24 Jun 2010

Kerajaan 1Malaysia Yang Kartun Haramkan Kartun '1Funny Malaysia'

Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengharam buku terbitan Malaysiakini oleh kartunis popular Zulkifli Anwar Ulhaque, atau lebih dikenali sebagai Zunar, mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Selain buku '1Funny Malaysia', yang diterbitkan oleh Kinibooks yang merupakan anak syarikat Malaysiakini, dua lagi komik Zunar - Perak Darul Kartun dan Isu Dalam Kartun - turut diharamkan.

Ketua setiausaha KDN, Datuk Seri Mahmood Adam berkata buku-buku tersebut diharamkan kerana ia tidak sesuai untuk bacaan umum.

"Ketiga-tiga bahan penerbitan itu dikenakan perintah larangan kerana mengandungi bahan yang boleh mempengaruhi pemikiran rakyat untuk menentang kepimpinan dan dasar kerajaan.

"Ia tidak sesuai untuk bacaan umum dan sekiranya dibiarkan, ia boleh memudaratkan ketenteraman awam," katanya.

Bagaimanapun, Mahmood tidak menyebut mengenai satu lagi buku terbitan Malaysiakini - 'Where is Justice?' - yang telah dirampas bersama dengan '1Funny Malaysia' dari kedai buku empat bulan lalu.

'1Funny Malaysia' merupakan kompilasi kartun Zunar, manakala buku 'Where is Justice' adalah mengenai kematian atau kekejaman dalam tahanan polis dengan fokus terhadap empat kes besar - Teoh Beng Hock, A Kugan, Altantuya Shaariibuu, dan Anwar Ibrahim

Di bawah akta tersebut, mereka yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau memiliki bahan penerbitan dilarang, jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali. -mk

Ulasan GB

Dengan buku kartun pun kerajaan 1Malaysia Najib begitu trauma sampai diharamkan buku berkenaan.

Benar-benar kerajaan UMNO BN dah takut... kartun pun dah disangka real, sehingga dikatakan boleh mengubah pemikiran rakyat untuk menentang kepimpinan dan dasar kerajaan.

Jika demikian, tak cukup kuatlah kerajaan Najib jika kritikan dengan buku kartun pun diharamkan.

Lagipun, ingat bagus sangat kepimpinan dan dasar kerajaan yang ada kini sampai tak boleh dikritik dan ditegur? Teguran dengan lukisan kartun dah kira baik daripada rakyat gulingkan kerajaan dengan peti undi nanti.

Hadi Menuntut Di Universiti Wahabi .. Fitnah Yang Benar

Hadi: Saya memang belajar di universiti Wahabi tapi...

Mengakui mendapat pendidikan di universiti Wahabi dan mendapat tajaaan 'biasiswa Wahabi', Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, itu tidak menghalangnya daripada mempunya pandangan yang tersendiri dalam hal ehwan agama.

"Saya memang belajar di universiti Wahabi, dapat biasiswa Wahabi," katanya sambil tersenyum.

"Tetapi saya ada pandangan saya sendiri,"
jelasnya lagi seperti dilaporkan akhbar web PAS Harakahdaily.

Semasa mudanya Abdul Hadi pernah menuntut di sebuah universiti di Arab Saudi - negeri yang dikaitkan dengan fahaman Wahabisme.

Malaysiakini difahamkan dalam mesyuarat anti-keganasan anjuran pihak polis Isnin lalu seorang pegawai daripada sebuah agensi agama memberikan penerangan tentang 'hubungan' beberapa tokoh agama dan politik dengan Wahabi dan Jemaah Islamiah (JI).

Menurut sumber-sumber, selain Abdul Hadi, turut dikaitkan sama dengan 'lingkaran' itu, antaranya bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim, bekas mufti negeri Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan mufti sekarang Dr Juanda Jaya.

Ditemui di pejabat pembangkang di Parlimen sebentar tadi, Abdul Hadi berkata cubaan mengaitkan fahaman Wahabi dengan Jemaah Islamiah (JI) atau terorisme adalah agenda Barat serta musuh yang mahu memburukkan Islam.

Katanya, musuh Islam sememangnya menggunakan isu perbezaan mazhab untuk memecahkan umat Islam.

"Wahabi tidak ada kena mengena dengan teroris pun, itu satu agenda Barat dan musuh Islam," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang. -mk

Ulasan GB

Presiden PAS, Ustadz Abdul Hadi Awang difitnah, dengan "fitnah yang benar".

Istilah "fitnah yang benar" pertama kali didengarkan kepada umum oleh Presiden PAS sendiri di Konvensyen Blogger PAS yang diadakan di markas PAS Taman Melewar beberapa bulan lalu.

Katanya: "Tak semua fitnah itu bohong, fitnah ada bohong ada benar, tetapi tidak semua fitnah boleh disebar begitu sahaja walaupun ianya benar, benar tapi jahat."

Namun Ustadz Abdul Hadi berkata lagi: "Penulisan dengan menyebarkan maklumat yang baik katanya akan menghasilkan pahala yang berpanjangan, manakala penyebaran berita dengan niat jahat menghasilkan dosa berterusan.

"Jihad paling afdal adalah bercakap benar," tambahnya.

Bersandarkan kepada petikan di atas GB rumuskan begini untuk panduan para blogger:

"Fitnah terbagi dua, yang bohong dan yang benar. Yang bohong memang haram ditulis manakala fitnah yang benar bergantung kepada niat: niat baik atau niat jahat. Yang baik akan menghasilkan pahala yang berpanjangan, manakala penyebaran berita dengan niat jahat menghasilkan dosa berterusan."

Tinggalkan itu.

Kini, kembali kepada pokok persoalan: Ustadz Abdul Hadi belajar di universiti wahabi. Itu satu fitnah yang benar tetapi niat yang jahat mengkaitkan Abdul Hadi dengan JI.

Sementelah lagi, apakah semua yang belajar di universiti wahabi akan keluar sebagai graduan wahabi?

Jika demikian Tan Sri Dato' Nor Mohamed Yakcop yang memperolehi MBA dari Catholic University of Leuven, Belgium adalah graduan kristian kerana mendapat pendidikan dari universiti katolik?

Demikian penyebaran maklumat yang berniat jahat. Tetapi Ustadz Abdul Hadi kini menerima fitnah yang benar.

Di dalam satu komentar di dalam satu rencana yang dikeluarkan di kelab GB, GB telah ditanya dan GB telah menjawab.


Anonymous said...

Assalamualaikum saudara GB..sebelum ini anda banyak mengulas dan menghentam Tuan Guru Haji Hadi...saya nak tanya awak, hari ini Tuan Guru telah dituduh sebagai seorang pengganas adakah anda setuju dan terlalu gembira dengan tuduhan ini...

June 24, 2010 11:15 AM

GB said...
waalaikumussalam.

Baca dan renung kejadian itu di dalam satu kesatuan.. iaitu semuanya dari Allah s.w.t.. Setiap satu kejadian Allah s.w.t. tidak ada yang sia-sia.. Ayat manzurah adalah ayat yang jelas dan nyata untuk kaum yang berfikir.

Apa yang dilalui oleh Ustadz Abd Hadi adalah fitnah yang menimpa dirinya kerana sebelum ini fitnah telah menimpa PAS ekoran isu UG yg dibawanya.

UMNO begitu gembira untuk menyambut Abd Hadi ke persadanya tetapi Allah s.w.t. tidak mengizinkan hal itu berlaku lantaran itu Allah menggagalkan UG.

Kini UMNO masih berusaha, dengan langkah terakhir iitu "ugutan" dengan mengkaitkan Abdul Hadi dengan wahabi dan JI untuk memerangkapnya.

Dengan kekentalan imannya dan doa orang beriman juga insyaAllah Abdul Hadi akan berjaya melepas ujian getir tersebut.

Iktibar kepada golongan mukminin: jangan sesekali timbulkan fitnah kepada jemaah, kelak nanti fitnah akan menimpa dirimu pula!

June 24, 2010 12:41 PM


GB hanya ahli PAS biasa. Bukan ustadz bukan ulamak. Dibandingkan ilmu syariat Ustadz Abdul Hadi dengan GB macam langit dengan bumi bezanya. Takkan boleh GB melawannya. Tetapi, peduli apa itu semua kerana bagi GB, kebenaran (hakikat) itu lebih berhak untuk diikuti - al-haq ahaqqu an yutaba'.

Dan jangan diabaikan hadith daripada Abu Hurairah ra ini:

Jihad paling afdal adalah bercakap benar.

Dia Bapa Judi, Bapa Rasuah & Bapa Putarbelit

Najib: K'jaan belanja RM37.7 juta di Sibu

Sejumlah RM37.7 juta dana dibelanjakan pada pilihan raya kecil Sibu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat hari ini.

“Bagi pilihan raya kecil Sibu, kerajaan meluluskan 107 program atau rancangan yang bernilai RM37.7 juta untuk dilaksanakan di seluruh kawasan parlimen itu,” kata Najib.

Dana itu untuk dibelanjakan bagi infrastruktur fizikal, sumbangan dan bantuan tunai sertai program sosial.

Menurut carta yang dibekalkan oleh Najib sejumlah RM28.7 juta dibelanjakan bagi sumbangan dan bantuan tunai semata-mata.

“Kerajaan tidak pernah menjanjikan program atau projek kepada rakyat semasa kempen pilihan raya di seluruh negara termasuk di Sibu,” katanya.

“Program dan projek yang dilaksanakan semasa pilihan raya kecil dirancang oleh kerajaan terlebih dahulu sebelum pilihan raya kecil tersebut diadakan sama seperti di kawasan parlimen dan dewan undangan ngeri (DUN) lain di seluruh negara.”


Najib menjawab soalan daripada Wong Ho Leng (DAP-Sibu), yang berjaya merampas kerusi Sibu daripada BN dengan majoriti tipis pada pilihan raya kecil 16 Mei lalu.

Bercakap kepada wartawan di lobi Parlimen, Wong membidas kerajaan kerana gagal membekalkan senarai pecahan penuh berhubung bagaimana wang berkenaan disalurkan.

Katanya, 66 sumbangan kewangan amat dicurigai dan kerajaan sepatutnya memberi penjelasan terperinci.

“Kita tidak tahu apa 66 barangan ini. Adakah ia termasuk RM5 juta yang dijanjikan? Adakah ia termasuk RM18 juta yang diberikan kepada sekolah vernakular? Bagaimana pula wang untuk gereja?

“Ada yang disalurkan ke kategori 'fizikal' dan 'program'. Rakyat berhak tahu mengenai pecahan perbelanjaan itu,” katanya.

“Yang nyata, dana RM37 juta ini menunjukkan bahawa BN akan hanya berbelanja semasa pilihan raya kecil. Justeru, tidak menghairankan rakyat suka pilihan raya kecil.”

Najib sebelum ini dikecam selepas menjanjikan RM5 juta projek tebatan banjir kepada pengundi di Rajak Park dengan syarat BN memenangi pilihan raya itu.


Tiada Projek Pilihanraya Untuk Sibu

Pimpinan Pakatan Rakyat tidak terkejut dengan kenyataan Perdana Menteri Najib Razak kononnya kerajaan tidak pernah menjanjikan projek kepada rakyat semasa kempen pilihan raya kecil di seluruh negara termasuk di Parlimen Sibu Mei lalu.

Malah rata-rata mereka berkata alasan Najib sudah dijangka.

Najib berkata segala peruntukkan yang diberi telah dirancang terlebih dahulu dan bukannya projek mee segera untuk meraih undi rakyat.

Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani berkata gelagat Najib yang gemar memutar belitkan kenyataan sudah lama sebati dengan dirinya.

“Memang sejak dulu Najib selalu cakap pusing-pusing," tegas beliau sambil menyifatkan kenyataan Najib itu sebagai lucu.

Bagi Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, penafian Najib tidak mudah diterima oleh rakyat Malaysia berikutan klip video kontroversi Najib itu sudah diketahui umum.

“Bukan sahaja di Sibu, pada pilihan raya kecil Hulu Selangor, Najib juga secara tiba- tiba meluluskan sejumlah RM 3 juta dana kepada sekolah jenis kebangsaan cina dengan syarat, calon mereka mesti menang pada pilihan raya itu,” ujar Charles-TVS


Zamihan Wajar Dikenakan Tindakan

Zamihan: Saya hanya ‘bangkit’ nama Asri, tiga lain tidak

KUALA LUMPUR, 24 Jun — Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras, Institut Latihan Islam Malaysia, Zamihan Mat Zin hari ini menafikan dakwaan bahawa beliau pernah mengaitkan nama dua pemimpin politik termasuk Presiden PAS dan mufti Perlis dengan fahaman wahabi dan pengganas Jemaah Islamiah (JI).

Sebaliknya Zamihan mengakui ada “membangkitkan” nama bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam taklimat keselamatan negara berhubung JI di Bukit Aman Isnin lalu berdasarkan tulisan beliau selama ini.

“Dakwaan itu adalah satu pembohongan, dusta dan khianat,” kata Zamihan.

“Saya tidak pernah menyentuh ketiga-tiga tokoh itu mempunyai kaitan kecuali Asri, itupun berdasarkan analisis daripada buku-bukunya yang dilihat mempunyai pemikiran yang sama dengan JI,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider pagi ini.

The Malaysian Insider difahamkan selain Asri, Zamihan turut mengaitkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan Mufti Perlis Dr Juanda Jaya mempunyai kaitan dengan fahaman wahabi dan JI.

Beliau juga mempersoalkan bagaimana boleh berlaku “kebocoran” perbincangan sesi taklimat itu sedangkan ia adalah sulit dan menyifatkan dakwaan itu sebagai rekaan untuk menimbulkan salah faham.

“Taklimat itu adalah sulit. Mengapa ada pihak yang membocorkan maklumat itu? Dalam taklimat itu saya hanya bercakap mengenai fahaman pelampau dan penyebarannya di Institut Pengajian Tinggi.

“Saya percaya ia adalah usaha-usaha pihak tertentu yang sengaja menyebarkan fitnah untuk menimbulkan salah faham,” katanya.

Ahli-ahli Parlimen PAS juga mencabar kerajaan mendedahkan bukti bagi mengaitkan beliau dengan JI.

Oleh itu katanya beliau bercadang untuk membuat laporan polis untuk menyiasat individu yang membocorkan maklumat itu serta menyebarkan dakwaan palsu.

Sehubungan itu Zamihan memberitahu beliau bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan keempat-empat tokoh itu bagi menjelaskan perkara yang sebenarnya.

“Saya sedia untuk membuat penjelasan kerana ia bukan sahaja mencemarkan imej saya tetapi juga mereka.

“Buat apa saya hendak takut kalau saya tidak buat,” katanya lagi.

Laporan media menyebut nama Shahidan, Hadi Awang serta bekas mufti Perlis dan mufti semasa negeri itu dikaitkan dengan JI dan fahaman wahabi pada satu taklimat pihak berkuasa Isnin lalu.

Bagaimanapun dakwaan itu dipertikaikan oleh Asri dan mufti Perlis Dr Juanda Jaya sambil menegaskan, pendedahan wujudnya peranan JI sambil dikaitkan dengan tokoh-tokoh tokoh politik kemungkinan besar merupakan “mainan politik kotor kerajaan” untuk mengalih isu semasa.

“Dengan ini, apa yang disebut oleh beberapa tokoh masyarakat seperti SM Idris dan pihak Pakatan Rakyat bahawa isu ini tiada asasnya kelihatan benar.

“Bahkan ia bermungkinan besar mainan politik kotor kerajaan yang memerintah untuk mengalihkan isu-isu tertentu,” kata dua pemimpin berkenaan dalam satu kenyataan dikeluarkan pagi semalam.

Asri merupakan bekas mufti Perlis dan tempatnya digantikan oleh Juanda.

Asri dan Juanda menambah, buktinya laporan media yang menyatakan bahawa dalam satu taklimat keselamatan negara berhubung JI Isnin lalu telah didakwa bahawa nama kedua-dua mereka bersama Hadi dan Shahidan serta ramai lagi tokoh masyarakat dikaitkan dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

“Demikian dikaitkan pertubuhan JIM dengan rangkaian pemikiran radikal di Timur Tengah,” kata Asri dan Juanda dalam kenyataan bersama.

Presiden Jamaah Islam Malaysia (JIM) Zaid Kamaruddin juga menyelar dengan berkata “apa bukti JIM terlibat dengan JI?”

“Adakah Zamihan ada bukti mengatakan JIM mempunyai kaitan? Jika ada, buktikan kepada semua.

“Jangan sesuka hati lemparkan tuduhan-tuduhan yang liar seperti jika tiada bukti,” kata Zaid kepada The Malaysian Insider semalam.

Malah, Shahidan juga mempertikaikan tindakan Zamihan mengaitkan nama beliau dengan wahabi dan JI.


JI Akan Letupkan Rumah Ibadat - Hasil Risikan

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata penahanan 10 anggota Jemaah Islamiah (JI) awal tahun ini adalah hasil maklumat bahawa kumpulan itu akan meletupkan tempat ibadat bukan Islam di Selangor dan Pulau Pinang.

Beliau berkata kumpulan yang diketuai oleh lelaki Syria bernama Ayman serta lapan lagi warga asing dan seorang rakyat tempatan itu ditahan di Sungai Cincin, Gombak pada 21 Jan tahun ini.

Katanya, daripada yang ditahan itu, didapati lima daripadanya adalah pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

"Kesemua mereka adalah pendakwah bebas dan penyokong kuat kepada Ayman iaitu ketua kepada kumpulan ini. Warga tempatan itu didapati telah berkenalan dengan Ayman semasa beliau belajar di Pakistan.

"Apa yang diketahui, peranan Ayman selain menjadi ketua kepada kumpulan tersebut, beliau juga merupakan tenaga pengajar bagi kumpulan Al-Qaeda di mana beliau berperanan untuk melatih (rekrut) pelajar," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan anggota Parlimen Pokok Sena daripada PAS Datuk Mahfuz Omar yang mencelah ketika beliau menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat, di sini.

Mahfuz dalam soalannya mempersoalkan kandungan taklimat keselamatan yang diberikan polis mengenai wujudnya kumpulan pengganas kepada Naib-Naib Canselor universiti dan wakil Kementerian Pengajian Tinggi baru-baru ini yang didakwanya tidak mempunyai bukti yang kukuh untuk mengaitkan bahawa wujudnya sarang pengganas di IPT.

Beliau juga mendakwa bahawa pada sesi taklimat tersebut gambar Anggota Parlimen Marang dari PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim, bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Mufti Perlis Dr Juanda Jaya turut ditayangkan seolah mengaitkan fahaman wahabi dengan JI.


Dalam pada itu, Abu Seman berkata Ayman berada di negara ini bertujuan untuk mendapatkan potensi di kalangan pelajar yang boleh dijadikan sebagai kumpulan militan.

"Mereka kemudiannya akan dihantar ke negara ketiga untuk dilatih bagi berjihad," katanya.

Beliau berkata penahanan 10 anggota JI itu perlu dilakukan kerana ia boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman negara.

Pada 14 Jun lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan mendedahkan seramai 10 individu warga asing ditahan kerana disyaki terbabit dengan kegiatan kumpulan ekstremis JI sejak awal tahun ini.

Dalam pendedahan itu, Musa berkata ke semua suspek berusia dalam lingkungan 30-an dihantar pulang ke negara asal mereka untuk tindakan undang-undang.

Sementara itu, menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Khalid Abd Samad (PAS-Shah Alam) yang pada sesi perbahasan RMK-10 yang meminta kementerian mendedahkan tindakan yang diambil polis bagi mengawal fahaman tertentu di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS), Abu Seman berkata KDN dan polis telah merangka tindakan bersepadu dengan agensi berkaitan untuk tangani isu keselamatan yang wujud di IPTA dan IPTS.

Agensi-agensi yang terbabit ialah Kementerian Pengajian Tinggi, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Imigresen, Majlis Keselamatan Negara dan Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri.

-- BERNAMA


Ulasan GB

1) Isu pertelagahan Zamihan dan Dr.Asri telah lama diketahui umum. Zamihan menggunakan kedudukannya di JAKIM untuk menyerang Dr.Asri dengan mengkaitkannya dengan fahaman 'wahabi' yang kebetulan fahaman ini diikuti oleh puak terroris.

GB bukan dari kalangan wahabi, tetapi di dalam kes ini, GB menyokong Dr.Asri kerana pegangan Dr.Asri apabil dilihat dari perspektif syariat, lebih menepati kebenaran. Matan dari pegangannya, segala sesuatu yang diamalkan di dunia hendaklah besandarkan kepada hadith yang sahih.

Proses keislaman di negara ini belum syumul, lantarannya GB akui masih banyak "bidaah" yang berlaku yang jika dibiarkan akan menjadikan umat berada di dalam kesesatan yang nyata.

Di sinilah peranan apa yang digelar oleh Dr.Asri sebagai "kaum muda". Mendidik, menerang dan menunjukkan kepada masyarakat apa yang dimaksudkan kembali kepada pegangan Islam yang murni tanpa dicemari dengan unsur bidaah.

Namun usaha itu tidak mudah kerana akar budaya yang mengikat masyarakat Islam sukar untuk mengelakkan dari wujudnya perkara yang tidak diamalkan oleh Rasulullah contohnya perayaan Maulud Nabi. Kelantan di bawah pimpinan TGNA tidak mengadakan sambutan Maulud Nabi, apakah TGNA berfahaman wahabi lantarannya? Tentu sekali tidak, tetapi "kebenaran" itulah yang diutamakan oleh agama dan itulah yang dilakukan oleh TGNA.

Zamihan melihat hanya unsur radikalisme semata-mata di dalam pegangan Dr Asri sehingga mengabaikan kebenarannya.

Pegangan Zamihan adalah pegangan UMNO. Apa saja peninggalan datuk nenek moyang diterima sekalipun sesat, sekalipun bidaah, sekalipun tidak bersandar kepada nas yang sahih.

Itu sebab hal-hal bidaah banyak berlaku di dalam upacara-ucapara kerajaan UMNO seperti tepung tawar, mencium keris, meletak bunga di tugu peringatan, sambutan maulud Nabi besar-besaran tetapi pada masa yang sama meninggalkan ajarannya seperti meluluskan lesen judi dan seumpamanya.

2) Zamihan menanya "bagaimana boleh berlaku “kebocoran” perbincangan sesi taklimat itu sedangkan ia adalah sulit dan menyifatkan dakwaan itu sebagai rekaan untuk menimbulkan salah faham.

Persoalannya: pertama, mengapa sesi itu diadakan secara sulit? Dan kedua, jika dakwaan itu rekaan semata-mata ia bererti ia tidak terkandung di dalam taklimat berkenaan. Justeru itu mengapa Zamihan menyatakan ada kebocoran?

Jika beliau tidak takut sepertimana dakwaannya, perbincangan itu tidak perlu sulit. Kedua jika berlaku kebocoran mengikut dakwaannya, bererti apa yang bocor itu memang ada dari pertemuan yang dianggapkan sulit itu. Jika tidak apa yang bocor?

3) Bagi PAS yang berpegang kepada ahli Sunnah wal-Jamaah, kita mengikut apa yang benar kerana kebenaran itu lebih berhak untuk dipatuhi dan diikuti. Ertinya apabila hujjah dikemukakan berpandukan kepada nas aqli dan naqli, itulah ikutan kita. Bidaah memang banyak diamalkan oleh masyarakat kita termasuk di kalangan ahli PAS sendiri, namun proses memurnikan perjuangan menuntut kita untuk "perbaiki dirimu dan serulah orang lain".

4) Jika Zamihan menafikan dakwaan bahawa beliau pernah mengaitkan nama dua pemimpin politik termasuk Presiden PAS dan mufti Perlis dengan fahaman wahabi dan pengganas Jemaah Islamiah (JI), siapa pula pihak ketiga yang melakukannya? Mesti ada. Kita nampak UMNO di belakangnya. Apa tujuannya? Dah terjawab di SINI.

Shahidan Mahu Saman Pegawai JAKIM

Bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang pegawai kanan daripada sebuah institut kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kerana didakwa membuat kenyataan tidak benar tentang dirinya.

Shahidan berkata kenyataan Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Zamihan Mat Zin yang didakwa mengaitkannya dengan aliran Wahabi dan kumpulan pengganas Jemaah Islamiah (JI) itu merosakkan nama baiknya.

"Takkanlah saya ini pengganas. Saya ini ahli sukan. Saya rasa sayalah orang yang paling banyak masuk persatuan sukan di negara ini," katanya yang juga presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM).

Shahidan bagaimanapun belum lagi menentukan masa bagi memfailkan samannya itu.

Malaysiakini difahamkan dalam mesyuarat anti-keganasan anjuran pihak polis di Kuala Lumpur Isnin lalu - yang melibatkan pegawai tertingginya - Zamihan memberikan penerangan tentang 'hubungan' Dr Asri dengan Wahabi dan JI.

Menurut sumber-sumber, selain beliau, turut dikaitkan sama dengan 'lingkaran' itu, antaranya Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan mufti Perlis sekarang Dr Juanda Jaya.

Dr Asri dan Dr Juanda hari ini turut menafikan dakwaan itu.

Shahidan: 'Binatang' apa itu Wahabi?

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini Shahidan berkata walaupun terdapat dakwaan negatif terhadapnya itu, beliau yakin pihak polis tidak akan mempercayainya kerana "polis tahu pergerakan saya".

"Pihak polis pun tahu (dakwaan) itu tidak betul," katanya yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno.

Bagaimanapun beliau mempertikaikan bagaimana pegawai terbabit dijemput menyampaikan taklimat sebegitu sendangkan "(kewibawaan) dia sendiri boleh dipertikaikan".

"Kenapa tidak panggil ketua pengarah JAKIM? Dia (Zamihan) bukan pegawai tinggi. Zamihan ini siapa?" soal Shahidan kembali.

Shahidan juga mendakwa beliau sendiri tidak tahu menahu apakah maksud Wahabi yang dimaksudkan pelbagai pihak di negara ini.

"Siapa Wahabi? 'Binatang' apa itu Wahabi? Ada tanduk atau tak ada tanduk? Kami di Perlis ini tak tahu apa itu Wahabi?" katanya separa berseloroh.

Usaha Malaysiakini menghubungi Zamihan setakat ini masih belum berhasil. -mk