5 Sep 2013

Saman Fitnah: Kickdefella Perlu Siar Permohonan Maaf Kepada Husam


Kuala Lumpur - Kes saman fitnah antara Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa dan penulis blog 'Kickdefella' atau nama sebenarnya Syed Azidi Syed Abdul Aziz selesai hari ini berdasarkan persetujuan kedua-dua belah pihak.

Persetujuan penyelesaian itu direkod Pesuruhjaya Kehakiman Lee Heng Cheong (male) semasa kes disebut di hadapan beliau.

Berdasarkan terma yang dipersetujui, Syed Azidi perlu menyiarkan kenyataan maaf menerusi akhbar Sinar Harian dan blog 'Kicdefella' miliknya dalam tempoh 14 hari bermula hari ini.

Menerusi terma tersebut, beliau menyatakan kekesalan di atas penyiaran sebuah artikel di akhbar itu pada 25 Julai 2012, dan memohon maaf sekiranya kenyataannya telah menimbulkan kekeliruan.

Kedua-dua pihak hadir ke mahkamah dan tiada sebarang kos ditetapkan.

Husam memfailkan saman itu pada 21 Feb lalu. Beliau diwakili peguam Noorazmir Zakaria manakala peguam Datuk Jahaberdeen Mohd Yunos mewakili Syed Azidi. - Bernama

Lagi Kes Tembak, Pengusaha Restoran Parah Ditembak Di Dada


Nibong Tebal: Seorang lelaki cedera parah akibat ditembak di bahagian dada ketika sedang memberhentikan keretanya di Kawasan Perniagaan Taman Merak hari ini.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 3.15 petang itu, mangsa yang merupakan pengusaha restoran itu terkena satu das tembakan yang dilepaskan seorang lelaki bermotosikal.

Difahamkan, mangsa yang berusia 40-an itu memberhentikan keretanya untuk ke restoran berhampiran dan bertemu rakannya sebelum didatangi dua lelaki yang menaiki motosikal jenis Honda.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, salah seorang suspek dipercayai melepaskan empat das tembakan ke arah cermin depan dan sisi kereta mangsa.

"Salah satu das tembakan mengenai dada mangsa dan suspek kemudiannya melarikan diri sehingga ke Jalan Perusahaan Bukit Minyak.

"Walau bagaimanapun, motosikal terbabit mengalami kerosakan dan ditinggalkan kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian.

"Kedua-dua suspek meninggalkan motosikal mereka di tepi jalan sebelum dipercayai diambil oleh rakan mereka dengan menaiki sebuah kereta," katanya.

Beliau berkata, polis turut menemui sarung pistol, dua topi keledar dan baju yang ditinggalkan suspek di kawasan itu.

"Mangsa dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan kini dilaporkan stabil.

"Siasatan awal mendapati motosikal dan kereta yang dinaiki suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Tidak mustahil kes ini mempunyai kaitan dengan kejadian tembakan rambang yang mencederakan enam pelanggan di kedai kopi milik mangsa di Taman Kasawari, Simpang Ampat pada 23 Ogos lalu," katanya.

Mazlan memaklumkan, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan pihak polis turut akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di lokasi kejadian. -SH

Satu Jari Tuding Orang Lain, Empat Jari Tunjuk Diri Sendiri

Bukankah gambar di atas menjelaskan menteri berkenaan menunjukkan kebodohan dirinya sendiri?

Apabila di mata Nazri semua orang bodoh belaka - Shahbudin Husin

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Nazri Aziz terus menjadi bahan sorotan media sejak kebekalangan ini. Jika dulu beliau kerap menjadi perhatian kerana tugasnya sebagai menteri yang menjaga Parlimen, kemudian disusuli dengan pelbagai hal berkaitan anaknya, kini kerana kekerapannya mengeluarkan perkataan "bodoh" pula.

Beliau menggelar Pengarah Strategik PKR yang juga Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli sebagai "bodoh" apabila menyarankan menteri kabinet menggunakan duit sendiri untuk mengisi minyak kenderaan masing-masing sebagai tanda mahu bersama mengurangkan beban kewangan kerajaan, di samping merasai sedikit keperitan rakyat yang terpaksa mengalami peningkatan kos hidup.

Sebelum itu, Nazri juga menggelarkan Lim Kit Siang sebagai "bodoh" apabila veteran DAP itu mencadangkan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung peristiwa 13 Mei bagi mengelakkan isu itu menjadi polemik yang berterusan dan menjadi bahan propaganda politik pihak tertentu.

Jika anak begitu dilarang menggunakan istilah "bodoh" sama ada kepada adik-beradik atau rakan sepermainannya, begitu juga ia dianggap tidak sopan digunakan di sekolah, Nazri sebaliknya mungkin mencatat rekod sebagai pemimpin negara yang paling kerap melafazkan perkataan "bodoh" itu.

Yang dicatat media, mungkin hanya Rafizi dan Lim Kit Siang yang "dibodohkannya" tetapi mungkin lebih ramai orang yang disanggahnya atau tidak sependapat dengannya, turut dilabelnya "bodoh" juga. Kepada Rafizi dan Lim Kit Siang, ungkapan "bodoh" yang ditujukan kepada kedua-dua mereka oleh Nazri pula mungkin bukan sekali, malah berkali-kali.

Kalau itu diambil kira, rekod Nazri dalam mengungkapkan perkataan "bodoh" mungkin lebih menjulang lagi. Mungkin mencapai taraf Asia, kalau pun tidak di peringkat dunia.

Sebagai pemimpin, apatah lagi berbangsa Melayu dan beragama Islam yang selalu dikenali dengan wajah sopan santun dan berbudi bahasa, kelancangan Nazri mengeluarkan perkataan "bodoh" dengan begitu kerap bukan saja mengejut dan menggelikan banyak pihak, bahkan menggambarkan imejnya sebagai pemimpin Umno yang angkuh, sombong dan sedikit bongkak.

Pada masa sama, keinginannya untuk menghayati slogan "berubah" yang selalu dilaung-laungkan Perdana Menteri ternampak masih jauh panggang dari apinya.

Jika pun tidak bersetuju dan ingin menyanggah hujah, bukankah lebih manis jika menggunakan fakta dan bahasa yang sopan serta indah. Ia bukan saja lebih mudah diterima oleh orang yang mendengarnya, bahkan menggambarkan kedudukan seseorang yang bergelar pemimpin itu memang jelas berbeza dengan rakyat biasa.

Dengan mengungkapkan perkataan "bodoh" sesuka hati dan mudah emosional, Nazri tidak meletakkan imej dirinya, Umno dan kerajaan yang dianggotainya lebih tinggi di mata rakyat. Rakyat malah membenci dan mencebiknya, bahkan ada yang berkata, jika BN menang lebih daripada 133 kerusi, kesombongan dan keangkuhannya mungkin lebih melangit lagi.

Setelah beliau melabelkan Rafizi sebagai "bodoh", Rafizi kelihatan tetap tenang dan ingin belajar kepintaran Nazri dengan mengajaknya berdebat pula. Nazri sekali lagi menunjukkan kesombongannya dengan berkata, beliau yang "somebody" tidak akan membuang masa berdebat dengan Rafizi yang dianggapnya "nobody" itu.

Nazri nyata berbeza dengan KJ yang turut diajak berdebat oleh Rafizi, tetapi menjawab dengan sopan dan penuh kematangan. Tanpa mengeluarkan perkataan "bodoh", "somebody" atau "nobody", Menteri Belia dan Sukan itu mengatakan tiada keperluan lagi untuknya berdebat dengan Rafizi di pentas terbuka kerana Rafizi kini sudah menjadi Ahli Parlimen dan sebarang isu boleh dibangkit dan dihujahkan di Dewan Rakyat.

Dalam hal ini, bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim turut menyindir Nazri di Twitter dengan mengatakan Rafizi bukanlah "nobody" tetapi seorang yang berani, malah mempertikaikan di kalangan 30 orang menteri kabinet yang ada, tiada seorang pun berani menyahut cabaran debat itu.

Dalam apa juga keadaan, sama ada kerana dendam kesumat atau ada batu besar terbuku di hati, tindakan Nazri sesuka hati dan selancangnya mengeluarkan perkaraan "bodoh" tetap dianggap tidak sopan dan kurang manis. Malangnya, Nazri bukanlah budak sekolah atau anak kecil lagi yang boleh ditegur atau dinasihati.

Barangkali di mata Nazri, semua orang adalah "bodoh-bodoh" belaka.

Nazri sifatkan cadangan Rafizi bodoh

Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz bersetuju dengan rakan Kabinetnya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang menggesa pemimpin Pakatan Rakyat (PR) untuk memulakan cadangan di pihak mereka terlebih dahulu bagi mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk peruntukan wang petrol.

Menurut Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu, oleh kerana cadangan itu datang dari pihak PR maka mereka yang harus melaksanakannya terlebih dahulu.

Mohamed Nazri turut menyelar Pengarah Stategi PKR Rafizi Ramli kerana cadangannya meminta menteri dan timbalan menteri melaksanakan perkara tersebut sebagai satu cadangan bodoh.

"Budak itu (Rafizi) bodoh. Dia bukan tahu apa, main cakap je. Dulu saya tidak terlibat dengan rasuah pun dia cakap saya terbabit dengan rasuah.

"Kita tidak cadang itu. Perkara itu datang dari mereka, jadi merekalah yang buat, saya sarankan Menteri Besar Selangor, Ketua Menteri Pulau Pinang dan exco kerajaan negeri mereka guna duit sendiri terlebih dahulu," katanya kepada media dalam majlis Warna-Warni Aidilfitri anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan di Kuala Lumpur malam ini.

Rafizi awal hari ini mendesak menteri dan timbalan menteri membayar wang petrol sendiri ekoran menyifatkan langkah Putrajaya menaikkan harga petrol RON 95 dan diesel sebanyak RM0.20 seliter sebagai menghukum rakyat yang sudah sedia bergelut dengan kesempitan kewangan.
-TMI


ULASAN GB

Hukum kebenaran dan keadilan berjalan. Dan semua orang boleh "membaca" hukum berkenaan.

Tidakkah Nazri yang menunjukkan isyarat lucah sebelum ini itu sedang memaparkan "kebodohannya" yang tak terhingga? Apatah lagi sebagai seorang menteri yang berbangsa Melayu dan beragama Islam, isyarat lucah yang ditunjukkan itu sudah cukup untuk menjelaskan bahawa beliau jahil (bodoh) tentang adab bangsa dan hukum agama....

Meminjam sepatah dua perkataannya sendiri apabila mengkritik sasterawan negara, Datuk A.Samad Said: Besar sangatkah dia tu?

[PANAS] Najib Boros, Rakyat Jadi Mangsa!


Mengekalkan lagi Najib sebagai PM umpama menambah dosa - Shahbudin Husin Kenaikan harga minyak yang diumumkan Najib menimbulkan keributan yang bukan sedikit rupanya.

Tidak saja rakyat biasa yang mengeluh dan meluahkan kemarahan, kalangan ahli dan pemimpin Umno juga mempunyai rasa yang senada.

Mereka turut kecewa dengan kenaikan itu, bukan saja kerana tiada angin atau ribut yang mengatakan harga minyak dunia meningkat tetapi juga kerana kenaikan itu diumumkan begitu pantas iaitu hanya kira-kira lebih sedikit daripada 100 hari selepas kemenangan tipis yang diraih BN dalam pilihan raya umum lalu.

Ditambah pula, dengan kemeriahan sambutan hari raya yang masih terasa dengan perdana menteri dan semua menteri Kabinet dilihat begitu bergembira dengan pesta rumah terbuka berserta jamuan yang hebat di sana-sini dengan menggunakan wang rakyat, tiba-tiba rakyat mahu dibebankan pula dengan kenaikan harga minyak yang tentunya juga akan diiringi dengan pelbagai kenaikan lainnya dalam perkhidmatan dan barangan pengguna.

Oleh kerana tahun ini tahun pemilihan Umno, gah dan meriahnya majlis rumah terbuka menteri lebih jelas dapat dirasakan, terutama mereka yang mahu bertanding jawatan lebih tinggi atau mempertahankan jawatan sedia ada. Sudahlah ada rumah terbuka perdana menteri bersama menteri Kabinet, ada pula rumah terbuka kementerian, kemudian semua agensi pula turut mengadakan rumah terbuka.

Di kawasan Parlimen juga, menteri dan timbalan menteri mengadakan rumah terbuka.

Habisnya, sebulan Syawal ini jadual menteri dan timbalan menteri hanya asyik dengan rumah terbuka saja. Oleh kerana tahun pemilihan juga dan bimbang undi berkurangan, menteri turut mengambil kesempatan hadir ke rumah terbuka kementerian lainnya.

Tentu terlihat tidak sopan, setelah pemimpin berpesta dan menghabiskan duit rakyat manakala rakyat hanya dapat menatapnya melalui tv dan akhbar, tiba-tiba bebannya mahu dilonggokkan ke bahu rakyat.


Bagi sesetengah pihak, ini diskriminasi dan penindasan yang tiada tolok bandingnya. Jika diambil kira dengan pelbagai kemewahan dan perbelanjaan lainnya yang dilakukan pemimpin, termasuk kos lawatan Najib ke luar negara hampir RM50 juta, keghairahan kerajaan menukar jenama baru untuk kereta rasmi menteri dan sebagainya, kerajaan dilihat seolah-olah tidak punya perasaan langsung apabila menaikkan harga minyak ini.

Pada masa sama, kenaikan harga minyak itu juga dilakukan di tengah-tengah kebanggaan yang diumumkan bahawa Petronas pada 2012 mencatat keuntungan sebanyak RM59 bilion manakala keuntungan pada suku kedua 2013 ini pula mencecah angka RM21.9 bilion.

Dengan keuntungan sebesar itu, Najib terlihat begitu kemaruk dengan penjimatan RM1.1 bilion melalui kenaikan harga harga minyak dan memotong subsidi rakyat yang mana sebahagian besarnya penerima nikmat subsidi ini adalah orang kampung dan luar bandar yang selama ini penyokong tegar Umno serta penyumbang utama kepada kemenangan BN dalam pilihan raya lalu.

Apakah RM1.1 bilion itu tidak boleh ditampung melalui sumber lain dan lebih besar nilainya daripada menghimpit kehidupan rakyat ke kancah yang lebih sukar?

Sebaik menang pilihan raya, Najib seperti sudah lupa siapa yang menyokong dan menjadikannya kekal sebagai perdana menteri.

Lalu, dengan pelbagai keluhan dan sungutan mengenai kenaikan harga minyak ini, di manakah slogan "Kami mendengar" dan kerajaan sentiasa bersama denyut nadi rakyat yang sering dilaungkan selama ini?

Sebab itu, tidak hairan kenaikan harga minyak kali ini turut mendapat reaksi yang tidak menyenangkan daripada pemimpin Umno sendiri. Sementara ramai yang berdiam diri kerana tidak bersetuju tetapi tidak mahu meluahkan perasaan secara terang-terangan kerana bimbang periuk nasi terjejas, terdapat juga yang berani berterus-terang.

Seorang pemimpin pemuda, Lokman Nor Adam mahu Najib dan kerajaan memikirkan semula kenaikan harga minyak ini dan mencari kaedah lain untuk menampung kos RM1.1 bilion yang diperlukan untuk meneruskan subsidi minyak yang dikurangkan itu.

Di pelbagai peringkat lainnya, ramai lagi pemimpin dan ahli Umno yang turut kecewa dengan tindakan Najib ini. Mereka meluahkan kekecewaan dengan cara tersendiri. Ada yang meluahkannya melalui perbualan dengan kawan atau ketika sambil berbual-bual di kedai kopi.

Seorang pemimpin Umno yang ditemui jelas kecewa dengan tindakan Najib ini. Beliau kecewa bukan saja kerana tindakan ini dilihat menyusahkan rakyat tetapi juga membuat pemimpin sepertinya menghadapi kesukaran untuk mempertahankan keputusan Najib itu apabila dipersoalkan pengikut serta penyokongnya.

Penyokong dan pengikutnya yang rata-rata berpendapatan rendah dan sederhana jelas begitu terpukul dengan kenaikan minyak ini kerana selama ini pun kehidupannya seharian mereka sekadar cukup makan sebagai kakitangan kerajaan mahupun swasta.

Lebih menggusarkan pemimpin tadi ialah apabila anaknya juga turut marah, kecewa dan tidak setuju dengan kenaikan harga minyak yang diumumkan Najib ini.

Menurutnya, apabila anaknya yang belajar di universiti turut mempertikaikan tindakan Najib berserta dengan fakta, angka dan rasionalnya, beliau menghadapi masalah dan tidak upaya berbuat apa-apa kerana pendapat golongan muda seperti anaknya itu banyak kebenarannya.

Mahu mempertahankan kerajaan serba-salah, tidak mempertahankan kerajaan pun serba-salah juga. Kita sebagai pemimpin Umno pun susah dibuatnya dengan tindakan Najib ini, rungutnya lagi.

Dengan kecenderungan Najib berbelanja mewah dan boros serta kemungkinan akan mengenakan beberapa lagi kenaikan seperti tarif elektrik, pengenalan cukai GST dan sebagainya sebagai langkah mudah menyeimbangkan kedudukan ekonomi negara, beliau juga percaya kehidupan rakyat akan terus sulit dalam tempoh empat atau lima tahun akan datang.

Sehubungan itu, tambahnya, mengekalkan lagi Najib sebagai perdana menteri hanya seperti menambah dosa saja kerana kehidupan rakyat yang sudah sedia terbeban dipercayai akan terus terbeban selagi beliau kekal di tempatnya sekarang. – shahbudindotcom.blogspot.com


Jangan lupa penduduk luar bandar selamatkan BN PRU13, kata bekas bos NSTP


Datuk A. Kadir Jasin membidas kerajaan Barisan Nasional (BN) ekoran keputusan menaikkan harga minyak semalam, serta menggesa kerajaan tidak lupa akan rakyat luar bandar yang menyelamatkan mereka pada pilihan raya ke-13 lalu.

Bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press (NSTP) tersebut menegaskan kenaikkan tersebut akan menekan rakyat khususnya luar bandar, dimana keputusan pilihan raya lalu telah menunjukkan secara jelas BN terselamat kerana sokongan mereka.

"Pengurangan subsidi menyebabkan harga minyak naik dan beban pengguna meningkat. Menteri Kewangan kata, kenaikan terbaru ini akan menjimatkan kira-kira RM1.1 bilion.

"Di mana penjimatan itu akan dibelanjakan kita kena tahu. Harap-harap janganlah tumpu kepada bandar saja. Ingatlah siapa yang menyelamatkan BN pada 5 Mei lalu!" bidas Kadir dalam tulisan blognya susulan pengumuman kerajaan semalam.

Beliau juga mengecam pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak kerana bersikap boros dan tidak berbelanja secara berhemah sehingga menjadikan rakyat sebagai mangsa.

"Dilihat dari luar, nampak kerajaan boros. Belanja lawatan ke luar negara Perdana Menteri saja RM44.07 juta sejak Mohd Najib jadi PM lima tahun lalu.

"Belanja baik pulih dan ubah suai kediaman rasmi pula berapa?"
katanya lagi.

Selepas berakhir pilihan raya 5 Mei lalu, penganalisis membuat kesimpulan berlaku peralihan besar pengundi bandar dan kelas menengah yang menyaksikan jurang antara bandar-luar bandar Malaysia semakin luas.

BN walaupun berjaya mempertahankan kuasa persekutuan dalam pilihan raya paling sengit negara, mereka telah kehilangan bandar-bandar besar dari George Town ke Ipoh, Kuala Lumpur, Seremban, Melaka dan bandar besar di Johor.

BN gagal untuk menang di Selangor dan Pulau Pinang – dua negeri perindustrian di Malaysia – walaupun berjaya merampas kembali Kedah, negeri pedalaman dan jelapang padi itu.

Putrajaya semalam mengumumkan kenaikkan harga RON95 dan diesel sebanyak 20 sen, bagi memastikan sasaran kerajaan untuk mencapai defisit fiskal dalam lingkungan 3% berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2015 dan bajet berimbang menjelang 2020.

Langkah tersebut mendapat sokongan pakar ekonomi yang menyifatkannya sebagai baik bagi menangani hutang kerajaan yang semakin meningkat, iaitu ketika ini berada pada paras 53.5 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada hujung tahun lalu.

Sejurus pengumuman semalam, orang ramai bergegas dan memenuhi stesen minyak serta meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap langkah kerajaan tersebut.

Kali terakhir minyak petrol RON95 dan diesel adalah naik pada tahun 2010, mengalami kenaikan sebanyak 5 sen seliter.
-TMI



[GEMPAR] Amah Ini Campur Minuman Dengan Potongan Rambut Dan Seluar Dalam

Apa yang dilakukan pembantu ini benar-benar sudah keterlaluan.

Seorang pembantu rumah tangga berasal Indonesia di Kalba UEA dijatuhi hukuman satu tahun penjara dan dihantar pulang. Hukuman ini dikenakan ke atasnya setelah ia ditangkap mencampurkan makanan dan minuman untuk majikannya dengan potongan-potongan rambut dan seluar dalamnya! Hal ia lakukan untuk membuat majikannya agar tetap menggajinya sebagai pekerja dan supaya majikannya itu lebih sayang padanya.

Pembantu ini ditangkap setelah majikannya melaporkan kepada polis bahawa dia sering mencampurkan makanan, teh dan kopi dengan rambut dan potongan pakaian dalam rebusan hampir setiap hari.

Atas laporan tersebut, si pembantu yang berhasil diberkas pada Mei 2012 lalu ini dijatuhi hukuman penjara selama 6 bulan dan terancam dihantar pulang.

Sang majikan menyatakan bahawa pembantunya sering menawarkan kopi dan teh setidaknya lima kali sehari, sampai ia menemukan bahawa ada sesuatu yang aneh dengan minuman yang ditawarkan oleh pembantunya itu.

“Pemilik rumah menemukan bahawa pembantunya menggunakan potongan-potongan kecil rambut dan mencampurnya dengan potongan-potongan kecil seluar dalamnya.

Pembantunya itu kemudian mencampur bahan-bahan menjijikkan tersebut dengan minuman seperti teh, kopi, dan dengan aneka makanan yang direbus,” kata harian Alittihad.

“Seorang pemuda menyatakan bahawa pembantunya sering melakukan hal ini sebagai ‘karya’ ajaib, yang dimaksudkan untuk membuat pemuda ini sayang pada pembantunya itu,” tambah laporan tersebut. -islampos