20 Nov 2009

Apa Masalahnya Pilihanraya Kecil Di Kota Siputeh?

Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) akan membuat keputusan Isnin ini berhubung permohonan penangguhan yang difailkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap keputusannya pada 16 Nov yang mengisytiharkan kerusi DUN Kota Siputeh sebagai kosong.

Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin menetapkan tarikh itu selepas mendengar penghujahan panjang lebar daripada Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaluddin Md Said, yang mewakili SPR, dan Sulaiman Abdullah, peguam bagi Speaker DUN Kedah Datuk Dr Abdul Isa Ismail.

SPR memfailkan permohonan itu pada 17 Nov selepas Alizatul mengisytiharkan kerusi DUN itu kosong dan memutuskan bahawa Datuk Abu Hassan Sharif bukan lagi wakil rakyat kawasan berkenaan selepas gagal menghadiri persidangan DUN dua kali berturut-turut tanpa kebenaran.

Pada 1 Sept, Dr Abdul Isa memfailkan semakan kehakiman selepas SPR menerima sijil cuti sakit Abu Hassan berikutan ketidakhadirannya dalam persidangan DUN serta mengisytiharkan bahawa tidak berlaku kekosongan bagi kerusi itu dan wakil rakyat BN itu masih merupakan ADUN kawasan berkenaan.

Di samping permohonan penangguhan, SPR dan Abu Hassan turut memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Dalam keputusan bersejarah itu, Alizatul Khair turut mengarahkan SPR supaya mengadakan pilihan raya kecil bagi kerusi berkenaan.

Dalam penghujahannya, Kamaluddin memberitahu mahkamah bahawa jika permohonan penangguhan itu ditolak, ia akan membawa kepada satu lagi pilihan raya kecil yang membabitkan banyak wang dan SPR telah pun membelanjakan RM200,365 pada pilihan raya umum lepas di DUN Kota Siputeh sahaja.

"Ia merupakan pembaziran wang pembayar cukai selain akan mengakibatkan ketidakadilan yang sangat besar kepada suruhanjaya berkenaan,"
tegas Kamaluddin.

Beliau menggesa mahkamah supaya menggunakan kebijaksanaannya dalam membenarkan penangguhan itu atas dasar terdapat keadaan khas dalam permohonan itu di mana terdapat kemungkinan dua wakil rakyat bagi kerusi berkenaan sekiranya mahkamah membenarkan rayuan SPR selepas pilihan raya kecil itu.

Beliau berkata selain SPR, agensi kerajaan lain akan turut terbabit dalam pilihan raya kecil itu dan mereka terpaksa menanggung perbelanjaan sendiri.


Ulasan GB

Di dalam soal menegakkan kebenaran dan keadilan, sepatutnya tidak boleh ditimbulkan soal SPR terpaksa menanggung perbelanjaan untuk mengadakan pilihanraya kecil atau perbelanjaan yang telah dikeluarkan untuk pilihanraya-pilihanraya kecil yang telah berlansung sebelumnya.

Wang itu adalah dari rakyat yang membayar cukai yang mengharap SPR menjalankan tugas dengan adil. Ia bukan wang milik UMNO, BN, SPR, Datuk Sri Najib, Tan Sri Muhyiddin, Tan Sri Gani Patail, Tan Sri Yusof, Datuk Wn Ahmad, jauh sekali milik Peguam Kamaluddin.

Jadi apa masalahnya memenuhkan kehendak rakyat yang menuntut keadilan ditegakkan apatah lagi setelah Mahkamah Tinggi sendiri sudah memutuskan kerusi Kota Siputeh itu sudah kosong?

Dan mengapa terlalu ketara SPR membuat rayuan bagi pihak UMNO BN? Di mana integriti dan kredibiliti SPR sebagai sebuah badan bebas?

Era Najib Altantuya : Wajar SPRM Soal Siasat Waktu Pejabat Sahaja

Rakyat menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) semalam bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia tidak boleh lagi menyoal saiasat saksi selepas waktu pejabat.

Menyifatkan keputusan berkenaan sebagai tindakan wajar, mereka berpendapat tindakan SPRM menyoal siasat saksi melebihi waktu pejabat merupakan tekanan ke atas individu berkenan.

"Bagi saya baguslah perkara tersebut dibuat.Elok sangatlah,kalau nak buat soal siasat pada waktu malam tidak sesuai dengan keadaan mental yang berserabut memikirkan banyak urusan,dan perkara-perkara yang lebih penting dan eloklah waktu yang selesa untuk bersoal jawab,kata Syukri Mohamad.

"SPRM tidak boleh menyoal orang ramai selepas waktu kerja kerana selepas waktu kerja ia sudah tidak ada kena mengena dengan hal kerja.Waktu pejabat dalam pukul 8 pagi hingga 5.00 petang,jadi selepas pukul 5.00 petang bukan lagi dalam waktu kerja.Dan sudah menjadi kebiasaan pekerja akan balik dan menghabiskan masa bersama keluarga.Jadi saya sokong tindakan yang dibuat,"jelas Saravana.

"Saya rasa elok sangatlah dibuat begitu, jangan disoal orang sampai ditengah malam,mereka akan akan tertekan dan sepatutnya dari dulu lagi langkah-langkah seperti ini dibuat,biarlah dalam waktu pejabat,"kata Halim Khalid.

"Ikut keadaan dan waktu yang sesuai sebab bila waktu malam dalam waktu tidur agak susah bagi orang hendak mengingati semua perkara dalam satu masa, sebaiknya biarlah pada waktu pejabat,"jelas Mazudin Abd Muit.

Mahkamah Tinggi semalam mengisytiharkan penahanan Tan Boon Wah oleh SPRM lebih dari waktu pejabat iaitu 15 Julai jam 9.45 pagi hingga jam 2.53 pagi keesokan harinya adalah salah.

Mahkamah juga memutuskan SPRM tidak boleh lagi menyoal siasat saksi selepas waktu pejabat seperti yang diamalkan sebelum ini.

Keputusan itu dibuat berikutan pendedahan mendiang Teoh Beng Hock disoal siasat sepanjang malam sehingga awal pagi sebelum di jumpai mati di perkarangan ibu pejabat SPRM Selangor di Shah Alam 16 Julai lalu.

Hakim Mohamad Ariff Md. Yusof dalam penghakiman bersejarah itu berkata, tindakan menahan seorang saksi untuk disoal siasat menjangkaui waktu pejabat adalah satu penahanan secara salah di sisi undang-undang.

Sehubungan itu Boon Wah berhak menerima ganti rugi terhadap penahanannya itu.-TVS


Era Najib Altantuya : Pemimpin PR Sokong Tindakan Mahkamah Tinggi

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam memutuskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak dibenarkan membuat siasatan waktu malam mendapat respon positif dari kalangan pemimpin Pakatan Rakyat.

Rata-rata yang ditemui menyokong tindakan itu dan dilihat ia sebagai pengajaran kepada SPRM untuk mengikut undang-undang yang telah ditetapkan.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, SPRM sepatutnya terlebih dahulu jelas tentang perkara ini kerana menyiasat pada waktu tidak wajar.

“Inilah yang sewajarnya, SPRM ini menyiasat tentang kes memberi rasuah, bukan penjenayah…mereka tidak mempunyai orang dan logistic untuk menjaga keselamatan orang itu, jadi memang sungguh wajarlah keputusan itu.

Sekurang-kurangnya ia membuka mata kepasa SPRM supaya mereka tidak over power melampaui kuasa dalam sesuatu bidang.

Manakala Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar menyifatkan keputusan mahkamah tinggi adalah terbaik.

Dengan ini katanya, SPRM akan lebih jelas tentang kuasanya yang tidak boleh melebihi kuasa undang-undang yang telah ditetapkan.

“Memang ini satu keputusan yang baik , masyarakat umum pun terima ini dengan baik.

“SPRM memang telah langgar undang-undang dia jalankan tugas sebagai satu agensi persendirian macam tiada undang-undang yang perlu diikut dari mana, dan ini adalah ajaran yang baik untuk SPRM ikut undang-undang yang ada,” katanya.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu turut menyokong penuh keputusan ini kerana SPRM tidak patut memaksa saksi disiasat sehingga lewat malam.

“Itu merupakan satu objektif atau apa yang kita suka untuk mencapai selepas kematian mendiang Teoh Beng Hock, kita negeri Selangor rasa tidak baik atau tidak sihat jikah saksi dipaksa disiasat sampai tidak patutlah,” katanya. -TVS



Era Najib Altantuya : Air Percuma, Pengiktirafan Utk Selangor

Tidak sampai 2 tahun mentadbir Kerajaan Negeri Selangor, pentadbiran Pakatan Rakyat di bawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sekali lagi mendapat pengiktirafan.

Ironinya kali, pengiktirafan berkenaan diberikan oleh Kerajaan Negeri Johor di bawah pimpinan Barisan Nasional yang ternyata cuba menggunapakai pendekatan pemberian air percuma kepada rakyat oleh Pakatan Rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Caves, Amirudin Shari menyambut baik tindakan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan menggapnya sebagai satu pengiktirafan kepada Kerajaan Negeri Selangor walaupun Barisan Nasional berulang kali menafikan kebaikan langkah berkenaan.

“Idea ini tidak pernah keluar ataupun tidak pernah timbul sebelum kerajaan negeri memberi air 20 meter padu pada rakyat. Bagi saya ia perkara tidak jujurlah, tiru tapi tidak mahu mengaku perkara itu sesuatu yang baik. Bagi saya, saya alu-alukan sebab ini satu pengkiktirafan kepada kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pengumuman Ghani Othman ketika membentangkan Bajet Johor 2010 pada persidangan DUN di Nusajaya semalam bahaw Syarikat Air Johor (SAJ) akan memperkenalkan skim pemberian rebat kepada keluarga miskin tegar dan miskin bagi meringankan beban golongan berkenaan.

Ghani berkata golongan miskin tegar akan menerima rebat bil air sehingga 20 meter padu pertama atau RM12 manakalan keluarga miskin pula akan menerima rebat sehingga 10 meter padu pertama atau RM4.

Sementara itu, ADUN Subanga Jaya, Hannah Yeoh berkata tindakan berkenaan memperlihatkan kerajaan Barisan Nasional mula mengakui pemberian air percuma secara tidak langsung dapat meringankan beban rakyat.

“Ini adalah satu inisiatif di mana kerajaan Barisan Nasional telah nampak ini adalah satu langkah yang membina untuk membantu mereka khasnya rakyat biasa disebabkan tanggungang hidup yang semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata tindakan Ghani ini juga merupakan satu penafian terhadap dakwaan pembangkang di Selangor bahawa program pemberian airt ini tidak dapat membantu rakyat.

“Ini juga merupakan satu penafian terhadap cabaran daripada ADUN pembangkang dalam Dewan Negeri Selangor yang mereka mengatakan langkah ini sebagai tidak membantu rakyat.

“Tapi hari ini kita lihat kerajaan yang ditadbir Barisan Nasional sendiri telah menggunakan cara yang sama dengan Pakaran Rakyat dan saya yakin ini merupakan satu langkah yang bagus dan baik untuk rakyat,” katanya.

Sehubungan itu beliau meminta kerajaan pusat mempercepatkan usaha rundingan berkaitan pengambilan semula urus tadbir air yang dibuat Kerajaan Selangor.

“Sekarang yang lebih kita utamakan untuk Selangor kita mahu supaya pentadbiran industri air dikembalikan kepada kerajaan negeri untuk memastikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat di Selangor,” katanya. -TVS



Era Najib Altantuya : Mahkamah Benarkan Penduduk Bkt Gasing Cabar Perintah Datuk Bandar

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan sebuah syarikat pemaju hari ini gagal untuk menghalang 108 penduduk Bukit Gasing daripada mencabar satu perintah pembangunan daripada Datuk Bandar Kuala Lumpur berhubung projek pembangunan lereng bukit di kawasan berkenaan.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Paduka Zaleha Zahari dan Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus, menolak rayuan DBKL dengan majoriti 2-1, manakala Hakim KN Segara pula menentang.

Dalam keputusan lisannya, Hakim Zaleha berkata selepas meneliti hujah kedua-dua pihak, rayuan pemohon ditolak.

DBKL dan pihak pemaju, Gasing Meridian Sdn Bhd (GMSB), mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 24 April, dalam memberikan kebenaran untuk semakan kehakiman bagi membatalkan perintah Datuk Bandar.

GMSB adalah pemaju yang terbabit dalam pembangunan Sanctuary Ridge Kuala Lumpur City, iaitu projek pembinaan 68 banglo di tapak seluas 15.5 hektar di Bukit Gasing.

Peguam R Sivarasa dan Derek Fernandez yang mewakili penduduk, memberitahu media bahawa penduduk seharusnya mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat memandangkan kemungkinan berlaku runtuhan tanah yang menjejaskan nyawa dan harta benda mereka yang tinggal berhampiran bukit itu.

Fernandez berkata, tarikh perbicaraan untuk semakan kehakiman belum ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi berikutan rayuan itu.

Romesh Abraham hadir bagi pihak DBKL dan Datuk RR Sethu pula bagi pihak GMSB.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, dalam perintah bertarikh 2 Oktober 2008 yang dikeluarkan kepada GMSB, membenarkan pemaju menjalankan kerja-kerja tanah dan sub-bahagian di kawasan berkenaan.

Dalam permohonan kebenaran itu, penduduk menamakan DBKL dan GMSB sebagai defendan.

Penduduk mendakwa Datuk Bandar gagal mengambil kira bahawa mereka mempunyai hak di bawah undang-undang lazim untuk diberikan notis terlebih dahulu dan diberikan peluang menyuarakan pendapat dalam proses membuat keputusan perancangan itu.

Mereka berkata Datuk Bandar telah bertindak bertentangan dengan dasar dan maksud Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982. - Bernama .

Era Najib Altantuya : SPRM Digesa Siasat Dokumen Rasuah DBKL

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng hari ini ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia cawangan Kuala Lumpur untuk memfailkan laporan berhubung dua dokumen rasuah misteri yang dihantar ke pejabatnya Khamis lalu.

“Seseorang yang tidak dikenali menyerahkan dua dokumen ini di pejabat saya. Waktu itu saya berada di parlimen. Apabila saya kembali ke pejabat, saya membaca dokumen tersebut. Dan ianya adalah projek di bawah DBKL" ujarnya di hadapan bangunan SPRM Kuala Lumpur.

Berdasarkan kepada dokumen ini, Lip Eng berkata kedua-dua dokumen tersebut mencatatkan nama dua syarikat yang berbeza tetapi apa yang mencurigakan adalah dua entiti ini mengendalikan satu projek yang sama.

Meskipun hanya dibezakan dengan fasa satu dan fasa tiga, namun kedua-dua bill of quantity yang diterimanya mencatatkan persamaan termasuk tarikh kelulusan, lokasi, deskripsi kerja dan dan jumlah pembayaran adalah sama.

Projek bernilai 95 ribu ringgit setiap satu ini dijadualkan bermula 15 Januari 2009 dan siap pada 5 Mac 2009.

Kedua-dua tarikh untuk fasa pertama dan ketiga yang terdapat dalam dokumen tersebut adalah sama.

“Ianya adalah untuk membaik pulih tanah runtuh dan longkang di Jalan Gallagher Bukit Tunku Kawasan Parlimen Segambut”.

Mengambil langkah selamat, Lip Eng telah turun ke Jalan Gallagher untuk melihat sendiri sama ada terdapat kerja membaik pulih tanah runtuh dan longkang di jalan tersebut.

Namun lokasi tersebut tidak menunjukkan sebarang aktiviti baikpulih. “ Kesemua dokumen yang saya berikan kepada anda termasuk kertas tempahan kerja, sebut harga, pembayaran, kuantiti dan deskripsi kerja, setiap muka surat adalah sama" katanya. -TVS



Era Najib Altantuya : Keputusan Mahkamah Bangkit Kesedaran Rakyat

Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Tan Boon Wah menyambut baik keputusan yang dibuat Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) semalam.

Menurutnya, keputusan berkenaan sekali gus merupakan satu titik tolak kepada kesedaran rakyat dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa suruhanjaya itu tidak mempunyai kuasa menyoal siasat saksi selepas waktu pejabat.

“Saya rasa lega hakim memutuskan SPRM tidak ada hak menyoal siasat selepas waktu pejabat.

“Keputusan mahkamah semalam adalah untuk kesejahteraan semua rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai keputusan Mahkamah Tinggi semalam mengisytiharkan penahanannya oleh SPRM lebih dari waktu pejabat iaitu 15 Julai jam 9.45 pagi hingga jam 2.53 pagi keesokan harinya adalah salah.

Mahkamah juga memutuskan SPRM tidak boleh lagi menyoal siasat saksi selepas waktu pejabat seperti yang diamalkan sebelum ini.

Keputusan itu dibuat berikutan pendedahan mendiang Teoh Beng Hock disoal siasat sepanjang malam sehingga awal pagi sebelum di jumpai mati di perkarangan ibu pejabat SPRM Selangor di Shah Alam 16 Julai lalu.

Hakim Mohamad Ariff Md. Yusof dalam penghakiman bersejarah itu berkata, tindakan menahan seorang saksi untuk disoal siasat menjangkaui waktu pejabat adalah satu penahanan secara salah di sisi undang-undang.

Sehubungan itu Boon Wah berhak menerima ganti rugi terhadap penahanannya itu.

Mengulas mengenai ganti rugi yang bakal diterinya, Boon Wah berkata ia bukanlah tujuan utamanya untuk memfailkan pemula berkenaan, sebaliknya mahu perkara yang berlaku ke atasnya tidak berulang kepada mana-mana pihak.

“Sebab saya memfailkan kes ini adalah bertujuan untuk mengelakkan perkara disoal siasat pada waktu malam tidak akan berlaku lagi.

“Pada masa saya disoal siasat pada tengah malam 15 hingga 16 Julai sehingga jam 2 lebih, saya rasa tindakan berkenaan seperti melanggar hak asasi manusia kerana saya rasa mereka tidak layan saya seperti seorang manusia,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai dirinya yang berhak menerima ganti rugi, Boon Wah berkata perkara itu tidak menjadi keutamaannya sebaliknya menyerahkan kepada pihak terlibat.

Katanya gangti rugi yang diberi tidak akan dapat menebus tekanan yang ditanggung sewaktu disoal siasat SPRM dalam masa yang panjang melebihi waktu pejabat. -TVS


Era Najib Altantuya : Kerajaan Disaman RM105juta

Keluarga ketiga-tiga mangsa yang terbunuh dalam tragedi jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang pada 26 Oktober lalu hari ini memfailkan saman berjumlah RM105 juta terhadap kerajaan dan 10 yang lain di Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat.

Responden yang lain terdiri daripada, Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri Perak,SJK (T) Mambang Diawan, SJK (T) Gopeng, GS Synergy Sdn Bhd (pihak yang menaja pembinaan jambatan), CWL Enterprise (kontraktor) dan pihak yang terlibat.

Menurut peguam yang mewakili keluarga mangsa, A. Sivanesan, ayah ketiga-tiga keluarga mangsa itu akan mengemukakan saman bernilai Rm35 juta bagi setiap pihak yang terlibat dengan jumlah keseluruhan saman itu berjumlah RM105 juta kerana didakwa berlaku kecuaian daripada pihak yang terlibat dalam tragedi yang berlaku pada 26 Oktober lalu.

Oktober lalu, tiga pelajar sekolah rendah yang menghadiri kem 1Malaysia, N. Dina Deve and M. Devatharshini, kedua-duanya berusia 11 tahun dan V. Divyashree, 12, ditemui mati lemas selepas jambatan gantung yang dilalui di tapak perkhemahan mereka tiba-tiba runtuh ke dalam Sungai Kampar.

Bagaimanapun, tindakan pantas pihak penganjur berjaya menyelamatkan 19 orang pelajar yang turut sama tenggelam dalam kejadian malang itu.

Dua buah jawatankuasa telah ditubuhkan bagi menyiasat tragedi malang berkenaan, satu di bawah Kementerian Pelajaran dan satu lagi jawatankuasa ditubuhkan oleh Pakatan Rakyat Negeri Perak.

Jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Kementerian Pelajaran akan mengumumkan hasil siasatan yang dijalankan berhubung insiden berkenaan dalam tempoh terdekat ini.

Sementara itu, jawatankuasa yang diwujudkan oleh Pakatan Rakyat negeri mendakwa jambatan gantung itu runtuh kerana didakwa menggunakan bahan binaan yang tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan dan dua orang guru yang sepatutnya menyelia perjalanan kem tersebut tidak hadir pada hari kejadian. -MSTAR

Era Najib Altantuya : Mengapa Kita Bermasalah Seperti Ini?

Cerita manusia sememangnya kompleks, rencam dan pelbagai. Hanya kadang-kadang ia kelihatan mudah dan simpel. Sewaktu ia mudah dan simple itu memang ia seperti tidak ada masalah. Tetapi sewaktu-waktu tertentu ia akan muncul dengan wajah yang kusam, rumit, penuh bermasalah dan seperti tidak ada penyelesaian. Ketika itu yang diperlukan adalah kebijakasanaan.

Apabila sesuatu itu memerlukan penilaian, kita pun sering juga menjadi terkejut mendapati kawan-kawan yang kita anggap selama ini kita mengenalinya tiba-tiba membuat sesuatu yang di luar dugaan kita sama sekali. Ah, kenapa dia bersikap begitu? Apakah dia tidak faham, tidak kenal, ataupun kita yang tidak kenal dia?

Makanya bagaimana?

Kita menjadi serba salah dan serba tidak kena apabila kedua-dua pihak yang berkelahi itu adalah kawan kita. Sebahagian daripada kawan-kawan kita yang lain pula menyebelahi di satu pihak, manakala sebahagian lagi kawan-kawan kita juga, menyebelahi pihak yang satu lagi. Ah, mana satukah yang berada di pihak yang benar?

Kedua-dua pihak mempunyai cerita masing-masing dengan versi masing-masing, yang menyokong bahawa tokoh di pihak mereka adalah yang benar. Maka di sini kita amat mengharapkan kebijaksanaan seseorang untuk dapat mengambil tindakan yang tepat, bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Apabila di situ terlibat pula seorang tokoh pemimpin yang kita hormati, yang kita harapkan kebijaksanaan kepimpinannya dapat diteruskan untuk suatu tempoh lagi, dan permasalahan yang rumit itu rupa-rupanya akan menjejaskan ketokohan pimpinan dan kemuliaan peribadinya – apakah yang menyebabkan kita menjadi bimbang dan risau sebenarnya?

Kita bimbang dan risau memikirkan kalau-kalau tokoh pemimpin yang kita sayang itu akan menjadi mangsa ketidakfahaman orang terhadapnya, atau menjadi mangsa konspirasi jahat pihak yang memusuhinya, atau kita bimbangkan dia menerima akibat daripada tindakannya sendiri yang telah tersilap? Maksudnya kita juga percaya bahawa tokoh pemimpin yang kita hormat dan sayang itu pun ada kemungkinan telah berbuat silap dalam tindakan kepimpinannya.

Masakan tidak! Sedangkan tokoh sebesar Ali bin Abi Talib dan Usman bin ‘Affan pun harus menempuh saat-saat yang rumit dan pilu dalam kehidupan mereka sebagai pengganti Rasulullah saw memimpin umat Islam, dan mereka pun pernah membuat tindakan yang dipersalahkan oleh umat di zamannya, seperti yang digambarkan oleh sejarah kepada kita, ‘kan!

Dan dalam masa yang sama kita pun mengharapkan juga ada kebijaksanaan yang akan dizahirkan oleh sang tokoh kita, dalam situasi yang rumit itu, agar keadaan yang kacau-bilau itu pun dapat diselesaikan secara yang berhikmah, dan itu akan dapat membuktikan bahawa kewibawaanya sebagai pemimpin pun masih utuh.


Jadinya bagaimana?

Memang rumit, sulit dan payah, seolah-olah seluruh organisasi dan institusi boleh rosak dan hancur. Namun orang yang bijaksana sentiasa dapat melihat jalur cahaya yang menunjuk ke arah penyelesaian. Cuma kadang-kadang proses yang perlu diikut itu, dan implikasinya juga, kelihatannya tidak seperti yang diharapkan oleh kebanyakan orang.

Dan akhirnya kita pun perlu bertanya – apakah sebenarnya yang kita harapkan? Khusus dalam situasi rumit dan kompleks atau kemelut yang sedang dihadapi ini – apakah sebenarnya yang kita harapkan? Dan apakah harapan kita itu pun semuanya sama? Atau harapan kita pun sebenarnya berbeza-beza?

Maka akan berterusanlah… hal yang sama akan berulang-ulang dan menjadi sejarah lagi. Maka orang pun berpesanlah supaya belajarlah dari sejarah. Dan orang juga berkata bahawa manusia tidak mahu belajar dari sejarah. Dan begitulah akan terjadi apa-apa yang terjadi.

Yang namanya kehidupan ini memang beginilah ia. Segala-galanya. Hanya kita yang tidak tahu bilakah giliran kita untuk sesuatu yang tidak kita duga dan tidak kita suka itu. Padahal di dalam al-Quran cukup banyak ingatan yang mengatakan bahawa hidup kita ini sentiasa akan diuji, bahawa Tuhan tidak akan membiarkan manusia itu bebas begitu sahaja tanpa diuji oleh-Nya. Bahkan Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul pun tidak terkecuali.

Maka marilah kita masing-masing kembali kepada diri kita, dan mengambil serta memberi sedikit masa untuk kita mengenali diri kita sendiri. Sewaktu kita sedang menuduh sipolan itu berdengki dan berdendam misalnya, apakah di dalam diri kita sendiri tidak ada sedikit pun rasa dengki dan dendam terhadap orang?

Sewaktu kita sedang menuduh sipolan dan sipolan itu tidak ikhlas dalam perjuangan dan sebaliknya lebih mengutamakan kepentingan diri, apakah diri kita sendiri cukup ikhlas berjuang tanpa mengharapkan apa-apa pun untuk kepentingan diri? Dan sewaktu kita suka membuat komplen itu dan ini kepada orang itu dan orang ini, sempatkah kita melihat kepada diri kita sendiri apakah kita sudah melaksanakan apa-apa yang kita harapkan dilaksanakan oleh orang itu dan orang ini?

Barangkali tulisan saya kali ini agak lain sedikit warna dan bunyinya ya? Tak tahulah, saya pun tiba-tiba seperti terlihat begitu banyak sekali hal-hal yang boleh menyebabkan umat atau jemaah kita menjadi lemah dan mundur, padahal baru saja tadi kita sudah berada di landasan yang sedang membawa kita menuju kepada suatu kemenangan besar tidak lama lagi.

Kenapa tiba-tiba kita harus bermasalah seperti ini? Tidak bolehkah kita mencari persefahaman sesama jemaah sendiri? Ketika jemaah semakin membesar sekarang tidak bolehkah kita meningkatkan kewaspadaan, dengan menjalani tarbiyah dan latihan-latihan yang perlu?

Berpeganglah pada tali Allah dengan sekuat-kuatnya, dan janganlah pernah kita lupa pada pesan al-Quran, bahawa Allah tidak akan membiarkan kita hidup bebas begitu sahaja tanpa diuji oleh-Nya. Dan bahawa syaitan itu tidak ada lain kerja mereka melainkan sentiasa berusaha untuk menyesatkan dan menyelewengkan manusia dari landasan diri yang sebenar (siraatal mustaqiim). -Dinsman

Era Najib Altantuya : Sememangnya SPR Bertindak Di Luar Bidangkuasanya!

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 16 November lalu mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Kota Siputeh Kedah. Keputusan tersebut dibuat apabila mahkamah berjaya membuktikan Adun kawasan itu, Dato' Abu Hassan Sarif, telah tidak hadir dua kali sidang berturut-turut tanpa kebenaran Speaker. Bagaimanapun, SPR dilihat melangkaui kuasanya dan membuat rayuan melalui Peguam Negara. Wartawan, NYZA AYOB mendapatkan butiran lanjut mengenai kes ini dari peguam Hanipa Maidin.

Apakah bidang kuasa SPR dalam memutuskan kekosongan kerusi di Dun Kota Siputeh berbanding Speaker?

HANIPA MAIDIN: Mahkamah pada 16 November lalu memutuskan SPR telah tersilap apabila menolak keputusan Speaker yang menyatakan kerusi Dun Kota Seputeh yang disandang Dato' Abu Hassan Sarif. Mahkamah mengatakan pihak Speaker telah membuktikan tiga elemen di bawah Artikel 51 Perlembagaan Negeri Kedah iaitu pertamanya, kerusi Dun itu boleh diisytiharkan kosong jika berlaku ketidakhadiran seseorang Adun sebanyak dua kali berturut-turut dan ketidakhadiran itu tanpa kebenaran pihak Speaker.

Dalam kes ini, Adun tersebut telah gagal hadir ke Sidang Dun Kedah pada 19 April 2008 dan pada 9 Ogos 2009. SPR ketika menolak keputusan Speaker itu mengatakan dua kali berturut-turut itu mestilah dalam penggal yang sama.

Maknanya, SPR menyatakan sebelum satu-satu kerusi diistiharkan kosong mestilah Adun itu gagal hadir dua kali mesyuarat Sidang Dun pada sesi atau penggal yang sama. Mahkamah menolak sebab Artikel 51 Perlembagaan Negeri Kedah itu sudah jelas dan tidak ada menyebut ketidakhadiran dalam sesi yang sama.

Jadi, mahkamah mengatakan SPR telah bertindak di luar bidang kuasanya. Yang kedua, ketika SPR menolak keputusan Speaker, SPR juga berhujah bahawa Speaker telah tersilap kerana tidak menerima Sijil Cuti Sakit (MC) yang dikemukakan Abu Hassan.

Mahkamah sekali lagi mengatakan, semasa menerima alasan tersebut di bawah bidang kuasa Speaker dan budi bicaranya secara betul tidak menerima alasan Sijil Cuti Sakit itu kerana walaupun kata Abu Hassan beliau tidak dapat hadir pada 9 Ogos serta mendapat cuti pada 9 dan 10 Ogos, tetapi Speaker telah berjaya membuktikan ketika beliau mengatakan 10 Ogos itu beliau sakit, beliau telah menghadiri satu program menyampaikan bantuan kepada rakyat.

Bagaimana mana bukti itu diketahui?

Bukti itu dapat dilihat dalam bentuk gambar dan disiarkan dalam akhbar Sinar Harian. Jadi mahkamah memutuskan Speaker telah menggunakan budi bicaranya secara betul. Mana mungkin jika orang itu sakit dua hari berturut-turut tapi pada 10 Ogos itu dapat hadir pada satu majlis.

Apa hujah yang ketiganya?

Yang ketiga, mahkamah juga memutuskan hujah SPR yang mengatakan kes ini perlu dirujuk terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Adun tidak timbul. Jadi, hujah itu meleset kerana ketidakhadiran seseorang Adun itu bukan isu hak istimewa.

Mahkamah juga menyatakan dalam peraturan mesyuarat atau Standing Order Sidang Dun Kedah menyatakan tidak ada peruntukan perkara itu kewajipan untuk pihak Speaker yang mewakili Dun untuk merujuk perkara itu kepada Jawatan Kuasa Hak dan Keistimewaan.
Jadi berdasar mahkamah menolak ketiga-tiga hujah itu, mahkamah memutuskan kerusi Dun itu diisyhtiharkan kosong.

SPR membuat rayuan di Mahkmah Tinggi. Apakah tindakan SPR ini seolah-olah mewakili Barisan Nasional?

Daripada segi undang-undang apabila SPR disaman dan kalah dalam kes tersebut, memanglah SPR berhak untuk membuat rayuan dan diwakili Jabatan Peguam Negara. Mana-mana pihak boleh merayu.

Speaker kalah pun dia boleh merayu. Cuma kita berasakan kalau SPR betul-betul tidak memihak, kita adakan pilihan raya kerana mahkamah memutuskan SPR tidak betul. Bagaimanapun, kita menghormati hak mereka untuk merayu sebab itu ada dalam undang-undang.

Tetapi dalam masa yang sama, perintah yang diberikan mahkamah itu tidak menggantung keputusan yang dibuat. SPR seharusnya akur dengan keputusan itu dengan mengadakan pilihan raya dalam masa 60 hari selepas tarikh keputusan mahkamah 16 November dan dalam masa empat hari selepas keputusan tersebut mengeluarkan writ (pemberitahuan) pilihan raya. Kecuali keputusan mahkamah itu digantung. Setakat ini (17 November) tidak ada.

Adakah kes ini merupakan kes yang pertama berlaku dan adakah ia mempunyai persamaan dengan kes yang berlaku di Perak?

Ini merupakan kes kali pertama mahkamah memutuskan apabila seseorang Adun itu gagal hadir dalam Sidang Dun. Daripada kes itu, itu merupakan kes pertama. Ia berbeza dengan kes di Perak. Kes ini boleh dikatakan kes pertama melibatkan perlembagaan negeri yang mana kerusi Dun itu disahkan kosong disebabkan ketidakhadiran Adun dalam Sidang Dun.

Kes di Perak melibatkan perletakan jawatan. Memang dalam peruntukan undang-undang apabila seseorang itu letak jawatan, kerusinya adalah kosong. Isunya, adalah siapa yang menentukan perletakan jawatan itu sah atau tidak sah.

Dalam kes di Perak itu, macam mana?

Dalam kes di Perak, SPR yang berkuasa menentukan kerusi itu kosong atau tidak. Dalam kes Kota Siputeh ini, mahkamah memutuskan SPR juga mempunyai kuasa menentukan Dun Kota Seputeh itu kosong atau tidak.

Tapi mahkamah mengatakan walaupun itu di bawah kuasa SPR, SPR telah melampaui kuasanya. Sebab, Speaker telah membuat keputusan berdasarkan undang-undang tetapi SPR mentafsirkan bercanggah dengan perlembagaan itu.

Jadi SPR melangkaui kuasanya?

Ya, SPR telah melangkaui kuasanya. Kuasanya hanya memutuskan apabila Speaker mengatakan Dun itu kosong, ia harus diterima dan mengadakan pilihan raya. Tapi SPR tafsirkan undang-undang, ia jadi Speaker. Ia yang mengatakan sijil cuti sakit boleh diterima.

Ini bermakna keputusan bagi kes di Kota Siputeh ini sangat jelas?

Kes ini memang 'straight forward' dan keputusan dibuat berdasarkan Artikel 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah. Ia amat jelas. Mahkamah menafsirkan apa yang ada dalam perlembagaan. Apabila seseorang Adun itu tidak dapat dapat menghadiri mesyuarat Dun, apa salahnya dia memberitahu Speaker.

Dalam kes seperti ini, ada beberapa orang Adun termasuk Adun BN yang tidak hadir meminta kebenaran dan diizinkan Speaker. Persoalannnya kenapa dia (Abu Hassan) tidak meminta kebenaran dan hanya memberitahu kepada Ketua Pembangkang, Dato' Mahadzir Khalid. Kalau dia boleh menghubungi Mahadzir, kenapa dia tak boleh menghubungi Speaker?

Mungkinkah terdapat kemungkinan rayuan SPR ini akan membawa keadaan sebaliknya seperti tidak akan berlaku Pilihan Raya Kecil Kota Siputeh?

Itu terlalu awal untuk kita menjangkakannya. Kita tidak boleh membuat spekulasi. Kita tidak tahu lagi keputusan rayuan tersebut.

Dalam tempoh membuat rayuan, SPR mesti mendapatkan perintah menggantungkan keputusan Mahkamah Tinggi?

Ya, SPR mesti mendapatkan perintah menggantungkan keputusan Mahkamah Tinggi. Jika ia berjaya mendapat perintah menggantungkan keputusan tersebut, maka ia bolehlah untuk tidak mengadakan pilihan raya sehinggalah keputusan rayuan itu diputuskan.

Tapi jika ditakdirkan ia tidak mendapatkan perintah tersebut, sama ada ia merayu atau tidak, SPR terpaksa juga mengadakan pilihan raya. Ia berdasarkan keputusan sama ada mahkamah membenarkan untuk menggantungkan atau menangguhkan pelaksanaan keputusan mahkamah itu.

Pada 20 November ini, mahkamah akan mendengar sama ada mahkamah menerima atau tidak permohonan menggantung keputusan tersebut.

Mungkin terdapat pengajaran di sebalik kes yang berlaku...

Perkara ini menjadikan pengajaran baik kepada Adun BN atau Adun Pakatan Rakyat. Mungkin sebelum ini sewaktu BN memerintah, Adun BN tidak kisah jika meraka tidak hadir tiga atau empat hari dalam Sidang Dun. Tidak ada yang ambil tahu.

Dalam kes ini, kita juga diberitahu Speaker, apabila Abu Hassan dimaklumkan tidak hadir selama dua hari, dia menyatakan apa yang difahaminya jika tidak hadir tiga kali terakhir, barulah kerusi tersebut kosong. Tetapi mengikut perlembagaan, ketidakhadiran sebanyak dua kali diistihar kosong. Sebab itu dia terpaksa mencari pelbagai alasan.

Daripada keputusan Mahkamah Tinggi ini, maknannya Abu Hassan bukan lagi Adun?

Daripada keputusan mahkamah, beliau sekarang dipanggil sebagai bekas Adun dan beliau tidak boleh menghadiri Sidang Dun Kedah yang sedang berlangsung sekarang. Kecuali apabila Mahkamah Rayuan memutuskan balik perkara ini.

Era Najib Altantuya : PAS Tak Boleh Abaikan Bukan Melayu

Para pemimpin PAS termasuk wakil rakyat parti itu di Selangor disaran tidak menjadikan agenda Melayu sebagai keutamaan semata-mata demi meraih sokongan menyeluruh dalam pilihan raya umum ke-13 yang diramalkan dalam waktu terdekat ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang Saari Sungib berkata, realiti politik dalam pilihan raya umum ke-12 menunjukkan majoriti pengundi Melayu di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Selangor tidak berpihak sepenuhnya kepada Pakatan Rakyat (PR).

Mana-mana kawasan yang majoriti pengundinya adalah Melayu, lebih 83 peratus, dikuasai oleh Umno dan Barisan Nasional (BN), kata beliau ketika ditemui di sini.

“Oleh itu, ADUN PAS dan PKR daripada kalangan Melayu tidak perlu menjadikan agenda Melayu sebagai keutamaan dan keterlaluan kerana mereka masih lagi berpihak kepada Umno,” kata beliau lagi.

Sebagai ADUN, beliau turut mengakui masih menghadapi kesukaran untuk meraih sokongan padu daripada kalangan pengundi Melayu di kawasan yang diwakilinya berbanding pengundi kaum Cina dan India.

Sehubungan itu, bekas Ketua Penerangan PAS Selangor ini masih tidak yakin bahawa pengundi Melayu terutamanya di kerusi DUN beliau wakili akan berpihak kepada kerajaan PR dalam pilihan raya umum ke-13 seperti yang diuar-uarkan oleh sesetengah pimpinan negeri.

Pandangan Saari mempunyai asas jika melihat kepada keputusan pilihan raya umum ke-12 Mac 2008.

Kawasan majoriti pengundi Melayu yang melebihi 80 peratus dikuasai oleh calon Umno berbanding PR.

Hanya dua kawasan DUN yang majoriti pengundi Melayu melebihi 80 peratus iaitu Hulu Kelang (80 peratus) dan Gombak Setia (81 peratus). Hulu Kelang kini diwakili Saari sementara Gombak Setia pula dimenangi Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali.

Enam kerusi DUN lain yang dikuasai wakil rakyat PAS ialah Lembah Jaya yang mempunyai pengundi Melayu seramai 55.3 peratus, Cempaka (58 peratus), Bangi (64 peratus), Meru (60 peratus), Selat Kelang (64.4 peratus) dan Si Jangkang (66 peratus).

Sementara sembilan DUN yang dikuasai oleh calon PKR kalangan Melayu ialah Ijok (49 peratus), Bukit Antarabangsa (57 peratus), Seri Setia (54.4 peratus), Taman Medan (60 peratus), Kota Damansara (55.8 peratus), Kota Anggerik (68 peratus), Batu Tiga (69 peratus) dan Sri Muda (53.3 peratus).

Saari khuatir sokongan terhadap kerajaan negeri akan berubah dalam pilihan raya umum akan datang jika pengundi Cina dan India tidak lagi memberi sokongan padu kepada calon PR.


“Kerana itu, kita perlu memperjuangkan rakyat secara lebih meluas yang boleh diterima oleh mereka berbanding dengan hanya memberi tumpuan kepada pengundi Melayu semata-mata,” katanya.

“Apa yang lebih penting adalah memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat di kawasan masing-masing daripada terjebak dengan isu Melayu yang menjadi mainan politik Umno,” katanya lagi.

Beliau juga mengakui kerajaan PR “besar hati” dengan memberi tiga Exco kepada kepemimpinan PAS negeri walaupun parti ini hanya mempunyai lapan kerusi. -Shamsuri Roslan

Ulasan GB

GB ada menulis sedikit isu pengundi Melayu-Bukan Melayu ini semalam sewaktu mengulas kenyataan Presiden PAS yang meminta SPR melakukan persempanan semula untuk negeri-negeri majoriti Melayu seperti Kelantan, Kedah dan Terengganu, tetapi beberapa komentator menganggapnya remeh dan mengkritik semula GB dengan nada nasionalis mereka malah menuduh GB telah anti-Melayu lantarannya.

Sedangkan kita kini sedang berusaha untuk memulihkan persepsi negatif bukan-Melayu terhadap PAS supaya PAS tidak kecundang di dalam PRU13.

Jangan sampai nanti yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.

Sifir Baru : Saiful vs Altantuya Jawapannya VK Lingam

Lembaran baru pergelutan politik: Saiful vs Altantuya? Lingam!

Oleh Lim Hong Siang

Suasana politik tidak kembali tenang sejak dilanda tsunami pada 8 Mac 2008. Presiden UMNO ketika itu yang diasak dari dalam dan luar, semakin hilang kawal. Sebaliknya, Pakatan Rakyat dilambung pada kemuncak keghairahannya untuk menuju ke Putrajaya.

Bulan Jun 2008 menyaksikan pertembungan langsung antara dua orang "bakal Perdana Menteri". TPM Najib Razak bersama isterinya dikaitkan sekali lagi dengan isu pembunuhan Altantuya Shaariibuu, oleh Raja Petra Kamaruddin. Blogger yang berpengaruh ini membuat akuan sumpah pada 18 Jun, menuduh Rosmah Mansor, isteri TPM berada di tempat kejadian pembunuhan Altantuya.

10 hari kemudian, seluruh Malaysia digemparkan sekali lagi, apabila "kes liwat Anwar Ibrahim II" ditayangkan. Kali ini, pembantunya Mohd. Saiful Bukhari tampil membuat tuduhan, disusuli kemudiannya dengan angkat sumpah di masjid, sebagai cubaannya untuk memperkukuhkan tuduhan tersebut, terutamanya di kalangan masyarakat muslim.

Anwar vs Najib 1:0

Cubaan meludah ke arah Anwar Ibrahim kali ini berakhir dengan pengaiban pada dirinya. Survey Merdeka Center yang diumumkan pada awal Julai memperlihatkan hanya 10% responden mempercayai bahawa Anwar melakukan liwat. Seterusnya, survey yang diumumkan pada awal Ogos 2008, menunjukkan bahawa sokongan terhadap Najib Razak hanya berada pada paras 34%, satu tamparan sengit terhadap bakal PM UMNO-BN ketika itu.

Malah, reputasi UMNO-BN jatuh merudum dalam PRK Permatang Pauh pada 26 Ogos, hampir terkubur dalam undi majoriti Anwar Ibrahim yang tertimbun. UMNO-BN yang menayangkan "Kes Liwat II" ini nyata lebih tertekan pada waktu itu, walaupun menguasai segala jentera negara.

Meskipun begitu, "Kes liwat II" tidak melabuh tirai begitu sahaja. Isu ini masih diungkit, secara tersurat mahupun tersirat dalam PRK yang berlangsung selepas PRK Permatang Pauh. Malah, Saiful Bukhari cuba memastikan "ketidakadilan yang menimpa dirinya" tidak hilang dari ingatan khalayak, mengingatkan orang ramai melalui blognya bahawa "Justice delayed Is Justice denied".

Kes liwat Anwar II diungkit lagi

Senario politik berubah dari masa ke masa, khususnya selepas Anwar Ibrahim gagal menyempurnakan rancangan 16 September. PR mula hilang fokus, perbalahan dalaman mula timbul, dan lebih ketara, jurang antara hasil kerja PR dan harapan rakyat kian melebar.

Sementara UMNO-BN yang diterajui Najib Razak, semakin kembali ke landasannya, apatah lagi setelah teruja dengan kemenangan PRK Bagan Pinang. Melainkan beberapa parti komponen BN yang masih bergelut dalam kemelut, BN kini dilihat berada dalam keadaan terbaiknya selepas tsunami 8 Mac 2008.

Senario sedemikian memberi nafas baru kepada UMNO-BN, bukan sahaja memantapkan dirinya, tetapi bersiap sedia untuk meneruskan "serangan yang belum selesai" itu. Maka dalam konteks inilah, mula wujudnya pertikaian "mengapa Anwar cuba melengah-lengahkan perbicaraan".

Awang Selamat, dalam kolumnya di Mingguan Malaysia pada 6 September 2009, mengusik Anwar dengan mengubahsuai laungan slogannya "lawan tetap lawan" kepada "tangguh tetap tangguh". Pada hari keesokannya, Utusan Malaysia menonjolkan isu liwat ini di muka surat depannya, dengan memetik hujah Chandra Muzaffar, "Kenapa mahu yangguh perbicaraan kalau tidak salah -- Anwar tidak perlu takut".

Menteri Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Nazri Aziz, malah Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Rosnah Abdul Rashid Shirlin dipetik untuk mengulas pandangan yang diketengahkan oleh Awang Selamat. Tidak cukup dengan itu, isu liwat ini berlanjutan untuk hari-hari seterusnya, apabila mereka yang keluar parti dari PKR seperti Lokman Nor Adam, Roslan Kassim, S.Nallakaruppan beratur di atas lidah parti untuk mencabar dan menyelar Anwar.

Lebih-lebih lagi, ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah yang keluar dari PKR pada 29 Oktober 2009, menyebut "soal moral" Anwar antara sebabnya meninggalkan PKR. Bekas Ketua AMK, Mohd Ezam Mohd Nor tidak melepaskan kesempatan ini untuk mendesak agar Presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail, yang juga isteri kepada Anwar Ibrahim untuk menjawab persoalan moral suaminya.

Bala pula muncul kembali

Serangan bertubi-tubi ini semestinya disedari PR, yang juga tidak akan berpeluk tubuh begitu sahaja. Maka, secara "kebetulannya", mereka yang "hilang" kerana kes Altantuya mula timbul semula untuk menggilap ingatan ramai. Raja Petra Kamaruddin misalnya, melalui Malaysia Today mendakwa bahawa kebenaran di sebalik kes pembunuhan Altantuya akan terbongkar sebelum hari Krismas tahun ini.

Balasubramaniam, penyiasat persendirian yang "hilang" selepas akuan sumpahnya yang mengaitkan Najib Razak dengan Altantuya, dan kemudian ditarik balik keesokannya, kini muncul dalam klip video yang tersiar di Malaysia Today. Apa yang berlaku sebelum dan selepas kehilangan diri dan keluarganya itu terdedah sedikit demi sedikit mulai 13 November.

PKR pula, melalui lidah partinya mendakwa bahawa gambar yang boleh menunjukkan hubungan antara Najib dengan Altantuya kini disorok oleh polis. Suara Keadilan Bil 206 (10-17 November 2009), memetik dari Free Malaysia Today yang menemuramah wartawan penyiasatan Perancis Arnaud Dubus, berkata gambar "yang tidak dibuat salinan" itu telah diberikan kepada Konsul Kehormat Mongolia di Malaysia, dan diserah kepada polis kemudiannya.

Kenyataan tersebut sememangnya tidak perlu disokong dengan bukti. Ia bertujuan untuk mencalit imej Najib Razak yang pernah "bersumpah" bahawa dirinya tidak mengenali Altantuya. Apa pun kemungkinan di sebaliknya, yang sudah pasti, Saiful dan "Altantuya" kini telah masuk semula ke gelanggang politik.

Lingam jawapannya

Ramai akan bersetuju bahawa yang dibicarakan itu bukan Anwar atau Najib, tetapi sistem kehakiman negara Malaysia. Biarpun mahkamah memutuskan sama ada Anwar bersalah atau Najib tidak terlibat, dalam kes yang menyebut nama masing-masing, gagal mengubah persepsi awam.

Buktinya, Anwar telah dijatuhkan hukuman 10 tahun yang lalu, diulangi tuduhan yang sama sepanjang satu dekad ini, gagal menghalang sokongan rakyat terhadapnya. Sebaliknya, walaupun media arus perdana terus mendakwa tuduhan terhadap Najib bersama isterinya dalam isu Altantuya adalah fitnah semata-mata, gagal membersihkan nama PM dalam pandangan umum.

Inilah masalah persepsi yang menghantui Najib. Walaupun populariti Najib menampakkan lonjakan kebelakangan ini, bahkan tindakan undang-undang terhadap Anwar mungkin boleh mencelarukan langkah PR sendiri, tetapi jikalau inilah kesudahannya, maka ia hanya akan memperkukuhkan persepsi bahawa sistem kehakiman negara kita terus diperkudakan.

Dengan kata lain, walaupun kuasa berada dalam tangan Najib, tetapi beliau sebenarnya tersepit di dalam dilema ini. Dalam kes liwat mahupun Altantuya, sebarang keputusan mahkamah yang bercanggah dengan persepsi rakyat, walaupun mungkin benar, tidak akan diterima.

Perlu dinyatakan bahawa persepsi ini bukan sekadar persepsi, tetapi berasas, kerana kerajaan tidak memperlihatkan tekad untuk memperbetulkan sistem kehakiman. Menteri Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Nazri Aziz boleh mempertahankan Lingam dengan seribu satu alasan dalam Dewan Rakyat, tetapi rakyat telah memberi jawapan dengan mengundi Loh Gwo Burne sebagai wakil rakyat Kelana Jaya.

Akhir kata, Najib Razak yang jelas lebih tangkas dan tegas dalam langkah politiknya, berbanding Abdullah Ahmad Badawi, boleh mengambil jalan singkat atau langkah "drastik" untuk menamatkan igauan yang menghantuinya selama ini, iaitu Anwar dan Altantuya. Anak Abdul Razak yang mewarisi corak pemerintahan Mahathir Mohamad ini, dipercayai akan melakukan segala-galanya untuk mengekalkan kuasa dirinya.

Cuma, sekeras Mahathir pun gagal mengubah persepsi rakyat dalam kes liwat Anwar. Apatah lagi, Najib kini berdepan dengan masyarakat Malaysia yang telah melalui zaman "Reformasi" dan "tsunami politik".

Era Najib Altantuya : Krisis MCA Terus Berpanjangan

Penyokong kumpulan yang bertelagah dalam MCA hari ini mengadakan sidang media masing-masing untuk mempertahankan perjuangan dan pendirian mereka walaupun perdana menteri secara terbuka berkata beliau akan cuba menyelesaikan masalah MCA dengan bertemu dengan semua pihak tidak lama lagi.

Datuk Ti Lien Ker yang baru dilantik sebagai anggota Majlis Presiden berkata, media telah dikelirukan sehingga memaparkan tajuk berita yang mencadangkan "pelan perpaduan menyeluruh" (GUP) telah gagal atau berlaku penyalahgunaan kuasa.

"Perkataan yang digunakan seperti 'pancung, cantas dan bakar" adalah putar belit kepada realiti. Drama mengeluarkan air mata secara terbuka merupakan drama politik," katanya.

Beliau merujuk kepada sidang akhbar yang diadakan Naib Presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai yang diapit oleh Ketua Pemuda Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Wanita Datin Paduka Chew Mei Fun yang menangis selepas digugurkan daripada Majlis Presiden.

Ti berkata, Chew masih Ketua Wanita dan patut berterima kasih kepada Presiden parti Datuk Seri Ong Tee Keat yang telah melantik Setiausaha Penganjur Wanita MCA Kebangsaan Tan Cheng Liang dan Setiausaha Agung Wanita Senator Heng Seai Kie menganggotai Majlis Presiden.

"Timbalan Ketua Pemuda Datuk Dr Mah Hang Soon juga dilantik ke Majlis Presiden, jadi kenapa Ketua Pemuda fikir tiada wakil?" soal Ti.

Malah Ti berkata, tiada sebab bagi parti komponen Barisan Nasional untuk campur tangan dalam krisis dalaman MCA.

Beliau juga menggesa akar umbi untuk tidak menghadiri mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 28 November ini yang diadakan oleh penyokong Liow dan sebaliknya rapatkan barisan untuk memastikan pelan perpaduan berhasil.

Pada satu lagi sidang akhbar yang diadakan oleh sembilan anggota Jawatankuasa Pusat Pemuda MCA Kebangsaan, jurucakap kumpulan itu, Chong Sin Woon berkata, campur tangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan membantu memulihkan integriti MCA di peringkat akar umbi.

"Satu-satunya penyelesaian untuk memperoleh semula integriti parti di kalangan akar umbi ialah dengan mengadakan pemilihan baru sebelum akhir tahun, kita boleh gunakan mesyuarat agung tahunan yang akan diadakan pada 5 Disember sebagai platform untuk mengadakan pemilihan baru," katanya. Chong juga mencabar Ong dan Timbalan Presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek untuk bertanding dalam pemilihan baru dan membuktikan yang mereka mendapat 97 peratus sokongan parti.

"Jika mereka dipilih semula oleh perwakilan, kami akan menghormati dan menyokong mereka. Kena berani hadapi perwakilan," katanya.

Chong berkata, dengan membuang penyokong Liow, Ong kini berkuasa penuh ke atas Majlis Presiden.

Kenyataan Wanita MCA pula berkata, Wanita menyambut baik pelantikan Heng dan Tan sebagai anggota Majlis Presiden, tetapi tidak dapat menerima yang Ketua Wanita telah digugurkan.

Ini adalah pertama kali Ketua Wanita tidak dilantik menganggotai Majlis Presiden dan ia mencerminkan "pengabaian mutlak" oleh presiden terhadap sayap Wanita dan satu penghinaan kepada Chew dan pergerakan Wanita.

"Keputusan itu turut menjejaskan hala tuju parti dan Wanita MCA," katanya. -Bernama

Era Najib Altantuya : Pusat Tekan P Pinang Melalui Pegawai Pembangunan Negeri

Lim Guan Eng berang dengan sikap Pegawai Pembangunan Negeri (SDO) Pulau Pinang yang cuba memberi tekanan kepada Kerajaan Negeri agar segera menyelesaikan pelbagai isu yang timbul untuk membolehkan projek pembangunan Persekutuan dilaksanakan.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, walaupun cuba memendamkan perasaan marahnya itu tetapi kini terpaksa diluahkan kerana tidak tahan dengan sikapnya yang boleh menjejaskan penyaluran projek Persekutuan ke negeri ini, terutama membabitkan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Beliau berkata, dalam keadaan yang agak kritikal sekarang ini, Kerajaan Negeri tidak boleh mengambil risiko yang boleh menyebabkan projek pembangunan RMK-10 yang bernilai puluhan bilion ringgit untuk Pulau Pinang terjejas atau dibatalkan.

“Saya masih boleh bersabar apabila SDO tidak menyediakan tempat duduk ketika majlis perasmian projek Keretapi Bukit Bendera yang turut dihadiri menteri baru-baru ini.

“Saya tidak kisah jika tidak diberi tempat duduk pada majlis itu tetapi akhirnya selesai dengan campur tangan menteri, yang lebih tahu tentang protokol,” katanya kepada media selepas mendengar taklimat projek pembangunan Kebun Bunga yang dibiayai Kerajaan Persekutuan di sini, semalam.

Bagaimanapun, ugutan pegawai agensi itu untuk membatalkan projek Persekutuan di Pulau Pinang dengan alasan pelbagai masalah yang tidak dapat diselesaikan oleh Kerajaan Negeri tidak akan dipandang ringan.

“Kerajaan Negeri tiada pilihan dan terpaksa akur dengan kehendak agensi berkenaan walaupun tidak berpuas hati demi memastikan projek pembangunan tidak terjejas atau dibatalkan.

:“Saya tidak akan membiarkan perkara ini berlaku kerana ia merugikan rakyat Pulau Pinang dari segi menikmati pelbagai kemudahan dan pembangunan yang akan disediakan oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Menurutnya, kes terbaru adalah surat yang dihantar kepada Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang agar menyelesaikan isu berbangkit untuk pembinaan projek pembangunan di Kebun Bunga.

“Surat itu seolah-olah mengugut Kerajaan Negeri kerana jika tidak dapat menyelesaikan semua masalah dalam tempoh yang ditetapkan, mereka akan membatalkan pelaksanaan projek itu dan peruntukannya ditarik balik,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri melaksanakan semua kehendak itu sebagai tanggungjawabnya memenuhi persetujuan yang dicapai dengan kerajaan terdahulu.

“Projek ini diluluskan oleh Kerajaan Negeri terdahulu dan kita hanya meneruskannya sebagai memenuhi komitmen yang sudah dipersetujui.

“Kerajaan Negeri tidak mahu rakyat negeri ini menjadi mangsa atau dihukum oleh agensi Kerajaan Persekutuan akibat sebab tertentu sehingga menanggung kerugian dari segi kemudahan prasarana dan projek pembangunan,” katanya. -SH

Era Najib Altantuya : UMNO BN Punca Huru Hara Di Perak

Pas menempelak kepimpinan UMNO kerana konflik berterusan yang berlaku di negeri ini adalah berpunca daripada parti itu yang cuba mengulangi sejarah hitam dahulu.

Kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu mengimbau kembali sejarah politik tanah air yang menyaksikan jatuhnya beberapa Kerajaan Negeri dahulu seperti di Terengganu, Kelantan dan Sabah, gara-gara ketamakan kuasa Perikatan.

Pesuruhjaya Pas, Abu Bakar Hussain berkata, Pas berpendirian bahawa BN adalah punca pencetus huru-hara dalam politik setelah lebih 50 tahun memporak-perandakan ekonomi serta kekayaan negara.

Menurutnya, partinya bersama Pakatan Rakyat (PR) tidak pernah kemaruk kuasa dan sentiasa konsisten untuk memelihara perpaduan serta kestabilan negara.

“Pas Perak menyedari lakonan politik pimpinan UMNO dan BN yang berjaya mengekalkan kuasanya kerana sering berlagak baik dan meminta parti kalah, bersatu hati kononnya untuk membangunkan negara.

“BN lupa kepada nasihatnya sendiri dan akan berterusan menimbulkan huru-hara serta kekacauan sehinggalah mereka berjaya mendapatkan apa yang mereka kehendaki seperti berlaku dalam krisis Perlembagaan Perak,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Abu Bakar berkata, Pas dan PR sudah melalui pengalaman kalah menang menerusi Pilihan Raya Umum dan boleh berdepan secara matang.

“Kita bersedia lepaskan pemerintahan PR di Perak atau di mana-mana sahaja sekiranya ia ditentukan oleh pengundi sendiri.

“Kita berpegang kepada prinsip kebenaran, keadilan dan keikhlasan pemimpin dan rakyat yang dipimpin,” katanya.

Beliau berkata, Pas turut mempersoalkan tindakan segelintir pihak berkuasa yang seolah-olah membutakan mata untuk berdepan realiti sebenar permasalahan di negeri ini.

“Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ternyata mendahului dan mengambil tugas mahkamah menjadi punca utama kepada kemelut yang diciptakan atas kepentingan pihak tertentu.

“Kami sangat bimbang terhadap segala kecelaruan yang berlaku di Perak dan sentiasa mendesak agar demokrasi dapat dipulihkan segera serta memberi laluan kepada pilihan raya bagi keseluruhan kerusi Dewan Undangan Negeri Perak,” katanya.

Beliau turut memohon kepada rakyat agar tidak terjebak dengan emosi perkauman sempit dan melulu yang dibawa oleh pimpinan UMNO. -SH