13 Apr 2012

Fenomena "Halo" Kelihatan Di Langit Alor Setar

Fenomena Halo berlaku di Alor Setar

ALOR SETAR: Orang ramai di bandar raya ini dikejutkan dengan satu fenomena di mana lingkaran cahaya seakan-akan pelangi mengelilingi matahari atau bulan.

Keadaan yang dikenali sebagai Fenomena Halo itu mula dikesan tengah hari semalam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini, keadaan itu adalah satu fenomena semula jadi.

"Terdapat banyak jenis halo, tetapi kebanyakannya terjadi daripada kristal ais dalam awan tinggi cirrostratus yang kelihatan seakan-akan kepingan awan yang terletak pada ketinggian sekitar 6,000 - 18,000 meter di atas paras tanah," menurut kenyataan itu.

Dalam amalan pemerhatian cuaca, kewujudan halo adalah antara petunjuk yang boleh diguna untuk meramal hujan atau ribut petir dalam tempoh 12 hingga 24 jam, terutama jika ia diikuti awan jenis pertengahan.

Menurut kenyataan itu, lapisan awan cirrostratus sangat nipis sehinggakan matahari atau bulan boleh dilihat dengan jelas melaluinya, tetapi kadang-kadang matahari atau bulan juga boleh kelihatan sebagai bayangan malap melalui lapisan awan yang tebal.

Apabila cahaya matahari atau cahaya bulan melalui kristal ais awan cirrostratus, cahaya tersebar atau dibiaskan yang menyebabkan halo terbentuk.
Menurut kenyataan itu lagi, orang ramai yang ingin melihat halo perlu memastikan kedua-dua mata dilindungi daripada pancaran matahari.

"Jangan sesekali memandang halo secara terus dan dalam tempoh yang lama dan perlu sembunyikan matahari dari penglihatan di sebalik binaan, bangunan atau apa-apa sahaja," katanya.

Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati apabila mengambil gambar halo tanpa pelindung matahari kerana ia sangat berbahaya terutamanya ketika menggunakan kamera Single-lens reflex (SLR). - BERNAMA

Keputusan Mahkamah: Saman UMNO Terhadap Ustaz Hadi & Mohd Sabu Ditolak

Shah Alam, 13 April: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak dengan kos tuntutan saman RM10 juta Umno Selangor ke atas Presiden PAS, Tuan Guru Ustaz Hadi Awang dan timbalannya, Haji Mohd Sabu di atas alasan saman tersebut bertentangan dengan seksyen 9(c) Akta Pertubuhan 1966.

Umno Selangor telah melalui Setiasusaha Perhubungannya, Ir Datuk Seri Mohd Zin bin Mohamed memfailkan writ saman ke atas Ustaz Hadi dan Mohd Sabu dan beberapa individu lain bagi menuntut gantirugi RM10 juta atas dakwaan akhbar Harakah memfitnah Umno Selangor di dalam satu artikel bertajuk 'PAS akan dedah bukti Umno main peranan operasi Jais'.

Dengan keputusan ini, hanya tinggal tiga lagi defendan dalam kes saman Umno ini.

Artikel Harakah tersebut telah diterbitkan pada edisinya bertarikh 19 Ogos 2011 yang lalu.

Ustaz Hadi dan Mat Sabu kemudiannya telah memfailkan Saman Dalam Kamar di bawah Aturan 18 Kaedah 19 (1) (a) Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980 bagi membatalkan saman Umno Selangor tersebut.

Yang Arif Hakim Datuk Ahmad Zaki Husin ketika menolak tuntutan Umno Selangor tersebut bersetuju dengan hujah peguam Mohamed Hanipa Maidin yang mewakili Ustaz Hadi dan Mohd Sabu bahawa saman Umno Selangor ke atas kedua-dua tokoh PAS tersebut telah gagal mendedahkan apa-apa kausa tindakan kerana ia bertentangan dengan seksyen 9(c) Akta Pertubuhan.

Di dalam hujah lisannya Hanipa berhujah perkataan 'any office bearer (mana -mana pemegang jawatan) di dalam seksyen 9 (c) akta tersebut bermaksud hanya seorang pemegang jawatan di dalam PAS yang boleh di saman maka tindakan Umno Selangor yang menamakan lebih dari seorang pemegang jawatan PAS tersebut adalah secara jelas satu penyalahgunaan proses Mahkamah kerana ia melanggar seksyen 9(c) Akta tersebut.

Saman Umno Selangor tersebut telah difailkan oleh peguam Umno iaitu Tetuan Hafarizam, Wan Mubarak manakala Ustaz Hadi dan Mohd Sabu diwakili oleh Tetuan Mohamed Hanipa & Associates. -HD

Kereta Meletup Ketika Hendak Hidupkan Enjin, Ahli Perniagaaan Cedera Parah

Butterworth: Seorang ahli perniagaan cedera parah apabila kereta jenis Nissan X-Trail miliknya meletup ketika beliau menghidupkan enjin kereta itu di hadapan rumahnya di Persiaran Sembilang, Taman Sembilang di sini, Jumaat.

Gambar: ANGGOTA forensik mencari bukti di tempat kejadian seorang ahli perniagaan, Lee Chong Beng, 52, cedera parah apabila kenderaan pacuan empat roda miliknya meletup ketika beliau menghidupkan enjin kereta itu di hadapan rumahnya di Persiaran Sembilang, Taman Sembilang, Bukit Mertajam, Butterworth, hari ini. - Foto Danial Saad

Kejadian pada pukul 8.20 pagi itu menyebabkan Lee Chong Beng, 52, terbakar lebih 70 peratus di bahagian badan dan kini dirawat di Hospital Seberang Jaya.Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakub berkata ketika kejadian, Lee ingin menghidupkan enjin kereta itu untuk keluar bekerja.

"Ketika mangsa menghidupkan enjin keretanya, tiba-tiba berlaku letupan dan mengeluarkan api serta menyambar mangsa. Mangsa yang panik menjerit meminta tolong dan diselamatkan oleh orang awam yang melalui kawasan perumahannya itu," katanya.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, Jumaat, Ayub berkata sepasukan anggota bomba memadamkan kebakaran daripada merebak ke rumah mangsa.Ayub berkata anggota forensik dengan bantuan Jabatan Kimia masih menyiasat punca kereta itu meletup dan terbakar.

"Setakat ini kita belum tahu punca sebenar sama ada kejadian itu disebabkan sabotaj atau kereta mangsa mengalami masalah," katanya. - BERNAMA



Ditikam Dengan Pisau Kerana Dituduh Menggoda Isteri Rakan

Gombak: Hanya dikatakan sering menggoda isterinya, seorang peniaga parah dibelasah rakan niaga selain ditikam dengan pisau di belakang badan dalam kejadian di Selayang Baru, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa yang berusia 42 tahun menaiki van datang ke gerai makan miliknya bersama isteri berusia 38 tahun untuk menghantar bekalan makanan sebelum berjumpa rakan niaga itu.

Menurut sumber, mangsa menyapa lelaki terbabit sambil memberi senyuman, namun tidak dibalas sebaliknya bertukar tegang apabila dia dimarahi dan dihamburkan dengan kata-kata kesat.

“Pelik dengan sikap lelaki terbabit yang tiba-tiba naik angin, mangsa cuba meminta penjelasan, namun terkejut apabila lelaki itu mendakwa dia sering mengacau dan cuba menggoda isterinya.

“Bagaimanapun, mangsa menafikan dan memberitahu semua itu salah faham dan dia tidak pernah menggoda isteri lelaki itu tambahan dia sudah berkahwin,” katanya.

Sumber berkata, lelaki itu enggan mempercayainya dan menumbuk muka mangsa beberapa kali menyebabkan berlaku pergaduhan sebelum kejadian itu disedari isteri mangsa yang datang membantu.

“Namun, niat wanita terbabit yang ingin meleraikan pertengkaran gagal sebaliknya dia ditumbuk di muka beberapa kali.

“Tidak tahan dipukul mangsa dan isterinya cuba melarikan diri untuk mendapatkan bantuan menyebabkan lelaki terbabit bertambah berang sebelum mengambil pisau dan menikam belakang badan mangsa menyebabkan dia mengerang kesakitan,” katanya.

Menurutnya, lelaki terbabit yang panik melihat mangsa berlumuran darah melarikan diri sementara isteri mangsa yang ketakutan menjerit meminta tolong sebelum ia disedari rakan mangsa lain yang datang membantu dan menghantarnya ke Hospital Selayang.

Isteri mangsa yang bimbang dengan keselamatan diri dan suami membuat laporan di Balai Polis Selayang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. -hm

[KEJAM] Dirogol Depan Adik Dan Sepupu

Enggan hanya berpuas hati dengan hasil samun, seorang lelaki yang memecah masuk ke dalam sebuah apartmen dihuni lima gadis bertindak merogol salah seorang daripada mangsa.

Perbuatan tidak berperikemanusiaan itu dilakukan suspek dalam kejadian jam 4 pagi kelmarin di sebuah apartmen di Damansara Damai.

Menurut sumber, suspek yang pada mulanya hanya ingin mengambil barangan berharga milik mangsa, berubah fikiran dan ingin melampiaskan nafsunya ke atas salah seorang mangsa.

Bersenjatakan pisau, suspek mengugut akan mencederakan mangsa sekiranya mereka menjerit atau cuba melarikan diri.

“Penyamun bertopeng itu memilih mangsa berusia 20-an dan merogol mangsa sambil diperhatikan oleh adik dan sepupunya yang berumur 17 dan 20 tahun di dalam bilik,” katanya.

Mangsa dirogol sambil pisau diletakkan di lehernya oleh suspek yang melarikan diri sebaik selesai melakukan perbuatan terkutuk itu.

Sumber itu berkata, mangsa sempat mengecam wajah suspek selepas lelaki itu menanggalkan topengnya yang dipakainya.

Suspek memasuki apartmen terbabit dengan memecahkan mangga rumah dan mengambil masa kira-kira sejam sebelum melarikan diri.

“Ketika kejadian terdapat dua lagi rakan serumah mangsa namun mereka tidak menyedari kejadian itu kerana tidur di bilik lain,” katanya.

Ketiga-tiga mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Damansara Damai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan menerima laporan dan suspek terlibat sudah dikenal pasti.

“Polis ketika ini sedang melancarkan gerakan memburu suspek yang ketika ini berada di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah seksyen Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan seksyen 395 samun bersenjata. -SH

Pembantu Wakil Rakyat Pakatan Dakwa Dipukul Polis Dalam Lokap

Putrajaya – Seorang pembantu ahli parlimen di Kelantan mendakwa dipukul tiga anggota polis ketika dalam tahanan, bulan lalu.

Mangsa, Ahmad Amin Draman, 47, ditahan kerana dituduh membakar bendera dan mengganggu ceramah sebuah parti politik di Tanah Merah, Kelantan, 11 Mac lalu.

Ahmad berkata, pada awalnya dia ke Balai Polis Tanah Merah bagi memberi keterangan, tetapi terkejut apabila ditahan atas beberapa pertuduhan.

Dia ditahan dari 26 Mac hingga 3 April lalu. “Semasa dalam tahanan, saya dimarahi seorang anggota polis kerana tidak menutup pili air dan atas sebab itu, tiga anggota polis lain membawa saya ke lokap yang tiada kamera litar tertutup, memukul di perut dan kaki.

“Mereka mengatakan saya samseng dan melakukan perbuatan tidak senonoh dalam lokap,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, semalam.

Turut hadir, Ahli Parlimen Tanah Merah, Amran Ab Ghani dan Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa. Sementara itu, Fariz berkata, polis perlu mengambil tindakan dengan menyiasat perkara ini atas dasar ketelusan dan profesional. -SH

Pasca Gempa Bumi Aceh: 5 Disahkan Maut

Lima maut dalam gempa Aceh

BANDA ACEH: Lima orang terbunuh dan seorang kanak-kanak cedera parah apabila satu gempa besar melanda kawasan pantai utara Indonesia kelmarin.

Menurut jurucakap agensi pengurusan bencana Indonesia, Encik Sutopo Purwo Nugroho, sekurang-kurangnya dua orang meninggal dunia akibat serangan jantung, seorang meninggal dunia akibat terkejut dan seorang kanak-kanak cedera parah setelah terjatuh dari pokok.

'Korban jiwa dan kerosakan lain masih disiasat,' katanya kepada pihak media menerusi kiriman mesej khidmat pesanan ringkas (SMS).

Beberapa penduduk turut dilaporkan cedera ketika cuba melarikan diri ke kawasan tanah tinggi.

Gegaran gempa kelmarin mengimbas memori bencana tsunami pada 2004 yang menyorbankan sekitar 220,000 jiwa di negara Lautan Hindi.

Namun, tiada kerosakan teruk akibat gempa sekuat 8.6 pada Skala Richter dan gempa susulan berukuran 8.2, kelmarin.

Selain daripada dinding retak dan sebatang jambatan rosak, penduduk kawasan itu mengatakan seperti tiada apa-apa yang berlaku.

'Saya benar-benar rasakan doa saya terkabul,' kata Encik Usman Basyah, 45 tahun, yang kehilangan seorang anak lelaki dalam bencana tsunami 2004, yang membunuh 170,000 penduduk Aceh.

'Saya amat bersukur. Kami sudah cukup melalui trauma,' katanya yang berniaga kecil-kecilan.

Dua gempa besar dan gegaran-gegaran susulan menyebabkan amaran tsunami dikeluarkan sejauh Afrika.

Dengan kekuatan 8.6 pada Skala Richter, gempa pertama kelmarin merupakan yang ke-10 paling kuat bagi tempoh 100 tahun lalu dalam senarai 10 gempa paling kuat - gempa lain dalam senarai itu telah menyebabkan bencana tsunami berlaku. -- Reuters, AP.


Penduduk masih trauma

JAKARTA: Kegiatan harian penduduk Aceh yang dilanda panik kerana gempa bumi kuat kelmarin masih belum pulih.

Sebahagian besar pejabat kosong semalam. Begitu juga dengan sekolah dan pusat beli-belah. Belum ada yang dibuka. Malah, keadaan di Banda Aceh lengang dan sepi.

“Banda Aceh pagi ini (semalam) masih hening. Jalan raya amat sepi. Kawasan pusat bandar di Simpang Lima yang biasanya sesak, juga lengang,” kata penduduk, Iriansyah Putra.

Menurutnya, pihak berkuasa tidak mengumumkan penutupan sekolah dan juga pejabat.

“Tetapi pagi ini, tidak kelihatan sebarang kegiatan seperti hari-hari biasanya. Mungkin masih trauma,” katanya.

Iriansyah berkata, sebahagian besar penduduk yang mencari perlindungan di kawasan tinggi sudah kembali ke rumah masing-masing. Mereka berbuat demikian sejak tengah malam selepas dimaklumkan amaran tsunami ditarik balik. Pelajar Universiti Syah Kuala Banda Aceh itu berkata, cuaca di Aceh malam kelmarin sangat sejuk. Langit juga mendung tetapi tidak hujan.

Sementara itu, lima orang disahkan mati dan seorang kanak-kanak cedera parah berikutan gempa bumi itu.

Agensi Pengurusan Bencana Indonesia berkata semalam, sekurang-kurangnya dua orang mati akibat serangan sakit jantung, tiga lagi dipercayai kerana terkejut.

Seorang kanak-kanak cedera parah selepas terjatuh dari pokok ketika gempa, kata jurucakap agensi, Sutopo Purwo Nugroho, tanpa memberi butir lanjut.

Gempa berukuran 8.7 magnitud itu menyebabkan penduduk Aceh bertempiaran melarikan diri ke tempat tinggi. Gegaran itu dapat di rasakan di beberapa negara Asia Tenggara lain, termasuk Malaysia dan sejauh selatan India. Ia disusuli dengan beberapa gempa susulan. Bagaimanapun, tidak ada tsunami yang menyusuli gempa itu yang berlaku berhampiran kawasan gempa bumi 2004.
- Agensi




Sri Wani Dibenar Buat Pindaan Injunksi Halang Madu-madunya Buat Kenyataan

Kuala Lumpur - Mahkamah Tinggi Syariah hari ini membenarkan pengusaha produk kecantikan, Sri Wani Choo Abdullah, yang berhadapan dengan isu pertikaian jantinanya, membuat penambahan perkara dalam injunksi 'ex-parte' yang difailkannya terhadap madu-madunya.

Injunksi tersebut dipohon bagi menghalang mereka dari mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kes dan tidak mengganggunya
.

Sri Wani, 37, menjadi tarikan umum apabila suaminya, bekas dekan universiti, Bahrom Sunagi, 61, memfailkan permohonan membatalkan perkahwinan.

Dia mendakwa Sri Wani seorang lelaki.

Bahrom turut memohon mahkamah memerintahkan ujian DNA dijalankan bagi mengesahkan jantina isteri ketiga itu, yang dinilkahi pada 19 Ogos 2009.

Susulan kes itu, Sri Wani memfailkan bantahan awal dengan alasan dia dianiaya.

Awal minggu ini, ibu saudara Sri Wani, Connie Chee yang memberitahu bahawa Sri Wani adalah perempuan.

Connie menceritakan, Sri Wani diserah kepada ibu bapanya sejak lahir dan anak saudaranya itu membesar sebagai seorang perempuan. -SH

‘Hidup saya terganggu’

IMEJ BARU...Sri Wani tampil bertudung ala purdah di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR: “Ramai wartawan mengekori, saya tak boleh keluar (rumah),” begitu kata Sri Wani Choo Abdullah, isteri yang didakwa lelaki oleh suaminya di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam.

Sri Wani berkata demikian selepas Hakim Syarie Abdul Walid Abu Hassan membenarkan permohonannya untuk memasukkan pindaan dalam permohonan injunksi untuk menghalang madu-madunya daripada menyebarkan fitnah terhadapnya. Mahkamah kemudian mengarahkan Sri Wani membuat pindaan itu segera dan menyerahkannya kepada responden.

Prosiding semalam sepatutnya ditetapkan untuk Sri Wani, 37, menyerahkan permohonan injunksi, namun dia memohon kebenaran mahkamah untuk membuat pindaan dan mahkamah membenarkannya.

“Saya mohon untuk membuat pindaan terhadap permohonan injunksi ini kerana saya ingin masukkan terma supaya responden tidak menyebarkan dan tidak memberi sebarang kenyataan,” katanya.

Sri Wani memberitahu mahkamah, sebelum ini suaminya, bekas dekan sebuah institusi pengajian tinggi awam, Dr Bahrom Sanugi, 61, yang diwakili peguam syarie, Muhammad Hafiz pernah berjumpa dan berbincang untuk menyelesaikan kes itu secara baik, namun Sri Wani mendakwa lelaki itu bertindak sebaliknya.

“Sebelum ini pihak sebelah sana (Bahrom) cakap tak nak jatuhkan maruah sesiapa, tetapi mereka memberikan maklumat saya kepada media.

“Media siarkan tempat tinggal dan tempat saya berniaga hingga membahayakan keselamatan saya,” katanya.

Dia turut memaklumkan sudah membuat laporan polis berhubung gangguan dihadapinya dan berhasrat memasukkan laporan itu dalam pindaan permohonan injunksi berkenaan.

Abdul Walid mengarahkan Sri Wani memasukkan laporan polis itu dan sebarang pindaan lain segera serta memberi tempoh seminggu hingga 19 April depan untuk pengusaha butik kecantikan itu berbuat demikian.

Selain itu, mahkamah mengarahkan Bahrom memfailkan jawapan dua minggu dari tarikh pemohon menyerahkan afidavit dan menetapkan 17 Mei depan untuk perbicaraan kes itu.

Mengenai keputusan mahkamah menetapkan 23 April bagi keputusan sama ada permohonan Bahrom untuk mengarahkan Sri Wani menjalani ujian DNA bagi mengesahkan jantinanya diterima atau tidak, Sri Wani berkata, dia akan membawa saksi pada tarikh itu.

Penampilan Sri Wani di mahkamah semalam menarik perhatian kerana memakai jubah hitam dan bertudung ala purdah berwarna jingga dengan menutup wajahnya bagi mengelak dirakam jurugambar.
-HM





Laporan sebelum ini
klik untuk baca





[TAZKIRAH] Gempa Bumi & Tsunami: Satu Amaran Awal Dari Langit Kepada Yang Angkuh!

Gempa bumi yang melanda Aceh semalam menggegarkan dunia sehingga 22 buah negara telah mengeluarkan amaran tsunami. Ia adalah satu "amaran awal" dari Maha Pencipta, bagi mereka yang dapat membaca "ayat Allah" itu dengan mata hati.

Sepastinya bencana semalam mengingatkan kita kepada peristiwa yang lebih besar iaitu taufan dan banjir besar di zaman Nabi Allah Nuh Alayhi as-Salaam. Dan juga tsunami pada tahun 2004, dimana kematian mencecah lebih 120,000 dan tsunami di Jepun pada tahun lepas, dimana lebih 15,000 mangsa terkorban.

Banjir di zaman Nabi Nuh a.s. diketahui adalah banjir yang meliputi keseluruhan muka bumi dan pengetahuan tentang pernahnya berlaku banjir besar itu, diiktiraf oleh semua tamadun manusia.

Sewajarnyalah kisah di zaman Nabi Nuh Alaihi as-Salaam itu dijadikan iktibar. Ini adalah kerana, Allah SWT mengekalkan ingatan umat manusia kepada peristiwa di zaman Nabi Nuh itu supaya ia terus menjadi peringatan, amaran dan pengajaran bagi sekalian umat manusia, mukmin dan kafir. Firman Allah SWT di dalam surah al-Haaqqah ayat 11-12:

“Sesungguhnya ketika air banjir itu melampau-lampau limpahannya, Kami telah damparkan kamu dengan selamat di dalam bahtera (Nabi Nuh) itu. Agar dengan itu Kami jadikan peristiwa tersebut sebagai teladan bagi kamu. Dan untuk didengar serta diambil ingat oleh telinga orang-orang yang mahu menerima pengajaran”

Apabila kita meneliti beberapa potongan ayat al-Quran tentang bencana di zaman Nabi Nuh Alayhi as-Salaam, saya mendapat kefahaman bahawa ia tidak jauh berbeza dengan bencana Tsunami 2004 dan 2011. Cuma mungkin berbeza dari segi skala kerana Tsunami yang Allah SWT datangkan kepada kita hanya menelan manusia yang menghuni daratan perairan tertentu, tidak segenap pelusuk bumi.

Renungilah ayat-ayat di dalam surah Hud ayat 40 – 41 berikut:

“Dan apabila datang hukum Kami untuk membinasakan mereka dan air memancut-mancut dari muka bumi (faara at-tannur), Kami berfirman kepada Nabi Nuh: Bawalah dalam bahtera itu dua dari tiap-tiap sejenis haiwan (jantan dan betina) dan bawalah ahlimu kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya (disebabkan kekufurannya), juga bawalah orang-orang beriman dan tidak ada orang-orang yang beriman yang turut bersama-samanya, melainkan sedikit sahaja.

Dan (ketika itu) berkatalah Nabi Nuh (kepada pengikut-pengikutnya yang beriman): Naiklah kamu ke bahtera itu sambil berkata: Dengan nama Allah bergerak lajunya dan berhentinya. Sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. ”


Kemunculan banjir besar di zaman Nuh itu bermula dengan limpahan air dari apa yang diistilahkan oleh al-Quran sebagai at-Tannur. At-Tannur ini pada makna asalnya adalah ketuhar atau oven yang digunakan untuk membakar roti. Ia dinamakan sedemikian rupa kerana di dalam ketuhar tersebut api marak membakar menyala-nyala di dalamnya.

Alangkah ganjilnya apabila kita cuba berfikir, bagaimana air keluar melimpah dari ketuhar yang di dalamnya api menyala-nyala!

Liqa’ Mutahaab FiLlaah

Sheikh Solah Abdul Fattah al-Khalidi di dalam kitabnya Al-Qasas Al-Qurani: ‘Ard Waqaa’ie’ wa Tahlil Ahdaath [Darul Qalam 1419H / 1998M] menyatakan bahawa hikmah Allah SWT di dalam hal ini amatlah besar. Sesuatu yang diketahui umum, air berfungsi memadamkan api. Akan tetapi jika api itu menyala-nyala di tengah air, bagaimanakah ia boleh dipadamkan? Bagaimanakah api dan air boleh ‘mesra’ di dalam ketuhar yang membakar itu?

Sesungguhnya fenomena seperti ini menggambarkan betapa miskinnya qudrat manusia untuk memadamkan api yang menyala-nyala itu sebagaimana mereka juga tidak mampu mengekang air yang melimpah-limpah dari punca api tersebut. [mukasurat 191]

Kita melihat fenomena banjir dan ombak besar di zaman Nabi Nuh Alayhi as-Salaam dan hubungkaitnya dengan ‘ketuhar’ itu dari satu sudut lain yang mungkin boleh difikirkan bersama. Pada tsunami 2004 dulu, kita sama-sama difahamkan bahawa ombak Tsunami itu dicetuskan oleh gempa bumi yang berlaku di dasar Lautan Hindi berhampiran Sumatera.

Gempa bumi ini berkait rapat dengan Lingkaran Api Pasifik. Batu batan dan api yang membara di perut bumi ini menjadikan kawasan terbabit tidak stabil sehingga mencetuskan gelinciran benua dan jenis-jenis gempa bumi yang lain. Dalam erti kata yang lain, seolah-oleh ombak besar gempa bumi dan Tsunami ini datang dari ketuhar Lingkaran Api Pasifik yang disebutkan sebentar tadi.

Bahkan ombak besar yang melanda bencana di zaman Nabi Allah Nuh Alayhi as-Salaam itu juga lebih hebat dari Tsunami itu. Ia digambarkan seperti gunung oleh Surah Hud ayat 42 – 43:

“Dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir.

Anaknya menjawab: Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air. Nabi Nuh berkata: Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani olehNya dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah dia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan. ”


Namun bagi kita hari ini, bagaimanakah sepatutnya kita mengambil pengiktibaran daripada bencana Tsunami tersebut? Apakah hanya dengan berfikir tentang usaha mengadakan sistem amaran awal semata-mata?

Kita bernasib baik kerana Tsunami yang melanda kita duhulu tidak menelan semua sekali bahkan Malaysia mengalami keajaiban apabila angka kematiannya begitu kecil berbanding dengan negara jiran Acheh. Allah masih mengizinkan kita untuk bermuhasabah dan tidak membinasakan kita semua dengan suatu bencana yang tidak hanya menimpa golongan yang zalim semata-mata. Firman Allah SWT:

“Dan takutlah kamu kepada bencana yang tidak hanya menimpa golongan yang zalim semata-mata dari kalangan kamu secara khusus” (Al-Anfaal: 25)

Gempa bumi dan Tsunami tidak menelan hakim yang menghukum penari tiang hanya RM25 di Seremban. Gempa bumi dan Tsunami tidak mengundang rebah Flat Pekeliling di Kuala Lumpur walaupun gegarannya cukup kuat untuk mendesak penghuninya lari bertempiaran. Gempa bumi dan Tsunami ini belum seperti ‘Tsunami di zaman Nuh Alayhi as-Salaam’.

Pertamanya, terimalah hakikat bahawa bencana ini bukan ‘kejadian alam tanpa sebab’. Ia adalah amaran Allah. Ia adalah peringatan yang maha menakutkan. Tsunami di Acheh misalnya, yang menyaksikan penindasan pemerintah yang membunuh jutaan penduduk yang mahukan Acheh berdiri bebas merdeka. Bukit bukau di Acheh menjadi gunung kubur manusia yang dibunuh kejam. Tsunami menelan Selatan Thailand yang penah bermandi darah Muslim Tak Bai, Masjid Kerisik dan sebagainya. Thailand itu juga menyajikan industri seks sebagai tarikan pelancong ke Phuket dan lain-lain.

Tsunami juga menelan Sri Lanka dan India yang menjadi pentas tradisi menyembelih umat Islam. Tsunami juga menelan Maldives yang menjadi destinasi pelancongan pengunjung warga Barat sehinggakan nilai Islamnya langsung tenggelam tidak kelihatan. Sesungguhnya Tsunami menelan tanah air dan anak watan yang begitu peri lakunya. Amat pedih untuk menyebut hakikat ini, namun kita perlu akur.

Janganlah terlalu saintifik sehingga tidak sudi memikirkan hakikat ini. Tiada kerosakan yang berlaku di muka bumi ini kecuali dengan asbab. Firman Allah SWT di dalam surah Ar-Rum ayat 41:

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”

Seterusnya, ingatlah kembali kepada apa yang telah disebutkan di awal tadi, bahawa Allah SWT mengekalkan kisah ini di dalam ingatan sekalian manusia, agar kita semua mengambil peringatan.

Qatadah telah menyebut sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari [Sahih al-Bukhari nombor 4869], “Allah SWT telah mengekalkan kapal Nuh supaya ia sampai kepada pengetahuan generasi awal umat ini”.

Sebagai penutup, renungilah wasiat Nabi Nuh Alaihi as-Salaam kepada anak-anaknya yang beriman sebelum baginda wafat pulang kepada Allah.

Imam Ahmad dan al-Baihaqi telah meriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-’Aas Radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:

Suatu ketika kami sedang bersama-sama dengan Rasulullah SAW. Kemudian datang seorang lelaki dari pedalaman yang memakai jubah besar berwarna hijau (Seehan) dan dihiasi dengan sutera. Lalu Rasulullah SAW berkata:

“Sesungguhnya sahabat kamu ini telah meninggalkan setiap pahlawan berkuda anak pahlawan berkuda serta mengangkat setiap pengembala anak pengembala! (Pakaian yang melambangkan keangkuhan pemakainya)” Lalu Baginda SAW memegang jubah lelaki tersebut dan berkata kepadanya “Aku melihat engkau memakai pakaian orang yang tidak berakal!” Kemudian Rasulullah SAW berkata lagi “Sesungguhnya Nabi Allah Nuh Alayhi as-Salaam ketika nazak menghadapi kematian, beliau berkata kepada anaknya:

“Sesungguhnya aku mahu meninggalkan wasiat kepada kamu. Aku perintahkan kepada kamu dua perkara dan aku tegah kamu daripada dua perkara. Aku perintahkan kamu dengan Laa Ilaaha IllaLlaah. Sesungguhnya jika tujuh petala langit dan bumi diletakkan di suatu timbangan dan Laa Ilaaha IllaLlaah diletakkan di suatu timbangan yang lain, nescaya Laa Ilaaha IllaLlaah itu lebih berat. Seandainya tujuh petala langit dan bumi itu suatu rangkaian yang samar dan rapuh, ia terjalin kukuh dan kemas dengan Laa Ilaaha IllaLlaah.

Aku juga memerintahkan kamu dengan Tasbih dan Takbir. Sesungguhnya dengan demikian terhasil kesejahteraan setiap sesuatu dan dengannya jua makhluk dikurniakan rezeki.

Aku tegah kamu dari Syirik dan Kibr (takabbur)”

Sahabat bertanya, Ya Rasulallah, sesungguhnya Syirik itu telah kami arif mengenainya. Namun, apakah yang dimaksudkan dengan Kibr? Adakah menjadi Kibr jika seseorang itu memakai sepasang kasut yang baik dengan talinya yang baik?

Rasulullah SAW menjawab, “Tidak”

Kata Sahabat berkenaan, atau apakah dengan seseorang itu mempunyai perhiasan dan beliau memakainya (lalu dianggap Kibr)?

Rasulullah SAW menjawab, “Tidak”

Kata Sahabat berkenaan lagi, atau apakah seseorang itu mempunyai haiwan tunggangan dan beliau menunggangnya (lalu dianggap Kibr)?

Rasulullah SAW menjawab, “Tidak”

Kata Sahabat tersebut, atau adakah jika sesiapa di kalangan kami mempunyai ramai teman dan beliau duduk bersama mereka (lalu dianggap Kibr)?

Rasulullah SAW menjawab, “Tidak”

Lalu Sahabat tersebut bertanya, kalaulah begitu ya Rasulallah, maka apakah sebenarnya Kibr itu?

Nabi SAW menjawab, “Al-Kibr itu ialah meremeh-temehkan kebenaran (safah al-haq) dan menindas manusia (ghamth an-Naas)!”


[Dikeluarkan oleh Ahmad di dalam al-Musnad 2: 169, 170, 225. Dan oleh al-Bayhaqi di dalam al-Asmaa' wa as-Sifaat: 79]

Inilah pesanan Nabi Allah Nuh Alaihi as-Salaam kepada anaknya sebelum wafat. Dan kita ini semua adalah cucu cicitnya baginda. Terimalah nasihat ini sebagai peringatan.

Sesungguhnya Tauhid dan Kalimah Tauhid adalah sebesar-besar perkara di dalam hidup ini. Menjadikan ia sebagai fokus diri, dan seterusnya disempurnakan pula dengan Takbir membesarkan Allah dan Tasbih mensucikanNya pada lisan dan perbuatan. Syirik yang muncul dengan pelbagai versi di dalam kehidupan kita hari ini bersama perbuatan angkuh, bongkak, takabbur atau Kibr itu pula hendaklah dijauhi. Sesungguhnya Syirik dan takabbur itu telah menjadi syiar dan cara hidup ramai manusia pada hari ini.

Manusia angkuh dengan Allah, orang ramai bongkak dengan hukum hakamNya, malah kita masih ingat ada yang berani berpesta di Sungai Nibong walaupun bencana Tsunami pernah melanda dikawasan itu hanya beberapa kilometer jaraknya. Sebuah stesyen TV masih tidak segan silu meneruskan silsilah Konsert Sure Heboh yang hanya mengukuhkan lagi hedonisma sebagai rukun kehidupan masyarakat sekarang.

Di dalam beberapa pilihanraya kecil, parti kerajaan merancakkan program hiburan dengan lori 1Malaysia bersama penari separa bogel. Baru beberapa minggu lalu kita dikejutkan dengan gejala menari tiang hanya dihukum RM25 dan Menteri Hal Ehwal Agama mempertahankannya!

Seorang pemimpin yang kini menjadi Perdana Menteri pernah memperlekehkan hukum Allah.



Tidakkah sikap begini bermaksud memperlekehkan kebenaran? Bukankah sikap ini yang terpilih menjadi amaran Nabi Allah Nuh yang menyaksikan umatnya ditenggelamkan oleh gempa bumi dan ‘Tsunami’?

Ada juga suara-suara yang membela kononnya, gempa bumi dan tsunami takkan berlaku di Malaysia. Kita selamat.

Malah kita boleh bina logi nuklear kerana tsunami takkan berlaku di Malaysia, katanya. Kononnya kita mempunyai sistem kalis-gagal selaras dengan kemajuan yang telah dicapai oleh sains dan teknologi, dan orang ramai tidak perlu takut mengenai keselamatannya. (UKM Portal)

Keangkuhan suara itu samalah seperti keangkuhan suara anak Nabi Nuh seperti yang dikisahkan di dalam Surah Hud tadi. Ia benar-benar mencabar Allah s.w.t. Kita ulangkan petikan Surah Hud ayat 42 – 43 tadi:

“Dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir.

Anaknya menjawab: Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air. Nabi Nuh berkata: Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani olehNya dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah dia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan. ”


Apabila masyarakat kita diperingatkan dengan kebenaran, ramai yang gembira mempersendakan kebenaran tersebut. Ramai yang memperlekehkan ayat-ayat Allah tanpa segan silu. Bahkan dengan sifat jelek seperti itu, tidak hairan jika ramai pula yang zalim, menindas sesama manusia sama ada dengan kuasa, akta, mahu pun sikap dan tanduk di peringkat individu.

Apakah kita mahu menunggu sehingga bumi Malaysia tersenak hidung dengan gelimpangan mayat seperti di Jepun, di Acheh, baru mahu tersentak dari kelekaan semua dan selama ini? Setiap kali menonton siaran berita di televisyen, kita tidak dapat menahan sebak di dada. Tetapi apabila mengenangkan kebiadapan manusia hari ini, mungkin Tsunami sahaja yang mampu memecahkan tempurung kepala kita hari untuk untuk faham dan menginsafi kuasa Allah SWT. Ceramah tak makan, motivasi tak jalan, nasihat tak dilayan, teguran dipinggirkan, yang menang akhirnya tetap hiburan dan keseronokan. Tidakkah kita sebenarnya sudah terlalu jauh pergi meninggalkan sifat diri sebagai hamba Tuhan? Tepuk dada tanyalah iman…

Salam takziah untuk tamadun manusia.

”Apakah penduduk negeri itu merasakan aman dari bala Allah pada waktu malam ketika mereka sedang tidur. Apakah penduduk negeri itu merasa aman dari bala Allah pada waktu pagi sedang mereka bermain atau bekerja. Apakah mereka merasa aman dari azab Allah(jadi mereka boleh hidup berseronok hingga melanggar hukum Allah). Tidaklah yang merasa aman dari azab Allah melainkan orang yang rugi.” (Al-A’raaf 98-99)

muhdhazrie/GB