5 Mei 2015

Najib vs Mahathir: Mahathir Pun Tak Mungkin Menyerah Kalah...


Pntadbiran Najib tidak bersih- Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad mengaku beliau menyerang Datuk Seri Najib Tun Razak kerana pentadbirannya yang didakwa tidak bersih.

Bekas Perdana Menteri berkata, beliau tidak puas hati kerana di bawah pentadbiran Najib, duit negara hilang dan hutang luar negara pula meningkat.

“Agenda kerajaan kena bayar hutang. Kalau bayar hutang saya tidak ada masalah. Menjadi masalah sekarang ialah duit (negara) hilang.

“Kalau satu juta, dua juta takpelah, ni sampai 14 juta, 20 juta hilang. Tidak tahu ke mana perginya. Ini persoalannya. Saya tak puas hati pasal duit hilang…duit kerajaan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Syarahan Perdana di German-Malaysia Institute pada Rabu.

Dr ‎Mahathir berkata demikian ketika diminta untuk mengulas mengenai kenyataan Najib yang menyatakan beliau tidak akan berganjak walaupun ‘diserang’.

Najib ketika berucap ketika melancarkan laporan Program Transformasi 2014 berkata, beliau tidak akan berganjak atau menyerah kalah walaupun diasak dan dikritik. -FMT

Najib Enggan Menyerah Kalah, Mahathir Pun Tak Mungkin Mengalah...

Hanya beberapa jam setelah Perdana Menteri, Najib Razak mengatakan beliau tidak akan menyerah kalah di sebalik pelbagai kritikan dan serangan terhadapnya, Tun Mahathir Mohamad juga memperlihatkan pendiriannya yang tidak mahu mengalah daripada terus menegur dan mengasak.

Jika malam tadi Najib mengungkapkan madah Bugisnya, Tun Mahathir hari ini bukan saja mengulangi kritikan mengenai gaya hidup mewah isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor bahkan menyifatkan kerajaan pimpinan Najib sebagai tidak bersih kerana menyebabkan banyak kehilangan wang serta meningkatnya hutang negara.

Beliau juga menyebut mengenai kos bunga untuk perkahwinan anak perempuan Najib dan Rosmah sehingga RM3 juta yang menjadi perbualan ramai dan diceritakan oleh ramai orang kepadanya.

Dalam konteks Najib, beliau dilihat sama sekali tidak mungkin berganjak dari kerusi Perdana Menteri yang sedang didudukinya, walaupun Tun Mahathir sudah beberapa kali mendesaknya agar berundur demi menyelamatkan nasib UMNO dan BN daripada ditimpa kekalahan.

Jika sebelum ini beliau mengatakan tidak rasa keseorangan, kali ini Najib memperlihatkan seolah-olah pantang baginya untuk menyerah kalah, sesuai dengan darah Bugis yang mengalir dalam tubuhnya.

Najib juga tidak mungkin menjawab segala kritikan Tun Mahathir terhadapnya, meskipun semakin ramai yang mahukannya berbuat demikian. Terbaru, bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi - selepas Tengku Razaleigh Hamzah, Shahrir Samad, Khairy Jamaluddin, Shafie Afdal, Nur Jazlan dan beberapa yang lain, turut berpendirian bahawa Najib harus menjawab sendiri semua persoalan itu.

Sama ada Najib tidak mahu atau tidak mampu menjawabnya, jawapannya ketika ini ialah beliau tidak mahu menyerah kalah atau lebih mudahnya ialah "saya masih mahu menjadi Perdana Menteri."

Tun Mahathir pula, sepertimana yang difahami oleh ramai orang, tidak pernah sama sekali mahu mengalah, menyarah kalah atau mengaku kalah atas sesuatu yang sudah dimulakannya.

Ini kerana beliau dikatakan tidak mungkin melakukan sesuatu jika tidak mempunya asas yang kukuh mengenainya.

Beliau juga ditafsir oleh ramai orang sebagai seorang yang semakin hebat pemikiran dan daya kreativitinya apabila menghadapi tekanan atau ketika sedang berbalah dengan seseorang.

Apabila Najib tidak mahu menyerah kalah, ramai yang merasakan Tun Mahathir, bukan saja akan lebih agresif dan berstamina, bahkan kemungkinan tampil dengan lebih maklumat dan idea luar biasanya lagi selepas ini.

Meminta Tun Mahathir berhenti mengkritik dan menegur juga seperti tidak munasabah. Ini kerana bukan saja beliau sudah menegur secara tertutup dan menulis surat tetapi tidak dipedulikan oleh Najib, lebih dari itu semua persoalan yang dibangkitkannya juga mendapat sokongan yang nyata daripada rakyat.

Dengan Najib tidak mahu menyerah kalah dan Tun Mahathir tidak mungkin mengalah, pertanyaan ramai orang ketika ini ialah apakah kesudahannya nanti?

Apakah pertembungan mereka ini akan berlarutan sehingga PRU 14 nanti dan akhirnya menatijahkan "seorang menjadi abu manakala seorang lagi menjadi arang?"

Atau adakah Najib seharusnya dipaksa berundur demi masa depan UMNO dan BN kerana yang dikatakan menjadi beban sekarang ialah beliau dan bukannya Tun Mahathir?

Dengan pertembungan ini sudah memasuki episod getir sekarang, apakah ia menandakan sudah sampai masanya pimpinan dan ahli UMNO akar umbi harus bangun dan menyatakan pendirian mereka dengan segera, bukan lagi penentuan nasib parti sekadar berlegar di kalangan 191 Ketua Bahagian saja?
-shahbudindotcom


Apa Mahu Jadi? Pemilihan PAS Semakin Kotor ...


Muktamar Pemuda: Masa untuk 'menghina'?

Bahang 'perang' menjelang muktamar PAS bulan depan semakin panas apabila senarai rasmi diumumkan Ketua Jawatankuasa Pemilihan PAS, Asmuni Awi hari ini.

Tanpa pengumuman rasmi dibuat mengenai pertembungan kumpulan proulama dan bukan ulama, pola pencalonan yang dibuat seluruh PAS kawasan setakat ini menunjukkan ia semakin tidak terkawal.

Untuk Pemuda PAS misalnya, ketuanya Suhaizan Kaiat turut dicalonkan sebagai pemeriksa kira-kira - suatu langkah yang sebenarnya boleh dianggap menghina atau sekurang-kurangnya tidak serius.

Turut dicalonkan untuk jawatan itu ialah menantu Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Zaharuddin Mohamad yang lantang dalam gerakan 'mempertahankan' kumpulan ulama, serta 'sekutunya' yang juga Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohd Yusni Mat Piah.

Mohd Yusni baru-baru ini menjadi perhatian kerana berkeras enggan menggerakkan anggotanya membantu PKR dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Nama Suhaizan turut dicalonkan sebagai Timbalan Pengerusi Tetap bersama bekas Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan.

Dalam perkembangan sama, perwakilan di peringkat kawasan juga menunjukkan kecenderungan membawa semula Nik Abduh Nik Abdul Aziz ke dalam Pemuda PAS.

Berdasarkan senarai yang diedarkan hari ini, nama Nik Abduh dicalonkan untuk bertanding bagi jawatan ketua pemuda bersama anak Abdul Hadi, Muhammad Khalil (kini naib ketua kepada Suhaizan).

Nik Abduh - memenangi kerusi parlimen Pasir Mas dalam pilihan raya umum ke-13 lalu - adalah Naib Ketua Pemuda PAS ketika sayap itu diketuai Nasrudin bagi sesi 2011 - 2013.

Sementara itu ketika dihubungi Malaysiakini, Suhaizan berkata, dia tidak berasa apa-apa dengan pencalonan namanya sebagai pemeriksa kira-kira.

"Sebelum ini pun ada juga ulama atau pemimpin atasan yang dicalonkan untuk jawatan seperti itu," katanya.

Suhaizan berkata, antara tokoh utama PAS yang dicalonkan sebagai pemeriksa kira-kira ialah Datuk Husam Musa, Ahmad Awang dan Ketua Dewan Ulama PAS Pahang, Mokhtar Senik.

Mengenai percaturannya dalam pemilihan bulan depan, Suhaizan masih enggan mendedahkan sebarang keputusan, kecuali mengesahkan hanya akan bertanding untuk satu jawatan saja.

"Tunggulah, nanti saya akan umumkan," katanya.

Bagi Dewan Muslimat PAS pula, bekas ketua sebelum ini, Nuridah Salleh cuba dibawa masuk untuk mencabar penyandang Siti Zailah Mohd Yusoff. -mk

PRK Rompin Ujian Besar Untuk TITM Sebagai Calon Timb Presiden PAS


Proses mengundi PRK Rompin bermula

Proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin bermula pada jam 8 pagi ini dengan pengundi berkumpul di semua 38 pusat pengundian.

Pengundi mula berkumpul di perkarangan pusat mengundi sekitar jam 7 pagi dan anggota polis dilihat mengawal lalu lintas bagi melancarkan perjalanan proses pengundian.

Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Hasan Arifin dijadualkan mengundi di Sekolah Kebangsaan Leban Condong, manakala calon PAS, Nazri Ahmad akan mengundi di Sekolah Agama Rakyat Felda Keratong 5, di Muadzam Shah.

PRK Rompin, pilihan raya kecil yang ke-9 selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada Mei 2013 diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis yang terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.

Jamaluddin menang pada PRU13 mengekalkan kerusinya bagi penggal ke-6 selepas mengalahkan bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

Parlimen Rompin mempunyai 53,294 pengundi berdaftar terdiri daripada 52,744 pengundi biasa, 545 pengundi awal dan lima pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.

Pengundian awal diadakan pada 30 April lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan keputusan PRK Rompin akan diumumkan sekitar jam 11 malam, kerana keluasan kawasan yang besar dan sesetengah kawasan memerlukan perjalanan 2 hingga 3 jam untuk menghantar peti undi ke pusat penjumlahan undi.

SPR akan mengumumkan keputusan penuh PRK Rompin di pusat penjumlahan undi, Dewan Jubli Perak, Sultan Ahmad Shah. -TMI

ULASAN GB

Seperti ynag GB ulaskan sebelum ini, dua pilihanraya kecil yang berlansung minggu ini, Rompin dan Permatang Pauh, menguji dua orang kuat PAS yang bertanding jawatan Timbalan Presiden. Tuan Ibrahim sebagai pengarah pilihan raya kecil Rompin dan Mohamad Sabu sebagai Pengarah PRK Permatang Pauh. Kedua-duanya adalah calon Timbalan Presiden PAS di dalam pemilihan tahun i ni.

Seandainya PAS menang di Rompin, Mohamad Sabu bolehlah menarik diri dari bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS. Kerana dengan kemenangan itu bererti Tuan Ibrahim Tuan Man adalah orang yang paling layak ditabalkan sebagai Timbalan Presiden PAS. Ia juga bererti Tuan Ibrahim mampu melonjak PAS jauh ke depan di persada politik negara.

Tetapi jika PAS kalah di Rompin apatah lagi jika majoritinya menurun bererti Tuan Ibrahim berhadapan dengan laluan sukar untuk memenangi jawatan Timabalan Presiden kerana perwakilan akan mempersoalkan keupayaannya untuk memikul amanah membawa kemenangan kepada PAS di pentas politik tanahair.

Begitulah juga dengan keadaan Mohamad Sabu di Permatang Pauh. Walaupun itu kerusi PR, namun kememangan belum tentu berpihak kepada calon PKR akibat dari menerima perbuatan sabotaj dari parti PAS sendiri terutama dari kumpulan yang tidak suka Mohamad Sabu dan tidak suka kepada PKR dan DAP. Tugas lebih berat dipikul oleh Mohamad Sabu untuk sekurang-kurangnya mengekalkan majoriti yang diperolehi oleh Anwar Ibrahim di Permatang Pauh sebelum ini, tidak boleh kurang dari itu. Jika tidak, perwakilan Muktamar PAS Jun nanti akan menilai Mohamad Sabu telah gagal dan justeru itu tidak layak untuk menjadi Timbalan Presiden PAS.

Sama-sama kita nantikan keputusannya...

[VIDEO] Luahan Sayu Nur Firuza: Tangkap Orang Yang Langgar Ayah...


Tangkap orang yang langgar ayah saya", luah Nur Firuza Amira kepada Zahid

KUALA LUMPUR: "Tangkap orang yang langgar ayah saya," kata adik Nur Firuza Amira Fairuz Nizam kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Permintaan itu disampaikan adik Nur Firuza Amira ketika Zahid menziarahi keluarga keluarga Fairuz Nizam Husain, mangsa nahas kemalangan melibatkan dua buah MyVI dan sebuah Pajero awal pagi Sabtu lepas.

Nur Firuza Amira, 7 dan adiknya Nur Firuza Aqila,4, menjadi yatim piatu selepas ibu bapa dan adik mereka terlibat dalam kemalangan tersebut.

Kemalangan yang berlaku di Kilometer 6.2, Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (Duke), awal pagi Sabtu itu mengorbankan Fairuz Nizam,35 bersama isterinya Nova Safitri Azhari,27, dan bayi mereka yang berusia 7 bulan, Nur Firuza Annisa.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.05 pagi itu, kenderaan utiliti sukan (SUV) Pajero Sport yang dinaiki mereka berlanggar dengan dua buah Perodua Myvi sebelum terbalik.

Mangsa, Fairuz Nizam Husain yang memandu Pajero Sport disahkan maut di tempat kejadian sementara isterinya, Nova Safitri Azhari, dan bayinya, Nur Firuza Annisa yang turut tercampak ke jalan raya dilaporkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Berdasarkan maklumat yang menjadi viral di laman sosial, kemalangan dipercayai berpunca daripada enam kereta Perodua Myvi yang sedang berlumba sebelum dua daripadanya bergesel dan merempuh sehingga Pajero Sport yang dinaiki mangsa berpusing dan terbalik. -astroawani



FB kutuk pemandu Myvi diwujudkan


Kemarahan rakyat Malaysia terhadap tindakan pemandu Myvi dari kelab Familia Myvi Club yang memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian tiga sekeluarga, awal pagi Sabtu lalu masih belum reda.

Malah, sebuah laman Facebook khas diwujudkan dengan nama Familia MurderMyvi Club kelmarin sebagai medium kemarahan masyarakat kepada enam pemandu Myvi yang dikatakan terlibat dalam perlumbaan sehingga menyebabkan kemalangan mengorbankan pasangan suami isteri, Fairuz Nizam Husain, 35, Nova Safitri Azhari, 25, dan bayi mereka, Nur Firuza Annisa.

Sehingga jam 3 petang semalam, laman tersebut telah mendapat 15,000 like daripada pengguna Facebook.

Laman tersebut menjadi medan kepada orang ramai untuk meluahkan perasaan marah dan mahu pemandu Myvi terlibat dibawa ke muka pengadilan serta dikenakan tindakan sewajarnya.

“Kau orang lari ke mana pun. Sampai ke lubang cacing kami akan cari. Dunia ini kecil saja. Tunggu!,” tulis salah seorang pengguna akaun Facebook dengan nama Eyfa Danieya.

“Gantung terus lesen memandu. Jangankan kereta, basikal pun jangan bagi dia bawa. Membahayakan nyawa orang lain,” kata pengguna Butik Qaesara.

Seorang pengguna dengan nama Beeb Siti Baiti pula berpendapat kelab kereta perlu diharamkan kerana membawa banyak keburukan.

“Haramkan saja semua kelab-kelab kereta ini. Banyak buruk dari baik dah kebelakangan ini. Kelab motor pun sama,” katanya.

Laman tersebut turut digunakan untuk pengguna berkongsi maklumat terbaru mengenai kemalangan tersebut seperti video rakaman kamera litar tertutup (CCTV), laporan polis oleh saksi dan maklumat diri pemandu Myvi.

Manakala, di laman Twitter, hashtag MyviFamilia menjadi trending di Malaysia dengan rata-rata pengguna menyuarakan perasaan simpati terhadap keluarga mangsa terutama dua anak pasangan tersebut yang masih kecil.

“Kepada #MyviFamilia, mohon yang terlibat tampil untuk bertanggungjawab atas apa yang terjadi. Kesian dekat adik-adik ini,” tulis pengguna Twitter dengan akaun @ZaidDanialHarih.

“Berlumba berani, minta maaf tak berani? #MyviFamilia mereka dah meninggal, dah tak boleh ubah. Sekurang-kurangnya pergilah jumpa keluarga mereka, minta maaf,” kata seorang lagi pengguna akaun bernama @tengkudahlia.

Sementara itu, hasil carian di Facebook mendapati terdapat juga sebuah laman khas baharu diwujudkan semalam untuk menyokong ahli kelab Familia MurderMyvi Club dengan nama Keadilan untuk Familia Myvi Club.

Laman tersebut menyiarkan kata-kata positif agar ahli kelab Familia MurderMyvi Club terus bersatu walaupun menerima kecaman masyarakat.

Bagaimanapun, laman itu tidak terlepas daripada menjadi sasaran pengguna Facebook untuk melepaskan kemarahan.

Sementara itu, sebuah rakaman litar tertutup didakwa merakam tindak tanduk pemandu Myvi yang berlumba di Lebuhraya Duke, Sabtu lepas telah dimuat naik ke laman Facebook.

Melalui rakaman berdurasi 29 saat berkenaan, Sinar Online mendapati beberapa buah kenderaan termasuk beberapa buah Myvi dipandu dengan laju berbanding kenderaan-kenderaan lain.