20 Jun 2013

Jalankan Undi Rahsia Untuk Jawatan Speaker Atau Hadapi 'Perang Besar'

Blok pembangkang memberi amaran untuk memberi tentangan keras sekiranya pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 24 Jun tidak dijalankan melalui secara undi rahsia.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Parlimen akan berdepan dengan "perang besar" dari blok pembangkang sekiranya tuntutan itu tidak dipenuhi.

"Kalau kamu gagal bersikap jujur dalam Parlimen, kamu nak langgar pemilihan Speaker, kamu berdepan dengan perang besar pada 24 Jun ini," katanya.

Beliau mensasarkan amaran tersebut kepada sekretariat Parlimen, yang akan menjalankan pengundian tersebut.

Bercakap dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, Anwar sekali lagi menekankan bahawa gabungan parti itu mahu bekas hakim Mahkamah Persekutuan Abdul Kadir Sulaiman dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Pakatan juga akan mencadangkan ahli parlimen Tumpat Datuk Kamruddin Jaafar untuk jawatan timbalan speaker.

Anwar berkata Pakatan dimaklumkan tempoh speaker bagi sesi lalu akan tamat pada 23 Jun ini.

Menurutnya lagi, Pakatan Rakyat secara konsensus meminta beliau menyambung sebagai ketua pembangkang di Dewan Rakyat

Anwar turut mengulangi bahawa ahli parlimen Pakatan Rakyat akan hadir dalam majlis angkat sumpah bagi menghormati Yang di-Pertuan Agong yang akan merasmikan sesi parlimen kali ini. -mk


PR cadang MP Tumpat sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat


Pakatan Rakyat memutuskan untuk mencalonkan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar (gambar) sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Keputusan tersebut diputuskan pada mesyuarat mingguan Pakatan Rakyat di Pejabat Agung PAS sebentar tadi.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjelaskan demikian pada sidang media, percaya langkah itu sejajar dengan peningkatan bilangan komposisi Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan akan meningkatkan lagi kualiti amalan demokrasi di negara ini.

"Pada mesyuarat tadi kita telah memutuskan untuk mencalonkan Ahli Parlimen Tumpat sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi sesi kali ini.

"Kita berharap bagi membantu Yang Dipertua dalam urusan mengendalikan persidangan seorang timbalan hendaklan dipilih dari kalangan seorang Ahli Parlimen Barisan Nasional dan juga Pakatan Rakyat," jelasnya.

Dalam pada itu beliau mengulangi Pakatan Rakyat juga turut bersetuju untuk menamakan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman sebagai Yang Dipertua bagi Parlimen Ketiga Belas.

Menurutnya surat cadangan bagi jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu telah dihantar oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pada 10 Jun lalu.

"Bagi memantapkan lagi proses demokrasi negara ini dan memastikan perbahasan di Dewan Rakyat berlangsung dengan telus dan adil, Pakatan Rakyat mencadangkan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan sebagai Yang Dipertua.

"Cadangan ini apabila kita melihat ketelusan beliau yang tidak memihak dengan mana-mana politik atau pihak dan kami yakin beliau dapat menjalankan tugas dengan baik pada persidangan kali ini," sambungnya.

Anwar berkata, Pakatan Rakyat menegaskan bahawa Yang Dipertua Dewan Rakyat mesti dilantik dari kalangan seorang yang bebas, berkecuali tanpa parti, berwibawa dan berkelayakan untuk berkhidmat.
- HD

[BLACK 505] Final Countdown Malam Esok Di KLSCAH


Gabungan ‘Suara Rakyat 505’ mengadakan siri jelajah ke seluruh negara dengan menganjurkan flashmob bermula 15 Jun lalu dan kemuncaknya adalah pengiraaan detik akhir (final countdown) pada malam esok, 21 Jun. Malam kemuncak itu akan diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, di mana hadirin akan diberi penerangan bagi menghadapi himpunan di Padang Merbok keesokan harinya. Menurut kenyataan dikeluarkan Suara Rakyat 505, gabungan itu juga akan menubuhkan sebuah pasukan sukarela bagi menggembleng kekuatan rakyat pada himpunan itu. “Kami menegaskan bahawa hak untuk berhimpun secara aman adalah hak rakyat yang diperuntukkan oleh perlembagaan, khususnya bagi menyuarakan kepincangan yang berlaku dalam negara. “Hak ini tidak wajar dicabuli dan tidak boleh dihalang oleh pihak berkuasa termasuklah DBKL. Justeru, kami tetap akan teruskan perhimpunan di Padang Merbok walaupun mendapat halangan DBKL,” kata penganjur.

[WASPADA] Jangan Mudah Terpedaya Dengan Kenalan FB


Marang - Terpesona dengan kenalan cinta Facebook, seorang jurujual perempuan berusia 17 tahun menjadi mangsa rogol lelaki yang dikenalinya melalui laman sosial itu di sini, Isnin lalu.

Difahamkan, mangsa yang tinggal di Marang, Terengganu itu mula mengenali lelaki terbabit kira-kira dua bulan lalu dan suspek mengajak mangsa keluar makan bersamanya kira-kira jam 11 malam.

Bagaimanapun lain pula jadinya apabila suspek membawa mangsa ke sebuah bangsal di Kampung Bukit Parit di Marang untuk melakukan adegan ‘ringan’ sebelum mengajak mangsa melakukan hubungan seks.

Mangsa menolak ajakan itu, namun suspek tetap berdegil dan tidak mempedulikan rayuan mangsa dan bertindak merogolnya.

Lebih malang, seorang lagi lelaki yang dikenali suspek tiba-tiba muncul selepas itu dan turut merogol mangsa secara bergilir-gilir termasuk meliwat mangsa.

Suspek kemudiannya menghantar mangsa pulang ke Kuala Terengganu kira-kira jam 2 pagi pada Selasa lalu.

Berikutan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K Manoharan ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan kejadian.

Polis juga telah menahan seorang individu di Kampung Bukit Parit, di sini untuk siasatan lanjut. -SH

Pelatih PLKN Lahir Bayi Lelaki Di Tandas Kem

Muar - Seorang pelatih yang sedang menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Sri Ledang, Jementah, Segamat melahirkan seorang bayi lelaki dalam tandas kem tersebut hari ini.

Pengurusan kem tersebut yang menyedari remaja berkenaan melahirkan bayi dalam tandas pada kira-kira pukul 3 pagi segera mengejarkan ibu berusia 18 tahun itu bersama bayi seberat 2.7 kilogram ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini.

Bagaimanapun, bayi lelaki tersebut meninggal dunia tidak lama selepas itu, manakala keadaan ibu muda terbabit dalam yang sedang dirawat tidak membimbangkan.

Pengarah hospital Dr Selahudeen Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan ada menerima seorang pesakit remaja bersama bayi lelaki.

"Kita akan menjalankan bedah siasat ke atas bayi itu esok untuk mengenalpasti punca kematiannya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Supt Harun Idris ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian tersebut. - Bernama

Mahkamah Diminta Batal Lantikan 5 Senator


Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran semalam memfailkan permohonan untuk Semakan Kehakiman terhadap lima ahli BN yang memegang jawatan dalam Kabinet.

Menurutnya, semakan itu dibuat berikutan kes Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Datuk Paul Low Seng Kuan yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri tidak sah mengikut undang-undang di bawah Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Sementara tiga timbalan menteri yang dilantik dalam Kabinet, Waythamoorthy Ponnusamy, Dr Loga Bala Mohan Jaganathan dan Ahmad Bashah Md Hanipah tidak berhak menyandang jawatan tersebut mengikut undang-undang yang sama.


Tambahnya, pelantikan jawatan di Kabinet perlu dipilih daripada ahli Dewan Negara atau ahli Parlimen yang menang pilihan raya lalu atau mengangkat sumpah sebagai Senator.

"... jelas menunjukkan undang-undang tersebut seseorang yang dilantik menjadi menteri atau timbalan menteri perlulah menjadi ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat atau seorang senator.

"Mengikut pelantikan kelima-lima orang ini, nampaknya kehendak Perlembagaan tidak diikuti dan saya hairan walaupun PRU sudah kali ke-13, berapa ratus menteri telah dipilih dan dilantik, kesilapan demikian boleh dilakukan lagi," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kulasegaran yang juga naib presiden DAP berkata, melalui permohonan itu kesemua mereka yang terlibat perlu mengembalikan semula anugerah, keistimewaan dan kelebihan kewangan yang diperolehi semasa dilantik menjadi ahli Kabinet.

"Mereka perlu kembalikan segala kelebihan yang diperolehi selepas dilantik menjadi menteri atau timbalan menteri selepas menerima notis tujuh hari selepas tarikh perintah diperolehi," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau juga menggesa pihak ekemnterian dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak memohon maaf kepada rakyat kerana kesilapan yang dilakukan mengenai perkara tersebut selepas mengetahuinya.

"Saya berharap selepas menteri yang terlibat atau Najib mendengar perkara ini, mereka akan meminta maaf kepada rakyat.

"Ini adalah kes pertama pada pengetahuan kami, ia tak pernah berlaku sebelum ini, ini memalukan," katanya.

[VIDEO] Berkumpul Di 7 Check Point Sebelum Ke Padang Merbok Pada 22 Jun


Peserta perhimpunan aman #Blackout505 Sabtu ini diseru agar berkumpul di tujuh ‘check point’ sebelum bergerak bersama pemimpin Pakatan Rakyat dan badan bukan kerajaan (NGO) ke Padang Merbok pada hari tersebut.

Tujuh ‘check point’ tersebut adalah :

1) Brickfields diketuai Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia, S Arulchelvan dan Pemimpin Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Marina Chin.

2) Masjid Negara – Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, MP Shah Alam Khalid Samad

3) Jalan Pudu – Timbalan Pengerusi DAP, Tan Kok Wai, Setiausaha Organisasi Parti DAP, Anthony Loke, Ketua Gerakan anti Lynas, Wong Tack, Koordinator Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin.

4) Jalan Raja Laut (ibupejabat Pas) – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

5) Jalan Raja Laut (Sogo) – Naib Presiden PKR Tian Chua, bekas-bekas pesara tentera

6) Universiti Malaya – aktivis mahasiswa Safwan Anang dan Adam Adli, Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin, Ketua Pemuda PAS Nasruddin Hassan

7) Pekeliling – Naib Presiden PAS Salehuddin Ayub dan NGO ANAK.

Kumpulan-kumpulan tersebut akan bergerak ke Padang Merbok selepas solat Zohor dan bergabung di padang tersebut kira-kira jam 2.00 petang.

Demikian menurut MP Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dalam sidang media di ibu pejabat PKR di sini pagi tadi.