4 Ogo 2011

Shahir Akan Berhenti Menyanyi Dan Ceburi Dakwah

Penyanyi popular Shahir menamatkan misteri kehilangannya selama ini apabila dia membuat keputusan untuk berhenti daripada industri seni dalam waktu terdekat.

Menurut sumber yang juga teman rapat penyanyi lagu Luar Biasa itu, juara Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) tersebut nekad dengan keputusannya kerana tidak tahan terhadap penganiayaan dan penindasan pihak tertentu.

"Shahir tidak akan menyanyi lagi dan akan meninggalkan terus karier seni ini kerana berasa dirinya telah dianiaya.

"Saya kasihan dengan nasib yang menimpa Shahir kerana dia masih baru dalam industri seni tetapi sudah mengalami insiden seperti ini," kata sumber itu yang tidak mahu mendedahkan identitinya kepada mStar Online, Rabu.

Tambahnya: "Apabila sudah berhenti, dia mungkin akan mengikut jejak langkah pemuzik Sham (Kamikaze) yang terlibat dengan majlis-majlis berkaitan keagamaan.

"Setakat ini, dia sudah memaklumkan perkara tersebut kepada pihak Astro Entertainment Sdn Bhd dan peminat Shahir Fan Club (FC).

"Dia mungkin akan membuat sidang media kelak untuk menjelaskan dengan lebih lanjut tentang isu ini."

Beberapa minggu lalu, industri seni kecoh dengan isu Shahir yang dikatakan 'ghaib' dan gagal dihubungi oleh pihak media sertapengurusannya.

Bagaimanapun, ibunya, Mahanum Osman mengakui Shahir berada di kampung iaitu di Kampar, Perak dan sedang berehat.

Sebelum ini, Shahir pernah menghilang kerana mengalami masalah kesihatan dan pulang ke kampung beberapa ketika.

Dia juga pernah digosipkan bercinta dengan pelakon Rozita Che Wan.

Namun pemuda tersebut menafikan perkara itu sebaliknya menganggap hubungan mereka sekadar teman biasa.

Pihak mStar cuba mendapatkan Shahir dan keluarganya, namun mereka gagal dihubungi. -mstar

Ulasan GB

Dahulu sewaktu GB tulis mengenai penyanyi ini di dalam entri Tulang Tangan Shahir Retak, Jatuh Bilik Air ada pula yang menghantar komen begini:

Anonymous said...

GB,
Artis standard ni tak payahlah masuk berita. Tulang tangan retak aje bukan mati pun. GB jagalah standard sikit.


Begitu sekali pandangannya yang GB rasa ia datang dari kalangan orang ugamawan sendiri yang "tak suka" kepada kelompok penghibur/penyanyi.

GB sudah menjawabnya pada ketika itu:

greenboc said...

kdg2 benda yg nmpk picisan tetapi mempunyai iktibar yg perlu diambil terutama apabila kita berdakwah, kita jgn lupa kepada kumpulan remaja. Shahir adalah ikon dan pujaan remaja.

Tugas kita ialah menarik minat remaja utk membaca kemudian bersama kita.

Kita berdakwah sepertimana diarahkan Allah dan RasulNya iaitu "bil-hikmah" dan kita berbicara dgn mad'u mengikut kemampuan akal mereka.

GB insyaAllah, boleh berbicara dgn sesiapa juga dgn topik apa pun mereka suka, dari Professor2 di menara gading sehinggalah anak-anak di PASTI. Bukankah itu contoh yg Rasulullah beri sebagai uswatun-hasanah sehingga akhirnya dakwah baginda diterima semua?

Maka dengan sebab itu, topik Shahir AF pun ada walaupun GB tak menonton pun AF itu!

Doakan GB.


Jadi jangan ketepikan mereka.

Media Indon Juga Persoal Kehidupan Rosmah Penuh Kontroversi

Kuala Lumpur, 4 Ogos: “Kehidupan Datin Seri Rosmah Mansor memang penuh dengan kontroversi” - Itulah ungkapan yang dilaporkan media Indonesia, KOMPAS.com hari ini dalam satu artikel mengulas mengenai kontroversi isu pembelian cincin berlian bernilai US24 juta yang dinafikan Rosmah minggu lalu.

“Mungkinkah kasus cincin berlian 24 juta dollar AS ini nanti menjadi pintu perubahan dan demokratisasi Malaysia?

“Hanya rakyat Malaysia sendiri yang menentukan,” tanya KOMPAS dalam laporannya hari ini.

Memetik laporan-laporan dalam negeri dalam kontroversi isu pembelian cincin berlian, KOMPAS melaporkan bahawa Rosmah telah menyatakan bahawa kontroversi tersebut hanyalah satu fitnah dan ‘menduga ada pihak yang memanfaatkan namanya (untuk) dikaitkan dengan cincin berlian yang harganya selangit itu’.

Namun, penafian tersebut tidak menghalang artikel tersebut untuk menyifatkan kehidupan isteri Perdana Menteri Najib Razak ini sememangnya penuh dengan kontroversi.

“Perimekar Sendirian Berhad diketahui Parlimen Malaysia telah menerima wang komisyen sebanyak 100 juta euro (sekitar Rp 1.2 trilion) atas pembelian kapa selam Scorpenen buatan Perancis.

Pada pertengahan Julai, seorang peguam Perancis, William Bourdon yang mewakili sejumlah aktivis pro-Demokrasi Malaysia yang mengugat Perimekar Sdn Bhd atas dakwaan suap dan korupsi dalam kes pembelian kapal selam Scorpene telah ditahan Imigresen Malaysia lalu dihantar pulang ke negara beliau. Tindakan itu telah memicu protes daripada pergerakan hak asasi di Malaysia seperti Suara Rakyat Malaysia (Suaram),” tulis artikel tersebut.

Pada 23 Julai yang lepas., William yang berada di negara untuk bercakap tentang urusniaga kontroversi pembelian kapal selam Scorpene yang didakwa melibatkan sogokan berjuta ringgit kepada pegawai kerajaan Malaysia, telah dihantar pulang setelah memberikan taklimat kes tersebut di satu makan malam anjuran Suaram di Pulau Pinang.

Kementerian Dalam Negeri telah memberikan alasan bahawa William telah menyalahi kegunaan visa beliau ketika dalam negara, walaupun umum mengetahui bahawa rakyat Perancis tidak memerlukan sebarang visa untuk memasuki negara Malaysia.

Menurut laporan KOMPAS lagi, krisis pembelian kapal selam Perancis, pesawat tempur jet Rusia dan senjata-senjata pertahanan yang lain didakwa telah mengakibatkan pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaarribuu pada bulan April 2006.

“Altantuya, puteri seorang profesor di Ulan Bator, diketahui mempunyai hubungan khusus dengan Abdul Razak Baginda, penasihat peribadi Perdana Menteri Najib Razak.

Altantuya yang fasih berbahasa Rusia dan beberapa bahasa asing, menurut pihak pembangkang, juga memahami betul selok-belok pembelian senjata yang digunakan oleh Angkatan Tentera Diraja Malaysia.

“Kerana menuntut terlalu banyak (komisen), akhirnya dia ditembak mati, lalu tubuhnya diletupkan,” tulis laporan itu lagi, sambil menambah bahawa dua orang, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar telah dijatuhkan hukuman mati kerana membunuh Altantuya.

“Namun, auktor intelektualis dan dakwaan korupsi pembelian senjata tidak pernah disidangkan (di mahkamah) sehingga pihak pembangkang Malaysia mengemukakan tuntutan di Mahkamah Paris, Perancis (kes Suaram),” tambah laporan itu lagi.

Kontroversi lain yang melingkupi Rosmah, kata laporan tersebut adalah hubungannya dengan calon besan bernama Maira Nazarbayev yang berasal dari Kazakhstan.

“Maira Nazarbayev yang mempunyai gaya hidup ala Imelda Marcos didakwa mempunyai kaitan dengan Organisatziya atau mafia Rusia. Maira Nazarbayev kerap keluar bersama Datin Rosmah,” tambah laporan itu lagi.

Akibat kontroversi-kontroversi tersebut, kini terdapat sumber yang menyatakan bahawa satu gerakan yang kuat dan serius telah berlangsung di dalam Umno untuk menyingkir Najib dan Rosmah kerana mereka berpandangan bahawa suami-isteri tersebut telah menjadi liabiliti terbesar kepada Barisan Nasional menjelang pilihanraya ke 13.

"Ada gerakan serius yang meminta supaya Najib berundur daripada (jawatan) perdana menteri.

"Najib dan Rosmah dilihat liabiliti kepada BN kerana pada waktu ini ia memberi kesan negatif kepada pilihan umum akan datang," kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dalam satu sidang akhbar hari ini.

Di samping itu, blogger Mohd Sayuti Omar telah juga melaporkan bahawa beliau menerima maklumat mengenai perkara yang sama bahawa terdapat satu pergerakan untuk menjatuhkan Najib yang didakwa sumbernya diketuai Penawar, Persatuan bekas-bekas Ahli Parlimen Umno.

“Ceritanya Penawar katanya telah mendesak Najib Razak supaya meletakkan jawatan sebagai perdana menteri. Sebabnya mudah, Najib dikatakan lemah dan tidak dapat menyelesaikan beberapa masalah termasuk masalah negara. Isu kelemban ekonomi dan kurang minat pelabor untuk datang melabur ke negara ini juga dijadikan penyebabnya.

“Mesyuarat itu diadakan beberapa hari lepas. Ianya dipengerusikan oleh Abdul Aziz Shamsuddin, bekas menteri pembangunan luar bandar di zaman Abdullah Badawi dan juga bekas setiausaha politik Dr Mahathir Mohamad, cerita sumber itu,” tulis beliau dalam blognya.

Hari ini, kata Sayuti, Penawar akan mengadakan mesyuarat sekali lagi mengenai isu tersebut, namun dijangkakan persatuan tersebut akan menafikan dakwaan bahawa terdapat satu pergerakan untuk menumbangkan Najib.

“Adalah dipercayai Penawar akan mengambil keputusan dalam mesyuarat berkenaan berhubung apa yang dicatatkan oleh saya dalam posting beberapa hari lepas. Dijangkakan satu kenyataan akhbar selepas mesyuarat itu akan dikeluarkan.

Isi kenyataan itu besar kemungkinan Penawar akan membuat penjelasan apa sebenarnya berlaku dan akan menafikan bahawa persatuan itu hendak mengemukakan apa-apam cadangan khususnya meminta Najib Razak berundur.

“Dalam masa sama Penawar akan menyiasat sumber yang membocorkan maklumat berkenaan,” tambah beliau. -HD

Najib Bakal Tersungkur, PENAWAR Mahu Najib Letak Jawatan

Rosmah, masalah baru Najib

"Di Malaysia, orang belum boleh menerima isteri seorang PM sebagaimana yang dibuat oleh Rosmah," kata Prof Datuk Dr Zainal Kling.

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik tempatan berpendapat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kini berdepan dengan masalah yang ditimbulkan oleh isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, di samping timbunan masalah lain.

Prof Datuk Dr Zainal Kling berkata, orang melihat Rosmah sebagai lebih menonjol dari Najib sendiri. Di Malaysia, orang belum boleh menerima isteri seorang Perdana Menteri sebagaimana yang dibuat oleh Rosmah.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kepimpinan Najib yang menjadi perbualan banyak pihak termasuk di kalangan orang Umno sendiri.

Persatuan Bekas Ahli Parlimen Umno (Penawar) mahu Najib meletakkan jawatan kerana mendakwa tidak berjuang untuk orang Melayu dan negara Malaysia.

Setiausaha Agung PAS, Mustaffa Ali pula mendakwa ada kumpulan pimpinan Umno yang mahu Perdana Menteri meletakkan jawatan sebelum pilihan raya umum.

Mengulas lanjut, Dr Zainal berkata, rakyat curiga dengan Najib yang cuba membentuk keseimbangan untuk semua orang. Orang Melayu anggap Umno tidak membela mereka, orang Cina dan India pula dakwa kerajaan Umno tidak membela mereka.

“Orang Sabah dan Sarawak menuntut hak masing-masing, jadi Najib masih berdepan dengan masalah dalaman,” tambahnya.

Para pemimpin Umno, kata Dr Zainal, pula masih menganggap diri mereka ‘raja’ dan tidak turun padang menemui rakyat sebagaimana diarahkan Najib.

Beliau berkata, Najib terpaksa bekerja kuat dan cepat untuk membaiki kelemahan yang berlaku sebelum ini. Malangnya, orang Umno masih lemah semangat walau pun ada tanda-tanda rakyat kembali menyokong kerajaan. -FMT


PAS dakwa wujud gerakan dalam Umno mahu guling Najib

KUALA LUMPUR, 4 Ogos — PAS mendakwa wujud gelombang besar dalam Umno sendiri yang mahu menggulingkan Datuk Seri Najib Razak ekoran kebimbangan bahawa Perdana Menteri dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor akan menjadi beban kepada Barisan Nasional (BN) dalam mengekalkan Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13.

Bagaimanapun parti itu berkata Najib memang sedar tentang usaha sedemikian tetapi enggan meletakkan jawatan kerana bertegas mahu mengetuai BN menghadapi pilihan raya umum, yang disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali (gambar) berkata, itu sebabnya Umno sengaja mewujudkan khabar angin konon pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR) telah mengadakan pertemuan dengan Tengku Razaleigh Hamzah untuk menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang. -TMI


Ulasan GB

GB sudah katakan lebih awal iaitu di awal tahun 2011 lagi bahawa Najib Bakal Jatuh Tergolek Kerana Rosmah

Petikan:

Belum ada isteri-isteri PM sebelum ini yang bertindak liar seperti yang dilakukan oleh isteri Mohd Najib, Rosmah Mansor namanya.

Najib nampaknya seperti tidak dapat mengekang dan mengawal tindakan Rosmah yang besar sangat nafsunya menjadi "diplomat" sekalipun bukan berhormat dan tidak pula bertauliah.

Rakyat BERHAK untuk mendesak Najib mengarahkan isterinya berhenti dari berkelakuan jelek yang menghabiskan wang rakyat.

Jika tidak Najib akan menanggung segala sumpah dan makian rakyat yang tak pernah mengundi Rosmah Mansor, isteri yang didakapnya saban malam.



Selangor Sedia Geran Untuk Pilihan Raya Adil, Bersih

Shah Alam 4 OGOS : Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bersetuju menubuhkan satu geran untuk membiayai usaha-usaha memfailkan bantahan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap senarai daftar pengundi baharu yang meragukan.

Menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim , Kerajaan Negeri memandang serius aduan-aduan mengenai kepincangan pada daftar pengundi yang sedia ada dan senarai daftar pengundi baharu.

“Aduan dan tuduhan termasuk rakyat negara jiran yang mendapat taraf permaustatin tetap dan disenarai sebagai pengundi amat merungsingkan dan perlu diselesaikan dengan segera.

"Kerajaan Selangor berpandangan bahawa rakyat mempunyai hak untuk menuntut satu daftar pemilih yang bersih untuk membuka jalan kepada satu pilihan raya yang bersih dan adil," kata Khalid selepas mempengerusikan mesyuarat exco semalam.

Tambah beliau, geran ini terbuka kepada orang ramai tanpa mengira kaum, agama dan kecenderungan parti politik. Oleh kerana dana kerajaan negeri digunakan, bantahan ini hanya melibatkan kawasan di Selangor sahaja.

“Pilihan raya bersih dan adil adalah tiang utama kepada demokrasi tulen. Pilihan raya bukan sahaja perlu bersih dan adil tetapi juga perlu kelihatan bersih dan adil di mata semua.

"Setiap usaha mesti diambil demi memastikan kredibiliti pilihan raya dijaga dan pilihan sebenar rakyat dihormati,” katanya. -tvsnews



Kes Ahmad Sarbani: Siapa Hapuskan Rakaman CCTV?

Pelakon lagak ngeri: Sukar untuk keluar tingkap

Pelakon lagak ngeri, Mohd Haslin Azriff Ramley memberitahu inkues kematian pegawai kastam Ahmad Sarbaini Mohamad bahawa agak sukar untuk keluar dari tingkap - tempat mangsa didakwa jatuh - dan beliau mengambil masa tiga hingga empat minit untuk berbuat demikian.

Saksi ke-31 inkues itu menjelaskan walaupun mempunyai pengalaman dalam melakonkan adegan lagak ngeri, namun perasaan gementar dan takut tetap ada ketika cuba keluar dari tingkap berkenaan.

Ahmad Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang, ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu pejabat SPRM di Jalan Cochrane pada 6 April.

Sementara itu, pakar patologi Prof Dr Shahrom Abd Wahid dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) berkata, Ahmad Sarbaini terjatuh dari aras tiga bangunan SPRM Wilayah Persekutuan itu dengan tidak disengajakan.

Dr Shahrom, 54, yang juga saksi ke-32 inkues berkata daripada hasil penemuan yang dibuat selepas melawat tempat kejadian, didapati Ahmad Sarbaini (mangsa) keluar dari tingkap di bilik pantri di aras tiga bangunan itu untuk menuju ke bumbung berhampiran yang mengelilingi gelanggang badminton.

"Ini adalah kerana jika berdiri berhampiran tingkap, kelihatan bumbung yang terletak di sebelah kiri tingkap itu nampak dekat tetapi apabila mangsa berjaya keluar dari tingkap, didapati bumbung berada dalam kedudukan yang jauh," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohd Abbas.

Dr Shahrom berkata Ahmad Sarbaini kemudiannya cuba meniti di atas tebing tingkap ke arah kanan untuk mencapai bumbung berhampiran sambil tangannya berpaut pada bingkai tingkap, namun tidak berjaya.

Saksi itu berkata mangsa kemudiannya cuba memanjat semula tingkap untuk masuk ke bilik pantri tetapi beliau tidak dapat mengimbangi badannya lalu tergelincir dan jatuh ke aras satu bangunan itu.

Katanya perlakuan itu dibuat dengan berhati-hati dan tidak terburu-buru kerana jika seseorang cuba melarikan diri dengan cara terburu-buru akan terdapat kecederaan dan tanda lebam pada badan disebabkan keadaan tingkap yang agak menyukarkan seseorang untuk keluar dengan cara sedemikian.

Beliau berkata kesimpulan yang dibuat juga berdasarkan kepada lakonan lagak ngeri yang dilakonkan semula oleh pelakon lagak ngeri, Mohd Haslin Azriff Ramley.

Saksi itu menjelaskan lakonan dibuat berdasarkan penemuan kesan calar pada cat dinding di bilik pantri, tapak kasut, kepala tali pinggang, kedudukan mayat yang berada selaras dengan tingkap di aras tiga berkenaan dan juga kesan pada tapak tangan mangsa.

"Terdapat kesan putih pada tapak kasut di sebelah kiri mangsa tetapi kesan itu tidak berapa jelas kerana terkena pada belakang seluar kanan mangsa semasa dia terjatuh dan juga terdapat kesan geseran pada kepala tali pinggang ketika mangsa dipercayai cuba masuk kembali ke dalam bilik pantri melalui tingkap," katanya.

Dr Shahrom berkata lakonan semula oleh pelakon lagak ngeri itu menunjukkan kemungkinan mangsa telah jatuh ke belakang apabila kaki kanannya tergelincir dari tebing tingkap dan jatuhan itu menyebabkan kecederaan teruk pada kepala dan keretakan pada tengkorak dan patah tulang di bahagian lutut.

Selain itu tiada tanda lain yang mencurigakan selain daripada disebabkan oleh kejatuhan dan tiada tanda-tanda mangsa dipaksa keluar dari tingkap itu.

"Jika mangsa dipaksa keluar dari tingkap, pasti akan terdapat kecederaan pada tubuh mangsa kerana dia akan melawan kembali serangan daripada seseorang dan akan ditemui kesan pergelutan di tempat kejadian," katanya. -mk

Ulasan GB

GB melihat isu ini sama seperti isu kematian Teoh Beng Hock - bahawa - Ahmad Sarbani adalah mangsa kepada pegawai-pgawai SPRM yang salahguna kuasa, angkuh dan sentiasa berdusta apabila memberi keterangan.

Kita masih tertanya-tanya: Siapa padamkan rakaman CCTV sewaktu Ahmad Sarbani disoalsiasat? Itu perlu diberikan penekanan di peringkat awal siasatan.

MUSTAHIL samasekali CCTV terhenti atau tidak berfunsi di dalam keadaan itu sedangkan CCTV dapat merakam ketibaan Ahmad Sarbani di pejabat SPRM dengan menaiki motorsikal sebelumnya. Ini bererti pihak orang dalam SPRM atau PDRM yang menyiasat TELAH menghapuskan rakaman CCTV berkenaan.

Selagi persoalan itu tidak dileraikan keseluruhan episod inkues adalah justifikasi yang direka-reka untuk menunjukkan kononnya Ahmad Sarbani membunuh diri.

p/s Jangan nanti ada pula nota kecil "SELAMAT TINGGAL" ditemui dalam beg atau di motorsikal atau saranan Peguam SPRM yang menyatakan Ahmad Sarbani membunuh diri secara terhormat kerana cuba menyelamatkan maruah bossnya seperti kes TBH!

[Video] Selepas Isu 8TV, TV9 Pula Paparkan Iklan Hina Ibadah Sahur

Pemuda PAS desak TV9 tarik balik iklan sahur

KUALA LUMPUR, 4 Ogos: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) sangat berasa kesal kerana mutakhir ini banyak pihak yang cuba untuk menonjolkan kebaikan ibadah di dalam Islam secara buah fikiran mereka sendiri dengan tidak merujuk kepada orang yang arif dan alim dalam agama Islam.

Sehubungan itu, ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan (gambar) berkata, DPPNS mengecam tindakan TV9 menyiarkan iklan berkaitan ibadah sahur yang secara terang-terangan menghina dan terpesong daripada maksud sebenar ibadah di dalam agama Islam.

Dalam iklan tersebut telah mengisahkan dua orang yang berjiran, seoarang lelaki dan seorang perempuan, telah bersaing secara bersungguh-sungguh memasak makanan untuk persediaan sahur di mana penghujung iklan tersebut memaparkan bahawa si lelaki tidak sempat bersahur kerana telah berkumandang azan Subuh manakala si perempuan jirannya pula sedang membasuh pinggan dan berasa gembira kerana berasa pasti si lelaki jirannya tidak sempat bersahur.

“Hasilnya menyebabkan iklan tersebut tidak menepati maksud sebenar ibadah di dalam Islam dan menjadi bahan tertawa masyarakat,” ujar Hasbullah kepada Harakahdaily.

Beliau menjelaskan, ibadah bersahur itu sendiri disebut oleh Rasulullah s.a.w. terdapat keberkatan di dalamnya dan menjadi pembeza kepada amalan berpuasa penganut agama lain.

Menurutnya, sikap yang ditonjolkan di dalam iklan tersebut juga sangat biadap apabila menunjukkan bahawa jiran tetangga bersaing kepada perkara yang tidak sepatutnya dan seronok apabila jiran tetangganya tidak dapat menunaikan ibadah.

Katanya, sedangkan dalam Islam jiran tetangga mempunyai hak untuk dihormati dan tidak boleh disakiti walaupun mereka bukan Islam
.

Sehubungan itu, DPPNS mendesak supaya TV9 menarik balik tayangan iklan tersebut dan memohon maaf kepada seluruh umat Islam di dalam negara ini.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga menasihatkan kepada pembikin-pembikin filem, iklan dan sebagainya merujuk dahulu kepada orang-orang yang alim dan pakar berkenaan dengan hukum Islam sebelum membuat sesebuah filem, iklan dan sebagainya,” ujarnya. -HD





Disimbah Asid Sebelum Tarawih

Kota Bharu – “Ketika itu saya sedang membelek senaskhah akhbar di kedai runcit sebelum tiba-tiba bahagian kanan muka dan belakang badan saya terasa panas.”

KECEDERAAN yang dialami Faizal Halim selepas disimbah cecair percayai asid ketika mendapatkan rawatan di HRPZ II di Kota Bharu semalam.

Demikian cerita Faizal Halim Rustam, 37, yang mengalami cedera parah selepas disimbah sejenis cecair dipercayai asid dalam kejadian di hadapan sebuah kedai runcit di Taman Uda Murni, Pengkalan Chepa, dekat sini malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, mangsa dalam perjalanan ke sebuah masjid untuk menunaikan solat tarawih sebelum singgah di kedai runcit tersebut untuk membeli minuman.

Menurutnya, selepas membeli minuman, dia membelek-belek senaskhah akhbar seketika sebelum tiba-tiba muka dan badannya terasa panas dan pedih seolah-olah terbakar.

“Muka dan badan saya terasa seperti terbakar dan saya terus berlari ke sebuah klinik yang terletak kira-kira 30 meter dari kedai runcit tersebut untuk mendapatkan rawatan.

“Sebaik sampai ke klinik tersebut, kakitangannya kemudian menyapukan krim ke seluruh anggota badan serta muka saya.

“Memandangkan kecederaan dianggap serius, saya kemudian dihantar ke Kota Bharu Medical Centre (KBMC),” katanya ketika ditemui semalam.

Tambahnya, berikutan kecederaan pada bahagian mata yang agak serius setelah diperiksa oleh doktor di KBMC, beliau kemudian dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk mendapat rawatan lanjut.

Ketika ditanya mengenai punca kejadian tersebut, Faizal berkata, ia mungkin disebabkan oleh dengki namun, beliau enggan mengulas lanjut.

“Saya tidak nampak dan tidak tahu siapa yang melakukan perbuatan itu.

“Saya harap pihak polis dapat menjalankan siasatan dan menangkap suspek yang melakukan perbuatan ini kerana ketika kejadian, saya pasti terdapat beberapa orang lain yang menyaksikannya di kedai tersebut,” ujarnya.

Berikutan kejadian itu, satu laporan telah dibuat di Balai Polis Kota Bharu semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Sesiapa yang menyaksikan kejadian tersebut diharap tampil untuk membantu siasatan,” katanya. -kosmo

Isu Iklan Ketiak: 8TV Berfalsampah

8TV: Iklan 'ketiak' disalahtafsir

Stesen televisyen 8TV hari ini memohon maaf berhubung iklan Ramadan yang di-keudarakan seketika sebelum ditarik-balik berikutan bidasan pelbagai pihak bahawa ia berbaur perkauman dan membuat stereotaip berdasarkan bangsa.

Sambil memetik ahli falsafah Austria Karl Popper, 8TV cuba berfalsah menjelaskan iklan berbentuk pengumuman perkhidmatan masyarakat (PSA) Ramadan yang disiarkannya itu.

"Seperti ahli falsafah terkenal Austria Karl Popper pernah berkata, “Adalah mustahil bagi bercakap dalam cara yang anda tidak akan disalah-tafsir” - dan ini situasi malang yang berlaku akibat iklan PSA Ramadan 8TV.

“Dengan kesal terdapat salah tafsiran PSA itu yang hanya bertujuan menyampaikan mesej bagi menghormati bulan Ramadan.

“Mesej itu bukan bertujuan menyinggung mana-mana bangsa atau keturunan dalam apa cara sekalipun. Ini adalah kesilapan jujur membabitkan sedikit jenaka yang disalahtafsir dan menjadi kebimbangan sesetengah pihak.

“Sehubungan itu, 8TV menarik balik PSA berkenaan dan memohon maaf atas sebarang ketidak-selesaan atau kesulitan akibat daripada penyiarannya itu,” kata stesen tv berkenaan dalam satu kenyataan.

Pada satu daripada tiga iklan itu, ketiak seorang wanita Cina yang memakai baju tanpa lengan yang ketat dikaburkan apabila dia mengunjungi bazaar Ramadan sambil mendakwa dirinya menjadi tumpuan.

Iklan itu kemudiannya menasihatkan penonton agar tidak berpakaian ketat dan mendedahkan. Mereka juga diingatkan supaya tidak terbawa-bawa dan memahami serta menghormati signifikan Ramadan.

Dalam reaksi terhadap kemarahan orang ramai, CEO 8TV Ahmad Izham Omar dalam tweet meminta penonton supaya 'chill' dan tidak “terlalu banyak berfikir”.

“Chill guys. Don't overthink the ads. It's written, produced and directed by a multi-racial team. If you overanalyse, anything will be bad,” tulisnya.

Ulasan GB

Iklan tersebut sebenarnya menggambarkan tahap mentaliti dan IQ rendah keseluruhan warga kerja 8TV.

Mereka kini berfalsafah mempertahankan diri sedangkan keseluruhan episod iklan tersebut lansung tidak menampakkan unsur didaktik tetapi lebih kepada humor yang tidak menjadi malah dilihat over-acting dan keterlaluan di dalam cuba menyampaikan mesej yang simple.

Di dalam senario kehidupan pelbagai bangsa, apabila sensitiviti sesutau kaum tidak diambil kira, maka porak perandalah jadinya. Inilah yang berlaku ekoran iklan tersebut.

Minta kaum lain menghormati bulan Ramadhan, tetapi dengan perlakuan-perlakuan yang berlebih-lebihan yang tidak pun dilakukan di dunia realiti, menjadikan mutu iklan tersebut terlalu rendah.

Malah di dalam banyak hal bangsa sendiri yang banyak melanggar batas akhlak di bulan Ramadhan.

Dan yang terlebih utama Media Prema sendiri yang perlu menyemak rancangan-rancangan yang mereka tayangkan selama ini samada ia bertepatan dengan akhlak Islamiah, begitu juga dengan siaran berita-berita mereka samada ianya bersih dari fitnah dan propaganda yang ternyata ianya melanggar terus bukan sahaja akhlak Islamiah malah disiplin dan etika pemberitaan itu sendiri.

Najib Mungkin Lebih Malang Dari Pak Lah

PRU 13 awal atau lewat, Najib tetap didesak berundur?

Melihat kepada lautan manusia pada 9 Julai 2011, ramai menjangka Perdana Menteri Najib Razak tidak berani untuk membubarkan parlimen pada tahun ini.

Igauan bagaimana perhimpunan BERSIH pada 10 November 2007 mencetuskan tsunami politik pada 8 Mac 2008 masih menghantui Barisan Nasional. Seandainya PRU ke-13 diadakan pada tahun ini, Najib berkemungkinan besar mengulangi nasib mantan PM, Abdullah Ahmad Badawi.

Lebih-lebih lagi, cara dan pendekatan kerajaan Najib Razak mengendalikan perhimpunan BERSIH 2.0 telah mencungkil ketidakpuasan ramai, dari Sasterawan Negara yang menjadi ikon budaya, hinggalah bekas mufti yang berpengaruh dalam bidang agama; dari mereka yang berada di atas pagar, hinggalah pewaris tokoh UMNO sendiri - Marina Mahathir.

Mengikut perhitungan biasa, kerajaan Najib dijangka memerlukan tempoh dalam setahun untuk memperbaiki keadaaan, atau sekurang-kurangnya meredakan ketidakpuasan ini. Dengan kata lain, PRU 13 paling mungkin diadakan pada tahun 2012 selepas Jun, malah tidak mustahil diheret sehingga awal tahun 2013.

Semakin lama PRU ditunda....

Namun demikian, perkiraan UMNO mungkin tidak mengikut logik biasa. Semakin lama PRU ke-13 ditunda, bermakna semakin berat bebannya. Pertama, UMNO-BN tidak mempunyai alasan untuk menundakan reformasi sistem pilihan raya. Perlu diingatkan bagaimana impak "BERSIH 1.0" memuncak apabila SPR membatalkan penggunaan dakwat kekal empat hari sebelum hari pengundian PRU 12. Kerajaan Najib sama ada kehilangan undi berikutan "ketidaksempatan" melakukan reformasi sistem pilihan raya, ataupun tumbang kerana sistem pilihan raya yang bersih, adil dan bebas.

Dari segi ekonominya, semakin lama PRU 13 ditunda, maka kerajaan BN perlu bergelut dalam situasi inflasi yang semakin melonjak. Harga minyak semestinya akan meningkat, selain tarif elektrik yang telah dijanjikan akan dikaji setiap enam bulan. Keadaannya akan lebih parah dalam suasana ekonomi yang tidak menentu, malah dijangka "meleset" pada tahun 2012. Pengurangan subsidi hampir pasti berlaku. Meskipun dibuat juga peruntukan bajet (gula) untuk meraih undi, persoalan yang melantun-lantun adalah, dari mana datangnya wang itu?

Dari segi politiknya pula seandainya PRU 13 dijalankan pada 2012 mahupun 2013, pengundi Sarawak akan tertanya-tanya, bilakah Ketua Menteri Taib Mahmud bersara? Meskipun menang dalam pertarungan sengit PRN Sarawak pada April 2011, namun BN sedar bahawa angin perubahan semakin kencang. Seandainya Taib Mahmud dikekalkan, maka ia menghulurkan senjata kepada Pakatan Rakyat untuk menyerang dirinya. Sebaliknya, jikalau Taib Mahmud digugurkan, maka pertentangan kepentingan akan berlaku, antara Taib Mahmud yang sudah 30 tahun berkuasa di bumi kenyalang, dengan kepentingan kerajaan persekutuan.

Seandainya BN gagal menyelesaikan konflik ini, maka angin perubahan dijangka bertiup ke Sabah, dua negeri yang melanjutkan denyutan jantung BN di Putrajaya. Perlu diambil kira juga negeri Johor, yang mana sebelum ini Menteri Besar Abdul Ghani sendiri menjangkakan angin perubahan yang lebih kencang berbanding 8 Mac 2008. MCA menyumbang tujuh daripada 26 kerusi parlimen di Johor, dan tujuh ini berpotensi jatuh ke tangan Pakatan Rakyat. Melihat kepada senario terkini, persoalan yang lebih merunsingkan Najib/BN adalah, daripada 15 kerusi parlimen yang dipegang MCA sekarang, berapa yang mampu dipertahankan?

Kegagalan Najib menarik sokongan

Najib bermula dari mana Abdullah Ahmad Badawi terjatuh. Jelas, slogan 1Malaysia-nya menyasarkan pengundi yang berada di "pertengahan", yang mual dengan politik perkauman. Sementara itu, Program Transformasi Ekonomi (ETP)-nya pula menyasarkan pengundi bandar, yang menaruh harapan agar sistem dan struktur ekonomi diperbetulkan. Golongan ini tidak menunjukkan kecenderungan politik parti yang tegar, mereka dijangka kembali ke pangkuan BN seandainya kehidupan harian dan keadaan negara diperbaiki.

Akhirnya kesemua daripada mereka dihampakan. Sama ada PERKASA diwujudkan atas restu Najib kerana "politik talam dua muka", mahupun sabotaj dalaman parti - sudah tidak penting. Politik itu persepsi. Persepsi umum adalah PERKASA berjaya menggagalkan 1Malaysia dan ETP yang digagaskan Najib, dan Najib selaku seorang PM gagal mengawal keadaan sehingga PERKASA dibiarkan bermaharajarela.

Najib semakin tersepit Bukan sahaja golongan yang berada di "tengah-tengah" ini dikecewakan, malah ikon-ikon tertentu yang berpengaruh turut mengasingkan diri dari regim ini, bahkan melontarkan kritikan terhadapnya. Ikon budaya, Sasterawan Negara A.Samad Said dalam wawancara bersama Malaysiakini terus mengecam bahawa "Najib memang kejam". Perlu diingatkan bahawa A.Samad Said disokong sekumpulan seniman apabila polis menyoal-siasat beliau di bawah Akta Hasutan.

Baru-baru ini, bekas mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin (MAZA) dikaitkan pula dengan fahaman Wahabi, dan aktiviti terrorisme. Meskipun sesetengah pandangan beliau dianggap kritikal terhadap kerajaan, namun Dr. MAZA tidak semestinya berpihak kepada PR. Misalnya, beliau pernah dikecam keras apabila mencadangkan agar Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim berundur. Maknanya, terdapat ruang untuk BN "engage" pemimpin yang berpengaruh seperti ini. Namun, mengaitkan MAZA dengan pengganas adalah sesuatu yang sukar dipertahankan, walaupun Utusan Malaysia, kerana MAZA pernah menulis kolum untuk akhbar tersebut.

Pendekatan Najib mengendali BERSIH 2.0 seolah-olah menggali kubur untuk dirinya. Titik pusingannya berlaku apabila Najib berdolak-dalik dalam isu "stadium", yang menyebabkan ramai beralih untuk bersimpati terhadap BERSIH 2.0. Dan apabila gas pemedih mata dilepaskan bertalu-talu ke dalam lautan manusia yang merangkumi warga emas, budak kecil... yang melangkaui batas kaum dan agama, imej Najib ranap dalam sekelip mata.

Pergelutan dalam UMNO

Kini Najib berdepan dengan tekanan dalam partinya. Dari perkiraan sesetengah pemimpin UMNO, BN tetap mampu mempertahankan kerajaan persekutuan pada PRU 13, meskipun mungkin gagal mengembalikan majoriti dua pertiga, dan beberapa kerajaan negeri, malah mungkin kehilangan Negeri Sembilan!

Apapun berlaku, senario ini tidak memihak kepada Najib. Najib tetap akan digulingkan dalam UMNO seandainya,-

Pertama, gagal mengembalikan majoriti dua pertiga dalam parlimen;
Kedua, gagal mengembalikan kuasa beberapa kerajaan negeri, misalnya Selangor.
Ketiga, gagal meraih sokongan bukan Melayu.


Dari kaca mata sesetengah pimpinan UMNO, UMNO-BN akan hilang kuasa jikalau semakin lama PRU 13 ditunda. Maka tidak mustahil seandainya Najib didesak untuk mengadakan PRU 13 pada Oktober tahun ini.

Sama ada PRU 13 diadakan pada tahun ini mahupun tahun 2012, malah 2013, Najib perlu bersedia untuk menyusuri jejak Abdullah Ahmad Badawi. Abdullah gagal apabila menghampakan pengundi yang mahu melihat perubahan yang dijanjikannya. Nasib yang sama akan menimpa Najib. Cuma, nasib Najib mungkin lebih malang daripada Abdullah, kerana beliau mempunyai kes Scorpene yang bakal berlangsung perbicaraannya di Perancis! -MR

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia