3 Jun 2013

Ada Tarian Separuh Bogel Di Pusat Beli-belah Segamat


PAS Kawasan Segamat membantah sekeras-kerasnya penganjuran tarian separuh bogel oleh wanita-wanita yg dipercayai di bawa dari luar negara di sebuah pasaraya One Segamat pada 1 jun 2013 jam 8.30pm.

Tarian separuh bogel tersebut telah disaksikan oleh hampir 500 pengunjung yang membawa bersama mereka anak-anak kecil dan diadakan pula pada waktu puncak dan malam minggu.

"Kami amat menyesali penganjuran tersebut diadakan secara terbuka yang ternyata menyalahi tatasusila adat dan budaya masyarakat Malaysia," kata Haji Firdaus Masod, Yang Di Pertua PAS Kawasan Segamat dalam kenyataannya.

Rata-rata yang menyaksikan tarian separuh bogel tersebut merasa agak terkejut dengan hidangan yang dipersembahkan pada malam tersebut.

Mereka lantas mempersoalkan bagaimana pihak berkuasa boleh terlepas pandang membenarkan suatu penganjuran yang menampilkan aksi lucah di pertontonkan kepada umum di daerah Segamat ini.

Pihak peniaga juga merasa kurang selesa dengan penganjuran tersebut kerana bunyi lagu yang diperdengarkan terlalu kuat hingga menyukarkan mereka untuk berkomunikasi dengan pelanggan-pelanggan.

Dari sudut agama pula, PAS Kawasan Segamat kesal dengan apa yang berlaku pada malam tersebut kerana ianya secara terang-terangan adalah persembahan yang haram di sisi agama kerana pendedahan aurat yg melampau dan disaksikan pula oleh orang awam.

"Peristiwa ini jelas telah menghina agama Islam dan menghina institusi Islam di negeri Johor itu sendiri," kata beliau kesal.

Bagi beliau, tarian separuh bogel ala padang pasir yang menggayakan aksi lucah ternyata tidak boleh diterima di negara ini kerana ianya bertentangan dengan norma-norma masyarakat serta berdosa oleh semua yang terlibat samada penonton maupun penganjur itu sendiri.

"Justeru kami PAS Kawasan Segamat mendesak pihak berkuasa sama ada Majlis Daerah Segamat atau pun Pejabat Agama Daerah Segamat segera mengambil tindakan tegas terhadap penganjur dan wanita-wanita yang membuat persembahan lucah di khalayak ramai dengan menggunakan segala peruntukan undang-undang yg sedia ada.

"Kami percaya hanya dengan tindakan tegas daripada pihak berkuasa sahaja yang akan dapat menghalang perkara seumpama ini tidak lagi berulang pada masa hadapan.

"Kami berdoa semoga daerah Segamat ini dijauhkan dari bala bencana kerana jika Allah ingin menurunkan balanya ianya tidak memilih hanya kepada pelaku maksiat sahaja tetapi keseluruhan penduduk Segamat akan menerima musibahnya," katanya.

UMNO Baru Terjaga Ketika Matahari Sudah Tegak Di Atas Kepala - TGNA


Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan kenyataan Perdana Menteri mahu meletakkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di bawah Jawatankuasa Khas Parlimen adalah bukti SPR sangat pincang sebelum ini.

"Pada saya, ini sebenarnya tidak lain hanyalah sebesar-besar bukti bahawa proses perjalanan pilihanraya yang dikendalikan oleh SPR sangat pincang," kata beliau dalam kenyataannya kepada Harakahdaily.

Bagi beliau, jika sebelum ini, ada pemimpin Umno yang mencadangkan agar sesiapa yang tidak berpuas hati dengan perjalanan pilihanraya boleh keluar dari bumi Malaysia, di mana agaknya wajahnya ingin diletakkan dengan pengumuman Presiden Umno itu sendiri?.

Sehubungan itu beliau mengingatkan para pemimpin Umno dan lain-lain pihak jangan memperlekehkan pandangan rakyat.

"Saya ingatkan, jangan sesekali memperlekeh pandangan pandangan rakyat marhaen," tegasnya.

Sementara itu, pandangan Tuan Guru Nik Aziz dikongsi oleh anggota Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong (gambar kanan).

"Saya berpendapat ini merupakan taktik terbaru Umno-BN untuk menghalalkan sebarang tindakan SPR di masa depan bagi mengekalkan kuasa mereka," katanya.

Jika Perdana Menteri betul-betul ikhlas untuk melaksanakan pembaharuan sistem pilihan raya, beliau menyeru supaya segera dilaksanakan tuntutan Bersih 3.0 iaitu

1) melaksanakan lapan tuntutan Bersih 2.0,

2) pimpinan SPR meletak jawatan segera kerana kehilangan keyakinan rakyat terhadap SPR, dan

3) membenarkan pemantau antarabangsa bebas untuk memantau pilihan raya.

"Jika ini tidak dilaksanakan terlebih dahulu, maka sebarang perubahan hanyalah perubahan kosmetik dan bakal menjadi satu lagi projek penipuan Barisan National," katanya.

Matahari Tegak dan UMNO Baru Terjaga

Saya membaca laporan muka hadapan Sinar Harian hari ini yang memuatkan pengumuman YAB Perdana Menteri Malaysia bahawa kerajaan telah memutuskan untuk memindahkan kawal selia dan fungsi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada satu Jawatankuasa Khas Parlimen yang bebas dan dwipartisan dianggotai wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.

Khabarnya ini bertujuan untuk memperkukuh kewibawaan dan kredibiliti badan pelaksana pilihan raya negara.

Saya memetik kata-kata Datuk Seri Najib yang antara lain menyatakan bahawa langkah ini bagi memastikan peranan suruhanjaya itu sebagai badan bebas tidak lagi dipersoalkan, sekali gus mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap peranannya mengadakan pilihan raya secara telus dan lancar.

Pada saya, ini sebenarnya tidak lain hanyalah sebesar-besar bukti bahawa proses perjalanan pilihanraya yang dikendalikan oleh SPR sangat pincang.


Inilah yang saya tegaskan kepada para wartawan yang bergegas ke rumah saya meminta ulasan di atas pengumuman Perdana Menteri itu.

Jika sebelum ini, ada pemimpin Umno yang mencadangkan agar sesiapa yang tidak berpuas hati dengan perjalanan pilihanraya boleh keluar dari bumi Malaysia, di mana agaknya wajahnya ingin diletakkan dengan pengumuman Presiden Umno itu sendiri?

Saya ingatkan, jangan sesekali memperlekeh pandangan pandangan rakyat marhaen.


Jika dahulu pemecatan Tun Salleh Abbas daripada jawatannya selaku Ketua Hakim Negara turut dipertikai oleh rakyat jelata tetapi kerajaan bermati-matian mempertahankan pemecatan tersebut. Alih-alih apabila teraju pemerintahan negara diambil alih oleh orang lain, Tun Salleh Abbas tidak semena-mena menerima pampasan daripada 'kesilapan kerajaan'. Siapa yang kata kerajaan tidak pernah silap?

Hari ini dengan pelbagai persepsi masyarakat terhadap SPR, sewajarnya kerajaan mengakui sahaja kesilapan.

Isu dakwat kekal yang bertukar menjadi tidak kekal dan senarai yang tidak bersih memperlihatkan seolah-olah kerajaan hari ini berdiri di atas mandat yang tidak betul.

Itu belum lagi dicampur isu undi awal yang jelas sekali prosesnya benar-benar menguntungkan Barisan Nasional.

Benar sangatlah reaksi langsung daripada rakyat di seluruh negara yang bangkit beramai-ramai menuntut pembersihan di dalam pilihanraya. Perlu diingatkan, PAS bukan tidak pernah kalah di dalam pilihanraya, bahkan PAS lebih banyak kalah daripada menang.

Namun dalam masa yang sama, PAS tidak boleh menerima penipuan di dalam pilihanraya. Ingatlah, amanah yang diperolehi daripada jalan yang haram hanya menjadi beban yang sangat berat untuk ditanggung di akhirat kelak!

Saya fikir mustahil Barisan Nasional ingin menurut jejak langkah rejim Hosni Mubarak di Mesir yang menang hampir seratus peratus di dalam pilihanraya tetapi akhirnya kecundang di jalan raya.

Dengarlah suara hati rakyat. SPR wajar dirombak, perbetulkan kembali sistem pilihanraya.

Sayangnya, Umno lambat sedar. Dalam pada rakyat bangkit beramai-ramai mempersoalkan kredibiliti SPR, ada pemimpin Umno masih bermain madah pujangga menegakkan benang yang basah.


Jika umpama orang yang tidur, Umno hanya terjaga ketika matahari tegak di atas kepala!

Salam hormat,

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)

"Belang" Nasha Semakin Jelas Kelihatan


Bekas ahli Majlis Syura PAS, Nasharudin Mat Isa antara tetamu majlis resepsi Saiful Bukhari

Gambar perkahwinan yang tidak suka dilihat

KUALA LUMPUR: Sekarang musim orang kahwin. Yang suka dilihat adalah gambar Ustaz Azhar Idrus berkahwin tiga. Namun ada satu perkahwinan yang tidak berapa suka dilihat khasnya oleh ahli PAS.

Ia adalah perkahwinan Saiful Bukhari dengan pasangannya Nik Suryani Megat Deraman di Dewan Dataran Karyawan Kompleks Belia Sukan Seksyen 7 di sini malam tadi.

Yang tak suka dilihat adalah tokoh-tokoh yang turut serta di majlis resepsi itu selepas majlis akad nikah di Kuala Terengganu.


Blogger terkenal Papagomo turut meraikan Saiful

Dengan bertemakan Garden Wedding, kira-kira 800 pengunjung yang hadir pada majlis tersebut turut dihiburkan dengan alunan music jazz yang dibawa oleh Jimmy and Fans semasa majlis itu sedang berlangsung.

Menurut blog KLpos, antara tetamu kenamaan yang hadir pada majlis tersebut adalah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Besar Kedah, Datuk Paduka Mukriz Mahathir, bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa, Naib Presiden Perkasa Zulkifli Noordin dan blogger kontroversi Papa Gomo.

Pada 25 Mei lalu, Saiful Bukhari Azlan diijabkabulkan di Masjid Kristal Taman Tamadun Islam (TTI) berwalikan bapa pengantin perempuan sekaligus sah bergelar suami kepada salah seorang personaliti TV3, Nik Suryani.

Dengan jumlah mas kahwin berjumlah RM41,101, majlis diserikan dengan 9 dulang hantaran yang diiringi rombongan pengantin lelaki dan dibalas 11 dulang dari pihak keluarga Nik Suryani. -HD

Ulasan GB

Dapat dilihat kini "rakan sekeliling" Ustaz Nasha. Dan hilang segala perkataan apabila dimana ada papagomo disitu juga kelihatan Ust Nasha....

CCTV Bukan Jalan Penyelesaian Atasi Kematian Tahanan Polis


Pemasangan Kamera Litar Tertutup (CCTV) di lokap balai polis bukan jalan penyelesaian untuk menangani kes kematian tahanan ketika di bawah pengawasan polis.

Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran yang dihubungi berkata, kerajaan didesak untuk kesekelian kalinya agar menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) pada kadar segera.

Katanya, walaupun CCTV di pasang di lokap namun ia tidak menghalang daripada kejadian ‘keganasan’ yang dilakukan pihak polis terhadap tahanan daripada berlaku kerana perkara demikian boleh juga berlaku di luar pengawasan CCTV.

Sebelum ini, dalam kejadian terbaru, seorang jurutera, P Karuan menjadi individu ketiga yang maut dalam tahanan polis dalam tempoh dua minggu.

Kejadian itu berlaku di di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin yang dilaporkan ‘meninggal dunia tiba-tiba’ pada jam 7 petang Sabtu lalu.

“Hanya dengan penubuhan IPCMC akan menyelesaikan masalah kejadian kematian tahanan dalam lokap kerana selepas ini pihak Polis tidak akan berani untuk melakukan sebarang tindakan di luar batas kuasa dan juga jenayah,” kata beliau.

Tambah beliau, faktor kesihatan merupakan isu yang dihadapi oleh tahanan bukan menjadi isu utama kerana yang perlu diberi perhatian ialah tahanan yang dipukul dan diperlakukan sehingga boleh menyebabkan kecederaan dan kematian.

“Pihak Peguam Negara dan polis perlu professional dalam menjalankan tugas dan bertindak terhadap anggota polis yang terlibat kerana tiada tindakan tegas telah diambil,” kata Surendran.

Sehingga Mei 2013, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) merekodkan tujuh kematian dalam tahanan polis.

Mitos UMNO Sebagai Parti Terkuat!


Sukar kita hendak percaya bila Dato Najib kata UMNO muncul lebih baik selepas PRU13. Macam mana dia sampai kepada konklusi demikian? Jika kita lihat angka dari SPR, UMNO mendapat 3.2 juta undi. Jumlah ahli UMNO sahaja sudah melebihi 3.2 juta undi. Bagaimana Dato Najib dakwa sokongan Melayu kepada UMNO meningkat?

Undi yang UMNO dapat lebih kurang jumlah ahli UMNO. Ini bererti, perkara yang UMNO berjaya lakukan ialah meyakinkan ahli UMNO yang tidak menyokong UMNO dalam tahun 2008, menyokong nya kali ini. Jika demikian, tidak adalah berlaku penambahbaikan kepada UMNO. Tidak ada pertambahan sokongan orang Melayu yang bukan ahli UMNO kepada UMNO.

Jika Dato Najib berkeras berkata ada tambahan sokongan dari orang Melayu, maka itu bererti sokongan dari ahli UMNO sendiri kepada kepimpinan Dato Najib berkurang. Kalau ahli tidak percaya kepada kepimpinan presiden nya, maka apa lagi yang mereka tunggu?

UMNO hanya boleh mencapai angka 3.2 juta hanya jika ada sebahagian besar ahli UMNO tidak menyokong nya, dan deficit tersebut ditampung oleh sokongan Melayu bukan ahli UMNO. Jika semua ahli UMNO menyokong UMNO dalam PRU13, maka tidak ada sokongan Melayu bukan ahli UMNO kepada UMNO.

Jadi dimana letaknya kejayaan UMNO yang didakwa Dato Najib?

Dato Najib kata umno muncul sebagai parti yang paling popular pasca pru13 kerana umno menang 88 kerusi. Semua orang tahu UMNO bertanding dalam kerusi yang jumlah pengundi dalam kawasan nya jauh lebih kecil berbanding jumlah pengundi dalam kawasan parti lawan. Jika PAS bertanding dalam kawasan dimana jumlah pengundi secara purata berjumlah 77,000, UMNO bertanding dalam kawasan dimana jumlah pengundi secara purata adalah 36,000.

Maka jika kita lihat dari sudut ini, dengan membuat penyamarataan, nilai 88 kerusi UMNO itu hanya 44 kerusi parlimen. Kerana 2 kerusi yang dimenangi oleh UMNO bersamaan 1 kerusi PAS. Dan nilai sebenar 21 kerusi yang dimenangi oleh PAS itu ialah 42 kerusi. Ini bererti PAS dengan mudah menjadi parti pilihan selain UMNO. Demikian juga dengan PKR. PKR bertanding dalam kawasan dimana jumlah pengundi nya secara purata ialah 75,000. Nilai sebenar 30 kerusi yang dimenangi oleh PKR ialah 60 kerusi.

Jadi dimana letaknya kejayaan UMNO? Kemenangan nya ialah kemenangan kosong.

Dalam tahun 2008, umno telah mendapat 2 juta undi orang melayu. Ketika itu jumlah pengundi melayu ialah 5.7juta. Lebih ramai orang melayu sejak 2008 sudah pun menolak umno. Erti nya, ketika itu umno hanya memperolehi 35% dari undi orang melayu.

Berapa jumlah pengundi Melayu kali ini? Jika 70% dari 11.2 juta pengundi dalam PRU13 ialah orang Melayu, maka jumlah pengundi Melayu ialah 7.8 juta.

Buat lah perkiraan sendiri. Jika semua undi yang di perolehi UMNO semua nya pengundi Melayu, maka jumlah nya 3.2 juta. Tapi jumlah pengundi Melayu semua nya ialah 7.8 juta. Ini bererti 4.6 juta orang Melayu tidak menyokong UMNO.

Tapi kita tahu bukan semua 3.2 juta undi yang diperolehi UMNO itu datang dari orang Melayu. Orang Cina dan India masih menyokong calun UMNO. Katalah 15% sokongan untuk calun UMNO datang dari pengundi bukan Melayu. Ertinya, pengundi Melayu yang menyokong UMNO adalah sebanyak 85% atau 2.72 juta sahaja.

Sekali lagi buatlah perhitungan. Jumlah pengundi Melayu ialah 7.8 juta. UMNO hanya dapat 2.7 juta pengundi Melayu. Ertinya, 5 juta orang Melayu tidak menyokong UMNO dalam PRU13.

Jadi apalah yang hendak dibanggakan dengan 88 kerusi parlimen yang UMNO dapat?
-sakmongkol


Laporan sebelum ini
klik untuk baca



[TAZKIRAH] Tak Kira Siapa Kamu, Sayangilah Ibu!


Tak tergambar oleh kita betapa besar dan sucinya kasih seorang ibu terhadap anaknya. Sejak dalam kandungan, ibu menanggung segala kesakitan dengan penuh kesabaran. Begitu juga selepas kita dilahirkan, ibu mengasuh dan menjaga dengan penuh kasih sayang yang tak berbelah bagi.

Kita sebagai anak, tak akan mampu membalas jasa ibu yang selama ini membesarkan kita sehingga dewasa. Walaupun beribu, berjuta wang dipertaruhkan. Ia masih tak mampu membalas jutaan kasih ibu yang memang tak ternilai harga dan semestinya tiada apa pun di dunia ini dapat membeli kasih seorang ibu.


Seorang lelaki Taiwan menyuap makanan kepada ibunya seperti mana ibunya pernah lakukan kepadanya ketika masih kecil...


Dan yang ini lebih mengharukan... alangkan binatang tahu menyayangi ibunya.... Maka hinanya manusia jika mengabai dan tidak memperdulikan ibunya...


Diriwayatkan dari Abu Hurairah, dia berkata, “Seorang lelaki pernah mendatangi Rasulullah, lalu dia berkata, ‘Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak aku perlakukan dengan baik?’ Rasulullah menjawab, ‘Ibumu.’ Lelaki itu bertanya, ‘Kemudian siapa lagi?’ Rasulullah menjawab, ‘Ibumu.’ Lelaki itu bertanya, ‘Kemudian siapa lagi?’ Rasulullah menjawab, ‘Ibumu.’ Lelaki itu bertanya (lagi), ‘Kemudian siapa lagi?’ Lelaki itu menjawab, ‘Bapamu.’” (HR. Bukhari dan Muslim)

Justeru itu sentiasalah berdoa untuk kedua ibubapamu: