12 Dis 2009

Kerajaan Pusat Berat Sebelah Sekat Peruntukan Selangor

Kerajaan Persekutuan melanggari prinsip federalisma apabila gagal menyalurkan peruntukan sewajarnya kepada Kerajaan Selangor, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pentadbiran Umno-Barisan Nasional yang mementingkan fahaman politik menyebabkan banyak projek pembangunan di Selangor terbantut.

Ini berikutan Umno-BN mewujudkan pejabat pembangunan negeri Selangor di setiap daerah dan menyalurkan peruntukan terus tanpa mengetahui agenda pembangunan kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri kurang berpuas hati terhadap jumlah pemberian Kerajaan Persekutuan yang diterima sehingga 27 Oktober 2009, yang hanya berjumlah 408.26 juta ringgit padahal kerajaan persekutuan memperolehi pendapatan sebanyak 16 bilion ringgit dari kerajaan dan rakyat Selangor”, kata Tan Sri Khalid.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berucap pada Istiadat Penganugerahan dan Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang hari ini.

Walaupun peruntukan disekat, namun ia tidak menghalang kerajaan negeri untuk meneruskan usaha Merakyatkan Ekonomi Selangor bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela.

Biarpun Selangor tidak terlepas daripada kesan kegawatan ekonomi global, namun jumlah pelaburan tempatan dan antarabangsa tetap kukuh berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

“Pada Jun 2008, kerajaan negeri Selangor melancarkan Pakej Rangsangan Ekonomi yang bernilai 50 bilion ringgit ekoran itu sebanyak 6 projek utama dilancarkan yang dijangka dapat merancakkan pembangunan dan ekonomi negeri Selangor di samping menyediakan 150 ribu peluang pekerjaan kepada rakyat Selangor dan Malaysia”, jelasnya lagi. - NIZAM (TVS)



Nga Kor Ming Nafi Pertikai Peruntukan Pembinaan Masjid

Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming menyanggah tuduhan yang mendakwa beliau mempertikaikan pembinaan masjid berbanding rumah-rumah ibadat agama lain.

Kor Ming berkata soal mempertikaikan tidak berlaku, bahkan beliau amat mengalu-alukan pembinaan masjid digiatkan sebagai benteng moral menghadapi cabaran kesejagatan hari ini.

Namun beliau berpendapat pada masa yang sama, pemerintah BN juga perlu berlaku adil dengan tidak mengenepikan keperluan beragama bagi masyarakat bukan Islam.

“Saya tidak melakukan kesalahan. Yang saya buat adalah, saya bertanya di Parlimen, tentang peruntukan Jabatan Perdana Menteri dan jawapan diberi oleh menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yaakob, ikut jawapan Menteri, kerajaan dari BN, memperuntukan RM 740 juta, untuk membina masjid dan pada masa yang sama, RM 9 juta diberikan kepada agama bukan Islam, iaitu hanya 1.2 peratus". katanya ketika dihubungi Tv Selangor.

“Apa yang saya katakan adalah, saya mengalu-alukan usaha kerajaan untuk memartabatkan Islam dan pada masa yang saya saya memohon kerajaan, memberikan layanan yang lebih adil kepada masyarakat bukan Islam”.

Ujarnya ajaran Islam sendiri menuntut umatnya untuk berlaku adil kepada penganut agama lain dan apa yang dipohon olehnya di dalam sidang Dewan Rakyat itu bukanlah satu kesalahan.

“Oleh kerana, masyarakat bukan Islam khususnya generasi muda, mempunyai masalah gejala sosial seperti maksiat dan lain-lainkan. Jadi semua rakyat, termasuk Islam atau bukan Islam, mesti diberi asuhan dan ajaran agama yang betul” tambahnya lagi.

“Tapi oleh kerana itu,sekarang kena putar belit, sebab itu saya kata saya kena buat laporan polis, saya akan bincang dengan peguam saya, dan jika mahkamah merestui, semua wang pampasan, saya akan derma kepada masjid”.


BTN : Pak Lah Tak Usah Tegakkan Benang Yang Basah

Susulan kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang mendakwa Biro Tata Negara (BTN) tidak bersifat perkauman.

Bagaimanapun kenyataan itu diselar bekas pengarah BTN, Johari Abdul yang menyifatkan kenyataan Tun Abdullah itu menegakkan benang yang basah.

“Pak Lah mungkin kata ada individu. Ya mungkin ada individu tetapi kalau ada kursus kita, individu itu menyebut dalam kursus kita, individu ini sebahagian dari pensyarah kita, sebahagian daripada fasilitator kita, kita kena ambil tanggungjawablah. Kita katalah kita mengakui dan rombak. Apa yang nak pertahankan? Rakyat semua tahu, tak payah hendaki menegakkan benang yang basahlah!” kata Johari kepada TV Selangor.

Tun Abdullah dalam laporan Berita Harian hari ini berkata, beliau tidak nampak adanya unsur perkauman dalam program anjuran kerajaan itu.

Tun bagaimanapun tidak pula menidakkan individu rasis dalam program berkenaan.

Johari Abdul ketika dihubungi TV Selangor berkata, apapun jua yang dikatakan Tun Abdullah, para peserta dan rakyat yang pernah menyertai kursus BTN lebih mengetahui apa yang berlaku dalam kursus tersebut.

“Pak Lah tidak payah menidakkan lah. Saya ingat sudah beratus ribu atau juta orang yang telah melalui kursus BTN tu…”.

Tambahnya lagi, beliau bersetuju dengan sikap dan pendirian yang ditunjukkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang lebih terbuka dalam mengakui kesilapan pihak kerajaan.

Johari juga menyarankan jika UMNO mahu terus mewujudkan sebuah program rasis, maka mereka boleh mengadakan kursus mereka sendiri tanpa menggunakan duit rakyat.

“BTN harus bertanggungjawab. Bila kita menjemput penceramah dan penceramah itu menggunakan elemen rasis dalam ceramah-ceramah tersebut, dalam kursus-kursus tersebut, makanya pelanggan atau peserta kursus tersebut (beranggapan) orang yang memberikan input ini sebahagian daripada BTN”.

“Saya bersetuju dengan Datuk Nazri Aziz supaya jangan pertahankan. Mengaku sahajalah ada silap dan rombak kan. Itu saya minta. Tetapi kalau dia hendak rasis, dia hendak kata apa, dia hendak gunakan fitnah dan sebagainya, dia boleh buat tetapi buat dalam kursus UMNO lah. Yang UMNO cari duit, buatlah!”. -TVS



MAHAR, Nak Ikut Trend Atau Hadith?

Jumlah hantaran terlalu tinggi sebenarnya yang menjadi bebanan kepada bakal pengantin lelaki dan ia bukan disebabkan kenaikan kadar mas kahwin, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Mej Jeneral Datuk Jamil Khir Baharom, Bernama melaporkannya.

Beliau juga berpendapat kenaikan kadar mas kahwin itu tidak menjadi faktor mengundang lebih ramai wanita tidak berkahwin atau menjadi anak dara tua.

“Jika dilihat masyarakat sekarang (mereka) lebih terarah untuk penyediaan majlis perkahwinan besar-besaran, kalau boleh semua nak hebat...(dari) kad jemputan sehinggalah ke majlis kenduri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Wanita Perdana 2009 di sini hari ini.

Jamil Khir mengulas langkah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengumumkan kadar baru mas kahwin di negeri itu sebanyak RM300 bermula pada tahun depan berbanding RM80 bagi anak dara dan RM40 untuk janda sejak 1978.

Beliau yakin keputusan menaikkan kadar mas kahwin itu dibuat selepas penelitian dan kajian mengenai perkara itu dilaksanakan.

Ulasan GB

GB pernah mengulasnya di SINI.

Soalnya mengapa dipersulitkan orang yang hendak berkahwin secara sah?

Apakah kerana "masyarakat sekarang lebih terarah untuk penyediaan majlis perkahwinan besar-besaran" maka kita perlu mengikut arus trend berkenaan? Bukankah menjadi tanggungjawab pihak yang berpengetahuan ugama termasuk mufti-mufti yang hebat-hebat serta pemimpin-pemimpin pertubuhan Islam untuk mendidik masyarakat supaya tidak mengikut trend pemborosan dan bermegah-megah itu?

Sesungguhnya perempuan yang baik itu adalah yang rendah maharnya.....
Sabda Rasulullah SAW

" خير النساء أحسنهن وجوها أرخصهن مهورا "

أخرجه أبن حبان من حديث أبن عباس

Ertinya : “ Sebaik-baik wanita adalah yang elok rupanya dan yang paling rendah kadar maharnya

" ابركهن اقلهن مهرا "

Ertinya : “ Seberkat-berkat wanita ialah paling sedikit maharnya”

Rasulullah SAW juga bersabda maksudnya :

"Sebaik-baik maskahwin ialah yang lebih rendah ". ( Riwayat Abu Daud )

Dan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Sesungguhnya yang besar berkat nikah ialah yang sederhana belanjanya ".
( Riwayat Ahmad )

Belum ada dijumpai hadith yang menunjukkan perlu dinaikkan atau dimahalkan mas kahwin.

Sebelum ini GB mengutarakan sekurang-kurangnya dua implikasi dari kenaikan mahar dan pihak yang bertangungjawab menaikkan mahar dan yang menyokongnya perlu bertanggungjawab dengan masalah yang yang dibawa:

1) Akan lebih ramai andartu (anak dara tua) seperti yang disebutkan oleh TG Nik Aziz
2) Akan lebih marak kes-kes sumbang mahram dan gejala sosial di kalangan remaja kerana dipersulitkan mereka untuk mendirikan rumahtangga secara sah.

Ada diantaranya berhujjah kononnya kenaikan maskahwin akan meninggikan darjat perempuan. Ia sebenarnya satu hujjah dangkal lagi bebal. Tinggi-rendah mas kahwin tidak boleh digunakan untuk mengukur darjat perempuan. Apakah nilai seorang wanita cuma RM300?


UMNO Bakal Pecah Perutnya

Setelah menerima memo bantahan bertulis yang disampaikan oleh setiausaha saya, maka sahlah yang di luar pintu sana ada sekumpulan orang yang sedang berbuat bising. Saya tidak pasti sama ada mereka mendapat permit, katanya dari sasaran yang dihajatkan 2,000 orang peserta, tetapi rupanya yang tiba hanya sekadar 200 orang sahaja.

Hairannya orang Umno Pasir Mas yang mengetuai penghantaran memo bantahan tersebut dan bukan Umno negeri. Kenapa boleh jadi begitu?

Mereka menggunakan topeng Jemaah Rakyat Perihatin Kelantan di kepala suratnya. Ini lagi pelik. Sudah malukah menggunakan nama Umno sehingga berselindung di sebalik JRPK? Jika tidak salah saya, ada satu lagi topeng yang selalu di gunaka oleh Ahli Parlimen Pasir Mas yang disebut Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK).


Sudahlah begitu, senaskah CD yang ada disebut kononnya disertakan bersama memo ITU untuk dijadikan bahan bukti khutbah Hari Raya saya, tidak pula disertakan.

Belumpun saya meneliti butir kandungan bantahan itupun saya sudah dapat menyukat betapa tidak terutusnya sebuah rancangan yang kononnya mahu menggugat sebuah kerajaan yang kukuh lagi sah. Apa tidaknya, masaalah menantu saya di PMBK sudah beres, malah tajaan haji saya juga sudah selesai.

Setelah membelek memo dua muka surat yang ditandatangani oleh empat orang, manakala 18 lagi tidak bernama dan tidak bertandatangan, maka hati saya sudah tawar untuk membaca kandungannya.

Apapun, setelah membacanya sepintas lalu, terdapat dua tuntutan yang dibawa oleh mereka, iaitu; Pertama, meminta saya menarik balik dan memohon maaf di atas ‘doa kemusnahan ke atas pemimpin Umno’ yang tidak memberi royalti kepada rakyat Kelantan.

Kedua, mendesak saya supaya meletak jawatan Menteri Besar.


Menyentuh tuntutan pertama, mengapa harus saya hiraukan suara budak-budak Umno yang tak sampai 200 orang itu supaya saya meminta maaf sedangkan Presiden Umno selaku orang nombor satupun tidak menyuruh saya meminta maaf atau menarik balik.

Dalam hal ini, jika mahu menganalisa dan mengulas doa saya, maka ia hendaklah mengambil doa itu keseluruhan. Kenapa tak sebut doa saya meminta dan memohon kepada Allah SWT diperbetulkan jalan berfikir Perdana Menteri supaya menerima Islam yang syamil.

Dari segi Islam, doa adalah satu permohonan. Jika kita rajin membuka sejarah doa-doa yang diambil oleh para Nabi, kita tentu boleh berjumpa dengan kandungan doa Nabi Musa AS dan Nabi Muhammad saw sendiri yang pernah mendoakan bala kepada musuh Islam.

Jika kita membuka himpunan hadith dalam Ridhatus Solihin, kita akan berjumpa dengan maksud doa yang berbunyi begini: "Wahai Tuhan, tolong balas bela, ke atas mereka yang zalim."

Maksud doa yang hampir sama ini juga turut terkandung dalam Qunut Nazilah berbunyi: "Wahai Tuhan, musnahkan golongan kafir dan munafiq".

Kita kena faham bahawa selain daripada orang-orang kafir yang melawan Nabi saw, orang munafik juga ramai. Mari kita bersama-sama menyemak dua ayat ini:

1. "Dan sesungguhnya Allah telah menurunkan kepada kamu di dalam Al-Quran bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk berserta mereka, sehingga memasuki perbicaraan yang lain kerana sesungguhnya (kalu kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam Jahannam. - (Surah An Nisa’: Ayat 140)

2. "Sesungguhnya orang-orang munafik itu (ditempatkan) pada tingkatan yang paling bawah dari neraka. Dan kamu sekalian sekali-kali tidak akan mendapat seorang penolongpun bagi mereka'. - (Surah An Nisa': Ayat 145)


Dengan ini tidak hairanlah di dalam permulaan surah Al-Baqarah hanya terdapat dua ayat iaitu ayat enam dan tujuh yang merujuk kepada orang kafir.

Yang selebihnya, yakni 13 ayat, iaitu ayat lapan hingga 20, Allah SWT merujuk terus kepada fiil perangai puak-puak munafik.

Jika diteliti sirah junjungan kita Nabi Muhammad SAW, kita akan berjumpa dengan kisah bagaimana Bani Ri’lin dan Bani Zakuan yang membunuh pendakwah.

Sebagai reaksi balas di atas perbuatan terkutu ini, Nabi saw meminta supaya Allah SWT menurunkan kutukan ke atas kedua-dua ini melalui tujuh tahun kemarau yang panjang sebagaimana yang pernah Allah turunkan di zaman Nabi Allah Yusoff di Mesir.

Menyentuh tentang tuntutan kedua, mustahil saya perlu akur dan meletakkan jawatan semata-mata kerana digesa oleh 200 orang budah-budak nakal, bawah pohon jati di pintu masuk SUK.

Jika saya perlu meletakkan jawatan atas sebab desakan Umno, maka sudah tentu saya berbuat begitu semasa Tan Sri Annuar Musa menjadi Ketua Pembangkang di dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan sekaligus menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kelantan tiga empat tahun yang lalu.

Akan tetapi, alhamdulillah, saya tetap masih duduk di kerusi ini sampai ke hari ini. Sebaliknya, pemimpin Umno itu pula yag ‘ghaib’ dari arena politik tanah air.

Saya kadang-kadang menjadi hairan memikirkan telatah orang Umno ini. Dalam Dun Kota Seputih misalnya, mereka cukup beria-ia untuk mempertahankan diri dengan menggunakan instrument mahkamah untuk mengelak dari memasuki pilihan raya.

Itu bagi kerusi dia yang selamat; itupun masih berdalih untuk diuji melalui pilihanraya. Sebaliknya mereka cukup ghairah untuk mendesak saya mengosongkan kerusi Menteri Besar sedangkan tiada apa-apa keadaan sedikitpun yang memaksa suasana atau menyalahi undang-undang yang membolehkan saya membuat pengosongan.

Kepada ramai pemimpin PR kita sudah lama dapat membaca bahawa telah menjadi ‘grand design’ mereka untuk mencipta suasana yang tidak tenteram di semua negeri-negeri Pakatan Rakyat. Kita tahu itu. Bukan kita tidak tahu.

Secara logiknya, semua orang kena faham bahawa saya bekerja dengan Parti Islam SeMalaysia. Jika Umno yang mendesak saya, maka saya sewajarnya boleh bersyukur; bahkan berbangga kerana saya sudah dikira berjaya mengkucar kacirkan Umno. Mereka sudah keluh kesah.

Jika (katakanlah) saya terus dilarang juga untuk memohon kemusanahan Umno secara terbuka, maka saya masih lagi boleh mengangkat doa secara bersedirian.

Saya masih boleh meminta supaya umat Islam terus berdoa secara senyap-senyap agar Allah SWT menurunkan kemusnahan kepada mana-mana pihak, termasuklah pemimpin Umno yang menyekat Islam dan menyekat pemberian wang royalti itu dari melalui tangan Kerajaan Negeri Kelantan.

Oleh TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT
Mursyidul Am PAS

SEKALIAN RAMAI MENGAMINKAN DOA TUANGURU NIK AZIZ
kredit foto perisik-rakyat








Khairy Sepatutnya Telah Lama Dipenjarakan

Ketua Pemuda Umno pusat, Khairy Jamaluddin menolak penjelasan Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming berhubung kenyataannya sebelum ini yang membuat perbandingan peruntukan kerajaan untuk membina masjid dengan rumah ibadat lain seluruh negara.

Sehubungan itu jelas Khairy, penjelasan Nga semalam tidak boleh diterima memandangkan wakil rakyat berkenaan tidak menafikan apa yang disebut dalam kenyataan awal sebelum ini.

“Pokoknya di sini, apabila dibuat perbandingan antara peruntukan pembinaan masjid dengan rumah ibadat lain, ia sudah menjadi isu sensitiviti dan jelas membuktikan DAP berkali-kali tidak menunjukkan satu perasaan hormat kepada sensitiviti agama di Malaysia,” kata beliau dalam kenyataan yang disiarkan laman web Pemuda Umno hari ini.

Khairy berkata pergerakan itu tidak mempunyai halangan terhadap mana-mana pihak yang mahu memperjuangkan peruntukan untuk rumah ibadat agama lain kerana ia juga adalah tanggungajwab kerajaan.

“Ini bukan kali pertama tetapi berulang kali dibuat oleh DAP.

“Kita merasakan majoriti umat Islam terutamanya amat tersinggung dengan perbandingan yang dibuat oleh Nga Kor Ming itu.

“Malah beliau tidak menghormati Perlembagaan persekutuan serta mengetepikan sensitiviti kaum dan agama serta pemimpin yang buta sejarah serta mungkin tidak ada apa-apa perasaan penghormatan kepada orang lain,” tambah Khairy.

PAS hari ini menyokong kenyataan Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming sambil menyifatkan ia membuktikan kegagalan kerajaan pusat dalam pengagihan dana dan bantuan secara berkesan kepada pelbagai agama di negara ini.

Semalam, Pemuda PAS memberitahu pihaknya mahu mengadakan pertemuan dengan Nga berhubung isu berkenaan.

Semalam Nga menegaskan kenyataannya berhubung isu peruntukan kerajaan dalam membina rumah ibadat Islam dan bukan Islam telah diputar belit dan dijadikan bahan menghasut sentimen perkauman oleh sesetengah media.

Jelas Nga, dalam kenyataan kelmarin beliau hanya merujuk kepada jawapan Menteri di Jabatan Prdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop bahawa kerajaan memperuntukkan RM748.26 juta membina dan menyelenggara 611 buah masjid tetapi satu jumlah kecil iaitu RM9 juta diagihkan untuk tujuan agama bukan Islam, 1.2 peratus sahaja.

Justeru beliau memohon supaya agihan lebih adil disalurkan kepada rakyat beragama bukan Islam kerana prinsip pertama Rukun Negara adalah Kepercayaan Kepada Tuhan.

Nga yang membaca kenyataannya pada sidang akhbar di lobi Parlimen turut menegaskan bahawa agama Islam adalah agama suci yang mengajar semua pihak berlaku adil.

“Saya berasa kesal bahawa laporan Utusan Malaysia dengan tajuk Kor Ming persoalkan kerajaan bina masjid adalah salah dan berunsur hasutan. Tajuk tersebut adalah dipapar oleh editor akhbar berkenaan tanpa pengetahuan saya,” katanya. -MI

Ulasan GB

Khairy, yang memenangijawatannya sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia dengan penuh kontroversi apabila perwakilan pemuda sendiri memberikan jeritan "booo" kepadanya perlu sedar diri bahawa beliau sepatutnya lama telah dipenjarakan kerana memainkan isu perkauman semenjak insiden mencium keris dahulu.

Tidak ada yang dapat menjelaskan lagi bahawa perlakuan mencium keris itu adalah satu perbuatan rasis terlampau yang mencerminkan kesamsengan pemuda dan juga keseronokan mereka menonjolkan sentimen perkauman berlebihan sehingga sanggup "menumpahkan darah" dari simbolik keris yang diciumnya itu.

Begitu juga dengan beberapa siri demonstrasi perkauman yang beliau adalah dalangnya.

Justeru itu Khairy usah berlakon untuk membangkit "isu sensitiviti" sedangkan beliaulah orang yang telah sepatutnya ditahan dan dipenjarakan.

Bergelar Janda Selepas 4 Jam Akad Nikah

Seorang pengantin lelaki yang baru empat jam bernikah adalah antara empat orang yang terbunuh dalam kemalangan membabitkan pertembungan sebuah kereta dan bas di kilometer 7, Jalan Kangar-Padang Besar hari ini.

Timbalan Ketua Polis Perlis, ACP Zull Aznam Harun berkata, pengantin yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 1.05 tengah hari itu dikenali sebagai Mohd Ariff Abdul Kadir, 23, seorang jurutera.

Turut terbunuh ialah ibu bapa Mohd Ariff iaitu Abdul Kadir Awang, 53, dan Aspah Osman, 58 serta seorang jurugambar, Mohd Farhan Musa, 18, yang juga rakan Mohd Ariff.

Katanya kejadian berlaku ketika kesemua mangsa yang menetap di Taman Melati Indah dekat sini sedang dalam perjalanan pulang daripada majlis akad nikah di Anak Bukit, Kedah.

Kesemua mereka terbunuh di tempat kejadian manakala 27 penumpang serta pemandu bas yang datang dari arah bertentangan menghala Kangar tidak mengalami sebarang kecederaan.

Zull Aznam berkata kereta yang dipandu Abdul Kadir, seorang pesara pembantu makmal Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra itu, dipercayai pancit tayarnya menyebabkan kenderaan yang sedang menghala arah Beseri itu tidak dapat dikawal lalu bertembung dengan bas pesiaran yang membawa pelancong dari Selangor itu.

"Kami masih menyiasat punca kejadian. Pemandu bas itu juga telah direkodkan kenyataannya," katanya semasa ditemui di rumah mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF) hari ini.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi rumah mayat hospital itu apabila dibanjiri ratusan sanak saudara mangsa manakala di rumah mangsa di Taman Melati Indah turut dipenuhi orang ramai.

Kerja-kerja gotong-royong untuk mendirikan khemah kenduri untuk majlis perkahwinan Mohd Ariff dan pasangannya, Teh Hafifah Shahirah Abdul Hamid, 23, dibatalkan.

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Perlis, Jamsari Jamaluddin yang merupakan jiran kepada mangsa berkata kesemua mangsa sedang dalam perjalanan pulang daripada majlis akad nikah di Anak Bukit dan majlis kenduri perkahwinan Mohd Ariff dijadualkan Ahad ini.

Ulasan GB

Iktibar untuk semua. Bahawa Allah boleh memanggil kita pulang pada bila-bila masa. Alfatihah untuk arwah kelima-lima mangsa.

Bajet 2010 Pahang, Kerajaan Negeri Harus Belajar Menerima Kesalahan

Pakatan Rakyat enggan menyokong rumusan belanjawan Kerajaan Negeri Pahang yang dibentangkan 13 November lepas.

Ahli Parlimen Indera Mahkota Azan Ismail berkata rumusan majoriti ini tidak mempunyai tarikh yang tepat, seraya mengakibatkan belanjawan yang dibentangkan tidak sah.

“Saya difahamkan Menteri Besar Pahang menerima dengan reaksi kurang manis, beliau dikatakan telah mengoyak muka surat kerana dikatakan ia tidak berkenaan dan tidak penting kerana ia telah disahkan, mengikut laporan Bernama”.

Menambah bahawa Menteri Besar Dato Sri Adnan Yaakob perlu menerima teguran ini dengan matang dan bijaksana, Azan Ismail melahirkan kebimbangan belanjawan silap ini akan menggangu pentadbiran kewangan negeri Pahang.

Belanjawan silap ini telah diluluskan majoriti dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang yang berlangsung 13 hingga 21 November lalu.

“Segala yang terkandung dalam buku ini sebenarnya ini dikawal di bawah akta cara kewangan yang sama, maksudnya setiap muka surat di dalam itu adalah dianggap sebagai warta kerajaan dan perlu disahkan, dibentangkan di dalam dewan, apa-apa pembetulan mesti dibuat di dalam dewan dan biasanya dibuat semasa persidangan berlangsung”.

Sementara itu, pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat Pahang, Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh berkata kesilapan serius seperti ini tidak wajar berlaku kerana ia membabitkan wang rakyat Pahang dan halatuju ekonomi negeri.

“Kerajaan negeri Pahang telah begitu lama telah diurustadbir tanpa check and balance. Ya kerajaan negeri telah lama ditadbir tanpa check and balance, tanpa suara pembangkang yang kuat, mungkin kerajaan negeri Pahang agak ‘culture shock’ apabila ditegur dan tidak bagaimana mahu respon kepada kelemahan sistem pentadbiran kerajaan negeri”.



Pemimpin PR Selar UMNO Pendekkan Penggantungan Ahmad Ismail

Rata-rata pemimpin Pakatan Rakyat menyelar tindakan Majlis Tertinggi Umno yang memendekkan tempoh penggantungan pemimpin Pulau Pinang, Datuk Ahmad Ismail.

Tindakan ini sekali lagi memperlihatkan Umno tidak serius untuk memartabatkan konsep 1 Malaysia yang kononnya berpaksikan semangat perpaduan kaum.

Ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Phua berpendapat tindakan Umno yang melepaskan Ahmad Ismail dari hukuman yang wajar diterimanya kerana menghina kaum lain di negara ini, bercanggah dengan pendirian parti itu.

“Saya rasa bagi kes Datuk Ahmad Ismail itu menunjukkan bahawa UMNO tidak serius mengenai 1 Malaysia. Kalau benar UMNO hendak mempromosikan 1 Malaysia, perkara-perkara yang mempertikaikan kaum-kaum lain seperti mengatakan kaum lain adalah pendatang, adalah satu perkara yang tidak dapat dipertahankan”.

Ahmad Ismail yang juga Ketua Umno Cawangan Bukit Bendera sebelum ini digantung selama tiga tahun setelah menggelarkan kaum bukan Melayu sebagai pendatang semasa kempen pilihanraya Permatang Pauh Ogos tahun lalu.

“Tidak patut Ahmad Ismail dihukum tidak sampai 1 tahun telah pun dilepaskan dan selepas itu tindakan Ahmad Ismail itu pula merupakan tindakan tidak kesal. Dia sekarang minta pemimpin-pemimpin Gerakan untuk meminta maaf terhadap dia, saya rasa ini sikap yang boleh dikatakan biadaplah”.

Gerakan sebelum ini mengeluarkan kenyataan mahu memutuskan hubungan dengan Umno dan tidak memerlukan kerjasama dari parti itu terutama Bukit Bendera kerana jelas Umno menunjukkan sikap memandang ringan sikap Ahmad Ismail yang pernah menghina kaum lain.

Ahmad Ismail kemudiannya meminta Gerakan untuk meminta maaf daripadanya jika mahu kembali bekerjasama dengan Umno negeri.

Bagaimanapun, Tony Phua berpendirian Ahmad Ismail bersikap biadap kerana nyata dalam hal ini jelas menunjukkan Ahmad yang bersalah.

“Di mana sudah pun dihukum, sudah didapati bersalah, tapi masih tidak kesal. Ini saya rasa sikap UMNO yang tidak dapat dielakkan dan menunjukkan konsep 1 Malaysia ini yang diumumkan selama ini merupakan satu konsep untuk retorik dan bukannya satu semangat dalam UMNO untuk memperbaiki hubungan antara kaum di Malaysia”.

Sementara itu, menurut ahli parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar pula menyifatkan Umno hanya sering melihat kesalahan parti lain tanpa menyedari kesalahan yang mereka lakukan.

“Ya lah, ini bagi saya bahawa UMNO hanya melihat melihat kepada kesalahan orang lain untuk mengambil tindakan yang begitu drastik, yang begitu keras, menggunakan akta-akta yang menyalahi prinsip hak asasi manusia, dan saya harap dalam kes Ahmad Ismail ini harus menjadi pengajaran” katanya kepada TV Selangor. -TVS