2 Dis 2013

BN Menang, Tarif Elektrik Pun Naik 15%


Tarif elektrik di Semenanjung Malaysia naik sebanyak 15 peratus atau 4.99sen setiap kilowatt, menjadikan harga baru untuk sekilowatt 38.53sen.

Harga sebelum ini 33.54 sen sekilowatt.

Di Sabah dan Labuan pula, kadar baru naik sebanyak 5sen.

Sebelum ini, Tenaga Nasional Bhd meminta dagangan sekuritinya di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd digantung mulai 2.30 petang hingga 5 petang hari ini.

Penggantungan dua jam setengah itu ialah sementara menunggu pengumuman utama syarikat tersebut hari ini, kata gergasi utiliti itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, lapor Bernama. -mk

LAPORAN SEBELUM INI


Menteri: Peningkatan tarif elektrik munasabah


KUALA LUMPUR - Malaysia mungkin menaikkan tarif bekalan elektrik antara enam dan tujuh sen bagi satu kilowatt tahun depan, kata Menteri Tenaga. Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili.

Bagaimanapun, Ongkili berkata kerajaan akan memastikan kenaikan tarif tidak menjejaskan kumpulan berpendapatan rendah.

"Kerajaan masih mengkaji kadarnya. Ia mungkin antara 10 peratus dan 20 peratus," katanya dan menambah angka di bawah 20 peratus adalah munasabah.

"Kadarnya adalah munasabah. Ia merupakan semakan minimum bagi Tenaga Nasional Bhd yang memastikan ia mencerminkan kos modal, pengurusan dan gaji," katanya kepada pemberita, semalam.

Ongkili membayangkan kerajaan akan mengekalkan struktur semasa dengan pengguna yang menggunakan 300 kWh sebulan atau kurang, tidak dikenakan tarif baharu itu.

Oleh itu, tiada kenaikan tarif dijangkakan untuk 75 peratus pengguna isi rumah (4.4 juta pengguna), pengguna 'lifeline' (3.3 juta pengguna) dan pengguna 201-300 kWh (1.1 juta pengguna).

Ongkili menambah, kadar itu juga bergantung kepada sejauh mana kerajaan mahu mengurangkan subsidi dan menyalurkannya kepada pembangunan sosioekonomi.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa memberi isyarat bahawa subsidi akan dikurangkan dan ia akan dilakukan secara berperingkat-peringkat.

Tambahnya lagi, kerajaan membelanjakan kira-kira RM130 juta untuk subsidi setiap tahun untuk tarif manakala selebihnya ditanggung oleh Petronas kira-kira RM8 bilion hingga RM10 bilion setahun untuk sektor tenaga.

Berbanding tarif semasa negara anggota Asean, Ongkili berkata Malaysia lebih rendah berbanding Thailand dan Filipina, namun tinggi berbanding Indonesia memandangkan republik itu merupakan negara yang paling banyak memberi subsidi kepada sektor tenaga.

"Kami (menteri kabinet) akan bermesyuarat minggu ini. Kami akan mengkajinya," katanya.

Kali terakhir tarif elektrik dinafikan pada Jun 2011 apabila harga gas subsidi dinaikkan kepada RM13.70 (mmbtu) daripada RM10.70 mmbtu sebelumnya. - Bernama


[BERGAMBAR] Tiga Beradik Ditemui Mati, Teman Lelaki Mangsa Dicari


Alor Setar: Polis Kedah sedang mencari teman lelaki kepada salah seorang daripada tiga kanak-kanak perempuan yang ditemui mati di sini, untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim, berkata teman lelaki mangsa, Norsyafika Nadia Rosdi, 14, dipercayai berada di Perlis dan polis akan menjejaki lelaki berkenaan bagi membantu siasatan menyelesaikan kes berkenaan.

"Setakat ini kita sedang mendapatkan maklumat mengenai teman lelaki mangsa," katanya pada sidang media, di sini.

Beliau berkata, sehingga kini polis belum membuat sebarang tangkapan, namun sudah berjaya mengumpul saksi bagi membantu siasatan.

Katanya, polis juga sedang mencari dan mengumpul beberapa bukti lain bagi mengaitkannya dengan kes pembunuhan itu.

Pada masa sama, katanya proses bedah siasat terhadap dua lagi mangsa Nurul Izati Rusdi, 12, dan Puteri Nurul Akma Rusdi, 3, sudah dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada jam 9 pagi tadi.

"Kita akan mendapat tahu keadaan sebenar mayat selepas bedah siasat selesai dan kita akan maklumkan kelak," katanya.

Beliau berkata, orang awam yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil untuk membantu siasatan.



'Hilang semua'

Alor Setar: “Saya ada tiga anak saja, kini ketiga-tiga mereka sudah pergi meninggalkan saya serentak. Ini dugaan paling hebat yang perlu saya tempuhi.”

Itu rintihan Rusdi Rani, 38, bapa kepada tiga beradik yang ditemui maut dalam keadaan menyayat hati di dua lokasi berasingan dekat sini, semalam dan kelmarin selepas dilaporkan hilang sejak keluar rumah dengan menaiki motosikal petang Jumaat lalu.

Mayat anak sulung Rusdi, Norsyafika Nadia, 14, dijumpai tertiarap dalam keadaan separuh bogel pada jam 3.45 petang, kelmarin di kawasan sawah padi berhampiran Alor Senibong, di sini oleh orang awam.

Ketika Rusdi berdoa dan berharap dua lagi anaknya yang ketika itu gagal dikesan berada dalam keadaan selamat, dia menerima berita duka apabila polis petang semalam memaklumkan penemuan dua beradik itu.

Mayat Nur Izzati Husna, 12, dan Puteri Nurul Akma, 3, ditemui di tali air Padang Petani, Langgar, di sini, kira-kira jam 4 petang, semalam, juga oleh orang awam dalam jarak hampir 100 meter antara satu sama lain dan lengkap berpakaian.


Polis: Kematian 3 beradik bukan tragedi biasa

ALOR SETAR - Misteri kehilangan tiga beradik sejak Jumaat lalu, terjawab apabila kesemua mereka ditemui meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati di dua lokasi berasingan.

Noor Syafikah Nadia, 14, ditemui orang awam dalam keadaan tertiarap dan separuh bogel kira-kira jam 3.45 petang berhampiran kawasan bendang di Kampung Alor Senibong, Langgar, semalam.

Manakala dua adiknya Nur Izzati Husna, 12, dan Putri Nurul Akmal, 3, ditemui kira-kira jam 3 petang, hari ini dalam keadaan terapung dalam tali air Terusan Mada Kampung Padang Petani, dekat sini.

Dalam kejadian berkenaan, Noor Syafikah, anak sulung kepada pasangan Rusdi Rani, 38, dan Siti Aishah Ariffin, 40, keluar rumah bersama dua adiknya di Jalan Datuk Kumbar, di sini, kira-kira jam 7.30 malam, Jumaat lalu.

Tiga beradik itu ke rumah seorang kawannya yang terletak di Kampung Gelam kira-kira 15 minit dari rumah mereka.

Bagaimanapun mereka tidak pulang ke rumah walaupun sudah lewat malam membuatkan pasangan berkenaan membuat laporan polis berhubung kehilangan anak mereka di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar kira-kira jam 2 pagi, Sabtu.

Pencarian mereka membawa kepada penemuan motosikal yang dinaiki ketiga-tiga mangsa berada dalam keadaan baik di pondok menunggu bas dalam keadaan berkunci.

Penemuan mayat Noor Syafikah terus menimbulkan keresahan keluarga kerana dua adiknya lagi masih gagal dikesan.

Bagaimanapun selepas kira-kira sejam selepas jenazah Noor Syafikah dikebumikan, hari ini, keluarga terbabit dikejutkan dengan penemuan mayat dua lagi anak mereka yang merungkai kehilangan tiga beradik itu.

Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim menyifatkan kejadian berkenaan bukanlah tragedi biasa.

Menurut beliau, selepas penemuan mangsa pertama, bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan lemas dan pihaknya tidak menemui kesan-kesan lain pada badan mangsa.

“Kita juga tidak menemui sebarang kesan kecederaan seksual termasuk rogol melainkan kesan calar pada bahagian belakang mangsa dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Manakala dua mayat yang baru ditemui akan dibedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian mereka,” katanya ketika ditemui media di lokasi kedua penemuan mayat di Terusan Mada Kampung Padang Petani, hari ini.

Tambah beliau, polis turut menemui sehelai seluar berhampiran mangsa kedua tetapi masih belum dapat dikenal pasti sama ada seluar itu kepunyaan mangsa pertama atau sebaliknya.

“Kita akan minta mak dan ayah mangsa untuk buat pengecaman seluar yang ditemui dan akan meminta pihak hospital membuat bedah siasat secepat mungkin.

“Saya ingat ini bukan kejadian biasa disebabkan ketiga-tiga mangsa ditemui di lokasi berasingan,” katanya.

Ahmad berkata, pihaknya akan memberi keutamaan untuk menyiasat kes terbabit.
-SH


[AL-FATIHAH] Bekas Pengarah CID, Datuk Fauzi Shaari Kembali Ke Rahmatullah

Sselayang: Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari, 63, meninggal dunia jam 8.17 malam ini di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang.

Jenazah allahyarham dibawa balik ke rumah No.7, Jalan 10/15, Seksyen 10, Shah Alam, Selangor.

Dilahirkan pada 25 September 1950, di Kampung Pantai Besar, Batu Kurau, Perak, bapanya Shaari Musa turut terlibat menubuhkan Persatuan Ulama Malaya pada 23 Ogos 1951 bersama Ustaz Ahmad Fuad Hassan dan lain-lain.

Beliau menyertai PDRM pada April 1975. Memiliki Ijazah Sarjana Muda Sejarah dan Diploma Sekolah Staf Komando Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (Sesko ABRI) serta Diploma Sains Kepolisan.

Ketika menjawat Ketua Polis Dang Wangi, beliau gigih membanteras maksiat di pusat bandaraya Kuala Lumpur walaupun mendapat bantahan kerana tindakan didakwa boleh menjejaskan aktiviti pelancongan.

Ketika itu banyak aktiviti maksiat di Sun Komplek, Wisma Bond dan beberapa tempat di daerah Dang Wangi.

Selepas menjadi Ketua Polis Selangor, beliau menyandang jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Allahyarham menyertai PAS pada 20 Mei 2012 dengan menyerahkan borang keahlian kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada satu majlis di Lumut, Perak.

Beliau bertanding mewakili PAS di kawasan Parlimen Larut pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Mei lalu tetapi tewas kepada calon BN.

Mengulas kekalahannya dalam pilihan raya, beliau dilaporkan berkata: “Kita hanya kalah dalam pertandingan, namun tetap menang dalam setiap perjuangan yang kita lakukan sebelum ini.”

Pada 2005, Allahyarham menerima anugerah 'Panglima Gagah Pasukan Polis (PGPP)' daripada Yang Dipertuan Agong, Tuanku Syed Sirajudin Jamalullail di Istana Negara. -HD

Datuk Fauzi Shaari meninggal dunia

KUALA LUMPUR - Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Mohd Fauzi Shaari meninggal dunia akibat jangkitan pada hati dan buah pinggang di Hospital Selayang di sini, malam ini.

Mohd Fauzi, 63, yang dimasukkan ke hospital itu sejak Rabu lepas, meninggal dunia pada pukul 8.17 malam di Unit Rawatan Rapi hospital berkennaan, menurut kenyataan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam laman Facebooknya.

Jenazah Mohd Fauzi akan dibawa ke rumahnya di No.7, Jalan 10/15, Seksyen 10, Shah Alam, Selangor dan akan dikebumikan esok di Tanah Perkuburan Seksyen 21 Shah Alam.

Allahyarham yang berasal dari Larut Matang, Perak meninggalkan isteri Datin Fauziah Ngah Nordin serta empat anak lelaki.

Mohd Fauzi menyertai PDRM pada 30 April 1975 sebelum dilantik menjadi Ketua Polis Selangor pada 2003 dan kemudian dilantik sebagai Pengarah JSJ Bukit Aman pada 2005, sebelum bersara setahun selepas itu. - Bernama

[TAZKIRAH] Empat Malaikat Yang Mendatangi Orang Sakit


Sakit adalah sunatullah, ketentuan dari Allah swt yang ditimpakan pada manusia.

Memang betul, tidak ada yang menginginkan jadi sakit. Tapi dalam Islam, seperti kita tahu, ada banyak hal yang tersembunyi di sebalik keadaan itu.

Kalau kita tahu sebenarnya tak ada alasan untuk sedih dan mengeluh ketika kita sedang sakit, kerana sebenarnya itu adalah kasih sayang Allah swt pada kita. Kita mengeluh saat sakit kerana kita tak tahu rahsianya.

Sakit, dalam bentuknya yang lain, itu harus disyukuri karena itu adalah bukti kasih sayang Allah pada kita. Allah mengutus 4 malaikat untuk selalu menjaga kita sewaktu sakit.

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seorang hamba yang beriman menderita sakit, maka Allah memerintahkan kepada para malaikat agar menulis perbuatan yang terbaik yang dikerjakan hamba mukmin itu pada saat sihat dan pada saat waktu senangnya.”

Sabda Rasulullah SAW tsb diriwayatkan oleh Abu Imamah al Bahili. Dalam hadith yang lain Rasulullah bersabda :

“Apabila seorang hamba mukmin sakit, maka Allah mengutus 4 malaikat untuk datang padanya.”

Allah memerintahkan :

1. Malaikat pertama untuk mengambil kekuatannya sehingga menjadi lemah.

2. Malaikat kedua untuk mengambil rasa lazatnya makanan dari mulutnya

3. Malaikat ketiga untuk mengambil cahaya terang di wajahnya sehingga berubahlah wajah si sakit menjadi pucat lesi.

4. Malaikat keempat untuk mengambil semua dosanya, maka berubahlah si sakit menjadi suci dari dosa.

Tatkala Allah akan menyembuhkan hamba mukmin itu, Allah memerintahkan kepada malaikat 1, 2 dan 3 untuk mengembalikan kekuatannya, rasa lazat, dan cahaya di wajah sang hamba.

Namun untuk malaikat ke 4, Allah tidak memerintahkan untuk mengembalikan dosa-dosanya kepada hamba mukmin. Maka bersujudlah para malaikat itu kepada Allah seraya berkata : “Ya Allah mengapa dosa-dosa ini tidak Engkau kembalikan?”

Allah menjawab: “Tidak baik bagi kemuliaanKu jika Aku mengembalikan dosa-dosanya setelah Aku menyulitkan keadaan dirinya ketika sakit. Pergilah dan buanglah dosa-dosa tersebut ke dalam laut.”

Dengan ini, maka kelak si sakit itu berangkat ke alam akhirat dan keluar dari dunia dalam keadaan suci dari dosa sebagaimana sabda Rasulullah SAW : “Sakit panas dalam sehari semalam, dapat menghilangkan dosa selama setahun.”

“Tiada seorang mu’min yang ditimpa oleh lelah atau pe­nyakit, atau risau fikiran atau sedih hati, sampaipun jika terkena duri, melainkan semua penderitaan itu akan di­jadikan penebus dosanya oleh Allah,” (HR Bukhari-Muslim).

“Jika sakit seorang hamba hingga tiga hari, maka keluar dari dosa-dosanya sebagaimana keadaannya ketika baru lahir dari kandungan ibunya,” (HR Ath-Thabarani).

“Penyakit panas itu menjaga tiap mu’min dari neraka, dan panas semalam cukup dapat menebus dosa setahun,” (HR Al-Qadha’i). -islampos

ULASAN GB

Justeru itu jangan mengeluh jangan bersedih jika kita ditimpa "sakit". Khabarkan berita gembira kepada sahabat, saudara atau sesiapa juga yang sedang sakit, bahawa Allah menyayanginya. Jangan diresahkan jangan ditangiskan jangan ditertawakan jika seseorang itu menderita sakit sekalipun mungkin kehilangan tangan, kaki, mata atau apa juga bahagian jasad... kerana Allah mencuci dosa-dosa yang ada sebelum dikembalikan roh yang suci itu kepadaNya.

Yang belum sakit itulah yang sepatutnya resah gelisah, kerana entah bila dosa-dosa itu bakal dicucikan, atau apakah kita menghadapNya nanti dengan penuh dosa untuk dicucikan di sana?