10 Jul 2010

Rais, Hishamuddin dan Nazri Terima Nasib Serupa Dengan Syed Hamid Jika Terus Tekan Suara Rakyat

KDN Ikut Rentak Tari Umno-BN Oleh Mak Bonda

Kementerian Dalam Negeri serta Menterinya boleh memberi seribu satu alasan untuk menafikan hak media Pakatan Rakyat seperti Suara Keadilan dan Harakah.

Namun rakyat yang sudah celik minda dapat melihat dengan terang ibarat melihat badut diwaktu siang, disuluh pula dengan ‘spotlight’.

Sepertimana dilaporkan, pihak Suara Keadilan dan Harakah tidak pernah menerima sebarang surat tunjuk seperti yang didakwa KDN. Lawak betul!

Bila mana diminta salinan surat-surat berkenaan dan bukti terimanya pun, KDN membisu seribu bahasa!

Justeru jika kewujudan surat-surat itu dipertikaikan, siapa yang patut dipersalahkan?

Sudah tentu Najib dan sepupunya Hishammuddin.

Begitu juga bila mana KDN dilihat cuba bermain politik soal artikel "Felda Bankrap" yang sepatutnya KDN tidak ‘overacting’, tetapi sebaliknya perlu ‘tenang macam biasa’ ketika mana pemimpin Pakatan Rakyat difitnah dan diputarbelitkan kenyataannya oleh akhbar arus perdana khususnya Utusan Malaysia.

Ada pernah KDN keluarkan surat tunjuk sebab? Ada pernah digantung permitnya? Ada?

Begitu juga dalam kes terbaru melibatkan Suara Perkasa yang mendapat bantahan hangat oleh MCA, sekutu Barisan Nasional sendiri. Kita tidak melihat KDN menunjukkan taringnya kepada media pro Umno-BN! Rakyat yang cerdik tidak pelik melihat rentak tari Menteri KDN itu.

Justeru kita ingin mengingatkan PM 1Malaysia, supaya melihat balik slogan ‘rakyat didahulukan, prestasi diutamakan’ dalam kes KDN dan permit akhbar Suara Keadilan dan Harakah.

Jangan lupa, KEADILAN dan PAS adalah dua buah parti berdaftar yang halal dalam struktur demokrasi Malaysia.

Suara Keadilan dan Harakah pula adalah lidah rasmi, organ parti berkenaan.

Menafikan hak Suara Keadilan dan Harakah daripada mendampingi ahli dan penyokong KEADILAN, PAS dan Pakatan Rakyat menunjukkan pimpinan Najib tidak mengutamakan kehendak dan keperluan rakyat.

Sebaliknya, sekadar tindakan terdesak dan bacul demi survival Umno-BN.

Apalah kecoh sangat soal 8 naskah suratkhabar Suara Keadilan atau Harakah, jika tidak dihantar kepada KDN?

Buktikan KDN memang menghantar surat-surat berkenaan dan bukti penerimaannya.

Buktikan kepada siapa dan alamat mana ianya dihantar.

Buktikan juga jika benar ada surat-surat amaran, dan lain-lain yang dihantar berkait perkara berkenaan.

Jika KDN mesra rakyat atau tidak ‘memusuhi Pakatan Rakyat’, kenapa pihak KDN tidak berusaha menangani isu remeh ini dengan cara lebih mesra pelanggan, bermatlamatkan penyelesaian masalah?

Contohnya, susah sangatkah untuk seorang pegawai KDN membuat panggilan telefon, susulan mengenainya di peringkat awal lagi?

Mengenai artikel berkaitan Felda dan lain-lain yang mungkin tidak memenuhi selera KDN, jika benar ianya fitnah, biarkan saja Felda menyaman dan mengambil tindakan mahkamah terhadap Suara Keadilan.

Memang itu yang selama ini diamalkan dilakukan oleh Ketua Pembangkang dan lain-lain pimpinan Pakatan Rakyat yang menjadi mangsa media arus perdana.

Cukuplah Umno dan BN saja bermain politik. KDN tak perlu mengikut telunjuk dan rentak tari mereka. -SK


KDN tegur, ambil tindakan ke atas 10 akhbar

Sepuluh penerbitan telah diberi teguran dan diambil tindakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dari Januari hingga Jun tahun ini kerana melanggar syarat dan perutukan mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Penerbitan berkenaan ialah Harian Metro, Metro Ahad, Kosmo, Oriental Daily, China Press, Nanyang Siang Pau, Harian Tamil Uthaya Surian, Suara Keadilan, Suara Perkasa dan Harakah.

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran KDN Datuk Zaitun Ab Samad berkata KDN akan mengambil sikap tegas ke atas mana-mana pemilik permit penerbitan dan lesen mesin cetak yang didapati melakukan pelanggaran syarat dan tidak mematuhi peruntukan-peruntukan mengikut akta tersebut.

Beliau berkata KDN juga akan mengkaji dan meneliti prosedur dan garis panduan untuk memantapkan dan meningkatkan keberkesanan serta keseragaman pengurusan media melalui Jawatankuasa Pengukuhan Strategi Komunikasi Kerajaan yang ditubuhkan.

Jawatankuasa itu dianggotai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein. -mk


Ulasan GB

Jika sebelum ini Datuk Seri Syed Hamid Albar yang menjadi Menteri KDN galak sangat menzalimi rakyat melalui ugutan dan ancamannya untuk menggunakan ISA yang akhirnya dengan doa rakyat beliau tertonggeng dari kerusi kabinet, maka kali ini pastikan Hishamuddin, Nazri dan Rais akan mendapat nasib yang serupa.


Perkasa Cina & Perkasa India - Produk Terbaru 1Malaysia

MCA mahu 'PERKASA Cina'

Konsep 1Malaysia cetusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat semakin tercalar dan berlemungkinan robek apabila parti kedua terbesar dalam komponen BN - MCA mencadangkan penubuhan PERKASA versi Cina bagi menangani serangan perkauman NGO Melayu itu.

Naib presiden MCA, Datuk Donald Lim Siang Chai, yang membuat cadangan itu juga membayangkan agar kumpulan berkenaan diterajui oleh Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) yang seringkali dilihat lantang membuat tuntutan mengenai kepentingan masyarakat Cina.

Katanya, tanggungjawab itu tidak sesuai dipikul oleh MCA kerana ia parti politik dan NGO dibolehkan bertindak dalam cara yang berlainan.

"Komuniti Cina dan persatuan Cina seperti KLSCAH boleh memainkan peranan itu. MCA hanya boleh bertindak sehingga peringkat tertentu - ia sepatutnya NGO menentang pencabarnya,” kata Lim.

Tidak gusar

Menurut beliau, masyarakat Cina tidak perlu gusar dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) kerana mereka juga boleh menubuhkan kumpulan pelampau seumpama itu.

Beliau bagaimanapun menolak cadangan menubuhkan kumpulan pendesak bagi mengimbangi tekanan kumpulan pelampau kerana katanya ia ibarat melawan api dengan api.

Lim berkata sesetengah isu adalah lebih baik diselesaikan melalui perdebatan terbuka sambil melahirkan keyakinannya mengenai keupayaan kerajaan menangani tuntutan agresif PERKASA.

Namun katanya, sebagai negara pelbagai kaum yang mengamalkan prinsip adil dan seimbang, kerajaan terpaksa mengambil kira tuntutan PERKASA dan semua pihak lain.

Lim yang juga timbalan menteri kewangan menafikan dakwaan pihak pembangkang bahawa bahagian kedua Model Baru Ekonomi (MBE) yang menyentuh isu kontroversial ekuiti 30 peratus bumiputera telah ditarik balik kerana desakan daripada PERKASA.

Katanya, butirannya dijangka akan dikeluarkan menjelang September ini sebelum pembentangan bajet pada 15 Oktober.

Sokongan merosot

Beliau bercakap kepada pemberita semasa diwawancara oleh akhbar Cina di pejabatnya di Putrajaya, semalam.

Lim juga menjangkakan bahawa pilihan raya umum akan diadakan dalam tempoh setahun ini.

Beliau yang dilantik sebagai ketua MCA Selangor mengakui memikul tugas berat bagi mendapatkan sokongan masyarakat Cina yang ternyata mengundi Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum 8 Mac 2008.

Katanya, sokongan masyarakat Cina kepada BN adalah sekitar 30 hingga 35 peratus di seluruh negara dan jumlah itu merosot kepada 20 hingga 25 peratus di Lembah Klang.

"Sasaran kami adalah 50 peratus sokongan pengundi Cina. Jika kita dapat hanya 40 peratus, kita tetap bergembira. Saya agak pratikal: jika saya kata kita boleh meningkatkan sokongan kepada 80 peratus, ia adalah satu pembohongan.”

Katanya, tugas utamanya sekarang ini adalah membantu BN menawan semula kerajaan negeri Selangor.

Pada pilihan raya umum yang lalu, MCA Selangor dimalukan apabila hanya berjaya memenangi satu daripada tujuh kerusi parlimen yang ditandingi manakala bagi kerusi negeri, ia hanya mampu menang dua daripada 14 yang ditandingi. -mk

Ulasan GB

Bila kerajaan mendiamkan diri terhadap penubuhan dan aktiviti PERKASA kerana ianya membawa asporasi UMNO, maka kini timbul suara dari MCA untuk PERKASA CINA. Selepas ini PERKASA INDIA.

Mungkin itulah produk 1Malaysia yang dijanjikan Najib agaknya.

Apabila masing-masing ingin menunjukkan keperkasaannya, maka akan timbullah pergeseran dan pergelutan di atas kapal BN yang akhirnya menenggelamkan BN itu sendiri.

Kerajaan Pusat Perlu Ditukar Jika Mereka Tak Sanggup Terima Kritikan

Kerajaan harus terbuka terima kritikan

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menggesa kerajaan Barisan Nasional (BN) bersikap lebih terbuka dan sedia menerima kritikan parti sendiri mahupun pembangkang.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, ajaran Islam sendiri menuntut bahawa sebarang teguran dan kritikan tidak ditutup malah hendaklah dijawab dengan baik oleh kerajaan mahupun pihak yang dikritik.

“Ini cara demokrasi, apa sahaja (kritikan) dari Pas atau UMNO cakap, kerajaan jawab balik, jangan tutup begitu, kalau tidak ada modal nak jawab kenapa nak jadi kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas kuliah Jumaatnya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi surat tunjuk sebab yang kepada lidah rasmi Pas, Harakah serta pembatalan permit kepada Suara Keadilan yang dikeluarkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sebelum ini, Suara Keadilan menerbitkan artikel kontroversi yang mendakwa Felda Bankrap sehingga menyebabkan agensi itu mengambil tindakan tegas dengan menyaman akhbar terbabit. -SH


Nik Aziz: Jangan Biarkan Peraturan Berat Sebelah

“Kalau peraturan itu berat sebelah, ianya tidak dipanggil peraturan. Orang panggil ‘pandang senget sebelah’. Itu tidak boleh dibiarkan,” kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan menegaskan asas kepada demokrasi dan keadaan sosial adalah tanpa perbezaan keistimewaan kelas.

Menurutnya, sekiranya timbul sesuatu perkara ianya memerlukan kepada jawapan, sekaligus merupakan kebebasan bersuara bagi negara yang mengamalkan demokrasi.

Dalam Islam sendiri, katanya, apa pun perkataan yang ditujukan kepada Nabi Muhammad s.a.w., Baginda menjawab atau membalas dengan jawapan sewajarnya.

“Itu asas kepada demokrasi, dan dalam konteks Suara Keadilan dan Harakah yang diminta tunjuk sebab oleh pihak Kementerian Dalam Negeri, apa saja yang dicakap oleh PAS atau Umno, mereka hendaklah memberi jawapan balas,” katanya kepada media ketika mengunjungi Restoran Mutiara Corner di Medan Ilmu di sini pagi tadi.

Beliau sebelum itu menyampaikan kuliah mingguan di Medan Ilmu.

Menurutnya, mereka (KDN) tidak boleh menutup isu itu begitu saja, tetapi sebaliknya hendaklah menjelaskannya, jika tidak ia akan dianggap tiada modal.

“Kalau peraturan itu berat sebelah, ianya tidak dipanggil peraturan. Orang panggil ‘pandang senget sebelah’. Itu tidak boleh dibiarkan.

“Kerajaan seperti itu mesti jangan diundi, dan dengan cara begitu (boleh) menyelesaikan masalah yang berbangkit.

“Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, jangan mengundi dia, kita buat kerajaan lain dan peraturan lain.

“Kalau dia anggap Harakah salah, dia boleh saman, dia boleh buat apa saja. Namun kita ada sebab dan hujahnya,” katanya. -harakah


Sebab Chegubard Ditahan

CheGuBard Ditahan Polis Ekoran Laporan Pemuda Umno

Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Badrul Hisham Shaharin di tahan pihak polis dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban 2 untuk diambil keterangan berhubung dakwaan menghina institusi raja.

Beliau ditahan ketika ingin mempengerusi mesyuarat KEADILAN Cabang Rembau di Pejabat KEADILAN Negeri Sembilan di Jalan Rahang pada pukul 9.00 malam tadi.

Kira-kira 15 anggota polis sudah berada di sekitar kawasan pejabat tersebut sebelum ketibaan beliau di pejabat tersebut.

Menurut seorang ahli KEADILAN yang dikenali sebagai Yasir, Badrul Hisham aka CheGuBard di tahan oleh pihak polis sebaik sahaja tiba dan terus di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban 2 untuk diambil keterangan.

Walau bagaimanapun beliau dibebaskan tidak berapa lama kemudian di bawa semula ke IPD yang sama untuk diambil keterangan buat kali kedua. Beliau akhirnya dibebaskan dengan jaminan polis.

Polis juga turut mengeledah rumah beliau di Bukit Chedang, Seremban namun tidak menjumpai apa-apa bukti yang boleh dijadikan bahan kes, tetapi pihak polis tetap merakam gambar di kawasan bilik dan perkarangan rumahnya.

Yasir juga memberitahu, CheGuBard di tahan ekoran satu laporan polis yang dibuat oleh saudara terdekat Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga merupakan anggota Pergerakan Pemuda Umno berkaitan satu artikel yang ditulis oleh beliau dalam blognya bertajuk "Warkah Terbuka Kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong : 'Hepi Besday, Sir!' bertarikh 10 Jun 2010.

Artikel tersebut menyentuh mengenai peranan institusi raja dan tanggungjawab terhadap rakyat.

"Intai dan pelajarilah institusi beraja dibanyak negara bagaimana peranan dimainkan. Ada yang sudah umpama muzium dan alat keraian seperti kebanyakan negara Eropah termasuk England tetapi ada juga yang terus kekal dihormati seperti di Thailand.

"Mainkanlah peranan sewajarnya di tengah masyarakat yang makin kalut dan kusut. Tuanku sewajarnya jangan takut gunakan kuasa demi kepentingan rakyat. Janganlah hendaknya ada sedikit rasa gusar terhadap rejim penguasa.

"Dalam perkara Islam dan Melayu setakat ini CheGuBard dan SAMM bersetuju peranan terus dimainkan oleh Raja Melayu sebagai ketua agama dan adat istiadat Melayu. Namun khuatir juga sejak kebelakangan ini banyak sangat penggunaan nama istana diselewengkan dalam perkara ini. Mutakhir ini, malah banyak 'kenyataan' dan 'titah' juga mula diselewengkan," CheGuBard menulis dalam artikel itu.

Sebelum ini CheGuBard juga mengarang sebuah buku mengenai pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu berjudul "Disebalik Misteri Pembunuhan Alrtantuya" serta tulisan dalam blog bertajuk "Singapura Mengugut Malaysia Melalui Rahsia Pemimpin Utama?". -sk

Ulasan GB

Bila seut Pemuda UMNO, teringatkan ketuanya, Khairy Jamaluddin - musuh tradisi chegubard.

Populariti Khairy kini dikatakan menjunam di kalangan Pemuda, ekoran konfrantasinya dengan Presiden Perkasa. Beliau kalah berhujah dengan Ibrahim Ali yang menuduhnya bermentaliti budak sekoah, sekalipun yang sebenarnya kedua-dua mereka adalah bermentaliti demikian.

Satu cara untuk menaikkan populariti dirinya supaya Parlimen Rembau tidak terlepas ialah menghalakan sasaran ke arah lawannya yang lain....