20 Mac 2009

Ali Rustam Bakal Dimalukan Jika Berkempen Di Bukit Gantang : Rayuannya Telah Ditolak

Panel Rayuan Umno memutuskan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, tidak boleh bertanding atau dipilih pada pemilihan parti munggu depan.

Penolakan rayuan Ketua Menteri Melaka itu diumumkan Pengerusi Panel Rayuan Umno, Tan Sri Zuki Kamaluddin, sebentar tadi.

Selasa lalu, Lembaga Disiplin Umno membuat keputusan melarang Mohd Ali bertanding atau dipilih ke jawatan Timbalan Presiden Umno selepas lembaga itu mendapati beliau bersalah membabitkan rasuah dan politik wang yang dilakukan ejen beliau.

Sebelum ini kami telah menyiarkan berita Demo Tuntut Ali Rustam Letak Jawatan dimana rakyat Melaka telah mengadakan demonstrasi sambil menyerahkan memorandum meminta Mohd Ali meletakkan jawatannya selepas solat Jumaat petang tadi di Masjid MITC.

Mahathir pada hari ini mengulangi pendiriannya supaya Mohd Ali meletakkan jawatannya sebagai Ketua Menteri Melaka apabila mengulas mengenai Lembaga Disiplin UMNO yang terlepas peluangnya untuk melakukan pembersihan secara berkesan terhadap UMNO.

"Ada yang bersalah tetapi masih dibenarkan memegang jawatan di dalam kerajaan," kata Mahathir yang merujuk kepada Mohd Ali yang masih dibenarkan memegang jawatan Ketua Menteri Melaka walaupun Lembaga Disiplin UMNO telah mendapati beliau bersalah kerana mengamalkan politik wang.



Demo Tuntut Ali Rustam Letak Jawatan

Lebih 500 orang telah berkumpul di Masjid MITC, Ayer Keroh Melaka selepas solat Jumaat tengahari tadi mendesak Dato' Seri Mohd Ali Rustam meletakkan jawatannya sebagai ketua menteri Melaka.

Memorandum yang meminta Mohd Ali meletakkan jawatan itu diserahkan ekoran beliau telah didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin UMNO kerana politik wang dan menyebabkan beliau hilang kelayakan untuk bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO di dalam pemilihan akan datang ini.

Mohd Ali yang terkejut dengan kejadian itu telah mengutarakan beberapa soalan yang lemah kepada rakyat dengan bertanya "kenapa Anwar Ibrahim boleh jadi ahli parlimen sedangkan dia masuk penjara enam tahun? Itu jawab dulu. Mengapa Lim Guan Eng boleh jadi Ketua Menteri Pulau Pinang sedangkan dia dah masuk penjara dua tahun? Itu jawab dulu. Kalau ini dia boleh jawab saya akan jawab apa yang dia tanya kepada saya."

Salah seorang peserta perhimpunan tersebut dengan mudha menangkis soalan-soalan Mohd Ali dengan menyatakan:

"Kalau begitu Dato Ali perlu diheret ke mahkamah terlebih dahulu dan biar masuk penjara macamana Anwar dan Lim Guan Eng terima. Kemudian Ali Rustam bolehlah aktif semula di dalam UMNO untuk menjadi Ketua Menteri Melaka. Itupun kalau Ali Rustam masih laku lagi di kalangan pemimpin tertinggi UMNO."

Ramai berpendapat Mohd Ali telah mencemarkan nama partinya dan nama negeri Melaka ekoran kesalahannya yang berat. Beliau telah dilaporkan menghabiskan banyak wang untuk mendapatkan pencalonan sebagai Timbalan Presiden UMNO untuk pemilihan pada tahun ini.

Sebagai pemimpin yang bermaruah beliau perlulah meletakkan jawatan kerana rakyat akan melihat Melaka dipimpin oleh seorang pemimpin yang kotor dan mengamalkan rasuah di dalam pentadbirannya.

Semalam mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir telah menyarankan agar Mohd Ali Rustam patut mengosongkan jawatan ketua menteri Melaka, dan apabila sesuatu pengadilan dibuat, ia mestilah konsisten dan digunapakai terhadap semua orang, dalam situasi yang sama.

Mahathir telah mengulangi lagi kenyataannya hari ini


Serpihan Plak 'Pokok Demokrasi' Dilelong Ahad Ini

Lima ketul serpihan batu marmar plak "Tugu Demokrasi" yang dibina oleh pakatan pembangkang Perak sempena memperingati "sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bawah pokok" akan dilelong Ahad ini.

Setiausaha DAP Perak Nga Kor Ming berkata hasil kutipan itu akan digunakan bagi tabung guaman pakatan itu dan bagi membina tugu peringatan baru yang lebih besar.

"Kami buka harga bidaan dari serendah RM500 untuk setiap cenderahati ini," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Tugu peringatan yang dibina di bawah pokok hujan di Medan Istana diroboh oleh Majlis Bandaraya Ipoh pada 15 Mac lalu kerana pembinaannya melanggar peraturan.

Datuk Bandar Ipoh Roshidi Hashim berkata tindakan akan tetap diambil terhadap pembinaan tugu yang dilakukan tanpa kebenaran dan tidak mengikut saluran undang-undang.






Bukit Gantang Bukit Selambau : Pas Pahang hantar 600 petugas

Pas Pahang menghantar 600 petugas dari negeri ini termasuk dalam kalangan kelab penyokongnya bagi membantu calon Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Bukit Gantang, Perak dan Bukit Selambau, Kedah yang berlangsung serentak 7 April depan.

Pesuruhjaya Pas Negeri, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penghantaran jentera jabatan pilihan raya Pas negeri ini dilakukan secara berperingkat sejak 10 Mac lalu.

Menurutnya, seramai 15 petugas sudah dihantar membuat tugasan awam di dua kawasan terbabit setakat ini dan akan bertambah dari semasa ke semasa.

“Setakat ini semua petugas yang dihantar akan memberi tumpuan membantu calon Pas di Bukit Gantang bagaimanapun mereka juga turut dihantar ke Bukit Selambau untuk bersama-sama membantu calon Pakatan Rakyat yang bertanding,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, petugas jabatan jentera pilihan raya ini akan berkampung di kawasan terbabit sehingga hari pengundian bagi memastikan kedua-dua pilihan raya itu berjalan lancar.

Mengulas cadangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung cadangan pembentukan kerajaan campuran Pas- Barisan Nasional (BN) baru-baru ini, Tuan Ibrahim berkata ia adalah kenyataan peribadi pemimpin itu.

Beliau berkata, Pas tidak pernah mengadakan sebarang mesyuarat berhubung isu terbabit dan segala keputusannya telah ditetapkan dalam Muktamar Pas di Ipoh, Ogos lalu.

“Mungkin beliau (Abdul Hadi) melihat kepada senario rasuah yang menular dalam UMNO kebelakangan ini dan cuba membersihkannya melalui kerajaan perpaduan namun secara jelasnya tidak timbul isu pergabungan ini,” katanya.

- sinarharian

"SPRM ada elemen salah guna kuasa," kata RAKYAT

Rakyat mendapati ada elemen bahawa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Hamdan Said, menyalah guna kuasa sewaktu melakukan siasatan ke atas Speaker Dewan Undangan Negeri Perak dan lain-lain ADUN.

Rakyat pasti tidak akan membiarkan Ahmad Said terlepas dari hukuman.

"Bagi rakyat ada elemen salah guna kuasa, rakyat akan mengikuti perkembangan tersebut... bukan pendakwaan untuk menentukan keterangan berhubung perkara itu dapat dikumpul.

"Setakat ini, yang kita ketahui siasatan mereka masih berjalan dan mereka akan cuba panggil beberapa lagi (wakil rakyat) yang ada ketika kejadian," tegas seorang penduduk Perak yang ingin dikenali sebagai Nizar sahaja.

Pada 18 Februari lalu, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN, yang diketuai Sivakumar, menggantung menteri besar daripada menghadiri sidang dewan selama 18 bulan, manakala kesemua enam exconya digantung selama 12 bulan.

Semalam SPRM memanggil baki empat ahli jawatankuasa tersebut: Loke Chee Yan (Kepayang), Ong Boon Piow (Tebing Tinggi), Sum Cheok Leng (Bercham) dan Chan Ming Kai (Simpang Pulai).

Sebelumnya Sivakumar dan Adun Selinsing, Husin Din telah memberi keterangan kepada SPRM.

Mahkamah Rayuan sebelum ini telah membenarkan Sivakumar untuk menggunakan peguam persendirian membatalkan penghakiman Ridwan Ibrahim yang bertindak untuk menghalang Sivakumar dari menggunakan peguam persendirian, malah menghalang Sivakumar membela dirinya sendiri dengan memaksa Speaker tersebut menggunakan khidmat penasihat Undang-undang Negeri di dalam membela kes-kes saman terhadapnya.

Keputusan Mahkamah rayuan yang sebulat suara memutuskan bahaw Speaker Dewan Undangan Negeri Perak berhak menggunakan peguam persendiriannya dengan sendiri menafikan kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato Seri Ahmad Said Hamdan yang sebelum ini berlagak pandai untuk mentafsirkan seseorang Speaker adalah "seorang penjawat awam."

Menurut Ahmad Said Hamdan, SPRM mempunyai kuasa menyiasat dakwaan salah laku Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar berhubung tindakannya menggantung Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir dan enam Exco kerajaan negeri daripada menghadiri sidang DUN.

“Speaker merupakan seorang pegawai awam. Jika beliau didapati menyalahgunakan kedudukan dan jawatannya, beliau juga tidak terlepas daripada melakukan kesalahan di bawah seksyen itu,” tambahnya.

Kenyataannya itu jelas bercanggah dengan keputusan penal tiga hakim Mahkamah rayuan yang memutuskan bahawa tiada peruntukan yang menyatakan Speaker mesti diwakili oleh penasihat undang-undang negeri kerana di bawah Akta Tatacara Kerajaan, Speaker bukan seorang pegawai kerajaan negeri.

Panel tiga hakim berkenaan ialah Datuk Md Raus Sharif, Datuk Abdull Hamid Embong dan Datuk Ahmad Ma’arop membuat keputusannya sebulat suara.

"Kami tidak menemui sebarang peruntukan di dalam undang-undang yang speaker mesti diwakili ole Penasihat Undang-undang negeri. Di bawah Akta Tatacara Kerajaan, seorang speaker bukan merupakan seorang penjawat awam atau seorang pegawai kerajaan negeri.

“Perayu adalah bebas untuk menggunakan khidmat peguam persendiriannya,” tegas hakim Raus yang membacakan keputusan tersebut.

Rakyat juga sedang mengikuti perkembangan Ahmad Said Hamdan yang masih gemar mengeluarkan kenyataan media di akhbar-akhbar sekalipun ia bertentangan dengan pandangan mesyuarat Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) yang dipengerusikan oleh Tun Abdul Hamid Mohamed, bekas Ketua Hakim Negara mengenai kenyataan media SPRM berhubung kes siasatan yang masih dalam tindakan suruhanjaya itu.




Lebih 10,000 Di Ceramah Bukit Gantang

Sekalipun BN menggunakan anggota polis untuk menghalang ceramah untuk di adakan Pakatan Rakyat yang pada mulanya dijadualkan di adakan di di Simpang yang kemudiannya terpaksa ditukar ke perkarangan Pejabat PAS Kawasan Bukit Gantang di Bukit Chempedak, ianya tidak menjadi halangan untuk lebih 10,000 rakyat tempatan menghadirinya.

Majlis yang menyaksikan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berceramah, lautan manusia telah datang tanpa memperdulikan bahaya tentera bergajah merah dan ada yang terpaksa meletakkan kereta lebih 4 km dari tempat ceramah.

Banyak perkara yang telah disentuh oleh kedua-dua pemimpin Pakatan Rakyat terutama isu ketidak-adilan kerajaan BN, rasuah yang melanda parti itu, dan isu Najib sebagai bakal Perdana Menteri.

Dengan senario politik Perak yang masih dalam krisis ekoran rampasan kuasa secara kotor oleh Najib sehingga mendirikan kerajaan haram di Perak, kemenangan Pakatan Rakyat di Bukit Gantang semakin jelas dan pengundi persis tidak sabar untuk berada di bilik mengundi untuk memberikan "signal" kepada pihak tertentu bahawa masa depan BN sudah malap dan gelap di bumi Perak.


sorry video utk malam tadi tak der
yang ini sebagai ganti :)


Bukit Gantang Malam Tadi Menyerlahkan Satu Lagi Bukti Malaysia Negara Polis

Malam tadi satu lagi episod yang mencalarkan imej Malaysia sebagai negara demokrasi berlaku : pihak polis mengharamkan ceramah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin yang dijadualkan di Simpang, di pinggir kawasan Bukit Gantang yang bakal menghadapi pilihanraya kecil itu.

Alasan polis macam biasa-biasa juga: tidak mendapat permit polis. Bagi memastikan arahan dipatuhi, 30 kenderaan polis mengawal tapak ceramah di Simpang. Foto mengenainya yang dipinjam dari Blog Cina Islam dipaparkan di bawah.


Akhirnya kerana tidak dapat permit, ceramah itu terpaksa dipindahkan ke Markas PAS Bukit Cempedak.

Banyak sungguh episod yang menarik perhatian negara luar terhadap politik Malaysia. Hendak buat sidang DUN, bangunan dikunci. Buat sidang bawah pokok, plak pokok demokrasi pula dimusnahkan. Hendak buat ceramah, permit tidak diluluskan. Bila ceramah diadakan juga, polis tuduh perhimpunan haram kerana tiada permit.

Tapi bagaimana hendak dapatkan permit, mereka yang tidak luluskan? Mereka yang tidak luluskan permit, kemudian dituduh perhimpunan haram! Sendiri tidak luluskan, sendiri tuduh ia haram.

Yang peliknya jika perhimpunan yang dibuat oleh Pemuda UMNO dan NGO Melayu yang entah apa-apa namanya itu tanpa permit boleh pula! Pelik bin ajaib bin aneh bin jenaka bin pak pandir sungguh!!

Kadang-kadang barangkali mereka lupa, kita sedang diperhatikan. Orang sudah nampak Malaysia negara aneh. Banyak perkara yang double standard dipentaskan di negara ini.

Jika hendak dibandingkan dengan negara lain, tidak tahulah negara mana boleh dibandingkan sitem kita ini. Hendak dibandingkan dengan negara-negara Asia Tenggara jiran kita itu, (kecuali Burma) tidak boleh, sebab di sana ruang bersuara rakyat memberi pandangan terbuka luas.

Hendak bandingkan dengan negara bekas blok Soviet pun tak boleh, sebab di sana sudah wujud kebebasan bersuara sejak runtuhnya Tembok Berlin. Malah hendak dibandingkan dengan Cina Komunis itu pun tak boleh, sebab di negara itu juga telah lama membuka ruang buat rakyatnya bersuara, kecuali hal-hal menyentuhi sensitiviti agama dan perkauman.

Mungkin negara yang paling sesuai nak dibandingkan Malaysia ialah Burma. Burma @Myanmar bukan negara komunis, bukan juga negara demokrasi. Ia di bawah junta tentera yang memerintah secara autokratik. Di Malaysia kita tidak di perintah oleh tentera.

Tapi bakal Perdana Menteri kita bekas menteri yang jaga tentera. Dr Mahathir pernah kata Malaysia ini negara polis, bukan negara tentera. Betul atau tidak betul Malaysia negara polis kita boleh lihat buktinya di hadapan mata yang dipaparkan sejarah hampir setiap hari!!

pendikargunung

Nga Buat Laporan Polis Terhadap SUK Perak

Nga Kor Ming exco kerjaan Pakatan Rakyat di Perak membuat laporan polis pagi ini, terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) kerana menghalang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) hadiri sidang tergempar Dewan Undangan Negeri (DUN), 3 Mac lalu.

Laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, itu adalah mengikut Seksyen 124 Kanun Keseksaan kerana menghalang Adun daripada menjalankan tugas mereka.

SUK Perak, Abdul Rahman Hashim telah menyalahgunakan kuasanya dengan mengarahkan Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan menutup pintu utama Bangunan Perak Darul Rizuan pada 3 Mac yang didalam turut terdapat bangunan DUN Perak.

Abdul Rahman juga telah menita pihak polis untuk mengawal dan mengepung Bangunan Perak Darul Ridzuan untuk menghalang sidang tergempar DUN Perak yang telah dipanggil oleh Speaker V.Sivakumar.

Akibatnya kesemua ADUN tidak dapat memasuki dewan untuk bersidang dan terpaksa menjalan persidangan di bawah pokok sena yang terletak beberapa meter di luar bangunan Perak Darul-Ridzuan.

Bukit Selambau - PKR Menamakan S.Manikumar

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan muka baru S Manikumar sebagai calon Pakatan Rakyat bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau pada 7 April depan.

Beliau membuat pengumuman tersebut di Sungai Petani pagi ini.

Seorang muka baru dalam arena politik, Manikumar, 35, dianggap sebagai pilihan yang mengejutkan untuk mewakili Pakatan dalam pilihanraya kecil yang anggap sangat penting ini, demikian dilaporkan oleh malaysiakini.

Beliau merupakan seorang ahli perniagaan dan penduduk asal Bukit Selambau.

Manikumar akan berdepan dengan calon BN, Datuk S Ganesan dari MIC dan sejumlah calon bebas dalam pilihanraya kecil tersebut.

Suruhanjaya pilihanraya menetapkan penamaan calon pada 29 Mac ini dan 7 April sebagai tarikh mengundi serentak di Bukit Gantang Perak dan Batang Ai di Sarawak.

Isu ke Bukit Gantang : Ku Li dan Mahathir Hentam Lembaga Disiplin UMNO

Tengku Razaleigh Hamzah menyatakan bahawa Ketua Menteri Melaka Mohd Ali Rustam boleh meminta Pendaftar Syarikat menghalang pemilihan UMNO diteruskan.

Selasa lalu, Lembaga Disiplin UMNO telah mendapati Mohd Ali, yang merupakan seorang calon Timbalan Presiden, bersalah kerana melanggar peraturan berkempen.

Ekorannya, beliau telah dilarang dari bertanding tetapi kekal sebagai ahli parti dan Ketua Menteri Melaka.

Didalam komennya yang terbaru di dalam blognya, Razaleigh menyatakan ada kemungkinan keputusan jawatankuasa disiplin bertentangan dengan perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan 1966.

Razaleigh berkata Akta yang ada mengizinkan ahli-ahli dari badan yang berdaftar untuk mempunyai hak untuk mengundi dan memegang jawatan di dalam sesebuah organisasi.

"Lembaga Disiplin boleh membuang beberapa keistimewaan tetapi bukan hak seperti termaktub dalam perlembagaan (parti). Perlembagaan UMNO tidak boleh ditafsirkan bertentangan dengan Akta Pertubuhan.

Selagi Mohd Ali tidak digantung keahliannya, kata bekas naib presiden Umno itu, "adalah salah menyekatnya daripada bertanding seperti juga salah menghalangnya daripada membuang undi (dalam pemilihan Umno)," tambah beliau.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, Razaleigh menyatakan ahli majlis tertinggi Umno Norza Zakaria masih berhak untuk mempertahankan jawatannya sekalipun telah didakwa di mahkamah kerana telah tuduhan rasuah dalam berkempen memenangi jawatan pada pemilihan parti akhir bulan ini yang dilakukan oleh agennya.

"Apa yang ditetapkan terhadap Norza, harus ditetapkan untuk Mohd Ali juga," kata ahli parlimen Gua Musang, mengulas larangan terhadap naib presiden Umno itu oleh lembaga disiplin.

Double standard untuk Umno?

Segala siasatan mengenai Mohd Ali, Razaleigh berkata lembaga disiplin perlu mendedahkan siapa yang menerima rasuah dari bekas agennya.

Namun, beliau berkata badan yang paling berhak untuk melakukan siasatan ialah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), yang merupakan badan berkecuali.

"Sementara tiada siasatan mendalam dilakukan oleh badan berkecuali, masih terdapat kemungkinan bahawa pemilihan parti dicemari dengan rasuah dan oleh itu ia mungkin tidak sah," jelasnya.

Razaleigh berkata oleh kerana lembaga disiplin telah mengumpulkan bukti gejala politik wang terhadap beberapa pemimpin UMNO, tugas mereka sekarang ialah menyerahkan bukti itu kepada SPRM.

Tengku Razaleigh berkata beliau tidak faham kenapa Mohd Ali tidak digantung daripada Umno walau didapati bersalah.

"Saya fikir lembaga disiplin terlepas pandang perkara ini," katanya.

Sementara itu mantan perdana menteri, Tun Dr Mahatir juga mempertikaikan keputusan lembaga disiplin di mana hukuman yang berbeza dikenakan kepada orang yang berbeza terdapat kesalahan yang serupa.

Beliau merujuk kepada kesalahan Khairy Jamaluddin yang melakukan kesalahan yang sama dengan apa yang dilakukan oleh Mohd Ali tetapi dibenarkan pula bertanding untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO.

"Jika UMNO tidak sanggup untuk mengambil tindakan drastik untuk menunjukkan ia serius di dalam memerangi gejala rasuah, UMNO akan ditolak di dalam pilihanraya ke 13 akan datang."

Kredibiliti lembaga disiplin dipersoalkan akibat tindakanya yang ganjil itu, tambah Mahathir.

Malaysiakini pula melaporkan Mahathir berkata Datuk Seri Mohd Ali Rustam patut mengosongkan jawatan ketua menteri Melaka.

"Ya, itu pandangan saya. Saya bukan ahli Umno pun. Tetapi itu pandangan saya. Apabila sesuatu pengadilan dibuat, ia mestilah konsisten dan digunapakai terhadap semua orang, dalam situasi yang sama.

"(Sebagai contoh) kita tidak boleh kata, orang ini bersalah membunuh seseorang, jadi dia patut digantung.

"Untuk orang ini pula, oleh kerana dia orang penting, tidak perlu digantung. Kita tidak boleh cakap macam itu," kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mantan presiden Umno itu menegaskan ketika ditanya soalan sama ada Mohd Ali patut kekal sebagai ketua menteri ekoran keputusan lembaga disiplin Umno semalam.

Dr Mahathir juga tidak menolak kemungkinan penyokong Mohd Ali akan memindahkan sokongannya kepada seorang lagi calon timbalan presiden Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

"Ada kemungkinan mereka (penyokong Mohd Ali) akan menyokong Muhd Taib. Muhd Taib akan menang. Tetapi keputusan yang sebenar akan dilihat dalam pilihanraya umum ke-13 nanti.

"Apabila rakyat mendapati parti (Umno) memilih orang sebegitu, mereka akan membuat keputusan (dalam pilihanraya). Jadi terpulang kepada parti untuk memikirkan.

"Perwakilan (Umno) mesti memikirkan tanggungjawab mereka. Kalau mereka memilih orang yang tidak dihormati rakyat terbanyak dan pengundi, akhirnya parti akan kalah dalam pilihanraya," katanya.

Beliau juga mengisytiharkan sokongan terbukanya kepada seorang lagi calon timbalan presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Saya rasa, apa yang tinggal, orang yang tidak boleh membaca dan bercakap dalam bahasa Inggeris.

"Itu sebab dia buat kesalahan di Australia, kerana dia tidak baca Inggeris.

"Pilihan saya Muhyiddin," kata Dr Mahathir dengan sinis.

Pada 1999, Muhammad dilaporkan gagal mengisytiharkan wang tunai sebanyak RM2.4 juta di Australia.

Sewaktu memberi keterangan dalam mahkamah, beliau dilaporkan memberikan alasan tidak memahami bahasa Inggeris, dan kemudiannya didapati tidak bersalah.

Mengulas peralihan kuasa antara Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Razak, Dr Mahathir menyatakan sokongannya terhadap kepimpinan timbalan presiden Umno itu, tetapi dengan syarat "tidak melantik pemimpin yang korup dalam kabinetnya".



Isu Gobind : MP Bandar Kuching Failkan Usul Bahas Usul Menggantung Gobind

Ahli Parlimen Bandar Kuching Chong Chieng Jen memfailkan usul untuk membahaskan kesahihan usul menggantung ahli parlimen Puchong Gobind Singh Deo dari menghadiri sidang dewan selama satu tahun dengan tidak diberikan kemudahan dan elaun.

Chong mendakwa usul yang dikemukakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nazri Abdul Aziz 16 Mac lalu melanggar Akta Saraan Ahli Parlimen.

"Paling tinggi Dewan Rakyat hanya boleh halang Gobind dari memasuki dewan. Itu (hukuman) yang paling tinggi yang boleh dilakukan. Tetapi mereka bertindak melangkauinya sehingga menafikan elaun dan lain-lain kemudahan yang diberikan kepadanya di bawah undang-undang." jelas Chong.

Gobind dikenakan tindakan itu ekoran dua kenyataannya yang mendakwa timbalan perdana menteri Datuk Najib Tun Razak terbabit di dalam pembunuhan Altantuya selain dari menghina timbalan yang dipertua dewan rakyat setelah diperintah keluar.



GEMPAR: Ramai Makan Bangkai Ayam

Satu kes penyembelihan ayam tidak mengikut syarak dikesani berlaku di sebuah rumah penyembelihan tidak berlesen yang disenggara oleh warga tempatan. Ia dipercayai untuk diedar ke beberapa pasar dan restoran sekitar Selangor.

Apa yang menyedihkan garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor lansung tidak diendahkan.

Pendedahan di TV3 mengenai satu serbuan di Kg Ara Damansara menunjukkan semua ayam yang ditemui tidak disembelih malah diproses tidak mengikut hukum syarak. Ayam terbabit dikhuatiri dilemaskan terlebih dahulu sebelum disembelih bagi mempercepatkan proses penghantaran. Ia turut dicampur dengan ayam yang diproses untuk golongan bukan Islam.

Apa yang mengejutkan terdapatnya tin-tin arak ditemui di tempat memproses ayam. Rumah penyembelihan ini turut menggaji pekerja asing.

Timbalan mufti negeri Selangor, Dtuk Abdul Majid Omar mengesahkan semua ayam yang diproses ini tidak halal dimakan.

"Kerana dia menyembelih tu terlalu ke pangkal leher jadi lidah dia tersekat. Jadi ayam ini dikira bangkai.. tak boleh dimakan. Yang kedua kita dapati bercampur, ada ayam yang dicucuk di sini juga. Ini boleh meragukan," katanya.

Difahamkan lelaki yang menyeggara pusat penyembelihan ini pernah mendapat tunjuk ajar dari Jabatan Agama Islam Selangor mengenai cara penyembelihan yang betul tetapi ianya tidak diambil kisah.

Persoalan kini: Rumah penyembelihan itu tidak berlesen. Bagaimana ia boleh dibenarkan beroperasi sehingga kini, malah sewaktu serbuan itu dilakukan kenapakah tidak ada penguatkuasa undang-undang turut serta bagi mengambil tindakan kepada pemilik rumah penyembelihan berkenaan?