5 Jun 2012

Najib Tak Malu: Perlekeh Pakatan Kemudian Ciplak

Kuala Lumpur 5 Jun: “Najib tak malu, dalam memperlekehkan Pakatan Rakyat, diam-diam meniru satu persatu,” kata Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli.

Beliau berkata demikian mengulas ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa kerajaan bertanggungjawab adalah yang memulangkan hasil kepada rakyat dan bukan menjanjikan sesuatu yang tidak mungkin ditunaikan atau akhirnya memudaratkan negara.

Najib turut memberi contoh janji pihak tertentu (Pembangkang) yang hendak menurunkan harga minyak, menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), tol dan meletakkan gaji minimum yang tinggi.

“Dari awal Disember 2010 ketika Pakatan lancarkan Buku Jingga lagi, Najib berulang kali mengatakan negara akan bankrap dengan segala tawaran yang Pakatan sediakan.

“Dalam diam Najib akhirnya meniru juga apa yang Pakatan laksanakan contohnya bila negeri Pakatan menyalurkan bantuan rakyat antaranya Jom Shopping dan bantuan untuk warga emas, BN juga meniru kaedah yang sama dengan memberi bantuan seperti Skim Bantuan Rakyat 1Malaysia,” kata Rafizi ketika dihubungi Keadilan Daily.

Rafizi turut memberi contoh apabila Najib menolak cadangan Pakatan yang menawarkan penurunan harga dan pemansuhan tol tetapi dalam diam akhirnya turut berbuat demikian untuk mendapat kepercayaan rakyat.

“Kita tidak bimbang beliau nak perlekehkan cadangan Pakatan Rakyat tetapi apa yang memalukan ialah apabila seorang Perdana Menteri mencuri idea dan berbohong kepada rakyat,” katanya.

“Kita tahu dalam beliau memperlekehkan tapi dia meniru kerana beliau sedar semua cadangan Pakatan adalah hasrat rakyat dan digunakannya untuk mendekati mereka,” kata beliau lagi. -KD

Kenyataan "Hidup Mati" Bukti Nyata BN Sudah Goyah

Pakatan Rakyat (PR) melihat kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) penentu hidup mati Barisan Nasional (BN) dengan sendirinya menggambarkan ia semakin kurang sokongan dan peluang untuk mendapatkan semula negeri-negeri di bawah perikatan itu agak mustahil.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub menyifatkan rakyat kini lebih pandai menilai pihak yang dapat menawarkan kerajaan yang lebih baik dalam memperjuangkan hak rakyat.

"Golongan muda pada masa sekarang sudah pun berfikiran matang dan terbuka untuk memilih pemimpin yang boleh perjuangkan hak rakyat walaupun ada segelintir masih lagi dalam pemikiran lama.

"Hal ini boleh dilihat dengan penglibatan golongan muda kepada Himpunan Hijau Menuju Putrajaya yang diadakan baru-baru ini," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian kepada Sinar Harian.

Beliau baru-baru ini mengumumkan akan bertanding di Johor dalam misi PR bertapak di negeri selatan Semenanjung itu.

Kelmarin, Muhyiddin berkata PRU13 adalah penentu hidup atau mati BN.

Sehubungan itu, tegas Timbalan Perdana Menteri, setiap anggota jentera parti itu perlu memberi keutamaan kepada setiap kerusi yang ditandingi pada pilihan raya tersebut.

"Kita perlu bekerja keras. Zaman mewah BN seperti dahulu sudah berlalu. Jika pembangkang melakukan sesuatu kebaikan dan rakyat menyokong mereka, itu adalah masalah bagi kita," katanya di ibu negara.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN dan Pengerusi BN Wilayah Persekutuan berkata, apa yang boleh membahayakan parti itu ialah apabila anggotanya terlalu yakin mampu memenangi pilihan raya dengan mudah.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh berkata, hidup mati BN adalah bergantung kepada Umno semata-mata kerana dua komponen BN, MIC dan MCA sudah lama hilang kuasa dan sokongan rakyat.

"Parti kompenan BN, sudah makin lemah dengan kurangnya sokongan rakyat kepada parti MIC dan MCA.

"Sekarang Umno dilihat jadi penggerak utama kepada BN dan usaha untuk mendapatkan semula kerusi dilihat makin sukar tanpa sokongan yang kuat terhadap dua parti kompenan BN yang lain," kata Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan.

Dalam pada itu, Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw berkata, kenyataan Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden Umno, menunjukkan mereka masih belum yakin untuk menghadapi PRU13.

"Kita masih belum tahu siapa pemerintah kelak, kenyataan BN adalah kenyataan biasa dan mereka mungkin masih tidak yakin untuk itu," kata Seng Giaw. -SH

Tindakan Menteri Kesihatan Bida Plat WWW15 Guna Wang Rakyat Dibidas

Plat: Siapa ajar menteri bida guna wang rakyat

KUALA LUMPUR: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) kesal dengan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai yang mempertahankan bidaan RM24,200 yang dibuatnya untuk nombor pendaftaran WWW15 baru-baru ini.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid mempersoalkan apakah rasional menteri berbelanja untuk hanya nombor pendaftaraan kereta rasmi yang boleh menyara rumah kos rendah buat sebuah keluarga miskin atau menaja seorang pelajar miskin untuk masuk universti.

Baginya, sikap dan mentaliti menteri beginilah yang membuatkan rakyat sedang mual dengan kepimpinan negara yang ada sekarang, hanya kerana mereka terus berkuasa, apa saja tindakan dianggap punya rasional belaka.

Katanya, baru sahaja rakyat mempersoalkan kerajaan mengesahkan mengeluar perbelanjaan besar untuk perhimpunan jutaan belia di Putrajaya.

Beliau menambah, walaupun sebahgiannya adalah ditaja oleh swasta namun imej kerajaan sangat dipersoalkan.

"Membayar RM2.4 juta untuk penari separuh bogel dari Korea dianggap tidak bermasalah sedangkan ada rakyat yang bercekang mata untuk mencari nafkah dalam keadaan kos hidup yang terus meningkat," ujarnya dalam satu kenyataan.

Azmi brkata, nampaknya kerajaan yang ada sekarang lebih cepat membawa negara ke ambang muflis.

Katanya, pimpinan negara seolah memejam mata dan memekak telinga dengan apa yang sedang berlaku di Eropah.

"Di kala ekonomi Greece dan kini Portugal dan ia sedang merebak ke seluruh Zon Eropah, berada di ambang keruntuhan ekonomi yang serius dan rakyat bangkit mengguna hak demokrasi di jalan raya, pemimpin Malaysia terus berbelaja besar dengan hal-hal yang sama sekali tidak produktif malah membazir," ujarnya lagi.

Ujarnya, pemimpin kerajaan Malaysia kini masih terus mengamalkan polisi rendah akal dan tidak menunjukkan tahap kematangan mengurus sumber negara dengan beramanah.

"Kami berpendapat menteri berkenaan sudah jauh ketinggalan zaman dalam berfikir seolah rakyat tidak akan mempersoalkan tindakannya. Beliau mengambil sikap simplistik bahawa kuasa boleh melakukan apa sahaja tanpa diteliti oleh rakyat," katanya.

Beliau juga mempersoalkan kenyataan Tiong Lai bahawa tindakan itu diambil kerana nombor baru itu untuk kereta rasmi baru yang sudah melepasi jangka hayat.

"Adakah alasan ini masih boleh diterima oleh rakyat?" tanya beliau.

Justeru, katanya Teras ingin bertanya, apakah tidak ada peraturan dan garis panduan berbelanja dari Perbendaharaan Negara dalam hal-hal seperti ini.

"Adakah ada dalam peraturan, sesebuah agensi atau menteri boleh mengeluarkan perbelajaan untuk hal seperti membida nombor pendaftaraan kereta rasmi?" tanya beliau lagi.

Menurut laporan media berbahasa Cina, Liow menjelaskan bahawa bidaan itu dijalankan oleh pegawainya. Soalnya kuasa pembidaan itu diperkenankan oleh menteri dan dizinkan walaupun menelan belaja yang besar.

Tambahnya, Teras amat kesal kerana nampaknya Menteri Malaysia berfikir bahawa dengan nombor pendaftaraan unik seperti WWW 15 dianggap melambangkan kehebatan.

"Inikah mentaliti menteri yang ada?

"Kami sama sekali tidak dapat menerima mana-mana perbelanjaan wang awam untuk perkara-perkara yang tidak ada kena-mengena dengan kebajikan rakyat. Malah kami mengutuk dan membantah budaya membazir dan menyalahguna wang rakyat untuk hal yang remeh dan dan tidak perlu.

"Kami mendesak agar pembidaan itu dibatalkan dan wang itu diserah kembali kepada Perbendaharan Negara," kata Mohd Azmi. -hd

Menteri pertahan bida RM24,200 untuk WWW15

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai mempertahankan bidaan RM24,200 yang dibuatnya untuk nombor pendaftaran WWW15 baru-baru ini.

Katanya, tindakan itu diambil kerana nombor baru itu untuk kereta rasmi baru yang sudah melepasi jangka hayat.

Menurut laporan media berbahasa Cina, Liow menjelaskan bahawa bidaan itu dijalankan oleh pegawainya.

Katanya, kementerian terpaksa menggantikan kereta rasmi yang digunakan sekarang dan oleh yang demikian nombor pendaftaran baru perlu dibida.

Beliau bagaimanapun dilihat mengelak soalan berhubung siapa yang membayar jumlah besar itu.

"Ini kereta rasmi... ia rasmi," beliau dipetik sebagai berkata.
-mk

[PINCANG] Dua Anggota Panel Siasatan BERSIH 3.0 Tarik Diri

Dua anggota Panel Penasihat Bebas yang dilantik oleh kerajaan untuk menyiasat dakwaan berkaitan perhimpunan Bersih 3.0, yang diadakan akhir April lalu, telah memutuskan untuk menarik diri daripada menganggotai panel tersebut.

Mereka ialah Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim (kiri) dan Pengurus Besar Kanan Hal Ehwal Korporat Petronas, Datuk Mohammad Medan Abdullah (kanan).

Pengerusi panel, Tun Mohammed Haniff Omar berkata, Shim menarik diri atas sebab-sebab kesihatan manakala Mohammad Medan pula disebabkan beban tugas semasa.

"Kerajaan akan menentukan pengganti kedua-dua mereka ini dalam tempoh yang terdekat. Bagaimanapun ia masih lagi belum diputuskan siapa yang akan dilantik untuk menyertai panel bebas ini," katanya.

Pembentukan panel itu diumumkan oleh kerajaan awal bulan lalu.

Selain Shim dan Medan serta Hanif sebagai pengerusi, anggota lain panel terdiri daripada Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub, Penasihat undang-undang Media Chinese International Liew Peng Chuan dan ahli psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Ruszmi Ismail.

Sebelum ini, beberapa pihak mempertikaikan pelantikan Hanif sebagai pengerusi panel tersebut.

Bagaimanapun Hanif mempertahankan bahawa beliau akan bertindak secara profesional sebagaimana telah diperlihatkan sebelum ini.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, panel itu akan diberi kebebasan dalam pelbagai aspek, termasuk soal tempoh masa, serta pihak yang akan dirujuk bagi membantu siasatan mereka.

Katanya, beliau ada mendengar syor sesetengah pihak untuk mendapatkan bantuan kepakaran pihak luar, contohnya jabatan polis New York atau polis United Kingdom bagi membantu siasatan, namun menurutnya akhirnya ia terpulang kepada keputusan panel berkenaan.

“Harapan kita adalah untuk orang ramai ketahui apa yang sebenarnya berlaku, hari ini ada bermacam-macam saluran, banyak tuduhan dan ada kecenderungan pihak tertentu hanya melihat kepada satu aspek sahaja terhadap apa yang berlaku pada hari itu, jadi cerita menyeluruh mesti dikemukakan panel ini.

“Kalau ia dikemukakan pihak Kementerian Dalam Negeri atau polis, mungkin ada pihak yang dah begitu prejudis, hingga apa yang kita cakap pun mereka tidak akan percaya, jadi panel ini ditubuhkan bagi tujuan itu,” katanya.

Hishammuddin berkata, penubuhan panel itu juga bertujuan menyediakan saluran kepada mereka yang merasakan menjadi mangsa pihak tertentu pada hari kejadian, dan merasakan seolah-olah tidak ada saluran yang telus untuk mendengar luahan serta pandangan mereka mengenai apa yang berlaku.

Beliau berkata pada pandangannya penemuan panel itu juga dapat membantu kerajaan untuk melihat ke hadapan, khususnya dengan penampilan rang undang-undang berhubung perhimpunan aman, hasil transformasi yang dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Terma rujukan (TOR) panel itu yang dikeluarkan minggu lalu menunjukkan sebahagian daripadanya menjurus kepada insiden keganasan polis terhadap perusuh termasuk juga petugas media yang turut dikasari pihak berkuasa terbabit.

Antara TOR yang menjurus kepada pihak polis tersebut adalah untuk memastikan sama ada penguatkuasaan agensi-agensi mematuhi prosedur perundangan dan tindakan setiap masa terutamanya ketika penggunaan kekerasan, gas pemedih mata, dan meriam air.

Antara terma rujukan lain berkaitan polis adalah untuk menyiasat sama ada terdapatnya keganasan fizikal secara rawak digunakan pihak polis terhadap orang awam dan petugas media, menyiasat sama ada terdapatnya rampasan tidak mengikut undang-undang terhadap gambar dan rakaman video dan peralatan mereka dimusnahkan.

Selain itu panel juga menyiasat sama ada terdapatnya antara mereka yang ditangkap tidak menurut lunas perundangan dan mengalami kecederaan serius semasa dalam tahanan polis, dan juga menyiasat Prosedur Operasi Standard (SOP) polis dalam menghormati peserta dan kawalan perhimpunan berdasarkan cadangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau masyarakat yang mengamalkan demokrasi.

Selain itu, berdasarkan TOR, panel juga akan mengadakan penyiasatan terhadap penganjur perhimpunan Bersih 3.0. -SH

Ulasan GB

Awal-awal sudah pincang sekaligus menggugat integriti dan kredibiliti panel siasatan perhimpunan BERSIH 3.0 yang dipengerusikan oleh Tun Mohammed Haniff Omar.

Awal-awal lagi juga rakyat sudah pertikaikan perlantikan Hanif sebagai pengerusi panel.

Dengan penarikan diri dua anggota panel berkenaan, maruah Menteri KDN, Hishamuddin Tun Hussein tercalar sama kerana beliau lansung tidak mengindahkan bantahan rakyat terhadap perlantikan Hanif.

Tetapi seperti kebanyakan pemimpin UMNO yang lain, mereka ini jenis tak bermaruah, sekalipun menyedari rakyat telah menolak mereka, tetapi masih terus dengan keputusan mereka dan tidak melayan bantahan rakyat.

Maka hukum kebenaran dan keadilan: rakyat tidak akan melayan mereka dan apa juga keputusan mereka.

Air di hilir tidak akan jernih jika sudah keruh di hulu.

[VIDEO] WWW1: Pemuda PAS Perak Kesal Polis Berat Sebelah

Dewan Pemuda Pas Perak hari membuat satu laporan polis berikutan sikap berat sebelah Polis Diraja Malaysia yang enggan mengambil tindakan terhadap akhbar Kosmo yang mengeluarkan artikel dan sebuah karikatur yang mempersendakan pembelian nombor plat WWW1 oleh Sultan Johor, sebaliknya berusaha bersungguh-sungguh untuk mensabitkan Dato Seri Nizar Jamaludin berikutan mesej yang disiarkan didalam Twitternya.

Dalam sidang akhbar selepas membuat laporan polis tersebut di Ibu Pejabat Polis, Ipoh, Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pas Perak berkata, beliau hairan mengapa polis hanya mengambil tindakan terhadap mesej Twitter yang bersifat umum yang dikeluarkan oleh Dato Seri Nizar, sebaliknya tidak berbuat apa terhadap laporan Kosmo

“Mungkin tdak ada siapa-siapa dari PDRM yang membaca Kosmo!” tambah beliau.


Pemuda PAS Perak berharap agar pihak polis lebih professional dalam tindakan mereka dan tidak melakukan tindakan terpilih dalam menangani isu ini.

Ketika ditanya tentang pendirian Pemuda PAS Perak tentang isu ini, Dr. Raja Ahmad memberitahu, Pemuda Pas Perak sentiasa berpihak kepada rakyat Johor terutamanya yang membabitkan kepentingan rakyat Johor.

“Teguran Dato Seri Nizar adalah bersifat umum kalau dibandingkan dengan tindakan Umno yang memperlekehkan institusi Raja pada tahun 80an dulu. Mengapa tindakan tidak diambil terhadap pemimpin Umno yang jelas menjatuhkan martabat Raja, tidak ada tindakan terhadap akhbar Kosmo yang mengulas dengan panjang lebar, tetapi tindakan diambil terhadap Dato Seri Nizar? ” jelas beliau. -media perak



Ulasan GB

GB pernah mendedahkannya sebelum ini di SINI. Petikan:

Begitu tangkas polis menyiasat apa-apa hal yang ada kaitan dengan pemimpin PR, tetapi lemah gemalai malah dalam banyak ketika membisu terus jika ia melinatkan UMNO BN.

Baguslah begitu. Cepat sikit nanti Allah swt akan turunkan hukumanNya.

Itu rahsia polis dah terbongkar... rupanya pihak polis telah lama bekerjasama dengan kongsi gelap, didedahkan sendiri oleh mantan KPN.

Dan bagaimana pula kartunis akhbar Kosmo ini yang terang-terang menghina Sultan berkenaan?


[BONGKAR] Helah SPR Untuk Tambahkan Lagi Pengundi Untuk BN Rampas Selangor

Selangor catat pengundi belum daftar tertinggi, kata SPR

KUALA TERENGGANU, 4 Jun — Selangor mencatat jumlah layak mengundi belum mendaftar tertinggi dengan angkanya mencecah 600,000 orang daripada dua juta yang layak di negeri itu, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata hari ini.

Secara keseluruhan, masih terdapat 3.65 juta rakyat Malaysia yang belum mendaftar sebagai pemilih daripada 16.5 juta yang layak di seluruh Negara, katanya.

“Kita dapati negeri lain seperti Johor, Kuala Lumpur, Perak dan Kelantan turut tidak terkecuali, masih ramai yang layak belum mendaftar.

“Bagaimanapun saya kagum dengan Terengganu, iaitu antara negeri yang berjaya mencatat jumlah pengundi belum daftar yang kecil dengan hanya sekitar 46,000 orang sahaja,” katanya.

Wan Ahmad berkata di Johor terdapat hampir 500,000 belum mendaftar sebagai pemilih, manakala di Kuala Lumpur 350,000 dan Kelantan 200,000 orang.

“Kita harap mereka mendaftar segera bagi membolehkan mereka menunaikan tanggungjawab untuk negara,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata daripada hampir 13 juta pemilih berdaftar, dua juta adalah pengundi baharu yang akan mengundi buat pertama kali pada pilihan raya umum akan datang, yang mana 35 peratus adalah belia di bawah usia 35 tahun.

Mengenai pemilih di Terengganu, Wan Ahmad berkata kira-kira 100,000 daripada 611,583 pengundi adalah mereka yang baharu mendaftar.

Wan Ahmad turut mengingatkan pemilih agar menyemak kembali maklumat pada daftar pemilih yang telah dibuka sejak 1 Jun lepas, bagi membolehkan sebarang pindaan dilakukan segera jika ada ada kesilapan.

Beliau yang sebelum itu menghadiri taklimat pilihan raya umum ke-13 kepada pegawai pengurus dan penolong pegawai pengurus negeri Terengganu, berkata taklimat kali kedua tersebut sebagai peringatan kepada petugas pilihan raya terutama bersabit peraturan baharu. — Bernama

Khalid : Buat RCI Tentang Pengundi di Selangor Juga

SHAH ALAM, 3 JUN 2012 : Bukan Sabah sahaja, Selangor juga perlu satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berikutan pertambahan pemilih yang mendadak di dalam daftar pengundi terbaru Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang menimbulkan banyak persoalan.

MP Shah Alam, Khalid Samad berkata, pertumbuhan pemilih baru disifatkan luarbiasa dan di luar jangkaan.

“Itulah di antara sebab mengapa kita melihat pertambahan yang begitu mendadak dan luarbiasa di Selangor di mana disebutkan hampir lebih 400 ribu pengundi baru dari 2008 hingga sekarang.

“Kita juga banyak dengar bahawa orang Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Filipina yang telah diberikan kerakyatan dengan sewenang-wenangnya supaya mereka menyokong calon-calon Barisan Nasional (BN),” katanya kepada TVSelangor di sini hari ini.

Khalid berkata kebanjiran warga asing yang mendapat kerakyatan semasa pilihanraya di Selangor dan di seluruh Semenanjung Malaysia mungkin akan berlaku seperti di Sabah.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan penubuhan RCI di Sabah bagi menyiasat kebanjiran warga asing tanpa izin yang dipercayai diberikan kerakyatan semasa pilihanraya 1994.

Bernama melaporkan suruhanjaya tersebut dijangka akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam lawatannya ke Sabah sempena Pesta Kaamatan pada 9 Jun ini.

Menurutnya, penubuhan RCI di Sabah itu disokong MP Pakatan Rakyat (Pakatan). MP BN sendiri tidak menafikan perkara itu berlaku apabila isu tersebut dibahaskan dalam sidang Parlimen lalu.

“Ini untuk kita jamin pilihanraya di negara ini menjadi pilihanraya yang bersih kerana hanya rakyat sebenar yang memilih kerajaan.

“Maka dengan ini, satu RCI untuk menjalankan siasatan berhubung warga asing diberikan kerakyatan ini perlu ditubuhkan dan perlu disegerakan sebelum pilihanraya umum diadakan,” katanya.

Abdul Khalid berkata, perkara itu amat serius kerana ia melibatkan jabatan dan agensi kerajaan yang mendaftarkan warga asing berkenaan.

“Sebagaimana didedahkan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar bahawa SPR bersama Jabatan Pendaftaran Negara serta Majlis Keselamatan Negara telah bekerjasama untuk mendaftarkan warga-warga asing ini.

“Apabila perkara ini didedahkan, kita melihat pihak yang disebutkan itu tidak memberikan satu menafian yang kukuh dan bersungguh-sungguh. Maka adalah diyakini perkara ini memang sedang berlaku,” katanya.
-selangorku


Ulasan GB

Kerajaan bukan sahaja tidak mengindahkan 8 tuntutan BERSIH 3.0 dan desakan supaya ditubuhkan RCI, tetapi masih terus dengan konspirasi untuk "mengotorkan" lagi daftar pemilih dengan pengundi-pengundi yang tidak dikenalpasti identitinya.

Kenyataan Timbalan Pengerusi SPR tersebut ternyata satu helah untuk menambahkan lagi bilangan pengundi di negeri Selangor apabila kajian mendapati UMNO BN belum mampu merampas Selangor dari Pakatan Rakyat.

Setiap kali kenyataan sedemikian dikeluarkan, maka kita akan dapati beberapa hari selepasnya, bilangan pengundi tiba-tiba meningkat secara mendadak.


Kini tumpuan diberikan kepada Selangor dan Johor.

Selangor kerana mereka sememangnya meletakkan sasaran to capture Selangor by hook or by crook sementara di Johor pula apabila didapati angin perubahan rakyat Johor sekarang kini sudah mula berpihak kepada Pakatan Rakyat.

Semuga Allah menolong kita dan menggagalkan semua perancangan jahat UMNO BN melalui SPR di dalam pilihanraya akan datang ini.