr Morsi dan partinya berusaha mengislah Mesir, dan kita di Malaysia berdiam diri membatu, sekadar bergembira dengan kemenangan Dr Morsi, dan tidak berbuat apa-apa, maka di manakah keuntungannya kemenangan Dr Morsi itu?

Di sini kita perlu perhatikan dengan teliti. Agar kita tidak tertipu dengan kemenangan ini.

Usaha mesti diteruskan, dan digencarkan lagi!

Ini Adalah Peperangan Nafas Panjang.

Hakikatnya, perjuangan antara hak dan batil adalah perjuangan nafas panjang. Semenjak Nabi Adam dan ibu kita Hawwa, diturunkan ke bumi angkara Iblis durjana, hinggalah ke hari kiamat nanti, peperangan antara hak dan batil ini akan berterusan.

Maka kita sepatutnya maklum akan hal ini, dan mempersiapkan bukan sahaja diri, bahkan menghasilkan pula pewaris-pewaris untuk meneruskan perjuangan kita nanti. Kita patut sibukkan diri kita dengan pelbagai projek kebaikan, menyusun pelbagai strategi, berfikir dengan kreatif dan kritis untuk meningkatkan kualiti perjuangan Islam.

Jangan fikir bahawa apabila kita mencapai sebuah kemenangan, maka kemenangan itu akan bertahan selama-lamanya. Ianya perlu dipertahankan. Ianya perlu diperkuatkan lagi. Diperkukuhkan.

Bukannya bersambil lewa, dan lemas dalam kemenangan.

Musuh-musuh Islam tidak akan duduk diam. Mereka mempunyai agenda. Mereka akan menyusuh perancangan. Maka apakah pantas bagi kita, orang-orang Islam, bergoyang kaki dan sekadar bergembira dengan kemenangan, lantas menanti untuk dikalahkan sekali lagi?

Penutup: Maka Marilah Jadikan Kemenangan Dr Morsi Ini Sebagai Pemacu Semangat Kita!

Bangunlah. Jangan fikir ini masa rehat kita.

Kami mengajak agar kita bersama-sama menggunakan momentum ini, menggencarkan lagi segala usaha, dan memperhebatkan lagi segala urusan perjuangan kita. Mungkin kita tidak berjuang dengan senjata seperti raifal dan kereta kebal, tetapi kita tetap berjuang dengan senjata minda dan pergerakan.

Kita perhebatkan lagi usaha penyebaran Islam dalam bentuk akhlak, bentuk pemikiran yang kreatif, dalam bentuk yang harmoni, menghidupkan jiwa-jiwa agar menjadi subur kembali dengan kefahaman terhadap deen Allah SWT.

Ini bukan masanya lagi untuk kita berehat.

Rehat kita hanya di syurga nanti!

Ayuh!

Bangun, dan bergeraklah!

Mari Menjadi Hamba Ilahi!

disunting dari: langitilahi.com

Chua Soi Lek Melenting ADUN UMNO Cadangkan Hudud


Cadang hudud: ADUN Umno 'hilang akal', kata MCA

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata ADUN Umno Johor yang mencadangkan supaya hukum hudud dilaksana ke atas orang Islam dan bukan Islam di negeri itu "hilang akal" kerana mengemukakan perkara tersebut. Grafik: Pencinta keadilan.

Dalam satu tulisannya di Twitter malam tadi, Chua berkata ADUN berkenaan, Datuk Ayub Rahmat juga telah kehabisan idea sehingga menimbulkan cadangan berkenaan.

"ADUN Umno Johor itu tentu sudah kehabisan idea dan hilang akal untuk mencadangkan hudud di Johor meliputi bukan Islam," katanya.

Tambahnya, MCA "pastinya" menentang usaha seperti itu.

Ayub yang merupakan ADUN Kemelah membangkitkan cadangan itu 20 Jun lalu pada mesyuarat pertama penggal persidangan kelima Dewan Negeri Johor ke-12.

Ketika diminta menjelaskan cadangannya itu, berkata beliau mahu melihat Johor mendahului negeri lain melaksanakan hukum hudud "sebenar" – yang menurutnya berbeza dengan hudud PAS.

Hukum hudud sebenar meliputi semua kaum dalam sesuatu negara berbanding hudud PAS yang hanya tertakluk kepada orang Islam, kata Ayub yang memberi contoh Kanun Jenayah Syariah II (1993) (Hudud Kelantan).


Beliau berpandangan bahawa undang-undang itu menimbulkan diskriminasi dari segi pelaksanaan di antara orang Islam dan bukan Islam.

Pendiriannya itu meletakkan MCA sebagai parti kedua paling besar dalam BN dalam kedudukan sukar.

MCA sebelum ini lantang mengkritik undang-undang hudud dan sentiasa menyerang PAS atas rancangan pelaksanaan undang-undang syarie yang didakwa akan menakutkan pelabur asing.

MCA menjadikan kritikan ke atas hudud sebagai bahan kempen utamanya dalam menghadapi pilihan raya umum untuk menentang seterunya, DAP. -mk

Hudud: Kelantan ada halangan, jika Johor dahului silakan

KUALA LUMPUR: “Pada saya, saya bersyukur sangat-sangat atas kesedaran ini. Tidak perlu cabar mencabar, saya menyokong sepenuh hati,” kata Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons setelah membaca kenyataan Adun Umno Johor di dalam Sidang Dun Johor, Datuk Ayub Rahmat yang mencadangkan agar Johor melaksanakan hudud mendahului Kelantan serta mencabar PAS menyokong hukum hudud itu walaupun datang dari Umno.

“Kelantan atau Johor dahulu tidak penting. Kelantan telah menghadapi halangan untuk laksanakan hudud, jika Johor mendahului Kelantan, silakanlah.

“Insya Allah giliran Kelantan akan tiba juga. Sekali lagi saya nyatakan, saya menyokong sepenuh hati,” ujarnya yang juga Mursyidul Am PAS melalui Facebooknya.

Justeru, harapan beliau agar cadangan itu tidak akan ditarik balik dan menjadi kenyataan.

“Mari kita bekerjasama memperlihatkan Islam yang sebenar kepada masyarakat Malaysia.

“Tahniah kepada Umno Johor dan saya menunggu untuk melihat langkah seterusnya,” ujarnya lagi.
-HD





Jefrydeen Terima Geran di Kampung Melayu Subang Setelah 10 Tahun Menunggu

Penyanyi pop yeh yeh, Datuk Jefrydeen Imbrom Soekaman, adalah antara 20 penerima surat hakmilik tanah daripada Kerajaan Selangor di Kampung Melayu Subang Tambahan di sini hari ini.

Beliau yang menetap di kampung tersebut sejak 1996 mengucapkan rasa syukur kerana impiannya bagi memiliki hak kepada tanah yang diduduki akhirnya tercapai.

“Saya berasa syukur dan gembira kerana menunggu lebih 10 tahun dan akhirnya ia menjadi kenyataan.

Terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang prihatin akan masalah ini serta meluluskan permohonan saya.

Sebelum ini saya pernah memohon beberapa kali sejak 1999 tetapi gagal,” kata penyanyi 65 tahun yang popular dengan lagu “Kenanganku”.

Beliau ditemui selepas Majlis Penyerahan Surat Hakmilik Tanah Penduduk kampung tersebut di sini hari ini.

Majlis penyerahan itu disempurnakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan dihadiri Exco Selangor, Iskandar Abdul Samad dan Rodziah Ismail, serta ADUN Kota Damansara, Dr Mohd Nasir Hashim.


Seorang lagi penerima, Che Nah Salleh, 60, berkata pemberian hakmilik itu adalah bukti Kerajaan Negeri amat mengambil berat akan kebajikan rakyat di Selangor.

Pesara kakitangan kerajaan itu pernah membuat permohonan hakmilik pada zaman pentadbiran Umno-BN tetapi keputusannya menghampakan.

“Selepas 2008 barulah segalanya berubah dan akhirnya masalah ini dapat diselesaikan. Memang saya gembira dengan anugerah ini,” kata ibu tunggal lima anak yang kematian suami pada 1981 itu.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri mendapati masih ramai penduduk di sesuatu kawasan penempatan di Selangor yang masih tidak dapat hakmilik.

Ini kerana mereka adalah terdiri dari penduduk yang telah mendiami kawasan perumahan tersebut dalam tempoh yang lama.

“Oleh sebab itu Kerajaan Negeri telah meminta Pegawai Daerah dan Pejabat Tanah untuk menyelesaikan masalah ini.

Walaupun masanya agak lama untuk selesai, iaitu lebih dari setahun, tetapi saya rasa bila sudah diselesaikan, ia memberikan ketentuan kepada pemiliknya,” katanya. -selangorku


Terharu Terima Geran Sampai Tak Boleh Tidur Malam

AMPANG 1 JUL : Setelah 18 tahun turun naik pejabat tanah dan gagal mendapat geran, S. Ravindran seakan tidak boleh percaya apa yang berlaku padanya hari ini.

Pesara yang berumur 57 itu akhirnya menerima yang impian yang ditunggu hampir 20 tahun itu menjadi kenyataan apabila dokumen borang 5A ada dalam tangannya.

“Memang saya tidak percaya kerana saya fikir semua itu sekadar janji-janji politik sahaja dan tidak bermakna apa-apa pada rakyat biasa seperti saya.

“Jadi apabila diberitahu dua minggu lepas bahawa saya akan terima geran, saya memang tidak percaya dan menganggap ini merupakan satu lagi janji kosong.

“Saya hanya percaya apabila terima surat berkenaan perkara ini tempoh hari.

Perasaan terharu serta gembira itu sememangnya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata sehingga tidur semalam pun tidak dapat lelap mata,
” ujar Ravindran dari Kampung Tasek Permai.

Beliau yang hilang kakinya dalam satu kemalangan telah menduduki tapak rumahnya selama lebih 30 tahun.

Ravindran antara 66 orang yang menerima borang 5A daripada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu Majlis Pemberian Hak Milik Persendirian di kawasan Dewan Undangan Negeri Lembah Jaya.

Manakala 72 orang menerima dokumen geran tanah di majlis yang bertempat di Padang Awam Tasik Tambahan.

Sementara itu, Abdul Khalid dalam ucapannya berkata, Kerajaan Selangor sentiasa komited untuk menyelesaikan isu permohonan hak milik tanah yang berlarutan sekian lama sejak era zaman Umno-BN dahulu.

“Jika dahulu, kebanyakan pemberian tanah tidak dibuat secara telus, antaranya kerana mengutamakan kawan rapat atau sanak saudara.

“Sebaliknya, Kerajaan Pakatan memberi hak rakyat tanpa mengira pegangan parti politik,” kata beliau sambil disambut tepukan gemuruh kira-kira 100 hadirin.

Selain penghuni Kampung Tasek Permai, kampung lain yang terlibat dalam majlis pagi tadi ialah Kampung Ampang Indah, Ampang Campuran dan Kampung Bukit Sungai Puteh.

Turut hadir ialah Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan, Setinggan, Iskandar Abdul Samad, Adun Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz dan Timbalan Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Zulkefli Khalid.

[BERGAMBAR] Macam Dalam Filem: Rompakan Mesin ATM Di Carrefour Wangsa Maju

RM1.17 juta dalam empat mesin ATM lesap

KUALA LUMPUR - Wang tunai berjumlah RM1.17 juta di dalam empat mesin juruwang automatik (ATM) di aras 1 pasar raya Carrefour, Wangsa Maju di sini, dilarikan penjenayah awal hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Supt Othman Abu Bakar berkata kejadian disedari seorang pengawal keselamatan pada pukul 7 pagi semasa membuat rondaan dan mendapati kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan mesin ATM itu telah dialihkan.

Melihat kesan tebukan pada keempat-empat mesin ATM berkenaan, pengawal keselamatan itu bertindak melaporkan kepada polis.

Othman berkata berdasarkan siasatan awal rakaman CCTV, kejadian pada pukul 3.06 pagi itu dilakukan sekumpulan penjenayah yang memakai topeng muka dan menggunakan alat pencair besi (oxy-gas) bagi menebuk keempat-empat mesin ATM itu.

"Kami percaya ia dilakukan sekumpulan penjenayah yang cukup profesional dan perancangan mereka amat rapi," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Othman berkata polis kini memburu kumpulan penjenayah terbabit berdasarkan rakaman CCTV di tempat kejadian.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat segera menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. - Bernama



Jika diletakkan pujian, kumpulan penyamun yang melarikan wang tunai dari 4 mesin ATM ini memang layak menerimanya.

Dengan kerugian RM1.17 juta , segala-galanya nampak teratur walaupun mereka melakukan kerja gila ini dengan pelbagai rintangan yang harus dihadapi.


Bukan memuji penjenayah, tetapi kelemahan sistem kawalan dan keselamatan di lokasi ini dipercayai menyebabkan kejadian ini langsung tidak disedari.

Kejadian dipercayai berlaku antara jam 3 hingga 5 pagi tadi di Carefour Wangsa Maju di ibunegara.

Kumpulan penjenayah terancang ini memasuki bahagian dalam premis hipermarket ini melalui pintu kalis api bawah tanah.

Sebahagian pintu dipotong dari luar dan mereka masuk dengan membawa sekali peralatan untuk membuka peti besi mesin ATM terbabit.

Penjenayah terpaksa mendaki laluan 2 lagi tingkat ke bahagian atas sebelum sampai ke lokasi mesin ATM terbabit.



Kamera litar tertutup di bahagian atas, dialihkan hala tujunya bagi mengelakkan dikesan.

Penjenayah dipercayai menggunakan gas Oxy-Acetylene bagi memotong dan membuka peti besi 4 daripada 6 buah yang terdapat di sini.

Mereka kemudian mengeluarkan 16 buah kotak berisi wang tunai dari 4 mesin pengeluaran sebelum mengeluarkan semua wang tunai yang terdapat di dalamnya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Supt Othman Abu Bakar berkata, polis percaya , ia dilakukan lebih dari 3 saspek.

Polis turut merakam percakapan pengawal keselamatan bagi membantu siasatan, manakala beberapa kesan cap jari turut ditemui di lokasi kejadian.

Sebarang maklumat, sila salurkan ke IPD Sentul
03-61895222


kredit: ondscene.my


Himpunan Hijau Perlu Diteruskan!

Himpunan Hijau Ke Putrajaya perlu diteruskan sehinggalah pengumuman pilihanraya umum ke 13 dilakukan oleh Perdana Menteri.

Ia adalah untuk mengekalkan momentum sambutan rakyat terhadap Pakatan Rakyat amnya dan PAS khususnya di dalam usaha untuk mempastikan bahawa UMNO BN dapat ditumbangkan di dalam PRU yang akan datang ini

Setakat ini beberapa buah negeri sudah mengadakan Himpunan Hijau iaitu Kedah, Perak, Melaka, Pulau Pinang, Johor, Pahang dan Terengganu dimana kehadiran di semua negeri mencecah ke angka 20,000.

Satu rahmat dan hikmah yang besa dan nyata apabila Najib tidak jadi untuk membubarkan parlimen di dalam waktu yang terdekat kerana ia memberi ruang dan kesempatan kepada Pakatan Rakyat menggembelengkan seluruh tenaga dan sokongan rakyat bagi memperkukuhkan iltizam untuk menawan Putrajaya.

Malah, Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini pernah menyatakan, alasan Najib kononnya untuk menunggu mandat lima tahun sebelum mengadakan pilihan raya umum (PRU) ke-13 menggambarkan 'ada sesuatu' yang belum meyakinkan presiden Umno itu.

Mengulas lanjut 'ketakutan' Najib itu, Tuan Guru yang juga Menteri Besar Kelantan tidak menolak kemungkinan ianya disebabkan kebangkitan rakyat yang kini semakin ramai menyokong Pakatan Rakyat.

Mengulas Himpunan Hijau yang berlansung di Johor kelmarin, Tuan Guru menyatakan belum pernah lagi sebegitu ramai menghadirinya di negeri Johor.

"Ini membuktikan kesedaran dan gelombang perubahan itu wujud," tambahnya.

GB ingin tegaskan di sini, sekalipun sebelum ini pihak berkuasa menyatakan bahawa perhimpunan aman sering dikaitkan dengan hal-hal yang mencemarkan seperti berlakunya keganasan dan seumpamanya, namun, PAS telah membuktikan di dalam kesemua Himpunan Hijau yang telah dijalankan, tidak ada satu insiden pun yang menunjukkan wujud sebarang kekecohan sekalipun bilangan peserta Himpunan Hijau mencecah angka ribuan rakyat.

Ia juga membuktikan bahawa perhimpunan rakyat seperti Bersih dan Himpunan Hijau itu tidak sedikit pun menimbulkan ancaman terhadap keselamatan awam seperti yang digembar-gembur dan di momokkan jika tiada sebarang provokasi dan campurtangan dari mana-mana pihak.

Justeru itu tiada sebab untuk kita berhenti dari mengadakan Himpujan Hijau lagi.

Malah langkah itu wajar apabila kerajaan memekakkan telinganya terhadap tuntutan-tuntutan yang telah dilakukan untuk pilihaya bersih, telus dan adil melalui siri himpunan BERSIH yang telah kita sertai.

Yang takut dengan Himpunan Hijau sekarang ini ialah UMNO dan sekutu-sekutunya!

Himpunan Hijau langkah gagah PAS ke Putrajaya

Tiada sebab untuk PAS menoleh kebelakang. Tiada sebab untuk PAS berasa dirinya lemah. Tiada sebab untuk PAS berasa ianya masih belum mendapat sokongan kukuh orang Melayu.

PAS berada dalam pentas politik sudah lama. Berada di tahap yang begitu matang, bukan alasan PAS harus berbangga atau sebaliknya.

Sebagai sebuah parti yang mengasaskan perjuangannya dengan asas Islam, PAS yakin dengan janji Allah. Janji Allah bahawa golongan Islam akan mencapai kemenangan menewaskan golongan yang ingkar.

Kemenangan akhirnya akan berpihak kepada Islam. Justeru, PAS yakin bahawa akidah yang PAS pegang adalah benar, perjuangan yang PAS dukungi badalah benar. Dan PAS yakin bahawa persefahaman yang PAS wujudkan bersama-sama parti rakan dalam Pakatan Rakyat adalah bertepatan dengan Islam.

Ianya berasaskan kepada tahaluf siyasi yang dirangka mengikut kaedah syarak.

PAS yakin bahawa pendekatan PAS dalam persoalan politik selama ini, adalah pendekatan yang benar, pendekatan yang diredhai Allah SWT kerana ianya berasaskan kepada hujah nas dan syarak.

Justeru, seluruh kepimpinan, ahli dan penyokong PAS, tidak harus berasa gentar, tidak harus berasa goyah dengan dakwaan bahawa persefahaman kita dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat tidak bertepatan dengan kehendak agama.

Himpunan Hijau menuju ke Putrajaya pada 1 Jun 2012 di Stadium Darul Aman, Alor Setar adalah bukti segala-galanya.

Ianya membuktikan bahawa, PAS adalah sebuah parti Melayu-Islam yang terbesar dalam negara. Ianya bukti PAS adalah parti yang kuat dan mendapat sokongan besar rakyat, khususnya dari kalangan orang-orang Melayu.

Himpunan Hijau yang berjaya menghimpunkan ratusan ribu pemimpin, ahli dan penyokong, membuktikan bahawa PAS bukannya parti yang calang-calang untuk di pandang enteng.

Himpunan Hijau merupakan iltizam seluruh kepimpinan dan penyokong PAS, bahawa tekad utama mereka adalah untuk menumbangkan Umno-Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Himpunan Hijau membuktikan bahawa PAS berada di dalam gelanggang politik dalam keadaan gagah dan bersedia untuk mengharungi segala rintangan dan badai.

Manakala lawannya Umno-BN, tidak harus menafikan bahawa mereka berasa amat gerun dengan kekuatan PAS, serta kesepaduan Pakatan Rakyat, sehingga ada pemimpin mereka yang mengatakan bahawa PRU ke-13 ini, merupakan penentu hidup mati Umno.

Bagi PAS, orang-orang PAS yang sama tekadnya dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, azam PAS pada PRU ini, tidak dapat tidak adalah untuk menumbangkan Umno-BN.

Tiada istilah hidup buat Umno dalam politik Malaysia. Tiada jalan lain untuk memulihkan demokrasi, memulihara sistem politik, menyelamatkan negara dari kebangkrapan, selain melenyapkan Umno dari tampuk kuasa dalam negara.

Keyakinan rakyat, yang memberi kepercayaan kepada PAS serta rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat menguasai lima negeri pada PRU 2008, terus subur dan mekar.

Keyakinan dan kepercayaan rakyat bahawa PAS dan Pakatan Rakyat berjaya menjalankan urustadbir negeri dengan baik dan cemerlang, tidak sesekali dapat digoyahkan Umno-BN.

Pemimpin-pemimpin Umno-BN yang tidak berhenti-henti menyerang Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor dianggap sebagai 'riuh murai, tetapi ekor bersepah dengan najis' apabila, negeri-negeri di bawah pentadbiran mereka jatuh terjelepuk ke lembah kebangkapan.

Dabik dada mereka bahawa merekalah parti pentadbir yang baik sudah tidak kedengaran, ego mereka bahawa mereka pandai mengurus ekonomi negeri dan negara sudah dipadamkan. Yang tinggal bagi Umno-BN, hanyalah politik air liur dan retorik palsu.

Semakin bongkak mereka melaung, semakin banyak salahlaku, penipuan, rasuah, skandal dan penyelewengan pemimpin-pemimpin Umno-BN terbongkar satu persatu.

Manakala negeri-negeri yang dikuasai PAS seperti di Kelantan, sudah menjangkau 22 tahun, sehingga hari ini diisytihar bebas dari rasuah. Selama empat tahun pemerintahan di Kedah, juga bebas rasuah. Samalah seperti di Selangor dan di Pulau Pinang.

Justeru kita amat yakin bahawa fenomena kebangkitan rakyat pada PRU 2008 dan perjuangan bersama Pakatan Rakyat adalah suatu kebenaran, yang bakal memacu kepada perubahan besar dalam negara pada PRU ke 13 nanti.

Ia adalah peluang terbaik rakyat untuk menumbangkan BN dan menggantikannya dengan Pakatan Rakyat, dengan PAS, salah sebuah parti utama yang menunjangi kerajaan baru Malaysia. Hidup Islam! Hidup PAS!
-Mohd Rashidi Hassan


Imam Muda Digantung Kerana Benarkan TGNA Jadi Imam


Maklumat terbaru! Imam Muda Masjid Jamek Pasir Gudang, Johor Bharu telah digantung tugas hanya kerana membenarkan Tuan Guru Nik Abd Aziz menjadi Imam ketika Solat Jumaat minggu lalu di masjid berkenaan. -fb


ULASAN GB

Jika berita di atas benar, maka UMNO benar-benar sedang menuju kehancurannya bermula di negeri paling selatan semenanjung.

Ini bererti UMNO menggunakan segala caranya untuk menyekat dan menghalang umat Islam yang berlainan parti politik untuk mengimamkan solat dan sifat munafiq UMNO juga menjadi semakin jelas lantarannya.

Kita doakan kesejahteraan dan keselamatan untuk Imam Muda tersebut yang lebih memuliakan dan menghormati ulamak dan kehancuran untuk UMNO lantaran menjadikan "rumah Allah" itu hanya untuk golongan mereka.