30 Nov 2011

Muhyiddin Memalukan Dirinya Sendiri Sebagai TPM & Tim Presiden UMNO - Salehuddin

Itulah tahap pemikiran sebenar Muhyiddin'

KUALA LUMPUR, 30 Nov: Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub (gambar) menyifatkan ucapan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi yang sarat dengan mesej kebencian terhadap parti-parti dalam Pakatan Rakyat sebagai 'tidak sepatutnya diucap oleh bakal perdana menteri'.

Bercakap kepada Harakahdaily hari ini, Salahudin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, ucapan Muhyiddin itu hanya 'memalukan dirinya' dan mencerminkan itulah tahap pemikiran sebenar beliau sebagai timbalan perdana menteri.

"Pada saya, ia tidak sepatutnya berucap begitu, sebab taraf dia timbalan presiden Umno dan timbalan perdana menteri.

"Sepatutnya sebagai bakal perdana menteri, ucapan beliau perlu penuh dengan gagasan dan wawasan membangunkan negara, bukan penuh dengan kecaman kepada Pakatan Rakyat," katanya.

Beliau mengulas ucapan Muhyiddin ketika merasmikan serentak Persidangan Perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini malam tadi.

Dalam ucapannya, Muhyiddin tanpa segan silu membidas DAP, PKR dan PAS dengan kata-kata penuh penghinaan.

DAP dilabel parti cauvinis Cina yang jahat dan mahu menubuhkan negara republik.

PKR pula dituduh sebagai parti ultraliberal yang hanya berjuang untuk Datuk Seri Anwar manakala PAS pula bukan lagi memperjuangkan Negara Islam kerana mengangkat Negara Berkebajikan.

Mengulas lanjut Salahudin bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin atas ucapannya itu yang secara tidak langsung mengakui PAS berada di persada politik tanah air.

"Apapun kita ucap terima kasih kerana menyebut tentang PAS dalam ucapan beliau.

"Maknanya mereka akui PAS berada di persada politik negara," katanya. -HD

Salahuddin: Muhyiddin buktikan Umno memang tak jujur, PAS di landasan betul

KUALA LUMPUR, 30 Nov — Serangan terbuka tidak berasas Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap PAS malam tadi membuktikan parti Islam itu berada di landasan betul apabila selama ini menolak idea kerajaan perpaduan dan kerjasama politik, kata Salahuddin Ayub.

Naib Presiden PAS ini menegaskan, kenyataan orang nombor dua Umno dan Barisan Nasional (BN) itu dengan sendirinya menggambarkan mereka tidak jujur dalam pelawaan dan ajakan berkali-kali selama ini, kecuali mahu menghancurkan Pakatan Rakyat.

“Ya, ya. Kita berada dalam landasan yang betul untuk tidak bersama dengan mereka (Umno), menolak ajakan mereka. Pendirian kami memang betul, apa yang kami sangkakan selama ini betul,” kata beliau kepada The Malaysian Insider hari ini.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata PAS memang dari “hari pertama penubuhan, lebih 50 tahun lalu tidak percaya pada Umno.”

“PAS tidak akan tertipu dan terpedaya dengan tindakan-tindakan Umno,” katanya dengan merujuk kepada keputusan PAS sejak tiga tahun secara konsisten menolak pelawaan membentuk kerajaan perpaduan bersama Umno.

Sebaliknya PAS mahu kekal bersama Pakatan Rakyat.

Idea kerajaan perpaduan muncul selepas Umno-BN kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen dan kerajaan lima negeri jatuh ke tangan parti komponen Pakatan Rakyat.

Dalam ucapan perasmian Persidangan Agung Tahunan Pemuda, Puteri dan Wanita malam tadi, Muhyiddin selaku Timbalan Presiden parti dan Timbalan Perdana Menteri berkata, PAS tidak boleh menggantikan Umno dalam memperjuangkan hak orang Melayu atas alasan “Umno tiada galang-ganti.”

Sebelum ini Umno berulang kali mengajak PAS agar membentuk kerjasama politik dan kerajaan perpaduan termasuk menyertai Barisan Nasional (BN).

“Nampaknya, apa yang berlaku hari ini bukan PAS ganti Umno seperti yang dicanang oleh mereka. PAS takkan boleh menggantikan Umno kerana Umno tiada galang-ganti.

“Yang sebenarnya berlaku ialah DAP ganti PAS. DAP bercakap mengenai Islam, PAS mengiyakan sahaja,” kata Muhyiddin.

Muhyiddin mendakwa “DAPlah yang menjadi penentu arah aliran Islam yang dibawa oleh Pakatan Pembangkang. Bukankah ini maknanya DAP menggantikan PAS?”

Sehubungan itu kata Muhyiddin, untuk menutup kegagalan mereka mempertahankan kesucian Islam, PAS mengemukakan agenda Negara Berkebajikan.

“Kini, mereka mengatakan konsep Negara Islam tidak disebut dalam al-Quran, yang ada hanyalah Negara Berkebajikan. Malang bagi PAS kerana setelah puluhan tahun memperjuangkan negara Islam, tetapi akhirnya mengatakan konsep negara Islam tiada dalam al-Quran. Maknanya, selama ini PAS membohongi umat Islam dengan perjuangan palsu mereka,” kata beliau.

Ekoran hujah dan ucapan menyerang tanpa asas itu, Salahuddin seterusnya menegaskan, beliau kini sudah hilang hormat ke atas Muhyiddin selaku orang nombor dua kerajaan pusat pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

“Apabila saya mendengar ucapan berpeluh Muhyddin ini (malam tadi), saya sudah hilang hormat ke atas beliau sebagai seorang pemimpin, timbalan perdana menteri dan dikatakan bakal perdana menteri. Beliau tidak layak. Sepatutnya sebagai seorang pemimpin nombor dua parti, beliau seharusnya menyampaikan gagasan yang lebih besar, bukan menggunakan poin-poin yang digunakan semalam,” katanya lagi. -TMI



Ulasan GB

GB sudah ulas ucapan Muhyiddin tersebut semalam. Ia laksana seekor serigala yang gagal untuk memetik buah anggur lantas menyatakan anggur itu masam.

Apabila melihat gelagat Muhyiddin di atas, teringat kita tentang cerita zaman kanak-kanak dahulu tentang serigala dan anggur masam.

Sang serigala yang sangat kepingin memakan buah anggur telah terkial-kial melompat untuk mendapatkan buah anggur yang terlekat di atas pokok anggur tersebut.

Meskipun beberapa kali serigala malang itu cuba mendapatkan buah anggur tersebut tetapi usahanya gagal kerana lompatannya tidak cukup tinggi untuk mencapai anggur tersebut.

Akhirnya serigala malang tersebut dengan perasaan hampa berlalu pergi daripada pohon anggur tersebut sambil mengeluh saya bukan nak sangat makan anggur tersebut sebab anggur itu masam rasanya.

Anekdot di atas menjelaskan sikap Muhyiddin dan UMNO, tak dapat pikat PAS, berkatalah dia macam-macam mengenai PAS...



Shahrizat Perlembukan Perwakilan, Guna Kes Liwat Anwar Alih Skandal NFC

Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga harus meletakkan jawatan sebagai presiden PKR ekoran tuduhan jenayah dihadapi suaminya jika beliau dipaksa berundur berhubung isu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ini berhadapan dengan tekanan daripada PKR agar meletakkan jawatan kerajaan dan politik ekoran siri pendedahan berkaitan NFC, yang diuruskan oleh keluarganya.

Antara isu yang dibangkitkan oleh pemimpin-pemimpin PKR ialah salah guna dana projek ternakan lembu NFC termasuk untuk membeli kondominium mewah dan membiaya perbelanjaan keluarga, antaranya kos menunaikan umrah.

Sekali lagi hari ini, Shahrizat mempertahankan dirinya bahawa beliau tidak kena-mengena dengan syarikat diuruskan oleh suami dan anak-anaknya.

Sebaliknya beliau mencabar Ketua Wanita PRK Zuraida Kamaruddin agar mendesak peletakan jawatan oleh Dr Wan Azizah.

Shahrizat membuat cabaran itu ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Agung Tahunan Wanita di sini hari ini.

Projek NFC kini disiasat oleh polis. Pengerusi Eksekutif NFC Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail merupakan suami Shahrizat.

“Beliau (Zuraida) minta saya letak jawatan sebab suami saya terlibat dalam NFC. Beliau buat kerja beliau dan saya buat kerja saya. Saya tiada kaitan dengan itu. Mengapa minta saya letak jawatan?” kata Shahrizat di hadapan 944 perwakilan Pergerakan Wanita. “Jika itu polisi dan prinsip beliau, maka saya mencabar ketua Wanita PKR agar minta presiden PKR letak jawatan,” katanya lagi.

“Hari ini saya mencabar semua (ahli Wanita PKR) agar minta peletakan jawatan Wan Azizah sebab suami beliau (Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim), yang telah dihukum dan didakwa,” katanya lagi.

Jelas Shahrizat, cabaran Zuraida itu umpama “gajah di depan hidung tak nampak, kuman di seberang laut nampak.”

“Wan Azizah patut didesak meletak jawatan kerana suaminya, Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim pernah disabit dan dikenakan tindakan kerana pelbagai kesalahan,” katanya lagi.

“Buat Zuraida, jangan ingat Wanita Umno penakut, walaupun kamu menghentam saya, saya tetap senyum sampai dah tak boleh nak senyum lagi ni, itu belum kita angkat kain lagi,” tegas Shahrizat memberi amaran kepada Zuraidah supaya jangan memperlekehkan wanita Umno kerana pergerakan wanita itu jelasnya sentiasa bersedia menepis dakwaan fitnah dan songsang PKR.

Shahrizat dalam ucapan dasarnya turut menyelar Zuraida dan mengingatkannya agar tidak mengambil kesempatan terhadap Wanita Umno.

“Untuk Wanita PKR, saya beri ingatan, jangan cuba ambil kesempatan kepada kami, kami telah bersedia,” tegasnya.

Menurut Shahrizat, Zuraida dan Wanita PKR sebenarnya takutkan perjuangan Wanita Umno kerana pentadbiran Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menyaksikan 1.3 juta wanita menyokong perjuangan Umno-Barisan Nasional.

“Pembangkang dan PKR sebenarnya takutkan Wanita Umno, kita ada kekuatan 1.3 juta ahli kalangan wanita untuk memastikan kemenangan Umno, sebab itu mereka cuba untuk merosakkan kita dengan pelbagai cara,” tegas beliau lagi. -TMI


Skandal NFC: Shahrizat jangan emosi, tapi jawab isu – Zuraida

KUALA LUMPUR 30 Nov: Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin menasihati Datuk Seri Shahrizat Jalil agar jangan emosi berhubung skandal Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) yang diterajui suaminya.

Sebaliknya, kata Zuraida, Ketua Wanita Umno itu perlu menjawab segala persoalan mengenai penyelewengan membabitkan dana RM250 juta yang diberikan kepada syarikat berkenaan.

Zuraida ketika membuat laporan polis terhadap NFC 23 November lalu

“Dari awal kita tegaskan isu besar di sini ialah RM250 juta itu wang rakyat dan Sharizat kata dia tiada kaitan.

“Bagaimana dia boleh kata begitu, sedangkan NFC diterajui suaminya sendiri,” katanya dihubungi Keadilandaily.com hari ini.

Ahli Parlimen Ampang itu diminta mengulas kenyataan penuh emosi Shahrizat dalam perhimpunan Agung Umno yang memberi amaran supaya KEADILAN tidak memainkan isu berkenaan.

Mengulas lanjut, Zuraida sekali lagi menegaskan bahawa NFC memperoleh kontrak Pusat Fidlot Kebangsaan ketika Shahrizat menjadi menteri kabinet, yang menyebabkan berlakunya konflik kepentingan.

“Dari awal kita tegaskan, ini bukan isu peribadi, tapi isunya ialah syarikat keluarga kamu memperolehi tender dengan kamu ketika itu sebagai seorang menteri.

“Kalau dari awal kamu tahu projek itu bakal diserah kepada keluarga, sepatutnya kamu orang pertama menolak kerana berlakunya ‘conflict of interest’ ,” tegasnya.

NFC diluluskan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini merupakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Selain kegagalan NFC mencapai sasaran penternakan dan memenuhi pasaran daging tempatan, jutaan ringgit dana itu diseleweng syarikat tersebut untuk membeli kondominium mewah di Bangsar.

Malah, suami Shahrizat, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail selaku Pengerusi Eksekutif NFC mengakui syarikat itu membeli dua unit kondominum bernilai RM13.8 juta.

Sementara itu, KEADILAN akan mengadakan sidang media tergempar bagi menjawab serangan pimpinan Umno berhubung isu itu di lobi parlimen petang ini.

Selain itu, beberapa pendedahan baru dijangka akan dibuat untuk membuktikan berlaku penyelewengan di peringkat tertinggi Umno dalam skandal berkenaan. -KD


Ulasan GB

Isu lembu tak nak jawab, tapi cuba alih ke topik lain. Mudah sangat taktiknya cuba melarikan diri dari isu lembu NFC.

Dia ingat dia boleh melembukan rakyat seperti dia telah melembukan sekalian pemimpin UMNO dan para pengikutnya?

Lagi dipertahankan lembu-lembu di dalam UMNO, lagi cepat UMNO akan ditolak oleh rakyat.

Khairy, Ketua Pemuda UMNO, kenapa agaknya beliau beriya-iya pertahankan Shahrizat dan projek lembu berkenaan?

Semua orang tahu NFC diluluskan semasa bapa mertua Khairy, Abdullah Ahmad Badawi menjadi PM dan Khairy ada di tingkat empat Jabatan Perdana Menteri!

Dan PAC mendedahkan Wang peruntukan untuk projek NFC habis dikeluarkan baru tandatangan perjanjian! Ini yang memusykilkan dan perlukan siasatan ke akar umbi:

Laporan sebelum ini
klik untuk baca:




[Video] Pemuda PAS Perak Ikrar Tumbangkan BN

Beri mandat kepada Nizar

PARIT BUNTAR – Pemuda Pas Negeri menetapkan pendirian mereka dengan mengisytiharkan Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak ke-12 apabila mendapat mandat dari rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Pengisytiharan tersebut disampaikan oleh Ketua Penerangan Pemuda Pas Negeri, Akmal Kamaruddin semasa mengetuai lafaz ikrar pemuda di Himpunan Pemuda Pas Perak (Hempap) di Parit Buntar kelmarin.

Katanya, Pemuda Pas akan berdiri teguh dan bersepakat untuk mengangkat kembali Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar selepas beliau ‘digulingkan’ dalam tragedi ‘rampasan kuasa’ Kerajaan PR Perak.

“Kami seluruh Pemuda Negeri bersatu hati akan bekerja keras dalam PRU13 nanti bagi mengangkat kembali Mohammad Nizar untuk mengetuai kerajaan PR Perak,” katanya yang berucap di hadapan ribuan hadirin.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Negeri, Zawawi Hassan berkata, pemuda parti tersebut sudah bersiap sedia menghadapi PRU13.

Menurutnya, pemuda akan direalisasikan sebagai elemen penggerak terpenting dan penentu kemenangan dalam PRU13 nanti.

“Jentera pemuda tekad dan iltizam menumbangkan BN dalam PRU13 nanti bagi menghapuskan kezaliman serta menegakkan keadilan di atas muka bumi ini.

“Tragedi ‘rampasan kuasa’ kerajaan yang dipilih rakyat suatu ketika dulu masih terpahat dalam ingatan kami, BN jangan ingat kami sudah lupa,” katanya.

Pada program Hempap, lebih 7,000 pemuda daripada seluruh pelosok negeri Perak telah hadir berhimpun untuk menyatakan kesepakatan pemuda.

Hadir sama pada program Hempap itu adalah Ketua Pas Pusat, Nasruddin Hasan; AJK Pas Pusat, Idris Ahmad; Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin; Pesuruhjaya Pas Perak, Abu Bakar Hussien dan saf kepemimpinan Pemuda Pas Pusat.

Himpunan tersebut bertemakan tuntutan Bersih dengan slogan ‘Semarakkan Gelombang Kuning’.

Tema tersebut dipilih untuk meneruskan momentum gelombang kebangkitan rakyat dalam tuntutan Bersih 2.0 yang mahukan perjalanan pilihan raya adil dan telus.

Pemuda Pas Negeri bersedia untuk menyertai Himpunan Bersih 3.0 selepas menerima arahan pimpinan kelak. -SH



Lesen Perniagaan Siap 1 Jam Di Shah Alam

Shah Alam: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mempertingkatkan lagi sistem penyampaian dengan memperkenalkan pengeluaran lesen perniagaan dalam tempoh satu jam dalam usaha menggalakkan lebih ramai pelabur dan penduduk untuk menjadi usahawan.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata, pengeluaran lesen perniagaan dalam tempoh satu jam adalah inisiatif berterusan pihak MBSA yang sentiasa berusaha untuk memudahkan dan mempercepatkan proses kerja bagi memberi keselesaan kepada orang ramai.

Beliau berkata, pihak MBSA juga sudah mengenal pasti 80 jenis aktiviti perniagaan yang tidak berisiko seperti lesen perniagaan kedai dobi, kedai pakaian, kedai runcit dan kedai kasut.

“Sebagai salah sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang penting di negeri Selangor, kita tidak perlu lagi beri alasan seperti, ‘kami akan semak’ atau ‘Datuk Bandar sibuk’ kepada masyarakat.

“Jawapan untuk setiap pertanyaan perlu diberikan serta-merta bagi memastikan setiap perkhidmatan yang diberikan cekap dan efisien,” katanya pada Majlis Perhimpunan bersama Datuk Bandar kali ke-9 di Auditorium MBSA, semalam.

Mohd Jaafar berkata, Jabatan Perlesenan dan Penguatkuasaan sudah mula melaksanakan pengeluaran lesen dalam tempoh satu jam berkuat kuasa 1 Oktober lalu.

Katanya, pemeriksaan premis akan diadakan selepas tempoh dua bulan lesen itu dikeluarkan bagi memastikan pemohon mematuhi syarat ditetapkan pihak MBSA.

“Jika dahulu, pemohon terpaksa menunggu sehingga sebulan untuk mendapatkan lesen perniagaan, tetapi sekarang semuanya akan dilaksanakan dalam tempoh satu jam,” katanya. -HM

MBSA Lancar Pengeluaran Lesen Perniagaan Dalam Tempoh 1 Jam

SHAH ALAM, 29 NOV : Majoriti peniaga boleh memperoleh lesen perniagaan dalam tempoh satu jam menerusi inisiatif berterusan yang diperkenalkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Bagaimanapun, pengeluaran lesen ini hanya melibatkan aktiviti perniagaan yang tidak berisiko serta premis perniagaan yang memiliki Sijil Layak Menduduki Bangunan (CF) atau Sijil Perakuan Siap dan Pemantauan (CCC).

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata, inisiatif MBSA ini akan mempermudahkan serta mempercepatkan proses kerja yang boleh memberi keselesaan dan kesejahteraan kepada orang ramai.

Katanya, setakat ini pihak MBSA telah mengenalpasti 80 jenis aktiviti perniagaan yang tidak berisiko dan boleh dilesenkan dalam tempoh sejam. Antaranya ialah kedai pakaian, kedai gambar, kedai dobi, kedai runcit, kedai kasut dan kedai gunting rambut.

"Kita mestilah mempunyai sistem sokongan yang membolehkan kita melaksanakan tugas dengan pantas. Contohnya, kalau dahulu dalam masa satu minggu, tetapi kini dalam masa satu hari atau satu jam.

Sebagai contoh, melalui Jabatan Perlesenan dan Penguatkuasaan, kita telah mula melaksanakan pengeluaran lesen dalam tempoh satu jam di mana pelaksanaan ini merupakan penambahbaikan dalam pengeluaran lesen-lesen perniagaan yang sebelum ini boleh diproses serta-merta," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pengeluaran Lesen dalam tempoh sejam di Auditorium MBSA, di sini hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas premis akan diadakan dalam tempoh dua bulan selepas lesen itu dikeluarkan bagi memastikan pemohon mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan MBSA.

Beliau berkata, sekiranya peniaga gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan, pihak MBSA akan mengeluarkan kompaun atau membatalkan lesen yang telah dikeluarkan.

Setakat ini sebanyak 64 permohonan telah diterima dan jumlah ini diharapkan akan terus bertambah.

"Setakat ini pemohon boleh mengemukakan permohonan di Ibu Pejabat MBSA. MBSA juga akan melebarkan cara permohonan atau pembaharuan lesen menerusi sistem online, pembukaan booth di pusat membeli belah dan sebagainya," katanya. -tvsnews





Ucapan Pemimpin UMNO Sendiri Jadi Bukti UMNO Kini Sedang Nazak

Najib mahu Umno sedia hadapi PRU ‘luar biasa’

KUALA LUMPUR, 29 Nov ― Datuk Seri Najib Razak mahu Umno mengutamakan perpaduan dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13, yang presiden parti itu melihat sebagai “sesuatu yang luar biasa” bagi perikatan yang mengepalai kerajaan pusat.

Najib yang juga Perdana Menteri mengarahkan pemimpin-pemimpin kanan parti pada satu taklimat di sini agar tidak memandang mudah atau mengambil ringan pilihan raya umum akan datang.

Sehubungan itu katanya, pemimpin-pemimpin parti seharusnya bertindak agak luar biasa kali ini.

“Beliau telah meminta pemimpin-pemimpin peringkat bahagian dan akar umbi agar bekerja luar biasa sebab pilihan raya ini adalah sesuatu yang luar biasa... banyak cabaran dan beliau mahu kami utamakan perpaduan,” kata Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid berkata demikian pada sidang media bersama dua rakan sejawatannya Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Shafie Apdal selepas taklimat presiden sempena Perhimpunan Agung Umno 2011 di sini hari ini.

Beliau menambah bahawa Najib juga telah mengarahkan pemimpin-pemimpin Umno agar menyelesaikan kesemua konflik dalaman bagi memastikan bahawa tiada sabotaj atau unsur menikam dari belakang apabila tibanya pilihan raya.

Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, mesej itu dikeluarkan di sebalik peringatan berkali-kali daripada Najib bahawa hanya calon-calon yang boleh menang akan mewakili Barisan Nasional (BN).

“Konflik mesti diselesaikan bagi memastikan kejayaan kita sama ada kerusi peringkat kerusi ataupun parlimen,” kata beliau.

“Hanya ada satu pasukan iaitu Pasukan Umno,” kata Zahid.

Ketika bercakap kepada pemberita kemudian, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata, BN meletakkan sasaran untuk menawan balik empat negeri dikuasai Pakatan Rakyat sekarang iaitu Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang. -TMI

Muhyiddin: PRU-13 tentukan jatuh bangun Melayu

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengingatkan anggota parti itu bahawa pilihan raya umum ke -13 adalah "ibu segala pilihan raya" yang akan menentukan jatuh bangun umat Melayu.

Bahkan beliau yang juga timbalan perdana menteri turut membangkitkan kebimbangan sama ada kuasa politik akan kekal pada parti itu atau terlepas ke tangan pihak lain.

"Saya mengambil sedikit masa untuk menyentuh tentang persoalan-persoalan yang berlegar di benak fikiran orang Melayu, tentang beberapa isu yang amat penting kepada kelangsungan mereka, supaya generasi muda dan sayap-sayap parti memahami apakah psikologi dan minda Melayu yang kita hadapi hari ini.

"Sesungguhnya, kita sedang berada dalam satu situasi yang amat kritikal. Pilihan raya umum ke-13 adalah ibu segala pilihan raya yang akan menentukan jatuh bangun umat Melayu. Apakah kuasa politik kekal berada di tangan kita? Atau akan terlepas ke tangan orang lain?

"Sanggupkah saudara-saudari melihat kuasa politik terlepas dari genggaman kita? Sanggupkah kita membenarkan pembangkang menawan Putrajaya? Sanggupkah kita melihat orang Melayu hilang kuasa di bumi sendiri? Jawapannya tentu sekali tidak," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa ketiga-tiga sayap parti bersatu dan bersedia dengan kekuatan mental dan fizikal untuk menghadapi pilihan raya berkenaan.

'Jangan main belakang'

"Ketepikan perbezaan dan persengketaan. Lemparkan segala sifat tercela jauh ke lautan hitam. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Yakinlah, perjuangan ini adalah jihad untuk agama, bangsa dan negara. Jihad untuk keadilan. Jihad untuk pertahan hak.

"Percayalah, pilihan raya umum nanti mempunyai makna yang cukup dalam kepada kelangsungan kita. Pilihan raya ini adalah medan jihad dan saudara-saudari adalah para mujahid dan mujahidah," tegasnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno bertajuk "Menunjangi Survival Bangsa: Suatu Jihad" di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara malam ini.

Peringatan itu dilontarkan susulan wujudnya persepsi kuasa Melayu semakin goyah susulan kemerosotan sokongan Umno dalam pilihan raya umum lalu dan ekoran dakwaan "fitnah jahat" yang dilemparkan pada Umno.

Sementara itu, untuk mencapai kejayaan, Muhyiddin mengingatkan supaya tidak berlaku sabotaj dalam parti ekoran pemilihan calon pilihan raya.

"Jangan kita mencalit arang ke muka parti. Jangan sabo. Jangan boikot. Jangan cah keting. Jangan peteh sama sendiri. Jangan 'mandikan' calon-calon kita. Jangan tutup bilik gerakan. Jangan main belakang. Jangan lari ke luar negeri. Jangan tikam kawan.

"Jangan lakukan apa sahaja yang boleh menjejaskan peluang parti untuk menang dalam pilihan raya. Ingat, pilihan raya nanti adalah pertandingan hidup atau mati," katanya. -mk


Ulasan GB

Kenyataan kedua-dua pemimpin tertinggi UMNO di atas jelas membuktikan bahawa keadaan UMNO kini sedang kritikal, nazak yang amat sangat, yang jika dalam adegan Ahmad Nisfu, dalam keadaan "mintak nyawa".

Berlakon seperti 'wira-wira bangsa" sedangkan merekalah sebenarnya pengkhianat dan penjahanam bangsa selama ini.

Ucapan mereka itu sendiri memperakui bahawa UMNO kini diambang kehancuran. Gambaran jelas bahawa UMNO kini sukar malah, sudah tidak berupaya untuk diselamatkan.

Suasana huru-hara dan kelam-kabut kerana kapal UMNO sudah hampir karam. Juragan bertempik dan cuba menyalahkan orang lain.

Kemudian, sekalipun berselindung disebalik slogan 1Malaysia selama ini, perhimpunan UMNO kali ini membuktikan UMNO merupakan parti paling kuat rasismanya. Menjadikan perjuangan "kebangsaan" sebagai landasan "jihad" mereka.

Sedangkan Rasulullah saw telah bersabda:

“Bukan daripada kalangan kami orang yang menyeru kepada Assabiyah, dan bukan daripada kalangan kami orang yang berperang atas dasar Assabiyah, dan bukan daripada kalangan kami orang yang mati kerana Assabiyah” (Hadith Riwayat Abu Daud).

Lalu sahabat bertanya:

"Apakah yang dikatakan assabiyah itu Ya Rasulullah?"

Baginda menjawab:

"Assabiyah itu ialah bahawa kamu menolong kaummu di atas dasar kezaliman"

Jelas kepada kita, Islam telah lama menguburkan fahaman kebangsaan tetapi UMNO masih lagi memikul bangkai assabiyah sebagai dasar perjuangan mereka.

Mereka akan tetap kalah dan pasti akan kalah lantarannya.

[Rakaman CCTV] "Toyol" Curi Komputer Riba Di Pejabat Sekolah Agama

Toyol’ curi komputer riba

JOHOR BAHRU: Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah sekolah agama di Taman Dahlia, di sini, membongkar aksi sekumpulan lima penjenayah cilik termasuk kanak-kanak berusia 10 dan 12 tahun yang memecah masuk pejabat sekolah berkenaan sebelum melarikan dua komputer riba.

Dalam kejadian jam 2.37 pagi semalam, lima penjenayah terbabit berusia 10 hingga 18 tahun dengan dua daripada mereka yang paling muda berusia 10 dan 12 tahun menggunakan susuk tubuh kecil untuk menyelit masuk melalui pintu berjeriji selepas gagal memecahkan mangga.

Kedua-dua mereka menyelongkar laci pejabat untuk mencari barang berharga dan berada di situ selama sejam tanpa menyedari gelagat mereka dirakam CCTV.

Ahli jawatankuasa badan kebajikan sekolah berkenaan, Mohammad Nick Abdullah, 43, berkata dia menyedari kejadian itu selepas melihat kesan umpil pada satu daripada pintu jeriji ketika ke sekolah untuk memeriksa rakaman CCTV pada jam 7.30 pagi semalam.



BUKTI...rakaman CCTV menunjukkan dua kanak-kanak yang menceroboh pejabat sekolah dan melarikan komputer riba.


SOROK...rakaman CCTV menunjukkan seorang kanak-kanak yang berselindung di sebalik pintu merangkak untuk mengelak wajahnya dirakam.


Ulasan GB

Demikian hebat. Usia sedemikian sudah mampu merompak, bagaimana bila mereka dewasa nanti agaknya? Jika usia sedemikian sudah berupaya pecah pejabat jenayah apa lagi yang tak boleh dilakukan oleh toyol-toyol berkenaan?

Berapa parahnya tahap jenayah di negara yang tidak mengamalkan undang-undang Islam sehingga "kanak-kanak" pun sudah boleh merompak dan mencuri.

Teruslah tolak hukum Tuhan, kelak Dia akan butkikan lagi lebih banyak jenayah rompakan yang "luarbiasa" tetapi begitu mudah berlaku seperti kisah di atas.

RUU Perhimpunan Aman Bertentangan Perlembagaan, PAS Bawa Ke Mahkamah Minggu Ini

Kuala Lumpur: PAS memaklumkan tindakan untuk menghalang perlaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Perhimpunan Aman 2011 di mahkamah akan dibuat selewat-lewatnya Jumaat ini.

Peguam PAS, Mohamed Hanipa Maidin menjelaskan pihaknya kini sedang giat menyiapkan dokumen berkaitan dan yakin ia boleh diselesaikan dalam minggu ini.

"Bagi membantah perlaksanaan RUU tersebut PAS akan mengemukakan bantahan perlaksanaan tersebut di mahkamah selewat-lewatnya Jumaat ini.

"Kita akan lawan habis-habisan agar perkara tersebut tidak menjadi undang-undang dan ditarik balik," jelasnya yang juga AJK PAS Pusat.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily semasa menyertai perarakan Majlis Peguam Malaysia bagi membantah RUU tersebut di parlimen hari ini.

Dalam pada itu, beliau berpendapat bantahan aman hari ini merupakan suatu yang bersejarah kerana ia dilakukan oleh para peguam sendiri.

"Melihat kepada bantahan hari ini ia merupakan satu sejarah kerana tentangan dilakukan oleh para pengamal undang-undang sendiri dan secara jelas menunjukkan peguam juga membantah RUU yang jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Kita berharap kerajaan mendengar dan mengambil serius tentangan yang dilakukan ini kerana hak rakyat perlu didengari serta diambil perhatian, jangan dianiayai hak rakyat yang telah diberikan oleh Perlembagaan," sambungnya lagi.

PAS antara yang tegas membantah tindakan kerajaan membentangkan RUU itu yang dianggap cubaan menyekat hak rakyat.

Pada sidang media sebelum ini juga, Mohamed Hanipa berkata, tindakan mahkamah itu adalah berasas kerana kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menggubal RUU mengikut pandangan mereka sahaja.

"Kuasa kerajaan di bawah Perlembagaan Negara. Jadi kalau mereka melangkaui perlembagaan, kita berhak mengambil tindakan mahkamah," katanya.

Ini kerana katanya, ada perkara dalam RUU yang akan dibahaskan minggu hadapan itu melanggar perkara 10 (1) (b) iaitu hak untuk berhimpun.

"Begitu juga kanak-kanak bawah 15 tahun tidak boleh menyertai himpunan, sedangkan kanak-kanak juga ialah rakyat. Contoh kalau ada sekolah dirobohkan dan kanak-kanak ini berhimpun, dalam rang undang-undang ini kata tak boleh tapi dalam perlembagaan boleh. Jadi rang undang-undang ini bercanggah dengan perlembagaan," jelas beliau. -HD



Muhyiddin Dan Kisah Serigala Yang Kata Anggur Itu Masam

Selepas gagal pikat, Muhyiddin tegas PAS tak boleh ganti Umno

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PAS tidak boleh menggantikan Umno dalam memperjuangkan hak orang Melayu atas alasan “Umno tiada galang-ganti” walaupun sejak tiga lalu parti teras BN itu mempelawa agak ia membentuk kerjasama politik.

Sebelum ini Umno berulang kali mengajak PAS agar membentuk kerjasama politik dan kerajaan perpaduan termasuk menyertai Barisan Nasional (BN).

“Nampaknya, apa yang berlaku hari ini bukan PAS ganti Umno seperti yang dicanang oleh mereka. PAS takkan boleh menggantikan Umno kerana Umno tiada galang-ganti.

“Yang sebenarnya berlaku ialah DAP ganti PAS. DAP bercakap mengenai Islam, PAS mengiyakan sahaja,” kata Timbalan Presiden Umno ini ketika berucap merasmikan Persidangan Agung Tahunan Puteri, Pemuda dan Wanita Umno di sini hari ini.

Muhyiddin mendakwa “DAP lah yang menjadi penentu arah aliran Islam yang dibawa oleh Pakatan Pembangkang. Bukankah ini maknanya DAP menggantikan PAS?”

Sehubungan itu kata Muhyiddin, untuk menutup kegagalan mereka mempertahankan kesucian Islam, PAS mengemukakan agenda Negara Berkebajikan.

“Kini, mereka mengatakan konsep Negara Islam tidak disebut dalam al-Quran, yang ada hanyalah Negara Berkebajikan. Malang bagi PAS kerana setelah puluhan tahun memperjuangkan negara Islam, tetapi akhirnya mengatakan konsep negara Islam tiada dalam al-Quran. Maknanya, selama ini PAS membohongi umat Islam dengan perjuangan palsu mereka,” kata beliau.

Dalam ucapannya, Muhyiddin seterusnya mengecam “walau apa pun, kita hendak bertanya kepada PAS... Negara Berkebajikan bagaimana yang mereka ingin wujudkan?”

“Yang kita tahu, bekalan air bersih pun tidak mampu mereka sediakan kepada rakyat Kelantan. Bukankah air adalah keperluan rakyat paling asas yang mesti dipenuhi oleh mana-mana kerajaan.

“Justeru, kita nak katakan kepada PAS, kalau bekalan air bersih pun tak dapat disediakan, janganlah simpan angan-angan hendak wujudkan Negara Berkebajikan. Selesaikan dahulu masalah air di Kelantan, kemudian barulah bercakap soal Negara Berkebajikan,” katanya lagi.

Kata timbalan perdana menteri, sebenarnya PAS bukanlah beriya-iya benar hendak mewujudkan Negara Berkebajikan.

“Mereka sendiri pun tak faham apa maksud Negara Berkebajikan. Slogan Negara Berkebajikan hanyalah helah politik PAS untuk menutup kelemahan sendiri kerana tergadainya matlamat untuk mendirikan negara Islam.

“Apa yang penting bagi PAS, slogan Negara Berkebajikan boleh diterima oleh DAP,” katanya lagi. -TMI

Ulasan GB

Apabila melihat gelagat Muhyiddin di atas, teringat kita tentang cerita zaman kanak-kanak dahulu tentang serigala dan anggur masam.

Sang serigala yang sangat kepingin memakan buah anggur telah terkial-kial melompat untuk mendapatkan buah anggur yang terlekat di atas pokok anggur tersebut.

Meskipun beberapa kali serigala malang itu cuba mendapatkan buah anggur tersebut tetapi usahanya gagal kerana lompatannya tidak cukup tinggi untuk mencapai anggur tersebut.

Akhirnya serigala malang tersebut dengan perasaan hampa berlalu pergi daripada pohon anggur tersebut sambil mengeluh saya bukan nak sangat makan anggur tersebut sebab anggur itu masam rasanya.

Anekdot di atas menjelaskan sikap Muhyiddin dan UMNO, tak dapat pikat PAS, berkatalah dia macam-macam mengenai PAS...




Kenyataan Rasis Ahmad Maslan Bakal Jatuhkan Najib & BN

Politik meracau' Umno bakal jatuhkan Najib

Kenyataan terbaru Ketua Penerangan Umno bahawa Melayu akan hilang kuasa jika Pakatan Rakyat memerintah memperlihatkan sikap sebenar 'perkauman melampau' parti itu.

AJK PAS Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata kenyataan Datuk Ahmad Mazlan itu juga menggambarkan Umno kini berada dalam keadaan 'meracau' dan diambang kehilangan kuasa.

"Kenyataan itu menggambarkan psikologi Umno yang berada dalam ketakutan ekoran diambang kehilangan kuasa.

"Mereka (Umno) masih belum jumpa strategi jelas, maka mereka meneruskan strategi lama dengan mencetuskan rasa takut (politic of fear) di kalangan rakyat dengan isu kuasa orang Melayu, agama dan sultan" katanya kepada Harakahdaily.

Dalam kenyataan pagi tadi, Datuk Ahmad Maslan dipetik berkata orang Melayu akan hilang segala hak dan kuasa mereka sekiranya Pakatan Rakyat memenangi lebih banyak kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum akan datang.

Ahmad berkata, senario paling buruk berkenaan masa depan orang Melayu negara ini ialah apabila wujud “Parlimen tergantung” seperti di Australia, di mana Barisan Nasional tidak mampu melaksanakan agenda polisi-polisi ekoran hanya majoriti mudah.

“Bahasa Melayu akan hilang (kedudukan), kata selamat tinggal kepada Kesultanan Melayu, malah pembangkang DAP tidak akan hormati institusi diraja... mereka tidak pernah terima gelaran diraja meskipun mereka ditawarkan.

“Kata selamat tinggal kepada Islam sebab mereka (DAP) adalah ejen Kristian... dalam bercakap mengenai agenda Melayu, kita tidak boleh lari daripada ini,” kata Ahmad pada satu forum parti sempena perhimpunan agung tahunan 2011.

Mengulas lanjut, Dr. Dzulkefly juga menyifatkan kenyataan Ahmad itu sebagai kegagalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak untuk membawa transformasi politiknya kepada pemimpin Umno lain termasuk Ahmad.

Najib juga ujarnya masih tindak menentu dalam mencari strategi dan pendekatan untuk mempertahankan kuasanya.

"Mungkin juga ketua penerangan Umno ini mewakili suara majoriti ahli Umno dan suara Najib (yang mahu transformasi) hanya minoriti.

"Ini juga bukti 'banyak kepala' dalam Umno yang semakin bersimpang-siur dan bercelaru. Umno tetap Umno yakni parti berteraskan perjuangan perkauman Melayu sempit, Melayu Umno, masih ramai Melayu yang terpinggir, jurang miskin-kaya paling lebar dalam etnik Melayu di negara ini" kata Dr. Dzulkefly yang juga ahli parlimen Kuala Selangor.

Sementara itu juga, beliau menjangkakan perhimpunan agung Umno yang akan dirasmikan malam ini menjadi medan anggota parti itu membangkitkan isu perkauman.

Ianya memandangkan parti itu kini berada dalam keadaan terdesak selepas hilang sokongan bukan Melayu sejak tsunami politik 2008 lalu. -hd

Berita sebelum ini
klik untuk baca



29 Nov 2011

[Video] Ribuan Berhimpun Bantah Bil Perhimpunan Aman

Sekurang-kurangnya 500 peguam dan aktivis masyarakat menyertai perhimpunan membantah Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 di Parlimen, hari ini.

Perhimpunan 'Walk for Freedom to Walk' itu mula berkumpul di Taman Tasik Perdana seawal 11 pagi dan telah bergerak ke Parlimen jam 12.30 tengahari ini bagi menyerahkan kertas cadangan supaya kerajaan meminda rang undang-undang perhimpunan aman.

Perhimpunan ini tercetus apabila Kerajaan membentangkan rang undang-undang bagi mengawal jenis perhimpunan yang boleh diadakan.

Badan Bukan Kerajaan seperti Majlis Peguam dan Suaram telah mengecam Rang tersebut kerana ia dikatakan lebih mengongkong hak rakyat untuk berhimpun.

Mereka berkata rang itu bertentangan dengan prinsip demokrasi dan anti-artikel 10 perlembangaan.

Walaubagaimana pun Kerajaan Pusat tetap tegar untuk meluluskan rang tersebut dalam sidang Parlimen minggu ini.

Shahrezan Othman dari wakil majlis peguam berkata himpunan ini bukan atas dasar politik Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat sebaliknya adalah untuk mewakili suara rakyat Malaysia.

Perarakan 'Walk for Freedom to Walk' yang menuju ke Parlimen bagaimanapun bertembung dengan sekumpulan lelaki yang hanya lingkungan 50 orang.

Kumpulan itu bertindak melemparkan kata-kata kesat seperti 'kami bantah seks bebas, kami tolak majlis peguam negara'

Pergerakan terhalang apabila polis dengan kekuatan jentera seramai hampir 30 anggota bertindak menghalang rombongan itu masuk ke laluan utama Parlimen.

Walaubagaimanapun hanya 10 wakil peguam sahaja dibenarkan masuk bagi menghantar kertas cadangan

Saksikan keratan video ''Walk for Freedom to Walk' dibawah. -tvsnews









RUU Perhimpunan Aman Diluluskan, Semakin Banyak Kerusi BN Akan Hilang

Rang Undang-undang Perhimpunan Aman akhirnya diluluskan Dewan Rakyat selepas perbahasan kira-kira tiga jam oleh lima anggota parlimen.

Rang undang-undang itu - yang mengharamkan demonstrasi jalanan dan membenarkan perhimpunan lain dengan beberapa syarat ketat - lulus dengan undi suara ketika ketiadaan anggota Pakatan Rakyat yang keluar dewan sebelumnya.

Rang undang-undang itu dibahaskan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh), Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud), Lim Guan Eng (DAP-Bagan), Abdul Hadi Awang (PAS-Marang), Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) dan P Kamalanathan (BN-Hulu Selangor).

Ahli parlimen Pakatan bertindak keluar dewan hari ini bagi membantah tindakan kerajaan yang enggan membawa rang undang-undang perhimpunan aman untuk dibincangkan di peringkat jawatankuasa terpilih.

Mereka juga membantah keputusan Yang dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang hanya membenarkan ahli parlimen kanan pembangkang untuk berbahas. -mk

Pembangkang keluar dewan bantah Bil Perhimpunan

Ahli parlimen pembangkang bertindak keluar dewan hari ini bagi membantah tindakan kerajaan yang enggan membawa rang undang-undang perhimpunan aman untuk dibincangkan di peringkat jawatankuasa terpilih.

Ahli parlimen berkenaan juga bertindak demikian bagi membantah keputusan yang dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang hanya membenarkan ahli parlimen kanan pembangkang untuk berbahas.

Kumpulan berkenaan bertindak demikian pada kira-kira jam 3.15 petang ini selepas perbahasan oleh presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) dan juga setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng (DAP-Bagan).

Kumpulan wakil rakyat berkenaan juga tidak akan mengundi secara belah bahagi untuk menghalang rang undang-undang berkenaan daripada diluluskan petang ini.

Salah seorang daripada wakil rakyat itu berkata, ahli parlimen pembangkang juga bertindak demikian setelah memutuskan bahawa rang undang-undang berkenaan mengandungi banyak kecacatan dan tidak sepatutnya diluluskan.

Ahli parlimen PAS Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar berkata, sekurang-kurangnya undang-undang itu perlu dibawa ke jawatankuasa terpilih parlimen untuk disemak semula.

"Sebaliknya (kerajaan) hanya mahu bulldoze (rang undang-undang perhimpunan) dan bahas selama empat jam," katanya ketika ditemui Malaysiakini di bangunan parlimen.

Kumpulan ahli parlimen berkenaan bagaimanapun memasuki Dewan semula untuk menyertai perbahasan selepas rang undang-undang perhimpunan aman diluluskan untuk bacaan kali ketiga secara undian suara.

Rang undang-undang itu dilulus selepas dibahaskan oleh Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas), P Kamalanathan (BN-Hulu Selangor) dan juga penggulungan oleh menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz.

Dewan Rakyat turut meluluskan pindaan berhubung tempoh makluman untuk mengadakan perhimpunan dan juga tempoh bantahan serta tempoh rayuan keputusan yang menyekat perhimpunan. -mk



Ulasan GB

Dengan mengenepikan dan menafikan suara dari rakyat yang mebantah RUU Perhimpunan Aman, ia bererti BN mengundang kemarahan rakyat dan ia bakal diterjemahkan di dalam undi semasa pilihanraya umum nanti.

BN menyangka mereka menang, walhal hakikatnya meraka kalah dan akan terus dikalahkan oleh rakyat. Sama-sama kita tunggu jawapan rakyat di dalam PRU nanti.

Itu hukum kebenaran dan keadilan: menang tak dapat semua, kalah tak hilang semua!

UMNO Cuba Hendak Melembukan Semua Orang Melayu

Umno dakwa Melayu akan hilang semua kuasa jika ‘Parlimen gantung’

Orang Melayu akan hilang segala hak dan kuasa mereka sekiranya Pakatan Rakyat (PR) memenangi lebih banyak kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum akan datang, dakwa Ketua Penerangan Umno hari ini.

Datuk Ahmad Maslan berkata, senario paling buruk berkenaan masa depan orang Melayu negara ini ialah apabila wujud “Parlimen tergantung” seperti di Australia, di mana Barisan Nasional tidak mampu melaksanakan agenda polisi-polisi ekoran hanya majoriti mudah.

“Jika wujud Parlimen tergantung macam di Australia, katakan 112 kerusi bagi kerajaan berbanding 110 bagi pembangkang, keadaan paling buruk akan berlaku.

“Bahasa Melayu akan hilang (kedudukan), kata selamat tinggal kepada Kesultanan Melayu, malah pembangkang DAP tidak akan hormati institusi diraja... mereka tidak pernah terima gelaran diraja meskipun mereka ditawarkan,” kata beliau pada satu forum parti sempena perhimpunan agung tahunan 2011. -tmi

Ulasan GB

Kenyataan kKetua Penerangan UMNO di atas jelas membuktikan bahawa kini UMNO sedang cemas - sedang resah gelisah kerana nyawa UMNO semakin menipis...

Kita khabarkan kepada Ketua Penerangan UMNO itu bahawa Melayu di luar UMNO bukan bodoh macam lembu seperti Melayu dalam UMNO. Jangan cuba hendak heret semua orang Melayu untuk masuk kandang lembu UMNO - jangan cuba hendak memperbodohkan semua orang Melayu.

Segala apa yang berlaku adalah kerana tindakan UMNO selama ini yang telah begitu lama melembukan Melayu, menzalimi bangsa Melayu. Lantaran itu anda akan dihukum - dengan hukum kebenaran dan keadilan - lantaran kezaliman dan kekejaman kamu ke atas bangsa Melayu sendiri.

Bukti? Itu royalti minyak Kelantan, apa pasal sampai kini belum dibayar? Bukankah itu kezaliman UMNO yang amat nyata terhadap orang melayu sendiri?

SURAT: Bubarkan SYABAS

merujuk kepada ucapan Menteri Besar Selangor sewaktu persidangan DUN baru-baru ini, jelas sangat-sangat bahawa SYABAS tidak lebih dari operasi yang mengaut keuntungan atas angin semata-mata.

Bagaimanakah SYABAS yang tidak langsung mempunyai apa-apa asset, infrastuktur ataupun liabiliti masih terus beroperasi dalam kerugian yang amat besar?

Sepatutnya SYABAS mampu mencatat keuntungan yang berlipat kali ganda kerana mereka tidak mempunyai apa-apa tanggungan dari segi kos.

Namun, kita lihat prestasi SYABAS amat menyedihkan. Perbelanjaan mereka juga boros.

Apa kelayakan Pengerusi SYABAS, Tan Sri Rozali Ismail mendapat gaji RM5.3 juta setahun? Dalam keadaan SYABAS memberi khidmat yang amat buruk dan tidak memuaskan hati, sepatutnya Tan Sri Rozali dipecat dari jawatan Pengerusi SYABAS.

Maka, saya sebagai rakyat Selangor meminta supaya SYABAS dibubarkan dan khidmat air di Selangor diserahkan kembali kepada Kerajaan Selangor.

Sudah tiba masanya syarikat-syarikat untung atas angin seperti SYABAS dihapuskan sama sekali dari muka bumi Selangor ini.

Oleh: RAKYAT SELANGOR PRIHATIN


[Video] Jumlah Korban Jambatan Roboh Di Tenggarong Meningkat

Tenggarong: Jumlah kematian mangsa jambatan roboh yang menyebabkan puluhan kenderaan terhumban ke dalam sungai yang keruh di wilayah Borneo, Indonesia, meningkat kepada 11 orang, kata para pegawai, kelmarin.

JAMBATAN ROBOH: Beberapa orang penduduk meninjau kerosakan pada jambatan Kutai Kartanegara, di Tenggarong, di Timur Kalimantan, Indonesia, selepas ia roboh Sabtu lalu. -- Foto AP

Lebih 30 orang dipercayai hilang selepas jambatan sepanjang 720 meter - dibina menyerupai Pintu Gerbang Emas San Francisco - di Sungai Mahakam, roboh Sabtu lalu.

'Jumlah mereka yang terbunuh kini 11 orang,' kata ketua agensi mencari dan menyelamat wilayah Kalimantan Timur, Encik Harmoni Adi, kepada para wartawan.

Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Nasional Indonesia, Encik Sutopo Purwo Nugroho, yang pada awalnya mengumumkan 10 orang terbunuh, semalam berkata mayat-mayat telah dibawa arus ke tebing sungai.

'Seramai 39 orang cedera dan berdasarkan laporan-laporan oleh masyarakat (di sini), sekurang-sekurangnya 33 orang masih hilang.

'Sukar untuk mengetahui dengan tepat berapa ramai yang masih hilang kerana kami tidak tahu berapa banyak kenderaan dan orang yang terhumban apabila jambatan itu roboh,' kata Encik Nugroho, sambil menambah bahawa air sungai sedalam 40 meter itu terlalu keruh.

Para saksi dilaporkan terdengar bunyi kuat sedang struktur jambatan itu bergoyang, sebelum sebuah bas awam, kereta-kereta dan motosikal-motosikal terhumban ke dalam sungai di daerah Kutai Kartanegara itu.

Mereka yang terselamat bergegas berenang ke tebing sungai sambil berteriak dalam keadaan panik, manakala yang lain terperangkap di bawah air di celahan serpihan jambatan yang roboh itu.

Punca kejadian itu belum jelas tetapi Encik Nugroho berkata kabel besi yang menyokong jambatan itu, yang siap pada 2002, putus ketika para pekerja sedang membaikinya.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono telah mengarahkan satu siasatan dijalankan. -- AFP.


[Bergambar] Bantah Akta: Penubuhan Malaysia Juga Adalah Dari Demonstrasi Jalanan! [updated]

Peguam, orang ramai mula berhimpun

Peguam-peguam di seluruh negara yang berada di bawah naungan Majlis Peguam Malaysia sedang berhimpun di Kelab Taman Perdana Diraja, Kuala Lumpur bagi meluahkan bantahan terhadap penggubalan Akta Perhimpunan Aman 2011.

Rang undang-undang yang akan dibahaskan di Dewan Rakyat hari ini untuk bacaan kali kedua dijangka akan diundi pada malam ini.

Sambil menyifatkan rang undang-undang itu akan merampas hak rakyat yang dijamin oleh perlembagaan, presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee berkata peguam di seluruh negara tidak sepatutnya hanya menyaksikan kebebasan rakyat disekat tanpa membuat sebarang tindakan.

Justeru, Majlis Peguam Malaysia telah mengerahkan anggotanya supaya berkumpul di Kelab Taman Perdana Diraja dan akan berjalan kaki menuju ke Parlimen sebagai menunjukkan bantahan mereka meskipun bersetuju membuat beberapa pindaan kecil.

Perarakan yang dinamakan ‘Walk for Freedom’, akan menyaksikan peguam-peguam berjalan sejauh kira-kira dua kilometer menuju ke bangunan Parlimen bermula jam 11.30 pagi ini.

Sebuah lagi kumpulan pendesak 'Occupy' juga dilapor akan berhimpun selama tiga hari berturut-turut di hadapan bangunan Parlimen bagi menunjukkan bantahan yang sama.

LAPORAN LANGSUNG
1:05pm Kumpulan NGO itu berteduh di bawah pokok, sementara hadirin Majlis Pehuam yang jauh lebih besar itu masih lagi bertenaga dan melaungkan 'Hidup Rakyat, Hidup Himpun' beberapa kali, tanpa henti.

Kumpulan NGO itu, membisu tanpa sebarang laungan.

Sebelum itu, kenderaan yang lalu lalang sekitar jalan di sini, turut membunyikan hon kepada hadirin Majlis Peguam sebagai tanda sokongan.

Kelihatan juga beberapa ahli parlimen hadir ke sini, antaranya Tian Chua dan Mujahid Yusuf Rawa sebagai tanda sokongan mereka.

12:55pm Peserta kumpulan itu yang sekarang berjumlah kira-kira 100 orang membakar kemeja T berwarna kuning. Polis bertindak menghalang mereka.

12:50pm Wakil NGO yang menentang itu, Zulkifli Sharif memberitahu wartawan mereka melancarkan perhimpunan hari ini bagi membalas perhimpunan Majlis Peguam yang didakwa mempunyai agenda politik.

"Kami nampak kumpulan Majlis Peguam memegang poster yang menggalakkan seks bebas,” katanya.

12:48pm Sekumpulan kecil peguam yang diketuai oleh Lim berjaya sampai di bangunan Parlimen.

12.45pm: Kumpulan Majlis Peguam dan Jaringan Melayu Malaysia sampai di sebuah jambatan yang menghubungkan pintu masuk ke Parlimen.

Kedua-dua kumpulan berada di jalan bersebelahan. Kumpulan Jaringan Melayu Malaysia itu dipercayai adalah anggota Persatuan Veteran Tentera Malaysia, Majlis Ayahanda Malaysia dan Gerakan Memartabatkan Perjuangan Negara.

Kumpulan Majlis Peguam terus melaungkan: "Bebas, bebas! Bebas himpun!"

Manakala Jaringan Melayu Malaysia membalas dengan: "Kami tentang seks bebas!" dan “Amar Makruf Nahi Mungkar.”

12:35pm Peguam dan orang ramai yang berarak mula sampai di persimpangan jalan masuk ke Parlimen. Polis mengarahkan mereka untuk memberi laluan kepada kenderaan yang menuju ke parlimen.

Mereka mematuhi arahan itu.

Lim Chee Wee bersama sembilan lagi wakil Majlis Peguam bersiap sedia untuk memasuki bangunan Parlimen bagi menyerahkan nota bantahan mereka.

Orang ramai yang berkumpul mula bernyanyi. Antaranya, lagu Rasa Sayang dan diselangi dengan laungan “hidup rakyat” berulang kali.

12:30pm Jumlah hadirin kini mencecah lebih 1,000 orang dan mereka mula berarak ke arah bangunan Parlimen dengan diketuai oleh presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee. Sambil berarak mereka juga melaungkan "bebas himpun, bebas rakyat.

12:15pm Sekumpulan belia yang berpakaian hitam kelihatan berkeliran dari jauh berhampiran kumpulan itu. Apabila ditanya tujuan mereka ke mari, mereka enggan mengulas tetapi hanya berkata: “Kami pelindung YB”.

12:07pm Giliran seorang lagi bekas pemimpin Majlis Peguam Yeo Yang Poh berucap. Beliau mengetuai pasukan peguam yang merangka undang-undang alternatif bagi Akta Perhimpunan Aman.

"Kami (rangka Rang Undang-undang alternatif) bukan kerana ia memerlukan ubah-suaian tetapi (kerana) asas-asasnya adalah salah. Jika undang-undang ini diluluskan oleh British pada sekitar tahun 1940-an dan 1950-an, kita tidak akan mencapai kemerdekaan."

11.59am: Setiausaha Majlis Peguam, Tony Woon Yeow Thong memberitahu orang ramai bahawa kerajaan tidak mengotakan janji-janji mereka. Semasa berunding, kerajaan berjanji kepada Majlis Peguam bahawa piawaian antarabangsa berhubung hak asasi manusia akan dipatuhi.

11.56am: Di bangunan Parlimen, ahli parlimen DAP bagi kerusi Sibu, Wong Ho Leng menunggu kehadiran peguam dan orang ramai di pintu masuk.

NONE"Bagaimana Rang Undang-undang ini boleh diluluskan? Gila!,” katanya kepada wartawan dan berkata beliau akan membawa masuk beberpa penunjuk perasaan masuk ke Dewan Rakyat.

Setiap ahli parlimen dibenarkan membawa masuk lima tetamu mereka ke bangunan itu.

11:55am Peguam Edmund Bon mengetuai orang ramai sambil melaungkan "Bebas, bebas, bebas himpun, bebas rakyat." Ini sambut oleh orang ramai yang turut melaungkan slogan sama dan tepukan gemuruh.

11:50am Jumlah hadirin semakin ramai dan dianggarkan melebihi 500 orang.

11:47am Anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusian (Suhakam) kelihatan memantau perhimpunan hari ini.

Di bangunan Parlimen, polis mula mendirikan sekatan jalan di pintu masuk bagi persiapan berdepan dengan peguam dan orang ramai yang akan berarak itu.

11:35am Ketua Jawatankuasa Perlembagaaan, Majlis Peguam Syahrezan Johan berkata kepada kira-kira 300 orang yang kini hadir: Perarakan hari ini bukan kerana politik, tetapi tindakan tergesa-gesa mereka (kerajaan) cuba meluluskan undang-undang itu yang bertentangan dengan hak perlembagaan rakyat.”

Menurut Syahrezan, jika rang undang-undang itu diluluskan, peruntukannya akan disalah-guna.

Beliau menyenaraikan situasi di mana orang ramai tidak dibenarkan berhimpun dan setiap satu situasai yang disebutkannya itu sisambut dengan jeritan ‘boo’ para hadirin.

"Tahukah anda, kita juga tidak boleh berhimpun di ibu pejabat Majlis Peguam kerana ia terletak 50 meter daripada sebuah jambatan?”

"Kami telah gubal Bil alternatif yang lebih baik dan ini dilakukan dalam masa tiga hari. Kami minta kerajaan mempertimbangkannya kerana ia memberi makna kepada ucapan Hari Malaysia oleh PM.”

11:31am Lim Chee Wee memulakan ucapannya kepada hadirin.

11:29am Beberapa poster berwarna kuning dikibarkan. Antaranya berbunyi: 'Kill the Bill' dan 'Bebas Himpun, Bebas Rakyat'.

11:23am Jumlah hadirin bertambah kepada kira-kira 200 orang. Masih tiada kelihatan kehadiran anggota polis kecuali seorang polis trafik.

Antara yang hadir juga termasuk ahli parlimen Segambut Lim Lip Eng dari DAP yang juga seorang peguam dan Kua Kia Soong dari Suaram. Beberapa aktivis kempen Anti-Lynas juga kelihatan bersama kumpulan ini.

11:20am Anggota Jawantakuasa Pusat PAS, Hanipa Maidin yang juga seorang peguam dan ahli parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin juga hadir.

11:16am Majlis Peguam mengedarkan draf 18 muklasurat Akta Perhimpunan Aman versinya kepada media.

11:14 am: Lim Wee Chee memberitahu wartawan asing bahawa penubuhan Malaysia juga adalah berdasarkan demonstrasi jalanan.

"Rang Undang-Undang ini bakal merampas akta yang memberikan kita kemerdekaaan negara.”

11.10am: Ambiga memberitahu wartawan: "Saya harap kerajaan akan mengkaji semula Rang Undang-undang itu. Tidak perlu tergesa-gesa.”

Naib presiden PKR N Surendran dan ketua penerangan PKR Latheefa Koya juga kelihatan bersama - kedua-dua mereka adalah peguam.

11:05am: Seorang anggota polis trafik tiba bagi mengawal lalu lintas.

11:03am Jumlah hadirin semakin bertambah dan kini dianggarkan 100 orang. Peguam berpakaian sut manakala penyokongnya berbaju kuning.

11:01am Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee berkata beliau akan berucap pada hadirin pada jam 11.30 pagi. Perarakan akan bermula pada jam 12.30 tengahari.

11:00am Bekas presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan tiba.

10:56am: Beberapa kereta peronda melalui kawasan sekitar tetapi tidak berhenti. Jumlah mereka yang berkumpul dianggar sekitar 80 orang.

10:48am Setakat ini, kira-kira 40 orang peguam, sedang berhimpun di luar jalan menunju Kelab Taman Perdana Diraja. Turut menunggu adalah orang ramai yang bercadang untuk berarak bersama Majlis Peguam.

10:45am Seorang anggota sekretariat memaklumkan kepada wartawan bahawa tempat berkumpul telah ditukar ke jalan tempat masuk Kelab Taman Perdana Diraja yang terletak kira-kira 300 meter. Wartawan mula meninggalkan lokasi sekarang.

10:38am Wartawan mula berkumpul di Kelab Taman Perdana Diraja. Hanya bilangan kecil peguam berada di sini.

Tiada anggota polis juga dikesan, meskipun kira-kira 10 orang sebelum ini kelihatan sekitar Tugu Negara yang terletak di jalan bersebelahan.

10:05am Kira-kira 40 anggota polis termasuk pasukan pertahanan awam kelihantan mengawal pintu masuk utama Parlimen.

10:00am Tinjauan Malaysiakini mendapati, belum ada sekatan jalan raya. Trafik lancar termasuk jalan menuju ke Kelab Taman Perdana Diraja. -mk













Imbas kembali











Azan Selamat Nyawa Guru

Melaka: “Saya terkejut apabila kereta terus berhenti secara mengejut dan melihat kira-kira 20 batang besi yang diikat menembusi ke dalam kereta hingga mengenai gear automatik kereta,” kata Faridah M Lajis, 40, yang terselamat dalam kemalangan membabitkan sebuah lori membawa muatan besi di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) berhampiran pasar raya Tesco, dekat sini, petang kelmarin. Gambar fail.

Difahamkan, kejadian dipercayai berpunca apabila kira-kira 20 batang besi dibawa lori satu tan dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 30-an itu tidak diikat dengan kemas sehingga ia terhumban menembusi cermin belakang kereta berkenaan.

Mangsa yang juga guru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sharifah Rodziah, Telok Mas, berkata ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Duyong, dekat sini, selepas menghadiri mesyuarat berkenaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, sebelum kejadian kereta dipandunya di lorong kanan Lebuh AMJ bergerak perlahan apabila menghampiri persimpangan Melaka Sentral diekori lori berkenaan yang sarat dengan muatan besi.

“Saya dari Sekolah Menengah Sri Tanjung, Klebang dan sebaik tiba di tempat kejadian semua kenderaan dipandu perlahan kerana ia berdekatan persimpangan dan tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman kuat sebelum telinga berasa berdesing,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurut ibu kepada tiga cahaya mata itu, terkejut dengan kejadian itu dia kemudiannya melihat ke bahagian belakang kereta dan mendapati sebahagian besi itu menembusi keretanya.

Katanya, panik dengan kejadian itu, dia segera menelefon ayah dan suaminya mendapatkan bantuan.

“Jantung saya seperti nak gugur apabila melihat besi itu nyaris kena saya. Mujur ketika kejadian saya bersandar di tingkap untuk mendengar azan.

“Syukur Tuhan masih memberi kesempatan kedua kepada saya, selamat daripada kemalangan ini adalah hadiah paling istimewa dalam hidup kerana esok (hari ini) adalah hari lahir saya,” katanya. -HM

Rakyat Selangor Nikmati Wi-fi Percuma Tahun Depan

Langkah Kerajaan Selangor memperkenalkan Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) perlu diteruskan dalam bentuk menyemarakkan penyampaian informasi dengan memperkenalkan Agenda Masyarakat Berinformasi, Negara Demokratik.

Pembahas Selangor yang juga Adun Rawang, Gan Pei Nei mencadangkan agar pimpinan negeri yang diketuai oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdu Khalid Ibrahim merangka strategi informasi ini sebagai langkah penerangan kepada masyarakat yang lebih konprehensif.

"Agenda ini membawa misi untuk mewujudkan masyarakat yang demokratik, bebas, dengan menyalurkan ilmu, berita dan informasi yang berdasarkan fakta dan kebenaran, bukannya politik fitnah yang telah menjadi budaya Umno-BN," katanya.

Setakat ini, kerajaan negeri Selangor menyampaikan segala informasi mengenai program kepada rakyat melalui portal TV Selangor dan akhbar Selangor Kini serta Selangor Times.

Selain itu, beliau berkata kerajaan Selangor akan menyediakan perkhidmatan Wi-fi dan Broadband di seluruh negeri pada tahun hadapan yang merangkumi kawasan bandar dan luar bandar secara percuma.

Katanya tujuan penyediaan mekanisma perhubungan ini akan membukaan minda rakyat dengan informasi yang benar memberikan ruang kepada semua pihak mengemukakan idea baru dan tidak terkongkong dengan propaganda Umno- BN, ujar beliau lagi.

"Kerajaan Selangor juga harus memberikan komputer percuma kepada golongan belia dan memberikan kursus dalam bidang ini untuk menguasai informasi dan teknologi terkini dalam dan luar negara," katanya.

Dibawah cadangan ini, semua pihak termasuk pimpinan negeri dan masyarakat perlu membuat satu perbincangan dan dialog terbuka setiap minggu bermula tahun hadapan diseluruh 56 Dun Selangor agar maklum balas dan suara hati rakyat dapat di dengar dan dasar kerajaan dapat diperjelaskan. -tvsnews

Masalah Air Kelantan: Menangkis Penipuan Muhyiddin

Janji TiPU untuk orang Kelantan

Sama seperti sebelum ini, setiap kali menjelang pilihan raya, pelbagai janji-jani ditaburkan bagi memancing undi pengundi di negara ini.

Menaburkan janji dalam politik Malaysia bukanlah sesuatu yang baharu, ia telah lama diamalkan khususnya bagi pihak yang memiliki kuasa lantaran merasakan dengan kuasa yang adalah yang memberi mereka keupayaan untuk melaksanakan janji.

Adakala janji-janji yang ditaburkan ini akhirnya berjaya memberikan pulangan dan tidak kurang juga janji yang akhirnya memakan diri sendiri.

Bagi sesetengah pihak pula, ada yang menganggap janji-janji yang ditawarkan ini lebih merupakan janji golongan terdesak untuk mendapatkan sokongan rakyat dalam pilihan raya.

Lazimnya janji-janji yang ditaburkan ini turut memberi persepsi sebagai satu rasuah politik dan juga ugutan terhadap pengundi.

Umno-Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah parti politik yang paling berkuasa dalam negara turut tidak ketinggalan dalam menaburkan janji setiap kali musim pilihan raya berlangsung samada pilihan raya kecil atau pun umum.

Analisa janji TiPU selesaikan masalah air

Kali ini, giliran Timbalan Presiden Umno (TiPU), Muhyiddin Yassin pula mengambil giliran berjanji rakyat Kelantan agar memberikan kemenangan BN di Kelantan jika mahukan masalah air di Kelantan diselesaikan.

Bagaimanapun, bagi rakyat Kelantan yang mungkin cepat tersinar dengan janji-janji TiPU ini, adalah amat wajar terlebih dahulu melakukan analisa prestasi BN dalam menguruskan bekalan air di negeri-negeri yang mereka kuasai.

Di Sabah contohnya yang merupakan kubu kuat BN sehingga dianggap sebagai negeri simpanan tetap yang sentiasa tidak menghampakan untuk BN menjamin kemenangan mereka, adakah pengurusan airnya berada di tahap nombor satu terbaik?

Sekiranya, analisa mendapati rakyat negeri Sabah menikmati bekalan air bersih paling sempurna, tiada pencemaran dan liputan bekalan air mencapai sehingga 99 peratus dari keseluruhan Sabah, maka pengundi Kelantan amat wajar untuk memegang janji TiPU itu.

Kesimpulannya, sekiranya bekalan air di Sabah seperti yang dinyatakan di atas, maka rakyat Kelantan dianggap tidak wajar sekiranya masih teragak-agak untuk memberi undi kepada BN.

Bagaimana pula sekiranya analisa dibuat didapati dalam Audit Air menyatakan bekalan air di Sabah hanya mampu meliputi 75 peratus sahaja dari keseluruhan negeri di bawah bayu itu?

Adakah sekiranya BN menjadikan faktor geografi sebagai alasan, ianya boleh diterima sedangkan pada masa yang sama berbilion ringgit boleh dibazirkan setiap tahun bagi projek mega lain.

Faktor geografi sebagai alasan

Bolehkah alasan geografi diterima apabila kemajuan teknologi masa kini menyaksikan banyak projek merentasi hutan, bukit-bukau, kawasan pergunungan dengan jarak beratus-ratus kilometer berjaya dilaksanakan bukan sahaja di negara luar malah di Semenanjung Malaysia.

Kalau projek yang melibatkan struktur yang besar boleh dilakukan mengapa tidak projek yang hanya melibatkan sambungan paip bagi menyalurkan kepentingan asasi rakyat tidak boleh.

Bagaimana pula sekiranya dari 75 peratus itu juga didapati, kualiti air mentahnya buruk, loji rawatan air tidak dilengkapi peralatan, makmal dan kakitangan yang berkelayakan seperti sepatutnya?

Bagaimana lagi sekiranya dari 75 peratus kawasan yang menerima bekalan air itu juga didapati amat jauh dari mematuhi standarad piawaian pengurusan air?

Bagaimana sekiranya didapati pemfloridaan tidak mencukupi, dan pembersihan tangki-tangki atau kolam di loji tidak dijalankan dengan sempurna dan terancang?

Bagaimana sekiranya di Sabah tiada stesen percontohan air yang sempurna, program jaminan kualiti air Sabah tidak memuaskan seperti komen yang dinyatakan dalam Audit Air 2008?

Bagaimana pula sekiranya 75 peratus pengguna di kawasan penerima bekalan air yang kualitinya tidak terjamin itu terpaksa membayar tarif air tertinggi di Malaysia iaitu 90 sen?

Cuba periksa pula, berapakah tarif purata bagi 35 meter padu air bagi sebuah lagi negeri yang juga sama seperti Sabah, kubu kuat BN iaitu Johor dengan purata 93 sen untuk satu liter padu.

Untuk menilai samada janji TiPU ini boleh diguna pakai dalam menentukan undian rakyat Kelantan, mereka juga harus mengetahui di Sabah masih banyak kawasan yang masih bergantung bekalan air dari sumber air paip graviti yang tidak dirawat?


Mereka juga harus mengetahui bahawa terdapat sumber air paip graviti ini datangnya dari kawasan yang telah dijadikan ladang kelapa sawit, keruh, kemungkinan telah tercemar dengan baja, racun rumput, keladak pasir dan tanah.

Tahukah pengundi di Kelantan bahawa masyarakat kampung-kampung di Sabah yang bergantung sumber air dari paip graviti yang dimulakan semenjak 70an dahulu terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membiayai kos penyelenggaraan.

Wajar juga rakyat Kelantan memikirkan adakah kerajaan pusat tidak boleh berbuat apa-apa atau sekurang-kurangnya membantu kerajaan negeri disebabkan tidak mempunyai kuasa untuk mengatasi masalah air di Kelantan.

Berapa PRU BN janji nak selesai masalah air di Sabah?

Satu perkara yang tidak kurang juga pentingnya, rakyat Kelantan wajiblah bertanyakan kepada rakan-rakan di Sabah, pernahkah atau sudah berapa banyak pilihan raya umum (PRU) BN berjanji untuk menyelesaikan masalah air bagi membeli undi pengundi Sabah sebelum ini.

Setelah pengundi-pengundi di Kelantan selesai membuat analisa persoalan-persoalan di atas, tentunya mereka mampu menilai dan mendapat jawapan samada janji TiPU ini boleh dipercayai atau sebaliknya sekaligus menentukan lambang mana yang mahu dipangkah nanti.

Penulis tidaklah maksudkan janji yang dilafazkan oleh TiPU ini adalah tipu, sebaliknya penulis hanya cuba mengajak pengundi Kelantan sama-sama menganalisa samada janji ini mempunyai nilai kredibilitinya atau sebaliknya.

Negeri Kelantan, rakyat Kelantan punya, maka rakyat Kelantan berhak menentukan pilihan mereka samada BN atau PAS dan saya hanya cuba membantu mereka membuat sedikit analisa janji-janji TiPU ini. Tepuk dada tanya selera! -FMT