17 Nov 2010

Quzandria, Mohd Qabil Rangkul Perak Dan Gangsa

Quzandria, Mohd Qabil Masing-Masing Capai Perak Dan Gangsa

GUANGZHOU: Penunggang handalan negara Quzandria Nur Mahamad Fathil dan abangnya Mohd Qabil Ambak masing-masing merangkul pingat perak dan gangsa dalam acara dressage individu pada Sukan Asia ke-16 di sini, Rabu.

Kejayaan Quzandria Nur itu merupakan kali pertama beliau mengatasi abangnya dalam mana-mana pertandingan dressage yang disertainya sebelum ini.

"Kami berdua sentiasa bersaing dalam sebarang pertandingan. Dia merupakan ujian paling getir bagi diri saya dan bangga dapat mengatasinya kali ini.

"Walaupun saya mensasarkan emas tetapi nasib tidak menyebelahi saya. Pingat perak juga sudah cukup bermakna," katanya.

Quzandria Nur, yang menunggang kuda bernama 'Handsome', berjaya mengumpul 71.558 mata untuk pingat perak manakala Mohd Qabil memperoleh 71.195 mata untuk gangsa.

Emas disandang oleh penunggang Korea Selatan, Hwang Young Shik, dengan mengumpul 73.134 mata selepas menunggang kuda bernama 'Laura'.

"Sebenarnya, saya agak kecewa sedikit. Saya menampilkan persembahan yang agak sukar berbanding pemenang emas itu. Pergerakan rutin amat sukar di mana peserta lain biasa tidak melakukannya.

"Saya terpaksa meluahkan perasaan ini kerana salah seorang hakim adalah warga Korea dan kelebihan diberikan kepada peserta negaranya. Bagaimanapun, saya akui dressage merupakan sukan subjektif," kata Quzandria Nur.

Beliau juga bangga dengan persembahan kudanya, Handsome sejak bermula acara berpasukan Ahad lalu dan acara individu sejak Isnin.

"Jurulatih saya banyak membantu untuk Sukan Asia ini," kata Quzandria Nur yang berlatih di Denmark di bawah bimbingan Andreas Helgstrand.

Mengulas pencapaian Quzandria Nur, Mohd Qabil berkata dia wajar meraih pencapaian itu serta bangga dan mengucapkan tahniah kepada adiknya.

Mohd Qabil, yang beraksi kali keempat pada temasya sukan itu, berkata beliau hanya berlatih bersama kudanya bernama 'Wup' selama dua bulan di Belanda sebelum sukan itu.

Pada temasya Sukan Asia Doha 2006, beliau turut merangkul gangsa dalam acara itu.

Mohd Qabil dan Quzandria Nur juga berganding dengan Putri Alia Soraya Ahmad Shuhaimi dan Diani Lee Cheng Ni untuk meraih gangsa dalam acara dressage berpasukan Ahad lalu. - BERNAMA

Mana Pengertian "Korban" Apabila Pemimpin Hidup Mewah?

Bagaimana pemimpin hidup mewah meminta berkorban untuk rakyat?

PETALING JAYA: "Wajarkah bagi mana-mana individu mendakwa dirinya berkorban untuk agama, negara dan rakyat padahal pada masa yang sama hidup mewah dan membina kekayaan untuk dirinya sendiri?"

Demikian soal calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Badrul Hisham Shaharin yang juga dikenali sebagai Chegu Bard ketika bercakap tentang pengorbanan sempena Hari Raya Korban yang disambut oleh umat Islam negara ini hari ini.

Beliau mengingatkan semua pihak agar tidak hanya mempertikaikan pengorbanan pihak lain tetapi harus juga memikirkan adakah diri sendiri pernah berkorban untuk pihak lain.

"Kerajaan meminta rakyatnya berkorban untuknya tetapi apa pula pengorbanan kerajaan untuk rakyat negara ini?

"Apabila negara ini dikatakan bakal muflis oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Jala tidak berapa lama dahulu, rakyat diminta berkorban untuk negara.

Gaya hidup mewah

"Tetapi apa pula pengorbanan mereka ini untuk rakyat dan negara, dengan gaya hidup yang mewah mereka tanpa sedikit pun merasa bimbang akan nasib negara dan rakyat.

"Saya percaya rakyat negara ini tidak merasa ragu untuk berkorban untuk negaranya, asalkan kena pada caranya dan pemimpin sendiri harus menunjukkan contoh teladan yang baik" kata Chegu Bard.

Beliau turut mengingatkan anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) khususnya anak-anak muda agar jangan hanya pandai bercakap tentang pengorbanan yang kononnya pernah dilakukan untuk parti.

"Kadang-kadang ada yang mendakwa telah berkorban itu dan ini untuk parti. Hakikatnya yang mendakwa berkorban ini ada yang membina kekayaan melalui jawatan politik yang disandangnya.

"Jadi dalam situasi ini, siapa yang berkorban sebenarnya? Parti atau orang-orang seperti ini? Tentulah imej parti yang akhirnya terkorban apabila dipandang serong oleh masyarakat nanti," ujar beliau.

Pengorbanan sebenar

Disamping itu beliau menyanjung tinggi pengorbanan sebenar yang pernah dilakukan oleh anggota parti itu dari pelbagai peringkat untuk meletakkan parti berada di kedudukannya sekarang.

"Saya amat menyanjung tinggi pengorbanan ahli parti semua peringkat yang berkorban untuk perjuangan keadilan ini lebih-lebih lagi di akar umbi sehinggakan ada yang terpaksa bergolok bergadai untuk meneruskan perjuangan parti.

"Jadi amat wajar pemimpin yang berada di atas untuk merenung pengorbanan mereka di bawah yang tidak punya apa-apa kepentingan diri.

Apabila ditanya pengorbanan yang pernah dilakukan untuk perjuangan parti, Chegu Bard menjawab, "Di mana keikhlasan jika bertujuan untuk mendapatkan publisiti atas pengorbanan yang telah dilakukan?

"Biarlah beberapa teman rapat yang mengetahui kesulitan, pengorbanan yang pernah saya lalui dalam perjuangan untuk menegakkan keadilan ini. Selain itu, Tuhan saja yang tahu," ujarnya.

Di samping itu, beliau turut mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidiladha kepada umat Islam di negara ini.

Mamat Hantu Nak Terus Dedahkan Lagi "Cintanya" Dengan Bekas Permasuri Agong

Petaling Jaya: Satu negara gempar apabila foto-foto intim membabitkan bekas Permaisuri Agung, Cik Puan Besar Siti Aishah Abdul Rahman tersebar di laman blog milik bekas penerbit rancangan Seekers, Syed Abdullah Syed Hussein Al-Attas.

Di dalam blog www.uncleseekers.blogspot.com itu, Syed Abdullah atau lebih popular dengan panggilan Uncle Seekers memaparkan gambar-gambar yang didakwa bukti kemesraan 'percintaan' di antara mereka.

Ketika dihubungi mStar Online, Syed Abdullah menegaskan, pendedahan sebanyak enam bahagian itu tidak akan terhenti di situ.

"Kisah itu tidak akan terhenti disitu. Ada banyak lagi yang ingin saya kongsi bersama masyarakat," katanya di sini, Selasa.

Syed Abdullah merupakan ketua kumpulan Seekers yang sebelum ini popular sebagai pengkaji fenomena aneh dan paranormal.

Pada 20 Oktober 2006, dia pernah direman selama tiga hari selepas diperintahkan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur untuk membantu siasatan setelah dikatakan menyamar sebagai anggota polis.

Majistret Manira Mohd. Nor mengeluarkan perintah terhadap Syed Abdullah, 46, yang lebih dikenali sebagai Uncle Seekers supaya ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, ditanya tujuan sebenar dia menghebahkan hubungan 'cintanya' bersama Siti Aishah, Syed Abdullah memberitahu, tujuan sebenar dia berbuat demikian adalah untuk menyedarkan pihak tertentu bahawa bekas permaisuri itu perlukan kebebasan dan tidak perlu dikongkong.

"Berikan dia (Aishah) kebebasan dan jangan halang dia untuk berkahwin dengan lelaki yang disukainya," katanya.

Tidak gentar dengan segala ugutan yang diterima, dia berkata, apa yang dilakukannya adalah berdasarkan bukti kukuh.

Syed Abdullah Syed Hussein mendakwa hubungannya bersama Siti Aisyah sangat rapat seperti yang digambarkan di dalam salah satu foto di lokasi yang tidak dinyatakan di blognya.

Katanya, walaupun pernah diugut oleh pihak tertentu, dia tekad untuk mendedahkan mengenai perkara itu untuk pengetahuan umum.

"Buat apa saya perlu takut. Saya berkata benar," ujarnya.

Syed Abdullah juga bersedia sekiranya dia dipanggil oleh pihak berkuasa bagi menjelaskan perkara sebenar mengenai pendedahan beraninya itu.

Dalam pada itu dia mendakwa tidak pernah cintakan Siti Aishah namun tidak menafikan pernah bercinta dengannya.

Malah dia mengelarkan percintaan itu lebih kepada cinta amanah daripada Siti Aishah dan tidak menafikan percintaan mereka hanya berlangsung selama dua bulan bermula Mei lalu seperti yang didakwa di dalam blognya.

"Bagaimanapun, cinta antara saya bukanlah cinta dalam erti kata sebenar. Atas dasar itu juga saya menggelarnya 'cinta syyhh'," jelasnya.

Sementara itu, Syed Abdullah juga mengakui sebelum pendedahan itu dibuat, hubungan 'cinta' mereka hanya diketahui oleh ibu kepada Aishah, Datin Seri Shamshina A. Rahman dan ahli kumpulan Seekers.

Bercerita lanjut mengenai perkenalan mereka, dia memberitahu mengenali Siiti Aishah pada Januari lalu apabila bekas permaisuri itu dan keluarganya mengunjungi rumah keluarganya di Janda Baik, Pahang.

Bagaimanapun, dia memberitahu dia dan Aishah tidak lagi berhubung antara satu sama lain sejak Julai lalu. -mstar

BERITA SEBELUM INI

[Bergambar] Mamat Hantu Aibkan Bekas Permaisuri Agong?

"E-mail" Sudah Ketinggalan Zaman

San Francisco - Pengasas laman jaringan sosial Facebook, Mark Zuckerberg mendakwa, teknologi e-mel bakal pupus seperti surat menyurat kerana ia terlalu perlahan dan tidak formal, lapor sebuah akhbar semalam

Eksekutif berusia 26 tahun itu membuat dakwaan tersebut kelmarin ketika melancarkan perkhidmatan mesej terbaru dan percuma bagi para pengguna Facebook di sini, Amerika Syarikat (AS).

"Ia (perkhidmatan mesej Facebook) bukan e-mel. Ia mengendalikan e-mel dan kaedah komunikasi lain termasuk laman sembang," katanya.

Menurutnya, perkhidmatan terbaru Facebook itu menggabungkan semua bentuk komunikasi web dan teks di Internet serta berfungsi serta-merta.

"Kami mahu orang ramai boleh berkomunikasi dalam apa cara yang mereka mahu sama ada e-mel, teks atau mesej Facebook," tambahnya.

Perkhidmatan itu dijangka membuka persaingan lebih sengit antara Facebook dan Gmail milik Google untuk mendapatkan kesetiaan pelanggan.

Setakat ini, Facebook kekal unggul dengan 500 juta pelanggan diikuti Hotmail dan Yahoo masing-masing dengan 362 juta pengguna dan 273 juta pengguna manakala Gmail ketinggalan dengan 193 juta pengguna.

- Agensi

Malaysia Rangkul Emas & Perak Dalam Acara Basikal

Guangzhou: PELUMBA basikal negara Azizulhasni Awang merangkul emas kedua Malaysia di Sukan Asia selepas menang acara keirin.

Manakala rakan senegara, Josiah Ng menenangi perak, di Guangzhou hari ini.

kemenangan Azizul mengakhiri kematau 40-tahun pingat emas untuk Malaysia di dalam acara basikal di dalam Sukan Asia.

Kali terkahir pingat emas di dalam acara basikal di Sukan Asia ialah pada 1970 di Bangkok, bila Ng Joo Ngan memenangi acara perlumabaan individu dan Allahyarham Daud Ibrahim yang berjaya di dalam acara 1600m bermula beramai-ramai.

Gadis 22 Tahun Ditahan Bersekedudukan Dengan Lelaki Bukan Islam

Subang: Seorang gadis berusia 22 tahun ditahan bersekedudukan dengan seorang lelaki bukan Islam di sebuah bilik kecil yang disewanya di Kawasan Perindustrian Puchong Utama, di sini, malam kelmarin.

Gadis itu dicekup penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ketika berbaring bersama pasangannya dalam bilik berkenaan.

Dalam operasi bersepadu bermula kira-kira jam 11 malam itu, dua lagi wanita yang bersekedudukan dengan pasangan bukan Islam ditahan dalam bilik berasingan di kawasan sama.

Yang Dipertua MPSJ, Datuk Adnan Md Ikhsan ketika ditemui berkata, semua wanita itu dipercayai sudah dua tahun menginap di bilik berkenaan.

Katanya, mereka tinggal di bilik kecil yang diubah suai secara haram dari sebuah unit pangsapuri. “Setiap unit pangsapuri empat tingkat di Kawasan Perindustrian Puchong Utama itu memiliki tiga bilik tidur, namun pemiliknya mengubahsuai dengan meletakkan papan penghadang menjadikannya 10 bilik kecil.

“Kami mengesan taktik ini selepas mendapat maklumat jiran dan hasil pemeriksaan, tiga rumah di kawasan itu mengubah suai kediaman berkenaan kepada 10 bilik kecil setiap unit,” katanya.

Beliau berkata, tindakan pemilik rumah terbabit menyalahi Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan jika sabit kesalahan mereka boleh didenda maksimum RM25,000.

Menurutnya, tindakan pemilik terbabit juga membahayakan nyawa penyewa di bilik kecil berkenaan sekiranya berlaku kebakaran atau struktur papan berkenaan runtuh.

Adnan berkata, penyewa hanya membayar RM150 sehingga RM170 sebulan dan ia tidak sepadan dengan risiko yang dihadapi mereka.

Katanya, semua bilik berkenaan akan diruntuhkan segera dan pihaknya meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa tempatan jika ada unit kediaman di sekitar mereka yang diubah suai dengan cara sama.

Menurutnya, tiga gadis yang dicekup itu akan diserahkan kepada Jais untuk tindakan lanjut. -hm

Zulfa Dicari Polis Bantu Siasatan, Seorang Kerani Mati Ditikam

Kerani maut diserang dua lelaki

Gambar: Zulfa Ismail dicari polis untuk bantu siasatan

SHAH ALAM: Seorang kerani di sebuah pusat pengajian tinggi di sini terbunuh selepas diserang dua lelaki bersenjatakan pisau celoret ketika dalam perjalanan pulang selepas menghantar teman wanitanya di Kampung Padang Jawa, dekat sini, malam Ahad lalu.

Rashidi Mohd Saman, 27, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, pagi semalam, akibat cedera parah di perut, tangan kiri, kepala, dagu dan belakang badannya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin, berkata Rashidi sebelum itu diselamatkan anggota polis yang bergegas ke tempat kejadian di Jalan Muhibah, Kampung Padang Jawa, untuk dikejarkan ke HTAR sebaik menerima panggilan daripada orang awam.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, Rashidi dikatakan baru menghantar teman wanitanya, seorang pencuci warga Indonesia di pusat pengajian tinggi sama, apabila dihampiri dua lelaki dipercayai warga Indonesia, dengan menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ.

Katanya, kedua-dua lelaki itu bagaimanapun berjaya melarikan diri selepas menyerang mangsa.

"Mangsa berada dalam keadaan koma sehingga meninggal dunia kira-kira jam 5.30 pagi tadi (semalam).

Polis mengklasifikasikan kes ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh," katanya pada sidang media di sini.

Sehubungan itu, Noor Azam berkata, polis kini mencari seorang wanita warga Indonesia, Zulfa Ismail, 20, bagi membantu siasatan berikutan wanita itu bersama anaknya yang berusia empat tahun menghilangkan diri selepas kejadian.

Katanya, wanita itu mempunyai suami yang dipercayai masih berada di negara ini.

Noor Azam berkata, selepas kejadian, wanita yang berasal dari Malang, Indonesia itu yang baru bekerja selama dua bulan sebagai pencuci, tidak hadir ke tempat kerjanya.

Katanya, sebelum ini, wanita berkenaan menetap di kawasan setinggan di Kampung Padang Jawa dan Polis tidak menolak kemungkinan kejadian bermotifkan dendam.

Nikah Tak Ikut Hukum Syarak. Hantaran Dilupuskan

Kuala Lumpur: Dua warga Indonesia yang terbabit dalam upacara pernikahan menggunakan sindiket diketuai ‘Pak Hashim’ empat hari lalu, terpaksa melupakan seketika hasrat mereka untuk bergelar suami isteri selepas kedua-duanya didenda RM800 setiap seorang atas tuduhan bernikah tanpa kebenaran pendaftar.

Hakim Syarie Khairul Azwadi Mohamed Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap Uswatun dan Nurdin (umur tidak dinyatakan) di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, semalam, selepas mahkamah menerima pengakuan salah mereka.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka hanya perlu membayar RM150 setiap seorang kerana mereka dibenarkan menambah daripada wang jaminan yang dikenakan terhadap mereka sebelum ini iaitu masing-masing RM650.

Kedua-dua tertuduh yang hanya menundukkan muka turut berdepan hukuman penjara 12 hari sekiranya mereka gagal membayar denda seperti yang diperintahkan mahkamah.

Mahkamah juga memerintahkan barangan hantaran milik pasangan itu dilupuskan.

Mengikut pertuduhan, mereka di dakwa melakukan di sebuah rumah di rumah No 51, Lot 2242, Jalan Kubur, Kampung Pantai Dalam dekat sini, jam 7.45 malam pada 13 November 2010.

Pasangan itu masing-masing didakwa mengikut Seksyen 39 dan Seksyen 40 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 yang memperuntukkan hukuman mengikut Seksyen 40 (2) yang boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding semalam, kedua-dua tertuduh memohon supaya hukuman yang dikenakan kepada mereka diringankan kerana masih menanggung keluarga. Bagaimanapun, Pendakwa Syarie Mohd Sohibul Kahfi daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana mereka bukan saja melakukan kesalahan berdasarkan undang malah turut melanggar hukum syarak.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Khairul Azwadi sempat menasihati kedua-dua tertuduh supaya tidak mengulangi perbuatan mereka dan mengikut prosedur serta undang-undang yang ditetapkan di negara ini.

“Perkahwinan adalah sesuatu digalakkan dalam Islam untuk menambahkan bilangan zuriat dan generasi yang akan mengembangkan Islam.

“Namun, perkahwinan itu perlu mengikut prosedur terutama hukum syarak. Jika kamu atau mana-mana pihak mempunyai masalah mengenai wali, kamu boleh merujuk kepada pihak bertanggungjawab untuk menyelesaikan perkara itu,” katanya. -hm

IHRAM: Menyamaratakan Darjat Manusia

Seruan haji bergema kembali menghimpunkan umat Islam dari segenap penjuru dunia dalam melaksanakan tanggungjawab Rukun Islam kelima.

Para jemaah haji akan menghadap ke arah kiblat yang sama dengan hanya membawa keperluan yang terhad.

Bahkan, mereka pergi hanya berbekalkan beberapa helai pakaian dan keperluan tertentu serta meninggalkan segala harta benda di kampung halaman masing-masing untuk mencari keredaan Ilahi.

Ketika ihram, jemaah haji akan memakai dua helai kain putih. Simboliknya tentang pakaian ihram itu adalah ia melambangkan persamaan darjat bagi semua manusia yang menunaikan seruan ibadah haji.

Mereka sama sekali dilarang memakai sebarang pakaian berjahit dan bercantum. Tidak kira sesiapa pun, etika pakaian mereka tetap sama iaitu pakaian ihram.

Pangkat dan darjat tidak membawa sebarang makna tetapi iman serta amalan menjadi pengukur untuk dijadikan bekalan di akhirat kelak.

Pakaian ihram menjadi pelindung badan mereka pada waktu panas terik dan sejuk semasa menunaikan haji.

Ia turut mengikis segala perbezaan di kalangan jemaah sekali gus mengukuhkan lagi kesatuan umat Islam di seluruh dunia.

Dalam pada itu, dua helai kain putih itu memberi sekelumit gambaran kecil bahawa mereka hanya memakai beberapa lapis kain kafan sebagai penutup badan ketika menghadap Tuhan pada saat kematian.

Ihram kain kapas

Gambar:Gambar: PAKAIAN Ihram menunjukkan bahawa semua umat Islam adalah sama di sisi Allah SWT.

Setiap kali menjelangnya Hari Raya Aidiladha, ia juga membuka peluang kepada usahawan untuk mencari sumber pendapatan menjual pakaian dan produk menunaikan ibadah haji.

Pemilik kedai Ilham Jaya Baru Collection, Kompleks PKNS, Shah Alam, Marlis Hamid, 55, berkata, tidak banyak pilihan pakaian ihram yang terdapat di negara ini.

Bagaimanapun, kini terdapat kain ihram yang mempunyai corak berkotak-kotak dan bermotifkan flora untuk menjadi pilihan jemaah haji.

“Kebanyakan jemaah haji gemar menggunakan pakaian ihram kain kapas tuala kerana ia lebih tebal, lembut dan selesa digunakan.

“Bagi memenuhi permintaan pelanggan, saya akan menempah kain ihram tersebut dari China kerana di negara ini tidak terdapat kilang yang membuat pakaian ihram,” katanya ketika ditemui Kosmo!.

Dia yang menjalankan perniagaan produk haji selama hampir enam tahun lalu memberitahu, terdapat tiga saiz pakaian ihram.

“Saya menjual saiz untuk orang dewasa, remaja 14 tahun ke bawah dan kanak-kanak enam tahun.

“Pelbagai saiz pakaian ihram dijual kerana kini bukan orang dewasa sahaja yang menunaikan haji bahkan remaja dan kanak-kanak. Pakaian ihram ini akan dijual pada harga di antara RM35 sehingga RM60,” katanya.

Dalam pada itu, kata Marlis jemaah haji lazimnya membeli dua pasang pakaian ihram untuk dibawa menunaikan haji.

Mereka juga akan membeli pakaian ihram pada Hari Raya Aidilfitri untuk membuat persiapan awal.

“Sehingga kini, perniagaan pakaian ihram saya mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

“Mereka bukan sahaja membeli kain ihram tetapi produk-produk lain seperti selipar, tali pinggang, kurta dan bermacam-macam lagi,” ujarnya.

Gambar: MUHAMMAD ILYAS menunjukkan tali pinggang yang dijual di Jun Collection, Kompleks PKNS, Shah Alam.

Bagi Muhammad Ilyas Ahmad, 29, yang bekerja di Jun Collection, Kompleks PKNS, Shah Alam pula menambah, pakaian ihram yang dijual di kedai tersebut didatangkan khas dari Pakistan.

“Kami import dari Pakistan kerana kebanyakan pelanggan lebih gemar menggunakan kain kapas dari negara berkenaan.

“Pakaian ihram bagi lelaki ialah dua helai kain tidak dijahit dan tidak dicantum. Sehelai akan dipakai di sebelah bawah untuk menutup aurat, iaitu antara pusat dan lutut manakala sehelai lagi dibuat selendang.

“Selain pakaian ihram lelaki, pakaian ihram perempuan pula menutup semua anggota badannya seperti telekung solat,” ujarnya.

Muhammad Ilyas berkata, kebanyakan pakaian ihram yang terdapat di negara ini diimport dari China, Bangladesh, Pakistan, Vietnam, India dan beberapa negara lain.

Sementara itu bagi pasangan suami isteri, Darul Yusriman, 36, dan Roziela Abu Bakar, 35, pengalaman menunaikan haji pada tahun 2007 tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

“Kami suami isteri masih muda ketika menunaikan haji. Ketika menjejakkan kaki di Tanah Suci, perasaan gementar dan teruja terdetik secara tiba-tiba kerana itulah pengalaman pertama menunaikan Rukun Islam kelima.

“Walaupun kami telah menjalani latihan praktikal tetapi perasaan gementar itu tetap wujud dan kami sangat bersyukur kerana dapat mengerjakan haji bersama ibu bapa dan adik-beradik,” kata eksekutif di sebuah syarikat swasta itu.

Darul menambah, menunaikan ibadah haji bersama ibu bapa amat penting kerana sekurang-kurangnya ada orang berpengalaman yang menemani ketika mengerjakan haji.


DARUL (kiri) dan Roziela berpeluang menunaikan ibadah haji pada usia muda tiga tahun lalu.

Sesat di Mina

Kata Darul, sepanjang menunaikan haji dia sentiasa teringatkan anak-anak yang ditinggalkan di tanah air.

“Wajah anak-anak sering bermain di fikiran tetapi bersyukur kerana mempunyai telefon bimbit 3G untuk melepaskan rindu kepada anak-anak,” ujarnya.

Menyentuh mengenai pakaian ihram, Darul memberitahu, tidak menghadapi sebarang masalah memakai pakaian tersebut.

“Kita telah diberi penerangan dan cara-cara pemakaian ihram dengan betul untuk memastikan ia berada dalam keadaan kemas dan tertib,” katanya lagi.

Sementara itu, Roziela menambah, mengerjakan haji umpama perhimpunan agung umat Islam kerana mereka datang dari seluruh pelosok dunia.

“Pengalaman yang tidak dapat saya lupakan adalah ketika jemaah haji Malaysia bertakbir, ia mengingatkan saya sambutan Aidiladha ketika berada di tanah air.

“Selain itu tidak banyak pengalaman pelik yang saya alami. Cuma, kita perlu menyesuaikan diri dengan cuaca, makanan dan kemudahan yang disediakan,” ujarnya.

Namun Roziela teringat kisah seorang jemaah yang sesat sehingga dua atau tiga hari ketika berada di Mina.

“Difahamkan semasa mak cik tersebut hilang dia menjumpai banyak kambing dan orang Arab yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu.

“Bagaimanapun, seorang pemandu teksi yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu telah menghantarnya ke hotel,” katanya yang berharap dapat menunaikan ibadah haji lagi pada masa hadapan. -kosmo

Benci Kejahatan: Jemaah Haji Melontar Jamratul Aqabah

Jemaah Haji Malaysia sudah bersedia melontar jamrah

Gambar: SIMBOLIK BENCI KEJAHATAN: Berjuta-juta jemaah semalam, menyempurnakan syarat wajib haji iaitu melontar Jamrah di Mina sebelum mereka menunaikan ibadat korban sempena Aidiladha, hari ini.

MEKAH, 16 Nov – Seramai 26,000 jemaah haji Malaysia telah berada di Mina dan bersedia mengerjakan satu lagi perkara wajib haji iaitu melontar jamrah bermula tengah malam ini waktu tempatan 10 Zulhijjah.

Bermula dengan melontar Jamratul Aqabah, jemaah akan melontar diikuti di Jamratul Ula dan Wusta selepas gelincir matahari pada 11 Zulhijjah.

Semua jemaah negara selamat tiba di Mina awal pagi ini selepas bermalam di Padang Arafah pada malam 9 Zulhijjah.

Dalam perjalanan itu mereka bermalam sebentar di Muzdalifah bagi mengutip batu-batu kecil untuk melontar jamrah pada Hari Tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Ritual itu dilakukan bermula selepas gelincir matahari sehingga terbenam matahari.

Semua jemaah Malaysia akan berulang-alik dengan berjalan kaki dari tempat mereka bermalam di Mina ke Kompleks Jamrah sejauh hampir empat kilometer untuk melaksanakan wajib haji itu.

Kompleks Jamrah setinggi lima tingkat terletak kira-kira 21.9 kilometer dari Padang Arafah dan tujuh kilometer dari Mekah.

Selepas selesai, mereka akan mengerjakan tawaf serta sa’ie untuk melengkapkan perkara penting yang menyempurnakan haji seseorang jemaah. – Bernama