Jangan libatkan Agong dalam pembelian jet peribadi baharu Najib, kata Rafizi
Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli menyelar jawapan kerajaan yang mengatakan pembelian jet peribadi baharu menjimatkan kos dan mendedahkan kos pembelian jet peribadi baharu Datuk Seri Najib Razak itu bernilai RM465.4 juta.
Ahli Parlimen Pandan itu turut menyelar tindakan Jabatan Perdana Menteri semalam yang mengheret nama baik Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah untuk "menghalalkan" pembelian jet peribadi baharu itu.
"Tindakan ini tidak bertanggungjawab kerana rakyat dapat membezakan berapa kali Yang di-Pertuan Agong terlibat di dalam lawatan rasmi ke luar negara berbanding dengan perdana menteri," kata Rafizi yang juga naib presiden PKR pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
"Bagi tempoh 2008 hingga 2013 seperti jawapan Parlimen kepada soalan Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming, kerajaan terpaksa membayar kos RM44 juta bagi semua lawatan ke luar negara melibatkan Datuk Seri Najib Razak," katanya.
Semalam, Rafizi mendedahkan ketika rakyat berdepan dengan kenaikan harga barangan, pentadbiran Najib membeli sebuah jet peribadi baharu dengan sewenang-wenangnya.
Rafizi mendakwa, jet berkenaan ialah tambahan kepada 5 jet sedia ada yang dimiliki Putrajaya setakat ini, termasuk Boeing Business Jet.
"Pembelian sebuah lagi jet peribadi baharu yang kini di bawah pendaftaran 9H-AWK siap dicat dengan logo 1Malaysia membuktikan pentadbiran Najib terus bergelumang dengan keborosan dan pembaziran pada kala negara masih dikejutkan dengan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB),” katanya.
Sehubungan itu, Rafizi mencabar Najib memperincikan setiap perjalanan jet peribadi milik kerajaan dan siapa yang menggunakan pesawat tersebut sebagai menyokong jawapan membabitkan penggunaan Yang di-Pertuan Agong.
"Saya mencabar Najib memperincikan setiap perjalanan jet peribadi milik kerajaan dan siapakah menggunakan jet peribadi termasuklah Boeing Business Jet (BBJ) dan Airbus Commercial Jetliner (ACJ 319) sedia ada.
"Berapa kali sebulan jet ini digunakan hingga jumlah jet sedia ada tidak mencukupi dan perlu ditambah lagi," katanya.
Rafizi berkata, alasan menyatakan pembelian dibuat bagi menggantikan jet lama kerana terlalu berusia juga tidak diterima pakai kerana tempoh penggunaan sebuah jet komersial antara 20 hingga 25 tahun bila diselenggarakan mengikut jadual seperti amalan industri penerbangan.
"Jet BBJ yang dimiliki kerajaan Malaysia hanya berusia 16 tahun dan tidak digunakan sekerap jet komersial kerana digunakan sekali sekala bagi keperluan rasmi kerajaan.
"Saya menasihati perdana menteri berterus terang dan tidak menggunakan pegawai di Jabatan Perdana Menteri untuk mengelak daripada menjawab isu ini," katanya. – TMI
Jet peribadi baharu untuk jimatkan kos, kata blog Umno
Sejurus selepas Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli mendedahkan pembelian jet rasmi baharu oleh Putrajaya, blog pro Umno Mykmu.net tampil mendedahkan keputusan membeli jet peribadi itu untuk menggantikan pesawat tetamu paling kehormat (VVIP) jenis BBJ373-700NG yang berusia hampir 20 tahun dan memakan kos penyelenggaraan tinggi.
Mykmu.net yang memetik sumber kerajaan berkata, jet peribadi baharu itu bukan hanya untuk kegunaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, tetapi akan turut digunakan Yang di-Pertuan Agong dan Sultan lain.
"Penggantian seperti ini amalan biasa dalam perolehan kerajaan sebab di Malaysia bukan perdana menteri sahaja VVIP, tetapi ada juga Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja yang layak menggunakan kemudahan pesawat rasmi kerajaan.
"Justeru dakwaan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli pembelian ini merupakan satu pembaziran kerana kerajaan mempunyai 6 buah jet tidak tepat, sebaliknya kerajaan dalam proses menggantikan pesawat lama yang uzur, " tulis Mykmu.net.
Menurut blog pro Umno itu, sebagai pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, Yang di-Pertuan Agong layak mendapatkan perkhidmatan terbaik daripada segi teknologi dan keselamatan.
"Manakala soal pembelian terbaru ini melalui rundingan terus diberi kepada Jet Premier One (M) Sdn Bhd kerana syarikat itu yang mempunyai kontrak penyelenggaraan dan pengendalian pesawat kerajaan ACJ319. Ini memudahkan urusan pembelian dan pengendalian pesawat terbabit," tulis blog tersebut.
Menurut Mykmu.net, sistem tender secara terbuka tidak sesuai diguna pakai dalam pembelian jet kerana ia membabitkan ciri-ciri spesifik tertentu.
Blog itu turut menyifatkan tuduhan pembaziran Rafizi tidak berasas sekiranya setiap tahun kerajaan menukar pesawat peribadi dan sepanjang rekod pentadbiran Najib menjadi perdana menteri, inilah kali pertama beliau membuat keputusan untuk menukar jet baharu.
"Menurut sumber yang sama, pesawat lama sedang dalam proses untuk dijual, tetapi tidak semestinya untuk digunakan, tetapi sebagai sumber alat ganti, jadi sekali lagi tunjukkan di mana berlaku pembaziran," soal blog itu sambil membandingkan tindakan kerajaan Pulau Pinang yang juga tidak menggunakan proses tender dalam penganugerahan projek pembinaan terowong dasar laut di negeri itu. -TMI