10 Sep 2009

Era Najib Altantuya : PKR Setuju PAS Bertanding Di Bagan Pinang

Kesepakatan antara parti komponen Pakatan Rakyat dilihat semakin utuh apabila Majlis Pimpinan Keadilan Negeri Sembilan secara sebulat suara menyatakan persetujuan supaya calon Pas bertanding dalam Pilihan Raya Kecil N31 Bagan Pinang.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat Negeri Sembilan, Ibrahim Yusof berkata pendirian berkenaan dibuat setelah Majlis Pimpinan berkenaan mengadakan satu mesyuarat khas bersama lapan cabangnya.

“Pendirian jelas mengikut status quo yang lama pada PRU Mac 2008. Kita berpegang pada pembahagian kerusi dan kebetulan ia adalah kerusi Pas maka kita bersetuju Pas bertanding di situ.

“Di peringkat perhubungan negeri kita secara konsisten bersetuju calon Pakatan Rakyat daripada Pas. Perbincangan dibuat di semua lapan cabang dan memuutuskan secara sebulat suara,” katanya.

Menurutnya keputusan berkenaan akan diserahkan kepada pimpinan PKR pusat bagi membolehkan kepimpinan berkenaan membuat sebarang keputusan.

Ibrahim berkata, pihaknya yakin Pakatan Rakyat akan berjaya menawan kerusi DUN N31 memandangkan gelombang kebangkitan rakyat yang masih belum reda.

“Peluang tetap ada kerana gelombang kebangkitan rakyat masih belum reda, rakyat masih dahagakan perubahan dan mahukan pembaharuan. Keduannya kalau mengambil kira PRU Mac 2008 ada beberapa kawasan yang sebenarnya ramai tidak keluar mengundi dan kita yakin kali ini mereka akan keluar mengundi.

“Dan mungkin juga pada waktu itu ada mesej-mesej tidak sampai pada peringkat pengundi. Oleh itu kita cukup berkeyakinan dalam PRU kali ini kita akan berjaya dengan sokongan semua jentera,” katanya.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong berikutan kematian penyandangnya, Azman Mohammad Noor pada Jumaat lalu akibat jangkitan dalam darah.

Sementara itu Naib Presiden Pas Mahfuz Omar berkata, pimpinan Pas menyambut baik keputusan berkenaan sekaligus memperlihatkan perpaduan dalam Pakatan Rakyat untuk merampas kerusi DUN berkenaan.

Menurutnya keputusan berkenaan dengan jelas mengekalkan status quo pada PRU 12 yang lalu.

“Saya menyambut baik keputusan Pakatan Rakyat Negeri Sembilan khusunya rakan komponen daripada Parti Keadilan Rakyat dan DAP yang menunjukan kesepaatan dan persefahaman amat baik terjalin antara parti komponen Pakatan Rakyat Negeri Sembilan.

“Saya yakin keputusan itu menggambarkan bagaimana hasrat Pakatan Rakyat Negeri Sembilan untuk melihat Barisan Nasional akan dikalahkan. Saya yakin bahawa Pakatan Rakyat Negeri Sembilan akan menterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan gerak kerja yang bermula dari sekarang bagi pastikan kemenangan calon Pas yang mewakili Pakatan Rakyat,” katanya. -TVA


Era Najib Altantuya : Mahkamah Tinggi Tolak Semakan SPRM (updated)

Mahkamah Tinggi Petaling Jaya hari ini menolak permohonan yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyemak keputusan koroner inkues kematian Teoh Beng Hock berhubung kebenaran memanggil saksi bagi mendedahkan dakwaan penderaan pegawai suruhanjaya itu.

Semalam, Koroner Azmil Munthapa Abas membenarkan, Sivanesan sebagai saksi kepada Gobind Singh Deo yang mendakwa didera ketika disoalsiasat oleh SPRM.

Ini kerana saksi penderaan tersebut adalah releven untuk memberikan keterangan dalam inkues menyiasat punca kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datin Yeoh Wee Siam, berkata: "Tidak ada apa-apa yang tidak sah, tidak betul dan tidak wajar pada perintah koroner membenarkan saksi ke-20 memberikan keterangannya,".

Beliau turut menolak permohonan peguam SPRM yang ingin mendapatkan perintah menangguhkan inkues, sementara menunggu rayuan terhadap semakan itu di Mahkamah Rayuan.

Di luar mahkamah, Peguam wakil keluarga Teoh, Gobind Singh Deo berkata. tuduhan SPRM atas tindakan memanggil saksi penderaan untuk menjatuhkan imej mereka, adalah tidak benar.

“Tuan koroner telah membuat sebuah keputusan yang adil selepas mendengar semua keterangan saksi-saksi dalam inkues, apa yang dinyatakan oleh MACC bahawa tindakan kita berniat jahat untuk menjatuhkan imej MACC itu tidak benar,” kata Gobind.

Sementara itu, Peguam wakil Kerajaan Selangor, Malik Imtiaz Sarwar, berkata, tindakan hakim adalah adil dalam membuat keputusan dan mengambil kira hujah dari semua pihak serta memahami tugas korener untuk membuat keputusan dalam situasi yang sukar.

“The most important, this is the fact that she allowed all the parties to be given an opportunity to be heart and she took control of the prosiding and I think what also important to be note here is that the judge recognized the needs for coroner to have sufficient latitude in order to do what the coroner needs to do in an already difficult situation,” katanya.

Teoh, 30 tahun, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam 16 Julai lalu.

Teoh dipanggil memberi keterangan sebagai saksi siasatan dakwaan salah guna peruntukan Adun di tingkat 14, Pejabat SPRM Selangor di bangunan itu.

Prosiding inkues Teoh bersambung di Mahkamah Majistret Shah Alam, jam 9 pagi esok.



Era Najib Altantuya : RM2.5 Juta Lesap Tak Sampai 2 Bulan - SELCAT

Sejumlah hampir 2.5 juta ringgit habis dibelanjakan dalam tempoh dua bulan oleh lima Adun Barisan Nasional, sebelum menjelang pilihan raya umum, Mac tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat), Teng Chang Kim berkata peruntukan itu sepatutnya digunakan oleh Adun Adun untuk tempoh 12 bulan.

Teng menyifatkan kelulusan peruntukan oleh Pejabat Daerah adalah satu kecuaian kerana tidak melakukan sebarang pemantauan terhadap peruntukan wang yang telah diamanahkan.

"Ada kecuaian pada pihak pejabat daerah untuk meluluskan permohonan untuk projek kecil ini, kerana tidak berdasarkan laporan daripan pihak juruteknik.

"Beban tugas adalah soal lain, kalau tak pantau tak pantau lah, kenapa tak pantau, itu sebab soal lain, memang ada kecuaian dalam perkara ini kerana pada masa itu dan kelulusan telah diberikan kepada projek peruntukan diluluskan tanpa mengikut peraturan dan prosedur yang ditetapkan," katanya.

Selcat hari ini memanggil Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd Misri Idris untuk memberi keterangan pada sesi pendengaran awam berhubung isu peruntukan 5 DUN Barisan Nasional sejak dari Januari hingga Mac 2008.

Lima Dun tersebut adalah Ijok, Bukit Melawati, Jeram, Permatang dan Sungai Burong.
Teng berasa musykil apabila pejabat daerah meluluskan 24 permohonan bertarikh 11 Februari dan mengeluarkan baucer pada keesokannya, iaitu sehari sebelum pembubaran Parlimen.

Di samping itu, terdapat beberapa baucer yang turut diluluskan selepas pembubaran.
Bercakap pada sidang media selepas sesi pendengaran ditangguhkan, Teng menjelaskan, peruntukan yang dihabiskan dalam tempoh tiga bulan itu tidak munasabah dan ia juga didapati digunakan sebagai dana untuk berkempen.

"Peruntukan Dewan dun adalah untuk pembangunan sepanjang tahun, yang telah pun diluludkan oleh dewan negeri, bukannya dimaksudkan untuk menjadi dana kempen pilihanraya, jadi tidak kira samada tahun itu terdapat pilihanraya atau tidak sewajarnya peruntukan itu hendaklah teratur mengikut jadual yang ditetapkan, diagihkan kepada 12 bulan tersebut, dan tidak disalahgunakan sebagai dana kempen," katanya.

Turut dipanggil memberi keterangan hari ini ialah Penolong Pegawai Daerah, Idzahar Rasidi, Ketua Pembantu Tadbir, Ibrahim Ahmad dan dua Pembantu Tadbir Kewangan, iaitu Norafzahti dan Nordiana.

Teng bagaimanapun berpuashati terhadap perjalanan pendengaran awam hari ini apabila pihak yang dipanggil, memberi kerjasama sepenuhnya.

"Ini adalah sikap yang kami perlukan daripada pegawai daerah dan pegawai-pegawai berkenaan yang terlibat secara langsung dalam menguruskan permohonan peruntukan adun dalam kawasan masing-masing…Mempunyai gambaran yang jelas bagaimana keadaan pejabat daerah menjelang pilihanraya dimana mereka dikehendaki mengendalikan permohonan peruntukan yang begitu banyak luar biasa menjelang pilihanraya," katanya.

Sesi pendengaran awam ini bersambung esok.

Era Najib Altantuya : Siasat Tindakan Kasar Polis Atau Hadapi Tindakan Mahkamah - Keshvinder (updated)

Adun Malim Nawar Keshvinder Singh membuat laporan polis terhadap apa yang beliau dakwa tindakan kasar polis terhadap beliau pada 2 September lalu sehingga beliau terpaksa menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Keshvinder berkata laporan dibuat supaya siasatan dijalankan terhadap kejadian berkenaan. Dan jika polis gagal menyiasat kata Keshvinder pihaknya akan mengemukakan saman terhadap Pasukan Poilis DiRaja Malaysia .

Keshvinder kini cuti sakit dan masih trauma dengan kekasaran yang dilakukan polis terhadapnya.

Dalam keghairahan polis menghalang sidang DUN Perak 2 September lalu, Keshvinder cedera dikepala yang memerlukan rawatan kecemasan. Ketika itu beliau cuba melindungi Datuk Seri Nizar Jamaluddin .

Keshvinder yang ditahan polis dikatakan dicampak ala aksi gusti ke atas jalanraya sehingga kepalanya terhantuk menyebabkan tengkoraknya retak.

Beliau juga mendakwa kepalanya ditekan dengan kaki sementara perutnya ditendang-tendang. Beliau tergapai kesesakan nafas apabila polis menjerut lehernya dengan tali leher.

“Saya akan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh untuk membuat laporan polis terhadap Polis diraja Malaysia, Ketua Polis Negara, Ketua Polis Perak dan kerajaan Malaysia bagi semua kecederaan dan kerugian yang saya alami seminggu lalu termasuk ganti rugi pendapatan sebagai peguam kerana gagal menghadiri kes-kes mahkamah, untuk kesakitan dan penderitaan dan untuk kerugian lain yang saya alami,” katanya.

Menurutnya, sebagai seorang peguam beliau berhak mandapatkan maklum balas daripada polis dalam tempoh terdekat sama ada siasatan telah dijalankan atau tidak.

Katanya, kekecohan 2 September lalu berlaku disebabkan provokasi melampau yang dicetuskan polis terhadap ADUN Pakatan Rakyat.

Keshvinder berkata perintah mahkamah jelas menyatakan mereka boleh berada pada jarak 30 meter dari Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri tanpa sebarang halangan polis.

Menurutnya mereka bergerak dari Wisma DAP ke arah Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk menjalankan kewajipan mereka sebagai ADUN.

Katanya semua adun Pakatan Rakyat berjalan dengan aman tetapi sengaja dihalang oleh polis sehingga mencetuskan ketegangan yang menyebabkan berlakunya kekasaran.

Sehubungan itu, beliau mahu siasatan dijalankan segera.

“Kebiasaannya selepas membuat laporan polis saya membuat notis tuntutan memberi mereka tempoh masa 14 hari untuk menjalankan siasatan dan sekiranya gagal saya akan ke mahkamah,” katanya.

Beliau turut menyatakan kekecewaannya terhadap Barisan Nasional yang menggunakan pelbagai cara untuk menghalang Pakatan Rakyat menjalankan tanggungjawab seperti yang termaktub dalam Perlembagaan negara. -TVA


Era Najib Altantuya : Reputasi Apa Yang SPRM Ada? (updated)

Jika semalam rakyat 1Malaysia cuba diperbodohkan oleh tindakan lima pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk Mohd Ashraf Mohd Yunus yang merupakan seorang saksi di dalam inkues bagi menyiasat punca kematian Teoh Beng Hock membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, hari ini SPRM menafikan dakwaan mana-mana pihak yang menuduh para pegawainya melakukan penderaan ketika melakukan siasatan.

Sehubungan itu SPRM meminta pihak polis supaya membuat siasatan secara bebas dan terperinci terhadap semua laporan yang mendakwa para pegawainya melakukan penderaan ketika menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mereka yang membuat laporan terhadap SPRM, sekiranya laporan itu didapati tidak benar dan palsu.

Semalam, Pengarah SPRM Selangor Jaafar Mahad memberitahu para wartawan di luar Ibu Pejabat Polis Daerah bahawa kelima-lima pegawainya itu membuat laporan polis pada pukul 4.30 petang tadi bagi menafikan para pegawainya menggunakan kekerasan semasa menyoal siasat suspek.

"Kita menafikan kita ada mendera suspek, kenyataan yang dibuat di dalam inkues adalah berniat jahat dan ingin menjatuhkan reputasi SPRM," katanya yang mengiringi para pegawainya membuat laporan polis itu bagi memberikan sokongan moral kepada mereka.

T Sivanesan seorang saksi yang dikemukakan oleh peguam keluarga Teoh, Gobind Singh Deo hari ini memberi keterangan pada inkues yang berjalan hari ini dan mendakwa beliau pernah didera oleh SPRM semasa disoal siasat.

Persoalan kini, reputasi apa yang SPRM ada ketika ini? Tiada siapa yang ingin menjatuhkan maruah SPRM tetapi SPRM yang sudah memang tidak bermaruah akibat dari kenyataan dan tindakan pegawai-pengawainya termasuklah Ketua Pesuruhjayanya sendiri Datuk Seri Ahmad Said Hamdan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon baru saja meminta Ahmad Said Hamdan dan pegawai-pegawai kanannya mengelak dari mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejas siasatan kematian Teoh Beng Hock.

Koh berkata adalah tidak wajar bagi mereka mengeluarkan komen terhadap sebarang kes yang sedang disiasat.

"Mereka hendaklah lebih sensitif terhadap perasaan keluarga Teoh yang kehilangan orang yang disayangi, tidak kira sebab kematiannya yang menjadi topik siasatan," kata Koh dalam satu kenyataan.

Koh memberikan respons terhadap kenyataan Ahmad Said bahawa Suruhanjaya Bebas Anti Rasuah Hong Kong mempunyai beberapa kes suspek membunuh diri.

"Walaupun ini mungkin kenyataan fakta berkaitan ICAC, komen terbuka oleh ketua MACC pada ketika siasatan sedang berjalan boleh dianggap cuba mengandaikan bahawa bunuh diri mungkin menjadi sebab kematian Teoh, sedangkan siasatan belum mencapai keputusan konklusif," kata beliau.

Beliau berkata orang ramai mengharapkan hasil konkrit oleh MACC dalam memerangi rasuah, satu daripada enam bidang pencapaian utama nasional yang diumumkan Perdana Menteri.

Koh, yang bertanggungjawab menangani soal perpaduan nasional dan prestasi, adalah juga pengerusi Unit Pengurusan Prestasi dan Pencapai (Pemandu) di Jabatan Perdana menteri.

Koh berkata pegawai-pegawai MACC boleh menjelaskan kepada orang ramai mengenai dasar, perkara prosedur dan perangkaan kes yang disiasat.

"MACC mesti bebas dan dilihat bersifat demikian, dalam pengendalian sebarang kes,' ujar Koh.

Teoh, seorang pembantu politik kepada anggota exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam pada 16 Julai selepas beliau disoalsiasat oleh MACC di bangunan yang sama

Rakyat melihat tindakan pegawai-pegawai SPRM yang mebuat laporan polis kononnya mereka tidak menggunakan kekerasn di dalam soalsiasat saksi-saksi adalah katun semata-mata dan mereka cuba untuk menyembunyikan diri dari kenyataan sebenar bahawa merekalah yang bertanggungjawab di atas kematian Teoh Beng Hock.

Semakin mereka cuba untuk menipu dan menutup konspirasi itu, rakyat menjadi semakin curiga dan kebenaran akan semakin terdedah apabila lebih ramai saksi yang tampil nanti membuat pengakuan dan pendedahan.

Langkah yang diambil oleh pegawai-pegawai berkenaan adalah laksana meludah ke langit dan kahaknya tidak akan menimpa orang lain kecuali diri mereka sendiri.


Dan katakanlah : Telah datang yang haq (kebenaran) dan telah lenyap yang batil atau yang palsu. Sesungguhnya yang batil itu pasti lenyap. (Al Israa' 81)

ERa Najib Altantuya : Pendirian Sidek Hassan Tidak Profesyenal

Pegawai-pegawai kakaitangan awam hendaklah belajar membuang mentaliti tunduk kepada Barisan Nasional, demikian dinyatakan oleh pemimpin Pakatan Rakyat sebagai respons terhadap kenyataan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Sidek Hassan yang diwawancara oleh Malaysiakini.

Sidek mempertahankan tindakan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim sewaktu berlakunya perebutan kuasa antara BN dan Pakatan Rakyat di negeri itu.

Dalam krisis tersebut, Abdul Rahman dikecam kerana dilihat pro-BN, walaupun ramai yang menganggap Pakatan masih lagi mentadbir kerajaan negeri, kecuali dewan undangan negeri dibubarkan.

Menurut Sidek, setiausaha kerajaan negeri itu "mengikut peraturan sebagai seorang kakitangan awam. Saya juga mungkin melakukan perkara yang sama. Sebagai kakitangan awam, anda perlu melakukan apa yang anda fikir betul dalam keadaan yang berlaku, mengikut peraturan."

Sidek menegaskan demikian sewaktu diwawancara Malaysiakini di pejabatnya di Putrajaya Selasa lalu.

Dalam wawancara tersebut, Malaysiakini bertanya mengenai tanggapan wujudnya layanan berat sebelah perkhidmatan awam terhadap negeri-negeri yang dikuasa Pakatan, dan dilihat setia kepada kerajaan pusat yang ditadbir oleh BN.

"Ternyata mentaliti KSN sendiri adalah menataliti senget sebelah, berpihak dan prejudis kepada kerajaan negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat," kata seorang pensyarah tempatan.

"Maka tidak hairan keputusan yang mereka ambil banyak dipengaruhi oleh unsur-unsur politik sehingga mengenepikan ketelusan, profesyenalism malah kadang-kala etika juga," tambahnya lagi.

Sikap sedemikian menurut sesetengah pemerhati politik, hendaklah segera dikikis kerana pemerintahan pusat boleh bertukar tangan kepada parti lain pada bila-bila masa.

Jika kakitangan awam masih terkepung mindanya dengan parti BN semata-mata sepastinya perhidmatan awam akan menjadi tidak lancar apabila berlaku perubahan kerajaan seperti yang berlaku di beberapa buah negeri sejurus selepas Pilihanraya Umum 2008 yang lalu.


Era Najib Altantuya : Keadilan Umar Al-Khattab Terhadap Rumah Ibadat Non-Muslim

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengemukakan sebuah kisah dari zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab (r.a) untuk tatapan dan renungan tuan-tuan sekalian. Melalui pendedahan ini, adalah diharap sebahagian dari ummat Islam yang tidak memahami konsep keadilan Islam terhadap agama lain, akan sedikit sebanyak dapat memikirkan kembali sikap dan pendirian mereka itu.

Kisah yang ingin dikemukakan adalah kisah Saidina Umar dan Kanisah (gereja) Al-Qiamah yang terletak di Quds. Kisah ini adalah petikan dari muka surat 114, kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’, tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, Darul Ibnu Hazim.

“Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut . Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”.

Tetapi Umar menolak cadangan Patriach dan solat (di luar) di tangga yang berada di hadapan pintu gereja tersebut secara bersendirian. Selepas beliau menyelesaikan solat asar, beliau (masuk kembali lalu) berkata kepada Patriach al-Quds :

“Sekiranya saya mengerjakan solat tadi di dalam gereja tuan, saya merasa pasti bahawa ummat islam pada zaman akan datang akan menyatakan bahawa Saidina Umar mengerjakan solat di dalam gereja ini, maka kita boleh menukarkan gereja ini kepada masjid untuk melaksanakan solat di dalamnya”.

Kisah di atas menceritakan respon Saidinna Umar kepada cadangan Patriach supaya beliau solat di dalam gereja al-Qiamah. Respon Saidina Umar merupakan satu respon yang mengambil kira kepentingan golongan Nasrani dan Patriach sambil dalam masa yang sama melindungi Kanisah mereka.

Sehubungan dengan itu, sekiranya ummat Islam adalah peroboh kuil, gereja dan synagogue seperti yang didakwa oleh musuh-musuh Islam dan turut dipercayai oleh segolongan ummat Islam yang jahil, sudah pasti Saidina Umar akan bertindak sebaliknya. Maka amatlah malang sekiranya ummat Islam sendiri tidak memahami konsep keadilan yang dipertahankan oleh Islam sepertimana yang telah dizahirkan oleh Saidina Umar. Konsep keadilan ini meliputi berbagai perkara, termasuklah keadilan terhadap orang bukan Islam sendiri.

Khalifah-Khalifah Islam sebelum mengutus tentera Islam sentiasa berpesan supaya tidak dibunuh kanak-kanak, orang tua, orang yang berlindung ditempat-tempat peribadatan dan tidak diroboh rumah-rumah peribadatan mereka. Begitu juga, tidak dibunuh haiwan ternakan kecuali untuk dimakan dan tidak dimusnahkan tanam-tanaman dan menebang pokok-pokok tanpa alasan.

Keadilan yang sebeginilah yang melonjakkan ummat Islam ke kedudukan istimewa satu ketika dahulu! Bukan kekejaman dan bukan kezaliman.

Menurut kisah ini juga, maka adalah jelas bahawa Saidina Umar memasuki gereja dan berbincang dengan Patriach di dalamnya. Dengan itu, adalah diharapkan tiada pula dari golongan jahil yang akan menggelar Saidina Umar dengan gelaran “Umar Gereja” di atas sebab ini.

Saya sememangnya cukup hairan dengan sikap sebahagian dari ummat Islam dewasa ini. Mereka berhajat besar untuk memimpin dunia, tetapi tidak menzahirkan sikap yang memungkin cita-cita ini tercapai. Terlalu banyak yang disensitifkan sehinggakan tidak mungkin berbincang dan berunding dengan yang bukan Islam sama sekali. Manakan mungkin menjadi pemimpin dunia yang majoritinya bukan Islam, sekiranya kita sendiri tidak mampu untuk berinteraksi bersama mereka bagi membuktikan keadilan Islam itu sememangnya untuk semua. — khalidsamad.com

Era Najib Altantuya : Rakyat Malaysia Terancam Di Indonesia

Jabatan Penuntut Malaysia di Jakarta hari ini menasihati semua pelajar Malaysia di seluruh Indonesia supaya sentiasa berhati-hati memandangkan kebencian segelintir rakyat negara itu yang semakin memuncak berikutan penyebaran pelbagai fitnah oleh media massanya kebelakangan ini.

Jabatan itu telah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi menasihati semua pelajar Malaysia di Jakarta khasnya, agar jangan sekali-kali melalui Jalan Diponegoro bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

Kebencian mereka itu memuncak kepada tahap yang serius dan menakutkan, berikutan media tempatan baru-baru ini menyiarkan berita dan visual lebih 360 sukarelawan ilmu kebal yang dilaporkan sudah mendaftar dan bersedia untuk mengganyang Malaysia.

Kebencian mereka itu memuncak lagi apabila hari ini terdapat sekumpulan orang yang menggelar diri mereka sebagai Benteng Demokrasi Rakyat (BENDERA) mula bertindak liar dengan mengugut rakyat Malaysia dengan buluh runcing di Jalan Diponegoro.

Dilaporkan bahawa 50 anggota BENDERA yang bersenjatakan buluh runcing (buluh yang ditajamkan hujungnya) memaksa orang ramai yang melalui jalan itu menunjukkan tanda pengenalan mereka dan jika kebetulannya orang berkenaan seorang rakyat Malaysia maka orang itu akan terus ditahan.

Tindakan mereka mengambil undang-undang di tangan sendiri dilaporkan media massa online tempatan termasuk detikcom.

Sebelum ini pernah rumah kediaman yang disewa pelajar Malaysia di Universiti Gadjah Mada, Yogyakarta dibaling telur busuk oleh kumpulan yang berdemonstrasi terdiri daripada sekumpulan mahasiswa tempatan kerana marahkan Malaysia yang difitnah sebagai mencuri tarian Pendet yang berasal dari Bali.

Berikutan isu itu yang terus diapi-apikan media massa tempatan dan dikaitkan pula dengan isu-isu lampau yang diungkit semula, beberapa kumpulan rakyat Indonesia juga berdemonstrasi di depan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

Walaupun penafian telah dibuat bahawa Malaysia tidak pernah "mencuri" tarian itu untuk iklan video klip promosi pelancongan negara yang sebenarnya dibuat sebuah syarikat swasta yang berpejabat di Singapura, namun hakikat itu "jatuh ke telinga yang tuli dan mata yang buta".

Anehnya, sebuah stesen TV yang baru saja menyiarkan program dialog di mana seorang pegawai tinggi Kementerian Luar Indonesia memberikan penjelasan bahawa Malaysia tidak pernah mengakui Pendet sebagai tarian berasal dari Malaysia, namun stesen TV yang sama juga kemudian mengulangi lagi tuduhan yang serupa.

Laman web okezone pula melaporkan bahawa anggota BENDERA ada memeriksa lebih daripada 100 orang.

Bagaimanapun, detikcom melaporkan tiada seorang pun rakyat Malaysia yang kebetulan melalui jalan itu dan tindakan yang dikatakan akan dilakukan selama sejam, berakhir hanya selepas setengah jam.

Era Najib Altantuya : Mahkamah Tolak Permohonan SPRM Untuk Semakan Saksi

Permohonan semakan yang difailkan SPRM berhubung keputusan koroner Azmil Muntapha Abas terhadap satu laporan polis yang dibuat suspek T. Sivanesan digunakan dalam inkues siasatan kematian Teoh Beng Hock, ditolak oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam yang bersidang di Petaling Jaya hari ini.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datin Yeoh Wee Siam memutuskan demikian setelah mendapati koroner tidak melakukan sebarang kesilapan, khilaf atau perkara yang tidak betul dalam keputusannya.

Sehubungan itu, beliau memerintahkan supaya inkues diteruskan setelah menolak permohonan Timbalan Pendakwaraya, Manoj Kurup untuk memfailkan rayuan berhubung keputusan tersebut.

Keterangan T.Sivanesan, lelaki yang mendakwa didera pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sepatutnya didengar dalam prosiding inkues awal pagi semalam, tertangguh tiga jam berikutan pertikaian antara peguam-peguam terlibat mengenai isu kehadiran saksi itu ke mahkamah.

Ekoran itu, SPRM telah memfailkan permohonan ke Mahkamah Tinggi bagi menyemak semula keputusan koroner yang membenarkan laporan polis oleh Sivanesan mengenai dakwaan itu dikemukakan dalam prosiding inkues dan keputusan membenarkan saksi itu memberi keterangannya di mahkamah bagi membantu siasatan punca kematian setiausaha politik exco Selangor, Teoh Beng Hock.

Abdul Razak hari ini meminta koroner menyemak semula keputusannya semalam atas alasan bahawa laporan polis itu akan memberi implikasi yang boleh memprejudiskan siasatan polis dan SPRM dalam kes itu jika ia dikemukakan.

Hujahan Abdul Razak itu dibantah Gobind dan Malik yang mahu supaya keputusan mahkamah semalam dipatuhi, dan bukannya membangkitkan isu baru memandangkan kesemua pihak telahpun diberi peluang untuk menghujahkan perkara itu semalam.

Gobind: "Apa yang dilakukan oleh peguam (Abdul Razak) ini bukan sahaja membuang masa, malah ia merupakan penghinaan mahkamah. Koroner telahpun memutuskan isi kandungan laporan itu relevan dan menetapkan tiga skop yang perlu dipatuhi semua pihak dalam soal balas saksi (Sivanesan), oleh itu kita semua perlu menghormati dan menerima perintah mahkamah ini."

Malik: "Pihak-pihak telah berhujah panjang lebar semalam dan perkara ini telah diputuskan, mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk menghujahkan semula isu ini dan menukar keputusannya."

Abdul Razak: "Ini adalah suatu penyalahgunaan proses mahkamah dengan cuba membawa masuk dokumen yang meragukan dan mendengar keterangan seorang saksi yang tidak dirakam percakapannya oleh pihak polis."

Peguam itu juga mendakwa Gobind sengaja mendedahkan saksinya itu kepada umum dengan membenarkan beliau berada dalam mahkamah hari ini, dan bukannya di sebuah bilik khas untuk saksi, sebelum dipanggil memberi keterangan.

Gobind: "Beliau cakap apa ini? Saya bosan mendengar perkara mengarut daripada Abdul Razak. Saya hairan mahkamah boleh melayan benda mengarut ini. Apa salahnya saksi saya duduk di mahkamah ini? Saya tak boleh kemukakan laporan, saya tak boleh kemukakan saksi, apa semua ini?

Setelah hujahan kesemua pihak didengar, koroner kemudian memutuskan untuk membenarkan Sivanesan dipanggil memberi keterangan dan membenarkan laporan polis saksi itu dikemukakan dalam prosiding tersebut.

Sivanesan dalam akuanya melakar imej grafik pengalaman di kurung dalam sebuah bilik gelap. Dikerumuni beberapa lelaki, dia dipukul dengan batang besi, ditumbuk, ditendang, dibogelkan dan dirotan di bahagian kemaluan sehingga pengsan.

Era Najib Altantuya : Siasat Tindakan Kasar Polis Atau Hadapi Tindakan Mahkamah - Keshvinder

Adun Malim Nawar Keshvinder Singh membuat laporan polis terhadap apa yang beliau dakwa tindakan kasar polis terhadap beliau pada 2 September lalu sehingga beliau terpaksa menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Keshvinder berkata laporan dibuat supaya siasatan dijalankan terhadap kejadian berkenaan. Dan jika polis gagal menyiasat kata Keshvinder pihaknya akan mengemukakan saman terhadap Pasukan Poilis DiRaja Malaysia .

Keshvinder kini cuti sakit dan masih trauma dengan kekasaran yang dilakukan polis terhadapnya.

Dalam keghairahan polis menghalang sidang DUN Perak 2 September lalu, Keshvinder cedera dikepala yang memerlukan rawatan kecemasan. Ketika itu beliau cuba melindungi Datuk Seri Nizar Jamaluddin .

Keshvinder yang ditahan polis dikatakan dicampak ala aksi gusti ke atas jalanraya sehingga kepalanya terhantuk menyebabkan tengkoraknya retak.

Beliau juga mendakwa kepalanya ditekan dengan kaki sementara perutnya ditendang-tendang. Beliau tergapai kesesakan nafas apabila polis menjerut lehernya dengan tali leher.

“Saya akan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh untuk membuat laporan polis terhadap Polis diraja Malaysia, Ketua Polis Negara, Ketua Polis Perak dan kerajaan Malaysia bagi semua kecederaan dan kerugian yang saya alami seminggu lalu termasuk ganti rugi pendapatan sebagai peguam kerana gagal menghadiri kes-kes mahkamah, untuk kesakitan dan penderitaan dan untuk kerugian lain yang saya alami,” katanya.

Menurutnya, sebagai seorang peguam beliau berhak mandapatkan maklum balas daripada polis dalam tempoh terdekat sama ada siasatan telah dijalankan atau tidak.

Katanya, kekecohan 2 September lalu berlaku disebabkan provokasi melampau yang dicetuskan polis terhadap ADUN Pakatan Rakyat.

Keshvinder berkata perintah mahkamah jelas menyatakan mereka boleh berada pada jarak 30 meter dari Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri tanpa sebarang halangan polis.

Menurutnya mereka bergerak dari Wisma DAP ke arah Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk menjalankan kewajipan mereka sebagai ADUN.

Katanya semua adun Pakatan Rakyat berjalan dengan aman tetapi sengaja dihalang oleh polis sehingga mencetuskan ketegangan yang menyebabkan berlakunya kekasaran.

Sehubungan itu, beliau mahu siasatan dijalankan segera.

“Kebiasaannya selepas membuat laporan polis saya membuat notis tuntutan memberi mereka tempoh masa 14 hari untuk menjalankan siasatan dan sekiranya gagal saya akan ke mahkamah,” katanya.

Beliau turut menyatakan kekecewaannya terhadap Barisan Nasional yang menggunakan pelbagai cara untuk menghalang Pakatan Rakyat menjalankan tanggungjawab seperti yang termaktub dalam Perlembagaan negara. -TVA

Era Najib Altantuya : Pusat Tak Perlu Campurtangan Dalam Hal Bekalan Air Percuma

Kerajaan Pusat tidak perlu campur tangan dalam urusan pemberian air percuma kepada rakyat di Selangor memandangkan perkara berkenaan tertakluk di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air tidak mempunyai hak untuk membuat kenyataan atau memberi saranan agar dasar pemberian air percuma yang dilaksanakan Kerajaan Negeri dikaji semula.

“Kementerian tidak ada hak untuk membuat kenyataan demikian kerana pemberian air percuma adalah hak anak-anak Selangor,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Negeri di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK), semalam.

Kelmarin, jurucakap Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air memberitahu pemberian 20 meter padu air percuma setiap bulan yang dilaksanakan Kerajaan Negeri tidak sampai kepada rakyat miskin yang tinggal di rumah kos rendah dan setinggan sebaliknya ia hanya dinikmati penduduk yang kurang memerlukan.




Era Najib Altantuya : MB T'ganu Beri Berita Harian Seminggu Mohon Maaf

Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said memberi tempoh seminggu kepada Berita Harian supaya memohon maaf kepada beliau berhubung satu laporan yang didakwanya mempunyai unsur fitnah.

Katanya jika akhbar berkenaan gagal berbuat demikian, beliau akan mengambil tindakan undang-undang kerana menyiarkan laporan itu pada 4 Sept lepas.

"(Laporan) ini jelas memfitnah kerana saya," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di sini Rabu.

Sambil melahirkan rasa kecewa terhadap berita bertajuk "Muhyiddin Mahu Selesai Kemelut BN Terengganu" itu, Ahmad berkata laporan itu gagal menyiarkan perkara sebenar pada majlis yang dihadiri lebih 5,000 rakyat Hulu Terengganu sebaliknya melihat daripada sudut politik semata-mata.

Dalam kenyataan setebal lima muka surat yang dibacanya, Ahmad berkata selama ini beliau mengelak dari memberi sebarang komen berkaitan politik untuk meredakan keadaan serta tidak mahu menimbulkan sebarang persepsi negatif mengenai hubungannya dengan pentadbiran dan politik.

"Saya sudah lama bersabar. Walaupun saya telah memberikan penjelasan secara tertutup kepada pihak media beberapa bulan lepas, namun masih ada yang tidak memahami keadaan atau sengaja tidak mahu menerima kebenaran.

"Laporan akhbar terbabit adalah penghujung kesabaran saya kerana ia jelas telah memfitnah saya," katanya.


petikan Berita Harian

Kemelut dalaman kepemimpinan Umno negeri dikatakan berpunca daripada tindakan Ahmad tidak melantik wakil rakyat sebagai Pengerusi Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN), sebaliknya menyerahkan tugas itu kepada Ketua Umno bahagian yang turut diberi kuasa melantik Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Berikutan itu, sekurang-kurangnya 10 Adun melakukan beberapa tindakan sebagai protes, antaranya memboikot persidangan DUN dan dikatakan mahu menyertai pembangkang walaupun desas-desus itu dinafikan oleh Muhyiddin.

"Saya yakin mereka pemimpin yang masih kuat semangat dan cintakan parti. Kita akui ada masalah, tetapi bukan mahu lompat parti. Di Terengganu, sokongan masyarakat kepada BN kuat. Sebab itu kita menang pilihan raya. Oleh itu, kita perlu melaksanakan amanah yang disandarkan kepada wakil rakyat," katanya.

Selain Hishamuddin, majlis itu dihadiri Menteri Besar dan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Tengku Putera Awang. Bagaimanapun, sebahagian besar Adun tidak hadir.

Exco yang hadir ialah Rozi Mamat (Telemong), Datuk Abdul Rahin Mohd Said (Teluk Pasu), Datuk Za'abar Mohd Adib (Rantau Abang), Yahya Khatib Mohamad (Pengkalan Berangan) dan Ahmad Razif Abdul Rahman (Seberang Takir) serta Adun Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar .

Adun yang tidak hadir ialah Datuk Seri Idris Jusoh (Jertih), Datuk Rosol Wahid (Ajil), Datuk Din Adam (Bukit Besi), Muhammad Ramli Nuh (Tepoh), Ramlan Ali (Jabi), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri), Alias Abdullah (Alor Limbat), Dr A Rahman Mokhtar (Kuala Besut), Khazan Che Mat (Batu Rakit), Mohd Zawawi Ismail (Kuala Berang), Pehemi Yusoff (Kota Putera), Rosli Othman (Kemasek), Zakaria Abdullah (Paka), Ashaari Idris (Langkap) dan Nawi Mohamad (Hulu Besut)

Dua Exco tidak hadir ialah Datuk Mohamed Awang Tera (Chukai) dan Khazan Che Mat (Batu Rakit), manakala Toh Chin Yau (Bandar) dari MCA.




Era Najib Altantuya : Tolak Islam Bererti Setinggan - Nik Aziz

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan orang yang menolak dasar Islam dan memperjuangkan dasar kebangsaan sebagai 'setinggan di bumi ini'.

Katanya, sebagai hamba Allah manusia ini tidak boleh buat akidah kerana apabila manusia menolak Islam dia sudah bertaraf setinggan dan Pas sendiri Pas tidak membuat sebarang akidah.

Menurut Nik Aziz, UMNO dianggap sebagai tinggal tanpa izin di atas bumi Allah kerana mereka mencipta dasar yang tidak selaras dengan dasar Islam

“Kalau hukum dunia, setinggan ini perlu dirobohkan, dihalang. Pas satu sahaja yang dibuatnya iaitu meniru keputusan yang dibuat oleh Allah mengenai akidah. Pas tidak ada hak untuk membuat akidahnya sendiri. Jadi Islam ini bukan pandai-pandai buatan Pas.

“Bila UMNO buat akidah yang bernama akidah UMNO, dia sudah buat benda palsu. Tapi kalau pun kita ada dasar iaitu dasar parti dan dasar parti kita itu mesti selaras dengan akidah Islam. Dasar parti yang selaras dengan akidah Islam tidak akan menimbulkan masalah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di Kota Darul Naim, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta Pas supaya tidak sepatutnya mempertikai dan mempersoalkan akidah orang UMNO kerana mereka juga sebenarnya adalah orang Islam.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, mana-mana dasar yang tidak selaras dengan akidah Islam maka dasar itu hendaklah ditolak.

“Sebab itu saya selalu menegur UMNO supaya mengubah dasar kepada dasar Islam. Dasar Islam itulah yang selaras dengan akidah Islam.

“Percubaan untuk mengajak saya berbincang atau berunding sebab itu saya jawab nak runding apa, ini perkara lama. Kalau runding soal royalti saya setuju la. Setiap orang mukmin itu aktivitinya ialah 'lillah', berdasarkan kepada syahadah," katanya.

Era Najib Altantuya : Ranking Keselamatan Jatuh 25 Anak Tangga, Pecat KPN Segera

Tahap keselamatan negara yang kian meruncing membuktikan bahawa tindakan PAS membantah perlantikan semula Tan Sri Musa Hassan sebagai Ketua Polis Negara (KPN) adalah tepat, kata Ketua Penerangannya Ustaz Idris Ahmad.

"Laporan Daya Saing Global Forum Ekonomi Dunia (WEF) bagi 2009-2010 yang dikeluarkan semalam menunjukkan ranking keselamatan negara jatuh 25 tangga ke kedudukan ke-85," kata beliau yang menyifatkan peningkatan tersebut sebagai tanda kegagalan Musa.

Isu keselamatan, katanya, bukan sahaja menjadi kerisauan rakyat tetapi pelaburan dari luar juga menguncup dengan rangking daya saing Malaysia di peringkat global merudum ke kedudukan yang ke 24.

Menurut laporan berkenaan juga, potensi keganasan berada di kedudukan ke-97 dan jenayah dikedudukan ke-95 dengan kedua-duanya membawa kepada kos perniagaan yang ketara bagi pelaburan dalam negara.

"Tindakan PAS sebelum ini yang membantah kontrak Musa sebagai KPN disambung semula adalah tepat jika dinilai dari segi masa depan ekonomi dan keselamatan negara.

"Fakta yang dikeluarkan komuniti forum ekonomi antarabangsa ini memperjelaskan kegagalan KPI beliau dalam mengurus aspek keselamatan negara dengan baik," kata Idris.

Berikutan kegagalan Musa itu, PAS memohon campur tangan Yang di-Pertuan Agong supaya membatalkan pelantikan semula beliau.

"Dalam suasana kegawatan ekonomi sekarang, jenayah merupakan kerjaya yang kian berkembang dan Polis DiRaja Malaysia memerlukan seorang ketua yang berkerja bersungguh-sungguh untuk memerangi jenayah, bukannya seorang ketua yang gagal melaksanakan tugasnya," tegas Idris.

Walaupun dibantah pelbagai pihak termasuk PAS, perkhidmatan Musa sebagai KPN yang disambung minggu lalu sehingga 12 September tahun depan.

PAS sebelum ini memohon campur tangan Yang di-Pertuan Agong supaya menolak pelantikan semula Musa Hassan sebagai KPN.

Gesaan itu dibuat ekoran peningkatan kadar jenayah yang gagal dibendung dan muncul dakwaan terbaru bahawa wujud penglibatann kongsi gelap dalam mengatur kenaikan pangkat pegawai polis.

Beberapa hari sebelum kontrak Musa disambung, blog kontroversi Malaysia Today menyiarkan akuan bersumpah didakwa dibuat seorang pegawai polis yang pernah menjadi pembantu peribadi Musa.

Pegawai polis itu, antara lain, mendakwa Musa membiarkan penjenayah memanipulasi kenaikan pangkat anggota polis dan jawatan mereka.

Beliau juga mendakwa diarahkan supaya "menyelaraskan arahan mengenai pangkat dan jawatan para pegawai polis berdasarkan draf dan cadangan yang dibuat oleh BK Tan".

Laporan sebelum ini mendakwa Tan adalah kepala sindiket jenayah terancang yang menguasai dadah, persundalan, ceti haram dan rangkaian perjudian haram di seluruh Malaysia. Beliau juga didakwa menguasai sistem maklumat berkomputer polis.

Era Najib Altantuya : Peguam Negara Tiada Locus Standi Untuk Mulakan Prosiding Batalkan Pekeliling K'jaan Selangor

Kerajaan Negeri telah menfailkan Saman Dalam Kamar untuk membatalkan permohonan peguam Negara yang menentang pengeluaran pekeliling No.4 bertarikh 22 Julai 2009.

Saman berkenaan dikemukakan oleh peguam yang mewakili beliau di mahkamah tinggi Shah Alam, kelmarin.

Pekeliling itu menyatakan bahawa siasatan atau soal siasat oleh SPRM membabitkan kakitangan kerajaan harus dijalankan di antara jam 8 pagi sehingga 6.30 petang dengan kehadiran peguam di Bangunan SUK.

Ini adalah untuk memberi jaminan perlindungan keselamatan kepada 18,312 pegawai dan kakitangan Negeri Selangor.

Selain mengelakkan kejadian yang menimpa Setiausaha Politik Exco Selangor Ean Yong Hian Wah,Teoh Beng Hock, kerajaan negeri mendapati siasatan sering dijalankan secara mengejut dan melewati tengah malam.

“Siasatan yang dijalankan akan dibuat secara mengejut tanpa mengira masa, sehingga ada yang melewati tengah malam dan keesokkan harinya. Malah saya juga telah memperincikan bagaimana siasatan SPRM telah dilakukan secra rambang sehingga kerapkali berlaku pemancingan bukti semata mata," katanya.

Tan Sri Khalid turut menyenaraikan kes kes penyiasatan dan soal siasat yang telah dilakukan oleh SPRM di semua peringkat bermula dengan beliau sebagai Menteri Besar, Pegawai Kewangan Selangor, pekerja pekerja di pejabat Menteri Besar, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri(MKKN) dan pembntu mereka, Ahli Dewan Negeri Selangor, kakitangan awam Pejabat Tanah dan Daerah dan Majlis Perbandaran Negeri dan kakitangan Syarikat Syarikat negeri dan anak anak syarikatnya.

Walaubagaimanapun,peguam Negara telah menfailkan saman pemula bagi membatalkan pekeliling itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 28Ogos 2009.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di SUK berkata, kerajaan negeri berpendapat Peguam Negara tiada locus standi atau hak untuk memulakan prosiding yang sepatutnya dimulakan SPRM.

“Kami menyatakan bahawa Seksyen 30 akta SPRM yang membenarkan para pegawai SPRM menyoal siasat pada bila bila masa dengan menggunakan apa cara sekaligus perlu dilaksanakan dengan mengambil kira hak hak di bawah Perlembagaan dengan pendekatan penyiasatan yang professional. Didalam kes ini hak asasi telah disampingkan dan berlaku perlanggaran hak kebebasan hak asasi atau kebebasan diri yang diperuntukkan dalam perkara 5(1)Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Menurutnya lagi,Akta SPRM itu bukan sahaja melanggar hak individu yang ditahan untuk disoal siasat SPRM, tetapi juga merupakan satu diskriminasi terhadap Kerajaan Negeri Selangor berbanding kes kes di negeri lain di Malaysia.

“Oleh itu,kami juga berpendirian bahawa peruntukan tersebut adalah tidak konsisten dengan perlindungan Kesamarataan dalam Perkara 8(1)Perlembagaan Persekutuan dan merupakan satu bentuk diskriminasi kepada pihak Kerajaan Negeri Selangor dalam perkara 8(2) dalam Perlembagaan persekutuan," katanya. -TVS

PKFZ : Langkah Tubuh Jawatankuasa Khas Satu Kosmetik

Langkah Kabinet menubuhkan pasukan petugas khas serta-merta bagi menyediakan laporan berkaitan isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) tidak akan mampu selesaikan masalah yang melanda.

Ramai dari kalangan pemerhati politik menyifatkan tindakan Najib itu berkepentingan popolitik untuk mengahdapi pilihanraya Bagan Pinang sebagai satu helah untuk menunjukkan kerajaan BN perihatin mengenai isu berkenaan sedangkan ia tidak ubah untuk menyapu sampah ke bawah karpet.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkannya berkata, pasukan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan itu akan meneliti aspek urus tadbir dan masa depan projek tersebut.

Beliau menjelaskan, pasukan tersebut juga akan dianggotai Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah; Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, pegawai-pegawai Kementerian Pengangkutan dan golongan profesional

Beliau berkata, kerajaan mahu siasatan sepenuhnya dilakukan membabitkan sebarang penyalahgunaan kuasa atau perbuatan yang bertentangan dengan undang-undang.

"Kita telah buat keputusan yang isu PKFZ terbahagi kepada tiga aspek iaitu pertama, sama ada berlaku salah guna kuasa atau perbuatan yang bertentangan dengan undang-undang negara, ini di bawah (kuasa) polis untuk siasat dan Peguam Negara akan tentukan (sebarang pendakwaan).

"Kebenaran dan kesahihan hendaklah jadi keutamaan dalam isu ini dan semua siasatan membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis adalah diteruskan," kata beliau.

Apa yang menjadi kejanggalan ialah penyertaan Peguam Negara yang dikenali sentiasa melakukan pendakwaan terpilih dan juga pegawai-pegawai Kementerian Pengangkutan yang sepastinya akan berdiri di belakang menterinya, Ong Tee Keat, orang yang dikaitkan secara terus dengan penyelewengan PKFZ.

Sewaktu ditanya tentang pasukan tersebut yang turut melibatkan Kementerian Pengangkutan, Perdana Menteri tidak dapat memberikan alasan yang baik kecuali menyatakan, kerajaan tidak akan memisahkan kementerian tersebut dalam isu berkenaan.

"Justeru itu, jawatankuasa adhoc kabinet untuk menyiasat PKFZ hanyalah satu petugas kosmetik yang tidak menjanjikan ketelusan dan penyelesaian isu berkenaan," tegas seorang pensyarah yang enggan menyiarkan namanya.


Najib Altantuya Tanam Tebu Dibibir Mengenai Rundingan

Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini dalam majlis berbuka puasa di MRSM Kuala Krai telah mengumumkan buat kesekian kalinya yang Umno sanggup berunding dengan PAS demi kepentingan umat Islam di negara ini.

Bagi Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi, kata-kata Najib ini tidak lebih sekadar menanam tebu di bibir mulut. Bunyinya baik, ideanya bagus, tapi malangnya ia dilafazkan oleh seorang yang sudah tidak dipercayai lagi.

Walaupun mengakui yang rundingan adalah sesuatu yang baik, namun rundingan itu juga jelas Nasrudin mestilah untuk tujuan yang baik.

Kebetulan atau tidak, tambah Nasrudin, akuan Najib tentang kesanggupan Umno untuk berunding dengan PAS itu muncul selepas sah satu lagi pilihanraya kecil bakal diadakan di Bagan Pinang, Teluk Kemang, Negeri Sembilan.

Ia nyata satu umpan politik dari Najib bagi menggambarkan yang Umno suka berbuat baik dan perdamaian, semua cakap-cakap ini akan kabur dan hilang sebaik sahaja tamatnya pilihanraya, apalagi jika kemenangan memihak kepada BN, ulas Nasrudin panjang-lebar.

Nasrudin dalam kenyataannya yakin bahawa Umno dan BN hari ini berada dalam keadaan yang sangat terdesak, maka sebab itu lagu “rundingan” ini dinyanyikan kembali.

Pilihanraya kecil yang berterusan dengan rekod kekalahan berturutan memaksa Najib mencari kaedah “stop loss.” Istilah suci mesti digunakan apatah lagi Umno mutakhir ini telah begitu terpalit dengan politik perkauman yang sempit lagi jijik.

Nasrudin menganggap rundingan yang dicadang Najib itu bukan sahaja tidak ikhlas, bahkan tidak akan berjaya kerana rakyat kini sudah semakin bijak menilai permainan politik pemimpin mereka.

Walau bagaimanapun, tegas Nasrudin, PAS sebagai sebuah parti politik berteraskan Islam secara amnya tidak pernah menolak idea rundingan, dialog, debat atau seumpamanya, dengan mana-mana pihak sekalipun, selagimana ia boleh membawa manfaat yang besar kepada rakyat dan negara.

Jika benar ada kalangan Umno yang betul-betul ikhlas mahu berunding dengan PAS, Nasrudin mengatakan setakat mahu berunding atas sesuatu isu bukanlah sesuatu yang sukar. Cuma, jika sudah bersedia untuk berunding dan berbincang, maka hentikanlah segala dayausaha menyakiti, mendera dan memfitnah PAS serta rakan-rakan, sama ada secara langsung, atau melalui jentera kerajaan yang dipimpinnya, atau melalui media-media yang dikuasainya. Kerana rundingan atau perbincangan harus bermula dengan suasana yang selesa.

Kalau ini tidak dilakukan, hanya ada satu pesan Nasrudin kepada Najib, “Jangan haraplah.” -Zukri Aksah

Era Najib Altantuya : Peruntukan Masih Diluluskan Walaupun Dewan Sudah Dibubarkan

Pendengaran Awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) terus membongkar salah guna peruntukan DUN, khususnya menjelang pilihanraya umum, Mac tahun lalu.

Selcat semalam memanggil Pegawai Daerah Klang, Bakhtiar Hussin bagi memberi keterangan berhubung pembayaran peruntukan yang habis digunakan dalam tempoh sebulan setengah, berbanding 12 bulan yang ditetapkan.

Kelmarin, dua pegawai daerah dipanggil untuk memberi keterangan salah guna peruntukan ADUN Barisan Nasional iaitu pegawai daerah Petaling dan Gombak.

Dalam sesi 4 jam itu, Speaker Dewan Negeri, Teng Chang Khim mempertikaikan tindakan Pejabat Daerah Klang meluluskan 668 permohonan di 10 kawasan DUN pada 13 Februari lalu, walhal pada tarikh itu, dewan negeri sudah pun dibubarkan.

Menurut Teng, Bakhtiar juga meluluskan 22 permohonan peruntukan pada 3 Mac 2008, sedangkan pada masa itu kempen Pilihanraya Umum ke-12 sedang berjalan.

“Nampaknya tidak begitu lancar kerana kami tidak dapat jawapan yang benar, jawapan yang munasabah umpamanya saksi tidak mahu memberi komen sebagai seorang pengawal kewangan terhadap cara pengurusan peruntukan tersebut yang begitu nyata luar biasa di mana peruntukan untuk 12 bulan dihabiskan dalam tempoh satu setengah bulan”, kata Speaker Dewan Negeri, Teng Chang Khim.

Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas mempengerusikan Sesi Pendengaran Awam SELCAT Kedua di Bangunan Annex, Shah Alam tengah hari tadi.

Saksi pertama hari ini, Baktiar cuba berdolak-dalih apabila Teng bertanyakan tempoh proses kelulusan bagi setiap permohonan ADUN Barisan Nasional daerah Klang.

Teng terkejut apabila Bakhtiar memberitahu, bagi projek-projek kecil di bawah 20 ribu ringgit, boleh diluluskan dalam tempoh 2 hingga 3 hari mengikut keperluan setelah bukti kerja dikemukakan kepada mereka seperti gambar sebelum dan selepas kerja, resit dan voucher pembayaran.

Mengikut Piagam Pelanggan, setiap permohonan ADUN akan diluluskan sekurang-kurangnya 14 hari atau dua minggu selepas permohonan dihantar.

Teng: 13 Februari dan bubar, dewan dah bubar 13 Februari macam mana boleh diluluskan pada hari ini? Kerja sampai malam. Perdana Menteri dah umumkan pada 10 pagi, bubar, tapi kamu kerja sampai 12 malam untuk luluskan, kerajaan dah tak ada.

Bakhtiar: Mana-mana permohonan yang saya sebut tadi, yang telah dilaksanakan, dan kita luluskan untuk pembayaran, makna dilulus dia dah laksanakan diluluskan ADUN berkenaan, peruntukan-peruntukan ADUN nie, the moment ADUN sign Borang A, lulus maknanya kita kena bayar.


Saksi lain yang turut dipanggil ialah Ketua Penolong Pegawai Daerah (Bahagaian Pembangunan), Suliman Abdul Rahman; Penolong Akauntan, Ismail Hussain dan Ketua Pembantu Tadbir, Ali Abdullah.

Bagaimanapun, sesi yang masuk hari kedua ini tidak berjalan dengan lancar kerana saksi-saksi tidak memberi kerjasama baik bagi menjawab semua persoalan yang diajukan.

Teng juga memberi tempoh sehari kepada semua saksi untuk menyediakan semua jawapan bernas bagi merungkai salah guna peruntukan ADUN Barisan Nasional Penggal ke 11 lalu.


Sesi pendengaran bersambung esok. -TVS



Era Najib Altantuya : Saksi SPRM Didera Teruk

Perbicaraan inkues semalam menampilkan saksi yang menjadi mangsa deraan pegawai-pegawai penyiasat SPRM.

Sivanesan Tanggavelu, 22, dipanggil ke kandang saksi oleh peguam Gobind Singh Deo untuk menerangkan kepada mahkamah bagaimana dia telah didera semasa disiasat SPRM.

Kesaksian pengurus syarikat ini adalah penting bagi menunjukkan dakwaan bahawa SPRM tidak menggunakan kekerasan semasa menyoal-siasat mangsa adalah tidak benar sama-sekali.

Walaubagaimanapun, peguam mewakili SPRM, Datuk Abdul Razak Musa membantah kehadiran Sivanesan.

Abdul Razak berkata pengakuan Sivanesan ini tidak relevan kepada inkues Teoh Beng Hock kerana ia tidak berkaitan dan telah berlaku lama dahulu.

Gobind, mewakili keluarga mangsa, berharap kesaksian Sivanesan dapat membuka mata inkues bahawa mendiang Teoh Beng Hock mungkin di dera sehingga membawa kepada kematian.

“Hari ini, kami telah pun membawa ke mahkamah satu saksi yang telah pun memberi keterangan mengenai deraan dan paksaan serta kecederaan yang beliau alami semasa disiasat di tingkat 14, Plaza Masalam, Shah Alam.

“Pada minggu lalu, kami telah mengemukakan satu laporan polis, mana kami telah pun menyatakan bersedia untuk membawa 1 saksi dan kami bersedia untuk menerima cabaran tersebut,” katanya.

Sivanesan dalam akuanya melakar imej grafik pengalaman di kurung dalam sebuah bilik gelap. Dikerumuni beberapa lelaki, dia dipukul dengan batang besi, ditumbuk, ditendang, dibogelkan dan dirotan di bahagian kemaluan sehingga pengsan.

Sivanesan dikunjungi SPRM di rumahnya pada 4 September tahun lepas dan diminta untuk membantu siasatan agensi itu.

Sivanesan bersetuju membantu siasatan SPRM dan diring ke ibupejabat SPRM di Plaza Masalam. Beliau bagaimanapun terkejut apabila pegawai-pegawai terbabit memaksanya menandatangani sebuah dokumen yang menyabitkan kesalahan rasuah pada dirinya.

Seorang pegawai bernama Mohan mengugut sekiranya Sivanesan enggan bekerjasama, ibupejabat SPRM ini akan menjadi neraka baginya.

Sementara itu, peguam yang mewakili kerajaan Negeri Selangor, Malik Imtiaz Sarwar memberitahu bahawa kerajaan negeri akan memanggil ahli patologis Tsunami 2004 yang terkenal, Dr Pornthip Rojanasunand, ke kandang saksi Isnin depan bagi membantu inkues. -TVA