21 Mei 2012

[Video] Ucapan Datuk Fauzi Shaari Selepas Penyerahan Borang PAS - updated

Datuk Fauzi ingin menyumbang dalam Islam

Kuala Lumpur: Rasa bertanggungjawab untuk sama-sama menyumbang dalam Islam, membuka hati bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Fauzi Shaari menyertai PAS.

Percaya PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam, tindakannya menyertai parti itu secara rasmi semalam, bukan petanda beliau baru 'sedar'.

"Ketika saya berkhidmat dalam PDRM, saya sudah meneliti senario politik negara. Saya berhubungan dengan semua pihak, cuma saya belum menjadi ahli kepada mana-mana parti politik," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Mengakui selalu mengikuti perkembangan PAS ketika masih berkhidmat di PDRM, Fauzi berkata tindakan beliau menyertai PAS melangkaui kepentingan dan keselesaan yang dinikmatinya kini.

Baginya, dengan menikmati wang pencen, beberapa perniagaan keluarga yang boleh memberikan pendapatan bulanan kepadanya tidak cukup menzahirkan rasa tanggungjawabnya terhadap masyarakat.

"Memang kalau ikut keselesaan, dengan wang pencen dan hasil bulanan dari perniagaan saya dan keluarga, ia sudah cukup untuk saya. Saya boleh duduk rehat sahaja. Tapi, semacam ada rasa satu tanggungjawab untuk saya bersama PAS kini," tegas beliau lagi.

Beliau yang bersara sejak 25 September 2006, bertindak menyertai PAS dan menyerahkan borang keahliannya kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, di satu majlis di Lumut, Perak, malam tadi.

Semasa menjadi Ketua Polis Dang Wangi, Fauzi terkenal dengan tindakannya membanteras maksiat di pusat bandaraya Kuala Lumpur.

Tindakan beliau pernah dikecam oleh seorang menteri yang menyifatkan tindakan Fauzi akan menghalau pelancong dari negara ini. -HD

kredit video: ajijoi








Kronisme Tidak Dapat Dipisahkan Dari Umno-BN - Wan Azizah

Pulau Pinang 20 Mei: Pemilikan saham RM30.8 juta yang didakwa diberi kepada anak Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Zainal Abidin bukti kronisme tidak dapat dipisahkan dari Umno-Barisan Nasional, kata Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Jika anak menteri yang berusia 26 tahun berjaya memiliki saham yang berjumlah melebihi RM30 juta, sudah pasti pelbagai persoalan bermain di pemikiran rakyat tentang kelayakan pemilikan saham tersebut.

Wan Azizah ketika memberikan sumbangan kepada ibu tunggal di Permatang Pauh

“Kontrak kerajaan sepatutnya tidak boleh diagihkan kepada kroni atau keluarga.

“Namun begitu, jelas membuktikan Umno dan BN sudah tidak boleh dipisahkan dengan amalan tersebut,” katanya ketika berucap di majlis ‘Hi-Tea’ di Taman Pauh Jaya, Permatang Pauh, 17 Mei lalu.

Beliau turut mengaitkan skandal membabitkan keluarga wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil menyalahgunakan dana RM250 juta yang diberikan kepada National Feedlot Corporation (NFCorp) milik suami dan anak-anaknya.

“Menteri dan keluarga mereka, merasakan apa yang menjadi milik kerajaan adalah milik keluarga.

“Apabila pendedahan dibuat, bukannya tindakan diambil terhadap pembongkaran tersebut, sebaliknya pemberi maklumat pula diambil tindakan, ” ujarnya merujuk tindakan yang dikenakan ke atas seorang kerani Bank baru-baru ini.

Beliau juga berkata, adalah sukar untuk mempercayai keadilan akan wujud dalam siasatan berhubung skandal membabitkan pimpinan Umno dan kerajaan, melainkan parti itu ditolak oleh rakyat pada pilihan raya umum akan datang.

Dalam majlis yang sama Wan Azizah juga menyampaikan sumbangan kepada ibu tunggal dan golongan yang tidak bernasib baik dalam Parlimen Permatang Pauh. -KD

Anwar, Azmin, Chegubard Didakwa Esok Kerana Sertai BERS✔H 3.0

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali akan didakwa esok berhubung perhimpunan BERSIH 3.0.

Satu kenyataan pejabat Azmin menyebut beliau menerima writ saman untuk hadir ke Mahkamah Majistret Jalan Duta, Kuala Lumpur atas dua pertuduhan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Kanun Keseksaan.

Beliau diminta hadir ke Mahkamah pada jam 9 pagi esok.

Writ saman tersebut diterima oleh Hilman Idman yang merupakan pegawai Khas Azmin di Tingkat 1, Ibu Pejabat PKR Damansara.

Menurut writ saman tersebut, Azmin dituduh melanggar Seksyen 188 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan Seksyen 109 dan Seksyen 34 kanun yang sama.

Dia dituduh bersama penyokong BERSIH 3.0 yang melebihi lima orang yang masih bebas, dalam mencapai niat bersama, telah bersubahat dengan Tangam a/l Raju, Rajesh Kumar a/l Gejinder dan Farhan bin Ibrahim @ Alias, telah mengingkari perintah yang dikeluarkan oleh Majistret Zaki Asyraf Zubir pada 26 April.

Azmin dituduh bersubahat dan menghasut Tangam, Rajesh dan Farhan membuka sekatan besi halangan di Dataran Merdeka.

Notis itu juga menyatakan keengkaran mereka dan penyokong BERSIH 3.0 yang lain mungkin menyebabkan rusuhan atau gaduh-gempur di kawasan tersebut.

Oleh itu, beliau dituduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 188 dibaca bersama Seksyen 109 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Dalam notis yang berasingan, Azmin dituduh menyertai protes jalanan bagi maksud membantah perintah Mahkamah Majistret di bawah Seksyen 98 Kanun Tatacara Jenayah yang telah dibuat pada 26 April 2912.

Dengan itu, Azmin dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(3) Akta yang sama.

Difahamkan Anwar juga menghadapi tuduhan yang sama. Ini menjadi mereka orang pertama yang akan didakwa di bawah Perhimpunan Aman 2012 yang luluskan baru-baru in.

Sementara itu, ketua kakitangan di pejabat Anwar - Ibrahim Yaacob - mengesahkan ketua umum PKR itu telah menerima notis tersebut pada jam 2.40 petang.

"Datuk Seri di ibupejabat parti di Merchant Square pada masa polis disampaikan notis itu pada jam 2.40 petang. Beliau (Anwar) berada di dalam mesyuarat dan perasan telah diterima oleh saya," katanya dalam jawapan SMS kepada Malaysiakini.

Menurutnya, terdapat dua pertuduhan berasingan - (1) Kanun Keseksaan (Akta 574) seksyen 188 dibaca bersama dengan seksyen 109 dan 34 dan (2) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) Seksyen 4(2) (c) dan Seksyen 4(3).

"Kita akan jumpa mereka di mahkamah...," tegas Ibrahim

Seorang lagi yang telah menerima notis yang sama ialah aktivis PKR Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai CheguBard. Ketika berita ini ditulis, kandungan notis tersebut masih belum dapat disahkan.

Sementara itu, menjawab soalan Malaysiakini melalui SMS, Ketua Bahagian Pendakwaan Pejabat Peguam Negara, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah mengesahkan bahawa Anwar, Azmin dan Chegubard akan didakwa esok. -mk

32 anggota polis serbu rumah Chegu Bard serah waran hadir mahkamah esok

SEREMBAN 21 Mei: Rumah Ketua Cabang KEADILAN Rembau, Badrul Hisham Shaharin dekat sini diserbu tujuh kenderaan polis kira-kira jam 2.20 petang tadi.

Menurutnya, seramai 32 anggota polis beruniform terbabit memberi writ perintah ke mahkamah berhubung penglibatan beliua dalam perhimpunan Bersih 3.0 bulan lalu.

“Mereka bawa surat arahan dan minta saya tandatangan surat perakuan untuk ke Mahkamah Tinggi Jalan Duta pada pukul 9.00 pagi esok,” katanya yang lebih dikenali Chegu Bard.

Tambah Chegu Bard, beliau turut menerima dua surat pertuduhan, iaitu kesalahan menghasut peserta perhimpunan Bersih 3.0 di bawah Seksyen 188 yang dibaca bersama Seksyen 109 dan 34 di bawah Akta 574 Kanun Keseksaan.

“Manakala yang kedua adalah tuduhan melanggar perintah mahkamah melarang masuk Dataran Merdeka, di bawah Seksyen 42c dan 4(3) Akta Perhimpunan Aman 2012 (736),” jelas beliau lagi.

“Bilangan polis yang begitu ramai seolah-olah ingin menakutkan saya dan penduduk di kawasan sekitar.

“Mereka juga datang bersama jurukamera dan rakam video dan gambar di dalam rumah, mungkin sebagai bukti saya terima dan faham isi surat yang diberi,” katanya dihubungi Keadilan Daily.

Pada 15 Mei lalu, Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 4(2) Akta Kawasan Larangan 1959, kerana dituduh melanggar arahan pihak berkuasa semasa perhimpunan itu.
-KD


Apa Macam Tamil Malar Boleh Bertukar Menjadi Mansor Jali?

Seorang wanita, Tamil Malar hilang kelayakan mengundi apabila semakan di web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan nombor kad pengenalannya dimiliki pihak lain.

Ketika membuat semakan, Tamil Malar yang memiliki kad pengenalan biru 750516-08-5360 terkejut apabila namanya yang terpapar adalah nama seorang lelaki, Mansor Bin Jali.

Tamil Malar menetap di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tronoh, Parlimen Batu Gajah, Perak namun, dalam semakan menggunakan nombor kad pengenalannya itu memaparkan beliau pengundi di DUN Ayer Limau, Parlimen Masjid Tanah, Melaka.

“Terbukti ada unsur-unsur penipuan dalam pendaftaran pemilih,” kata Adun Tronoh, V Sivakumar seperti dilapor Harakah Daily.

“Saya memohon kepada Pengerusi SPR Malaysia untuk memberi penjelasan mengenai hal ini dengan segera.

“Kami sedang membuat operasi ‘Ghost Busters’ di DUN Tronoh dan dalam operasi ini kami berjaya megesan satu kes penipuan yang sangat nyata,” katanya.

Menurut Sivakumar lagi, pihaknya kini sedang giat mengesan pengundi hantu yang mungkin wujud di DUN itu. -kd

Tak boleh mengundi, nombor IC 'dicuri'



BATU GAJAH: Seorang wanita mendakwa dirinya hilang kelayakan mengundi apabila semakan di web Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia menunjukkan nombor kad pengenalannya dimiliki pihak lain.

Ketika membuat semakan, Puan Tamil Malar yang memiliki no kad pengenalan biru 750516-08-5360 terkejut apabila namanya tidak keluar tetapi yang dipapar adalah nama seorang lelaki Mansor Bin Jali.

Puan Tamil Malar menetap di DUN Tronoh, Parlimen Batu Gajah, Perak namun dalam semakan menggunakan no kad pengenalannya itu memaparkan beliu adalah pengundi di DUN Ayer Limau, Parlimen Masjid Tanah, Melaka.

Sementara itu, Adun Tronoh V.Sivakumar berkata, pihaknya hairan dengan kes yang berlaku itu sedangkan daftar pemilih dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu disemak dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Terbukti ada unsur-unsur penipuan dalam pendaftaran pemilih.

"Saya memohon kepada Pengerusi SPR Malaysia untuk memberi penjelasan mengenai hal ini dengan segera," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurut Sivakumar lagi, pihaknya kini sedang giat megesan 'pengundi hantu' yang mungkin wujud di Dun itu.

"Kami sedang membuat operasi ‘Ghost Busters’ di DUN Tronoh dan dalam operasi ini kami berjaya megesan satu kes penipuan yang sangat nyata," katanya merujuk kepada kes Puan Tamil Malar itu.
-HD


SPR Kata Kangkung, Timun, Kuda, Harimau Adalah Pengundi Sah

Port Dickson: Mereka yang memiliki nama-nama 'unik' membuatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pening kepala dengan para pengkritik yang mempertikaikan kewujudan golongan tersebut.

Namun, SPR berkata, rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membuktikan bahawa mereka adalah pengundi yang sah.

Para pengkritik suruhanjaya itu membuat jenaka terhadap nama-nama haiwan, sayur-sayuran dan individu terkemuka yang masih hidup atau meninggal dunia dalam kalangan daftar pemilih seramai 12.8 juta pengundi.

Mereka turut bertanya mengapa wujud pengundi dengan nama seperti Timun, Kangkung, Harimau dan Kuda dalam daftar pemilih.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, mereka yang memiliki nama unik yang tinggal di pedalaman Sabah dan Sarawak adalah pengundi sah.

Katanya, adalah tidak adil bagi SPR dituduh sengaja mereka nama-nama tersebut dan mendaftarkan pengundi-pengundi yang tidak wujud.

"Agak hairan bahawa pengkritik masih tidak memahami perkara ini yang berada diluar kawalan kami.

"Kami mempunyai pengundi yang memiliki nama seperti Elvis Presley, Reagan dan A.Ramlie bin Jefridin dalam daftar pemilih. Namun, kesemuanya wujud dan merupakan rakyat Malaysia," katanya. (A.Ramli dan Jefri Din merupakan penyanyi terkemuka negara pada 1960)

Abdul Aziz berkata, terdapat pengundi dengan nama seperti Atas Jalan, Tepi Jalan, Machine Gun dan Boeing.

"Selagi butiran tarikh lahir mereka sama dengan rekod JPN, kami tidak boleh mempertikaikan status mereka dan mesti mendaftarkan mereka sebagai pengundi," katanya.

Beliau berkata, SPR terus menerima kritikan berhubung perkara yang diluar kawalan mereka walaupun pelbagai usaha dilakukan pegawai-pegawai untuk memastikan daftar pemilih bersih dan dikemas kini.

Katanya, daftar pemilih mempunyai kira-kira 15,000 pengundi yang nombor kad pengenalan mereka tidak selari dengan jantina seperti ditetapkan JPN.

Bagi jantina lelaki, nombor terakhir dalam 12 digit kad pengenalan merupakan nombor ganjil manakala perempuan pula adalah nombor genap.

"Jika berlaku campur aduk, kami tidak boleh katakan bahawa mereka tidak boleh didaftarkan sebagai pengundi kerana JPN mempunyai rekod mengenai kewujudan mereka.

"Mungkin berlaku kesilapan apabila MyKad diserahkan kepada mereka," katanya.

Abdul Aziz berkata, mereka juga sering dilontarkan dengan pertanyaan mengenai kewujudan pengundi yang memiliki nama serupa dan lahir pada tarikh dan negeri yang sama.

"Perbezaan hanya empat digit terakhir dalam nombor kad pengenalan mereka. Apabila kami mengenal pasti kes ini dengan JPN, kami mendapati mereka didaftarkan pada sejak lahir dan masih hidup," katanya.

Menurut beliau, terdapat beberapa soalan dibangkitkan mengenai kewujudan pengundi yang berusia lebih 100 tahun dalam daftar pemilih walaupun rekod SPR menunjukkan kira-kira 1,000 pengundi bagi golongan tersebut.

"Kami terus mengesahkan maklumat-maklumat tersebut dengan agensi berkaitan. Kami tidak boleh memadam nama-nama pengundi walaupun mereka sudah mencecah usia 100 tahun.

Abdul Aziz berkata, kira-kira 3.7 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi masih belum mendaftar sebagai pemilih walaupun pelbagai kempen dilakukan untuk menggalakkan mereka berbuat demikian. -mstar

Ulasan GB

Cukup panjang akal Pengerusi SPR ni untuk kelentong rakyat.

PR kena wujudkan badan siasatan untuk menyiasat hal-hal ini dan jika tidak benar, maka Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR perlu diheret ke muka pengadilan.

Memang Pun Hanif Omar Tak Sesuai Ketuai Panel Bebas - Kian Sit Har

Tolak salah laku BN, kata veteran MCA

Ketua Wanita MCA Melaka, Kian Sit Har, yang ditegur Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek kerana menghadiri perhimpunan BERSIH 3.0 di Melaka pada 28 April lalu, bertegas bahawa parti itu mesti bangun menentang sebarang salah laku BN.

"Pada masa ini, kita tidak boleh bersikap neutral. Kita perlu membuat pilihan antara yang benar dan yang salah.

"Parti mungkin ada pendiriannya sendiri, tetapi kita mesti memihak kepada keadilan. Kita tidak boleh mengikut secara membuta tuli jika BN atau MCA melakukan sesuatu yang salah.

"Jika anda berfikir ada sesuatu yang tidak kena, maka kita mesti menyuarakannya. Betul tetap betul, salah tetap salah, dan kita tidak perlu takut (untuk bersuara)," katanya dalam satu temubual dengan Malaysiakini di pejabatnya di Melaka minggu lalu.

Sebagai contoh, kata senator yang berusia 73 tahun itu, ialah pelantikan bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar mengetuai panel bebas untuk menyiasat keganasan di perhimpunan BERSIH 3.0 di Kuala Lumpur.

Dalam nada kecewa, Kian berkata: "Sudah pasti pembangkang akan menuduh kita tidak adil. Bagi saya pun, Hanif tidak sesuai.


"Selepas berkata BERSIH mahu menjatuhkan kerajaan, bagaimana anda boleh memintanya menganggotai panel tersebut?

"Kami (di perhimpunan BERSIH) tidak pernah terfikir untuk menjatuhkan kerajaan semasa protes," kata Kian.

[Bergambar & Video] RASMI: Datuk Fauzi Shaari Sertai PAS -updated

Taiping - Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari malam ini dengan rasminya menyertai Pas.

Gambar: Fauzi (kiri) menyerahkan borang keahlian kepada Abdul Hadi sambil diperhatikan oleh Mohamad Sabu.

Borang keahlian diserahkan kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Majlis Pengisytiharan Perdana Bekas Pegawai Tertinggi PDRM Sertai Pas di Taman Kota Wira, Ulu Sepetang di sini.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu; Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty dan Pesuruhjaya Pas Perak, Abu Bakar Hussain.

Penyerahan borang keahlian disaksikan kira-kira 5,000 penyokong Pakatan Rakyat (PR).

Dalam ucapannya, beliau menjelaskan bahawa tujuan menyertai Pas bukan berniat untuk menjadi calon atau mempunyai kepentingan tertentu, tetapi sekadar mahu membantu usaha ke arah kerja-kerja Islam yang dibawa Pas.

Katanya, kehadiran beliau pada majlis itu juga sebagai pengenalan kepada penyokong dan masyarakat sebelum bergiat aktif selepas ini.

Beliau turut menjelaskan, penyertaan dalam Pas itu dibuat selepas yakin dirinya tidak terlibat dalam sebarang kes jenayah semasa berada dalam pasukan polis.

Fauzi yang berasal dari Pantai Besar, Batu Kurau, Perak menambah, beliau selepas ini akan membantu PR khususnya Pas melalui ceramah-ceramah yang dianjurkan.

"Bukanlah bila saya masuk Pas bukan semuanya tak betul. Mana yang boleh tegur, kena tegurlah," katanya.

Pada majlis itu juga, Ketua Penerangan Pemuda Pas Negeri Perak yang menjadi pengerusi majlis, Akmal Kamaluddin secara berseloroh mahu Fauzi mengetuai Bersih 4.0 dan kemudiannnya disambut dengan tepukan gemuruh hadirin. -SH

kredit foto: ajijoi













Siapa sebenarnya bekas Pengarah JSJ PDRM, Fauzi Shaari

Datuk Fauzi yang saya kenali.
Oleh Jamaluddin Rahman.

Kebetulan Datuk Fauzi (gambar) adalah jiran sekampung saya di Kampung Pantai Besar Batu Kurau Perak. Beliau dilahirkan pada tahun 1950, dan menyertai PDRM pada April 1975, dimana pada waktu itu beberapa tempat dikawasan utara tanah air telah berlaku peristiwa mogok kemiskinan terutama di Baling Kedah, dan tidak ketinggalan di Kampung Pantai Besar itu sendiri.

Setelah beliau menyertai PDRM, saya hanya berkesempatan bertemu beliau setahun dua tiga kali. Terutama di waktu umat Islam menyambut Syawal.

Apabila beliau telah dilantik memegang jawatan sebagai Ketua Polis Daerah Dang Wangi, di mana pada waktu yang sama saya diamanahkan sebagai Ketua Penerangan Pas Kawasan Titiwangsa, WP. Selaku Ketua Penerangan Pas sudah tentulah banyak program yang perlu diatur termasuk urusan untuk mendapatkan permit ceramah.

Pejabat beliaulah menjadi tempat yang selalu saya kunjungi, sehinggakan ada di kalangan anggota polis menyangka saya adalah salah seorang daripada mereka, begitu juga sahabat-sahabat daripada PAS yang menyangka saya sebagai Special Branch(S.B). Kerana begitu mudah untuk saya mendapatkan kerjasama dari pihak polis.

Diwaktu beliau sebagai 0CPD Dang Wangi inilah, beliau pernah disindir oleh seorang Menteri Perlancongan (UMNO), kerana ketegasan beliau menggempur tempat-tempat maksiat dan persundalan terutama di Sun Komplek, Wisma Bond dan beberapa tempat di daerah Dang Wangi. Sindiran menteri ini lebih kurang berbunyi “kalau dok serbu saja ianya akan mengurangkan kedatangan pelancong luar ke Malaysia”.

Mungkin pada pandangan Menteri ini pelancung-pelancung yang datang ke Malaysia ini hanya berminat ketempat-tempat maksiat seperti itu. Selepas tenguran dari Menteri ini, saya dapati seperti ada halangan bagi Datuk Fauzi membanteras tempat-tempat perjudian dan persundalan yang tidak dilesenkan.

Ini membuatkan saya menulis surat kepada KPN pada waktu itu Tun Hanif Omar tentang halangan ini. Ekoran dari surat saya itu, saya dimaklumkan beliau telah dipanggil oleh KPN dan saya juga dipanggil oleh Ketua Polis KL ketika itu Datuk Ku Chin Wah.

Datuk Fauzi adalah seorang yang sentiasa menjaga solatnya sejak dari remaja, dan inilah yang saya kira dapat membantu beliau melihat yang benar itu benar dan yang batil itu batil. Walaupun ada rakan-rakan yang memberi komen-komen yang agak negatif dalam posting saya 3 hari lepas, saya sangat-sangat mengharapkan kita semua berdoa ke hadrat Allah S.W.T semoga Datuk Fauzi dan keluarganya diberi kekuatan bersama-sama kita mengharungi perjuangan ini.

Satu perkara yang perlu saya sebut disini, di DUN Batu Kurau sangat-sangat dikenali sebagai kawasan UMNO HANGIT, terutama di kampung Pantai Besar. Dengan penyertaan beliau menjadi ahli PAS, saya sangat-sangat mengharapkan ianya memberi satu pukulan maut kepada Umno Larut dan Perak khususnya.

Boleh di katakan 90 peratus dari penduduk Batu Kurau ini mempunyai pertalian persaudaraan dengan Datuk Fauzi. Disaat peserta-peserta BERSIH dibelasah oleh segelintir anggota polis, namun disana masih ada polis yang berperikemanusian.

Bagi saya bukan anggota polis yang perlu dipersalahkan. Sebaliknya UMNOlah yang sepatutnya kita persalahkan kerana menyalah gunakan jentera kerajaan termasuk POLIS untuk menjadi benteng mereka hinggakan polis bersikap seperti tidak berperikemanusian.

Akhir sekali saya menyeru rakan-rakan dan sahabat handai serta kaum keluarga Datuk Fauzi marilah bersama-sama kita berada dalam perjuangan menegakkan kebenaran dan tidak lagi bersekongkol dengan UMNO (BN) yang telah pun menggadai negara ini kepada warga asing melalui pemberian My Kad (I.C) serta menjadikan mereka sebagai pengundi berdaftar.

Kepada Datuk Fauzi saya ucapkan syabas, Ahlan Wahsahlan, dan marilah sama-sama kita berdoa diberikan Taufik Dan HidayahNYA.


الله أكبر الله أكبر الله أكبر

Nukilan ; Jamaluddin rahman (JR – Pasti Jihad)


Alhamdulillah, berbondong-bondong sertai PAS - Abd Hadi

KUALA TERENGGANU: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengucapkan syukur dengan perkembangan yang berlaku dalam PAS sekarang.

Ketika PAS dituduh dengan pelbagai tohmahan, "berbondong-bondong cerdik pandai datang untuk kita, Alhamdulillah," kata beliau dalam Facebooknya.

Beliau yang dijadualkan berceramah di Taman Kota Wira, Ulu Sepetang, Batu Kurau, Perak esok dijangka akan menyambut berita gembira di majlis itu.

"Saya telah diberi faham bahawa majlis ini adalah majlis pengisytiharan bekas orang no 3 dalam pasukan polis untuk menyertai PAS," tulis beliau lagi.

Seorang bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM iaitu orang nombor 3 dalam pasukan polis menyerahkan borang menyertai PAS kepada beliau dalam ceramah itu.

Bekas pegawai kanan polis itu merupakan anak kelahiran Pantai Besar, Larut dan pernah menyandang beberapa jawatan dalam pasukan polis.

Antaranya, Timbalan Pengarah Logistik PDRM, Ketua Polis Selangor, Ketua Polis Sarawak, Timbalan Ketua Polis Selangor, Ketua Polis Daerah Pasir Putih Kelantan, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Ketua Polis Daerah Dang Wangi dan Timbalan OCPD Sentul.

Bekas orang nombor tiga dalam PDRM itu baru sahaja bersara dari profesion polis kira-kira dua tahun yang lalu.


Dalam suasana rakyat sedang bertikam lidah dengan PDRM selepas himpunan Bersih 3.0 lalu, kesediaan beliau menyertai PAS sekali gus menolak persepsi PAS bermusuhan dengan polis.

Ketika dalam tugasnya, beliau terkenal sebagai pegawai kanan polis yang berusaha membanteras maksiat termasuk ketika beliau menjadi Ketua Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.
-HD


Ulasan GB

Demikian hukum kebenaran dan keadilan berjalan.

Apabila polis berlaku zalim ke atas Pakatan Rakyat terutama PAS, maka Allah kurniakan hidayah kepada orang yang dipilihNya dari kalangan polis sendiri untuk menyertai PAS.

Ini mengingatkan kita tentang kisah Umar Al-Khattab yang satu ketika begitu memusuhi Islam sehingga Rasulullah saw hendak dibunuhnya, tetapi akhirnya Umar Al-Khattab memeluk Islam malah menjadi diantara khalifah terkemuka Khulafau Ar-Rashidin, salah seorang sahabat yang telah dijaminkan syurga oleh Allah dan RasulNya.

Selamat berjuang Datuk Fauzi Shaari!

Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan
dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong
maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima Taubat
. An-Nasr 1-3

TAKBIR!


Hishamuddin Hussein Akui Ada Polis Menyamar Sebagai Peserta BERSIH

Menteri Dalam Negeri Harus Perjelas Peranan Anggota Polis Menyamar Dalam Peserta BERSIH.

Hampir 3 minggu telah berlalu sejak sejarah berlakunya himpunan rakyat terbesar dalam negara ini iaitu BERSIH 3.0. Himpunan menuntut pilihanraya bebas dan adil yang harus ditandakan sebagai himpunan perpaduan kerana jelas semangat persaudaraan perbagai kaum dan latar belakang rakyat yang hadir sendiri secara sukarela telah dicacatkan dengan tindakan ganas polis dibawah arahan regim penguasa.

Pada 7 Mei, SAMM telah menghantar satu memorandum memperjelaskan tindakan ganas dan jenayah yang melibatkan anggota polis ketika himpunan BERSIH 3.0. Dalam memorandum tersebut juga disenaraikan anggota polis yang jelas gambar mereka dirakam terlibat melakukan jenayah kekerasan.

Perbagai persoalan timbul dan masih tidak mampu diperjelaskan oleh pihak regim khususnya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussien. Malah bukan sahaja gagal memperjelaskan beberapa persoalan penting tetapi regim bertindak memusing dan menyelewengkan beberapa fakta penting pula. Namun sebenarnya ia semakin memerangkap regim dan mengelirukan orang ramai.

Terbaru pada 14 Mei lepas dalam satu sidang media di Putrajaya, Hishamuddin dengan jelas menyatakan 21 orang terdiri dari 141 individu yang tersenarai dan telah diiklankan dalam media kononya melakukan keganasan dalam himpunan BERSIH 3.0 telah menyerah diri. Apabila diasak oleh wartawan mengenai kenapa tindakan hanya pada orang awam tidak melibatkan polis yang bertindak ganas, Hishamuddin menyatakan antara 21 orang yang menyerah diri itu ada anggota polis juga.

Perhatian semua ditarik balik kepada gambar 141 orang yang kononya mengganas atau merusuh. Gambar ini konon diambil dari rakaman polis yang merakamkan secara rawak merakamkan individu yang merusuh. Bila ditanya pada sebelum itu ketika penyebaran gambar dibuat PDRM dengan yakin menyatakan individu yang diiklankan untuk desak serah diri itu semuanya dirakamkan melakukan keganasan. Tidak ada satupun dari 141 orang yang disiar gambarnya menggunakan seragam polis. Sebaliknya 14 Mei lepas Hishamuddin menyebut ada anggota polis serah diri kerana gambar mereka disiarkan.

Ini membawa maksud pengakuan dari Hishamuddin ada anggota polis berpakaian biasa juga bertindak ganas dan merusuh dalam Himpunan BERSIH 3.0. Menteri Dalam Negeri harus tampil menjelaskan perkara ini segera. Jika tidak beliau harus meletakkan jawatan kerana jelas Kementerian Dalam Negeri terlibat dalam merancang mempergunakan anggota keselamatan untuk menimbulkan kekacauan untuk memberikan kelebihan politik kepada parti politik penguasa regim.

Bagi pihak SAMM dan organisasi - organisasi Muda yang menghantar memorandum ke Bukit Aman pada 7 Mei lepas satu jawapan dan penjelasan rasmi dituntut. Kejadian 28 April jelas telah menimbulkan perbagai persepsi negatif rakyat kepada pihak keselamatan. Sehingga kini langsung tidak ada tindakan diambil. Sebaliknya PDRM terus angkuh dipergunakan untuk memburu orang ramai.

SAMM memberikan perhatian serius dalam isu peristiwa 28 April lalu dan perjuangan mendapatkan pilihanraya bebas dan adil. Kini SAMM sudah menyiapkan satu DVD khas dokumentari yang memperjelaskan BERSIH 1, Bersih 2.0 dan memperjelaskan kejadian BERSIH 3.0. DVD ini walaupun disiapkan oleh tenaga amatur muda tetapi ia merupakan dokumentari lengkap bagi memahamkan rakyat mengenai perjuangan BERSIH 3.0.

SAMM juga melalui sekutu organisasi masyarakat muda (ORMAS muda) di luar negara akan turut mengadakan program menonton dokumentari ini bagi memahamkan orang muda khususnya tetangga asean mengenai perjuangan rakyat Malaysia menuntut pilihanraya bebas dan adil.

DVD ini dijangka akan dilancarkan minggu hadapan (23 Mei) dan sudah mula boleh didapati di pasaran.

che'GuBard
Solidariti Anak Muda Malaysia