25 Nov 2010

2 Beradik Perempuan Dipaksa Jadi Hamba Seks Oleh Abang Kandungnya

Kakak bongkar rahsia 2 beradik

MERSING: Rahsia dua beradik perempuan berusia 13 dan 16 tahun yang menjadi hamba seks abang kandung sejak bertahun lalu di Felda Tenggaroh 5 di sini, terbongkar apabila kakak mereka terlihat perlakuan ganas lelaki berusia 24 tahun itu, pagi kelmarin.

Kakak mereka yang berada dalam rumah berkenaan, terlihat suspek menarik dengan ganas tangan adik yang berusia 13 tahun masuk ke dalam bilik.

Apabila lelaki itu menyedari perbuatannya dilihat kakaknya, dia melarikan diri dari rumah sebelum menumpang lori menuju ke Felda Tenggaroh 2.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Mohd Nor Rashid yang mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya sudah menahan suspek kes itu.

“Dia ditahan ketika menumpang lori tidak jauh dari kawasan Felda berkenaan dan kini direman untuk membantu siasatan.

“Suspek bekerja di sebuah ladang di Kota Tinggi dan turut positif ganja,” katanya.

Mohd Nor berkata, kakak mangsa membuat laporan polis apabila terlihat perbuatan adik lelakinya itu dan siasatan mendapati gadis berusia 13 tahun itu dirogol sejak tiga tahun lalu.

Pendedahan gadis itu membongkar rahsia kakaknya yang berusia 16 tahun turut menjadi mangsa rogol abang mereka sejak awal tahun ini.

“Mangsa tidak mahu membuat laporan polis kerana suspek mengugut membunuh seisi keluarga jika tembelangnya pecah. Mereka dirogol ketika ibu bapa keluar bekerja,” katanya.

Kedua-dua beradik itu yang dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, semalam, untuk menjalani pemeriksaan, berjaya dipujuk supaya membuat laporan polis berkaitan kejadian di Balai Polis Sugai Ambat, tengah hari, kelmarin.

Mohd Nor berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 376 B Kanun Keseksaan kerana sumbang mahram. -hm

Seorang Ulamak Indonesia Dipenjara Kerana Kahwini Budak

Ulama Indonesia dipenjara kahwin budak

SEMARANG - Seorang ulama Indonesia yang mencetuskan kemarahan ramai kerana berkahwin dengan seorang kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun dipenjara selama empat tahun, semalam.

Pujiono Cahyo Widianto, 46, didapati bersalah oleh mahkamah Indonesia kerana mengadakan hubungan seksual dengan kanak-kanak bawah umur dan turut didenda sebanyak 60 juta Rupiah (RM21,000).

Ulama yang juga ahli perniagaan itu mengadakan majlis perkahwinan besar-besaran dihadiri ribuan tetamu semasa berkahwin dengan Lutfiana Ulfa, pada 2008.

Pujiono, yang juga dikenali sebagai Sheikh Puji menegaskan tidak melakukan kesalahan kerana mendakwa kanak-kanak itu sudah baligh semasa berkahwin.

Bagaimanapun, Pujiono membangkitkan kemarahan ramai, termasuk Majlis Ulama negara itu apabila menyuarakan hasrat untuk mengahwini dua lagi kanak-kanak yang berumur tujuh dan sembilan tahun.

Undang-undang di Indonesia menghalang kanak-kanak perempuan berumur di bawah 16 tahun daripada berkahwin. -SH

Sasaran 9 Emas Dicapai: Pasukan Skuasy Wanita Menang Pingat Emas Tewaskan Hong Kong

Sukan Asia: Malaysia Capai Sasaran 9 Emas

Gambar: TERCAPAI... Pasukan skuasy negara (dari kiri) Datuk Nicol David, Low Wee Wern, Sharon Wee dan Delia Arnold meraikan kutipan pingat emas kesembilan selepas memenangi acara berpasukan wanita di Sukan Asia ke-16 di Guangzhou. - Foto GLENN GUAN/The Star

GUANGZHOU: Pasukan skuasy wanita Malaysia menguasai acara skuasy pada Sukan Asia ke-16 selepas menewaskan Hong Kong dalam pertandingan akhir berpasukan di sini, Khamis.

Pasukan Malaysia yang diketuai pemain skuasy Nombor Satu dunia, Nicol Ann David, Low Wee Wern, Delia Arnold dan Sharon Wee mengalahkan Hong Kong, 2-0.

Kemenangan itu membolehkan kontinjen Malaysia mencapai sasaran untuk memenangi sembilan pingat emas pada Sukan Asia di Guangzhou.

Pemain Nombor Dua Malaysia, Low Wee Wern memulakan langkah awal selepas menewaskan pemain berpengalaman Rebecca Chiu, 11-4, 7-11, 11-6 dan 11-9 dalam pertemuan 54 minit.

"Saya sedar ini merupakan set permainan yang mencabar. Beliau seorang yang berpengalaman dan rentak permainannya baik dan saya perlu berhati-hati.

"Ini merupakan pertemuan kali kedua dengan Rebecca. Kali pertama kira-kira dua atau tiga tahun lalu. Ranking kami lebih kurang sama dan kami tidak pernah bertemu sejak dua tahun lepas dan saya sedar ia sudah pasti mencabar," katanya yang kini merupakan pemain di ranking ke-16 dunia.

Pada pertemuan di NSC Tour 2007 dan pusingan kelayakan Terbuka Kuala Lumpur 2008, Wee Wern tewas kepada Rebecca, 3-0 dalam kedua-dua kejohanan.

Pemenang pingat emas individu wanita Nicol, memperoleh mata kemenangan dengan 11-8, 11-7 dan 11-6 ke atas Annie Au.

Bagi Nicol, kemenangan ke atas Hong Kong memberi satu perasaan yang berbeza kerana pasukan Malaysia sering bertemu pasukan itu beberapa kali pada kejohanan Asia.

"Dalam setiap kejohanan peringkat Asia dengan mereka...ia mengimbau satu kenangan tetapi ia berlainan dengan Sukan Asia," kata Nicol.

Beliau berkata Wee Wern telah melakukan tugas dengan baik dengan memenangi mata pertama buat Malaysia.

"Wee Wern telah bermain dengan cemerlang untuk menewaskan Rebecca, yang benar-benar berpengalaman dan kemenangan 3-1 itu adalah hebat.

Saya gembira kerana pasukan telah melakukan yang terbaik dan menghasilkan keputusan.

"Saya bangga kerana kontinjen Malaysia gembira dengan apa yang telah kami lakukan setakat ini," kata juara dunia lima kali itu.

Sementara itu, pasukan India dan Korea Selatan mendapat pingat gangsa sebagai pasukan yang tewas dalam peringkat separuh akhir.

Pakistan pula berjaya menafikan usaha Malaysia menyapu bersih semua pingat emas dalam acara skuasy pada Sukan Asia ke-16 di sini apabila memenangi emas acara berpasukan lelaki hari ini.

Pakistan menumpaskan Malaysia 2-0 pada perlawanan akhir di Gimnasium Bandar Sukan Asia di sini setelah Farhan Mehboob menewaskan Ong Beng Hee 11-4, 11-4, 11-7 dalam masa 23 minit.

Pemain muda, Aamir Atlas Khan, 20, melakukan kejutan apabila menundukkan pemenang emas perseorangan, Mohd Azlan Iskandar 14-12, 15-13, 11-4, dalam masa 42 minit untuk mengesahkan pingat emas kedua Pakistan.

"Malangnya, kami terlepas pingat emas apabila sudah menghampirinya. Kami harap sekiranya Azlan menang, kami yakin Mohd Nafiizwan Mohd Adnan boleh menewaskan pemain nombor tiga Pakistan.

"Saya turun hari ini atas alasan teknikal. Saya mengalami keracunan makanan sejajak beberapa hari lalu dan sebab itu saya tidak turun semasa menentang India dalam perlawanan kumpulan dan Hong Kong pada saingan separuh akhir," kata Beng Hee, selaku ketua pasukan.

Mohd Azlan berkata, beliau berasa amat kecewa kerana gagal membantu menyumbang pingat emas untuk negara.

"Tiada apa-apa yang boleh saya katakan masa ini. Saya tahu saya perlu memang supaya mencerahkan peluang emas tetapi Aamir memberi persembahan baik sekali," katanya.
India dan Hong Kong masing-masing memperoleh pingat gangsa selepas tewas dalam separuh akhir.

Menteri Pertahanan Perlu Jawab: Tertuduh Kes Enjin TUDM Diculik Pegawai Tentera

Peguam dakwa tertuduh kes enjin TUDM diculik pegawai tentera

SHAH ALAM, 25 Nov — Peguam bekas sarjan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) N. Tharmendran mendakwa anak guamnya itu “diculik” oleh sekumpulan pegawai sayap Angkatan Tentera Malaysia itu di pekarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam pagi ini.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, N Surendran berkata beliau yakin tindakan pegawai-pegawai itu bertujuan menghalang Tharmendran (gambar) daripada mendedahkan butiran mengenai skandal kehilangan enjin dua jet TUDM yang dilapor hilang dan kemudian didakwa dicuri.

“Sekumpulan kira-kira 10 pegawai TUDM diketuai oleh Leftenan Kolonel Mohd Razif Razak menahan Tharmendran di pekarangan mahkamah kira-kira 11 pagi tadi ketika dia dan bapanya menuju ke kereta selepas keluar bilik mahkamah,” kata beliau.

Kata Surendran walaupun beliau memprotes tindakan itu tetapi Razif mendakwa Tharmendran ditahan kerana tidak datang untuk lapor diri tugas.

“Saya memberitahu mereka bahawa dokumen menunjukkan Tharmendran bukan lagi staf TUDM, dokumen menunjukakn dia bukan kakitangan TUDM sejak 28 Mei lalu.

“Tetapi mereka tidak kisah, dan mahu menahan dia di Kem Tahanan Tentera,” kata beliau.

Surendran berkata beliau akan memfailkan habeas corpus petang ini bagi membebaskan anak guamannya dan juga perintah hina mahkamah ke atas Razif dan TUDM.

Sementara itu, dalam satu kenyataan dikeluarkan tengah hari ini, Kementerian Pertahanan berkata Tharmendran, yang menghadapi tuduhan mencuri dua enjin pesawat F5-E, hari ini ditahan semula oleh TUDM atas kesalahan meninggalkan tugas.

Tangkapan dibuat oleh lima pegawai Jabatanarah Provos Marsyal TUDM di pekarangan tempat letak kereta Kompleks Mahkamah di sini pada 12 tengah hari ini selepas Tharmendran menghadiri pendengaran permohonannya untuk menggugurkan pertuduhan ke atasnya di Mahkamah Tinggi di sini.

Menurut Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pertahanan, kegagalan Tharmendran untuk hadir bertugas setelah membayar jaminan pada 6 September lepas sehingga ke hari ini merupakan satu kesalahan meninggalkan tugas yang bertentangan dengan peruntukan Akta Tentera 1972.

Tharmendran masih lagi berada dalam perkhidmatan TUDM, kata unit itu dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 6 Januari lepas, Tharmendran, 42, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, mencuri dua enjin pesawat F5-E jenis J85-21 di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi di sini pada 30 April 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan. -TMI

Chegu Bard Bakal Dikenakan Tindakan Disiplin?

Chegu Bard bakal berhadapan tindakan?

PETALING JAYA: Chegu Bard tidak menolak kemungkinan beliau bakal menghadapi satu lagi krisis dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila khabar angin mula bertiup dikalangan ahli parti beliau bakal dikenakan tindakan disiplin.

"Saya juga ada mendengarnya dari teman-teman termasuk daripada mereka yang menganggotai Biro Politik. Beberapa media turut bertanyakan kepada saya, tapi buat masa ini saya lebih senang mengambil sikap tidak mengambil tahu tentang rancangan mereka," kata beliau kepada FMT.

Beliau turut mengulangi peringatan yang dibuatnya sebelum ini terhadap Jawatankuasa Dispilin Parti agar tidak gentar dengan mana- mana pemimpin untuk bertindak adil terhadap segala salah laku ahli-ahlinya tanpa memilih bulu.

"Jawatankuasa Disiplin Parti hendaklah tidak memilih bulu untuk siasat dan ambil tindakan. Kewibawaan mereka semakin lemah dan banyak yang rosak sebab takut kepada pemimpin tertentu dalam parti.

"Kalau mereka hendak ambil tindakan ke atas saya, pastikan punya asas yang kukuh. Apa kesalahan saya dan apa saya buat yang telah melanggar prinsip keadilan?

Berjuang untuk mendapat keadilan

"Adakah kerana menegur kelemahan parti, berjuang untuk mendapatkan keadilan itu dianggap satu kesalahan dalam parti?

"Tetapi bagaimana pula status aduan-aduan lain yang saya dan calon lain laporkan di sepanjang pemilihan? Senyap begitu sahajakah?," soal beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa beliau akan terus menentang kepincangan dalam parti tidak mengira samada ketika musim pemilihan berjalan atau sebaliknya.

"Dalam apa keadaan sekali pun, bila-bila masa pun saya tetap menentang penipuan dan penyelewengan kuasa dalam parti termasuk sikap memilih bulu dalam siasatan ini jika ada," tegas beliau lagi.

Selain itu, beliau turut meluahkan pendapat bahawa pemimpin dalam PKR termasuk Jawatankuasa Disiplinnya harus mempunyai jiwa besar untuk mengakui kesilapan dan kelemahan diri.

Kes Sosilawati: Tertuduh Fail Notis Dakwa Dipaksa Buat Pengakuan

Pembunuhan Banting: Tertuduh Fail Notis Dakwa Dipaksa Buat Pengakuan

SHAH ALAM: Seorang pekerja ladang yang dihukum penjara tujuh tahun kerana melupuskan bahan bukti pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya memfailkan notis usul bagi memgemukakan bukti baru berhubung dakwaan berlaku paksaan untuk dia mengaku salah atas pertuduhan tersebut.

K. Sarawanan (gambar), 19, turut mendakwa dipukul, disepak pada bahagian kemaluan dan diugut yang menyebabkannya berbohong mengaku telah melakukan kesalahan tersebut.

Sehubungan itu, dia memfailkan notis usul terbabit menerusi peguam A.S. Dhaliwal untuk memohon supaya Mahkamah Tinggi di sini, memanggil dan memeriksa rekod prosiding yang berlaku di Mahkamah Majisret Telok Datok, Banting, dekat sini bagi tujuan memastikan kebenaran, keesahan dan ketepatan prosiding terbabit.

Dia juga memohon supaya mahkamah meminda dan membetulkan fakta-fakta yang telah dikemukakan sebelum ini kerana fakta-fakta yang tidak benar telah menyebabkan dia menjadi pihak yang terkilan dan tidak mendapat keadilan.

Dhaliwal pula memberitahu, notis usul tersebut difailkan pada Rabu, dan sehubungan itu, Hakim Datuk Wira Mohtarudin menangguhkan prosiding semakan kehakiman dan rayuan Sarawanan kepada 10 Januari depan bagi memberi masa kepada pihak pendakwaan membalas afidavit yang difailkan oleh Sarawanan.

Pada prosiding sama, peguam Amer Hamzah Arshad yang bertindak sebagai peguam pemerhati bagi tertuduh utama pembunuhan itu, N. Pathmanathan, turut memberitahu, pihaknya telah memfailkan notis usul untuk mendapatkan kebenaran bagi mencelah dan berhujah dalam pendengaran semakan dan rayuan oleh Sarawanan.

Permohonan untuk mencelah dibuat atas alasan pertuduhan terhadap Sarawanan dan seorang lagi pekerja ladang, U. Suresh jelas menyentuh dan mengaitkan diri yang akan memprejudiskan diri Pathamanathan.

Pada 15 Oktober lalu, Sarawanan dan Suresh mengaku bersalah atas tuduhan melupuskan bahan bukti pembunuhan Sosilawati dan tiga lagi yang lain, iaitu Noorhisham Mohamad, Ahmad Kamil Abdul Rahim dan Kamaruddin Shamsuddin.

Semua mangsa dilaporkan hilang selepas menuju ke Banting untuk satu urusniaga pembelian tanah sebelum disahkan telah dibunuh dan dibakar manakala abu mayat mereka dicampakkan ke dalam Sungai Panchau.

Selain Pathamanathan, mereka yang turut didakwa atas tuduhan membunuh semua mangsa ialah T. Thilaiyagan, R.Matan dan R.Kathavarayan. -mstar

Kongres PKR: Rumah Tak Siap Pahat Berbunyi?

Kongres PKR: Rumah tak siap pahat berbunyi?

Selepas sebulan pemilihan yang penuh 'kontroversi', kongres tahunan PKR mulai esok dijangka menjadi ibarat 'rumah siap pahat berbunyi'.

Semua mata kini tertumpu sama ada parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya Datuk Seri Wan Azizah Ismail berjaya menteramkan kemarahan sebilangan anggota parti, sekali gus memulihkan perpaduannya demi menghadapai pilihan raya umum ke-13.

Sehubungan itu, menurut Pengarah Strategi PKR Tian Chua, perwakilan dijangka menyentuh soal keperluan parti kembali kepada agenda asal.

Bagaimanapun, sama ada wujud ejek-mengejek sesama 2,460 perwakilan berhubung isu 'pengkhianat' atau 'kuda Trojan' (musuh dalam selimut) yang sering dibangkitkan pemimpin kanannya, Tian berpendapat politiking dalaman sudah tamat.

“Politik biasanya berlaku sebelum kongres. Jadi bila tiba saatnya berkongres, politik itu saudah tamat dan kita kena hadapi realiti,” katanya sambil mengharapkan perwakilan boleh menunjukkan kematangan mereka.

Kata Tian, seperti biasa, mood optimis akan mewarnai atmosfera di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), tempat mereka bersidang.

Sementara itu, pemerhatii politik berpendapat, pertembungan antara penyokong tegar Azmin Ali dan Datuk Zaid Ibrahim – yang bertembung pada awal persaingan kerusi timbalan presiden – tidak dapat dielakkan.

Perwakilan tak mampu disekat

Bagaimanapun, bagi Azmin – yang menang bergaya sebagai timbalan presiden – tidak sahaja menghadapi pengikut setia Zaid.

“Mereka tidak semestinya pro-Zaid. (Tetapi) masih ramai antara perwakilan yang tidak sukakan Azmin. Saya rasa Azmin pun turut dihentam,” kata sumber parti.

“Sudah tentu mereka diingatkan tidak fokus pada personaliti, sebaliknya lihat pada gambaran lebih besar. Tetapi jika perwakilan tetap mahu mengkritik pemimpin tertentu, tiada yang mampu menyekatnya.”

Sementara itu, sebagai parti pertama di Malaysia yang menghadakan pemilihan langsung kali pertama, pelbagai aduan salah laku dan salah tadbir muncul.

Isu ini dipandang berat oleh tokoh-tokoh yang bertanding, terutamanya oleh 'kem bukan Azmin' seperti Zaid dan Mustaffa Kamil Ayub.

Malah Isnin lalu, laporan calon Ketua Pemuda PKR (AMK) Badrul Hisham Shaharin yang diserahkan kepada presidennya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail kini tersebar meluas di internet.

Bagi pemerhati politik ini, sudah tentu isu itu sukar dianggap telah selesai.

Golongan yang tidak berpuas hati ini hanya bergantung harap pada anak sulung Anwar Nurul Izzah Anwar, yang mana beliau dijadual menjadi salah seorang pembahasnya.

Ini kerana ahli parlimen Lembah Pantai pernah hadir ke program membincangkan aduan salah laku dan salah tadbir pemilihan yang dianjurkan oleh Badrul Hisham sebelum ini.

Masih belum diketahui beliau akan terlibat membahaskan usul apa, tetapi beliau pastinya ingin keluar daripada bayang-bayang bapanya, apatah lagi setelah dikatakan mendapat undi terbanyak untuk kerusi naib presiden. -mk

Kumpulan Utusan Rugi Pracukai RM10.6 juta

Utusan Melayu Catat Kerugian Pracukai RM10.6 Juta

KUALA LUMPUR: Utusan Melayu (Malaysia) Bhd telah mencatatkan kerugian pracukai RM10.682 juta untuk tempoh sembilan bulan berakhir 30 September, 2010 berbanding keuntungan pracukai RM1.707 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Pendapatan kumpulan media itu telah merosot kepada RM244.564 juta daripada RM253.847 juta sebelumnya kerana sumbangan daripada pengiklanan kurang menggalakkan, kata syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Untuk suku ketiga berakhir 30 September 2010, Utusan mencatatkan keuntungan pracukai yang rendah iaitu RM1.736 juta daripada RM10.128 juta dalam suku yang sama tahun lepas.

Bagaimanapun, pendapatan mengukuh kepada RM89.540 juta dalam tempoh bawah kajian daripada RM89.530 juta sebelumnya.

Utusan berkata, saingan yang sengit untuk perbelanjaan pemasaran pengiklanan, bukan hanya di kalangan media cetak, tetapi juga di kalangan semua saluran media telah menjejaskan prestasi kumpulan untuk tempoh di bawah kajian.

Faktor itu akan kekal sebagai cabaran kepada kumpulan berkenaan untuk baki tempoh 2010, katanya.

"Bagaimananpun, pertumbuhan positif yang dijangkakan untuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini dan tahun depan diunjurkan dapat merangsangkan perbelanjaan pengiklanan dan menyediakan peluang untuk kumpulan meningkatkan pendapatan pengiklanannya," kata kenyataan itu lagi. -mstar

[Bergambar] Ekspo Cheng Ho Memang Hebat!

Ekspo Perdagangan Antarabangsa Kelantan - China / Ekspo Cheng Ho sedang berlangsung dengan jayanya di perkarangan stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu,Kelantan, yang bermula dari 21 November hingga 26 November 2010

Berikut adalah sorotan dari blog chenghoexpo.net di sekitar tapak ekspo yang bertaraf dunia anjuran Kerajaan Negeri Kelantan ini.

Galeri Gambar Ekspo Cheng Ho 2010 boleh dilihat di www.flickr.com/photos/chenghoexpo

Al-Quran Terpanjang di dunia dipamerkan di Pameran Sejarah Cheng Ho, Tamadun Islam & Tamadun China Islam di Tingkat 4, KTC@ Kelantan Trade Centre.



Teknologi pembinaan rumah terbaru dari China



Teknologi Automotif dari China dalam Ekspo Cheng Ho 2010



Terapi Naga Api dari China dalam Ekspo Cheng Ho 2010



Pengunjung di China Pavilion dalam Ekspo Cheng Ho 2010



Teknik Rawatan berasaskan Wudhu' dari China



Pertunjukan Akrobat, Kung Fu Dan Shaolin














Pokok Pun Boleh Mati Akibat Radiasi WiFi

Pokok mati akibat WiFi

GAMBAR menunjukkan pokok ash.

ALPHEN AAN DEN RIJN, Belanda - Satu kajian oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Wageningen, Belanda mendapati radiasi daripada rangkaian gelombang tanpa wayar (Wifi) mungkin boleh menyebabkan pokok yang terdapat berdekatan dengan peranti penghala Internet tanpa wayar mati, lapor sebuah akhbar semalam.

Para saintis itu memperoleh hasil kajian tersebut selepas melakukan kajian ke atas 20 batang pokok ash yang daunnya menjadi kuning.

Hasil kajian itu menimbulkan kebimbangan bahawa radiasi Wifi boleh memberi kesan terhadap tubuh manusia.

Ia turut menyebabkan ibu bapa dan guru-guru berkempen agar peranti Wifi tidak dipasang di sekolah.

Bandar Alphen aan den Rijn yang terletak di barat Belanda mengarahkan kajian itu dilakukan sejak lima tahun lalu selepas mendapati pokok-pokok di kawasan itu mengalami situasi yang tidak normal.

Kajian itu mendapati pokok yang diletakkan paling hampir dengan radio Wifi mempunyai daun berwarna kuning berikutan lapisan kulit luar pokok mulai mati.

Para penyelidik juga mendapati radiasi Wifi boleh menyebabkan pertumbuhan jagung menjadi perlahan. - Agensi

Bangunan Parlimen Perlu Ubahsuai Keseluruhan

Bangunan Parlimen perlu ubahsuai keseluruhan," Shaziman

Gambar: Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor (kiri) ketika meninjau lokasi berlakunya kebocoran di bumbung bangunan Parlimen di sini, hari ini. Semalam di ruangan kafeteria Ahli Parlimen sekali lagi mengalami kebocoran akibat hujan lebat. Turut kelihatan Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya Datuk Seri Ir Dr Judin Abdul Karim (dua kiri) foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya memberi jaminan bahawa bangunan Parlimen selamat untuk digunakan tetapi pihaknya akan membuat cadangan untuk melakukan ubahsuai keseluruhan bangunan kepada Jemaah Menteri.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat bumbung dewan makan ahli parlimen petang ini, Menterinya Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, cadangan itu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam tempoh dua minggu lagi.

"Sebelum ini ubahsuai yang kita lakukan hanya di tempat yang berlaku kerosakan (kebocoran). Memandangkan bangunan Parlimen sudah berumur 47 tahun maka ubahsuai secara menyeluruh mesti dibuat.

"Tetapi untuk membuat ubahsuai semuanya, dewan persidangan terpaksa dipindahkan ke dewan di luar bangunan Parlimen," katanya.

Semalam, beliau melawat atap bangunan Parlimen yang bocor akibat hujan yang lebat.

Bagaimanapun, menteri kerja raya itu tidak dapat memberitahu jumlah kos yang diperlukan untuk membaik pulih secara keseluruhan bangunan Parlimen tetapi akan dimaklumkan setelah dibincang dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

"Bangunan ini telah melalui beberapa kali pengubahsuaian menyebabkan kebocoran berlaku melalui sambungan di kawasan berkenaan.

Jabatan Kerja Raya (JKR) membuat pemeriksaan setiap kali hujan. Menurutnya, pada mula kebocoran itu disebabkan oleh saluran air tetapi setelah diperiksa ia berpunca daripada pelbagai faktor setelah hujan lebat. -FMT


Bangunan Parlimen kekal di KL, tapi diubahsuai RM485 juta
Oleh Clara Chooi November 23, 2010

KUALA LUMPUR, 23 Nov – Menara Parlimen berusia 47 tahun akan kekal di ibu negara tetapi akan melalui pengubahsuaian yang menelan RM485 juta – melibatkan pembinaan sayap baru dan bangunan tambahan enam tingkat bagi tujuan pentadbiran ahli-ahli Parlimen.

Datuk Seri Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri memberitahu The Malaysian Insider bahawa kerja-kerja itu akan dimulakan pertengahan tahun depan.

Rancangan itu kini menunggu kelulusan Kabinet.

“Saya telah bercakap dengan pegawai-pegawai dari Jabatan Kerja Raya dan mereka telah diminta disediakan satu kertas kerja untuk dikemukakan kepada Kabinet waktu terdekat,” kata beliau ketika ditemui di Parlimen.

Nazri berkata beliau ada menerima maklum balas daripada ahli-ahli Parlimen daripada kesemua parti mengenai langkah menambah sayap dewan dan bangunan tetapi sebulat suara tidak bersetuju Parlimen dipindahkan ke tempat lain.

“Kesemua ahli Parlimen mengatakan bahawa Parlimen harus kekal di sini dan itu adalah asas kertas kerja JKR yang akan dibawa ke Kabinet,” katanya.

Menurut Nazri kerja-kerja pengubahsuaian akan mengambil masa tiga tahun.

Ia akan bermula dengan pembinaan sayap baru dewan di gelanggang badminton pada kos RM55 juta.

Sayap dewan itu akan menempatkan Dewan Rakyat dan Senat buat sementara waktu sehingga kerja-kerja pengubahsuaian selesai.

Bangunan enam tingkat pula akan menelan kos RM300 juta.

Sebaik sahaja kedua-dua premis itu selesai, kata Nazri, sidang Parlimen akan dipindahkan ke sayap baru itu sementara kerja-kerja mengubahsuai Parlimen akan dimulakan.

“Ia akan memakan masa 18 bulan lagi dan akan menelan kos RM130 juta,” katanya.

Dalam pada iti, kejadian bocor yang berlaku di kafeteria Ahli Parlimen, yang terletak bersebelahan Dewan Rakyat, petang ini menyebabkan sebahagian daripada kafetaria itu terpaksa ditutup sementara untuk kerja-kerja menyedut keluar air.

Punca sebenar kebocoran bumbung itu, yang berlaku kira-kira 2.50 petang, belum dikenal pasti, kata Nazri.

Beliau menjelaskan kebocoran bumbung kafeteria itu disebabkan Parlimen adalah bangunan lama dan kerja-kerja penyelenggaraan bangunan itu dilakukan oleh JKR.

Kebocoran di bahagian bumbung kafeteria itu disedari kira-kira 20 minit selepas Dewan Rakyat berhenti rehat dan dikatakan ekoran hujan lebat mulai kira-kira 1 tengah hari tadi.

Antara kejadian bocor berlaku di Parlimen ialah pada 28 April 2005 akibat kesilapan teknikal penutup kabel elektrik pada bahagian bumbung Dewan Rakyat menghalang pengaliran air hujan, katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Pada 7 Mei 2008, kejadian bumbung bocor berulang di Parlimen apabila air keluar dari saluran pendingin hawa di laluan tepi Dewan Rakyat berhadapan dengan bilik Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Nazri berkata Parlimen tidak akan berpindah atas sebab kerosakan yang berlaku dan bersedia menerima cadangan daripada Ahli Parlimen untuk menyelesaikan masalah itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Batu Gajah Fong Po Kuan pula meminta pengurusan Parlimen menyiasat kebocoran itu dan perlu segera membaikinya. -TMI


Dr Rafick Cadang PAS Ambil Alih Teraju Pakatan Rakyat

PR bukan PKR

Seorang aktivis masyarakat Dr Mohamed Rafick Khan bin Abdul Rahman mencadangkan agar PAS mengambil alih kepimpinan Pakatan Rakyat (PR). Ini berdasarkan kepada fakta bahawa PKR gagal untuk menunjukkan kewibawaannya sebagai sebuah parti yang berkemampuan dan berintegriti memimpin PR.

Menulis di dalam blognya di http://rights2write.wordpress.com, beliau berkata PKR telah mengecewakan harapan rakyat apabila PKR telah gagal untuk melakukan perkara yang paling penting di dalam menjalankan sesuatu pemilihan. Ini telah menjejaskan maruah mereka sendiri. Beliau menyatakan jika JPP atau parti telah mengakui wujudnya kekurangan dan mahu melakukan semula Pemilihan atau mengekalkan status quo sehingga semua isu-isu kepincangan diselesaikan, mereka akan lebih dihormati. Sebaliknya, pemimpin PKR terus melakukan pembohongan untuk menutup kepincangan tersebut.

Sambil mengakui bahawa jasa Anwar diingati kerana telah membawa PAS dan DAP duduk bersama untuk bergerak ke hadapan dengan ikatan yang lebih stabil dan mantap untuk PR, namun katanya ia adalah sesuatu yang telah menjadi sejarah. Kita perlu berada di dalam keadaan hari ini untuk bersedia di hari esok.

Untuk PAS menarajui PR, beliau menambah, PAS perlu bekerjasama dengan DAP dan memberi kefahaman kepada bukan Islam bahawa tiada apa yang perlu ditakutkan mengenai PAS. Ramai ahli PAS adalah professional di dalam bidang mereka. Ramai dari kalangan doktor, jurutera dan peguam. Mereka ini adalah golongan yang terbuka namun kental dengan nilai-nilai Islam yang membawa nilai hak asasi manusia sejagat.

PKR telah terjebak dengan pelbagai masalah seperti mereka yang melompat keluar parti, skandal seks dan juga ADUN serta MP PKR yang tidak berfungsi. Masanya telah tiba, menurutnya, penyokong dan pengundi PR mendesak lebih banyak kerusi diberikan kepada PAS dan DAP. Daripada nisbah moral dan nilai yang lebih diterima, beliau yakin DAP dan PAS adalah lebih ke depan. PKR tidak boleh dijadikan pemimpin PR selagi mereka tidak menunjukkan nilai kepimpinan yang terhormat. Untuk ketika ini wakil rakyat PAS tidak terjangkit dengan "penyakit" yang melanda PKR.

Dr rafick adalah seorang penyokong kerajaan Pakatan Rakyat di Perak. Di blognya tertera sebuah "banner" yang menyatakan header di blognya akan terus berwarna hitam selagi demokrasi tidak dipulihkan di Perak.



Dr Mohamed Rafick Khan Abdul Rahman yang juga Pengerusi Persatuan Pemilik Hartanah UKB (PHUKB) pernah menyatakan kepada sebuah portal online bahawa:

“Kami boleh memberi jaminan kepada mereka bahawa (kami ada) minimum 4,000 undi dalam pilihan raya umum akan datang.”

Menurut akhbar berkenaan, bilangan itu sudah cukup untuk menjatuhkan wakil PR di kerusi Parlimen Gombak dan Ampang serta kerusi DUN Bukit Antarabangsa.

Katadua mereka sekali gus memberi gambaran bahawa rakyat tidak peduli mengenai politicking yang wujud sekarang, sebaliknya mahu masalah-masalah setempat yang dihadapi diselesaikan, tambahnya.

Ia juga memberi amaran kepada PR bahawa penguasaan mana-mana negeri termasuk Selangor bukan sesuatu yang kekal jika masalah seumpama itu tidak diselesaikan.

Dr Rafick mendakwa jika kerajaan PR mengetepikan permintaan mereka, kemungkinan wakil rakyat semasa akan dibuang undi keluar dan digantikan oleh BN.


“Berdasarkan paten undi dan keputusan pilihan raya umum lalu, bilangan undi yang kami tawarkan sudah cukup untuk mengubah kedudukan Ahli Parlimen Gombak dan Ampang serta ADUN Bukit Antarabangsa,” tegas beliau.

“Kerajaan negeri Selangor telah campur tangan dan menjadikan keadaan lebih buruk bagi kami.

“Kami juga mengadakan perbincangan menerusi kerajaan persekutuan, melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, tetapi sehingga kini tiada masa yang diselesaikan,” katanya.

“Saya sangat kecewa. Dalam kapasiti peribadi, saya mengundi Azmin dalam pilihan raya tetapi nampaknya beliau telah mengecewakan saya,” katanya.

Sementara itu, sebelum ini pemimpin DAP, Lim Kit Siang telah menyatakan kebimbangannya di mana PR berhadapan dengan risiko jika pakatan itu terlalu yakin dengan menganggap bahawa perjalanan mereka untuk menawan Putrajaya daripada penguasaan BN sudah tidak boleh “dihalang lagi.”

“Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mesti dengan segera memulihkan kehilangan keyakinan rakyat ke atas Pakatan Rakyat, bukan sahaja ekoran kekalahan di Galas dan Batu Sapi, tetapi juga daripada masalah-masalah dan pergolakan dalaman parti-parti Pakatan Rakyat,” tegas Lim.

Lim berkata pemimpin-pemimpin PR sewajarnya dengan segera mengatasi kesemua masalah yang wujud sekarang dan mengembalikan keyakinan awam yang terhakis.

Presiden PAS TG Haji Abdul Hadi Awang pula, semasa perasmian Ijtima Tarbawi di Rusila telah melahirkan isi hatinya secara ikhlas yang beliau dan PAS dipinggirkan di dalam Pakatan Rakyat. Walhal PAS dengan petugasnya paling banyak membantu kemenangan calon-calon Pakatan Rakyat, tak kira apa parti dan bangsa sekalipun.

"Presiden PAS menegaskan bahawa PAS adalah parti yang memimpin, bukannya dipinggirkan apabila mencapai kemenangan, harakahdaily dipetik.

Beliau tidak mahu kesilapan yang lepas berulang di mana kumpulan Islam dipinggirkan apabila negara mencapai kemerdekaan.

Katanya, sewaktu negara dijajah, kumpulan Islam di depan menentang penjajah tetapi setelah merdeka, mereka dipinggirkan.

“Kita parti yang memimpin, menjadi teras, bukan dipinggirkan mudah-mudah oleh orang,” tegasnya," yang ramai pemerhati politik melihat ia sebagai satu sindiran tajam ke atas Anwar Ibrahim.

Dua Ibu Ayam Muda Dipenjara 10 Tahun Lacurkan Pelajar Sekolah

Ibu ayam muda kena penjara

SITI NORMASLINDA (kiri) dan Roslina dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Sesyen Melaka semalam.

MELAKA 24 Nov. - Dua wanita masing-masing dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah menukar pengakuan kepada bersalah atas dua pertuduhan melacurkan dua pelajar sekolah pada Mei lalu.

Siti Normaslinda Mohamad Masrol, 22, dan Roslina Md. Snor, 23, mengaku memperdagangkan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun bagi maksud eksploitasi di sebuah hotel di Jalan Tun Ali di sini pada Mei lalu.

Bagi pertuduhan kedua, kedua-dua mereka didakwa memperdagangkan seorang lagi remaja perempuan berumur 15 tahun di hotel yang sama antara 30 Jun dan 1 Julai lalu.

Hakim Zaharah Hussain menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan ia berjalan berturut-turut.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Pada 19 Julai lalu, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah ketika pertama kali dihadapkan ke mahkamah.

Terdahulu, Siti Normaslinda yang merupakan anak sulung daripada dua beradik dalam rayuannya memohon mahkamah meringankan hukuman dengan alasan perlu menanggung keluarga manakala Roslina pula memberi alasan mempunyai seorang anak lelaki berumur tiga tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Mahmoodah Abdul Latiff bagaimanapun meminta mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana kesalahan dilakukan melibatkan remaja bawah umur yang dijadikan pekerja seks.

''Selain itu, hukuman yang berat juga sebagai pengajaran kerana telah banyak berlaku kes kanak-kanak dieksploitasi seks kini,'' katanya.

Berita Berkaitan

Pelajar Sekolah Jadi Pelacur

MELAKA - Banyak sindiket pelacuran yang dibongkar oleh polis lazimnya melibatkan wanita warga China, Thailand dan Filipina tetapi di negeri ini lain pula ceritanya apabila pihak berkuasa menumpaskan sindiket persundalan membabitkan pelajar sekolah menengah.

Difahamkan, pelacur muda berusia belasan tahun tersebut dipaksa melayan sekurang-kurangnya seorang lelaki sehari dengan bayaran antara RM60 dan RM80.

Ketiga-tiga pelacur berkenaan merupakan remaja yang lari dari rumah sejak dua bulan lalu dan tinggal bersama seorang ibu ayam di sebuah rumah di Duyong di sini.

Dua daripada mereka tidak lagi menghadirkan diri ke sekolah manakala seorang lagi telah berhenti belajar beberapa tahun lalu.

Sejak beroperasi dua bulan lalu, mereka dipercayai telah melayan tidak kurang 130 lelaki.

Bagaimanapun, kelicikan sindiket itu tiba ke penghujungnya kelmarin apabila polis negeri ini menahan tiga pelacur berkenaan, seorang ibu ayam dan dua pembantunya yang mana salah seorang daripada mereka merupakan anggota tentera berusia dalam lingkungan 20-an.

Peranan anggota tentera tersebut ialah membantu ibu ayam berkenaan mencari pelanggan dan menghantar pelacur-pelacur itu ke dua buah hotel murah di Jalan Tun Ali di sini untuk melakukan hubungan seks.

Kesemua mereka ditahan pada pukul 3 petang di sebuah rumah di Duyong di sini selepas polis mendapat maklumat daripada seorang remaja yang mendakwa dipaksa oleh ibu ayam itu untuk melacur. -Kosmo 7.7.10

Sukan Asia: Puvaneswaran & Jin Keat Sumbang Emas Untuk Negara

Raih dua emas, satu gangsa pada hari pertama

Gambar: JADI KEBANGGAAN... Puvaneswaran (gambar kiri) dan Jin Keat menyumbang emas buat kontinjen Malaysia pada hari ke-12 Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China semalam. -grafik Kosmo.

R PUVANESWARAN mencipta sejarah tersendiri apabila memenangi pingat emas karate kumite lelaki 55 kilogram tatkala Ku Jin Keat memecah monopoli Jepun dalam Sukan Asia dengan emas acara kata lelaki di Gimnasium Guangdong, semalam.

Atlit kata wanita, Lim Lee Lee memenangi gangsa kata untuk memberi kontinjen negara dua emas dan sebutir gangsa dari gelanggang karate pada hari pertama sukan itu membuka tirai.

Emas Puvaneswaran, memberi atlit 35 tahun itu emas kedua dalam penyertaannya di Sukan Asia, selepas gangsa di Hiroshima ‘94, emas di Busan 2002 dan perak di Doha 2006 manakala Bangkok 98 menyaksikan dia dibatalkan kemenangannya.

Puvaneswaran yang menewaskan peserta Vietnam, Nguyen Hoang Hiep di pusingan pertama dan Hsieh Cheng Kang (Taiwan) di separuh akhir, diheret ke tiebreak sebelum diberikan kemenangan 3-2 dalam final ketika menentang Emad Mohamad Almakli.

“Memang berbaloi. Saya menggunakan sepenuhnya pengalaman kerana sedar lawan cukup pantas. Emas ini ibarat satu penamat cerita panjang yang indah,” kata Puvaneswaran yang kini berhasrat menjadi jurulatih.

Kejayaan Jin Keat, 35, pula memecahkan monopoli atlit Jepun yang menguasai semua acara itu sejak karate dipertandingkan di Hiroshima 1994, dan lebih manis, emas itu turut melengkapkan koleksi pingat pelbagai warna atlit kelahiran Air Itam, Pulau Pinang itu.

Dia menewaskan Itaru Oki dari Jepun 3-2 dalam perlawanan akhir, selepas menewaskan lawan dari Taiwan, Chris Cheng (5-0), Dmitri Kazanov dari Kazakhstan (5-0) di suku akhir dan Faizal Zainuddin dari Indonesia (4-1) di separuh akhir.

“Rasa puas kerana saya tahu saingan memang sukar tetapi akhirnya menang emas. Kini lengkap koleksi pingat Sukan Asia saya,” katanya selepas menewaskan Oti, pemenang gangsa di Kejohanan Dunia di Serbia bulan lalu.

Lim Lee Lee, 35, yang meraih pingat keempat selepas gangsa di Bangkok 1998, perak di Busan 2002 dan gangsa di Doha 2006 berkata: “Selepas melihat undian, saya tahu sukar kerana terpaksa berdepan lawan dari Jepun. Tetapi saya sudah berjanji memberi pingat untuk negara dan gembira hajat tercapai.”

Sementara itu, seperti diduga, Malaysia menambah dua lagi pingat gangsa daripada acara terjun di Pusat Akuatik Aoti, semalam tatkala penerjun China menguasai dua kedudukan teratas acara individu 1 meter papan anjal.

Penerjun wanita, Cheong Jun Hoong, 20, memenangi gangsa dalam penampilan pertama di Sukan Asia selepas terlepas temasya Doha 2006 kerana kecederaan.

Dengan keseluruhan 271.60, Jun Hoong akur dengan kehebatan pemenang emas, Wu Minxia yang mengekalkan emas Doha 2006 dengan 326.15 mata manakala rakan senegaranya, Zheng Shuangxue menang perak dengan mata 303.90.

“Saya tak sangka menang gangsa tetapi puas selepas terpaksa mengorbankan pelajaran kerana menjalani latihan di Dali, China,” katanya yang hanya mengatasi Mun Yee di tempat keempat dengan kelebihan 3.40 mata.

Yeoh Ken Nee, 27, terus tidak menghampakan apabila memastikan gangsa kedua acara lelaki, mengumpul 391.10 mata, di belakang pemenang emas He Min dan pemenang perak, Qin Kai yang masing-masing unggul dengan 481.50 dan 451.20.

“Mujur saya bingkas pada dua terjunan terakhir selepas melakukan kesilapan di peringkat awal,” kata Ken Nee yang mengutip perak acara 3 meter papan anjal seirama, kelmarin tetapi memperbaiki pencapaian acara itu selepas di tangga keempat di Doha 2006.

[Bergambar] Ada Kubur Di Kubah Masjid Nabawi

Kubur Di Kubah Masjid Nabawi

SUBHANALLAH, ini adalah sebuah keajaiban yang terjadi sekitar 90 tahun yang lalu.

Diriwayatkan oleh Sheikh Al-Zubaidi:

Ada seseorang mencuba untuk menghancurkan Kubah Nabi Muhammad SAW-- kubah warna hijau di Masjid Al Nabawi (Gumbad-e-Khizra) Madinah, yang juga menjadi tanda tepat di bawahnya terdapat makam Rasulullah SAW--. Namun, ketika sang pelaku mencoba memanjat kubah tersebut untuk memulai menghancurkannya, tiba-tiba petir kilat datang menghantamnya. Pendaki yang berniat jahat tersebut pun tewas di tempat. Anehnya tidak ada seorang pun yang mampu menghilangkan tubuhnya dari atas Kubah tersebut!

Ia juga mengatakan bahwa seorang yang saleh dari Madinah mendengar suara dalam mimpinya, bahwa tidak ada yang dapat mengambil mayat dari atas kubah itu dan bahwa ia harus dikuburkan di sana sebagai peringatan dan pelajaran bagi orang-orang yang mungkin memikirkan berusaha untuk menghancurkan kubah itu di masa depan!

Akhirnya, mereka memutuskan untuk menguburkan orang itu di sana, di atas kubah dan menutupi tubuhnya dengan kotak hijau sehingga tidak akan terlihat oleh orang.

"Bila ALLAH makbulkan doamu, maka DIA menyayangimu, bila DIA lambat makbulkan d0amu, maka DIA ingin mengujimu, bila DIA tidak makbulkan d0amu, maka DIA merancang sesuatu yang terbaik untukmu. 0leh itu, sentiasalah bersangka baik pada ALLAH dalam apa jua keadaan...kerana kasih sayang ALLAH itu mendahului kemurkaanNya" Wallahua'lam.