31 Dis 2011

Sembilan Kepala Babi Depan Masjid. Provokasi Siapa?

Johor Bahru – Penduduk Islam di Taman Desa Jaya, dekat sini, gempar apabila sembilan kepala babi ditemui di luar pintu Masjid Al Falah, di sini, dalam dua kejadian berasingan.

Dalam kejadian pertama, empat kepala babi yang dibungkus dengan plastik ditemui oleh beberapa penduduk di pintu bahagian tepi masjid ketika datang ke rumah ibadat itu untuk membersihkan kawasan sekitarnya, jam 5 petang kelmarin.

Susulan penemuan, jawatankuasa masjid membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Belum pun reda dengan kejadian pertama, jemaah masjid dikejutkan dengan penemuan lima lagi kepala haiwan itu diletakkan di pintu pagar hadapan mas­jid kira-kira jam 5.10, pagi semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Masjid Al Falah, Kasim Darim, 62, berkata, pengurusan masjid kesal dengan tindakan kumpulan atau individu yang menyentuh sensitiviti masyarakat di kawasan itu.

Beliau berkata, kejadian seumpama itu pertama kali berlaku di kawasan masjid berkenaan.

“Sebelum ini, pihak kami (masjid) tidak mempunyai­ masalah dengan masyarakat setempat dan saya tidak menuduh sesiapa yang melakukan perkara ini.

“Namun bagi kami, jika ada masalah, kita boleh berunding tanpa perlu membuat perkara seperti ini. Saya kecewa dengan sikap kumpulan atau individu yang melakukan perbuatan ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Kassim berkata, satu laporan telah dibuat di Balai Polis Desa Cemerlang.

Sementara itu, Biro Keselamatan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Desa Jaya, Mohd Khairi Abdul Latip menyifatkan perbuatan itu menggugat keharmonian masyarakat setempat.

“Perbuatan ini boleh dianggap sangat biadab kerana tidak menghormati masyarakat di sini.

“Kami berharap agar pihak polis dapat menyiasat dan mencari dalang yang melakukan perbuatan yang menghina agama ini,” katanya.

Sementara itu, kira-kira 100 orang, termasuk pertubuhan bukan kerajaan, me­ngadakan perhimpunan aman di depan masjid berkenaan bagi membantah perbuatan tersebut. -SH

DAP kutuk tindakan meletak kepala khinzir di hadapan masjid

GEORGETOWN: Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh menyelar tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang meletakkan kepala khinzir di luar pintu Masjid Al-Falah, Taman Desa Jaya, Johor Baharu.

Beliau berkata mereka yang melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu perlu diberkas dan diberi hukuman yang setimpal kerana tidak mempunyai sensitiviti agama.

"Perbuatan tidak bertanggungjawab ini perlu dikutuk oleh semua rakyat Malaysia.

Rakyat Malaysia yang mempunyai kepelbagaian agama dan kepercayaan mempunyai hak untuk hidup dalam keadaan aman dan harmoni," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan hari ini berhubung insiden sembilan kepala khinzir ditemui di hadapan pintu Masjid Al-Falah semalam.

Karpal yang juga anggota Parlimen Bukit Gelugor mahu pihak polis memberi keutamaan terhadap siasatan kes ini.

"Pada malam menjelang tahun baru ini insiden memalukan seperti ini tidak harus berlaku," katanya. - BERNAMA


Abang Terkejut ‘Beruk’ Adik Buat Maksiat Dengan Minah Indon Di Rumah Sewa

Melaka: Seorang adik sanggup menjadikan rumah sewa di Taman Selendang, Batu Berendam, di sini, yang dikongsi bersama abangnya sebagai ‘lubuk maksiat’ apabila ‘menyeludup’ teman wanitanya ke kediaman berkenaan bagi melampiaskan nafsunya.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, lelaki berusia 28 tahun itu terpinga-pinga apabila sekumpulan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) memeriksa rumah itu selepas mendapat aduan seorang wanita bukan muhrim dilihat masuk ke kediaman berkenaan.

Pemeriksaan di dalam bilik adiknya berusia 22 tahun itu menemui teman wanitanya yang juga seorang warga Indonesia berusia awal 20-an menyorok di dalam tandas dalam keadaan bogel.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama Jaim, Rahimin Bani, berkata berdasarkan maklumat sepasukan anggotanya ke lokasi berkenaan dan setibanya di kediaman terbabit, mereka mengetuk pintu sebelum dibuka oleh abang suspek.

Katanya, pemeriksaan lanjut di tingkat atas anggotanya mendapati sebuah bilik yang bertutup dan ia dibuka seorang lelaki separuh bogel dan yang hanya memakai tuala paras pinggang.

“Pemeriksaan lanjut menemui ada seorang wanita berada di dalam tandas dalam keadaan mengaibkan dan soal tanya mendapati kedua-duanya bukan muhram.

“Pasangan terbabit terus ditahan untuk siasatan lanjut dan abang kepada suspek berkenaan turut terperanjat kerana mendakwa langsung tidak mengetahui adiknya menyembunyikan teman wanitanya di biliknya,” katanya, di sini, semalam.

Rahimin berkata, soal siasat mendapati pasangan terbabit mengakui sudah terlanjur ketika berdua dalam rumah berkenaan beberapa kali selain memberitahu baru saja selesai melakukan hubungan seks.

Katanya, kedua-dua mereka adalah pekerja industri di kilang sama dan sudah berkenalan kira-kira tiga bulan lalu sebelum menjalin hubungan. “Kedua-dua pasangan berkenaan ditahan mengikut Seksyen 53, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991, kerana bersekediaman dengan bukan muhram.

“Sabit kesalahan boleh didenda sebanyak RM3,000 atau penjara selama 24 bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya. -hm

Seorang Anggota Polis Wanita Dera & Toreh Kemaluan Anak Angkatnya

Didera ibu angkat

ALOR SETAR - Penderitaan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang dipercayai didera ibu angkatnya sejak empat bulan lalu berakhir apabila dia diselamatkan polis Rabu lepas.

KESAN lebam yang terdapat pada perut mangsa (gambar kecil) ketika ditemui di Alor Setar semalam.

Perkara itu terbongkar selepas seorang jiran membawa mangsa ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk diperiksa selepas mendapati badan dan mata kiri kanak-kanak itu lebam-lebam. Lebih tragis kemaluan kanak-kanak itu mempunyai kesan torehan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan memberitahu, sebelum kejadian, mangsa ditinggalkan ibu angkatnya untuk dijaga oleh jiran di Taman Derga Jaya, Jalan Datuk Kumbar di sini pada pukul 4.30 petang Rabu lalu.

Katanya, wanita itu meninggalkan mangsa sementara di situ kononnya kerana hendak ke Kelantan.

"Jiran mangsa yang berusia 39 tahun kemudian terperanjat apabila menemui kesan lebam dan torehan pada badan mangsa ketika hendak memandikannya sebelum membawanya ke hospital.

"Polis kini mencari ibu angkat mangsa berusia lingkungan 30-an bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak," katanya. -kosmo

Kemaluan mangsa dera ibu angkat kena toreh

ALOR SETAR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini kerana mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan selain kesan torehan pada kemaluan, dipercayai akibat didera ibu angkatnya sejak beberapa bulan lalu.

Difahamkan, perbuatan kejam ibu angkatnya yang juga seorang anggota polis itu terbongkar selepas kanak-kanak berkenaan ditinggalkan sementara di bawah jagaan jirannya, berikutan suspek yang berusia lingkungan 30-an mahu pulang ke kampungnya di Kelantan.

Jiran wanita itu yang bersetuju membantunya menjaga kanak-kanak itu terkejut apabila mendapati banyak kesan lebam pada badan, selain bekas torehan benda tajam di bahagian kemaluan mangsa ketika mahu memandikan kanak-kanak itu, sebelum membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Md Jan, berkata mangsa mengalami kecederaan di bahagian kemaluan dengan kesan torehan benda tajam, selain terdapat kesan lebam di bahagian mata dan badan.

Katanya, kanak-kanak itu diselamatkan jiran suspek yang melaporkan kes itu kepada polis selepas mengesan kesan dera berkenaan pada tubuh mangsa, kelmarin.

“Mangsa kini berada di HSB untuk pemeriksaan lanjut dan polis sedang mengesan suspek yang menghilangkan diri. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Sementara itu, sumber berkata, mangsa dipercayai dipelihara suspek yang masih bujang itu sejak daripada kecil dan tinggal bersamanya di rumah wanita itu di Taman Derga Jaya, di sini.

“Wanita itu dipercayai mendera mangsa sejak beberapa bulan lalu berikutan terdapat banyak kesan lebam dan kecederaan di bahagian kemaluan, mata dan badan kanak-kanak itu,” katanya.

Mangsa kini di bawah pemerhatian doktor dan pengawasan polis sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut. -BH


[INGATAN] Saman Tak Guna Talipinggang Belakang Bermula Esok

Kuala Lumpur: Bermula esok, tiada alasan boleh digunakan pemilik kenderaan di negara ini sekiranya didapati gagal menggunakan tali pinggang keledar depan atau belakang.

Ini kerana, tempoh pengecualian tiga tahun akan tamat bermula jam 12 tengah malam ini (1 Januari 2012).

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Hesdey Ahmad berkata, selepas tempoh itu, tindakan menyaman pemilik kenderaan akan diambil pihak berkuasa.

“Kita percaya, ramai pemilik kenderaan akan memberi pelbagai alasan termasuk tidak tahu ia sudah dikuatkuasakan.

“Berikutan itu, kita ingatkan bahawa penguatkuasaan terhadap penggunaan tali pinggang keledar belakang sudah bermula 1 Januari 2009 dan pengecualian tiga tahun itu hanya membabitkan kenderaan didaftarkan sebelum 1 Januari 2005 atau kenderaan tidak dilengkapi dengan kemudahan tali pinggang keledar.

“Justeru, bermula esok, tiada lagi kompromi pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi pemilik kenderaan yang gagal mematuhinya,” katanya.

“Jadi, sekali lagi kita ingatkan orang ramai bahawa pihak berkuasa akan mengeluarkan saman jika mereka masih berdegil dan tidak mahu memasang tali pinggang mulai esok,” katanya. -hm

Aziz Bari Sedia Tanding Pilihanraya Wakili Pakatan

Aziz Bari tawar diri sebagai calon Pakatan

KUALA LUMPUR, 30 Dis — Pakar perundangan Prof Dr Abdul Aziz Bari menawarkan diri sebagai calon berpotensi pada pilihan raya umum akan datang untuk Pakatan Rakyat, mengatakan beliau mahu mengambil bahagian dalam proses politik negara dengan berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Pensyarah akademik yang lantang ini berkata beliau “tidak ghairah” tentang menjadi anggota parti sambil menambah sistem dua parti yang berkesan membenarkan reformasi dan pentadbiran yang bagus.

“Maksud saya, seperti mengambil bahagian dalam pemilihan parti, saya hanya mahu menjadi wakil rakyat jika mereka (Pakatan Rakyat) merasakan saya sesuai untuk menjadi calon mereka,” katanya kepada The Malaysian Insider melalui kiriman emel.

Beliau mengesahkan menerima tawaran “tidak rasmi” dari semua parti pembangkang iaitu PAS, PKR dan DAP namun berkata “masih terlalu awal untuk membuat keputusan” parti mana yang akan ditandinginya.

Abdul Aziz (gambar) menambah beliau tidak memilih tentang bertanding di bawah mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat memandangkan “semua parti komited untuk melaksanakan dasar dengan berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan dan ia pentung bagi mewujudkan sistem dua parti.”

Namun bekas pensyarat Universiti Islam Antarabangsa ini berkata keputusannya adalah untuk terlibat dalam politik dan berminat menyertai pilihan raya dan bukan sebagai anggota parti yang disifatkan tidak mempunyai “stamina” melakukannya.

“Ini adalah perkara yang dihalang untuk dilaksanakannya. Menyertai politik bukan bermakna terlibat dalam politik parti.

“Apa pun dalam politik, seperti kerjaya dalam akademik atau NGO, ia hanya platfom untuk perubahan. Tidak kisah apa pun saya terlalui tua untuk menjadikan politik sebagai kerjaya. Jika saya berumur 40 tahun ia berbeza tapi saya akan mencecah 53 tahun,” tambahnya.

Abdul Aziz terlebih dahulu digantung tugas dari UIA kerana mengkritik campur tangan Sultan Selangor dalam isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam negeri itu ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC).

Beliau dilaporkan memperhatikan kerusi Parlimen Sabak Bernam yang dipegang Abdul Rahman Bakri, yang dijangka akan dibicarakan pada Jun kerana didakwa membuat sembulan tuntutan palsu.

Pensyarah kontroversi ini berdepan dengan siasatan dalaman oleh UIA kerana mengkritik Sultan Selangor.

Selain itu Abdul Aziz juga disiasat polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. -TMI

[Video] Kemalangan Babitkan 40 Buah Kenderaan, 2 Maut & 61 Cedera

New orleans, Amerika Syarikat - Dua lelaki mati dan 61 lagi cedera kelmarin menjelang subuh dalam nahas yang melibatkan 40 buah kenderaan, kata polis.

Nahas yang turut melibatkan kereta dan van itu berlaku ketika pemandu memandu dalam keadaan kabus tebal yang membataskan penglihatan di sebuah lebuh raya menuju ke timur New Orleans.

Menurut beberapa orang yang melalui tempat kejadian, mereka mendengar mangsa yang terlibat dalam nahas tersebut meminta pertolongan.

"Anda baru mendengar semua bentuk panggilan dan orang ramai menjerit meminta pertolongan," kata seorang pemandu trak tunda, Wesley Ratcliff kepada stesen televisyen tempatan WWL-TV.

Menurutnya, dalam tempoh 13 tahun kerjayanya bertindak balas dengan nahas, kemalangan tersebut adalah yang paling buruk pernah dilihatnya.

Seorang jurucakap polis, Garry Flot tidak bercakap mengenai kemungkinan punca nahas.

Menurutnya, seorang mangsa yang mati itu merupakan pemandu sebuah trak pikap.

Dia berkata, seorang lagi mangsa yang mati ialah seorang penumpang sebuah trak pikap lain yang berusia 54 tahun.

Beberapa pemandu yang melalui lebuh raya itu ketika nahas menyatakan, mereka tiba-tiba berada dalam kegelapan dan tidak dapat melihat cahaya lampu kereta.

"Saya berpendapat ia kabus tetapi suami saya menganggap ia merupakan asap," kata seorang saksi, Stacie Williams kepada stesen televisyen WWL-TV. - Agensi/Kosmo



Kes Kematian Rozana Ditikam 35 kali: Tiga Pemuda Ditahan

Kekasih muda kena tahan

GOMBAK: Seorang remaja berusia 19 tahun dipercayai teman lelaki kerani bank yang dibunuh kejam minggu lalu ditahan semalam bersama dua lagi rakan bagi membantu siasatan kes itu.

CEKUP...tiga suspek ditahan seminggu bagi membantu siasatan.

Polis turut menemui komputer riba milik Rozana Mohd Yusak, 35, yang ditikam 35 kali dalam kejadian di rumah sewanya di Jalan Puncak Desa, Kepong di sini pada 22 Disember lalu.

Difahamkan, ketiga-tiga lelaki terbabit berusia 19 dan 20 tahun itu menjual komputer riba berkenaan kepada wanita yang dikenali mereka dengan harga RM600.

Menurut sumber, perbuatan kejam mereka ini terbongkar apabila polis Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak mengadakan serbuan berasingan di Pantai Dalam dan Kampung Datuk Keramat, malam kelmarin.

“Polis yang menemui bukti baru pembabitan ketiga-tiga lelaki terbabit termasuk seorang daripadanya adalah teman lelaki mangsa selepas penemuan pisau yang digunakan menikam Rozana.

“Difahamkan, pisau itu ditemui di dalam longkang berhampiran kediaman mangsa kelmarin,” katanya.

Sumber berkata, dalam serbuan pertama jam 8 malam, polis menahan teman lelaki mangsa berusia 19 tahun di sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Pantai Dalam bersama seorang lagi suspek berusia 19 tahun.

“Hasil serbuan pertama itu polis mengesan seorang lagi suspek di rumah di Kampung Datuk Keramat kira-kira jam 1 pagi. -hm




Rozana mati angkara samun

TIGA lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan Rozana berjalan keluar dari Mahkamah Majistret Selayang, Gombak semalam.

KUALA LUMPUR – Kes pembunuhan seorang kerani bank, Rozana Mohd. Yusak yang ditemui mati dengan 15 tikaman minggu lalu memasuki episod baharu apabila polis dapat menahan tiga lelaki semalam bagi membantu siasatan kes yang bermotifkan samun itu.

Suspek-suspek berusia di antara 19 dan 22 tahun itu ditahan dalam dua serbuan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, Lembah Pantai di sini manakala seorang lagi suspek diberkas di Kampung Dato’ Keramat.

Sumber memberitahu, siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek datang ke rumah Rozana untuk menyamun wang serta barangan peribadi mangsa pada hari kejadian.

Bagaimanapun, katanya, ketika itu hanya dua daripada suspek naik ke rumah mangsa manakala seorang lagi menunggu di bawah.

“Maklumat yang kita dapat mengatakan salah seorang suspek berumur 19 tahun yang merupakan teman lelaki mangsa bercadang mencuri wang serta komputer riba mangsa untuk dijual kepada rakannya yang berusia 22 tahun. Jenayah itu hendak dilakukan ketika mangsa sedang tidur.

“Bagaimanapun, mangsa yang tersedar cuba menghalang perbuatan teman lelakinya sebelum berlaku pergaduhan. Keadaan kemudian menjadi tegang menyebabkan salah seorang suspek menikam mangsa bertubi-tubi dengan pisau,” katanya. -kosmo


Laporan sebelum ini
klik untuk baca





[Video] Musnahnya Sebuah Sejarah Warisan Di Sura Jetty

Teluk Lipat – Pepatah Melayu mengatakan, ‘sekali ombak menghempas, sekali pantai berubah’, inilah realiti berlaku terhadap pantai peranginan Teluk Lipat yang menjadi kebanggaan warga Dungun susulan tragedi ombak besar sejak beberapa hari lalu yang disifatkan tsunami kecil itu.

Penduduk yang menyaksikan peristiwa itu bagaimanapun terpaksa akur dengan fenomena alam yang melumpuhkan hampir keseluruhan sistem lanskap sebagai penyeri kepada keinda-han pantai yang menjadi daya tarikan pelancongan di daerah ini sejak lebih suku dekad lalu.

Setiausaha Persatuan Sejarah Melayu Terengganu cawangan Dungun, Wan Mohd Rosli Wan Ngah menyifatkan, tragedi ombak besar itu sepatutnya menjadi iktibar kepada semua pihak untuk mengambil insiatif awal memelihara khazanah alam yang amat berharga agar tidak terus musnah sehingga boleh menjejaskan ekosistem, budaya serta tidak mustahil memberi kesan kepada ekonomi masyarakat tempatan.

Katanya, dalam konteks warisan, keaslian pantai Teluk Lipat atau nama sejarahnya Sura Jetty sudah lenyap dari pandangan dan tidak boleh dikembalikan semula biarpun usaha untuk memulihkannya semula dilakukan.

“Biarpun jutaan kos dikeluarkan untuk membentuk semula struktur landskap Teluk Lipat yang musnah akibat hakisan ombak itu, namun ia gagal mengembalikan nostalgia asalnya yang mempunyai nilai sejarah yang tinggi itu.

“Bagi mereka yang pernah menyaksikan peristiwa kegemilangan pelabuhan Sura Jetty, visual tersebut hanya satu kenangan dan sedikit sisa-sisa sejarah yang ada gagal disaksikan kerana kegagalan kita menyemalatkan warisan kita sendiri yang amat berharga ini,”katanya. -SH






Kes NFC: Ini Wayang Ke Apa? Boleh Tersenyum Girang Bila Kena Dakwa?

Datuk' didakwa menipu pengerusi NFC

Seorang ahli peniagaan didakwa bergelar "Datuk", hari ini mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan menipu pengerusi National Feedlot Corporation (NFC), Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail.

Shamsulbahrin Ismail, 45, didakwa mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Bagi pertuduhan pertama, Shamsubahrin didakwa menipu Mohamad Salleh iaitu dengan sengaja menjanjikan suatu perkhidmatan rundingan dan nasihat bertujuan memperdayakannya sehingga mendorong Mohamad Salleh bersetuju membayar wang perkhidmatan kepadanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Samsubahrin Resources Sdn Bhd itu didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Bukit Tunku di ibunegara pada jam 6 petang 20 November lepas.

Bagi pertuduhan kedua pula, Shamsubahrin didakwa menipu Mohamad Salleh dengan memperdayanya hingga mendorong Mohamad Salleh menyerahkan cek-cek berjumlah RM1.755 juta.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan Solaris, Mont Kiara, Kuala Lumpur pada 25 November hingga 6 Disember lepas.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Lelaki yang memiliki beberapa syarikat termasuk perkhidmatan limosin itu direman oleh polis dan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas ditahan pada 22 Disember.

Shamsulbahrin yang kelihatan ceria ketika dibawa ke mahkamah hari ini berdepan hukuman sebat, denda serta penjara antara satu hingga sepuluh tahun sekiranya didapati bersalah.

Tidak bayar jamin

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain menetapkan ikat jamin RM300,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh juga diarahkan untuk menyerahkan pasport beliau.

Ketua pengarah eksekutif Shamsulbahrin Ismail Resources Sdn Bhd itu tidak dapat membayar jaminan tersebut hari ini.

Mahkamah turut menetapkan kes berkenaan untuk disebut semula pada 31 Januari.

Tertuduh yang kini masih dalam siasatan polis – dilaporkan disiasat untuk 10 kes penipuan berasingan.

Peguam J Rao memohon supaya mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kerana aset tertuduh telah dibekukan mengikut Akta Pencegahan Rasuah 1997 pada 23 Disember.

Aset berkenaan juga mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 pada 27 Disember. -mk

Ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ didakwa menipu pengerusi NFC

Datuk Shamsubahrin Ismail keluar dari mahkamah sambil melambaikan tangan kepada media. — Foto oleh Jack Ooi

KUALA LUMPUR, 30 Dis — Seorang ahli perniagaan bergelar “Datuk” yang cuba memberi rasuah kepada pegawai kanan CCID semasa siasatan skandal Pusat Fidlot nasional (NFC) hari ini didakwa atas tuduhan menipu di Mahkamah Tinggi di sini.
Datuk Shamsubahrain Ismail dituduh menipu Pengerusi NFC Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail sebanyak RM1.76 juta sebagai bayaran rundingan untuk mendapatkan perkhidmatan penasihat.

Shamsubahrin didakwa dengan dua tuduhan menipu di bawah seksyen 420 Kanun Jenayah.

Beliau dikatakan melakukan kedua-dua kesalahan itu pada 20 November di sebuah restoran di Bukit Tunku dan antara 25 November dan 6 Disember di Solaris Mont Kiara, juga di Kuala Lumpur.

Jika sabit kesalahan Shamsubahrain boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Beliau mengaku tidak bersalah di atas kedua-dua pertuduhan itu.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain menetapkan ikat jamin sebanyak RM300,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan Shamsubahrain menyerahkan passportnya.

Kes ini akan disebut semula pada 21 Januari.

Shamsubahrain sebelum ini ditahan reman oleh polis kerana dikatakan cuba memberi rasuah kepada tiga hingga empat pegawai kanan CCID yang menyiasat skandal NFCorp.

Polis menyiasat NFCorp atas kesalahan pecah amanah berikutan dakwaan PKR bahawa syarikat itu menyalahgunakan dana jutaan ringgit yang diberikan kepada NFC.

Shamsubahrain, yang memiliki syarikat khidmat perunding dan syarikat teksi premium kemudiannya diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Agensi anti-rasuah itu telah mengumumkan akan menyiasat dakwaan terhadap NFCorp walaupun sebelum ini mengatakan tidak akan berbuat demikian.

SPRM turut merampas sebuah komputer dan beberapa dokumen semasa melakukan serbuan di ibu pejabat NFCorp di Solaris Mont Kiara.

PKR membangkitkan perkara itu selepas projek ternakan lembu bernilai RM250 juta yang dibiayai kerajaan — diuruskan Mohamad Salleh, suami kepada Datuk Seri Shahrizat Jalil — gagal mencapai sasaran pengeluaran dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Parti pembangkang juga turut membuat beberapa pendedahan berkaitan dengan skandal itu termasuk pembelian dua unit kondominium oleh NFC di Bangsar dan mendakwa syarikat itu menggunakan dana projek untuk perbelanjaan peribadi dan ke luar negara.

Ia juga mendakwa berlaku perpindahan wang ke syarikat yang tidak berkaitan dengan NFCorp di Singapura serta pembelian Mercedes-Benz CLS350 berharga RM534,622 dan dia lot tanah di Presint 10 Putrajaya bernilai RM3,363,507.

Pendedahan terbaru dibuat PKR Selasa lalu, menuduh sebanyak RM10 juta telah digunakan untuk pembelian seunit kondominium di Singapura untuk keluarga Shahrizat.

Shahrizat cuba mengelak daripada dituduh terlibar dengan mengatakan hanya beliau “satu-satunya isteri” pengerusi NFC dan tiada apa-apa kaitan dengan NFC.

Beliau turut berdepan dengan gesaan agar meletakkan jawatan sebagai menteri termasuk dari pemimpin Umno serta bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. -TMI


Ulasan GB

Pendakwaan yang dilakukan ke atas "Datuk" Shamsulbahrin Ismail sungguh menimbulkan prasangka dan pelbagai spekulasi dari rakyat.

Pertama, kerana tertuduh lansung tidak menampakkan sebarang riaksi takut, cemas atau resah sewaktu dibawa ke mahkamah, sebaliknya tersenyum girang malah boleh melambai-lambai tangan kepada pihak media sekalipun tangannya bergari. Sesuatu senario yang amat jarang berlaku terhadap mana-mana kes yang seumpama. Apakah skrip yang disediakan terlupa untuk mengarahkan "datuk" berkenaan supaya berlagak seperti orang salah?

Kedua, yang disuruh siasat oleh rakyat sebelum ini ialah suami Shahrizat, iaitu pengerusi National Feedlot Corporation (NFC), Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail. Tetapi lain pula yang disiasat dan orang lain pula yang didakwa. Shamsubahrin dikatakan menipu Mohamad Salleh iaitu dengan sengaja menjanjikan suatu perkhidmatan rundingan dan nasihat bertujuan memperdayakannya sehingga mendorong Mohamad Salleh bersetuju membayar wang perkhidmatan kepadanya dan didakwa menipu Mohamad Salleh dengan memperdayanya hingga mendorong Mohamad Salleh menyerahkan cek-cek berjumlah RM1.755 juta.

Seolah-olah kini polis dan SPRM bertindak bagi pihak NFC dan Mohamad Salleh dengan mendakwa dan membuat tuduhan kepada Shamsubahrin.

Shamsubahrin memang sudah ada rekod penipuan. Apakah beliau kini dipergunakan untuk menjadi "kambing hitam" bagi menyelamatkan NFC dan suami Shahrizat?

Tidak mengapa. Tuhan ada. Kita serahkan kepadaNya untuk mendedahkan kebenaran dan keadilan".

Allah itu Hakim Yang seadil-adilnya. Justeru perbanyakkanlah berdoa seperti yang selalu GB nukilkan di blog ini:

Kita sebagai rakyat terbanyak hanya mampu terus berdoa kepada Allah s.w.t.

اللهُمَّ أَرِنَا الحَقَّ حَقّاً وَارْزُقْنَا التِبَاعَةَ
وَأَرِنَا البَاطِلَ بَاطِلاً وَارْزُقْنَااجْتِنَابَهُ

1) Allahumma arinaal haqqa haqqaan, warzuqnattiba’ah,
wa arinaal bathila bathilaan, warzuqnajtinaabah


Ya Allah, tunjukkanlah yang haq itu sebagai haq, dan kurniakanlah kami kekuatan utk mengikutinya, dan tunjukkanlah yg batil itu sebagai batil dan kurniakanlah kami kekuatan untuk menjauhinya.

رَّبِّ أَدْخِلْنِي مُدْخَلَ صِدْقٍ وَأَخْرِجْنِي مُخْرَجَ صِدْقٍ
وَاجْعَل لِّي مِن لَّدُنكَ سُلْطَاناً نَّصِيراً
وَقُلْ جَاء الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقاً

2) Rabbi adkhilni mudkhala sidqin wa akhrijni mukhraja sidqin waj'alli min ladunka sulthanan nashiran wa qul ja alhaqqu wa zawaqal bathil innal bathila kaana zahuuqa

Ya Allah, masukkanlah kami dengan cara yang benar dan keluarkanlah(pula) kami dengan cara yang benar dan berikanlah kepada kami dari sisi-Mu kekuasaan yang menolong. Dan katakanlah yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap.

Kebenaran tetap akan menang mengalahkan kebatilan sepertimana janjiNya:


Firman Allah bermaksud,

Katakanlah : Telah datang yang haq (kebenaran) dan telah lenyap yang batil atau yang palsu. Sesungguhnya yang batil itu pasti lenyap. (Al Israa' 81)

Kebimbangan rakyat nampak nya
semacam menjadi kenyataan

klik untuk baca