17 Ogo 2011

Memang SPR Penipulah! Bekas Tentera Mengaku "Tolong Pangkah" Undi

Tiga lagi anggota bekas tentera hari ini mengaku pernah memanipulasi kertas undi pos Pilihan Raya Umum (PRU) atas arahan pegawai atasan semasa tempoh perkhidmatan mereka.

Selain pernah ditawarkan habuan, mereka mengaku telah diarahkan supaya memangkah beratus-ratus kertas undi pos bagi pihak anggota tentera lain yang sedang bertugas termasuk undi isteri.

Dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS hari ini, Mejar (B) Risman Mastor mendedahkan semasa PRU ke 6 tahun 1978, beliau yang ketika itu bertugas di sempadan Malaysia-Thailand telah menerima dua karung guni (Parlimen dan Dewan Undangan Negeri) yang berisi beratus-ratus undi pos.

Kemudiannya, beliau mendakwa pihak atasan telah mengeluarkan arahan supaya memangkah kertas tersebut kepada calon pembangkang kerana tidak berpuas hati dengan layanan kerajaan terhadap anggota tentera pada ketika itu.

“Sebelum PRU6 seorang menteri wanita Umno-Barisan Nasional (BN) dalam ucapannya di Parlimen telah menganggap kami anggota tentera tidak berkelulusan tinggi untuk ditawarkan gaji yang sama seperti guru sekolah.

Guru anak emas, tentera anak tiri

“Kami cuba diketepikan sehinggakan wujudnya kain rentang ‘guru dianak emas, tentera dianaktirikan’,” katanya yang mahu membuktikan undi pos merupakan sistem yang amat mudah dimanipulasi oleh parti dan individu namun tidak meberi keuntungan mana-mana pihak sama ada BN mahupun pembangkang.

Sementara itu, Kamarul Zaman Ibrahim, 53, berkata semasa berkhidmat sebagai kerani di Markas Tentera 3 Divisyen Terendak, Melaka, beliau turut melakukan perbuatan sedemikian termasuk menandatangani borang pengesahan undi selama tiga hari iaitu sepanjang tempoh undi pos dijalankan.

“Tiga hari saya berpanas dalam sebuah bilik memangkah dan tandatangan nama anggota tentera yang bertugas daripada seluruh negeri sampai terpaksa sediakan tiga batang pen biru dan hitam dalam poket,” katanya yang mengaku tidak pernah berdaftar sebagai pengundi pos namun namanya wujud dalam sistem apabila disemak.

Namun beliau berkata tindakannya itu hanya sia-sia apabila hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja.

“Tentera berkorban jiwa raga untuk negara tetapi kami hanya diberikan tanah tiga kaki lebar, tujuh kaki panjang dan tujuh kaki dalam sahaja (saiz keluasan kubur),” katanya kesal.

Namun tidak bagi bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Mohd Kamil Omar, 49, yang pada mulanya diarahkan memangkah sekotak kertas undi pos semasa PRU tahun 1999 di Kem Butterworth.

Menceritakan pengalamannya, Mohd Kamil atau dikenali Komando Kamil yang keliru dengan arahan tersebut kemudiannya naik berang apabila pihak atasan menjanjikan habuan jika selesai melakukannya dalam tempoh setengah jam.

“Saya tahu itu salah dan tidak mahu bersubahat, ia seperti mengkhianati negara,” katanya.


Sementara itu, bekas anggota tentera yang pernah mengaku memanipulasi kertas undi pos semasa bertugas di Kem Sandakan, Sabah sebelum ini, Mohamed Nasir Ahmad, 50, berkata mereka tidak sedar perbuatan mereka ketika itu mampu membawa kesan serius, dan tidak mampu berbuat apa-apa ketika berkhidmat sebagai kakitangan awam.

“Tentera ibarat ‘Yes Man’. Kalau kami lawan negara akan jadi huru-hara.
“Selepas wujudnya Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) baru tersedar apa yang kami buat itu tak betul,” katanya.

Undi pos mudah dimanipulasi

Sementara itu Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat menegaskan undi pos adalah sistem yang boleh dimanipulasikan oleh sesiapa sahaja termasuk pemantauan yang lemah oleh SPR.

“Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof dengan yakin pernah berkata perkara sedemikian tidak wujud lagi di zaman pentadbirannya.

“Namun bagi saya ia tetap wujud dari dulu sampai sehinggalah sekarang terutamanya ketika Pilihan Raya Kecil Dun Bagan Pinang 2009,” katanya

Justeru kata beliau pihaknya akan terus mendesak kerajaan dan SPR dengan mendedahkan lagi beberapa penyelewengan dari semasa ke semasa sehinggalah pembaharuan sistem pilihan raya dilaksanakan sebelum PRU13. -FMT


Bekas tentera mengaku "tolong pangkah" undi

KUALA LUMPUR, 17 Ogos: Empat bekas anggota tentera mengakui pilihanraya di negara ini tidak bersih dan tidak adil, sehingga mereka sendiri mengakui pernah memangkah ribuan kertas undi pos anggota-anggota tentera lain dan kertas-kertas undi isteri anggota tentera, atas arahan pegawai atasannya.

Ketika itu, mereka melakukannya tanpa rasa bersalah setelah diarahkan berbuat demikian, tambahan pula mereka sendiri tidak pernah mengambil berat soal pilihanraya, pembuangan undi dan politik tanah air.

Seorang bekas tentera, Mohamed Nasir Ahmad, 50, mengakui pernah memangkah 400 kertas undi pos bagi pihak anggota tentera lain pada pilihanraya umum tahun 1986 lalu ketika bertugas di Sabah.

Menurut beliau, perbuatan itu dilakukan setelah menerima arahan pegawai atasannya dan arahan itu pula dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab sesuai dengan disiplin tentera.

"Saya bertugas di bahagian perkeranian. Saya bertugas di Sabah selama 4 tahun. Sebelum bertugas di Sabah, saya pernah bertugas di Mindef dan kemudian di beberapa tempat lain lagi.

"Walaupun arahan dan pekerjaan itu hanya sekali sahaja saya terima dan saya lakukan sepanjang saya berkhidmat dalam tentera sehingga saya bersara cukup tempoh pada tahun 1998 lalu, tetapi saya tetap rasa bersalah sehingga sekarang," jelasnya pada sidang media di Pejabat Agong PAS, di sini, hari ini.

Seorang lagi bekas anggota tentera, Kamarulzaman Ibrahim, 53, mengakui telah memangkah ribuan kertas undi pos selama 3 hari sehingga lenguh.

Perbuatan tersebut dilakukan setelah menerima arahan dari pegawai atasannya pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-7 pada tahun 1986 lalu ketika sedang bertugas di Kem Terendak, Melaka.

Beliau yang bertugas sebagai kerani tadbir menjelaskan, selain memangkah kertas-kertas undi pos tentera sebanyak dua karung dengan angka ribuan itu, beliau turut menandatangan setiap borang yang dikepilkan bersama kertas-kertas undi tersebut.

"Ketika memangkah kertas-kertas undi itu, saya terpaksa menggunakan tiga jenis pen berlainan warna bagi mengelak dikesan. Jumlahnya memang banyak, sebanyak 2 karung, tetapi saya tak tahu jumlahnya, yang nyata ribuan, hingga lenguh tangan.

"Pen tiga batang ada dalam kocek saya dan saya isu borang sampai terpaksa tanggal baju kerana panas sebab dulu mana ada kipas. Saya perlu isi banyak nama dan pangkah banyak borang, jadi pen nak kena banyak,” katanya yang bersara pada tahun 1991 lalu.

Beliau yang tinggal di Johor turut mengakui kertas-kertas undi pos yang dipangkahnya itu melibatkan anggota-anggota tentera di seluruh negara dan melibatkan pengundian untuk kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun).

"Saya berbuat demikian kerana "sekadar menurut perintah." Kini saya sedar apa yang saya lakukan itu adalah salah. Jadi saya turut tampil membuat pengakuan pada hari ini supaya semua orang tahu mengenai kepincangan pilihanraya di negara kita," katanya.

Sementara itu, Mejar (B) Risman Mastor, 64, pula mengakui turut diarahkan memangkah puluhan kertas undi pos ketika bertugas di Kem Kampung Sawah, Port Dickson, Negeri Sembilan pada PRU tahun 1978 lalu.

"Jika kepada rakan-rakan saya yang lain, mereka diarahkan memangkah BN, kepada saya berbeza pula. Saya diarah oleh pegawai atasan saya supaya memangkah pembangkang sebagai tanda protes kepada kerajaan.

“Puncanya, ketika itu kami marah pasal gaji sebab ketika itu gaji kami sangat rendah jika hendak dibandingkan dengan guru. Kami dianaktirikan, kami berjuang demi negara, kawan-kawan kami ada yang kudung kaki, kami berjuang demi mempertahankan negara, tapi apa yang kami dapat?”

"Disebabkan tidak puas hati dengan perkara itu, pegawai atasan kami telah mengarahkan saya memberikan undi kepada pembangkang, walaupun jumlahnya sekitar 20 hingga 30 kertas undi sahaja," katanya yang bersara pada tahun 1996 lalu.

Manakala seorang lagi bekas tentera, Mohd Kamil Omar, 49, dari unit Komandor TUDM menjelaskan, meskipun tidak pernah menerima arahan memangkah kertas-kertas undi pos, tapi beberapa karung kertas undi pos yang telah dipangkah oleh rakan-rakannya bagi pihak rakan-rakan tenteranya yang lain pernah dilihat dengan jelas di hadapan matanya sendiri.

"Namun ketika itu, kami anggota tentera tidak mempedulikan sangat tentang politik, tentang pilihanraya. Kami tak pernah mengambil tahu sama ada pilihan raya di negeri kita besih atau tidak, adil atau tidak.

"Kini menerusi perjuangan Bersih 2.0, barulah banyak anggota tentera yang sedar mengenai perkara itu. Mujur jugalah adanya perjuangan Bersih 2.0. Kalau tidak banyak anggota tentera akan terus tidak mengetahui perkara itu, malah ada yang langsung tak tahu hak mereka sendiri dalam pilihanraya," ujar beliau.

Kunjungan mereka ke Pejabat Agung PAS ditemani Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi, Dewan Pemuda PAS Malaysia yang juga Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat. -Hd


Panel Khas Parlimen: Pembentukan Awal J/K Sudah Tempang

Pakatan Rakyat mahu pembentukan jawatankuasa khas parlimen (PSC) yang majoritinya dibarisi wakil rakyat daripada parti pemerintah dipertimbangkan semula oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Hal ini kerana menurut ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar Ibrahim, kebiasaannya jawatankuasa-jawatankuasa khas di negara luar akan diketuai oleh pembangkang.

"Saya rujuk kenyataan media yang kita berikan semalam, kita sudah sediakan syarat rujukan sebagai jawatankuasa pilihan.

"Di mana-mana negara sama sekali pun jawatankuasa pilihan perlu dianggotai dan diketuai oleh pembangkang di sesebuah negara itu. Jadi pada pandangan awal saya, (pembentukan jawatankuasa) ini sudah tempang dan tidak mencerminkan hasrat keseriusan untuk melakukan reformasi dalam sistem pilihan raya," katanya selepas membuat lawatan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bersama Datin Seri Wan Azizah Ismail pada jam 3.30 petang tadi.

Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz mengadakan sidang media tergempar untuk memberitahu jawatankuasa khas parlimen yang akan ditubuhkan akan dianggotai oleh lima wakil rakyat daripada parti kerajaan, tiga pembangkang dan satu bebas.

Nazri juga memberitahu, usul mengenai pembentukan jawatankuasa tersebut akan dibentangkan ketika sidang Parlimen Oktober depan.

Dalam pada itu, Izzah menegaskan keputusan yang dibuat dalam pembentukan jawatankuasa ini adalah penting memandangkan ia merupakan satu reformasi pembaharuan dan penambahbaikan terhadap sistem pilihan raya di negara ini yang sudah tertunggak sejak sekian lama.

"Bukan kita menolak, tetapi kita bersedia bekerjasama tetapi anda pun tahu bagaimana parlimen kita berfungsi.

"Kalau majoriti daripada BN, SPR juga bergantung kepada BN, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga bergantung kepada BN, jadi bagaimanakah kita hendak pastikan ada perbezaan sedangkan tuntutan untuk melakukan reformasi sistem pilihan raya itu sudah lama dikenalpasti oleh Suhakam, sudah dikenalpasti juga oleh badan-badan lain...isunya ialah pelaksanaan,"katanya lagi.

Oleh itu beliau meminta Perdana Menteri, Najib Razak supaya beristiqamah dalam pembentukan jawatankuasa khas ini, sekali gus menilai semula tujuh syarat yang diletakkan oleh Pakatan Rakyat untuk menyokong penubuhan jawatankuasa terbabit.

"Saya menggesa sekali lagi kalau beliau (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak) boleh merujuk semula perkara berbangkit ini.

"Pertamanya isu yang lebih besar sudah ada rekomendasi daripada Suhakam merujuk kepada laporan 2007 yang menyatakan ada tiga atau empat langkah yang perlu dibuat dalam reformasi pilihan raya," ujarnya.


Nazri: Saya tak tau siapa BERSIH?

“Kita tak berunding (dengan) BERSIH, saya tak tau siapa BERSIH?”

Demikian jawapan yang diberikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz apabila diminta mengulas tuntutan gabungan NGO itu bagi mendapatkan dua laporan berhubung cadangan pembentukan jawatankuasa khas Parlimen untuk melakukan pembaharuan dalam undang-undang dan peraturan berkaitan pilihan raya di negara ini.

Sambil membidas BERSIH 2.0, Nazri berkata mereka tidak mempunyai alasan untuk memberikan kata dua, termasuk menetapkan tempoh masa kepada kerajaan untuk membuat reformasi dalam sistem pilihan raya negara.

“... Seperti saya katakan sebelum ini, kita akan adakan perbicaraan awam. Semasa perbicaraan, mereka seperti masyarakat lain - orang awam, mereka boleh datang dan memberikan pandangan,” katanya kepada wartawan di lobi parlimen hari ini.

“Kita bukan sahaja tidak berunding dengan mereka, kita berunding dengan semua anggota masyarakat yang mempunyai sesuatu untuk disumbangkan. Kerana mereka bukannya istimewa, tiada sebab untuk mereka beri kata-dua kerana bukan bagi mereka memberitahu kita apa yang perlu dilakukan.”

Semalam, anggota jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0 berkata laporan petama jawatankuasa khas berkenaan mengenai pembaharuan harus dikeluarkan dalam tempoh tiga bulan dan diikuti satu lagi dalam tempoh setahun.

“Harapan kita ialah secepat mungkin. kalau sebaik baiknya, sesi akan datang, kita boleh pindah undang-undang itu. Saya ingat sesi ni tak sempat,” kata Nazri.

BERSIH 2.0 juga mengalurkan garis panduan dan perkara-perkara yang perlu diberi tumpuan pada reformasi itu.

Sementara itu, Bernama melaporkan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) bagi menambah baik sistem pilihan raya yang mungkin ditubuhkan selepas 3 Oktober, akan hanya dianggotai ahli parlimen (MP) daripada parti pemerintah Barisan Nasional, pembangkang dan Bebas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata beliau akan membentangkan usul untuk penubuhan PSC dwipartisan itu pada sidang Parlimen akan datang yang bermula 3 Okt dan anggota jawatankuasa itu tidak akan termasuk kalangan bukan anggota Parlimen.

"Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh turut serta sebagai saksi semasa pendengaran dan bukan sebagai anggota PSC. Prosedur penubuhan PSC amat jelas dan ia mesti dianggotai anggota Parlimen. Sebab itu ia dipanggil Jawatankuasa Pemilih Parlimen," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata PSC bagi menambah baik sistem pilihan raya akan mengkaji isu-berkaitan pilihan raya yang dibangkitkan dan mencari jalan untuk menambah baik undang-undang pilihan raya sedia ada.

"PSC akan draf laporan mengenai isu-isu pilihan raya, kemudian ia akan mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mencapai rumusan. Selepas itu, draf akhir akan dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk semakan sebelum diluluskan oleh Kabinet, dan akhir sekali dibentangkan di Parlimen untuk digubal menjadi undang-undang," katanya.

Nazri menjelaskan bahawa walaupun proses itu mungkin mengambil masa, kerajaan berharap untuk melaksanakannya sebelum pilihan raya umum akan datang kerana mandat sekarang akan berakhir pada Mac 2013.

"Jika pilihan raya umum diadakan pada 2013, kita kemungkinan akan menggunakan undang-undang yang telah ditambah baik seperti dicadangkan oleh PSC.

Bagaimanapun, saya tidak tahu bila pilihan raya umum akan datang diadakan. Hanya Perdana Menteri yang tahu," katanya.

Nazri berkata Kabinet akan membincangkan penubuhan jawatankuasa itu hari ini, termasuk bidang tugas dan jumlah anggotanya yang mungkin antara lapan dan 15 orang.

"Jawatankuasa ini kemungkinan diketuai Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Baki anggotanya ialah anggota Parlimen daripada BN, pembangkang dan Bebas," katanya.

Nazri mendedahkan Kabinet, pada mesyuarat mingguannya Rabu lepas, telah membincangkan desakan pakatan pembangkang bagi diadakan sidang tergempar Parlimen bagi membincangkan dakwaan kononnya penduduk tetap diberikan kewarganegaraan dan hak mengundi.

Pakatan pembangkang yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS telah menghantar memorandum kepada Perdana Menteri pada 8 Ogos menggesa diadakan sidang tergempar Parlimen pada bulan ini bagi membahaskan apa yang mereka rujuk sebagai "isu penduduk tetap yang didaftarkan sebagai pengundi".

"Keputusan untuk menubuhkan jawatankuasa pemilih Parlimen adalah hasil daripada mesyuarat itu. Oleh yang demikian, tidak perlu diadakan sidang tergempar Parlimen sepertimana diminta oleh parti-parti pembangkang ekoran kerajaan telah memutuskan untuk menubuhkan Jawatankuasa Pemilih Parlimen untuk
mengkaji perkara itu," katanya.

Pengumuman yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Isnin lepas mengenai penubuhan jawatankuasa itu mendapat sambutan baik daripada pembangkang dan orang ramai termasuk Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH).

Bagaimanapun, pakatan pembangkang mendesak supaya PSC dipengerusikan oleh anggota Parlimen pembangkang dan kerajaan memberikan jaminan pilihan raya umum tidak diadakan sehingga PSC menyiapkan tugasnya dan penambahbaikan yang dicadangkan itu dilaksanakan. -mk




Rakyat Tak Ada Mood Nak Kibar Bendera Malaysia Selagi BN Yang Berkuasa

BN punca semangat sambut merdeka pudar

KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Tindak tanduk Kerajaan BN yang amat mengecewakan rakyat menyebabkan semangat rakyat untuk merayakan sambutan kemerdekaan negara semakin pudar dari setahun ke setahun.

Pada dasarnya, semua rakyat Malaysia pasti ingin merayakan sambutan kemerdekaan negara, tetapi kekecewaan rakyat terhadap tindakan Kerajaan BN menyebabkan rakyat tidak bersemangat untuk menzahirkan semangat patriotisme masing-masing menerusi sambutan perayaan hari yang amat bermakna itu bagi setiap warganegara ini.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, keadaan itu agak berbeza dengan sikap yang ditunjukkan oleh rakyat negara-negara lain di seluruh dunia, termasuk Indonesia, apabila tibanya bulan sambutan kemerdekaan negara masing-masing.

Menurut beliau, antara bukti kekurangan semangat rakyat negara ini untuk merayakan sambutan kemerdekaan negara boleh dilihat dari kekurangan orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang di rumah-rumah, kenderaan-kenderaan dan premis-premis masing-masing.

Katanya, keadaan yang tidak memberangsangkan itu pula ternyata semakin ketara dari setahun ke setahun, lebih-lebih lagi pada tahun ini apabila bulan Ramadhan yang lebih menguasai suasana.

"Kerajaan BN sepatutnya faham dengan reaksi rakyat itu dan patut bertindak bijak mengatasi masalah. Reaksi seperti itu sudah ditunjukkan oleh rakyat sejak beberapa tahun lalu.

"Antara kekecewaan rakyat dengan tindak tanduk Kerajaan BN termasuklah tindakan kerajaan yang amat mengecewakan dalam melaksanakan pilihanraya sehingga pilihanraya di negara kita tidak pernah bersih dan adil.

"Apabila rakyat memprotes dengan mengadakan perhimpunan aman Bersih 2.0 di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu, Kerajaan BN mengarahkan pula pihak polis supaya berperang dengan rakyat yang berhimpun secara aman dan tanpa senjata yang menyertai perhimpunan itu,"
katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Sepatutnya, menurut beliau, kerajaan mendengar suara-suara yang baik dari rakyat kerana dengan itu barulah boleh diperbaiki segala kelemahan yang ada dalam kerajaan, tetapi tindakan Kerajaan BN ternyata sebaliknya.

"Itulah yang mengecewakan rakyat dan menyebabkan semangat rakyat untuk merayakan sambutan kemerdekaan turut berkurangan atau luntur dari setahun ke setahun, bukannya kerana rakyat negara ini sudah hilang rasa cinta dan sayangkan tanah air," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, keadaan itu diyakini akan berterusan selagi Kerajaan BN tidak berusaha mengatasi kekecewaan rakyat berhubung segala tindak tanduknya yang tidak disenangi itu.

Namun selagi Umno memerintah negara ini, beliau yakin, seluruh rakyat tidak akan berpeluang untuk menikmati keadaan lebih baik dalam negara ini kerana para pemimpin Umno BN tidak mungkin akan berusaha memperbaiki segala kepincangannya disebabkan kepentingan mereka sendiri untuk terus kekal berkuasa.

"Sekiranya Pakatan Rakyat yang memerintah negara dengan perubahan yang dijanjikan, kita yakin keadaan itu akan berubah dan rakyat pasti akan kembali bersemangat untuk merayakan sambutan kemerdekaan negara.

"Jadi kepada seluruh rakyat, saya harap jangan menjadi lemah untuk terus melakukan perubahan yang baik terhadap negara kita, walaupun dikecewakan, walau siapa pun yang memerintah negara," ujar beliau. -HD

Ulasan GB

Apa yang GB dapat perhatikan ialah bendera Malaysia akan kembali berkibar megah di seluruh pelusuk negara apabila rejim BN ditumbangkan dan Putrajaya di perintah oleh Pakatan Rakyat.

Tak percaya? Tunggu detik keramat itu.

Pemuda Dipenjara Kerana Cabul Kehormatan Gadis 14 tahun

Kuantan - Kerakusan seorang pemuda menggunakan kekerasan untuk mencabul kehormatan seorang gadis bawah umur terbalas apabila dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Tertuduh, Ermee Erzanee Abd Rashid, 19 dari Taman Balok Jaya, Perkampungan Chengal Lempong di sini mengaku bersalah di hadapan Majistret Rini Triany Mohd Ali.

Rini juga menetapkan denda RM2,000 dan jika gagal membayarnya, dikenakan dua bulan penjara dan dua sebatan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa berusia 14 tahun 9 bulan dengan maksud mencabul kehormatannya pada 8 Ogos lalu di Pantai Pelindung, Berserah di sini kira-kira jam 4.30 pagi dan dihukum di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK).

Manakala dalam waktu sama, rakannya seorang remaja bawah umur berusia 16 terpaksa menunggu keputusan hukumannya pada 12 September depan selepas mengaku bersalah.

Rini menangguhkan hukuman tersebut sementara menunggu laporan akhlak dan beliau menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 terhadap tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, remaja itu telah merogol mangsa di lokasi dan waktu sama dengan ketidakrelaan mangsa yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan (KK).

Pendakwaan terhadap kedua-dua kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amalina Zainal Mokhtar. -SH

Pasar Raya Perlu Asingkan Segera Mentega DNA Babi

Kuala Lumpur - Semua pengusaha pasar raya dan peruncit diminta mengasingkan segera mentega jenama Pure Creamery Butter-Golden Churn yang disahkan mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi ke dalam rak seksyen tidak halal dengan segera.

Ia bagi mengelakkan umat Islam daripada terbeli mentega berkenaan sebagai bahan membuat kek dan biskut sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Ketua Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Mohd. Roslan Mahayuddin berkata, pihak berkenaan juga perlu melupuskan logo halal yang tertera pada bungkusan mentega tersebut.

"Kami meminta kerjasama semua pengusaha pasar raya dan peruncit supaya mengasingkan segera mentega mengandungi DNA babi itu daripada rak halal ke dalam rak tidak halal dengan segera,'' katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) semalam mengesahkan mentega Golden Churn yang dipasarkan di Malaysia disahkan tidak halal kerana mengandungi DNA babi.

Sementara itu, Eksekutif Perhubungan Awam pasar raya Carrefour, Salmieah Mohd. Zin berkata, pihaknya telah menghentikan penjualan mentega tersebut dua minggu lalu selepas pengguna mula meraguinya.

"Kita ada dengar cerita mentega ini ada DNA babi dan disebabkan logo halalnya bukan daripada Jakim, maka penjualannya kita hentikan dua minggu lepas," katanya.

Berita Terdahulu

SAHIH: Mentega Pure Creamery Butter-Golden Churn Mengandungi DNA Babi & Tidak Halal


Pengawal Keselamatan Didakwa Bunuh Dr. Rohani

Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas tuduhan membunuh Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak, di sebuah pangsapuri di Ulu Kinta, 3 Ogos lepas.

Syahmie Hassan (gambar tengah), 20, hanya mengangguk tanda faham terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nurul Akmal Mustafa Kamal.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan daripada tertuduh direkodkan.

Mengikut pertuduhan, Syahmie didakwa membunuh Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak Dr Rohani Kasim, 38, di sebuah pangsapuri beralamat Blok F, Tingkat 1, Unit 9, Persiaran Lembah Perpaduan, Permai Lake View di Ulu Kinta antara 6 petang dan 7.30 malam pada 3 Ogos lepas.

Bagi kesalahan itu, pengawal keselamatan terbabit didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nor Abdurrahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 17 Okt ini untuk sebutan semula kes bagi menunggu laporan bedah siasat mangsa.

Di mahkamah yang sama, seorang bekas tentera didakwa terhadap pertuduhan melupuskan harta curi berupa gelang emas berbentuk sembilan urat rantai yang bernilai RM6,000 milik Dr Rohani.

Nuur Hisyam Shukor, 22, dituduh melakukan kesalahan itu di kedai jam tangan Kam Seng yang beralamat No. 55, Jalan Besar di Tanjung Malim antara 3 dan 6 petang pada 4 Ogos lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik sahaja pertuduhan dibacakan.

Majistret Nurul Akmal Mustafa Kamal menetapkan 17 Okt ini sebagai sebutan semula kes.- Bernama

Merdeka Center : Hubungan Pelbagai Kaum Di Malaysia Menurun

Tinjauan Merdeka Center mendapati bilangan rakyat Malaysia yang merasakan hubungan etnik di negara ini adalah baik menunjukkan penurunan peratus sebanyak 12 peratus daripada 78 peratus kepada 68 peratus dalam tempoh 63 bulan.

Pengurus Penyelidikan Merdeka Center, Tan Seng Keat berkata, tinjauan yang sama juga mencatatkan kajian yang bermula pada bulan Februari 2006 hingga Mei 2011 itu mendapati bilangan rakyat Malaysia yang percaya bahawa perpaduan etnik atas dasar 'ikhlas dan mesra' menurun dengan ketara.

"Daripada 54 peratus pada tahun 2006 kepada 35 peratus pada tahun 2011, mencatatkan penurunan sebanyak 19 peratus. Sebaliknya, bilangan orang-orang yang merasakan perpaduan etnik adalah 'cetek' meningkat daripada 29 peratus kepada 44 peratus,"katanya dalam satu kenyataan media.

Tinjauan itu dilakukan oleh Merdeka Center antara 24 Mei dan 8 Jun 2011 untuk menilai persepsi pengundi negara berhubung hubungan etnik di negara ini.

Seramai 1013 pengundi berdaftar di Semenanjung Malaysia terdiri daripada 602 Melayu, 322 Cina dan 89 responden India telah dipilih dan ditemubual melalui telefon dalam kaji selidik yang dibuat.

Kata Tan Seng Keat, responden telah dipilih berdasarkan persampelan rawak merujuk kepada jenis etnik, jantina dan negeri tempat tinggal mereka.

"Persepsi bahawa hubungan etnik telah menjadi bertambah buruk, bilangan warga Malaysia yang ditinjau merasakan bahawa rakyat di negara ini semakin hampir sama-sama menurun dari 64 peratus pada tahun 2006 kepada 36 peratus pada tahun 2011.

"Sementara itu hanya 37 peratus daripada mereka yang ditinjau merasakan bahawa hubungan etnik ini akan bertambah baik pada sepuluh tahun akan datang berbanding dengan 43 peratus pada tahun 2006,"jelasnya.

Menurut beliau lagi, daripada kaji selidik penurunan kepercayaan terhadap hubungan etnik yang baik ini adalah berkemungkinan disebabkan oleh isu yang dimainkan media termasuk perkara-perkara berkaitan politik bangsa, agama dan kesan insiden yang telah berlaku sejak tahun 2008.

Untuk rekod katanya, pelbagai bentuk isu yang berkait rapat dengan agama antaranya termasuk serangan membakar rumah-rumah ibadat, perdebatan umum mengenai isu buku teks sekolah Interlok misalnya dan kenyataan kontroversi oleh tokoh-tokoh awam yang turut dimainkan oleh media.

Malah dalam perkembangan yang sama, kaji selidik itu juga mendapati bahawa tahap kepercayaan yang diletakkan pada ketiga-tiga komuniti utama juga telah menurun.

"Amanah keseluruhan di kalangan responden terhadap ahli-ahli masyarakat India merosot daripada 37 peratus hingga 31 peratus manakala amanah terhadap masyarakat Cina menurun daripada 47 peratus kepada 42 peratus.

"Selain itu juga, amanah terhadap masyarakat Melayu juga menurun sedikit daripada 66 peratus kepada 65 peratus. Satu faktor penting yang dinyatakan dalam pertanyaan ini adalah tahap tinggi kesangsian yang dilaporkan oleh responden ke atas rakyat Malaysia lain daripada latar belakang etnik yang berbeza,"ujar beliau.

Beliau juga memberikan beberapa contoh berkaitan antaranya ialah 60 peratus daripada responden Melayu melaporkan bahawa mereka 'agak tidak dipercayai' atau 'sangat tidak dipercayai' masyarakat Cina.

Sehubungan dengan itu katanya, 42 peratus responden Cina bersama-sama dengan 16 peratus daripada responden Melayu dilaporkan tidak meyakini atau syakwasangka kepada masyarakat Melayu.

Malah tidak mengejutkan, kajian itu juga mendapati bahawa pematuhan kepada 'stereotaip' menghina kaum terus kekal berterusan.

"Kepercayaan dalam stereotaip kaum merosot hanya sedikit sejak kaji selidik yang terakhir pada tahun 2006. Sebagai contoh, kepercayaan dalam stereotaip perkauman seperti 'orang Melayu malas', 'orang Cina tamak' dan 'orang India tidak boleh dipercayai' merosot hanya sebanyak dua , tiga dan dua peratus masing-masing,"jelasnya lagi.

Kata beliau lagi, adalah penting untuk mengambil perhatian bahawa setiap stereotaip ini dipercayai oleh majoriti responden.

Secara keseluruhannya kata Tan, 82 peratus daripada warga Malaysia yang ditinjau dalam kajian ini berkata mereka 'gembira hidup dalam masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia'.

Walau bagaimanapun, berlaku satu penurunan sebanyak 10 peratus berbanding tahun 2006.

Kaji selidik itu juga mendapati bahawa pandangan awam mengenai kematangan masyarakat Malaysia dalam menangani isu-isu perkauman dan agama juga menurun.

Hanya 38 peratus daripada responden bersetuju bahawa 'masyarakat kita matang untuk membincangkan perkara-perkara kaum dan agama secara terbuka' berbanding dengan 46 peratus pada tahun 2006.

Sementara itu, 55 peratus daripada responden yang ditinjau bersetuju bahawa isu-isu perkauman dan agama adalah terlalu sensitif untuk dibincangkan secara terbuka.




Bukan Islam Lebih Faham Islam Bila Berkawan Dengan PAS - Steven Sim

Tasek Gelugor: Hubungan dengan PAS sejak kemenangan Pilihan raya Umum tahun 2008, banyak mengajar masyarakat bukan Islam, khususnya dalam DAP untuk mengenali dan memahami Islam dengan lebih mendalam.

Demikian dinyatakan oleh Bendahari DAPSY Pulau Pinang, Steven Sim (gambar), ketika menyampaikan ceramah bersama dengan Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz di Markas PAS Padang Menora malam kelmarin.

Menurut beliau lagi, jika sebelum ini pemikiran bukan Islam banyak diracuni oleh MCA dan Gerakan dengan membuat pelbagai dakwaan yang menakutkan, tetapi kini setelah menjadi rakan dengan PAS, bukan Islam telah banyak memahami Islam yang sebenarnya.

"Kerana berkawan dengan PAS jugalah, majlis berbuka puasa turut dianjurkan oleh pemimpin DAP seperti Lydia Kok di Berapit, Bukit Mertajam bagi meraikan sauadara-saudara Islam yang berpuasa.

"Dulu kita tidak diajar untuk memahami unsur-unsur baik dan harmoni ini. Kini, pemimpin di kalangan DAP bukan saja boleh turut sama untuk berbuka puasa bersama-sama seperti mana yang sering dilakukan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, tetapi juga berjaya memahami konsep hubungan baik tersebut.

"Hubungan baik ini juga tidak berjaya diresapi oleh pimpinan MCA dan Gerakan, walaupun mereka telah sekian lama berkawan dengan Umno. Oleh kerana itu jugalah, kita melihat kecelaruan sentiasa ada dalam komponen parti tersebut," tegasnya lagi.

Turut hadir sama dalam majlis ceramah tersebut ialah Ketua Pemuda PAS Pinang Pinang, Yusni Mat Piah. -hd

WANTED: Lelaki Penyimbah Asid Ini Sedang Dicari

Polis kini memburu beberapa suspek dipercayai terbabit dalam dua kes simbah asid berasingan di ibu negara baru-baru ini, namun menafikan suspek individu yang sama menggemparkan negara dengan beberapa kes simbah asid awal tahun ini.

Satu kes berkenaan berlaku pada 26 Julai lalu, menyebabkan seorang lelaki yang bekerja sebagai penghantar surat dirompak RM18,000 milik syarikatnya selepas disimbah cecair selepas keluar tandas di sebuah stesen minyak di Batu 2 1/2, Jalan Sungai Besi, di sini.

Polis kini memburu beberapa suspek dipercayai terbabit dalam dua kes simbah asid berasingan di ibu negara baru-baru ini, namun menafikan suspek individu yang sama menggemparkan negara dengan beberapa kes simbah asid awal tahun ini.

Satu kes berkenaan berlaku pada 26 Julai lalu, menyebabkan seorang lelaki yang bekerja sebagai penghantar surat dirompak RM18,000 milik syarikatnya selepas disimbah cecair selepas keluar tandas di sebuah stesen minyak di Batu 2 1/2, Jalan Sungai Besi, di sini.

Pada 8 Ogos lalu, seorang lelaki berusia 27 tahun pula melecur pada muka selepas disimbah asid ketika dihampiri tiga lelaki ketika berjalan berseorangan di Wisma Bumi Raya, Jalan Raja Laut dan sehingga kini mangsa masih dirawat di hospital.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, dalam kenyataannya di sini, semalam, berkata berdasarkan siasatan terhadap kedua-dua kejadian berkenaan, polis menafikan sama sekali kes itu kaitan dengan siri kejadian menyimbah cecair sebelum ini.

“Jenis cecair digunakan dalam kes ini berbeza dengan cecair kejadian lalu. Siasatan juga mendapati ciri-ciri suspek berbeza dengan gambaran suspek kes simbah asid sebelum ini. “Polis berusaha menyelesaikan kes ini secepat mungkin dengan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, mengesan saksi termasuk menemuduga mangsa bagi tujuan mendapatkan gambaran jrupa bentuk fizikal suspek,” katanya.

Menurutnya, setakat ini polis membuat lakaran wajah seorang suspek rompakan yang menggunakan asid di stesen minyak berkenaan.

“Polis memohon kerjasama orang ramai yang melihat kejadian atau mengenali wajah suspek tampil memberi maklumat dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi terus Rakan Cops melalui 03-21159999,” katanya.Pada 8 Ogos lalu, seorang lelaki berusia 27 tahun pula melecur pada muka selepas disimbah asid ketika dihampiri tiga lelaki ketika berjalan berseorangan di Wisma Bumi Raya, Jalan Raja Laut dan sehingga kini mangsa masih dirawat di hospital.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, dalam kenyataannya di sini, semalam, berkata berdasarkan siasatan terhadap kedua-dua kejadian berkenaan, polis menafikan sama sekali kes itu kaitan dengan siri kejadian menyimbah cecair sebelum ini.

“Jenis cecair digunakan dalam kes ini berbeza dengan cecair kejadian lalu. Siasatan juga mendapati ciri-ciri suspek berbeza dengan gambaran suspek kes simbah asid sebelum ini. “Polis berusaha menyelesaikan kes ini secepat mungkin dengan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, mengesan saksi termasuk menemuduga mangsa bagi tujuan mendapatkan gambaran jrupa bentuk fizikal suspek,” katanya.

Menurutnya, setakat ini polis membuat lakaran wajah seorang suspek rompakan yang menggunakan asid di stesen minyak berkenaan.

“Polis memohon kerjasama orang ramai yang melihat kejadian atau mengenali wajah suspek tampil memberi maklumat dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi terus Rakan Cops melalui 03-21159999,” katanya. -hm


Pemuda hilang komputer selepas disimbah asid

KAJANG - Seorang pemuda bukan sahaja kehilangan komputer riba malah muka dan belakang badannya turut melecur apabila disimbah sejenis cecair dipercayai asid di Batu 9, Cheras di sini kelmarin.

Kejadian pada pukul 11 malam itu dikatakan berlaku ketika mangsa yang berusia 25 tahun memandu kereta dalam perjalanan pulang ke rumah selepas minum di Taman Midah, Cheras di sini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rasyid Ab. Wahab berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa mendapati tayar keretanya pancit menyebabkan dia berhenti di tepi jalan untuk menukar tayar.

"Sejurus selepas berhenti, sebuah kereta dinaiki dua lelaki berhenti di sebelah kereta mangsa.

"Salah seorang daripada lelaki itu turun dari kereta dan terus menyimbah sejenis cecair ke badan mangsa," kata beliau ketika dihubungi semalam.

Menurut beliau, kedua-dua lelaki itu kemudian cuba melarikan kereta mangsa namun gagal kerana kunci kereta mangsa berada dalam poket seluarnya.

Suspek kemudian merampas sebuah komputer riba mangsa sebelum beredar dari tempat kejadian.

Mangsa masih dirawat di sebuah hospital dan kecederaan di muka dan belakangnya stabil.

Dalam pada itu, Polis Kuala Lumpur semalam mengedarkan fotofit (gambar lakaran) seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian rompakan menggunakan asid di sebuah stesen minyak Shell Batu 2 1/2, Jalan Sungai Besi pada 26 Julai lalu.

Lakaran suspek itu diperoleh selepas polis menjalankan siasatan termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dilokasi kejadian.

Polis menyeru orang ramai yang ternampak mana-mana individu menggunakan kereta Proton Wira dengan nombor pendaftaran WLC 1475 supaya tampil memberi maklumat.


Kosmo! pada 27 Julai lalu melaporkan seorang penghantar surat cedera di muka dan badan selepas disimbah asid manakala wang syarikatnya berjumlah RM18,000 dikebas sekumpulan perompak di Batu 2 1/2 Jalan Sungai Besi di sini.

Sebelum kejadian pada pukul 12 tengah hari itu, mangsa yang mengisi minyak didatangi dua lelaki yang menaiki sebuah kereta Proton Wira.

Salah seorang suspek kemudian bertindak menyimbah asid ke arah mangsa dan merampas beg berisi wang itu sebelum melarikan diri.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi terus Rakan Cops di talian 03-21159999. -kosmo


Bongkar - Pendatang Asing Dipaksa Sokong Dan Undi UMNO/BN

Demi menjaga kelangsungan kuasa Umno-Barisan Nasional (BN), peserta-peserta Program Pemutihan Pendatang Asing (6P) diwajibkan untuk menyokong parti itu pada bila-bila masa.

Perkara itu didedahkan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin hari ini dengan menyertakan salinan surat sumpah kepada media selain mendakwa ianya sebahagian daripada syarat tetap yang perlu dipatuhi warganegara asing.

Sehubungan dengan itu, beliau mendesak agar program tersebut dihentikan serta merta dan menggesa kerajaan membuka siasatan di peringkat tertinggi untuk memastikan ianya tidak berhasrat mencabul kedaulatan negara.

"Tindakan ini dengan jelas mensabitkan program pemutihan 6P dengan muslihat untuk menjual kedaulatan negara semata-mata untuk menjamin kelangsungan kuasa Umno-BN yang semakin ditolak rakyat," ujar beliau.

Merujuk kepada salinan surat yang dilampirkan, selain dipaksa berikrar untuk menyokong parti Umno-BN, peserta turut dipaksa menyimpan "RAHSIA" tentang perkara tersebut.


Malah sekiranya ingkar maka setiap individu "akan menerima padahnya".

Zuraida berkata, maklumat tersebut diperolehi melalui salah seorang peserta program 6P yang memberanikan diri untuk bekerjasama dan tampil mengemukakan laporan kepada PKR.

Katanya sehingga kini, pihaknya telah berjaya mengumpul hampir 10 orang peserta program itu dan menunggu masa yang sesuai untuk mendedahkan muslihat Umno-BN kepada umum beserta bahan bukti melibatkan program pemutihan warga asing.

Justeru beliau meletakkan tanggungjawab ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya menghentikan program tersebut serta-merta untuk agar penjelasan dapat diberikan kepada umum.

"Sama ada PM tidak tahu apa yang dibuat oleh orangnya atau dia betul-betul bersekongkol
.

"Saya juga mencabar pemimpin parti-parti komponen BN seperti MCA, MIC, Gerakan, PBS dan lain-lain untuk menyatakan pendirian mereka samada bersetuju dengan muslihat menyeludup pengundi-pengundi hantu atas alasan pemutihan pendatang asing yang dijalankan secara besar-besaran oleh Umno ini," ujar Zuraida.

PKR sebelum ini telah membuat beberapa siri pendedahan mengenai pemindahan pengundi warga asing di kawasan-kawasan parlimen yang dipegang Pakatan Rakyat.

Ini termasuk surat permohonan meluluskan status kewarganegaraan menggunakan kepala surat Umno yang ditujukan kepada Kementerian Dalam Negeri.