17 Feb 2011

Dilemma Melayu Disebabkan Tak Percaya Kebaikan Islam - Nik Aziz

Nik Aziz: Tidak percaya kebaikan Islam, Umno sesatkan bangsa

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata kegelishan atau dilema di kalangan rakyat pelbagai kaum negara ini termasuk orang Melayu sendiri berpunca daripada “Umno yang menolak perjuangan berasaskan bangsa.”

Sehubungan itu kata Mursyidul Am PAS, akhirnya Umno yang menyesatkan bangsa itu sendiri akibat tidak percayakan kepada kebaikan ajaran agamanya sendiri.

Menteri Besar Kelantan ini berkata, tidak timbul isu dilema Melayu atau dilema mana-mana kaum apabila persoalan bangsa dan perjuangan sesuatu kaum itu berteraskan kepada ajaran Islam.

Katanya, apa yang penting diamalkan ialah semua menjadi hamba abdi kepada Allah dan sebagaimana seruan azan memanggil solat , disebutkan “Allahu Akbar”, maka yang maha besar ialah Allah bukannya Melayu atau Cina atau India.

“Sementara dalam bacaan tahyat dan salam terangkum maksud memuliakan Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad serta ucapan selamat kepada seluruh bangsa di dunia ini.

“Maka inilah kehebatan faedah ibadat dan muamalat yang digabung dalam solat gunanya untuk dipraktikkan dalam kehidupan manusia,” kata beliau dalam tulisan terbaru blognya.

“Sekali lagi diulangi, tidak timbul langsung dilema Melayu di sisi Islam. Ini kerana Islam sudah menyediakan ramuan yang cukup untuk dijadikan panduan hidup bagi mencapai keamanan, kedamaian serta kemakmuran di dunai sampai ke akhirat,” katanya.

Pada hari yang sama semalam, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sambil mengakui pengetahuan agama Nik Aziz lebih “dalam”, tetapi menggesa agar Menteri Besar Kelantan itu berhenti daripada menyalah guna dan menyalah tafsir Islam demi kepentingan politik diri sendiri.

“Saya akui pengetahuan agama Nik Aziz dalam tetapi alangkah baiknya jika Nik Aziz berhenti daripada menyalahguna dan menyalah tafsir Islam demi kepentingan politik diri sendiri.

“Tidak ada sesiapa yang dapat lari daripada hari pengadilan yang dijanjikan oleh Allah s.w.t.,” kata Dr Mahathir dalam jawapan panjang lebar menjawab tulisan Nik Aziz awal bulan ini.

Justeru kata bekas presiden Umno ini, “bertaqwalah kepada Allah s.w.t. dan hentikanlah mengeliru umat Islam di Malaysia kerana ingin menang pilihan raya.”

Awal bulan ini, Nik Aziz menjawab tuduhan Dr Mahathir ke atasnya dengan menegaskan, Umno yang selama ini “menzalimi orang-orang Melayu” dan menafikan beliau menjadi punca perpecahan orang Melayu Islam negara ini.

Dalam tulisan kali ini, Nik Aziz menambah, amatlah malang jika rakyat negara ini terus engkar dengan mengagung-agungkan bangsa sedangkan ia bukan ajaran Nabi.

Kata beliau, seharusnya rakyat tidak boleh melakukan suatu seruan perjuangan yang bercanggah dengan maksud surah Al-Fatihah (ayat 5-7).

“Caranya, kita tidak boleh menerima seruan perjuangan Melayu yang menolak Islam. Bila tolak Islam maknanya terima ajaran sekular.

“Atas sifat sekular, mereka itu akan terus berbelit-belit hinggalah sanggup duduk di atas prinsip agama lain (suku), politik lain (suku),” katanya lagi.

Lalu kata Nik Aziz, timbul ajaran yang asing dari Islam, antaranya mengajar umat Islam supaya “tidak bawa politik ke masjid kerana masjid itu tempat beribadat.”

“Apakah ajaran seperti ini pernah diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w? Sebenarnya, Nabi sendiri tidak pernah ajar supaya perkara politik itu disebut di luar masjid,” katanya lagi.

“Demikian pula, khutbah Jumaat atau khutbah hari raya merupakan ceramah mingguan atau musim perayaan di atas mimbar masjid juga menyentuh semua perkara yang relevan dengan kehidupan manusia.

“Maknanya dalam masa berkhutbah, pihak khatib adalah penceramah yang menyampaikan seruan Islam demi kebaikan sistem hidup yang lengkap termasuk aspek sosial, ekonomi dan politik,” katanya.

Nik Aziz seterusnya menulis, maka terimalah perjuangan Islam dan tinggalkan perjuangan sekular, sekali gus “sudah tentu kita tidak akan berdilema dengan identiti siapa kita.”

Tulisan Nik Aziz kali ini bermula dengan isu Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang menurutnya, kegagalan polisi itu pada 1990 adalah tercatat dalam sejarah.

Kata beliau, hakikatnya pelaksanaan DEB menyebabkan Bumiputera tidak kemana, melainkan ada segolongan sahaja yang mengecapi nikmat.

“Tetap sasaran pemilikan kekayaan negara hanya 18 daripada 30 peratus yang disasarkan. Kenapaa gagal? Dr. Mahathir selaku perdana menteri masa itu ada jawapan sebenar. Habis kenapa Dr. Mahathir sembunyi punca?” katanya lagi.

Justeru kata Nik Aziz, sementara umat Islam menyambut Maulidur Rasul maka sepatutnya mengambil ajaran Nabi iaitu mengajar agar menjalin persaudaraan dan berkasih sayang.

“Nabi tidak ajar kita supaya mementingkan bangsa. Justeru tidak harus kita mengungkitkan soal dilema atau tidaknya bangsa kita,” katanya.

Kata Nik Aziz, apabila disebutkan kepentingan satu-satu bangsa, sudah tentu akan ada bangsa lain yang sensitif dan berdendam.

“Maknanya bila diutamakan kepentingan orang Melayu, sudah tentu orang Cina dan India akan berdendam kerana inginkan kepentingan yang sama.

“Atas dasar inilah Islam mengajar kita mengutamakan persaudaraan. Lantaran atas nama bangsa akan timbul apa sahaja tindak balas berupa dendam kesumat,” katanya lagi. -TMI

Honda Malaysia Panggil Balik Ribuan Kereta Honda City, Jazz

23,636 Honda City, Jazz dipanggil balik

KUALA LUMPUR: HONDA Malaysia Sdn Bhd memanggil balik 23,636 unit kenderaan jenama itu bagi menggantikan ‘lost motion springs’ dan ‘retainers’ yang menjadi punca enjin berbunyi bising dan berpotensi menyebabkan ia terhenti.

Ketua Eksekutif dan Pengarah Urusannya, Yoichiro Ueno, berkata daripada jumlah itu, 21,956 unit membabitkan model City keluaran 2009 dan 1,680 unit lagi model Jazz keluaran 2009 dan 2010.

Bagaimanapun, beliau berkata, model Honda yang dijual dalam pasaran ketika ini tidak terbabit berhubung masalah berkenaan.


Honda tarik ribuan kereta

Perusahaan automatif Jepun, Honda mengumumkan menarik hampir 700 ribu unit kereta keluannyanya di seluruh dunia akibat komponen yang cacat.

Masalah ini terkait dengan pegas yang mungkin menyebabkan enjin tidak lancar.

Honda menyatakan belum ada laporan mengenai kecelakaan akibat cacat komponen mesin ini.

Wartawan BBC Roland Buerk di Tokyo melaporkan Honda menyatakan sebahagian besar dari 693,000 kereta keluarannya yang ditarik beredar di Asia, tapi kenderaan yang mengalami cacat komponen itu juga dijual di beberapa bahagian lain dunia.

Produk kereta Honda yang ditarik adalah Freed, Fit yang juga dikenal sebagai Jazz di beberapa negara, dan City.

Perusahaan Jepun itu menyatakan pihaknya perlu memperbaiki komponen pegas di mesin yang suatu ketika mungkin bengkok atau patah.

Pegas bermasalah tersebut menimbulkan suara mesin yang aneh dan dalam kes paling serius, komponen tersebut boleh menyebabkan kereta terhenti.

Honda menyatakan telah menerima ratusan aduan dari pengguna.

Sebagian besar pengaduan itu dilaporkan oleh pengguna di Jepun sendiri. -BBC


Suruhanjaya Siasatan Teoh Hilang Kredibiliti: Selangor Turut Tarik Diri

Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kematian pembantu politik, Teoh Beng Hock terus menerima tamparan apabila giliran kerajaan kerajaan negeri Selangor mengumumkan keputusan untuk menarik diri daripada terlibat dalam prosiding.

Peguam pemerhati Selangor, Malik Imtiaz Sarwar memaklumkan hasrat untuk menarik diri sebaik sahaja prosiding suruhanjaya bermula pada jam 2.30 petang ini.

Katanya, beliau diarahkan oleh kerajaan negeri Selangor untuk menarik diri atas alasan yang sama dengan keluarga Teoh iaitu mereka hilang keyakinan terhadap perjalanan siasatan yang tidak langsung mencerminkan harapan rakyat yang mahukan kebenaran didedahkan.

"Setelah keluarganya menarik diri daripada prosiding, kita tidak lihat apa gunanya suruhanjaya ini diteruskan. Kita juga menyuarakan kebimbangan kita yang serupa dengan apa yang disuarakan oleh keluarga Teoh, iaitu di mana Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

"Dalam permohonan tersebut, selaras dengan apa yang didedahkan oleh (peguam) Gobind (Singh Deo) semalam bahawa Peguam Negara mahu mendapatkan keputusan bunuh diri," kata Malik Imtiaz.

Keluarga Teoh dilaporkan tidak berpuas hati dengan penglibatan Jabatan Peguam Negara yang membuat permohonan menyemak keputusan terbuka yang dibuat oleh mahkamah koroner.

Semalam, ahli keluarga Teoh memulaukan prosiding suruhanjaya itu dengan alasan permohonan mereka untuk menundakkan inkuiri sehingga semakan kehakiman yang difailkan Pejabat Peguam Negara ke atas penghakiman terbuka oleh Mahkamah Kotoner berhubung kematian Beng Hock didengar dahulu.

Sementara itu, pada perbicaraan hari ini, ketua panel, Tan Sri James Foong mengumumkan pakar patologi Thai Dr Pornthip Rojanasunand dan pakar forensik Britain, Dr Peter Vanezis akan dijemput sebagai saksi.

Foong selepas melawat tempat kejadian di Plaza Masalam, Shah Alam pagi tadi berkata kehadiran kedua-dua pakar asing itu diperlukan.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut.

Pornthip dan Vanezis dibawa oleh kerajaan negeri Selangor dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memantau bedah siasat kedua yang dijalankan ke atas Teoh. -mk

Sodomi II: Laluan Sukar Bagi Anwar

Gombak: Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui berdepan laluan sukar dalam kes pertuduhan liwat yang dihadapinya walaupun mempunyai kejutan baru dalam prosiding perbicaraan semalam.

Menurut Anwar jika kes pertuduhan liwat itu berlaku di negara lain ia pasti digugurkan.

Anwar mendakwa perkara itu wujud kerana sistem pemerintahan Barisan Nasional (BN) umpama Mesir dibawah pimpinan Presiden Hosni Mubarak yang meletakkan kepentingan peribadi melebihi segala-galanya.

“Malaysia dengan Mesir ada persamaan dari segi sistem iaitu satu parti berkuasa yang sombong. Siapa yang kaya raya? Anak isteri mereka.

“Hari ini (semalam) ada kejutan baru apabila dalam laporan borang pro forma (nota awal) disebut tiada tuduhan liwat. Hanya cubaan meliwat tetap saya didakwa meliwat.

“Dunia mana pun kes ini akan dibuang tetapi Najib, Rosmah ala Mubarak ini mahu kes diteruskan,” dakwa beliau ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Kempen Penerangan Bantah Saman Ekor (KASE) di sini malam tadi.

Ketika perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, laporan awal menunjukkan Mohd Saiful Bukhari Azlan memaklumkan kepada doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL) bahawa Anwar “cuba” untuk meliwatnya.

Dr Khairul Hakim, salah seorang doktor HKL yang memeriksa Saiful mengakui bahawa laporan proforma menyebut Saiful ada memberitahu doktor-doktor pada 28 Jun 2008 tentang adanya cubaan untuk meliwatnya dan seks oral tetapi bukan penetrasi yang sebenar.

Disebabkan bukti terbaru itu, Anwar mendesak agar pertuduhan liwat ke atasnya digugurkan.

Menyentuh mengenai penswastaan saman ekor Anwar menyifatkan tindakan itu sebagai terdesak untuk menambah perbelanjaan negara.

“Ini salah satu cara kerajaan untuk memperkayakan syarikat yang ada kaitan dengan Umno-BN, dalam pilihan raya umum (PRU) ke-13 nanti Umno-BN pasti tumbang sebab itu masa sekarang mereka rompak habis-habisan,” katanya yang juga ahli parlimen Permatang Pauh. -petikan FMT

Pulau Pinang Bantu RM1,000 Kepada Pelajar Yang Hendak Kembali Ke Mesir

Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempertimbangkan cadangan untuk memberikan bantuan RM1,000 kepada setiap pelajar dari negeri ini yang hendak kembali melanjutkan pelajaran di beberapa buah universiti di Mesir tidak lama lagi.

Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mansor Othman berkata, cadangan tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat Exco terlebih dahulu sebelum mendapat keputusan mutlak.

Ini berikutan rata-rata ibu bapa merasa resah mencari dana untuk menghantar anak mereka belajar setelah kembali ke tanah air menerusi Operasi Piramid (Ops Piramid) kelolaan Kerajaan Persekutuan.

Beliau yakin Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) akan membantu menerusi Pusat Urus Zakat (PUZ).

“Kerajaan negeri akan mencari jalan bagaimana untuk membantu pelajar dari Mesir untuk kembali belajar di sana bila keadaan di sana benar-benar aman.

“Insya Allah kita akan mencari dana bagi mengatasi kegusaran ibu bapa yang rata-ratanya daif,” tegasnya ketika pertemuan dengan pelajar Mesir di Dewan Sri Pinang, semalam.

Yang Dipertua Maipp, Ustaz Elias Zakaria memberitahu, PUZ akan cuba mengeluarkan dana kepada pelajar yang betul-betul memerlukan peruntukan untuk kembali menyambung pelajaran di sana.

Katanya, ibu bapa yang kurang mampu disaran sentiasa menghubunginya pejabat PUZ atau pemangku Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp) untuk bertanyakan hal berkenaan.

“Mereka ibarat mutiara harus dijaga maka sebab itu kami akan sedaya upaya membantu mengatasi masalah kewangan terutamanya berkaitan wang tambang ke Mesir,” terangnya.

Ibu bapa yang mengharapkan sumbangan berkenaan boleh menghubungi Ustaz Ridwan di talian 012-5529880 untuk keterangan lanjut. -harakahdaily


Tanggung sendiri tiket ke Mesir

KUALA LUMPUR – Pelajar yang ingin kembali ke Mesir untuk menyambung pengajian perlu bersedia menanggung sendiri kos tiket penerbangan tanpa diskaun.

Timbalan Menteri Luar, Senator A. Kohilan Pillay berkata, perkara itu adalah amalan biasa termasuk ketika melibatkan pelajar Malaysia yang dibawa pulang dari Padang dan Solo, Indonesia akibat letusan gunung berapi baru-baru ini.

“Kerajaan hanya menanggung kos perjalanan pada waktu kecemasan sahaja.

“Kita tidak pernah bincang untuk memberikan diskaun dan sebagainya. Tetapi jika ada syarikat penerbangan yang hendak bagi diskaun, itu terserah pada budi bicara mereka,” jelasnya ketika dihubungi di sini semalam. -kosmo


[Video] Bahaya Plumbum - Skandal Tergempar Sabah

Kami memohon ehsan Sabahkini.net agar menerbitkan DVD Skandal Tergempar Sabah agar dapat ditonton oleh semua rakyat Sabah yang masih jahil tentang bahaya plumbum; terutama di luar bandar Sabah yang tidak mempunyai capaian internet.

Sebagai ibu bapa, kami bimbang kerana anak-anak kami terdedah kepada bahaya plumbum yang disebarkan melalui bateri asid plumbum yang digunakan di semua sekolah di luar bandar sebagai ‘Pembunuh Senyap’ yang diberi lesen oleh Kerajaan.

Oleh itu, kami merayu ehsan agar ada pihak yang menaja penerbitan DVD Skandal Tergempar Sabah supaya Sabah terhindar daripada kematian kanak-kanak akibat keracunan plumbum.

Selamatkanlah Generasi Kami,

ABDUL JALAL KASSIM -sabahkini



Syarikat FOREX Gulung Tikar, Pelabur Gigit Jari

Pelabur luahkan kegusaran di alam siber

MASALAH para pelabur Malaysia yang menggigit jari dalam dagangan mata wang asing (forex) kelolaan sebuah firma milik rakyat negara itu di sini, kini menjadi perbualan hangat di ruang siber.

Maki hamun, tohmahan, sumpah seranah dan kutuk mengutuk menjadi bahan utama dalam sekitar 20 blog yang berasal dari Kuala Lumpur itu.

Sasaran utama mereka ialah pemilik syarikat GECS Limited, Encik Fauzi Abdullah, 38 tahun tidak dapat dikesan keberadaannya selepas masalah yang melanda skim kelolaannya disiarkan menerusi satu siri laporan bermula April tahun lalu.

Sebelum gulung tikar dan menutup pejabatnya di tingkat 16 High Street Centre, nama firmanya dikenali sebagai Metz Global Pte Ltd yang didaftarkan di sini.

Dagangan forex kelolaannya, yang menawarkan dividen 10 hingga 15 peratus sebulan, sebelum ini adalah atas nama firma GECS Limited yang didaftarkan di kepulauan British Virgin Island.

Dagangan forex itu menarik sekitar 1,000 pelabur yang dipercayai melabur sekitar RM22 juta ($10 juta) bagi 'cepat kaya' kerana terpikat dengan dividen 10 hingga 15 peratus sebulan tang ditawarkan.

Para pelabur terdiri daripada pelbagai lapisan - orang biasa, penjaja, pegawai kerajaan, orang kenamaan daripada pangkat Dato' hingga Tan Seri.

Pemeriksaan Berita Harian mendapati banyak blog itu memuat turun bulat-bulat laporan berjudul Pengarah firma 'lesap', pejabat gelap-gelita yang disiarkan Berita Harian pada 7 Mei tahun lalu.

Dalam blog CariGold.com, seorang pengunjung, Zayed, bertanya: 'Mana lawyer niiii...... pi la upah lawyer kat Singapore... saman GECS.... upah Karpal Singh pun okkkk....

'Undeng-undeng Singapore sangat hebat!!!!!!!! apa lagi...'

Seorang lagi pengunjung, Hafizuka berkata: 'Tak bangga ke ada anak Melayu cam Encik Fauzi yang mampu buka GECS dan Metz Global dan bagi pulangan 10 hingga 15 peratus setiap bulan!'

Azam Gamat dalam forum CariGold pula berkata: 'Punah duit aku RM10,000 nak kumpul bertahun-tahun, tapi nak hilang sekelip mata. Aduh!! nasib-nasib!!'

Rata-rata mereka menyifatkan dagangan kelolaan firma tersebut sebagai satu skim cepat kaya - bukan skim pelaburan tulen.

Namun, tiada seorang pun warga Singapura yang menyertai dagangan forex tersebut - kesemuanya rakyat Malaysia.

Seorang lagi pengunjung forum CariGold yang hanya dikenali sebagai Bijakasb berkata: 'Orang Singapura tu pandai... dia orang dah tahu mana ada jalan short cut nak kaya. -BHS

Bekas ADO Melaka Tengah Didakwa Rasuah

Bekas Penolong Pegawai Daerah Melaka Tengah dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, semalam kerana menerima rasuah lebih RM178,000 tiga tahun lalu.

Zahiruddin Abdullah, 43, yang mengangguk faham pertuduhan mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas mendengar pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh berasal dari Air Merbau itu didapati menerima sekeping cek Ambank bernombor 001359 bernilai RM178,567.47 untuk menjelaskan sepenuhnya pinjaman Bank Pertanian Malaysia sebagai balasan daripada Pang Sen Hwa, 32 di Bank Pertanian Berhad, Jalan Hang Tuah.

Suapan diterima 3 November 2008 itu membabitkan tanah lot 2299 dan lot 2300 yang dijadikan cagaran pinjaman tersebut, yang mana tertuduh mengetahui hubungan dengan kerja rasmi Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Melaka.

Dia didakwa mengikut kesalahan di bawah Sesyen 165 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah sesyen sama dan jika kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. -SH

5 Pasangan Dicekup Di Malam Maulidir-Rasul

Batu Pahat – Lima pasangan dicekup Pegawai Penguatkuasa Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat dalam satu Operasi Bersepadu Penutupan Pusat Hiburan dan Pencegahan Maksiat sempena malam Maulidur Rasul.

Timbalan Ketua Penguatkuasa Agama Daerah Batu Pahat, Mohd Anuar Kosnin berkata, turut ditangkap seorang warga Bangladesh bersama pasangannya warga Myanmar dan seorang penjawat awam.

Menurutnya, serbuan dilakukan di sekitar kawasan yang disyaki menjadi sarang maksiat seperti di hotel dan rumah tumpangan di sekitar daerah Batu Pahat serta Yong Peng.

“Semua yang ditahan akan didakwa di bawah Seksyen 27 (1) a b, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor, 1997 dan akan dikenakan denda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.

“Manakala dua daripada pasangan berkenaan turut dituduh di bawah Seksyen 23 (1) (2), Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997, kerana melakukan persetubuhan luar nikah.

“Jika disabitkan kesalahan, kedua-dua pasangan terbabit boleh dikenakan denda sebanyak RM5,000 atau tiga tahun penjara atau lima kali sebatan atau ke semuanya,” katanya kepada Sinar Harian.

Operasi yang melibatkan tujuh anggota dari pelbagai unit Pejabat Kadi Batu Pahat turut disertai Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Pejabat Daerah Batu Pahat dan juga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Anuar, operasi yang dilakukan secara berterusan ini akan diteruskan khususnya pada cuti umum dan hujung minggu bagi mengelakkan perlakuan maksiat berleluasa terutamanya di kalangan remaja.

“Jika dahulu, suspek yang dicekup hanya didakwa kerana berkhalwat, tetapi kini ada antara mereka yang dicekup telah mengandung anak luar nikah,” katanya.

Sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan maksiat boleh menghubungi terus talian hotline Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat di nombor 07-434 1141.

Puisi Buat Sultan Kelantan Oleh Dr Asri

Bicara Buat Seorang Sultan
(buat Sultan Kelantan Muhammad Faris Petra)

pada kerendahan dalam pakaian
pada penampilan dalam keramaian
perasaan tertawan kepada sang sultan

pada bicara yang sederhana,
pada gaya yang bersahaja,
jiwa tertarik pada raja,
moga nyata, dia payung rakyat jelata..

inilah nasihat raja dan rakyat…

raja dimulia bukan kerna singgahsana
raja disayang bukan kerna paluan gendang
raja diangkat bukan kerna kalimat 'daulat'
raja dicinta bukan kerna kuasa
raja dihormat bukan kerna pangkat

raja dimulia kerna takwanya,
raja disayang kerna dia berjuang,
raja diangkat kerna Tuhan memberkat
raja dicinta kerna budi bahasanya,
raja dihormat kerna kasihkan rakyat

raja dibenci kerna buruk budi,
raja dicerca kerna tamakkan harta,
raja dimarah kerna dia bermewah
raja dilupa kerna tinggalkan agama,

apabila raja itu zuhud,
namanya selalu disebut
apabila raja takutkan Allah,
sekelian rakyat jantung diserah
apabila raja sangat sederhana,
jiwa jelata penuh bangga,
apabila raja kuat agama,
dengan ikhlas rakyat berdoa..


tuanku raja yang masih muda,
namun ada teladan untuk semua,
dalam persarungan penuh kerendahan,
dalam kehidupan penuh kerakyatan,
sayang rakyat penuh melimpah
kepada raja kasih tertumpah

Dr MAZA,
160211

Penulis adalah bekas mufti Perlis

Pemimpin PAS Kesal Dengan Kenyataan Azmin

Shah Alam - Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali diingatkan jangan cuba mengawal kesemua pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat (PR) selepas memenangi jawatannya pada pemilihan pusat PKR hujung tahun lalu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali (gambar) berkata, Azmin seharusnya menyuarakan isu-isu sensitif seperti pembahagian kerusi antara komponen PR dalam mesyuarat tertinggi parti dan bukannya secara terbuka melalui media.

Menurutnya, Azmin juga tidak layak bercakap dan mendakwa Pas mahu mengintai kawasan PKR kerana isu tersebut tidak pernah muncul dalam perbincangan pemimpin tertinggi Pas sebelum ini.

“Apa yang beliau cakap adalah tidak betul. Perkara ini tidak pernah berbangkit, jadi saya tegaskan beliau berhenti bercakap mengenai isu ini.

“Sepatutnya perkara ini disuarakan secara tertutup dalam mesyuarat tertinggi PR, bukannya secara terbuka di media,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Isnin lalu, Azmin dipetik dari sebuah portal berita berkata, PKR sekarang menghadapi rundingan sukar apabila Pas mula mengintai kerusi yang sama menjelang pilihan raya umum yang dijangka diadakan dalam tempoh terdekat.

Pas secara lazimnya sebelum ini bertanding di kawasan majoriti Melayu tetapi laporan kebelakangan ini menunjukkan undian kaum Melayu mula beralih semula pada UMNO selepas Pilihan Raya Umum 2008 lalu.

Sebagai contoh pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang baru-baru ini, Pas tewas apabila 83 peratus undi kaum Melayu memihak kepada calon Barisan Nasional (BN) daripada UMNO. -SH



Respon Salahuddin terhadap kenyataan Azmin

PETALING JAYA: Dakwaan bahawa PAS turut berminat dengan kerusi PKR menimbulkan rasa kurang senang kepada Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub.

Beliau menyifatkan kenyataan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali bahawa PAS berminat dengan kerusi kawasan bercampur sebagai tidak tepat dan dibuat di tempat yang salah.

“Sepatutnya Azmin membicarakannnya dalam premis yang betul. Kita (Pakatan Rakyat) tidak membincangkan perkara ini.

“Bagaimanapun, saya percaya perkara ini boleh diselesaikan dalam Pakatan Rakyat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Salahuddin yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Azmin bahawa “tiada lagi formula PAS akan bertanding di kawasan majoriti Melayu, DAP di kawasan Majoriti Cina dan PKR di kawasan bercampur. “

“Sekarang, PAS juga mahu kawasan bercampur,” kata Azmin seperti dilapurkan.

Keadaan ini boleh menyukarkan rundingan komponen Pakatan Rakyat yang membabitkan PKR, PAS dan DAP menentukan pembahagian kerusi dalam pilihanraya umum akan datang.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata jika PAS berminat bertanding di kawasan bercampur ia merupakan fenomena semasa berikutan sokongan pengundi bukan Melayu, terutama pengundi Cina, kepada parti itu.

Tambahnya, fenomena ini sepatutnya tidak menjadi pertikaian dalam Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun, kata bekas Ketua Pemuda PAS itu, parti Islam itu mempunyai penyokong setia di kalangan pengundi Melayu.

“Kalau pilihanraya umum 2008 dijadikan ukuran, pengundi Melayu masih memberi sokongan kepada PAS,” katanya.

Sementara itu, Salahuddin menjelaskan PAS belum membuat keputusan sama ada bertanding atau tidak dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau.

Katanya, keputusan tersebut akan dibuat dalam mesyuarat PAS.

Pilihanraya kecil Kerdau akan diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 63 akibat serangan jantung Sabtu lalu. -FMT


Ulasan GB

Ringkas sahaja - Azmin seperti mahu PAS kalah di PRK merlimau dan Kerdau dengan membuat kenyataan terbuka sedemikian.

Bak kata Mustafa, baru menang Naib Presiden sudah mahu kawal semua pemimpin tertinggi PR.


Calon PAS Untuk PRK Kerdau Sudah Ada

Pas Kawasan Kuala Krau menyenaraikan tujuh nama untuk dicalonkan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau.

Setiausaha Pas Pahang, Roslan Zainal bagaimanapun, enggan mendedahkan nama semua mereka yang diseranaikan itu.

“Sebahagian besar anak tempatan dan tiada calon wanita tersenarai. Mereka yang tersenarai terdiri daripada bekas pensyarah universiti, bekas pegawai kerajaan dan aktivis masyarakat,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di sini semalam.

Roslan berkata, nama-nama yang tersenarai akan dibawa ke peringkat negeri untuk diputuskan di peringkat Pusat yang akan bermesyuarat Jumaat ini.

Beliau hanya menyebut seorang yang disahkan tersenarai, iaitu Hassanuddin Salim, bekas calon Pas yang tewas kepada Allahyarham Datuk Zaharuddin Kassim pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

Sinar Harian juga difahamkan oleh sumber rapat Pas Kawasan, nama Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi, juga antara nama yang disebut-sebut layak menjadi calon Pas.

Di samping itu, nama Naib Presiden Pas Pusat, yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilihat oleh beberapa pemerhati politik tempatan, berkemungkinan terdapat dalam senarai calon itu.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Roslan berkata, dari segi persiapan PRK itu pihaknya akan menggerakkan sepenuhnya jentera bagi merampas DUN Kerdau.

“Pas akan bekerja keras menawan Kerdau yang dikenali sebagai DUN bersejarah kerana di sini lahirnya Pas Pahang bersama pengasasnya, Mohd Yassin Salleh,” katanya.

Roslan berkata, Pakatan Rakyat Pahang juga telah menyatakan persetujuan dan memberikan sokongan penuh untuk Pas meletakkan calon pada PRK Kerdau.

Mengulas calon yang disenaraikan BN di Kerdau, Roslan secara peribadi berpendapat Pegawai Khas Menteri Besar Syed Ibrahim Syed Ahmad adalah calon yang sesuai.

Menurutnya, Syed Ibrahim berperwatakan agama masih muda adalah calon yang dijangka akan diletakkan BN di Kerdau.

Kerusi DUN kawasan Kerdau kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 63, akibat serangan jantung Sabtu lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagaimanapun masih belum memutuskan tarikh pilihan raya kecil di kawasan berkenaan.

Pada pilihan raya umum 2008, Zaharuddin menewaskan calon Pas Hassanuddin Salim dengan majoriti 1,615 undi. -SH

Maklumat Mengenai Galakan Pasangan Muda Kahwin Di Kelantan


Kerajaan PAS Kelantan melancarkan “Gerbang Az-Ziwaaj” dengan peruntukan RM1.5 juta tahun ini bertujuan menggalakkan 1,500 pasangan muda kurang berkemampuan untuk berkahwin.

Semasa melancarkannya, Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata program bertemakan “Anda Bijak Kerana Berkahwin” itu bertujuan mengelakkan golongan muda dari terjebak dalam perzinaan dan menghalang kejadian buang anak luar nikah.

Melalui program itu, setiap pasangan diberi RM1,000 dalam bentuk cek dan peserta boleh mendapatkan borang permohonan di pejabat kadi, pejabat Anggota Dewan Undangan Negeri, kaunter khidmat pelanggan Setiausaha Kerajaan Negeri atau muat turun borang dari laman facebook “Gerbang Az-Ziwaaj” (Gerbang Perkahwinan). — Bernama

Maklumat dari facebook Gerbang Az-Zaiwaj



Apa itu ‘Skim Gerbang Az-Ziwaaj?

“Skim Gerbang Az-Ziwaaj adalah satu skim / saguhati khas kepada Pasangan Pengantin baru yang telah diluluskan oleh pihak Kerajaan Negri bagi menuju negeri berkebajikan

Apakah bentuk pemberian yang diberikan oleh Kerajaan Negeri?

Bentuk pemberian yang akan diberikan oleh Kerajaan Negeri adalah berbentuk wang tunai bernilai Ringgit Malaysia : Satu Ribu Sahaja (RM1,000.00) dalam bentuk cek (atas nama calon) diberikan kepada calon yang layak berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan.

Apakah syarat kelayakan bagi seseorang untuk memohon ‘Skim Gerbang Az-Ziwaaj’ ini?

Syarat kelayakan bagi memohon skim ini adalah seperti berikut :

i) Warganegara Malaysia sahaja.
ii) Rakyat Kelantan yang dilahirkan di Kelantan (no. kad pengenalan bermula 03@ 29), atau dapat membuktikan telah bermastautin di Kelantan melebihi 15 tahun.
iii) Pendapatan bulanan pemohon hendaklah tidak melebihi RM700.00 sebulan.
iv) Perkahwinan yang pertama sahaja (hanya layak untuk 1 kali tuntutan).
v) Pemohon mestilah tergolong dalam kategori miskin dan perlu dibantu (mengikut kriteria dan budi bicara kerajaan negeri).
vi) Layak dituntut oleh salah seorang sahaja, samada lelaki atau perempuan.
vii) Permohonan mestilah disertakan bersama sijil-sijil dan dokumen yang disahkan iaitu salinan kad pengenalan, surat beranak, sijil pra perkahwinan, borang pemeriksaan kesihatan dan 2 keping gambar berukuran passport.
viii) Kerajaan berhak menarik balik kelulusan jika maklumat yang diberikan adalah tidak benar.
ix) Borang yang telah lengkap diisi hendaklah diserahkan di Pejabat Urusetia Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO, Blok 7, Kompleks Kota Darulnaim, 15503 Kota Bharu, Kelantan, sekurang-kurangnya sebulan sebelum tarikh perkahwinan.

Bagaimana cara untuk memohon ‘Skim Gerbang Az-Ziwaaj?

Cara untuk memohon adalah dengan mengisi borang permohonan yang boleh diperolehi di :

a) Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri
b) Kaunter Khidmat Pelanggan Kota Darulnaim
c) Muat turun daripada website Urusetia Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO di
http://www.upibsn.kelantan.gov.my/v2
d) Muat turun daripada facebook “Gerbang Az-Ziwaaj”

Bagaimanaah Cara Penyerahan Saguhati disampaikan?

Cara penyerahan saguhati adalah dengan disampaikan oleh YB ADUN masing-masing pada majlis yang sesuai (misalnya kenduri perkahwinan).



Pencuri Sesat Dalam Rumah

Sesat dalam rumah

KUALA LUMPUR: Pelik tapi benar. Itulah ungkapan yang dapat menggambarkan kejadian aneh menimpa seorang lelaki berusia 27 tahun yang gagal mencari jalan keluar selepas memecah masuk sebuah rumah di Kepong, di sini, Isnin lalu. Gambar fail

Apa yang menghairankan, suspek dilaporkan berpusing-pusing dalam rumah berkenaan hampir sejam selepas mencuri beberapa barangan berharga namun gagal menemui pintu keluar menyebabkan dia ‘terperangkap’ dalam rumah berkenaan.

Bertambah malang, apabila suspek akhirnya dicekup pihak berkuasa kira-kira jam 5 petang selepas kehadirannya disedari pemilik rumah berusia 64 tahun dan anak lelakinya berusia lingkungan 20-an yang baru pulang ke rumah itu.

Menurut sumber, ketika suspek memecah masuk rumah berkenaan, kediaman itu kosong kerana mangsa yang hanya tinggal berdua dengan anak lelakinya itu keluar berniaga.

“Sebaik pulang ke rumah, dua beranak itu melihat ada seorang lelaki tidak dikenali sedang berdiri di ruang tamu rumah bersama beberapa bungkusan barang kemas yang sudah dicurinya dianggarkan bernilai RM1,700.

“Dia (suspek) seperti kebingungan sebelum anak kepada pemilik rumah itu menghubungi polis,” katanya di sini, semalam.

Sumber berkata, lima minit kemudian sepasukan anggota yang bergegas ke lokasi kejadian berjaya menahan lelaki terbabit yang memberitahu dia bingung kerana tidak dapat keluar dari rumah berkenaan kerana tidak menjumpai jalan keluar selepas memasukinya. “Siasatan awal mendapati, suspek yang gagal keluar dari rumah mangsa sebenarnya melakukan perbuatan itu bersama seorang lagi rakannya berusia lingkungan 20-an.

“Namun, rakan subahat suspek hanya menunggu di kawasan luar kediaman mangsa dan dipercayai melarikan diri sebaik menyedari pemilik rumah itu pulang,” katanya.

Sumber berkata, hasil soal siasat, rakan suspek berjaya diberkas sekitar Kepong, di sini, kira-kira sejam kemudian.

Difahamkan, kedua-dua suspek yang juga warga tempatan itu ditahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan memberitahu kedua-dua suspek akan dituduh di mahkamah. -hm

UPP Lepaskan Tembakan Dalam Kawasan Hospital

Seorang remaja berusia 19 tahun parah, manakala seorang anggota Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) cedera dalam pergelutan di perkarangan Hospital Tumpat (HT), di sini, semalam.

Gambar: REMAJA yang cedera ditembak selepas menyerang anggota UPP dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, di Kota Bharu, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.20 pagi itu, remaja terbabit bersama beberapa lelaki yang menaiki lima kereta dikatakan menyerang empat anggota UPP berikutan salah faham.

Tiga anggota UPP berjaya meloloskan diri, manakala seorang lagi yang diserang menggunakan cota terpaksa melepaskan dua das tempat mengenai dada dan perut remaja terbabit.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi, berkata anggota berusia 29 tahun itu terpaksa melepaskan tembakan untuk menyelamatkan diri.

“Sebelum kejadian anggota UPP berkenaan menemui seorang lelaki yang disyaki penyeludup dalam berkeadaan lemah dengan mulut berbuih dalam kereta Perodua Kancil, pada jam 7.45 pagi di Kampung Tin, di sini.

“Lelaki terbabit, Said Mat Hassan, 56, kemudian disahkan meninggal dunia sebaik saja tiba di HT selepas dihantar oleh empat anggota UPP berkenaan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Abdul Rahim berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan anggota UPP terbabit untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

“Kita menjalankan siasatan mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, kakak mangsa yang terkena tembakan meminta siasatan rapi dibuat pihak berkuasa berhubung dengan kejadian itu.

“Saya kecewa kejadian itu boleh berlaku dalam kawasan hospital, saya berharap ia disiasat sewajarnya,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II.


Tiada Tembakan Amaran

Rasanya KP Kelantan telah diberi maklumat yang salah oleh anggota yang membuat laporan. beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh KP Kelantan bercanggah dengan apa yang diceritakan oleh beberapa saksi kejadian yang ditemui oleh pihak kami.

Antaranya ialah berkenaan dengan laporan yang mengatakan bahawa anggota UPP terbabit diserang oleh mangsa yang ditembak.

Menurut saksi, mangsa yang ditembak tidak menyerang anggota UPP terbabit sebaliknya beliau berada agak jauh dari kumpulan orang kampung yang menyerang anggota UPP berkenaan tetapi tiba-tiba beliau ditembak tanpa disangka-sangka.

Anggota UPP terbabit juga dikatakan tidak langsung melepaskan tembakan amaran diudara sebaliknya terus sahaja menembak mangsa yang mana sebutir peluru mengenai sebelah kanan perut mangsa dan sebutir lagi peluru mengenai sebelah kanan dada mangsa.


Mangsa juga disyaki ditembak dengan sengaja kerana mangsa sebelumnya telah menyaksikan kejadian 4 orang anggota UPP terbabit membelasah Allahyarham Sa'aid sehingga lembik, malah mangsa juga dikatakan melihat bagaimana Allahyarham Sa'aid dipijak tubuh badannya oleh anggota UPP terbabit walaupun keadaan mangsa ketika itu sudah tidak bermaya.

Kenyataan KP Kelantan berkenaan tembakan yang dilepaskan juga bercanggah dengan apa yang berlaku. dilaporkan bahawa anggota UPP terbabit telah melepaskan 2 das tembakan dimana tembakan pertama berupa tembakana amaran di udara manakala tembakan ke 2 ialah untuk mempertahankan diri akibat serangan orang ramai.

Jika hanya 2 das tembakan dilepaskan termasuk tembakan amaran, bagaimana mangsa yang ditembak menerima 2 kesan tembakan iaitu 1 di bahagian kanan dadanya & 1 lagi di bahagian kanan perutnya?

Apa yang menjadi persoalan ialah, kenapa ketika kejadian, mangsa yang juga saksi kejadian sebelumnya menjadi mangsa tembakan? adakah ianya secara kebetulan atau adakah kerana beliau ialah "SAKSI" utama kejadian sebelumnya?

Dalam laporan tersebut juga dinyatakan bahawa anggota UPP terbabit menemui Allahyarham Sa'aid di dalam keretanya di tepi jalan dalam keadaan lemah, berwajah pucat serta mulut berbuih.

Disini juga timbul persoalan. sekiranya begitulah keadaan mangsa, ianya menyerupai simptom sawan. Allahyarham tidak mempunyai rekod penyakit sawan dan yang lebih menghairankan lagi, kenapa dalam keadaan begitu, kereta yang dipandu oleh Allahyarham tidak terbabas sebaliknya berada di tepi jalan?

Apakah dalam keadaan tersebut, mangsa sempat memberhentikan keretanya di tepi jalan seperti mangsa berada dalam keadaan yang sihat?

Apa yang diceritakan oleh saksi ialah, mangsa (Allahyarham Sa'aid) sebelumnya telah dikejar oleh anggota UPP terbabit kemudian mangsa kemudiannya telah berhenti dan menyerah diri. sebaik sahaja menyerah diri, 4 anggota UPP terbabit telah bertindak menyerang dan membelasah mangsa sehingga mangsa tidak lagi berupaya untuk berdiri. dalam keadaan yang lemah tidak mampu berdiri, mangsa dipijak-pijak oleh anggota UPP terbabit sehingga tidak sedarkan diri.

Ini cerita sebenar yang dimaklumkan kepada pihak kami oleh saksi-saksi seramai lebih dari 10 orang yang ditemui.

Kita berharap agar kejadian ini disiasat dengan terperinci dan kita tidak mahu Allahyarham Sa'aid & Adik Ahmad Nizamudin menerima nasib yang sama sepertimana yang menimpa Mendiang Kugen, Teoh Beng Hock, Atlantuya, Adik Aminurrasyid dan lain-lain mangsa keganasan pihak berkuasa.

Negara ini Negara yang mempunyai undang-undang. jika pihak-pihak yang sepatutnya menegakkan undang-undang tidak mampu untuk memikul tanggungjawab tersebut, pada siapa lagi mahu kita harapkan?

Sumber - Keadilan Untuk Allahyarham Sa'aid & Adik Nizamudin / Perisik Rakyat


Siapa Perempuan Yang Beraksi Terlampau Ini?

Syabas! Untuk Elia Geneid, anak saudara Ketua Menteri Abdul Taib Mahmud yang juga anak perempuan [drinking wine elia] kepada Raziah Mahmud. Elia kelihatan berani menampilkan diri di khalayak ramai, walaupun dia seorang Muslimin, bergambar sambil memegang segelas bir atau menikmati champagne, di mana Muslimin yang lain pula pasti akan dikenakan hukuman sebatan jika berbuat demikian!

Elia (kanan) begitu yakin berpakaian semahunya, selain dipercayai meneguk arak secara terbuka

Sarawak Report .... meragui kenapa Elia dan rakan-rakan seagamanya berani beraksi untuk juru-juru gambar? Kita dapat simpulkan bahawa keberanian seperti itu wujud dari dalam keluarga mereka, di mana keluarga-keluarga Islam dari golongan kebanyakannya tetap mendidik anak-anak mereka untuk hidup dan bertindak sebagaimana dituntut oleh agama Islam.

Selain bergelumang dengan alcohol, Elia juga berani berpakaian menjolok mata di khalayak ramai dan bukannya berpakaian menutup aurat seperti yang diharapkan oleh wanita-wanita Islam yang lain dan juga golongan lelaki yang mentadbir kerajaan BN, termasuk juga bapa saudaranya, Taib Mahmud.




Umat Islam, khasnya kaum Muslimin di Malaysia pernah dikejutkan oleh suatu kes di mana seorang model Muslim yang pernah ditahan kerana meminum bir di sebuah restoran hotel tetapi kemudian telah dikecualikan dari hukuman sebatan, tetapi, sebaliknya tidak bagi Elia.

Mungkin Taib sekeluarga selalu memikirkan bahawa mereka berada di atas undang-undang, di mana mereka menggubal undang-undang hanya untuk dikenakan ke atas orang lain.

Kami ingin mencadangkan kepada Taib untuk membuat pertimbangan sewajarnya bagaimana beliau harus mendidik ahli-ahli keluarganya, meneladani kes Kartika Sari Dewi Shukarno. Elia, seperti mana yang kita ketahui pada entri terdahulu merupakan pewaris kepada harta yang bernilai berjuta-juta ringgit yang diterimanya daripada bapa saudaranya Taib, dalam bentuk tanah-tanah yang dirampas dari orang-orang asal. Justeru itu, Elia sudah pastinya telah melanggar undang-undang.

Pakcik Taib, kami ada menyimpan banyak lagi gambar yang menunjukkan ahli-ahli keluarga pakcik yang menunjukkan mereka berpakaian menjolok mata, gelas-gelas alkohol, barangan-barangan kemas mereka, walaupun pakcik sering berkhutbah sebagai seorang Muslim (mengalahkan seorang imam), tetapi akan menyebabkan mereka merasa marah terhadap pakcik. -sarawakreport