Sg Limau: Mengapa majoriti PAS merosot?
Penantian terhadap keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau telahpun berakhir dengan PAS mengekalkan kemenangan kali keenam berturut-turut.
Seperti yang dijangkakan, calon PAS Ustaz Mohd Azam Abd Samat menang mengatasi calon BN Dr Ahmad Sohaimi Lazin dengan majoriti 1,084.
Ustaz Azam mendapat 12,069 undi manakala Ahmad Sohaimi Lazim mendapat 10,985 undi.
Apa yang menarik dengan keputusan ini, BN turut mengaku mereka sebenarnya tidak kalah, atau dengan kata lain, "kalah dalam menang".
Ini disandar kepada kejayaan mereka mengurangkan jumlah undi majoriti yang diperolehi Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.
Allahyarham pada PRU13 lalu menang dengan majoriti 2,774 undi.
Apapun justifikasi yang dibuat, ia sekadar alasan klise bagi menampakkan kejayaan yang diperoleh parti masing-masing dan sikap itu adalah biasa bagi parti-parti politik bertanding yang tidak mahu dilihat kalah dan lemah.
Tapi ada menariknya juga bila Umno BN mengaku mereka tidak kalah, dengan kata lain mereka juga menganggap mereka menang.
Apa kesannya? Kesannya adalah terhadap janji Datuk Mukhriz Mahathir yang mahu mengambil Sungai Limau Sebagai Dun angkat Menteri Besar.
Jadi dengan mendakwa mereka juga menang, maka ia telah mengikat janji Mukhriz itu. Lalu rakyat Sungai Limau berhak menuntut janji itu dari BN dan Mukhriz perlu segera mengisytiharkannya.
Saya tidak mahu mengulas panjang soal Dun angkat itu kerana ia soal tanggungjawab pemimpin untuk "menepati janji", tetapi saya mahu memberi sedikit pandangan atas isu jumlah majoriti yang diperdebatkan.
Bagi saya, post-mortem PAS yang akan dibuat sedikit masa lagi tentu sekali akan merungkai faktor penurunan jumlah majoriti itu.
Sebelum mereka melakukan bedah siasat itu, izinkan saya memberi sisi pandang saya berdasar 10 hari saya berkampung dalam membuat liputan di sana.
Ia sekadar analisis ringkas, tetapi dirasakan boleh menjadi asas dalam perdebatan penurunan jumlah majoriti yang diperolehi PAS kali ini.
Bagi saya, asas kepada penurunan jumlah majoriti ini adalah faktor calon itu sendiri.
Jika diimbau kembali, PRU13 lalu adalah penyertaan kali kelima Allahyarham Ustaz Azizan bertanding mempertahan Dun Sungai Limau (dahulu dikenali Dun Sala) yang dimenanginya sejak PRU ke-9 pada tahun 1995.
Hakikatnya ketika mula bertanding pada 1995, Allahyarham Ustaz Azizan hanya menang dengan majoriti 196 undi sahaja.
Pada waktu itu beliau mendapat 8,367 undi menewaskan calon BN yang mendapat 8,171 undi.
Majoriti itu meningkat sehingga yang tertinggi pada PRU2008 iaitu dengan 3,212 undi sebelum menurun pada PRU ke-13 lalu dengan 2,774 undi.
Jika itu faktanya, maka apakah adil untuk menjustifikasi penurunan majoriti PRK Sungai Limau dengan penampilan kali partama Ustaz Azam? Itu persoalan awal yang harus dijawab.
Fakta kedua, pada PRU13 lalu, pengundi Sungai Limau tentunya mengambil kira faktor jawatan Ustaz Azizan ketika itu yang sudah sepenggal menjadi Menteri Besar Kedah untuk terus memilih beliau.
Dengan Ustaz Azizan sebagai menteri besar, dan kerajaan negeri di bawah pentadbiran PAS, sudah tentu dua faktor berkembar ini mempengaruhi pengundinya yang yakin kemenangan Ustaz Azizan akan memberi kebaikan kepada mereka di Sungai Limau.
Cuma nasib tidak menyebelahi PAS Kedah pada PRU13, terpaksa akur bahawa rakyat mahukan perubahan kerajaan, walaupun di Sungai Limau Ustaz Azizan mengekalkan kemenangan.
Lalu sekali lagi persoalan sama timbul, maka apakah adil untuk menjustifikasi penurunan majoriti PRK Sungai Limau kali ini dengan penampilan kali partama Usta Azam?
Secara jujurnya saya melihat bahawa faktor besar kemenangan Ustaz Azam adalah faktor dirinya sendiri, tanpa tidak menafikan bayangan Ustaz Azizan juga membantu kemenangannya.
Dengan mendapat majoriti 1084 undi (biarpun menurun dari yang diperoleh Ustaz Azizan pada PRU13 lalu), sudah cukup besar menampakkan penerimaan rakyat terhadap beliau untuk mewakili mereka.
Selaku seorang anak muda, kali pertama pula bertanding, dan kemudiannya menang, menggambarkan betapa pemilihan beliau sebagai calon oleh PAS adalah tepat.
Kepada Ustaz Azam, persetankan jumlah majoriti yang dipolemikkan, rakyat telah menunaikan hak mereka dengan memberi mandat kepada anda, maka tunaikanlah pula hak rakyat Sungai Limau selepas ini.
Pada saya, dengan majoriti 1,084 undi untuk penampilan pertama, dan naik melalui pilihan raya kecil (di mana seluruh jentera BN turun bertumpu untuk berkempen) anda sudah boleh dianggap wira. -HD