15 Sep 2013

Ingatan TGNA: Jangan Bagi Pelampung Kepada UMNO Yang Sedang Kelemasan!


Saya membaca muka hadapan Sinar Harian hari ini 15 September 2013 yang memuatkan tajuk besar PAKATAN RUGIKAN PAS? dengan memetik ucapan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Harun Taib yang dikatakan meminta Majlis Syura Ulama mengkaji semula Tahaluf Siyasi (Persefahaman Politik) dalam Pakatan Rakyat.

Saya tidak menghadiri Multaqa Ulama yang diadakan di Kota Sarang Semut semalam sekalipun saya benar-benar berhasrat untuk hadir. Keuzuran dan situasi kesihatan menghalang saya untuk hadir ke program yang saya sifatkan sangat bermakna itu. Justeru, saya tidak mendengar sendiri ucapan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat seperti yang dilaporkan oleh akhbar. Berkemungkinan ia hanya ulasan akhbar dan bukannya ucapan sebenar beliau ataupun sememangnya dipetik dari ucapan beliau, wallahulam.

Walau bagaimanapun, suka untuk saya memberikan respon terhadap tajuk yang digunakan di muka hadapan Sinar Harian iaitu PAKATAN RUGIKAN PAS? Perlu dijelaskan bahawa penyertaaan PAS melalui Tahaluf Siyasi di dalam Pakatan Rakyat bukannya diputuskan oleh beberapa individu sahaja. Ia diputuskan oleh keputusan kolektif pimpinan PAS dan diperkuatkan melalui Muktamar Tahunan PAS yang berlangsung selepas pilihanraya umum 2008.

Saya melihat keputusan ini tidak sekali-kali silap bahkan ia lebih membawa PAS ke hadapan pentas politik di Malaysia. Lebih bermakna daripada itu, PAS berjaya mempersembahkan Islam kepada non Muslim dengan cara yang tidak pernah dilakukan oleh UMNO. UMNO bukan setakat menjauhkan bukan Islam daripada Islam bahkan menjauhkan orang Islam sendiri dari memahami agama mereka.

Senjata UMNO ialah perkauman, lambang UMNO ialah keris tidak bersarung, politik UMNO ialah politik samseng jalanan, sampai bila-bila non Muslim tidak akan melihat keindahan Islam melalui cermin mata politik UMNO yang penuh dengan habuk kebangsaan.

Di dalam Pakatan Rakyat, pendekatan Islam yang dibawa oleh PAS tidak pernah ditentang. Pemimpin-pemimpin DAP khususnya seringkali datang ke pejabat saya berbincang sentiasa tentang nilai-nilai Islam. Ada yang datang mengungkapkan istilah-istilah perundangan syarak yang kadang-kadang pemimpin UMNO sendiri pun barangkali tidak pernah bersua dengan istilah sebegini.

PAS wajib melangkah ke hadapan. Pengalaman sebagai gerakan Islam yang telah berusia lebih setengah abad wajar mengajar PAS bahawa untuk terus relevan di pentas politik negara, PAS wajib memahami suasana politik. Selagi tidak bertentangan dengan prinsip asas syariat, jangan mengurung PAS di dalam kandang pemikiran yang kita sendiri cipta. PAS membawa nama Islam di dalam perjuangannya, maka wajiblah ke atas PAS untuk mempersembahkan Islam dengan wajah terbaik kepada masyarakat Malaysia.

Saya mendegar pengalaman Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan yang baru pulang dari lawatan kerja di Johannesburg, Afrika Selatan. Katanya di sana zakat turut diberikan oleh orang Islam kepada bukan Islam. Di Malaysia, di bawah asnaf muallaf, hanya orang yang baru memeluk agama Islam menerima zakat. Sedangkan muallaf juga boleh jadi seorang non muslim yang hampir lembut hatinya untuk memeluk Islam dan juga seorang non muslim yang sangat tegar memusuhi Islam namun jika diberikan zakat, permusuhannya itu kendur.

Ini sebagai contoh bagaimana ada aspek pengamalan Islam secara praktikal di Malaysia masih belum tepat dengan wajahnya yang sebenar. Inilah yang perlu dibaiki dan PAS wajib memainkan peranan. Saya yakin, jika Islam difahami dengan baik tanpa gangguan daripada pihak-pihak yang berkepentingan, ia akan diterima dengan mudah tanpa sebarang syak wasangka oleh rakan-rakan daripada non Muslim.

Di sinilah letaknya misi sebenar PAS di dalam Pakatan Rakyat. Benar, kita ingin memburu kemenangan di dalam pilihanraya, tetapi juga perlu diingat PAS sebagai gerakan Islam juga memikul tanggungjawab dakwah yang besar di pentas politik. Justeru, keberadaan PAS di dalam Pakatan Rakyat sekali-kali bukan merupakan langkah yang silap, bahkan ia merupakan langkah yang sangat tepat dengan realiti politik negara.

Tahniah kepada para ulama yang bermultaqa semalam. Harapan saya agar ia dapat menguatkan iltizam kita semua di dalam memperkukuhkan PAS sebagai parti politik yang berdasarkan Islam. Berhubung kedudukan PAS di dalam Pakatan Rakyat, jika mahu dikaji, silakan. Tetapi kaji hanya untuk penambahaikan, bukan kaji untuk mengundur ke belakang. Kaji untuk berundur ke belakang hanyalah memberikan pelampung kepada UMNO yang sedang kelemasan.

Sekian.

Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Al-Mursyidul Am PAS.
Bertarikh : 9 Zulkaedah 1434H bersamaan 15 September 2013M

[BERGAMBAR] Polis Tembak Diri Sendiri Selepas Tembak Isteri & Bapa Mertua


Ledang - Seorang anggota polis berpangkat lans koperal menembak mati isteri dan bapa mertuanya sebelum menembak diri sendiri dalam kejadian di Felda Chempelak, Labis dan di Kampung Padang Lerek 1, di sini malam tadi.

Isteri suspek berusia 26 tahun itu merupakan seorang kerani sekolah di Bandar Tangkak di sini manakala bapanya seorang imam di Kampung Padang Lerek 1, di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 malam, anggota polis itu dikatakan terlebih dahulu menembak isterinya di kuarters Pondok Polis Felda Chempelak di Labis, Segamat sebelum pergi ke rumah bapa mertuanya di Kampung Padang Lerek 1 yang terletak hampir 90 kilometer.

Suspek, 28 tahun, dikatakan mencari ibu mertua tetapi gagal dan terserempak dengan bapa mertuanya yang ketika itu sedang bersiap-siap hendak ke masjid lalu menembaknya.

Suspek kemudian bertindak menembak diri sendiri dan rebah serta meninggal dunia di rumah bapa mertua, manakala bapa mertua yang cedera parah akibat terkena tembakan dikejarkan ke Hospital Daerah di sini tetapi disahkan meninggal dunia pada kira-kira pukul 8.15 malam.

Sementara itu seorang jiran mangsa, yang enggan dikenali, berkata beliau terkejut apabila terdengar bunyi letupan dan salah seorang anak lelaki mangsa tiba-tiba datang ke rumahnya memberitahu ayahnya ditembak oleh suspek yang juga abang iparnya.

"Saya amat terkejut dan memberanikan diri untuk melihat ke dalam rumah mangsa dan apabila masuk, saya lihat dua tubuh terbaring di ruang tamu berlumuran darah.

"Imam itu ketika itu berada dalam keadaan terlentang dalam keadaan nyawa-nyawa ikan manakala suspek tertiarap di atas meja," katanya yang bertindak menghubungi polis dan ambulans sejurus selepas itu.

Katanya, sebelum itu beliau ada melihat suspek pulang ke rumah bapa mertuanya itu bersama anak lelakinya yang berusia tiga tahun dengan menaiki sebuah Proton Wira sebelum salah seorang anak perempuan Iman itu keluar bermain-main bersama anak suspek.

Sementara itu, jenazah suspek dan bapa mertuanya dibawa ke bilik mayat Hospital Daerah Ledang di sini manakala sepasukan anggota forensik masih menjalankan siasatan di rumah kejadian di Kampung Padang Lerek 1 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supt Harun Idris turut berada di tempat kejadian, namun belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian itu. - Bernama



ULASAN GB

Inilah yang berlaku apabila pistol berada di tangan orang yang tipis imannya.

Sebelum ini di Terengganu sudah wujud pendedahan di mahkamah di dalam kes Suwardi dan Azwan, seorang anggota polis cara terang-terangan mengaku dia tidak pernah mendirikan solat, kemudian mengaku bahawa dia seorang peminum arak, sekalipun di luar waktu bertugas.

Kemudian timbul pula kes polis merogol pelajar di dalam balai polis.

Kejadian jenayah menjadi-jadi di kalangan anggota PDRM kerana ada menteri yang membelanya - katanya bilangan anggota polis yang melakukan jenayah adalah kecil berbanding jumlah anggota PDRM keseluruhannya.

Sindrom memberikan alasan sedemikian amat-amat tidak wajar kerana ia persis menggalakkan lagi perbuatan jenayah dan salahlaku polis yang sepatutnya bertindak membenteras jenayah - tetapi kini, mereka sebenarnya penjenayah.

Walau apa pun alasan polsi itu melakukan tembakan (samada beliau menghadapi masalah mental dan sebagainya) yang penting keseluruhan unit keselamatan perlu dibersihkan. Usaha untuk meningkatkan pendidikan agama di kalangan para anggotanya perlu dilakukan.

Dan Menteri KDN dan KPN, seperti GB suarakan sebelum ini, perlu ditukar kerana kedua-duanya bermasalah.

Petikan :

Dan seperkara yang perlu direnungkan ialah, kejadian jenayah berleluasa sehingga negara menjadi seperti sangkar samseng bermaharajalela sekarang ini adalah kerana kita mempunyai seorang Menteri KDN yang mempunyai rekod jenayah memukul orang awam yang kesnya masih berjalan di mahkamah.

Dan kita mempunyai seorang KPN yang diisytiharkan oleh mahkamah sebagai orang bertanggungjawab terhadap kematian tahanan di dalam penjara!

Dan nampaknya, selagi Menteri KDN dan KPN tidak ditukarkan, kita akan mendengar lebih banyak lagi kes-kes tembak menembak ini.

Bukankah bagaimana acuan begitu kuehnya? Bagaimana ketua begitu anak buahnya?

Hukum Kebenaran dan Keadilan akan terus berjalan.


Semua Jijik Dengan Utusan, Bagi Free Pun Orang Tak Mau


Utusan tak jadi pilihan walau diedar percuma

Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia tidak menjadi pilihan hari ini kepada tetamu yang hadir pada Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera 2013 walaupun ianya diberikan secara percuma.

Majlis yang diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu mula dibanjiri pengunjung seawal 7 pagi lagi namun setelah jam 5 petang, kira-kira 2,000 naskhah masih tidak diambil pengunjung.

Akhbar dengan muka hadapan bertajuk 'Ekonomi Bumiputera diperkasa' berharga RM1.50 senaskhah dan bertarikh hari ini berbanding akhbar berbahasa Inggeris edisi semalam yang turut diedarkan percuma pada majlis sama.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan perasmian bangunan Utusan baru semalam menggesa syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat milik Melayu dan Bumiputera untuk membeli iklan daripada akhbar berkenaan bagi membantu kelangsungan Utusan.

"Saya harap kepada badan kerajaan, GLC dan syarikat Bumiputera menghargai Utusan dengan memberikan pengiklanan lebih kepada Utusan. Ini sahaja dapat letakkan Utusan di atas landasan lebih kukuh," katanya.

Najib turut menambah, sebagai ketua kerajaan, beliau yakin, peranan akhbar berkenaan akan akhirnya membawa kepada pengukuhan Malaysia sebagai negara bangsa.

Utusan sebelum ini menimbulkan kontroversi apabila laporan muka hadapan akhbar berkenaan memaparkan tajuk "Apa Lagi Cina Mahu" sejurus selepas Pilihan Raya Umum 2013.

Laporan berkenaan menimbulkan reaksi negatif pelbagai pihak yang mengkritik penerbitan berkenaan.

Kenyataan Najib itu dilihat sebagai restu kerajaan kepada akhbar berhaluan kanan itu. Perdana menteri itu juga turut berkata, pihaknya akan menukar nama Jalan Enam di hadapan bangunan baru Utusan Melayu kepada Jalan Utusan, bersempena dengan nama syarikat penerbitan tersebut. -TMI

ULASAN GB

Demikianlah hukum kebenaran dan keadilan apabila ia berjalan.

Apabila akhbar berkenaan terus-terusan dengan corak pemberitaan mereka yang sarat dengan fitnah, lucah dan perkauman, mereka akan terhukum dengan sendirinya.

Bodoh sebodoh-bodohnya, Tak pernah mahu belajar dari kesilapan, tak pernah belajar dari hukum alam. "Sunnatullah" itu hendak didilawannya.

Papagomo, Alat UMNO Untuk Tabur Fitnah, Dan Dia Pasti Binasa!


Keputusan kes Papagomo diharap akhiri politik kotor

Keputusan Mahkamah Tinggi terhadap bekas anggota polis, Wan Muhammad Azri Wan Deris aka Papagomo dan memerintahnya membayar RM500,000 dalam satu kes saman fitnah semalam akan meningkatkan rasa hormat di kalangan penulis blog terhadap undang-undang, kata peguam N Surendran.

Beliau memberitahu Malaysiakini bahawa ini sudah tentu akan mengukuhkan saman fitnah jutaan ringgit yang difailkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Wan Muhammad Azri, yang lebih dikenali sebagai penulis blog Papagomo.

Surendran mendakwa Papagomo merupakan satu lagi alat Umno untuk memfitnah dan menyiarkan berita palsu tentang pembangkang dan oleh itu, beliau mengalu-alukan keputusan mahkamah tersebut bagi menamatkan pembohongan dan politik kotor.

Anwar telah memfailkan saman fitnah terhadap Papagomo kerana didakwa mengaitkan beliau dengan lelaki lain dalam satu video seks, tetapi Wan Muhammad Azri selama ini menafikan bahawa dia adalah Papagomo .

Surendran mengesahkan bahawa kes Anwar terhadap Papagomo akan didengar di mahkamah pada Januari tahun depan.

Katanya, tanpa mengira keputusan mahkamah semalam, pihaknya sudah mempunyai cukup bukti yang mengaitkan Wan Muhammad Azri dengan Papagamo .

Surendran yang juga Ahli Parlimen Padang Serai berkata adalah tidak masuk akal bagi Wan Muhammmad Azri untuk terus menafikannya.

Seorang lagi ahli politik pembangkang, Rafizi Ramli, juga sedang menimbang untuk menyaman Papagomo kerana didakwa membuat serangan yang sangat peribadi terhadap tokoh pembangkang yang seringkali tanpa justifikasi.

"Ini merupakan satu kes ujian dan mahkamah telah menghantar isyarat yang jelas kepada setiap penulis blog di luar sana yang berkelakuan seperti Papagomo."

Rafizi berkata, keputusan awalnya untuk tidak memfailkan saman adalah kerana sebagai seorang ahli politik, beliau menimbang kesan tindakannya kepada parti politiknya.

Bagaimanapun, beliau berharap lebih ramai akan tampil menyaman Papagomo atau Wan Muhammad Azri.

Rafizi, pengarah strategi PKR, tersinggung dengan Papagomo yang menulis dalam blognya mendakwa pengarah strategi PKR itu dipecat daripada jawatan di Petronas kerana isu-isu disiplin.

Ini diterbitkan sejurus sebelum pilihan raya umum pada 5 Mei, yang menyaksikan Rafizi memenangi kerusi Parlimen Pandan.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng juga dilaporkan telah memfailkan saman terhadap Papagomo .

Husam menyaman penulis blog itu kerana didakwa menyiarkan artikel yang mengaitkan pemimpin PAS itu dengan seorang wanita.


Papagomo juga menyiarkan gambar wanita yang didakwa menjadi mangsa gangguan seksual anak Lim yang berusia 15 tahun, yang kemudian didapati tidak benar, dengan wanita itu secara terbuka menafikan perkara itu.

Bagaimanapun, peguam mereka tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen mengenai status kes mereka.

Wan Muhammad Azri berdepan dengan banyak lagi masalah. Satu laporan polis telah dibuat terhadapnya bulan lalu oleh Pemuda MCA kerana didakwa membuat kenyataan rasis di talian.

"Oleh kerana Papagomo telah dikenal pasti, saya berharap pihak polis boleh mula menyiasatnya," kata ahli jawatankuasa pusat Pemuda MCA, Chong Sin Woon ketika dihubungi. -mk

ULASAN GB

Mahakamah telah memutuskan bahawa papagomo adalah seorang PENDUSTA.

The judge calls Wan Muhammad Azri Wan Deris a 'liar' for denying he is the blogger, and fines him RM500,000.


GB sudah ulas lama dulu di: Satu Hari Papagomo Tetap Kena Walaupun Polis & SKMM Tak Jalankan Kerja. Kini apa yang GB utarakan menjadi kenyataan.

Kebal macamana pun papagomo yang dili9dungi oleh polis, dengan hukum kebenaran dan hukum Tuhan, papagomo pasti hancur binasa!

Petikan:

GB perhatikan sudah ada laporan polis / SKMM sebelum ini terhadap papagomo tentang banyak isu, salah satunya mengenai video seks.

Tetapi tak ada siasatan dilakukan, malah papagomo semakin galak menyiar gambar porno dan video lucah.

Yang penting sekarang, ialah laporan polis terhadap polis dan pegawai SKMM yang tak menjalankan kerjanya.

Mentang-mentang duduk sekapal dalam UMNO.

Tak apa, satu hari papagomo tetap kena. Sepandai-pandai tupai melompat akan jatuh ke tanah juga.

Doa lagi: Ya Allah buktikan kebenaran itu kebenaran....

Doa orang yang baik-baik dan yang dizalimi akan tetap mengatasi amalan dan doa orang yang jahat-jahat.


Dan di dalam satu ulasan GB yang lain GB telah nukilkan

Keengganan beliau untuk mengakui blog itu kepunyaannya bukti awal kebinasaan papagomo! Beliau TAKUT untuk mengakui blog fitnah itu miliknya kerana tahu blog itu menyajikan berita palsu dan dusta.

Sepatutnya apabila beliau sudah tidak mengakui blog itu miliknya, pihak berkuasa sudah boleh menyiasat siapa pula yang mengemaskini blog tersebut selama ini kalau bukan papagomo sendiri, dan papagomo boleh pula didakwa kerana menipu jika sebenarnya beliau yang mengemaskinikan blog tersebut. Dusta di atas dusta!

Namun, kebal macamana pun papagomo yang dilindungi oleh polis, dengan hukum kebenaran dan hukum Tuhan, kita akan menyaksikan papagomo pasti hancur binasa!

Bukan saja papagomo, sekalian blogger pencacai UMNO yang menyebarkan dan menyemarakkan budaya fitnah, lucah dan porno. Termasuklah polis yang selama ini bersikap double standard!