16 Feb 2009

Ulasan Berita Hangat 16 Feb 2009

Sikap Polis yang berat sebelah di dalam menjalankan tugas amat dikesali. Apabila pembangkang menganjurkan perhimpunan ia akan segera dilabelkan sebagai perhimpunan haram dan kemudian akan segera dilakukan penahanan dan penangkapan terhadap mereka yang terlibat.

Tetapi apabila UMNO melakukan perkara yang sama, pihak polis berdiam diri seperti dan tidak mengambil apa-apa tindakan.

Sikap berat sebelah dan tidak profesyenal Polis berkenaan sewajarnya mendapat kritikan hebat rakyat kerana ia jelas menampakkan bahawa mereka selama ini bertindak sebagai kuda tunggangan dan alat kepada parti UMNO/BN.

SULTAN MIZAN MINTA SEMUA PIHAK HORMATI PERLEMBAGAN

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengingatkan rakyat jelata supaya menghormati Perlembagaan Persekutuan dan berharap tidak ada sebarang percubaan untuk mewujudkan undang-undang lain yang bertentangan dengan keluhuran Perlembagaan.

Tuanku Mizan turut melahirkan rasa dukacita kerana walaupun negara telah 51 tahun merdeka, isu perkauman yang sempit masih dibangkitkan oleh pihak tertentu dan menjadi perdebatan umum.

Peringatan baginda berkenaan ditafsirkan oleh banyak pihak sebagai satu sindiran pedas kepada parti UMNO yang membelakangkan Perlembagaan apabila melakukan rampasan kuasa terhadap kerajaan Pakatan Rakyat di Perak dan melantik Menteri Besar Perak tanpa mengikuti prosedur yang termaktub di dalam Perlembagaan.

Sentimen perkauman sempit yang dimainkan oleh UMNO di dalam beberapa siri "tunjuk perasaan" di Perak terutama yang dianjurkan oleh sayap pemudanya jelas merupakan satu fenomena yang berbahaya di dalam konteks hubungan kaum di dalam negara yang multi-racial ini.

Baginda juga melahirkan rasa dukacita terhadap sikap dan perilaku yang tidak sepatutnya dilakukan di kalangan Ahli Parlimen pada sesi persidangan yang lepas.

Hal ini amat jelas untuk kita perhatikan semula gelagat ahli parlimen UMNO terutama dari Pasir Salak yang mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah di dalam sessi perbahasan Dewan Rakyat di penggal yang lepas. Namun oleh kerana tindakan Speaker yang berat sebelah tidak pernah mengambil tindakan ke atasnya sepertimana tindakan yang diambil ke atas ahli parlimen Pakatan Rakyat kadang-kala hanya dengan alasan tidak bersetuju dengan pandangan Speaker.




POLIS KENALPASTI DALANG DI SEBALIK GAMBAR BOGEL EXCO
Polis telah mengenal pasti dalang disebalik pengedaran gambar bogel Exco kerajaan negeri Selangor, Elizabeth Wong.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed berkata, polis akan merekodkan kenyataan daripada lelaki itu dan siasatan awal menunjukkan suspek memiliki beberapa keping gambar bogel ahli politik berumur 37 tahun itu

Sementara itu, bekas MB Selangor, Khir Toyo menanggung di air keruh apabila menuduh exco berkenaan hilang kredibilitinya dengan isu berkenaan dan meminta exco berkenaan meletakkan jawatannya serta merta. Banyak pihak merasakan bahawa kenyataan Khir Toyo berkenaan sebagai calon Ketua Pemuda UMNO yang desperado - mengambil apa juga kesempatan untuk kepetingan dirinya tanpa mengkaji latarbelakang isu yang sebenar.

BEKAS KETUA PEMUDA MIC PUCHONG MEMBUAT LAPORAN KEPADA SPRM TERHADAP SAMY VELLU

Pengerusi MIC, Samy Vellu hari ini di adukan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana dituduh penyelewengan di dalam MIED dan Kolej Perubatan AIMFT.

Bekas Ketua Pemuda MIC Puchong, S. Murali mendakwa tender jutaan ringgit telah ditawarkan kepada beberapa syarikat yang dimiliki oleh kroni-kroni Samy Vellu.

Murali meminta SPRM melakukan siasatan terhadap tuduhannya itu.


Episod Perak - Petanda Berakhirnya BN?

Episod rampasan kuasa di Perak dengan tertubuhnya sebuah kerajaan yang tidak mendapat restu majoriti rakyat sehingga ada pihak mendesak supaya diadakan referendum (pungutan suara) demi untuk mengembalikan ketenteraman awam di negeri berkenaan.

Penggunaan taktik kekerasan seperti mengerahkan anggota Polis untuk menahan dan menangkap rakyat yang tidak berpuashati terhadap episod jijik berkenaan tidak akan sama sekali mampu untuk mententeramkan suasana. Ia hanyalah satu usaha menyapu sampah ke bawah karpet sedangkan kegelisahan itu tetap membara dan menunggu ianya meletus pada bila-bila masa.

UMNO/BN telah bertempik kegembiraan dengan rampasan kuasa yang telah meletakkan mereka di puncak kekuasaan negeri Perak melalui jalan yang membelakangkan Perlembagaan. Apabila berlaku satu perencanaan "rompakan" wakil rakyat ala Mafia dan kemudiannya dengan muka tak tahu malu mengisytiharkan diri telah berkuasa tanpa perlu merujuk kembali "restu" rakyat melalui pembubaran dewan undangan negeri serta menafikan satu pilihanraya yang baru diadakan, jelas menampakkan pembelakangan terhadap sistem demokrasi yang diamalkan oleh negara dan dijunjung tinggi oleh Perlembagaan.

Tokoh politik veteran UMNO yang juga seorang Ahli Parlimen, YBM Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan:

"Perlembagaan memberi peruntukan supaya melakukan ujian yang formal dan muktamad untuk mengetahui betapa kuat sokongan, atau keizinan, yang diberi kepada kerajaan itu."

Beliau menambah:

"Untuk menguji secara formal mandat kerajaan semasa, samada di Perak, Sabah atau kerajaan Persekutuan, ia mesti dilakukan oleh rakyat melalui pilihanraya, atau melalui undian di dalam Dewan Undangan oleh Ahli-ahli Dewan Undangan. Ini sahaja cara yang muktamad dalam sebuah demokrasi berperlembagaan.

Inilah ertinya sebuah demokrasi berparlimen. Menubuhkan atau menjatuhkan kerajaan melalui apa jua cara lain melanggar prinsip-prinsip Perlembagaan, mencabuli hak undang-undang dan mengambil risiko membentuk kerajaan yang tidak sah.

Kuasa yang sah hanya boleh didirikan melalui cara-cara demokratik yang tertera di dalam Perlembagaan kita. Ia bertentangan daripada kekuasaan yang dijual-beli atau diambil secara paksa."

Tengku Razaleigh Hamzah berpandangan bahawa: "Mengikut Perlembagaan, Dato’ Seri Nizar Jamaluddin merupakan Menteri Besar sehinggalah beliau sendiri meletakkan jawatannya, atau disingkirkan melalui undi tidak percaya di dalam Dewan Undangan Negeri semasa ia bersesi. Tiada peruntukan di dalam Perlembagaan untuk pemecatan dengan cara lain, walaupun mengemukakan petisyen ataupun diarah oleh mana-mana kuasa lain."

Apakah pandangan Tengku Razaleigh Hamzah yang bersalahan dengan pendirian pemimpin-pemimpin UMNO yang memegang tampuk kepimpinan parti boleh dianggap sebagai "penderhaka" sepertimana mereka mengecap rakyat yang tidak berpuas hati kepada tindakan Najib yang merampas kuasa secara tidak demokratik sebagai penderhaka juga?

Apakah blogger-blogger yang menyampai suara hati rakyat yang tidak berpuashati itu dicapkan juga sebagai penderhaka?

Dan apakah semua "penderhaka-penderhaka" termasuk dengan Tengku Razaleigh Hamzah hendak ditahan dan ditangkap oleh pihak Polis di atas alasan superficial mereka "menggugat ketenteraman awam?"

Biarlah logik didalam melakukan sesuatu tindakan dan bukan didorong oleh keinginan "mengampu berlebihan" yang kelak akan terus menerima sumpah dan makian rakyat, bukan kumpulan minoriti tetapi majoriti.

Ketua Pemuda Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pahang, Rizal Jamin berkata, tindak tanduk Umno di Perak yang diketuai Dato' Seri Najib Razak telah menambah kebencian rakyat.

"Kita percaya krisis yang berlaku ini tidak ada penghujungnya tanpa dikembalikan kuasa kepada rakyat. Dan apa yang jelas petanda kejatuhan ketuanan Umno benar-benar terasa sekarang," katanya di sini.

Menurutnya biar pun krisis itu sudah dirancang begitu rupa, namun ia memperlihatkan sikap gelojoh Najib selepas dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Perak.

"Kerajaan Pakatan adalah kerajaan yang sah. Ia dipilih oleh rakyat pada pilihan raya umum yang lalu.

"Namun telah ditumbangkan BN dengan cara menculik dan membeli wakil rakyat. Perbuatan itu jelas tidak bermoral," ujarnya.

Menurutnya juga biar pun Dato' Dr Zambry Abdul Kadir dilantik sebagai menteri besar baru Perak, namun ia tidak diiktiraf majoriti rakyat.

"Kita hanya mengiktiraf mana-mana kerajaan yang dipilih rakyat melalui proses pilihanraya dan bukan secara rampasan kuasa begini," katanya.

Sehubungan dengannya tidak hairan majoriti rakyat Perak rata-rata tidak menyenangi kehadiran Najib di negeri mereka kerana beliau dikatakan perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kemelut yang berlaku ini.

Sekalipun UMNO-BN berjaya menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak, namun tiada siapa yang dapat menahan hati-hati rakyat di Perak menghampurkan sumpahan mereka yang bertalu-talu terhadap UMNO-BN terutama kepada Najib dan mereka yang melompat parti untuk menjayakan gagasan kotor rampasan kuasa itu.

Dengan keadaan yang sedemikian, mampukah diri itu berlaku tenang sekalipun kekerasan boleh digunakan dengan mengerah Polis dengan segala kapisitinya mengikat dan menutup tangan dan mulut rakyat dari terus bersuara?

Atau apakah episod itu menandakan akan berakhirnya sebuah pemerintahan bernama Barisan Nasional dalam negara kita yang telah membelakangkan Perlembagaan di dalam kemaruk mereka untuk terus berkuasa setelah menerima igauan ngeri dengan kekalahan demi kekalahan di dalam setiap kali pilihanraya diadakan sehingga mereka terpaksa mencari jalan lain untuk mengekalkan kuasa? Teruskanlah kekerasan itu, lakukanlah fitnah jahat yang menyerlahkan sikap orang lain makan nangka orang lain kena getah, orang lain menimbulkan kecoh orang lain yang dituduh derhaka, namun rakyat akhirnya akan tetap menghakiminya di dalam pilihanraya yang akan datang.

Pujangga Inggeris bernama Woodrow T Wilson berkata: "Telinga seorang pemimpin mesti mendengar suara-suara rakyatnya". Fikir-fikirkanlah.

Berita Hari Ini 16 Feb 2009 Edisi Ptg

Agong: Jangan wujudkan undang-undang bercanggah Perlembagaan.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin mengingatkan rakyat jelata supaya menghormati Perlembagaan Persekutuan dan berharap tidak ada sebarang percubaan untuk mewujudkan undang-undang lain yang bertentangan dengan keluhuran Perlembagaan.

"Generasi muda merupakan pelapis dan harapan masa depan negara.

"Prinsip-prinsip Rukun Negara hendaklah difahami dan dihayati oleh segenap lapisan rakyat," titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-12 di Dewan Rakyat di sini.

Tuanku Mizan turut melahirkan rasa dukacita kerana walaupun negara telah 51 tahun merdeka, isu perkauman yang sempit masih dibangkitkan oleh pihak tertentu dan menjadi perdebatan umum.

Baginda juga bertitah, hak-hak setiap rakyat di negara ini yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan akan sentiasa dipelihara dan dihormati.

Seri Paduka turut menyambut baik penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membuktikan keikhlasan dan iltizam kerajaan mengotakan janji untuk membanteras rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

"Bagi memastikan usaha pembanterasan rasuah dilaksanakan dengan cekap dan berkesan, SPRM perlu dianggotai oleh pegawai-pegawai profesional, berkemahiran dan berkeupayaan tinggi serta terlatih dalam pelbagai bidang," titah baginda.

Peguam: Bicara semula kes Altantuya

Peguam tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar, memohon Mahkamah Tinggi Shah Alam mengisytiharkan bahawa perbicaraan kes bunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibu, adalah tersilap dan meminta supaya perbicaraan semula diadakan.

Kamarul Hisham Kamaruddin yang berhujah di akhir kes pembelaan, berkata anak guamnya perlu dbebaskan daripada tuduhan mebunuh Altantuya atau secara alternatifnya mahkamah boleh mengisytiharkan pebicaraan kes itu silap dan diadakan perbicaraan semula.

Gambar Bogel: Exco Selangor buat laporan polis

Elizabeth Wong, yang juga wakil rakyat Bukit Lanjan, membuat laporan di balai polis Damansara, Petaling Jaya kira-kira malam tadi berhubung penyebaran foto-foto bogelnya kepada umum.

Difahamkan foto-foto yang dirakam tanpa kebenarannya itu - kemungkinan oleh seorang bekas teman lelakinya - sewaktu beliau sedang tidur.

Bekas MB Selangor, Khir Toyo dengan cepat mengambil kesempatan dari isu ini mendesak ADUN berkenaan meletakkan jawatannya, dengan menyamakan kes itu dengan kes Chua Soi Lek. Tetapi masyarakat melihat Khir tersasar kerana apa yang berlaku pada Chua ialah kes perzinaan yang beliau sendiri telah mengaku sedangkan yang menimpa pada Elizabeth ialah gambar bogelnya yang dirakam dan disebarkan tanpa pengetahuan dan izinnya. Mereka bertanya: "Khir mungkin tidak pernah berzina tetapi apakah Khir boleh mengaku beliau tidak pernah berbogel?"

Blog national-express menyifatkan laporan Malay Mail yang mendedahkan kes tersebut sebagai satu contoh kewartawanan longkang apabila foto perempuan yang tidak ada kena-mengena berita berkenaan diselitkan bersebelahan dengan berita tersebut.

YB Azmin Ali pula akan meminta penjelasan daripada pihak yang terlibat sebelum sebarang tindakan diambil. Katanya pihak parti tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya didapati mana-mana individu yang bersalah.

Bukit Selambau: MIC Calonkan Saravanan?

MIC mungkin mencalonkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Selambau, V Saravanan untuk bertanding dalam pilihanraya kecil di situ pada 7 April depan.

Menurut sumber-sumber, Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu sedang menimbang secara serius untuk mencalonkan Saravanan yang juga pengerusi MIC Kedah bertanding bagi merebut semula kerusi tersebut.

Saravanan, 61, menjadi Adun Bukit Selambau serta ahli exco kerajaan negeri Kedah selama 13 tahun dari 1995 hingga 2008.

Beliau bagaimanapun tidak mempertahankan kerusi itu dalam pilihanraya umum tahun lalu untuk memberi laluan kepada calon muda dari MIC, S Krishnan, yang tewas kepada calon bebas V Arumugam dengan majoriti 2,362 undi.

Polis siap sedia hadapi 2 pilihanraya serentak

Ketua Polis Negara, Musa Hassan menyatakan pihak polis bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan di dalam pilihanraya serentak Bukit Gantang dan Bukit Selambau pada 7 April nanti.

Beliau meminta semua pihak mematuhi undang-undang dan beliau menolak tuduhan yang menyatakan pihak polis melakukan kezaliman.

Walau bagaimanapun kenyataan Ketua Polis Negara nampaknya tidak begitu benar apabila dengan merujuk kes Kugan dimana kematiannya semasa disoal siasat polis membuktikan tingkah laku polis juga sepatutnya mengikut undang-undang dan tidak hanya "mengarahkan" orang lain mematuhi undang-undang.