3 Dis 2011

Kes Fidlot: Apa Lagi Alasan UMNO, Bung Mukhtar Terus Desak Shahrizat Letak Jawatan

Isu NFC: Bung Moktar ulang gesa Shahrizat letak jawatan

KUALA LUMPUR, 3 Dis — Sementara rakan-rakannya menolak daripada menyentuh isu kontroversi projek ternakan lembu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC), yang dikaitkan dengan keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Datuk Bung Moktar Radin (gambar) mempertahankan pendiriannya menggesa Ketua Wanita itu meletakkan jawatan.

Ahli Majlis Tertinggi Umno ini mendakwa isu NFC kini menjadi liabiliti kepada parti. Ahli Parlimen Kinabatangan yang lantang ini juga mengetepikan wujudnya sokongan padu bagi Shahrizat ketika persidangan agung sayap Wanita Rabu lalu.

Katanya: “Kita tidak tahu apa jenis sokongan itu.”

“Ini kerana tiada perwakilan yang dengan jelas menyatakan sokongan, sokongan bagi parti, ya ada, saya tahu,” kata beliau ketika ditemui di sisi Perhimpunan Agung Tahunan Umno 2011 di sini hari ini.

Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional ini mengaku isu NFC sudah menjadi liabiliti bagi Umno.

“Saya percaya sebab saya adalah penyokong kuat parti,” katanya.

Kata beliau, meskipun Shahrizat telah menjelaskan ketika perhimpunan tetapi apa yang lebih penting ialah persepsi publik.

“Ini bukan persoalan berkenaan penerangan. Saya fikir beliau sudah beri penjelasan.

“Ini bukan persoalan siapa yang salah. Ia adalah persoalan bagaimana publik menerimanya,” kata Bung Moktar lagi.

Bung Moktar berkata menjelang pilihan raya umum, adalah penting Umno tidak dilemahkan oleh skandal-skandal yang dikaitkan dengan mana-mana individu.

“Jadi, saya sudahkan pun menyatakan pendirian saya. Saya meminta beliau mempertimbangkan (keputusan agar letak jawatan)... disebabkan seorang individu, sebahagian terlibat,” kata beliau lagi.

Pertengahan bulan lalu, Bung Moktar memberitahu Dewan Rakyat bahawa menteri Kabinet yang bertanggungjawab dalam NFC patut meletakkan jawatan.

Perkara itu disebut sekali lalu ketika membahaskan ucapan penggulungan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Chor Har berkaitan Rang Undang-undang Perbekalan 2012.

“Pendirian saya cukup jelas, macam isu Fidlot, saya memang setuju ini bukan kerja Umno, ini kerja perseorangan. Pada saya orang ini harus bertanggungjawab.

“Kalau saya pada tempat ini, saya letak jawatan, menyusahkan. Dia punya kerja semua musnah. Mana tidak betul, kita kena betulkan.

“Walaupun dia menteri Umno, siapa dia, dia bersalah, letak jawatan lebih baik daripada jadi liabiliti keapda Umno dan Barisan. Kita tegas, sebab kita memerintah negara ini dengan adil,” katanya.

Ketika itu wakil rakyat tersebut tidak menyatakan nama menteri berkenaan di dalam dewan.

Tetapi kemudian Bung Moktar mengesahkan bahawa beliau merujuk kepada Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. -TMI

Ulasan GB

Siapa tak kenal Bung Mukhtar yang berdekaq kuatnya UMNO itu? Dan beliau snediri yang kini mengulangi desakannya supaya Shahrizat Jalil letak jawatan. Bukan mana-mana pemimpin Pakatan Rakyat.

Tetapi UMNO terus menyerang PR, menyatakan kononnya pemimpin PR memfitnah dengan isu lembu Fidlot.

Sekarang jika berani, UMNO, sila ambil tindakan ke atas Bung Mukhtar.

SAH: 13 Produk Makanan KR1M Tak Penuhi Spesifikasi Peraturan Kawalan Makanan 1985

Kementerian Kesihatan mengesahkan bahawa sejumlah 13 jenis produk yang dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) tidak menepati spesifikasi Peraturan Kawalan Makanan 1985 dan tindakan telah diambil untuk memastikan ia dikeluarkan daripada rak-rak jualan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong berkata, produk-produk itu ialah susu segar, susu sejat, susu pekat manis, sos tiram, jem buah-buahan, kari ayam tin, kordial mangga, minyak sapi, kacang tanah, mentega kacang berkrim,mentega kacang ranggup, sardin tin, dan soso tomato.

Katanya, produk-produk ini juga tidak menepati spesifikasi penglabelan, komposisi produk dan tidak menepati aspek keselamatan makanan.

Liow juga berkata, ekoran dari itu, pihak kementerian turut menjalankan pemeriksaan ke atas 30 kilang yang membekalkan makanan-makanan berkenaan ke kedai KR1M.

Beliau menyatakan pihak kementerian juga telah mengambil 93 sampel dari 43 produk makanan yang dijual di KR1M untuk tujuan analisis.

Katanya lagi, Kementerian Kesihatan akan terus memantau kualiti makanan yang dijual di kedai KR1M dan konsumer yang mempunyai maklumat ke atas sebarang produk yang meragukan supaya menghubungi pihak berkuasa dengan serta merta.

Isu mengenai kualiti produk yang dijual di KR1M yang tidak mematuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh kementerian telah dibangkitkan oleh ahli parlimen DAP, Tony Pua baru-baru ini.

Dalam hubungan ini, kata Liow tindakan Tony Pua mengumumkan tentang perkara tersebut secara terbuka telah menjejaskan pihak berkuasa menjalankan siasatan kerana apabila pemeriksaan dilakukan sebahagian daripada produk yang meragukan itu telah pun dikeluarkan dari rak jualan.

Bagaimanapun Liow berkata, pihak kementerian telah berjaya mengesan siapakah pihak yang mengeluarkan produk-produk makanan itu.

Tambah beliau dari Januari hingga Ogis tahun ini, 125,709 barangan yang dibawa masuk ke Malaysia telah diperiksa di bawah Sistem Maklumat Keselamatan Makanan.

“Hasil siasatan dan ujian mendapati, 1.1% daripada barangan ini didapati melanggar Akta Makanan 1983 dan Peraturan Kawalan Makanan 1985,” ujarnya.

Untuk produk tempatan pula, 41,518 sampel telah diambil dari Januari hingga September tahun ini dan daripadanya 4.9% telah didapati melanggar Akta Makanan 1983 dan Peraturan Kawalan Makanan 1985.

Ulasan GB

Apa yang dilaporkan oleh blog ini sebelum ini bahawa produk-produk 1M bukan sahaja mahal malah merbahaya ADALAH SAHIH DAN BENAR.

Yang anehnya sekali pun Menteri kesihatan menyatakan pihaknya mengesahkan 3 jenis produk yang dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) tidak menepati spesifikasi Peraturan Kawalan Makanan 1985, tetapi terus menyalahkan pengadunya, Tony Pua dengan mmenyatakan tindakan Tony Pua mengumumkan tentang perkara tersebut secara terbuka telah menjejaskan pihak berkuasa menjalankan siasatan kerana apabila pemeriksaan dilakukan sebahagian daripada produk yang meragukan itu telah pun dikeluarkan dari rak jualan.

Kamu sepatutnya mendapatkan sampel itu daripada pengeluar, tidak semestinya dari rak jualan.

Sebarang produk yang meragukan sepatutnya yang belum menerima pengesahan perlu dikeluarkan dari rak jualan SERTA MERTA.

Ni apa punya binatang Kementerian Kesihatan melihat isu ini dari sudut politik dan kepentingan UMNO/BN semata-mata bukan dari sudut keselamatan dan kesihatan pengguna keseluruhannya?


Laporan sebelum ini
klik untuk baca


Mak Nyah Seksi Di Dungun Kena Cekup

Kuala Dungun – Aktiviti tidak bermoral membabitkan sekumpulan mak nyah yang sudah hampir lumpuh kesan operasi besar-besaran oleh pihak berkuasa kini dilihat mula bercambah kembali.

Biarpun bilangannya tidak ramai, namun gejala berkenaan tidak sesuai dengan budaya masyarakat kita.

Apatah lagi, perkara berkenaan bertentangan dengan undang-undang syariah di negeri ini.

Dalam kejadian terbaru awal pagi kelmarin, seorang ‘nyah’ yang berkeliaran di sekitar bangunan dekat sini.

Dia dipercayai sedang menunggu pelanggan dicekup sepasukan Pegawai Penguatkuasa Syariah yang sedang membuat rondaan pencegahan.

Terserempak dengan van milik Jabatan Agama yang dinaiki pegawai terbabit, ‘nyah’ yang dikatakan mengenakan skirt pendek paras lutut dan kasut tumit tinggi yang kelihatan seksi bagi individu yang tidak mengenali identitinya itu cuba meloloskan diri nya.

Namun, dia berjaya dicekup pegawai penguatkuasa syariah terbabit.

Pemuda berumur 31 tahun berasal dari kampung Sungai Buaya itu ketika ditahan dipercayai turut memakai coli wanita.

Selain itu, dia turut mengenakan beberapa perhiasan wanita yang lain seperti gincu dan pembayang mata.

Lelaki yang cuba bersuara mirip perempuan itu akhirnya dibawa ke pejabat Unit Penguatkuasaaan Syariah Jabatan Agama Dungun untuk diambil keterangan.

Sementara itu, barang peribadi miliknya seperti coli dan kasut tumit tinggi yang dipakainya turut dirampas untuk dijadikan barang bukti di mahkamah nanti.

Mak nyah yang pernah menghadapi tindakan undang-undang kerana melakukan kesalahan sama itu akan didakwa mengikut seksyen 33 Enakmen Kesalahan Jenayah
Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001 atas kesalahan orang lelaki berlagak seperti perempuan,

Sementara itu, jika sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara atau denda atau kedua-duanya sekali. Kesnya akan disebut 9 Januari 2012 nanti.

Faktor "Winnable Candidate" Sukarkan UMNO Menang PRU

Calon 'winnable' cetuskan kebimbangan sabotaj

Kebimbangan ahli Umno yang kecewa kerana tidak terpilih sebagai calon mensabotaj parti menjadi tajuk panas pada perhimpunan agung Umno kali ini. Ia berikutan konsep calon boleh menang atau 'winnable candidate' yang ditimbulkan kali ini yang menandakan kriteria asas tidak lagi akan dijadikan panduan.

Daripada ucapan perwakilan, adalah jelas perbalahan bagi menjadi calon pada peringkat bahagian mungkin disabotaj oleh mereka yang tidak dicalonkan dan penyokong mereka adalah satu kebimbangan bagi Umno.

Beberapa perwakilan menimbulkan perkara itu dan mahu kepimpinan parti bertindak bagi menyelesaikan masalah itu, termasuk membentuk sebuah jawatankuasa disiplin.

“Winnable Candidate - tidak ada masalah kita serah kepada presiden, tetapi Datuk Seri Presiden ambillah iktibar pilihan raya lalu, calon kalah jangan letak kesalahan kepada bahagian

“Kenapa kita tidak ambil tindakan, ini lebih dahsyat dari pembangkang, musuh dalam selimut, tubuh jawatankuasa disiplin PRU-13 serta merta,” kata wakil Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Sesetengah perwakilan berpendapat kekalahan memalukan Umno pada 2008 adalah kerana dikhianiti di kalangan parti sendiri, khususnya di Kedah. Ini jelas kerana undi rosak adalah lebih tinggi daripada majoriti yang diterima oleh Pakatan.

Kebanyakan pemerhati politik juga berpendapat bekas perdana menteri dan juga presiden Umno, Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang mengetuai kempen BN pada pilihan raya umum lalu telah menimbulkan kemarahan ramai pemimpin Umno dengan menyenaraikan calon-calon pilihannya. -mk

Calon Boleh Menang & Setia Jadi Bualan Perwakilan

KUALA LUMPUR: Istilah 'winnable candidate' atau 'calon boleh menang' menjadi topik perbualan hangat di kalangan perwakilan dan pemerhati ke Perhimpunan Agung Umno 2011 yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Rata-rata berpendapat faktor calon memang menjadi satu daripada penyumbang kemenangan tetapi pada masa sama faktor taat dan setia serta tidak mengkhianati parti turut memainkan peranan besar bagi menentukan kemenangan calon Umno dan Barisan Nasional (BN).

Perwakilan Kelantan Datuk Mohd Rosdi Abdul Aziz yakin pada dasarnya perwakilan faham dengan apa yang dimaksudkan 'calon boleh menang' tetapi masih sangsi mampukah semua pihak memberi "taat setia tanpa berbelah bahagi" kepada keputusan pucuk pimpinan.

Adakah pemimpin yang merasakan mereka juga adalah 'calon boleh menang' boleh melakukan pengorbanan dengan mengetepikan kepentingan diri dan desakan penyokong, apabila pucuk pimpinan membuat keputusan yang tidak memihak kepada mereka nanti.

"Pengorbanan daripada segi wang, tenaga dan masa mungkin mudah dilakukan tetapi sanggupkah mereka melakukan pengorbanan perasaan. Inilah pucuk pimpinan sebutkan agar sebagai penyokong dan pejuang Umno mereka perlu membuat pengorbanan perasaan tersebut (rela hati tidak dipilih menjadi calon)," kata Mohd Rosdi yang juga Timbalan Ketua Umno bahagian Tumpat.

Beliau berkata, ramai di kalangan pemimpin Umno berkaliber dan berupaya untuk menjadi wakil rakyat tetapi hakikatnya, hanya seorang sahaja yang akan dipilih sebagai calon bagi sesuatu kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dalam konteks ini, wakil dari Melaka, Datuk Ahmad Hamzah berkata, calon boleh menang ialah seorang yang mempunyai sifat kepimpinan yang disenangi pengundi dan boleh membawa mesej rakyat kepada kerajaan.

"Calon itu juga mempunyai sifat yang boleh memujuk orang yang dipimpinnya (anggota parti) apabila berlaku sesuatu isu besar, dia boleh menyelesaikannya walaupun ada di kalangan mereka membantah. Suaranya didengari dan dihormati," katanya lagi.

Ahmad menambah, kalangan pemimpin sedia ada mestilah bersifat terbuka dan menerima keputusan pucuk pimpinan mengenai calon yang dipilih serta berupaya memujuk penyokongnya agar tidak membantah keputusan dan terus bekerja untuk kemenangan calon yang dipilih.

Seorang lagi perwakilan berkata sebaik sahaja pilihan raya diumumkan, tiada seorang pemimpin pun berhak mendakwa kerusi yang disandangnya itu adalah miliknya.

Terpulanglah kepada pucuk pimpinan untuk memilih calon yang boleh menang untuk bertanding," kata Datuk Ghazale Mohamad dari Bahagian Jasin.

Kedua-dua perwakilan itu juga bersependapat bahawa satu penerangan perlu diberikan di peringkat cawangan dan bahagian bagi mengingatkan para anggota parti tentang mesej taat dan setia serta tidak mengkhianati parti yang diperkatakan Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam pada itu pemerhati politik, Wan Zamzuri Wan Hasenan dalam tulisan pada laman blognya berpendapat faktor calon boleh menyebabkan parti menjadi lemah sekiranya ada pihak tidak menyokong keputusan parti.

Menurutnya kajian menunjukkan faktor calon memang menyumbang kepada kemenangan tetapi faktor kestabilan atau permasalahan dalaman turut menjadi penyebab kemenangan atau kekalahan.

Beliau percaya, ramai di kalangan 3.2 juta anggota Umno di seluruh negara sebenarnya tidak faham atau masih kabur dengan konsep calon boleh menang.

Bagi memahami konsep calon boleh menang, anggota Umno mungkin boleh melihat kembali kepada pemilihan calon BN oleh pucuk pimpinan pada pilihan raya kecil DUN Galas di Kelantan dan Parlimen Batu Sapi di Sabah yang diadakan serentak pada 4 November tahun lepas serta DUN Merlimau di Melaka pada 6 Mac 2011.

Calon berkenaan mungkin boleh menjadi antara contoh yang dimaksudkan dengan konsep calon boleh menang.

Pada ketiga-tiga pilihan raya kecil itu, calon BN, Abdul Aziz Yusoff di Galas, Datin Linda Tsen Thau Lin (Batu Sapi) dan Roslan Ahmad (Merlimau) meraih kemenangan dengan majoriti besar yang dilihat pemerhati politik ada kaitan dengan faktor calon yang diterima bukan sahaja anggota parti malah pengundi di kawasan masing-masing.

Pemerhati politik melihat kemenangan ketiga-tiga calon BN itu antara lain adalah atas faktor mereka boleh diterima oleh anggota parti dan pengundi kerana mereka sememangnya popular dalam masyarakat. -mstar



Ulasan GB

Pencarian "calon boleh menang" untuk UMNO masuk gelanggang pilihanraya umum ke 13 ini jelas membuktikan UMNO kini di dalam keadaan yang amat terdesak untuk mempastikan UMNO tidak tumbang - kriteria "winnable candidate" sepastinya akan meresahkan beberapa pimpinan bahagian yang selama ini berpegang kepada ciri kekananan seseorang di dalam parti.

Ungkapan "calon boleh menang" itu saja sudah cukup untuk membuktikan sejak munculnya Pakatan Rakyat, UMNO mempunyai ramai calon yang tak boleh menang, dan kini terpaksa berhempas pulas mencari calon berwibawa yang boleh diterima rakyat.

Di zaman teknologi maklumat hari ini, seseorang calon akan diteropong habis-habisan oleh rakyat. 360 darjah. Sebarang kecacatan akan terdedah. Si perasuah, si penipu, si pembohong, si bacul, si angkuh, si pengkhianat, si kaki botol, si kaki perempuan, si perogol, si penjudi, si pengebas, si pencarut, si lembik dan si lembu - adalah mereka yang bakal dan sepatutnya tertolak menjadi calon, sedangkan, maaf cakap, itulah yang ada, malah cukup ramai di dalam UMNO.

Jadi, faktor "winnable candidate" cukup meresahkan mereka... siapa yang bersih di dalam UMNO untuk ditonjolkan sebagai calon? UMNO pening dan bingung memikirkannya. UMNO menyedari bahawa rakyat tidak lagi buta. Rakyat kini sudah celik dan buka mata.

Kes Bayi Dijual RM21,000, Si Comel Dibawa Ke Mahkamah

Kuala Lumur: Seorang bayi yang nyaris dijual dengan harga RM21,000 menarik perhatian orang ramai yang hadir di Mahkamah Sesyen di sini, semalam apabila dibawa untuk tujuan pengecaman oleh seorang saksi yang juga pengadu dalam kes itu.

Gambar: UNTUK DICAM...Cif Inspektor Hartisyah Abduhu bersama bayi perempuan berusia setahun di mahkamah, semalam.

Bayi perempuan comel yang berusia setahun itu dicam saksi kelima pendakwaan, Norfatimah Ahmad, 43, sebagai bayi yang dibelinya daripada sebuah hospital swasta, tahun lalu. Dia dibawa ke mahkamah pada perbicaraan kes bekas jururawat, Gulab Jan Abdul Jabir, 49, atas tuduhan memperdagangkan seorang bayi perempuan, tahun lalu. Gulab Jan didakwa memperdagangkan bayi perempuan berusia lapan bulan bagi tujuan eksploitasi di Hospital Taj, jam 2.10 petang, 1 November 2010.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Bayi itu kini berada di dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga selesai perbicaraan kes itu. Norfatimah turut melakukan pengecaman terhadap individu yang ditemuinya ketika melakukan urusan pembelian bayi di Hospital Taj, Jalan Ipoh di sini, November tahun lalu iaitu pakar bedah, Datuk Dr Mohammad Feizal Abdullah dan anak perempuannya, Suraij Banu yang bekerja di hospital sama.

Mahkamah turut memanggil Datin Mumtaj Nashir Bee iaitu isteri Dr Mohammad Feizal bagaimanapun dia memberitahu mahkamah isterinya tidak dapat hadir kerana tidak sihat.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Amalina Ismail turut memberitahu mahkamah pihak pendakwaan gagal menyerahkan sapina kepada pembantu jururawat, Munirah Ali Bakar dan orang awam, Mohamed Kassim Ibrahim untuk dipanggil sebagai saksi pada tarikh perbicaraan akan datang.

Mahkamah menangguhkan perbicaraan di hadapan Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain pada 13 hingga 17 Februari tahun depan. -hm

Pak Samad Ketuai Protes Bantah Akta Perhimpunan Petang Ini

Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said akan mengetuai pusingan kedua protes di KLCC hari ini, bagi membantah Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 yang diluluskan Dewan Rakyat Selasa lalu dan kini menunggu kelulusan Dewan Negara.

Taman yang sama, Sabtu lalu, menyaksikan kehadiran kira-kira 400 penunjuk perasaan.

Kebanyakan mereka berpakaian kuning sebagai menyokong pergerakan BERSIH 2.0 dan berkumpul serta bernyanyi, mengedar belon dan bunga, meniup buih sabun dan mengamalkan yoga untuk menunjukkan rasa kurang senang dengan dengan undang-undang baru yang didakwa menyekat kebebasan untuk berhimpun.

"Minggu ini, kami akan lakukannya lagi. Pak Samad akan menyertai kami untuk mendeklamasikan beberapa puisi.

“Marilah kita banjiri KLCC tanpa permit polis. Marilah kita tentang undang-undang yang bodoh ini. Marilah kita pertahankan kebebasan kita," tulis seorang daripada penganjur itu, Wong Chin Huat, di Facebook beliau.

Samad, 76, yang lebih dikenali sebagai Pak Samad seorang penyajak dan penulis novel yang tidak asing lagi dengan demonstrasi. Beliau pernah mengetuai bersama perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai dan perhimpunan anti-PPSMI pada tahun 2009.

Acara yang bermula jam 2 petang itu sekali lagi dianjurkan melalui Facebook. Ia menuntut rang undang-undang itu ditarik balik segera dan semua rakyat Malaysia di luar negara dibenarkan mengundi secara pos.

Penganjur berharap untuk bilangan yang akan hadir kali ini akan meningkat kepada 800 orang. Setakat ini, tidak kurang 300 warga maya telah mengesahkan penyertaan mereka.

Tidak seperti minggu lalu, penganjur kali ini meminta para peserta membawa makanan untuk "perkelahan petang" dan seperti lazimnya untuk membawa bersama bendera, belon dan bunga, serta berpakaian dengan warna kuning. -mk

SPR Cipta Alasan Baru "Tunggu Fatwa" Untuk Elak Guna Dakwat Kekal

Tunggu fatwa dakwat kekal hanya dalih SPR

KUALA LUMPUR, 2 Dis: Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata alasan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) bersedia menggunakan dakwat kekal pada pilihanraya umum akan datang tetapi perlu menunggu kelulusan daripada Majlis Fatwa Kebangsaan adalah satu yang aneh.

Beliau yang dihubungi Harakahdaily berkata, sedangan pada tahun 2008 penggunaan dakwat kekal telah diluluskan malah telah mempunyai kelulusan daripada Majlis Fatwa.

"Alasan SPR itu satu yang aneh serta menunjukkan sikap dolak dalik mereka untuk melaksanakan penggunaan dakwat kekal pada pilihanraya umum yang akan datang.

"Selain itu juga ia mempunyai motif tersendiri untuk cari alasan agar penggunaan dakwat kekal tidak dilaksanakan, kenapa kena tunggu kelulusan dari Majlis Fatwa sedangkan pada tahun 2008 sebanyak RM2.4 juta telah dibelanjakan untuk membeli dakwat kekal.

"Malah kelulusan Majlis Fatwa sudah diperolehi tetapi mereka mencipta alasan lain untuk menolak penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya tahun 2008," jelasnya.

Dalam pada itu Saifuddin memberitahu, SPR tidak perlu membangkitkan hal-hal sedemikian kerana perkara itu telah dibincangkan semasa pendengaran awam Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC).

"Perkara tersebut telah dibincangkan semasa pendengaran awam PSC yang turut dihadiri Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan ia tidak perlu timbul sekarang.

"Nampaknya SPR tidak bersedia untuk melaksanakannya serta menjalankan pilihanraya yang bebas dan adil," ujarnya.

Tambahnya lagi, desakan yang dilakukan oleh Bersih 2.0 dan juga Pakatan Rakyat telah menunjukkan hasil yang baik di mana sewaktu perbahasan laporan awal cadangan PSC di Dewan Rakyat semalam menunjukkan cadangan pertama penambahbaikan pilihanraya adalah penggunaan dakwat kekal.

"Persetujuan telah diperolehi dan perbahasan semalam juga telah meluluskan apa yang dicadangkan oleh PSC jadi kena SPR ingin berdolak dalik.

"Pakatan Rakyat mendesak agar SPR melaksanakan penggunaan dakwat kekal pada pilihanraya umum ketiga belas nanti (PRU13) dan apa yang dibincangkan semasa pendengaran awam PSC, SPR hanya memberitahu memerlukan dua bulan untuk proses tenpahan dan pembelian dakwat kekal.

"Pakatan Rakyat berpendapat alasan itu cukup aneh dan tidak boleh diterima pakai," sambungnya lagi.

Sebelum itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedia melaksanakan penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum akan datang tetapi akan menunggu kelulusan daripada Majlis Fatwa Kebangsaan.

Malah Setiausaha SPR, Kamaruddin Ahmad Baria memaklumkan bahawa mereka sedia menggunakan dakwat kekal dan sedang menunggu kelulusan terakhir daripada Majlis Fatwa Kebangsaan bagi memastikan bahan yang digunakan dalam dakwat itu mematuhi kehendak syariah.-HD

SPR sedia guna dakwat kekal jika dilulus Majlis Fatwa

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedia melaksanakan penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum akan datang tetapi akan menunggu kelulusan daripada Majlis Fatwa Kebangsaan.

"Setiausaha SPR Kamaruddin Ahmad Baria memaklumkan kepada kami bahawa mereka sedia menggunakan dakwat kekal dan sedang menunggu kelulusan terakhir daripada Majlis Fatwa Kebangsaan bagi memastikan bahan yang digunakan dalam dakwat itu mematuhi kehendak syariah,” kata ahli parlimen Segambut, Lim Lip Eng.

Beliau sebelum itu menghadiri mesyuarat ahli-ahli parlimen DAP bersama Kamaruddin selama hampir sejam di Puitrajaya hari ini.

Bagaimanapun, seorang lagi ahli parlimen DAP, Teresa Kok yang hadir bersama sidang media itu, berkata Kamaruddin memberitahu mereka bahawa cadangan membenarkan rakyat Malaysia di luar negara untuk mengundi sebagai pengundi tidak hadir masih dikaji dan tidak akan dikasanakan segera.

Kedua-dua syor penggunaan dakwat kekal dan membenarkan rakyat Malaysia di luar negara mengundi adalah antara sepuluh cadangan yang dikemukakan dalam laporan awal yang dibentangkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi pembahruan sistem pilihan raya di negara ini di Dewan Rakyat, minggu ini.

Agensi seperti SPR yang dinamakan dalam laporan itu diberikan tempoh dua minggu bagi melaksanakan cadangan berkenaan.

Sementara itu, mufti Perlis, Dr Juanda Jaya berkata, beliau bersetuju dengan cadangan dakwat kekal digunakan bagi mengelakkan tohmahan berlaku penyelewengan dalam pilih raya.

“Dunia Islam lain dah terima. Mereka juga ada ulama dan ilmuan agung. (Jadi) setuju sangat agar tohmahan dihilangkan dan setara keadilannya,” katanya dalam sms ringkas kepada Malaysiakini.

Menurut beliau penggunaan dakwat kekal bukan sesuatu yang baru tetapi telah juga di beberapa negara, termasuk Bangladesh dan Indonesia. -mk


[Meloyakan] 3 Naib Presiden UMNO Jilat Semula Ludah Mereka

Arahan tarik balik laporan naib presiden 'sedia undur'

Beberapa pertubuhan berita diberikan arahan supaya tidak menerbitkan laporan yang memetik kenyataan tiga naib presiden Umno supaya calon yang tidak boleh menang atau “winnable candidate” berundur pada pilihan raya umum akan datang.

Namun tidak semua pertubuhan berita mematuhi arahan dari Putrajaya itu supaya tidak menyiarkan berita berkenaan.

Ia berhubung reaksi tiga naib presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terhadap ucapan dasar presiden.

Pada ucapan dasar Datuk Seri Najib Razak, semalam, beliau berkata calon boleh menang akan diletakkan pada pilihan raya umum akan datang dan meminta semua ahli mendahulukan kepentingan parti daripada peribadi.

Pada sidang media kemudiannya, ketiga-tiga naib presiden berkata mereka bersedia memimpin melalui teladan dengan berundur secara terhormat jika ahli dan rakyat merasakan khidmat mereka tidak lagi diperlukan, jika mereka bukan calon yang boleh menang.

Lewat petang semalam, agensi berita kerajaan, Bernama mengeluarkan notis kepada pelanggan memaklumkan bahawa artikel yang disiarkan telah dikemaskini.

“Nota kepada editor: Sila abaikan berita bertajuk Umno-Naib Presiden (calon) yang dihantar sebelum ini. Berita baru akan menyusul,” petik notis itu.

Berita baru yang menyusul bagaimanapun tidak melaporkan ketiga-tiga mereka akan berundur bagi memberi laluan kepada ahli lain diletakkan sebagai calon, tetapi sebaliknya memetik mereka mendesak orang lain berbuat demikian. -mk

Laporan sebelumnya

Ketiga-Tiga Naib Presiden UMNO Sedia Tarik Diri Bertanding PRU-13

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Ketiga-tiga Naib Presiden Umno Khamis menyatakan kesediaan mereka untuk menarik diri daripada bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) sekiranya mereka difikirkan tidak mampu menjadi calon yang boleh menang.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein membuat kenyataan tersebut dalam sidang akhbar bersama selepas perasmian Perhimpunan Agung Umno 2011 oleh Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak di sini pada Khamis.

Hishammuddin yang mewakili ketiga-tiga mereka berkata "tiada masalah" apabila ditanya adakah mereka sanggup melepaskan kerusi masing-masing jika difikirkan tidak mampu menjadi calon yang boleh menang.

Katanya ini adalah selaras dengan ucapan dasar presiden parti yang antara lain menyebut anggota parti perlu menilai sama ada mereka dapat membantu parti memenangi pilihan raya umum jika bertanding nanti atau hanya merugikan parti jika berbuat demikian.

"Presiden parti tidak mahu meletakkan parang yang tajam untuk memenggal leher orang yang tidak lagi boleh memberikan kemenangan kepada parti, namun kita sendiri mesti lakukan muhasabah pada diri. Kalau kita tidak boleh memberikan kemenangan kepada parti lagi maka kita perlu mengundurkan diri."

Najib semasa berucap pada perasmian Perhimpunan Agung Umno 2011 hari ini secara halus meminta para pewakilan mencontohi sifat sahabat Rasulullah, Khalid al-Walid yang taat mengundurkan diri sebagai panglima perang apabila diarahkan oleh khalifah, dan hanya berkerja sebagai tentera biasa sekalipun sedang berada di kemuncak kariernya yang tidak pernah kalah dalam sebarang peperangan. -Bernama


Ulasan GB

Sememang wajar ketiga-tiga Naib Presiden UMNO itu berundur. Paling tidak pun rakyat Malaysia khususnya ahli UMNO sendiri sudah melihat "kebebalan" mereka. Buat kenyataan sedia berundur, lepas tu baru tersedar risikonya bahawa ahli-ahli UMNO memang hendakkan ketiga-tiga berundur sehingga mengejutkan pimpinan tertinggi termasuk Presiden dan Timbalan Presiden. Akhirnya ketiga-tiganya tarik semula kenyataan yang dibuat bersama - yang lucunya - suruh orang lain pula berundur.

Buruk betul!