22 Apr 2011

Fukushima Tutup, Lynas Gebeng Sambut Bencananya

Logi Nuklear Fukushima Diarah Tutup Untuk Selama-lamanya

Fukushima – Gabenor Wilayah Fukushima, Yuhei Sato mengatakan, Logi Nuklear Fukushima tidak boleh beroperasi lagi untuk selama-lamanya.

Kenyataan tersebut dinyatakan oleh Sato ketika Presiden Perusahaan Elektrik Tokyo (Tepco), Masataka Shimizu menemuinya untuk meminta maaf atas krisis di logi nukelar Fukushima. Ini merupakan pertemuan pertama mereka sejak insiden tersebut terjadi.

Dalam kunjungannya, Shimizu mengungkapkan penyesalannya yang mendalam atas insiden serius di logi nuklear yang telah menyebabkan bertambahnya beban mental dan fizikal kepada mereka yang sudah menderita akibat bencana alam. Demikian seperti diberitakan NHK, Jumaat (22/4/2011).

Sementara itu Sato menyatakan, hampir 6.000 anak-anak terpaksa dievakuasi dari Fukushima dan tinggal secara terpisah di beberapa tempat penampungan di seluruh Jepun. Sato mengatakan, mereka ingin kembali sesegera mungkin dan meminta Shimizu mengendalikan keadaan logi nukelar secepatnya.

Berkaitan dengan rencana pembukaan kembali logi berkenaan Sato mengatakan, logi tersebut seharusnya tidak boleh beroperasi kembali selama-lamanya.


Radiasi sifar dari loji nadir bumi, kata Lynas

Syarikat perlombongan gergasi Australia, Lynas Corporation Ltd tetap dengan keyakinannya bahawa orang awam akan berdepan dengan pendedahan radiasi "sifar" apabila loji nadir bumi miliknya beroperasi di Gebeng, Pahang.

Dalam dokumen bertarikh 23 Mac tahun ini - yang diberikan kepada Malaysiakini oleh wakil perhubungan awam Lynas, Ogilvy Worldwide - syarikat itu mendakwa, walau apa pun radiasi tambahan dari operasi loji tersebut, hanya akan dialami oleh pekerjanya, dan itupun pada tahap yang rendah sekali.

Memetik hasil Penilaian Impak Radiologi (RIA) yang dijalan dan dibentangkan oleh agensi nasional Nuklear Malaysia pada 2009, Lynas berkata simpanan bahan “sisa” atau produk sampingan operasi mereka ialah "selamat dan tidak menimbulkan risiko kepada orang awam".

"Bagaimanapun, Lynas telah mengambil langkah keselamatan tambahan dengan menempatkan sisa tersebut dalam sel simpanan kejuruteraan yang selamat, yang direka supaya tiada kemungkinan untuk berlaku kebocoran bahan ke persekitarannya,” kata syarikat itu dalam satu daripada tiga dokumen untuk menjelaskan mengenai projek tersebut.

Merujuk kepada laporan Nuklear Malaysia, syarikat itu berkata setiap orang menerima purata 2.4 millisieverts (mSv) radiasi dari persekitaran semula jadi mereka setiap tahun.

Lynas juga menyatakan bahawa "had pendedahan tambahan boleh diterima" ke atas orang awam adalah pada 1 mSv setahun dan 50 mSv setahun untuk pekerja - termasuk radiasi latar atau radiasi yang berlaku secara semulajadi dalam persekitaran. -mk


Pemilihan PAS Ditangguh Jika Pilihanraya Diadakan

Pemilihan PAS Akan Ditangguh Jika PRU-13 Diadakan

KUALA LUMPUR: Pemilihan pada Muktamar Agung parti pembangkang itu Jun ini akan ditangguhkan jika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 diadakan pada bulan yang sama.

Pemilihan pucuk pimpinan PAS akan diadakan pada Jun ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali bagaimanapun berkata, buat masa masa ini, pemilihan parti itu akan kekal seperti yang dirancang.

“Saya agak parti-parti lain tangguh pemilihan kerana ia akan memecahbelahkan parti mereka kerana kempen yang terlalu hebat, tapi PAS yakin PAS ada budayanya sendiri.

"Saya juga tak fikir pilihan raya umum diadakan pada Jun,” katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Beliau mengulas mengenai tindakan beberapa parti komponen Barisan Nasional (BN) termasuk Umno yang menangguhkan pemilihan parti masing-masing sehingga tahun depan ekoran desas-desus bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 akan diadakan tahun ini kemungkinan Jun ataupun akhir tahun.

PAS akan mengadakan pemilihan parti itu pada Muktamar Agung Tahunan ke-57 di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) di Taman Melewar, Gombak pada 3 hingga 5 Jun ini.

Kira-kira 1,100 perwakilan dari 179 kawasan akan menghadiri muktamar itu.

Sayap-sayap parti akan bermuktamar pada 1 dan 2 Jun di Shah Alam dekat sini.

Dalam pada itu, Mustafa memberitahu, sebarang persaingan dalam parti tidak akan merosakkan perpaduan dalam PAS.

Malah katanya, pencalonan bagi semua jawatan termasuk presiden, timbalan presiden, naib presiden dan ahli jawatankuasa PAS pusat sudah bermula.

"Tarikh akhir bagi mengemukakan pencalonan adalah 15 Mei," jelasnya.

Katanya, kesemua pencalonan akan dimasukkan dalam peti simpanan manakala calon akan diberitahu berapa pencalonan yang diperoleh sebaik sahaja peti itu dibuka pada tarikh berkenaan.

Tambahnya, Jawatankuasa Pemilih akan menghantar surat tawaran bertanding kepada calon-calon dan mereka perlu menjawabnya dalam tempoh 11 hari iaitu dari 15 hingga 26 Mei.

“Jawatankuasa Pemilih memutuskan bahawa calon yang berhasrat menawarkan diri untuk bertanding mesti menjawab surat tawaran itu, yang tidak dijawab kita anggap mereka tidak ada kesungguhan untuk bertanding.

“Calon-calon akan menilai sama ada mereka hendak terima pencalonan atau menolak pencalonan itu,” katanya.

Beliau berkata calon yang berhasrat untuk bertanding pada pemilihan itu masih mempunyai peluang untuk menarik diri sebelum kertas undi dicetak pada 26 Mei.

Menyentuh mengenai muktamar kali ini, Mustafa yang tidak berhasrat bertanding sebarang jawatan berkata, isu PRU ke-13 barangkali akan menjadi antara intipati ucapan dasar Presiden pada muktamar tiga hari itu. -HD


PAS teliti proses siasatan video seks, kata Mustafa

Jika ikut proses undang-undang dan perlembagaan sedia ada, orang yang menyebarkan video sebenarnya melakukan kesalahan - Setiausaha Agung PAS.

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS Dato’ Mustafa Ali berkata parti sedang mengikuti proses penyiasatan dengan teliti terhadap isu video seks yang kononnya membabitkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“PAS nyatakan sebelum ini agar buat siasatan kerana proses yang dibuat kerajaan berdasarkan undang-undang dan perlembagaan…… dan bukannya mengikut kaedah Islam,” katanya.

Beliau berkata, “jika ikut proses undang-undang dan perlembagaan sedia ada, orang yang menyebarkan video sebenarnya melakukan kesalahan.

“Pelaku dari segi moralnya tidak salah, tetapi undang-undang Islam ada. Kita lihat komposisi (isu video seks) jika kerajaan putuskan ikut cara Islam…..tapi kes liwat juga mereka tolak (cara Islam).

“Jika kerajaan kata kes ikut hukum syariah misalnya, maka kita ada pendirian kita,” katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat PAS di sini hari ini ketika diajukan persoalan mengenai pendirian PAS berhubung isu video seks itu yang kononnya membabitkan pemimpin pembangkang itu.

Sebelum ini, PAS berpendirian bahawa rakaman video seks itu suatu permainan (politik) yang kotor untuk menjatuhkan karier politik Anwar malah menafikan pelaku merupakan pemimpin kanan pembangkang tersebut.

Walau bagaimanapun menurut Mustafa sebarang keputusan hanya akan dibuat selepas hasil siasatan terhadap rakaman video itu siap.

Beliau berkata melalui undang-undang Islam, empat saksi yang bakal memberi keterangan perlu mempunyai kelayakan.

‘Dalam Islam orang yang jadi saksi ada kriteria. Kita perlu lihat layak atau tidak Datuk Trio ini untuk jadi saksi. Kita kenal personaliti mereka,” katanya.

Ketika diasak pertanyaan sekiranya pelaku seks itu adalah Anwar, Mustafa menolak sebarang andaian tersebut.

“Saya tidak jawab andaian…andaian tidak boleh dijawab, jika bukan dia (Anwar) bagaimana? Penyiasatan sedang berjalan dan tiada keputusan,” katanya.

Kelmarin bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainal Abidin meminta Anwar melakukan sumpah ‘mubahalah’ di hadapan masyarakat bagi menjelaskan tuduhan “Datuk T” terhadapnya.

Ini menurut Mohd Asri seperti yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa menafikan beliau terlibat dengan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu di sebuah masjid di Bukit Mertajam, Pulau Pinang beberapa tahun lalu..

Datuk T terdiri daripada bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuaib

Lazim dan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah telah menggemparkan negara apabila mempertontonkan rakaman video seks itu kepada wakil media pada 21 Mac lalu di hotel Carcosa Seri Negara.

‘Saya tidak berhasrat untuk bertanding’

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai pemilihan muktamar kali ini, beliau juga berpendirian untuk tidak bertanding mana -mana jawatan.

“Walaupun ada pencalonan saya tidak berhasrat untuk bertanding. Jika parti rasa nak teruskan khidmat dan lantik saya sebagai setiausaha, itu terpulang kepada parti dan pimpinan baru yang dipilih,” katanya ringkas.

Jawatan setiausaha agung PAS merupakan lantikan daripada parti dan Mustafa memegang jawatan tersebut sejak 2009 bagi menggantikan Datuk Kamaruddin Jaafar yang kini merupakan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat.

Muktamar PAS kali ke-57 ini bakal menyaksikan pemilihan dengan 179 kawasan bakal mencalonkan pemimpin yang dianggap sesuai bagi membarisi kepimpinan terbaru parti.

Muktamar tersebut akan diadakan pada 3 sehingga 5 Jun depan dengan Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat akan mengadakan muktamar mereka masing-masing di tempat yang berasingan. -FMT


Integriti SPR Tercabar, Dakwaan Kotak Undi 'Diusik'

Calon PKR bagi kerusi dewan undangan negeri Senadin Dr Micheal Teo dan agen pilihan rayanya semalam membuat laporan polis bahawa peti undi 'diusik' ketika pertarungan sengit pada pilihan raya Sarawak, Sabtu lalu.

Dalam laporannya di balai polis Miri pada jam 5 petang, Teo mendakwa sebahagian besar daripada 44 kotak undi dari Senadin, di mana beliau tewas kepada calon BN dengan hanya 58 undi didapati tidak mengikut peraturan yang ditetapkan.

Katanya, agennya Peter Abong, diminta bersama agen BN bagi memeriksa kotak-kotak undi oleh pegawai pengurus pilihan raya Chai Ko Het pada 18 April, dua hari selapas tarikh pengundian.

“Kami tidak memohon tetapi dipanggil untuk memeriksa. Apa (Peter) didapati ialah kertas undi telah dipindahkan ke sebuah bekas yang lebih besar yang tidak disita.

“Lebih kurang 10 kota undi yang tidak mempunyai sebarang tandatangan, lapan cop mohornya telah diusik dan dua lagi cop mohornya di tempat yang salah,” kata Teoh ketika dihubungi.

Mengikut Seksyen 25A (2) (a) Peraturan Pilihan Raya 1981 di bawah Akta Pilihan Raya 1958, semua kertas undi mesti dimasukkan kembali ke dalam kotak undi selepas pengiraan.

Seksyen 26E (d) akta yang sama pula memnyatakan semua kotak undi dan kandungannya mesti disimpan di tempat yang selamat bagi tempoh enam bulan selepas pilihan raya di mana kemudiannya, ia akan dimusnahkan kecuali diarahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

“Kami rakamkan 47 gambar kota undi dan kertas undi dan melampirkannya bersama laporan polis,” kata Teo. -mk

Najib Tersepit, Nafi "Email 1Malaysia" & "1Melayu 1Bumi" Sebagai Pandangan Kerajaan


PM: Tricubes perlu pertahan e-mel 1 Malaysia, bukan kerja kerajaan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan tidak perlu mempertahankan kewajaran projek e-mel 1 Malaysia sebab ia adalah inisiatif swasta sambil menegaskan, Tricubes Berhad yang seharusnya menjual idea tersebut kepada publik.

Dilihat sebagai usaha untuk menjauhkan pentadbirannya daripada reaksi tidak menyenangkan daripada kalangan orang ramai, Najib berkata, Tricubes seharusnya mengambil inisiatif untuk menjelaskan projek e-mel 1 Malaysia kepada orang ramai.

“Biar mereka berikan penjelasan. Bukan segala-galanya (diletakkan) pada saya. Sebab ini adalah cadangan mereka, jadi mereka perlu menjualnya kepada orang ramai.

“Ia adalah inisiatif sektor swasta dan tidak melibatkan wang rakyat, jadi biar mereka ambil inisiatif untuk menjelaskannya,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Selasa lalu, Najib yang juga Menteri Kewangan memberitahu bahawa rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas akan diberikan akaun e-mel 1 Malaysia bagi tujuan-tujuan rasmi.

Kata beliau, Tricubes Berhad akan membangunkan projek dengan kos awal RM50 juta, portal sepusat yang baru bagi perkhidmatan kerajaan dengan akaun e-mel membolehkan komunikasi langsung dan terjamin antara rakyat dan kerajaan. -TMI


Najib: 1Melayu, 1Bumi bukan pandangan k'jaan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata gerakan '1Melayu, 1Bumi' yang disaran Utusan Malaysia merupakan pendapat peribadi penulis akhbar berkenaan dan bukan pandangan kerajaan.

"Itu pendapat peribadi penulis yang berkenaan tetapi daripada segi kerajaan kita sudah ada gagasan yang cukup jelas dan kita akan teruskan usaha kita.

"Dan, bagi orang Melayu, yang penting sekali mereka sokong Umno kalau hendak bersatu daripada segi politik," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat pada Hari Perhimpunan Petani, Penternak dan Nelayan di Serdang, hari ini.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.

Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Datuk Zaini Hassan dalam ruangan Cuit dua hari lepas, berkata DAP telah berjaya menjadi parti Cina yang telah menyatupadukan orang Cina.

Zaini berkata pada pandangannya Umno harus melancarkan gelombang perpaduan bangsa "1Melayu, 1Bumi".

Ditanya saranan Penasihat DAP, Lim Kit Siang agar DAP bergabung dengan Parti Kebangsaan Sarawak (Snap), Najib berkata: "Itu pembangkang (punya hal)...saya tidak mahu komen tetapi saya tidak nampak macam mana Snap boleh terima DAP kerana ideologi mereka berbeza".

Dua hari lalu, Lim mencadangkan DAP dan Snap bergabung pada pilihan raya umum akan datang dalam usaha memberi khimat yang lebih baik kepada masyarakat Iban-Dayak.

Ditanya mengenai gesaan beberapa pihak agar Tan Sri Abdul Taib Mahmud berundur sebagai Ketua Menteri Sarawak, Perdana Menteri berkata; "Saya telah memberikan komen saya... beri saya masa".

Mengenai rasa tidak puas hati orang ramai berhubung web portal E-mel 1Malaysia, Najib berkata memandangkan projek itu dibangunkan pihak swasta, biarlah pihak berkenaan yang menjelaskannya.

"Biarlah mereka yang membuat penjelasan... ia adalah cadangan mereka. Ia adalah inisiatif sektor swasta dan tidak melibatkan wang rakyat. Biarlah mereka ambil inisiatif untuk menjelaskannya (kepada rakyat)". - Bernama



Di sini mencela, di sana merayu

KUALA LUMPUR, 22 April: Itulah kiasan yang menggambarkan karenah kerajaan Umno Barisan Nasional terhadap kaum Tionghua sekiranya seseorang itu mengikuti berita-berita media tradisional Umno Barisan Nasional kebelakangan ini.

Semenjak menerima tamparan hebat di Sarawak ekoran kehilangan 15 kerusi, 12 di tangan DAP akibat kejatuhan undi popular sebanyak 8 peratus, Umno Barisan Nasional melalui lidahnya, Utusan Malaysia telah melancarkan serangan bertubi-tubi kepada kaum Tionghua dengan label-label seperti ‘tidak mengenang jasa’ dan menuduh kononnya komuniti Cina mahukan kuasa politik muktamad.

Utusan turut menyeru kerajaan BN Sarawak tidak lagi boleh bersikap terlalu pemurah untuk memberikan tempat kepada perwakilan kaum Tionghua di dalam kabinetnya.

Bahkan, bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed turut serta memainkan sentimen yang sama dengan menuduh DAP telah berjaya memisahkan kaum Tionghua daripada kerajaan ekoran kemenangan bergaya parti itu di Sarawak.

Bukan itu sahaja, dalam satu tindakan yang dilihat merobek koyak slogan 1Malaysia ciptaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan telah menyeru pemiliknya, Umno untuk melancarkan gelombang perpaduan bangsa “1Melayu, 1Bumi” untuk menyatukan orang Melayu sebagai reaksi kepada dakwaan bahawa kaum Tionghua sudah bersatu-padu di bawah DAP.

Cadangan Zaini itu ditolak oleh Mahathir hari ini dengan mengatakan bahawa beliau berharap benda itu tidak berlaku kerana itu satu tindakan yang akan membinasakan negara, meskipun NGO kegemarannya, Perkasa sudahpun menawarkan diri untuk mengelapai pergerakan tersebut.

“Saya harap ia tidak akan berlaku. Ia amat tidak baik... orang ramai harus fikir mengenai ini, kita menuju malapetaka jika ia berlaku,” kata beliau yang dipetik The Malaysian Insider.

Dalam pada itu, Najib turut menjauhkan pentadbirannya daripada seruan Zaini – dengan mengatakan bahawa cadangan 1Melayu, 1Bumi cumalah satu pandangan peribadi, namun beliau tidak mengatakan secara jelas samada Umno menerima atau menolak idea tersebut.

“Ia pandangan peribadi penulis. Di sudut kerajaan, kami sudah pun ada satu konsep yang jelas dan kami akan meneruskan usaha-usaha kami,” beliau berkata.

Namun, situasi suram antara kerajaan Umno Barisan Nasional dengan kaum Tionghua dalam negeri kelihatan jauh lebih positif di peringkat antarabangsa, apabila kerajaan persekutuan tengah berusaha keras untuk berinteraksi dengan para pelabur kaum Tionghua daripada negara China untuk melabur di dalam negara.

Delegasi yang diketuai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang kini berada di Shanghai sedang merayu syarikat-syarikat China untuk meningkatkan pelaburan di Malaysia.

“Malaysia mengalu-alukan pelaburan China di dalam sektor pengeluaran dan perkhidmatan, khususnya di dalam aktiviti teknologi tinggi, bernilai tambah dan berasaskan pengetahuan.

"Sebagai respons terhadap peningkatan minat pelabur China, Perbadanan Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) kini sedang berunding secara aktif dengan syarikat China yang berminat di dalam sektor logam, kimia, pengangkutan, elektronik dan elektrik, automotif dan makanan," katanya yang dipetik akhbar Berita Harian.

Tambahnya, sehingga kini terdapat lebih 120 syarikat berkepentingan China beroperasi di Malaysia dengan pelaburan modal lebih AS$250 juta (RM754 juta). -HD


Interlok: Muhyiddin Ialah Ancaman Kepada Negara - NIAT

Interlok: TPM bohongi rakyat, dakwa Pengerusi Niat

Pengerusi Badan Bertindak Interlok Kebangsaan (Niat), Haji Thasleem Mohamed Ibrahim mendakwa Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membohongi rakyat Malaysia berhubung isu buku kontroversi, Interlok edisi murid.

“Muhyiddin di dalam sesi Parlimen pada 24 Mac menyatakan bahawa Jemaah Menteri bersetuju agar Interlok terus diguna pakai tetapi tiada seorang pun yang menjelaskan pendirian mereka.”

“Seterusnya Muhyiddin berkata keputusan penggunaan Interlok berterusan adalah muktamad namun akhbar Sinar Harian melaporkan Muhyiddin sebagai berkata bahawa Interlok hanya akan digunakan selepas pindaan dilaksanakan.”

Thasleem turut berkata bahawa Niat tidak akan teragak-agak untuk mengheret Muhyiddin untuk membuktikan penipuan yang dibuat pemimpin kedua tertinggi negara itu.

Justeru itu, Thasleem mencabar Muhyiddin menjalankan pungutan suara untuk memperoleh pandangan rakyat Malaysia kerana pandangan yang diterima beliau dari peringkat akar umbi jelas menunjukkan rakyat menentang penggunaan buku tersebut.

Thasleem turut membidas kenyataan Muhyiddin yang mengatakan bahawa pihak yang membangkitkan isu Interlok merupakan ancaman kepada keselamatan negara.

“Siapa yang jadikan buku ini satu isu? Muhyiddin ialah puncanya. Muhyiddin ialah ancaman kepada negara,” tegas beliau.

Mengapa politikus India, mufti berdiam diri?

Beliau turut menjelaskan bahawa pemimpin politik keturunan India masih belum memberi sebarang reaksi kepada pengumuman tersebut.

Sehubungan itu, Thasleem bertegas mahu mengetahui pendirian Presiden MIC, Dato’ G Palanivel yang mahukan Interlok dihentikan penggunaannya tetapi menikus seribu bahasa.

“Bagi MIC, isu mereka hanya perkataan ‘paria’ tapi bagi kita seluruh buku ini salah,” ujar beliau.

Beliau menambah bahawa sekiranya Palanivel gagal bersuara mereka akan membangkitkan isu yang mengejutkan dalam beberapa minggu.

Thasleem juga memberitahu sidang media bahawa beliau menunggu reaksi mufti negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan berhubung isu ini.

“Saya beranggapan mereka tidak memberi reaksi kepada surat-surat yang saya tulis kerana mereka bersetuju dengan pandangan saya bahawa Interlok bertentangan dengan agama Islam.”

Kepada Gabungan Penulis Nasional (Gapena) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang menyokong penggunaan Interlok, Thasleem menggesa agar mereka mengkaji perkara ini dari perspektif Islam.

Sementara itu, ahli jawatankuasa Niat, A Rajaretinam berkata bahawa kerajaan pimpinan Barisan Nasional akan menghadapi natijah besar sekiranya memperlekehkan permintaan masyarakat India agar Interlok digugurkan.

Niat bercadang untuk menghadap Sultan Selangor, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan Yang Dipertuan Agong sebagai salah satu jalan untuk menghentikan penggunaan Interlok di sekolah.

Mereka juga bercadang menghantar memorandum kepada Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan dalam tempoh terdekat.

Isu kontroversi Interlok timbul pada Disember tahun lalu hingga membawa kepada penubuhan panel bebas dalam bulan Januari.

Seterusnya lebih dari 100 saranan telah diterima untuk dibuat pindaan dalam buku tersebut namun Niat tetap membantah atas pelbagai sebab. -FMT

IGP Pengsan Dan Dimasukkan Ke Hospital

IGP pengsan pagi ini, dimasuk hospital

KUALA LUMPUR, 22 April — Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dimasukkan ke hospital pagi ini selepas pengsan ketika perhimpunan bulanan di ibu pejabat PDRM di Bukit Aman.

Beliau yang dilantik mengetuai PDRM September lalu dimasukkan ke Pusat Perubatan Pantai, Bangsar.

Sehingga berita ini ditulis punca beliau pengsan belum diketahui.

Dalam pada itu, Bernama Online menyebut bahawa Ismail dimasukkan ke hospital selepas mengadu tidak sihat ketika menghadiri perhimpunan bulanan hari ini.

Ismail dibawa ke hospital itu sejurus majlis itu berakhir kira-kira pukul 10.30 pagi.

Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Robiah Abd Ghani berkata pemeriksaan doktor mendapati Ismail hanya kepenatan dan berada dalam keadaan stabil.

“Pada penghujung majlis itu, Tan Sri mengadu pening, tidak sedap badan dan rasa mahu pitam sebelum beliau dikejarkan ke sini.

“Pemeriksaan doktor mendapati beliau tidak sakit dan tiada apa yang tidak kena cuma kepenatan, malah beliau boleh bercakap seperti biasa,” katanya kepada pemberita di pekarangan pusat perubatan itu.

Beliau berkata doktor juga meminta Ismail untuk berehat di dalam wad buat beberapa hari bagi pemantauan lanjut.

Dalam pada itu, isteri Ismail Puan Sri Suriati Md Sobri yang enggan ditemu ramah pemberita hanya memberitahu yang suaminya sedang berehat. -TMI

Ulasan GB

Setiap sesuatu yang menimpa kita, ada hal yang perlu dimuhasabahkan.

Lewat kebelakangan ini Ketua Polis Negara kerap mengeluarkan kenyataan-kenyataan terhadap isu-isu yang menggemparkan negara. Misalnya isu video seks.

Sebagai "ketua" sebuah agensi yang sepatutnya "menegakkan undang-undang secara adil dan saksama" tentulah beban amanah yang dipikul itu, besar impaknya kepada diri sendiri.

Apabila kita tidak melaksanakan amanah dengan jujur dan adil maka kita akan diberikan peringatan dari langit dan kemudian terpulang kepada kita untuk mengambil iktibar daripadanya atau pun tidak.

Apabila kita melakukan kerja tidak betul secara terang-terangan, maka Allah pun menurunkan ujianNya secara terang-terangan juga.

Tun Mahathir selepas menghadiri satu perhimpunan PERKASA yang begitu bersemarak membangkitkan semangat assabiyah Melayu di kota Baharu, jatuh sakit selepas itu.

Najib pernah "dikurniakan" demam campak dan Muhyiddin pula pernah diberikan peringatan helikopter terhempas dua kali.

Samada mereka ambil iktibar daripadanya, terpulang kepada mereka.

GB pernah mengulas sebelum ini mengenai zon umur subsidi.


Seseorang insan apabila disayangi Allah, Allah akan mengurniakan sedikit masa di zon umur subsidi. Pengalaman ramai yang menghidapi penyakit samada kronik atau pun tidak sehingga sudah terlantar di ICU pun, kemudian tiba-tiba seperti muncul satu keajaiban di dalam hidup, mendapati diri disegarkan semula oleh s.w.t. untuk satu jangkawaktu yang ditentukan olehNya.

Ia adalah satu zon waktu yang amat singkat, pemberian Allah s.w.t. kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan di waktu inilah sepatutnya dipergunakan untuk membersihkan diri serta memuhasabah diri agar kita dapat diterima kembali ke sisiNya.

Seandainya kita lalai untuk melakukan penghisaban diri sendiri sewaktu di zon berkenaan, alangkah ruginya kita, kerana selepas itu, kita kembali ke rahmatNya dan tidak akan datang-datang lagi ke dunia fana ini.

Naluri manusia cenderung ingin hidup selama-lamanya. Al-Quran melukiskan keinginan sekelompok manusia untuk hidup selama mungkin dengan firman Allah yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya kamu akan mendapati mereka seloba-loba manusia kepada kehidupan (di dunia), bahkan (lebih loba lagi) daripada orang- orang musyrik. Masing-masing ingin agar diberi umur seribu tahun, padahal umur panjang itu sekali-kali tidak akan menjauhkannya daripada seksa. Dan Allah mengetahui apa yang mereka kerjakan.” (Surah Al Baqarah: Ayat 96).

Maka itu Allah memperingatkan kita dengan pelbagai ujian berupa kekurangan, kesakitan dan sebagainya sebelum kita dibawa pulang selama-lamanya supaya nanti kita dapat melakukan penilaian diri disamping memohon ampun terhadap apa jua kesalahan dan dosa yang pernah dilakukan.

Andainya zon singkat itu diabaikan, tiada lagi peluang selepas itu. FirmanNya:

"Sehingga apabila maut mendatangi seseorang daripada mereka, dia berkata: "Rabbi (wahai Tuhanku), kembalikanlah aku (ke dunia). Agar aku kerjakan amal yang salih, terhadap yang aku tinggalkan dahulu. (Jawapan Tuhan)Sekali-kali tidak! Sesungguhnya itu cuma perkataan yang diucapkannya sahaja. Dan ke belakang (iaitu di hadapan) mereka ada barzakh (sempadan pembatas), sampai hari mereka dibangkitkan." (Al-Mukminun 99-100)



Kes Sarbani: Keluarga Dakwa Polis Macam Nak Sorokkan Sesuatu

Kes Sarbaini: Keluarga tak puas hati, nak tahu ‘kisah sebenar’

KUALA LUMPUR, 22 April — Keluarga Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed tidak berpuas hati dengan hasil siasatan polis sambil mendakwa ia tidak dibuat secara menyeluruh untuk mengetahui sebab-sebab kematian penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia itu.

Gambar: Keluarga Ahmad Sarbaini tidak puas hati dengan hasil siasatan polis. — Foto oleh Jack Ooi

Sebaliknya, ketika dihubungi The Malaysian Insider, sumber yang rapat dengan keluarga Ahmad Sarbaini berkata pihaknya mempersoalkan hasil siasatan polis kerana ia tidak dibuat secara menyeluruh selain nampaknya mahu “menyembunyikan” sesuatu daripada diketahui umum.

“Keluarga mempersoalkan kenapa hasil siasatan tidak begitu menyeluruh, macam nak sorokkan sesuatu... bila sudah jadi macam ini, cuba pula nak sorokkan sesuatu.

“Kami sekeluarga tertanya-tanya adakah cerita ini akan habis begini sahaja, kami memang tidak berpuas hati dengan hasil siasatan dan kami tetap nak tahu apa yang terjadi, kami nak tahu kisah sebenar,”
katanya.

Kata sumber itu, keluarga Ahmad Sarbaini sedia maklum punca kematian adalah jatuh dari bahagian tinggi tetapi apa yang dipersoalkan adalah bagaimana dia boleh jatuh sehingga membawa kepada kematian bapa lima anak itu.

“Kami sekeluarga tetap mempersoalkannya, siasatan macam tak begitu menyeluruh... kami memang tahu Allahyarham jatuh dari tempat tinggi tapi atas sebab apa dia jatuh? Sebab apa dia mati, sebab apa yang saya tahu kebiasaannya kalau jatuh dari tingkat tiga dia mungkin hanya akan patah-patah sahaja tapi ini sampai mati (meninggal dunia) pula.

“Sebab itu kami nak tahu apa yang terjadi, sebab apa dia jatuh? Adakah benar dia jatuh dari tingkat tiga dengan sindiri atau ditolak dari atas?

“Kami nak tahu semuanya, kami memang tidak puas hati dan kami nak tahu cerita yang sebenarnya,” tambah sumber itu.

Ditanya mengenai kemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan kelalaian serta mahu membersihkan dakwaan kononnya Ahmad Sarbaini membunuh diri sebagaimana dikatakan sebelum ini, sumber itu berkata, ia akan dibincangan bersama keluarga terdekat.

“Kami akan bincangkan dulu perkara ini, nanti akan dimaklumkan kemudian,” jawabnya ringkas.

Semalam polis berkata kematian Ahmad Sarbaini disebabkan kecederaan pada bahagian kepala selepas jatuh daripada bahagian tinggi bangunan SPRM.

Justeru kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah, kini terserah kepada Peguam Negara untuk menentukan tindakan susulan.

“(Dengan ini) saya minta semua spekulasi dihentikan kerana siasatan sudah dilengkapkan.

“Kertas siasatan akan dihantar kepada Pejabat Peguam Negeri minggu ini atau paling lewat minggu depan,” katanya.

Kata beliau, siasatan menunjukkan ia adalah kematian mengejut dan tiada elemen jenayah terlibat buat masa sekarang.

Zulkifli juga berkata punca kematian ditentukan selepas siasatan terperinci membabitkan pelbagai pihak termasuk polis, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Jabatan Kimia.

Minggu lalu, keluarga Ahmad Sarbaini memberitahu The Malaysian Insider bahawa berkemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap SPRM jika hasil siasatan polis tidak memihak keluarga pegawai kastam itu.

Ahmad Sarbaini ditemui mati di aras satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan 6 April lalu.

Dia merupakan salah seorang daripada 62 pegawai kastam yang menjadi tumpuan Operasi 3B kendalian SPRM dan beberapa agensi kerajaan yang lain.

Kematian Ahmad Sarbaini merupakan kejadian kedua dalam dua tahun ini membabitkan premis SPRM. Kes kematian Teoh Beng Hock, yang ditemui jatuh dari Plaza Masalam, yang menempatkan pejabat SPRM Selangor pada Julai 2009, masih disiasat oleh suruhanjaya diraja. -TMI

Ulasan GB

Baru sebentar tadi GB mengulas mengenai isu ini. Petikan:


Ia memang sudah dijangka dan polis sejak dari hari pertama kejadian "sudah pun" membuat rumusan sedemikian.

Laporan yang dikatakan telah lengkap itu sebenarnya tidak lengkap. Tidak komprehensif. Ia mengulangi siasatan polis di dalam kes Teoh Beng Hock.

Ahmad Sarbani dikatakan "mati kemalangan". Tergantung. Kemalangan disebabkan apa? Tanpa sebab?

Apakah kerana tergelincir? Terjun sendiri? Ditolak? Dicampak? Itu semua kena ada di dalam kertas siasatan. Sekarang NIL.

Inkues dan Suruhanjaya Siasatan perlu ditubuhkan lagi. Sebab polis tidak lengkapkan siasatan. Kerana apa? Macam dalam kes Teohlah jugak.


Jika demikian sikap polis, bagaimanakah polis mahu diyakini oleh rakyat? Nampaknya polis lebih rela maruahnya menjadi hina daripada melaksanakan tugas mendedahkan kebenaran dan menegakkan keadilan untuk rakyat jelata.


Kes Ahmad Sarbani: Siasatan Polis Tidak Lengkap. Kemalangan Kerana Apa?

Cedera Parah Di Kepala Punca Kematian Ahmad Sarbani

KUALA LUMPUR: Polis merumuskan kematian pegawai kastam Ahmad Sarbani Mohamed pada 6 April lepas adalah kerana kecederaan parah di kepala selepas terjatuh dari tempat tinggi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah (gambar) berkata, penelitian penuh yang dijalankan beberapa pihak termasuk polis, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan Jabatan Kimia sebelum membuat kesimpulan berkenaan dan siasatan berhubung laporan kematian mengejut (SDR) itu telah langkap.

Beliau memberitahu, kertas siasatan akan diserah kepada pejabat Peguam Negara selewat-lewatnya minggu ini atau minggu hadapan.

Ditanya sekiranya wujud unsur jenayah dalam kejadian di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah di Jalan Cochrane itu, beliau berkata siasatan masih tertumpu kepada SDR dan tiada peruntukan undang-undang lain yang digunapakai.

Beliau meminta supaya segala spekulasi mengenai kejadian itu dihentikan kerana siasatan di bawah SDR sudah dilengkapkan dan terpulang kepada pihak Peguam Negara sekiranya merka hendak mengambil tindakan lanjut.

"Saya berpuas hati dengan hasil siasatan ini, kami sudah peroleh laporan lengkap termasuk segala bukti, keterangan dari 48 saksi dan lakonan semula di tempat kejadian," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan sambutan Ulang Tahun Pasukan Kor Kadet Polis ke-41 di Tasik Titiwangsa di sini.

Ahmad Sarbani, 56, yang bertugas di Pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu bangunan pejabat SPRM itu setelah dilaporkan pergi ke pejabat itu untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai kastam.

Terdahulu dalam majlis yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Pelajaran Kuala Lumpur Mohd Adenan Deraman hari ini Zulkifli berkata, kor kadet polis menjadi pemangkin kepada remaja untuk tidak melibatkan diri dalam salahlaku pelajar, masalah disiplin dan jenayah ketika meningkat dewasa.

"Kalau hendak kekalkan disiplin remaja, penglibatan diri dalam kor kadet polis dan unit beruniform lain dapat membantu mereka membentuk sahsiah diri yang baik. Jadi ketika dewasa mereka tidak terjebak kepada masalah sosial," katanya.

Beliau berkata statistik jenayah indeks turun 10 peratus bagi tahun ini berbanding tahun lepas dan jenayah jalanan pula turun 21 peratus bagi tempoh yang sama.

Sementara itu Mohd Adenan berkata cabaran bagi pelajar di kawasan bandaraya adalah sangat tinggi dari segi pembentukan sahsiah diri dan disiplin, oleh itu penglibatan dalam aktiviti kokurikulum dapat mendidik mereka menjadi pelajar yang berdisiplin. - BERNAMA

Ulasan GB

Ia memang sudah dijangka dan polis sejak dari hari pertama kejadian "sudah pun" membuat rumusan sedemikian.

Laporan yang dikatakan telah lengkap itu sebenarnya tidak lengkap. Tidak komprehensif. Ia mengulangi siasatan polis di dalam kes Teoh Beng Hock.

Ahmad Sarbani dikatakan "mati kemalangan". Tergantung. Kemalangan disebabkan apa? Tanpa sebab?

Apakah kerana tergelincir? Terjun sendiri? Ditolak? Dicampak? Itu semua kena ada di dalam kertas siasatan. Sekarang NIL.

Inkues dan Suruhanjaya Siasatan perlu ditubuhkan lagi. Sebab polis tidak lengkapkan siasatan. Kerana apa? Macam dalam kes Teohlah jugak.


Email 1Malaysia: Apabila PEMANDU Itu Penipu Rakyat Malaysia...

PEMANDU mengaku menukar E-mel 1Malaysia dari inisiatif kerajaan kepada swasta

PEMANDU akhirnya mengakui bahawa pihaknya telah menukar projek E-mel 1Malaysia dari "inisiatif kerajaan" kepada "inisiatif swasta" dalam lamannya, setelah didedahkan satu laman internet, GreyReview. Bagaimanapun, PEMANDU mendakwa bahawa ia adalah kesilapan semata-mata.

Dalam tweeternya etp_roadmap tadi, PEMANDU meninggalkan mesej, "Hi all, we would like to clarify that we made a genuine error in the backgrounder initially. Upon obtaining clarification about the project, we decided to correct it on our website. We apologise for any misunderstanding."

Semalam, satu laman internet GreyReview mendedahkan bahawa PEMANDU secara senyap-senyap menukar projek E-mel 1Malaysia, dari projek "Government Initiative" pada 19 April, kepada projek "Private Sector Initiative" yang diterajui Tricubes Bhd pada 20 April. Malah, GreyReview menunjukkan perubahan ini melalui gambar yang diambil dengan "print screen" dari laman PEMANDU. Malah, lingkungan fungsinya turut diperkecilkan.

E-mel 1Malaysia adalah satu projek bernilai RM50 juta, diperuntukkan kepada syarikat yang mengalami masalah kewangan, iaitu Tricubes Bhd. Bagaimanapun, projek ini dipertikaikan dalam ruang internet, sehingga Perdana Menteri Najib Razak perlu menjelaskan pada malam 19 April, bahawa ia adalah pelaburan sektor swasta. -MR




Kumpulan Jahil Murakkab Jadikan Kaabah Untuk Bersumpah Laknat

Sindrom memperalatkan Kaabah Oleh Ahmad Tajdid

TRIO Umno penayang video lucah - Abdul Rahim Tamby Chik, Shazryl Eskay dan Shuib Lazim dilaporkan sanggup ke tanah suci Makkah untuk bersumpah di hadapan Kaabah bagi membuktikan kebenaran tuduhan mereka terhadap pembabitan seorang pemimpin pembangkang dalam video lucah hitam putih berteknologi rendah yang kini sudah menjadi tatapan umum termasuk kanak-kanak di bawah umur.

Pengumuman itu dibuat mereka melalui akhbar yang mempromosi video pornografi, Utusan Malaysia bertarikh 20 April lalu. Akhbar ini khabarnya diedarkan secara percuma di sekolah-sekolah terpilih atas biaya Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan yang berketuakan seorang pencinta budaya Melayu, Dr Rais Yatim.

"Kami bukan sahaja sanggup ke mahkamah tetapi juga bersedia melakukan sumpah laknat di mana sahaja termasuk di depan Kaabah. Ini kerana saya yakin, kami di pihak yang benar dan tiada sebarang keraguan bahawa lelaki itu memang Anwar," kata Eskay, seorang muallaf.

Kenyataan Eskay itu disokong Rahim dan Shuib. Malah Shuib yang dilapor suka menginap di salah sebuah hotel di ibu negara atas urusan yang beliau dan Allah SWT sahaja yang tahu mendakwa, 'perjuangan' menyedarkan rakyat mengenai moral adalah lebih penting berbanding kebimbangan dikenakan hukuman mahkamah.

Trio Umno pejuang moral itu diminta mengulas kemungkinan akan didakwa di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana menayangkan rakaman video seks kepada umum. Video seks itu disiarkan pula oleh blogger pro-Umno dan dimuat turun di Youtube. Trio Umno dan polis menafikan menjadi 'jembalang' kepada kegiatan tidak bermoral itu. Dan pihak yang melakukan perbuatan tidak berakhlak itu masih menjadi tanda-tanya sehingga sekarang menyebabkan Ketua Polis Negara menggaru-garukan kepalanya yang tidak gatal.

Artikel ini bukan ditulis untuk mengulas isu video seks yang dipromosikan Utusan Malaysia dan Kosmo!, tetapi hanya sekadar ingin menyentuh kesediaan trio Umno untuk bersumpah laknat di hadapan Kaabah.

Memanglah kita sedari kejahilan trio Umno terhadap hukum agama dan syariah Islam. Dan tidak wajar pula untuk mengulas isu fitnah video seks ini kerana ia hanya sekadar memanjangkan lagi 'lidah syaitan'.

Tetapi budaya sebahagian masyarakat Islam di negara kita yang begitu mengagungkan Kaabah dan Hajar Aswad perlu dibendung supaya ianya tidak sampai ke peringkat syirik.

Ketika Makkah diselimuti fahaman jahiliah, masyarakatnya menyembah berhala. Bahkan kaum Quraisy telah meletakkan tidak kurang dari 360 berhala di dalam dan di sekitar Kaabah. Dalam keadaan itupun, mereka tidak terfikir untuk menyembah Kaabah kerana dalam keyakinan mereka Kaabah bukan tuhan atau berhala.

Mereka hanya melakukan ibadah dan tawaf di sekelilingnya. Kaabah bagi para penyembah berhala itu bukanlah berhala yang disembah. Kaabah bagi mereka adalah rumah Allah SWT untuk melaksanakan ibadah.

Ketika raja Abrahah dari Habsyah mengancam menyerbu Kaabah dengan tentera bergajah, kaum Quraisy tidak merasa takut akan musnahnya Kaabah. Mereka yakin bahawa Kaabah bukan tuhan tetapi 'rumah Allah'. Sudah tentu tuan punya rumah itu akan menjaganya.

Datuk Nabi Muhammad s.a.w., seorang pemuka Quraisy, pada saat genting itu sibuk mengurus kambing-kambing miliknya yang dirampas Raja Habsyah. Abdul Muttalib lebih risaukan kambingnya yang dijarah tentera Abrahah daripada matlamat mereka datang ke Makkah untuk meruntuhkan Kaabah.

Seorang Quraisy bertanya kepadanya: "Wahai Abdul Muttalib! Mengapa engkau sibuk mengurus kambing-kambingmu sedang rumah Tuhanmu hendak dihancurkan?"

Maka beliau menjawab: "Kambing ini kepunyaan saya maka saya menjaganya, sedangkan Kaabah kepunyaan Allah maka Dialah yang menjaganya."

Dan Allah menerangkan dalam Al-Quran yang bermaksud:

"Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap tentera bergajah. Bukankah Dia telah menjadikan tipu daya mereka (untuk menghancurkan Kaabah) itu sia-sia, dan Dia mengirimkan kepada mereka burung yang berbondong-bondong, yang melempari mereka dengan batu (berasal) dari tanah yang terbakar, lalu Dia menjadikan mereka seperti daun-daun yang dimakan (ulat)." (Surah Al-Fiil: 1-5)

Begitulah tamatnya episod tentera bergajah.

Khalifah ar-Rasyidin, Saidina Umar Al-Khattab terkenal dengan ungkapannya yang abadi: "Sesungguhnya aku tahu bahawa engkau (hajar aswad) adalah batu yang tidak membahayakan, dan tidak pula dapat memberi manfaat. Seandainya aku tidak melihat Rasulullah s.a.w. menciummu, maka sekali-kali aku tidak akan menciummu." (Riwayat Bukhari)

Peringatan Saidina Umar itu perlu bagi mengingatkan umat Islam agar tidak terlampau mengagung hajar aswad, salah satu komponen penting Kaabah kerana ia boleh mengundang syirik.

Umat Islam menghadap Kaabah ketika solat dan tawaf mengelilinginya atas perintah Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haram (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan." (Surah Al-Baqarah: 144)

Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas bahawa Nabi s.a.w. mengerjakan Tawaf mengelilingi Kaabah dengan menunggang seekor unta pada ibadah haji terakhir dan menyentuh hajar aswad dengan tongkatnya. (Sahih Bukhari juz 2, no. 677)

Dengan demikian nyatalah bahawa Kaabah dan Hajar Aswad hanyalah batu yang tidak dapat mendatangkan celaka atau tidak dapat mendatangkan untung kecuali dengan izin Allah SWT.

Maka hasrat untuk bersumpah laknat di hadapan Kaabah bukanlah daripada ajaran Islam kerana tidak terdapat sebarang nas berhubung kelebihan bersumpah di hadapan Kaabah berbanding di tempat-tempat lain.

Sumpah laknat juga hanya dibenarkan dalam kes li'an, iaitu sisuami yang bersumpah bahawa isterinya seorang yang curang dan nusyuz (derhaka). Sumpah suami juga tidak membolehkan isterinya dihukum hudud kerana ia hanya membersihkan sisuami daripada jenayah Qazaf (menuduh seseorang melakukan zina tanpa empat orang saksi lelaki yang adil) dan bukan mensabitkan kesalahan siisteri.

Hanya yang wujud adalah nas-nas tentang kelebihan beribadah (solat dan beriktikaf) di Masjid Haram, Masjid Nabawi dan Masjidil Aqsa dan kesemua ibadah yang dilakukan itu juga perlulah menepati kehendak syariah dan bukan sekadar ikut-ikutan seperti diyakini trio Umno.

Mutakhir ini Masjidil Haram dan Kaabah seringkali dijadikan objek untuk mempamerkan 'komitmen' seseorang terhadap Islam yang dianutinya. Ada yang bernikah di Masjidil Haram dan bergambar di hadapan Kaabah selepas majlis pernikahan. Malangnya apabila pulang ke tanah air, si pengantin perempuan hanya berkemban apabila bersanding di pelamin dan majlis kenduri kahwin itu pula mengandungi unsur-unsur yang tidak menepati syarak.

Banyak lagi kejadian orang ternama yang menggunakan Masjidil Haram untuk mempamerkan imej warak mereka di mata umum. Bagaimanapun apa yang mahu dilakukan oleh trio Umno, iaitu bersumpah laknat di hadapan Kaabah, adalah bid'ah terbaru kumpulan juhala dan jahil murakkab (jahil yang bertimpa-timpa) yang sudah lama berkampung di dalam Umno.

Insafilah bahawa sumpah laknat hatta di hadapan Kaabah pun tidak akan melepaskan mereka daripada jenayah qazaf.

Elok kiranya artikel ini diakhiri dengan petikan buku "Qazaf: Mangsa Fitnah" tulisan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang:

"Orang yang dituduh melakukan perbuatan zina (al-maqzuf), liwat atau sepertinya tidak perlu dibicarakan. Sebaliknya yang perlu dibicarakan ialah orang yang menuduh. Sebab dia telah melemparkan tuduhan qazaf (melemparkan tuduhan zina) maka dia wajib mengemukakan bukti-bukti yang kukuh.

"Kaedah syariat berkenaan hal ini adalah: Orang yang menuduh wajib mengemukakan bukti dan orang yang dituduh wajib mengucapkan sumpah. Bagaimanapun dalam kes seperti ini, orang yang dituduh tidak dituntut untuk bersumpah. Sebab pada dasarnya setiap manusia itu bersih daripada sebarang tuduhan, seperti mana secara hukum asalnya setiap muslim mesti berbaik sangka dan memandang dengan pandangan yang baik sesama mereka.

"Adalah hak setiap orang yang dituduh dengan tohmahan keji ini untuk menuntut orang yang menuduhnya dalam satu perbicaraan mahkamah syariah yang adil. Manakala kewajipan seorang kadi muslim yang menangani kes ini dengan cara yang diredhai Allah dan hukum syariat-Nya adalah: Menuntut penuduh untuk mengemukakan bukti dakwaannya, iaitu empat orang saksi sepertimana yang diterangkan oleh al-Qur'an. Jika dia tidak berbuat demikian maka gugurlah dakwaannya.

"Kadi wajib menegakkan hukuman Allah ke atas dirinya iaitu dengan menyebatnya sebanyak 80 sebatan, menghilangkan haknya dalam memberikan kesaksian, dan mengecapnya sebagai fasik melainkan jika ia bertaubat."

Setelah membaca penjelasan ini, masih adakah manusia bergelar muslim sanggup pergi ke hadapan Kaabah untuk bersumpah laknat semata-mata untuk menuduh "si polan bin si polan telah melakukan zina?" -HD

Lagi Mengenai Video Seks Lucah Datuk T. Lawak Tapi Serius.

Filem Omega yang tercicir... Oleh Hishamuddin Rais

Aku tercari-cari alamat tempat yang aku tuju. Agak susah juga kerana aku kurang arif dengan daerah ini. Aku meleser sambil mata aku memandang ke angka rumah rumah kedai yang sedang aku cari. Dua tiga ekor anjing berkeliaran di jalan.

Kebanyakan angka rumah kedai ini telah rahai. Dua kali aku mundar-mandir di lorong yang sama. Nah! Tak berjumpa dengan bangunan yang aku cari. Yang aku nampak hanya perempuan-perempuan cun berbaju ketat, bergincu merah, ranggi dan bergetah berdiri di tepi pintu.

Perempuan-perempuan ini memerhatikan aku. Aku menjual senyum. Seorang Minah melambai. Aku nekad dan memberanikan hati untuk datang bertanya. Minah ini terus ke gigi jalan meninggalkan yang lain. Kemudian aku membuka mulut untuk bertanya: Di mana Galeri le Atalier?

"Abang nak buat apa? Nak buat filem ke?" Suaranya garau dan kasar seperti suara Mat Indon dari Jawa Tengah yang telah sepuluh tahun menetap di Kuala Lumpur. Tersirap darah jantan aku. Astaga! Purtan rupa-rupanya.

Aku menganggukkan kepala. Lalu Si Purtan ini menunjuk bangunan yang sebenarnya tak jauh dari tempat aku berdiri. Si Purtan ini menghulurkan kad niaganya kepada aku. Aku mengambil dan berterima kasih. Kad ini aku simpan ke dalam saku baju. Aku berjalan menuju ke bangunan itu.

Aku menaiki tangga ke tingkat satu. Nampaknya aku sampai ke tempat yang betul. Tetapi kerusi penyambut tamu kosong. Maka aku duduk keseorangan. Aku memerhatikan sekeliling. Saheh tak ada orang. Sekali lagi kepala aku berpusing untuk melihat kalau kalau ada anjing di bilik ini. Sifar.

Tetiba aku terdengar suara kasar dari bilik sebelah ruang tamu. Aku memasang telinga. Kini aku betul-betul macam Mat Skodeng Jawi sedang mengintai di tepi Tasek Perdana Bangi.

"Kau tahu… aku dapat panggilan telefon... bukan sekali... tiga kali... semua dah kantoi. Ini kerja kaulah. Berapa juta duit kau dah kelepet...? Belanja mahal tapi kerja tak rapi. Apa kau ingat orang Malaysia bodoh macam orang Gombak?' Suara lelaki ini kuat dan kasar.

"Apa hal dengan Gombak pulak?" jawab suara lelaki yang agak halus.

"Gombak tempat kamu buat post-productionkan? Bukan aku tak tahu. Kau buat recording pun di sana. Kau kelentong buat di LA. Hei… dengan aku kau jangan nak kelentong."

"Jangan putar alamlah. Jawab soalan aku ini. Siapa pilih pelakon itu? Tak ada pelakon lain ke? Bila tayang dalam YouTube semua orang ketawa. Kau ingat orang Malaysia bodoh..senang ditipu. Pelakon itu boroi. Sejak bila boroi. Kau ingat ini main-main ke? Cuba kau tengok sekali lagi..pasang VCD aku nak tunjuk.'

Aku di ruang tamu mula tersenyum ketika memasang telinga. Bilik senyap - mungkin VCD sedang berputar. Tujuan aku datang ke sini bukan nak dengar orang bergaduh. Aku datang untuk melamar kerja. Aku difahamkam Galeri le Atalier ini memerlukan tenaga untuk pembikinan filem.

"Henti ..henti... Siapa Mamat ini? Apa sebab dia muncul dalam filem ini. Perut pun boroi. Dia ingat dia Alfred Hitchcock. Pengarah nak kena ada dalam filem?" Suara jantan ini makin marah.

"Tak dapat potong yang ini... itu pasal si pengarah itu masuk dalam frame. Kalau potong nanti orang ingat tak ori.'

Baru aku sedar rupa-rupanya Galeri le Atilier ini yang telah membuat filem Tiga Mat Boroi. Wow! Baru aku tahu rupa-rupa di sini sarangnya. Aku merasa begitu gembira kalau aku dapat bekerja dengan le Atalier ini. Le Atalier ini memang gedebe. Dari apa yang aku dengar filem-filem mereka cukup hebat.

Aku dengar juga mereka telah berjaya membuat filem Pontianak Menyundal Di Kalimantan. Dari desas-desus aku mendengar yang syarikat ini juga sedang merancang untuk membuat 'Jangan Tinggalkan Jandaku'. Mungkin inilah projek yang mereka hendak aku turut campur.

"Kau kenal Datuk SK… Kenapa dia buat heboh di akhbar katakan laci bilik hotel berkunci. Gila… mana orang nak percaya. Guna otak..guna otak.. Mana pernah laci dalam bilik hotel berkunci. Kalau nak menipu… tipu betul-betul. Laci bilik hotel yang ada kelas tak berkunci… "

Senyap sebentar kemudian lelaki bersuara halus menjawab: "Itu saya tak tahu. Krew saya hanya diupah untuk membuat filem ini saja. Hal mengedar saya tak tahu."

Tanpa aku sedari tetiba tiga lelaki tercegat berdiri tak jauh dari tempat aku duduk. Aku tak sedar bila mereka sampai. Mereka tersenyum dan terus mengambil tempat duduk.

Lelaki yang duduk di sebelah aku menghulur tangan untuk bersalam. Aku menyambut Dia terus bersuara: “ Datang nak casting ke? I dengar dia orang nak buat satu gambar baru. Producer sedang cari pelakon. You berlakon ke?'

Aku mengeleng kepala.

"You nak mengarah ke? I dulu kerja dengan Um. I buat 16 siri untuk dia. Yang dua lagi tu kawan I yang berlakon. Lapan belas semuanya. Tapi satu pun belum tayang. Dengar khabar Jawi belum luluskan. Kerana dalam babak makan… tak seorang pun baca bismilah. Pasal ini Jawi cukup marah.'

Aku perhatikan tiga lelaki ini betul-betul. Kelihatan ketiga-tiga mereka boroi. Lalu aku terfikir apakah boroi ini tanda hidup yang berjaya. Sedang kepala aku ligar berfikir pintu bilik terbuka. Seorang lelaki yang juga boroi berdiri tercegat di tengah pintu.

"Kau orang berempat ini datang casting ke? Bangun aku nak tengok muka?". Aku sedar inilah suara lelaki yang kasar tadi. Tiga lelaki itu bangun berdiri. Aku tetap duduk tidak berganjak.

"Hoi! kau orang bertiga ini kalau nak berlakon kena masuk gym enam bulan dulu. Perut kamu boroi. Watak boroi ada… filem Jantan Dari Pagoh… tapi roll tahun depan. Sekarang ini nak roll filem Omega Yang Tercicir... -mk


Trio Umno perlu didakwa
Subky Latif

MENGIKUT keterangan jurucakap polis Datuk T atau Trio Umno, kumpulan terdiri dari tiga orang yang mengedarkan video lucah yang dikatakan mengaitkan ketua pembangkang akan didakwa kerana mengedar dan menayangkan klip terlarang dan terkutuk itu.

Kenyataan awal polis bagaimana pun terserah kepada Peguam Negara. Kuasa polis hanya menyiasat dan kuasa mendakwa ialah Jabatan Peguam Negara.

Tetapi polis yang membuat kenyataan itu dipercayai sudah puas hati kumpulan tiga orang itu sudah boleh didakwa.

Ia suatu yang dinanti-nanti oleh semua orang.

Ada pun siapa sebenarnya menjadi pelakun dalam video itu adalah perkara lain yang boleh ditentukan kemudian. Tetapi yang ternyata salah ialah orang yang mengedarkan video lucah. Ketiga-tiganya belum boleh dikatakan salah kerana ia akan ditentukan oleh mahkamah. Didakwa atau tidak bergantung kepada Jabatan Peguam Negara.

Seperti kejadian Saidina Umar al-Khatab menyerbu sebuah rumah yang disyaki dan dipastikannya berlaku maksiat. Dia menyerbut ikut tingkap bagi menangkap orang yang disyaki.

Khalifah tidak meneruskan tangkapan kerana tuan rumah mendakwa khalifah melakukan tiga kesalahan untuk menangkapnya iaitu masuk ke dalam rumahnya ikut tingkap – tidak ikut pintu, mengintip ketenangan dalam rumahnya dan masuk rumahnya tanya izinnya dulu.

Kesalahan tuan rumah yang cuba ditangkap adalah perkara kedua, tetapi kesilapan khalifah perlu diselesaikan dulu.

Dalam kejadian video lucah itu pemilik, pengedar tayang dan penontonnya atas apa jua sebab perlu ditangani dulu. Jika semuanya disabitkan sebagai fitnah, maka punca fitnah itu perlu didahulukan.


Selain dari wayang haram itu telah memfitnah ketua pembangkang dan keluarganya, ia boleh memalu dan memfitnah keluarga tiga kumpulan itu yang sudah pun mengaku berterang-terangan menayangkannya.

Di antara tiga itu yang dikenali dan dihormati dalam masyarakat sekarang ialah keluarga seorang menteri kerana dia adalah bapa mertua kepada menteri itu.

Menteri itu, isterinya iaitu anak dari salah seorang kumpulan tiga orang itu dan anak-anak menteri itu yang masih bersekolah telah tahu kegiatan orang tua itu.

Menonton video itu saja sudah melanggar undang-undang. Menyimpan atau memilikinya juga melanggar kesalahan lagi dan menayangkan kepada orang lain adalah lebih salah lagi.

Ia boleh memalukan menteri itu kerana bapa mertuanya terlibat. Ia boleh memalukan isteri menteri itu atas kegiatan si ayah. Anak-anak menteri itu yang sudah tahu erti malu mengetahui pula tentang datuk mereka menengok video yang tidak patut ditengok oleh orang awam baik beragama apa sekali pun.

Jika kawan-kawannya di sekolah tahu yang dia adalah datuk mereka, maka apa pula komen mereka tentang si datuk itu dan bagaimana kalau mereka bertanya pula dari anak menteri itu tentang datuknya?

Maka semuanya sekarang telah tahu tentang datuk anak-anak menteri itu.

Semua tahu akan kesan saikologi yang dihadapi oleh anak-anak seorang anggota kabinet 30 tahun lalu atas kes yang dihadapi olehnya. Sejak kes itu ditahan, dibicarakan, dihukum dengan diringan dipenjara saja, menyebabkan anak-anaknya di sekolah tertekan untuk menghadapi rakan-rakannya.

Rakan-rakannya bertanya tentang setiap perkembangan dalam kes itu hingga anak-anak itu tahu bagaimana hendak menghadapinya.

Ia menjadi pengajaran kepada semua tentang masalah yang dihadapi oleh keluarga menteri itu dulu. Dan kini keluarga seorang menteri lagi menghadapi kesan fitnah juga.

Sama ada datuk trio itu didakwa atau tidak, keluarga masing-masing sudah pun berdepan dengan kesan dan tekanan jiwa.

Ketiga-tiganya mesti berdepan dengan tindakan undang-undang supaya masing-masing mendapat pengajaran daripadanya dan supaya kesalahan undang-undang itu tidak dilakukan oleh orang lain pula. Dakwaan itu bukan dibuat sekadar memenuhi desakan orang tetapi dibuat kerana undang-undang memperuntukkannya begitu.

Semua menunggu perkembangan selanjutnya setelah jurucakap polis menyatakan mereka sedang menunggu keputusan Peguam Negara. -HD