2 Apr 2009

BUKIT GANTANG : Ketua Polis Negara Salahkan Ketua Polis Taiping Hal Altantuya

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan menyifatkan syarat yang dikenakan Ketua Polis Taiping untuk tidak membenarkan kes Altantuya disebut dalam sebarang ceramah politik di Bukit Gantang adalah kesilapan ketua polis daerah itu.

Beliau mengulas soalan wartawan mengapa syarat permit untuk mengadakan ceramah dikhususkan kepada kes Altantuya.

"Itu kesilapan yang telah dibuat oleh ketua polis daerah (Taiping), kita tak boleh sebut apa-apa specific cases," kata Musa.

"I am not against any political party, everybody is free to speak anything but then there are laws you have to follow, so follow the the law...," tambahnya.

Sebelum ini Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar menyifatkan kononnya kenyataan PAS yang tidak akan akur dengan arahan polis melarang mana-mana pihak mengeluarkan kenyataan bersifat menghasut semasa kempen pilihan raya kecil, menunjukkan parti itu kurang menghormati undang-undang negara.

Beliau berkata tindakan PAS yang selalunya menjurus kepada "membuat apa yang dia fikir betul dan suka" boleh membawa keadaan tidak menentu dalam negara.

Sekarang kita menasihatkan Syed Hamid belajar dengan Ketua Polis Negara terlebih dahulu sebelum mempersalahkan PAS mengenai siapa sebenarnya yang bersalah di dalam hal ini.

Menteri Dalam Negeri yang telah tewas di dalam pemilihan UMNO untuk jawatan Naib Presiden tersebut kelihatan berada di ceramah-ceramah BN di Bukit Gantang.

Kenyataan Syed Hamid itulah sebenarnya yang "membuat apa yang dia fikir betul dan suka" boleh membawa keadaan tidak menentu dalam negara kerana menunjukkan lagak heronya seolah-olah beliau paling berkuasa di negara ini.

Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa mempersoalkan larangan tidak membenarkan mana-mana parti politik menggunakan isu pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu dalam siri ceramah pada kempen pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang menjelang 7 April ini.

Beliau menyifatkan larangan yang telah dikuatkuasakan serta-merta itu akan mencemarkan imej Datuk Seri Najib Tun Razak yang bakal dilantik Perdana Menteri keenam, Jumaat ini.

Menurutnya, kenyataan itu memperlihatkan parti komponen Barisan Nasional (BN) cuba menyembunyikan perkara sebenar dan cuba menutup kesalahan dengan mengenakan larangan.

“Ia jelas memberi persepsi negatif kepada masyarakat umum bahawa isu tersebut mempunyai kaitan dengan BN malah tindakan melarang menunjukkan parti tersebut tidak sanggup berbincang secara terbuka,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mengulas mengenai Mesyuarat Agung UMNO baru-baru ini, Husam berkata, beliau melihat ada perwakilan meminta untuk berdepan dengan pembangkang bagi membincangkan isu secara terbuka.

“Tetapi apa yang saya dapati adalah sebaliknya di mana mereka tidak berani untuk berbincang dan berhadapan dengan pembangkang.

“Saya berharap isu larangan ini dapat dibincangkan semula, sekiranya tidak ia akan memburukkan lagi imej beliau (Najib) selaku bakal Perdana Menteri,” katanya.

Terdahulu, semua parti politik dilarang daripada menggunakan isu pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu dalam siri ceramah pada kempen pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang.

Parti-parti terlibat turut dilarang mempertikaikan keputusan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang memberi perkenan kepada Barisan Nasional (BN) membentuk Kerajaan Negeri Perak.


BATANG AI: Tanah Adat dan hasil bumi Sarawak dimanipulasikan BN

Tanah Adat dan hasil bumi Sarawak menjadi isu yang dimipulasikan oleh kerajaan Barisan Nasional sehingga mengenepikan hak rakyat dan membandingkan pencapaian ekonomi negeri Selangor yang kini diterajui oleh Pakatan Rakyat.

Demikian penerangan Ketua Umum KeADILan Anwar Ibrahim ketika berucap di Rumah Panjang Nanga Kesit sempena lawatan beliau di kawasan N29 Batang Ai semalam.

“Saya menerangkan perihal tanah adat dan hasil bumi Sarawak yang dimanipulasi oleh BN yang sengaja mengelirukan rakyat di kawasan itu walaupun projek Hidro-letrik yang berada di kawasan Batang Ai namun rakyatnya masih tidak dapa merasakan kemudahan bekalan air bersih dan letrik yang sempurna,” kata beliau

Kunjungan Anwar di sambut oleh Tuai Rumah Jampang dan seluruh penghuni rumah panjang berkenaan dengan acara meriah seperti persembahan tarian pahlawan Iban.

Kemudian beliau berjemaah Maghrib di Masjid Kampung Melayu, Lubok Antu dan dijamu dengan hidangan istimewa talapia Iban di Bedok Cafe.

Turut serta bersama rombongan Anwar ialah pimpinan Pakatan Rakyat negeri Sarawak antaranya Gabriel Adit, Dominique Ng, Chiu Chee Seng dan juga calun kerusi Dun Batang Ai Jawah Gerang.

BUKIT GANTANG : Isu Altantuya - Najib bakal berdepan undi tidak percaya

Dato Seri Najib Razak yang diwarwarkan bakal dinobatkan sebagai Perdana Menteri ke 6 hari Jumaat ini berkemungkinan akan berdepan dengan undi tidak percaya di Dewan Rakyat ekoran dakwaan beliau mempunyai kaitan dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu - yang menjadi bahan berita media asing akhir-akhir ini.

Beberapa orang pemimpin Pakatan Rakyat telah menyuarakan hal tersebut jika usaha untuk menangguhkan pelantikan Datuk Seri Najib Abdul Razak sebagai perdana menteri tidak berjaya.

Walau bagaimanapun kesemua 81 ahli parlimen Pakatan Rakyat telah menyerahkan satu petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong, memohon perkenan baginda agar menangguhkan perlantikan Najib.

Petisyen itu, yang diserahkan kepada Istana Negara semalam, ditandatangani oleh penasihat PKR Datuk Anwar Ibrahim, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan ketua parlimen DAP Lim Kit Siang.

Ahli-ahli pembangkang menyatakan pelantikan tersebut - yang dijadual 10 pagi esok - haruslah ditunda sehingga satu suruhanjaya bebas dibentuk untuk membersihkan Najib daripada segala tuduhan salah laku.

Mereka juga berkata Najib wajarlah disiasat berhubung dakwaan beliau mempunyai kaitan dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu - yang menjadi bahan berita media asing akhir-akhir ini.

Isu komisyen pembelian kapal selam pertama negara Scorpene yang dikaitkan dengan Najib, waktu itu menteri pertahanan, dan wanita Mongolia berkenaan.

Bakal perdana menteri sering menafikan pembabitannya, malah menyatakan beliau tidak pernah mengenai wanita itu.

Najib dilihat tidak layak untuk memegang jawatan Perdana Menteri ekoran terlalu banyak perkara yang menimbulkan kesangsian rakyat seperti isu Altantuya, isu krisis politik Perak dimana beliau menjadi dalang terhadap rampasan kuasa kerajaan Pakatan Rakyat dan isu kelulusan lesen judi yang dilakukannya sewaktu mengambil-alih jawatan menteri kewangan.

"Usul undi tidak percaya akan dikemukakan sepanjang tempoh dewan bersidang sehinggalah speaker akur terhadap tuntutan tersebut, jika tidak dengan speaker sendiri akan menerima usul tidak percaya dari ahli-ahli dewan rakyat," kata seorang ahli parlimen Pakatan Rakyat.

"Kita tidak akan membiarkan negara menjadi bahan cemuhan pemimpin luarnegara kerana berperdana menterikan seseorang yang begitu bermasalah seperti Najib," tambahnya.

BUKIT GANTANG BUKIT SELAMBAU BATANG AI - MB SELANGOR YAKIN PR MENANG 3-0

Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) meletakkan harapan besar mencipta kemenangan dengan agregat 3-0 pada tiga pilihan kecil raya kecil yang bakal diadakan serentak minggu depan, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Kata beliau, PR kini berusaha keras untuk memastikan harapan menang bersih di dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Batang Ai di Sarawak dan Bukit Selambau (Kedah) dan satu kerusi Parlimen Bukit Gantang, Perak menjadi kenyataan.

Keyakinan itu, katanya, ada kaitan dengan sokongan luar biasa pengundi di ketiga-tiga kawasan tersebut terhadap PR di ketiga-tiga kawasan semasa proses penamaan calon 29 Mac lalu.

“Pengalaman saya sewaktu penamaan calon di Batang Ai, saya dapati kumpulan daripada PR begitu ramai datang menyokong dan ini pertama kali dalam sejarah Negeri Sarawak, yang mana kumpulan penyokong bukan Barisan Nasional (BN) lebih ramai daripada BN.

“Kali pertama juga dalam sejarah di Batang Ai, seramai 3,000 penduduk di kawasan ini berjalan mengelilingi bandar Batang Ai (tidak terlalu besar), ia menunjukkan demokrasi kita lebih liberal,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penutupan Bulan Dakwah Negeri Selangor 2009.

Menurut beliau, harapan untuk menang di Bukit Gantang cerah apabila Datuk Seri Mohamamad Nizar Jamaluddin diletakkan sebagai calon PR.

“Saya yakin pengundi akan memberi mandat kepada Nizar. Apabila beliau menang kelak, bermakna rakyat memberi mandat kepada beliau untuk meminta perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bagi mengadakan pilihan raya semula di negeri itu,” katanya.

Menurut beliau, mungkin istana tidak mahu mengadakan pilihan raya semula kerana bimbang berlaku rusuhan ataupun perbalahan di antara pengundi namun sekiranya berjaya di Bukit Gantang, tidak ada sebab istana untuk berbuat demikian.

“Situasi ini penting sebagai batu loncatan kepada Perak, tapi kalau PR menang 3-0, ia petanda baik untuk kami berhadapan dengan isu ini” katanya.

Mengenai peluang di Bukit Selambau, Abdul Khalid berkata, calon yang bertanding juga akan mencuri undi penyokong-penyokong BN dan penyokong-penyokong PR.

“Dalam tempoh berkempen, kita berharap mereka mengenali calon kita (S Manikumar) dan seterusnya akan memilih beliau.” kata beliau lagi.

BUKIT GANTANG : BN Terdesak Guna Gadis Seksi Pancing Undi

Di dalam keadaan yang amat terdesak untuk menarik sokongan pengundi kaum Cina, Barisan Nasional cuba memancing sokongan pengundi Cina di parlimen Bukit Gantang dengan konsert gadis manis berimej seksi yang berlangsung di majlis makan malam yang dihadiri menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan calon BN, Ismail Saffian.

Tiga artis Cina menari dan menyanyi lagu rancak sewaktu menteri agama itu sedang mengadakan sidang media di depan pentas tersebut, selepas selesai majlis ceramah.

Majlis ceramah dan makan malam perpaduan itu dihadiri oleh kira-kira 1,500 di Kampung Baru Kuala Sepetang, sebuah perkampung nelayan di DUN Kuala Sepetang bawah kawasan parlimen itu.

Tiga gadis tersebut berseluar pendek hitam dan singlet biru.

Dalam ucapannya, timbalan pengerusi Umno Perak mendakwa sokongan masyarakat Cina terhadap BN dalam pilihanraya kecil semakin bertambah.

"Sokongan pengundi Cina, mengikut laporan, semakin bertambah sekarang ini. Kerajaan pusat mengambil langkah proaktif untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.

"(Sokongan bertambah) setelah kita mengangkat semua masalah (mereka) ini kepada menteri berkenaan. Dan tindakan segera sedang dilakukan," katanya.

Ditanya keberkesanan pendekatan nyanyian dan tarian yang digunakan BN bagi menarik pengundi Cina, Ahmad Zahid berkata, ia "harus dihormati kerana sebahagian daripada budaya Cina."

Bila ditanya pemberita sama ada cara mengadakan tarian tersebut berjaya memancing untuk BN, Zahid menyifatkannya sebagai kebudayaan orang Cina.

"Di kawasan saya, saya bukan memenangi hari orang Cina dengan tarian panas begini. Tetapi kita mesti hormat, ini adalah satu kebudayaan orang Cina.

Banyak pihak termasuk kaum Cina telah membidas kenyataan Menteri Agama tersebut kerana ia merupakan satu penghinaan terhadap kaum mereka.

"Adalah tidak patut sama sekali untuk seorang yang berjawatan bertaraf Menteri Agama membuat kenyataan menyatakan pakaian seksi dan tarian sedemikian merupakan sebahagian kedudayaan Cina semata-mata untuk menjustifikasikan perbuatan salahnya yang beragama Islam," kata seorang pensyarah berbangsa Cina di sebuah ipt di sini.

Sementara itu para budayawan turut menyelar kenyataan Zahid tersebut kerana menurut beliau selama ini kerajaan juga tidak membenarkan artis-artis luarnegara berpakaian seksi membuat persembahan di dalam negara kita kerana ia tidak bersesuaian dengan budaya dan adat resam masyarakat Malaysia, tiba-tiba malam tadi Zahid boleh memberi alasan ia kebudayaan masyarakat Cina di Malaysia.


BUKIT SELAMBAU : Kemalangan Ganesan Dedahkan Pembohongan Najib

Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama makan diri. Itu pepatah yang sesuai untuk diungkap kepada kerajaan BN yang kononnya tiada lagi projek mee segera dilaksanakan untuk pilihanraya kecil.

Namun apa yang berlaku semalam di Bukit Selambau adalah bukti nyata projek mee segera masih diteruskan apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Unser dinaiki calon Barisan Nasional (BN), Datuk S Ganesan terbabas dan tersangkut di bahu kiri jalan yang baru diturap di dalam rangka projek mee segera untuk pilihanraya kecil N25 Bukit Selambau.

Ketika kejadian beberapa pembantunya turut berada dalam kenderaan terbabit. Kemalangan itu menyebabkan kenderaanya terpaksa ditarik oleh kereta lain dan mengambil masa kira-kira setengah jam untuk dikeluarkan ke bahu jalan yang lebih rendah. Beliau bagaimana pun berjaya ke kampung berkenaan setelah menahan sebuah motosikal penduduk yang lalu di situ.

Ada banyak perkara yang terdedah melalui kejadian tersebut. Sebuah tulisan di dalam forum di lowyat menyatakan "God has spoken", manakala rakyat biasa pula melihatnya sebagai satu pendedahan pembohongan Najib Tun Razak yang bakal dinobatkan sebagai Perdana Menteri Jumaat ini sebagai pendusta.

Pendusta kerana beliau sendiri yang mengumumkan tiada lagi projek mee segera untuk kawasan-kawasan pilihanraya kecil. Apakah kenyataan tersebut dikeluarkan lantaran terpukul dengan kekalahan teruknya di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu dimana kredibiliti Najib telah punah kerana semua projek mee segera telah dijawab dengan kekalahan yang amat mengaibkan beliau?


Bercakap bohong: ia adalah satu kebiasaan yang dilakukan oleh Najib. Berbohong kononnya tiada lagi projek mee segera. Berbohong konon Saiful datang untuk membincangkan soal biasiswa. Berbohong konon tidak pernah membuat sogokan untuk mereka supaya melompat parti. Berbohong konon tidak mengenali Altantuya. Berbohong untuk menutup kisah beliau meluluskan lesen judi sebaik saja mengabil-alih jawatan sebagai menteri kewangan.

Yang mengikut Najib nanti terimalah nasib seperti Ganesan di atas. Atau nak menunggu yang "lebih ummphh". Silakan.



BUKIT SELAMBAU : Laporan Polis Terhadap Pengundi Hantu

Satu laporan polis telah dilakukan di balai Polis Kuala Muda malam tadi oleh Tn. Hj Abdul latif Mat Noor kerana kecewa ada pihak menggunakan alamat rumah beliau tanpa kebenarannya selama ini.

Hj Abdul Latif mengesani alamat rumahnya telah digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dimana terdapat 40 nama orang yang tidak dikenali menggunakan alamat rumahnya seperti yang tertera di dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Beliau menyatakan di rumah tersebut hanya beliau berdua bersama isterinya yang mengundi.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Cikgu Fariz Musa turut serta semasa laporan tersebut di buat di balai polis menyatakan bahawa pula mengatakan AMK dan PARTI KEADILAN RAKYAT ada hak untuk membuat analisis dan sistem sehingga mengesan pengundi hantu, katanya lagi SPR telah di gunakan oleh pihak tertentu untuk mendapat kuasa dan menang pilihanraya melalui kaedah kotor itu.

Pendedahan itu sekaligus mematikan hujah bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahadzir Khalid dan Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishamuddin Huseein yang menafikan dan meminta bukti tentang kewujudan pengundi hantu sepertimana yang didakwa.





BUKIT GANTANG BUKIT SELAMBAU : Melayu Ditipu UMNO Lagi

Inilah rakaman perbualan rakyat biasa tentang situasi politik sekarang, yang dikutip dalam pertemuan/perbualan santai dengan orang-orang biasa yang barangkali tidak secerdik pemimpin UMNO, tetapi sangat jujur. Moga-moga suara hati mereka memberi sedikit gambaran tentang perasaan mereka yang sudah muak dan meluat dikelentong oleh pemimpin yang mereka kasihi. Dengarlah dan fikirkan ...

Jika kita boleh percaya ucapan perwakilan UMNO 2009 yang mendedahkan betapa pincangnya UMNO dan para pemimpinnya sekarang, maka bagaimanakah UMNO boleh memerintah negara dengan meyakinkan? Bagaimana UMNO boleh mendakwa merekalah pemerintah yang terbaik? Semua cakap-cakap perwakilan dan ketua-ketua UMNO sendiri membuktikan UMNO sedang sakit tenat, demikian juga ketua-ketua UMNO dari segenap peringkat. Bukan hanya rasuah politik yang menjadi masalah, tetapi peribadi pemimpin tertinggi UMNO juga menjadi masalah.

Dalam seluruh ucapan perwakilan dan ketua-ketua UMNO, yang jelas adalah betapa mereka banyak membuang masa bercakap tentang kepincangan dalam UMNO, sedikit sekali berbicara tentang masalah rakyat. Ekonomi negara telah dirangsang, dan akan terus dirangsang dengan belanja yang jauh lebih besar. Siapa yang merangsang rakyat? Apakah benda yang boleh merangsang rakyat? Ada disebut rangsangan ketiga akan dilancarkan, berjumlah 100 bilion. Berapa sen yang akan jatuh ke tangan rakyat? Sekarang perkataan rakyat cukup popular. Di sana sini orang bercakap ingin membela rakyat, terutama dari mulut ketua-ketua UMNO.

Perubahan ini berlaku setelah Parti Rakyat tidak ada lagi, diganti dengan PKR. Dulu perkataan rakyat itu dikaitkan dengan Komunis, atau paling kurang dianggap golongan kiri perosak negara. Dari dulu UMNO tidak mahu dikaitkan dengan rakyat kerana tidak mahu dianggap golongan kiri atau bersimpati dengan Komunis. Sekarang semua sudah berubah, malah rakyat kini menjadi agenda utama, menjadi perkataan yang amat dihormati jauh lebih tinggi kedudukannya daripada istana. Rakyat boleh menaikkan atau menurunkan sesiapa juga yang tidak mendapat undi daripada rakyat.

Sekarang rakyat digula-gula merekalah yang berkuasa ketika diadakan pilihan raya. Semua ketua parti di Malaysia berebut-rebut mahu jadi pembela rakyat yang paling baik dan paling dekat dengan rakyat. UMNO melalui Timbalan Presiden yang baru telah meminta maaf kepada rakyat, dalam satu rayuan pilihan raya kecil, kerana selama ini meninggalkan rakyat. Orang itu berjanji UMNO tidak akan buat salah lagi. UMNO seperti biasa ingin jadi wira rakyat, oleh itu UMNO akan dirakyatkan. Bolehkah rakyat percaya? Jika rakyat percaya, mereka akan tertipu lagi. Sekarang sudah dicipta lagu “Tipah Tertipu Lagi”. Rakyat Malaysia harus berhati-hati supaya tidak jadi macam Tipah yang terus tertipu. Ini hanya boleh dilakukan dengan menolak UMNO secara total, jika tidak rakyat akan terus tertipu untuk setengah abad, untuk 50 tahun lagi.

Mengapa UMNO tidak relevan lagi? Pemimpin UMNO bercakap tentang rakyat; padahal setiap masa mereka memberi tumpuan kepada kedudukan peribadi dalam parti. Para pemimpin UMNO berkelahi sesama sendiri berebut kedudukan dalam parti, yang akan berakhir dengan kedudukan selesa dalam kerajaan. Hakikat ini diakui sendiri oleh semua pemimpin UMNO, yang berbicara tentang kerakusan dan ketamakan ketua-ketua UMNO sekarang. Lalu yang tidak dapat apa-apa, atau kalah pertandingan, memberi nasihat bahawa parti lebih utama daripada kepentingan peribadi.

Adakah orang UMNO sendiri percaya nasihat ini siuman dan masing-masing berebut-rebut melaksanakannya? Mereka berebut-rebut mendapat kedudukan, bukan untuk berkorban. Apa maknanya berkorban jika papa kedana? Sah ketua-ketua UMNO tidak mahu jadi papa kedana, kerana orang-orang begitu sangat susah hidupnya. Jadi kalau begitu, sudah jelas nyata memang benar ketua-ketua UMNO itu sentiasa mencari kesempatan untuk memperkayakan diri sendiri dan keluarga. Inilah corak kepemimpinan UMNO dari dulu hingga sekarang.

Jika kecenderungan memperkaya diri sendiri dan anak buah menjadi fokus utama ketua-ketua UMNO, pengakuan mereka bahawa mereka mengutamakan rakyat hanya omong kosong, tidak boleh dipercayai sama sekali. Kini rakyat sudah sedar bahawa politik pembohongan yang diamalkan oleh UMNO menjana pembangunan ekonomi, tetapi faedahnya di luar jangkauan rakyat, hatta tempiasnya pun tidak sampai. Jalan-jalan raya memang banyak, tetapi bukan yang terbaik oleh itu membahayakan kenderaan, dan jalan-jalan yang membahayakan ini perlu dibayar tol yang tinggi.

Orang-orang yang terlibat dalam pembinaan jalan-jalan ini boleh jadi jutawan, walaupun tidak berbuat apa-apa selain hanya mendapatkan lesen dan kontrak. Ada pembangunan, tetapi tidak ada kemajuan untuk rakyat. Adakah orang begini layak menjadi pemerintah negara? Tidak layak, dan wajib ditolak jika “menawarkan” diri. Pendeknya, UMNO sah menjadi beban kepada rakyat, oleh itu perlu diperangi habis-habisan jika rakyat mahu selamat. Itulah keputusan terbaik dan tindakan paling tepat untuk dilakukan rakyat. Jangan lagi memberi peluang kepada UMNO untuk menjadikan rakyat miskin sebagai hamba UMNO.

Bahasa dan budaya Melayu tidak selamat di bawah UMNO; kini sudah jelas PPSMI akan diteruskan walaupun ditentang oleh rakyat. Jadi yang perlu berubah ialah sikap rakyat, berubah dari percaya buta kepada janji manis UMNO menjadi tidak lagi terpedaya dengan cakap-cakap kosong tentang rakyat yang tersembur dari mulut para pemimpin UMNO. Jika UMNO berubah, seperti yang dijeritkan dengan lantang oleh barisan kepemimpinan baru UMNO yang terus terkongkong oleh nilai-nilai Malayan Union bikinan British, maka perubahan itu hanya untuk menarik hati rakyat memberi kepercayaan kepada mereka untuk dijadikan hamba selama 50 tahun lagi.

Kalau orang Melayu mahu terus jadi bodoh dan bersedia untuk dijadikan hamba, maka percayalah kepada janji-janji kosong UMNO. Kata UMNO perjuangan mereka belum selesai. Masih belum selesai setelah diberi 50 tahun untuk menyelesaikannya? Ketua Menteri Pulau Pinang sekarang telah berjanji akan menjadikan Khalifah Umar Abdul Aziz sebagai contoh pemimpin jujur; sayangnya nama khalifah ini tidak pernah disebut oleh mana-mana pemimpin UMNO, apatah lagi mahu dijadikan model. Mustahil mereka tidak tahu kerana UMNO mempunyai ramai ustaz.

Khalifah Umar Abdul Aziz mengambil masa hanya dua setengah tahun untuk menghapuskan kemiskinan sebuah empayar Islam; bagaimana pula UMNO masih belum selesai diberi 50 tahun? Apa yang mereka buat? Tidak susah untuk mengetahuinya: Lihat rumah dan kemewahan ketua-ketua UMNO, di situlah terletak jawapan mengapa agenda UMNO belum selesai. Masih ramai di antara mereka yang belum betul-betul kaya. Mereka perlu lebih banyak masa. Itulah agenda yang belum selesai itu. Itulah sebabnya mengapa mereka mahu terus berkuasa. Itulah sebabnya mengapa rakyat harus menolak mereka. Rakyat tidak perlu ditipu lagi. Jangan jadi Tipah Yang Tertipu lagi!! (31/3/2009)

Mohd Affandi Hassan

BUKIT GANTANG :15 Fakta Umno Penderhaka & Petualang Sebenar

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendedahkan 15 bukti secara fakta bahawa Umno menjadi petualang dan penderhaka sebenarnya kepada institusi raja di negara ini.

Beliau membuat pendedahan itu semasa melancarkan Gerak Kerja Jentera Pilihan Raya Bukit Gantang baru-baru ini.

Antaranya termasuk:

1. Pengasas Umno, Datuk Onn Jaafar di buang daripada istana Johor pada tahun 1920 dan membawa diri ke Singapura kerana mengkritik Sultan atas isu harta dan hutang keluarga beliau.

2. Pada tahun 1974 Tan Sri Ghazali Jawi, ayah kepada Datuk Seri Tajol Rosli enggan meletak jawatan Menteri Besar Perak, walaupun perjanjian asalnya beliau hanya mahu memegang jawatan tersebut selama dua tahun sahaja. Sampai masa beliau mungkir janji menyebabkan Sultan Idris murka. Baginda bernazar tidak mahu bercukur jambang selagi Ghazali tidak mahu melepaskan jawatannya. Bukan ini derhaka namanya. Tiba-tiba sahaja Tajol Rosli berkata Umno tidak pernah derhaka. Kalau begitu apa tafsiran tindakan bapanya itu?

3. Pada tahun 1979, Menteri Besar Pahang ketika itu, Datuk Abdul Rahim Bakar berselisih faham dengan Sultan Pahang. Media pro Umno mengkritik Sultan secara terbuka.

4. Pada 1983 Umno mengurangkan kuasa YDP Agong berhubung pengisytiharan darurat. Apabila Majlis Raja-Raja Melayu menolak cadangan tersebut Umno membelasah institusi raja melalui media kawalannya.

5. Semasa Perhimpunan Agung Umno pada 1991 Sultan Kelantan dikritik secara terbuka kerana didakwa menjadi penyebab kekalahan Umno di Kelantan.

6. Dalam Perhimpunan Agung Umno itu juga perwakilan Umno meminta supaya harta raja-raja Melayu disiasat. Laporan ini disiarkan oleh utusan Malaysia pada muka surat depan. Tidakkah ini derhaka namanya?

7. Satu demonstrasi dan menghantar memorandum kepada Sultan Kelantan telah dibuat oleh pemimpin Umno Kelantan. Kenapa FRU tidak tembak gas pemedih mata serta menangkap penderhaka-penderhaka Umno?

8. Pada 18 Januari 1993 Umno membuat pindaan Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan raja dihadapkan ke Mahkamah Khas. Apabila raja-raja Melayu meminta menangguhkan pindaan tersebut Umno melancarkan kritikan terbuka terhadap salah laku raja-raja.

9. Pada tahun yang sama juga beberapa siri rapat umum haram Umno dibuat di Alor Setar, Bagan Datoh, Seremban, Batu Pahat dan Melaka untuk menunjukkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri (sekarang Tun) Dr Mahathir Mohamad dan mengecam raja-raja Melayu.

10. Tengku Razaleigh Hamzah dengan sinis mengatakan mana satulah yang lebih merbahaya: Pindaan 1993 atau tindakan rakyat tidak menunjukkan hormat kepada Sultan Perak pada 6 Februari 2009? Beliau tidak bersetuju dengan tindakan Karpal Singh mahu menyaman Sultan Azlan Shah tetapi beliau juga menyatakan Karpal membuat suatu perkara yang dibenarkan oleh Perlembagaan tahun 1993. Tiba-tiba sekarang Umno pula menjerit marah kepada Karpal. Sepatutnya orang Umno pun kena buat demonstrasi depan pejabat Umno kerana pemimpin merekalah yang menjatuhkan martabat raja sehingga boleh diheret ke mahkamah kata Tengku Razaleigh.

11. Peristiwa pertabalan Tengku Ibrahim Inderaputera untuk mengganti Sultan Ismail Petra pada 29 April 1993 di bawah pokok ketapang di Ketereh, Kelantan oleh Datuk Seri Annuar Musa. Kalau ini bukan sesuatu yang amat memalukan atau derhaka dan kurang ajar, apa namanya?

12. Kenyataan biadap Datuk Seri Shahidan Kassim, bekas Menteri Besar Perlis yang mengatakan beliau mempunyai bukti Sultan Kelantan sekarang tidak layak menduduki takhta.

13. Tan Sri Muhammad Muhammad Taib mendakwa Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin "derhaka". Lupakah dia siapa yang melarikan Ku Yah, puteri Sultan Selangor sampai baginda murka? Tidakkah ini perbuatan derhaka?

14. 23 daripada 24 Adun Terengganu mengugut untuk memboikot majlis angkat sumpah datuk Ahmad said selepas pilihan raya umum 2008. Mereka buat kenyataan terbuka menyanggah pihak istana dan mahu Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar. Manakala penyokong Umno pula mengatakan Sultan sebagai binatang pada kain rentang. Kenapa polis menangkap mereka yang hanya berdemontrasi di hadapan istana Kuala Kangsar pada 6 Februari 2009 sahaja?

15. Datuk Seri Shahidan Kassim memboikot perlantikan Datuk Seri Dr Mohd Isa Sabu sebagai Menteri Besar Perlis, bukankah ini derhaka namanya?

Sekarang jelas siapa penderhaka sebenarnya, jelas Menteri Besar Kelantan itu lagi.

KISAH UMNO : Agenda raikan najib sudah dirancang awal

Dalam Perhimpunan Agung UMNO yang berakhir pada 28 Mac 2009, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam ucapan penangguhan (sebenarnya terakhir) bagi perhimpunan tersebut memberi pengakuan akan menghadap Yang Dipertuan Agong pada 2 April 2009.

Beliau akan menyampaikan hasrat meletakkan jawatan Perdana Menteri, justeru pada 3 April 2009 Perdana Menteri akan mengangkat sumpah jawatan. Di atas kertas memang Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak sudah pasti akan mengangkat sumpah jawatan pada 3 April 2009 ini, tetapi kuasa Allah SWT siapalah tahu?

Mungkin sahaja UMNO Pahang sudah bersiap sedia untuk meraikan Dato' Seri Najib menjadi Perdana Menteri diikuti dengan beberapa majlis lain yang sudah diatur sejak pelan peralihan kuasa diproklamir. Pelbagai pihak memang menunggu waktu yang sesuai, bagi menyambut pelantikan tersebut dengan agenda masing-masing. Tak tahulah!

Tak semena-mena pula Dato' Seri Abdullah menghadap Yang Dipertuan Agong pagi ini 1 April 2009, kononnya persediaan untuk 2 April 2009. Dato' Seri Abdullah pula akan menghadiri mesyuarat kabinet terakhirnya sebelum menyembahkan peletakan jawatannya hari ini, 2 April 2009.

Pelan peralihan kuasa yang sepatutnya pada 2010 dipercepatkan selepas khabarnya didesak oleh Dato' Seri Najib, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Rafidah Aziz. Rentetan tersebut berlaku selepas pertemuan Tan Sri Muhyiddin dengan Tun Dr Mahathir Mohamad. Malah Tan Sri Muhyiddin sendiri mendesak, Tun Dr Mahathir diterima semula menjadi ahli UMNO selepas beliau keluar daripada parti berkenaan.

Berbeza dengan 1969, Tun Dr Mahathir dipecat oleh Tun Abdul Razak yang mempengerusikan mesyuarat (Tunku masih lagi Yang Dipertua Agung UMNO ketika itu). Insiden tersebut berlaku Dato' Seri Najib barangkali baru berusia 16 tahun sahaja!

Malam tadi di TV3 pula (1 April 2009) menyiarkan pimpinan UMNO memuji Dato' Seri Abdullah. Ironinya, kalau Dato' Seri Abdullah sempurna sesempurna-sempurnanya, kenapa didesak letak jawatan?

Samalah dengan laporan di Bukit Gantang, cawangan baru UMNO ditubuhkan di Kampung Cheh (kononnya kubu kuat PAS). Takkan 11 bulan terpinggir, sejak 1955 tak terpinggir, kenapa tak bawa pembangunan?

Di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu dulu beberapa cawangan PKR dan PAS bubar, tetapi calon UMNO kalah juga. Kesiannya TV3! Ismail Sapian kabarnya penyokong kuat Tengku Razaleigh Hamzah, kenapa bukan penyokong heh heh heh!

Dharmala NS

Kisah Pemimpin UMNO Durjana : Tahu Sebat Tak Mahu Bertanggungjawab

Keputusan Pendengaran Awam Terbuka berkaitan isu Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor (Balkis) akan diketahui selepas Selcat mengadakan mesyuarat.

Demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan atau Selcat, Teng Chang Khim hari ini.

Beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) berkata mesyuarat itu nanti akan meneliti semua keterangan saksi yang hadir sepanjang tujuh hari pendengaran awam itu berlangsung.


“Jawatankuasa ini akan meneliti semua dokumen yang dibentangkan dan kemudian barulah kita sediakan penyata untuk dibentangkan di DUN Selangor pada Julai depan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan pendengaran awam Selcat terakhir, di sini, tengah hari tadi.

Mengulas mengenai kerjasama yang diberikan oleh kesemua saksi selama tujuh hari sesi siasatan itu berlangsung, Teng berkata kebanyakan saksi yang dipanggil tampil memberi keterangan.

“Ini merupakan sesi pendengaran awam yang pertama di Malaysia dan kita gembira ianya telah berjalan lancar serta mendapat kerjasama daripada saksi.

“Dan kegagalan dua saksi lain untuk hadiri iaitu bekas Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Dr Mohamad Khir Toyo dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik yang juga bekas Yang Dipertua Balkis secara langsung telah menolak peluang untuk memberikan penjelasan kepada rakyat apa yang sebenarnya terjadi dalam Balkis dan juga Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB),” ujarnya yang turut kesal dengan sikap sesetengah saksi yang enggan memberi kerjasama dengan ahli panel ketika sesi soal siasat dijalankan.

Ditanya media mengenai tindakan yang bakal dikenakan kepada Zahrah ekoran kegagalannya hadir memberi keterangan pada sesi pendengaran awam terbuka itu, Teng berkata pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang.

Menurut beliau, laporan polis akan dibuat terhadap Zahrah kerana telah melanggar perintah dewan.

“Buat masa ini saya belum membuat laporan polis. Kita kena tunggu jawatankuasa dan saya tidak boleh mengarahkan Setiausaha Dewan untuk buat laporan tanpa meminta pandangan daripada semua ahli jawatankuasa.

“Selepas kita panggil mesyuarat jawatankuasa maka kita akan ambil tindakan selanjutnya yang difikirkan wajar dan perlu,” katanya.


ISU KE BUKIT GANTANG : Shahrir - Spesis Jantan Terakhir UMNO

SSudah masuk lima hari selepas berlalunya pemilihan UMNO. Yang menang masih dibuai mimpi indah mendapat sesuatu ganjaran yang lebih besar di hari muka. Yang tewas masih berharap belas kasihan nakhoda baru untuk terus berkuasa.

Setakat ini cuma ada seorang saja di kalangan kepimpinan UMNO berjawatan Menteri/Timbalan Menteri/Menteri Besar yang tewas menunjukkan kejantanannya dengan berani meletak jawatan: Datuk Shahrir Samad. Yang lain: Mat Taib, Azalina, Syed Hamid Albar, Rais Yatim, tiga Timbalan Menteri dan empat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang tewas tidak beri apa-apa komen atau beri komen bodoh-bodoh tak cerdik: tunggu dan lihat dulu!

Yang terbaru ialah Syed Hamid Albar yang juga memberi komen bodoh-bodoh tak cerdik: nanti saya pikir dulu selepas Najib menjadi Perdana Menteri.

Jadi menteri yang rambutnya semakin jarang itu masih mengharapkan belas ihsan Najib. Jadi menteri yang selalu cakap besar itu punya hati yang sangat kecil dan nampak masih enggan berundur, kecuali boss barunya nanti mengusirnya baru dia sanggup pergi.

Nampaknya kecuali Shahrir, semua Menteri, Timbalan Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri dari UMNO yang tewas itu dari jenis mereka yang mukanya betul-betul tidak bermaruah, masih mahu pegang jawatan walaupun perwakilan sendiri sudah menolak mereka.

Benarlah kata orang UMNO dipenuhi pemimpin yang gila kuasa. Pemimpin yang gila kuasa ini tidak akan berundur secara sukarela walaupunh sudah tidak dipercayai pengikutnya lagi. Mereka masih berharap belas ihsan bossnya untuk terus memegang kuasa yang ada.

Pada 25 Mac lalu, Lim Kit Siang telah diusir keluar dari Dewan Rakyat kerana memanggil UMNO parti orang 'gila kuasa'. Kini Mat Taib, Rais, Syed Hamid, Azalina dan lain-lain yang tewas itu telah membuktikan tuduhan Kit Siang itu benar belaka, UMNO memang parti yang dipenuhi pemimpin gila kuasa!

pendikargunung


ISU KE BUKIT GANTANG : Dr. Mahathir Sebagai Si Luncai Politik Melayu

Tidak ada siapa pun menduga, Dr. Mahathir Mohamed yang dianggap oleh UMNO sebagai pemimpin besar mereka yang diberi peluang (lebih tepat merebut peluang) menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, hanyalah seorang Si Luncai saja, yang terjun dengan labu-labunya sambil bernyanyi “Biarkan, Biarkan!” Dia keluar UMNO, terjun dari perahu bocor yang ditinggalkannya kepada Abdullah Badawi. Dia marahkan Abdullah kerana tidak ikut telunjuknya. Jika benarlah Abdullah rasuah dan dia tahu, dia tidak seharusnya melantik Abdullah sebagai penggantinya.

Jika dia tidak tahu ternyatalah dia bukan seorang pemimpin yang cekap membaca peribadi budak-budak bawahannya. Dia cerca dan hamun Abdullah sebagai perasuah dan pembinasa UMNO. Abdullah yang pendiam dan tidak suka bergaduh tidak menjawab bahawa dia menerima perahu buruk yang bocor di sana sini, sebuah organisasi yang likat dengan rasuah. Tidak terfikir oleh orang UYMNO Dr. Mahathir Mohamed akan terjun perahu seperti Si Luncai. Kini kata khabarnya dia akan masuk UMNO balik setelah terjun dengan labu-labu keangkuhannya kerana terlampau bencikan tokoh pilihannya yang disedarinya tidak boleh dicucuk hidung. Sangkanya dia dapat jadikan Abdullah Badawi budak suruhannya, tetapi ternyata meleset.

Dengan caranya yang tersendiri, Abdullah Badawi muncul sebagai seorang tokoh UMNO yang lain dari yang lain: lemah lembut, bersahaja, tidak pandai menyelar musuh dengan bahasa yang kesat, dan lebih istimewa beliau sentiasa tersenyum dalam keadaan yang rumit sekali pun. Dia tahu orang yang dilantiknya sebagai menteri dengan diam-diam mengkhianatinya, tetapi tidak diambil tindakan apa-apa. Dia sedar tindakannya tidak disukai orang-orang seperti Si Luncai kita, tetapi dia tetap sabar dan terus menjalankan tugasnya. Tiba-tiba dia dituduh rasuah kerana kononnya anaknya dan menantunya mengambil kesempatan daripada kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

Si Luncai berjaya memberi gambaran buruk kepada Abdullah Badawi, anaknya dan menantunya. Bagaimana dengan anak-anak Dr. Mahathir Mohamed sendiri? Mungkin jarang orang tahu ada anaknya yang mempunyai bangunan besar di Vancouver, Kanada. Orang yang bekerja di luar negeri tahu banyak rahsia tentang tokoh ini, yang mujurlah tidak didedahkan. Jika tidak, malu besarlah Malaysia dan orang Melayu. Sebagai Perdana Menteri, dia paling banyak mengembara, hingga ke Antartica. Buat apa di sana? Bolehkah Melayu dimajukan dengan berhijrah ke Antartica? Kita tidak diberitahu berapa belanja setiap lawatan rasmi yang banyak itu ditanggung rakyat Malaysia, yang faedahnya terbang di angin lalu saja, hanya ada dalam ucapan dan penegasan, tetapi tidak nampak di alam nyata.

Biarlah semua itu tersembunyi dan disembunyikan sehingga tiba waktunya untuk dibuka bagi pengetahuan umum. Apa yang penting di sini ialah hakikat sebenar tokoh ini. Seperti orang lain juga, banyak dosanya. Cuma orang Melayu yang baik hati berdiam diri, tidak ungkit kerana perkara-perkara itu terlalu memalukan dan menyakitkan hati. Paling utama bagi UMNO, perpecahan dalam UMNO berlaku kerana Dr. Mahathir Mohamed tidak dapat menerima saingan daripada tokoh-tokoh UMNO yang mungkin lebih cerdik dan lebih berkarisma daripada beliau, mungkin juga lebih jujur. Dr. Mahathir Mohamed komplen mengapa keputusan Ketua Pemuda UMNO mengambil masa yang lama untuk diumumkan: kerana terdapat unsur rasuah.

Tentu ada orang masih ingat bagaimana pengiraan undi 1987 memakan masa yang menghairankan; tetapi akhirnya Dr. Mahathir menang dengan 42 undi (lebih rendah daripada kemenangan Khairy Jamaluddin terhadap Mukhriz anak Mahathir) mengalahkan Tengku Razaleigh yang diduga akan menang. Kalau beliau mahu mengira semua itu, jangan lupa apa yang terjadi ke atas anda. Tanda orang itu baik hati dan jujur, dia sedar kesilapannya, oleh itu dia tidak mengungkit kesilapan orang lain yang belum tentu silap. Khairy Jamaluddin tidak dihukum oleh Lembaga Disiplin, hanya diberi amaran kerana kesalahan orang lain yang dia sendiri tidak tahu menahu tetapi dia harus bertanggungjawab kerana dia Naib Ketua Pemuda.

Ini bukan pembelaan kepada Khairy, hanya sekadar memberitahu fakta yang diselewengkan. Memang ahli politik suka menyelewengkan fakta, tetapi janganlah terlalu melampau kerana perbuatan itu menunjukkan anda tidak mempunyai integriti. Jika kita tidak senang dengan kemenangan Khairy, bolehkah kita berkata kita juga tidak senang dengan kemenangan 42 undi Dr. Mahathir Mohamed tahun 1987 itu. Penganalisis politik yang ramai sekarang boleh tolong kita menjelaskan perbezaan dua kemenangan yang meragukan itu. Samakah kemenangan Khairy tahun 2009 dengan kemenangan Dr. Mahathir Mohamed tahun 1987?

Kini Dr. Mahathir Mohamed kembali ke perahu UMNO setelah terjun beberapa lama kerana terlalu panas berada di dalam perahu di bawah nakhoda baru (Pak Lah). Kini nakhoda yang ditunggu-tunggunya sudah dapat merebut kuasa dengan izin Pak Lah sendiri, setelah menerima tekanan yang sangat hebat daripada Muhyiddin Yassin yang bekerja di bawah naungan Dr. Mahathir Mohamed. Kembalinya Si Luncai ke perahu sebenarnya tidak memberi manfaat apa-apa yang istimewa, selain dari menambah beban perahu yang sudah sarat dengan barangan bermasalah. Benarkah Dr. Mahathir Mohamed faktor penting dalam penyatuan UMNO?

Sehingga ini tidak ada penganalisis politik berani menidakkan andaian itu, walaupun mereka tahu sudah beberapa kali Dr. Mahathir Mohamed memecahbelahkan UMNO untuk memastikan kedudukannya tidak terjejas. Dari segi ini, Dr. Mahathir Mohamed telah memberi panduan baik kepada pemimpin UMNO, bahawa laungan mementingkan parti tidak semestinya baik, jika kedudukan sendiri terancam. Itulah falsafah politik seorang ahli politik, tetapi bukan seorang negarawan. Ahli sejarah jangan lagi membuat kesilapan dengan mengangkat Dr. Mahathir Mohamed sebagai seorang negarawan. Dia tidak layak diberi penghormatan itu jika tindak tanduknya dan ideanya tentang PPSMI dianalisis dengan kritis.

Bekas Ketua Pemuda UMNO yang kini naik pangkat dalam UMNO memanggil sesiapa juga yang mengkhianati perjuangan orang Melayu, misalnya menolak bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, adalah petualang yang mesti ditolak. Silapnya ialah orang terlalu memandang tinggi kedudukan Dr. Mahathir Mohamed dari pandangan lahir saja, dengan itu mereka telah “over rated” sumbangan Dr. Mahathir Mohamed. Inilah masalah dalam politik dan sejarah orang Melayu yang mesti diselesaikan dengan tuntas dengan menggunakan teori yang betul. Orang Melayu perlu cerdik dan berani menilai sumbangan tokoh-tokoh yang mereka senangi dengan menggunakan teori yang boleh menghuraikan banyak rahsia tentang tokoh yang dinilai terlampau tinggi itu. 29/3/2009).

Mohd Affandi Hassan