22 Ogo 2010

Chua Dicabar Keluarkan MCA Dari BN

MPM mahu tindakan ISA ke atas Soi Lek

Majlis Perundingan Melayu (MPM), hari ini sepakat mendesak kerajaan mengenakan tindakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang didakwa mencetuskan ketegangan kaum selain melanggar semangat perlembagaan dengan mempersoalkan hak istimewa orang Melayu.

Ahli Jawatankuasa Pemandu MPM, Dr Zubir Harun berkata kenyataan Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim semalam yang mendakwa Dr Chua melanggar Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan dengan meminta ekuiti 30 peratus pegangan bumiputera dalam perniagaan dikurangkan.

“Mengikut kenyataan Datuk Rais semalam, kami rasa pelanggaran ini sebagai satu perkara serius.

“Beliau cuba merompak hak Bumiputera mendapatkan rezeki,” tegas Zubir kepada wartawan ketika sidang media sempena mesyuarat tergempar MPM di sini.

MPM, sebuah badan gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu ditubuhkan Mac lalu dengan tujuan mempertahankan hak kaum Melayu dan Bumiputera.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung MPM Dr Hasan Mad berkata resolusi Kongres Ekonomi Cina anjuran MCA Sabtu lalu seolah-olah sengaja mencabar hak Melayu.

Malah, Hasan menempelak penafian Dr Chua hari ini bahawa beliau tidak mempersoalkan Dasar Ekonomi Baru atau hak Bumiputera.

“Itu yang saya panggil lidah biawak. Resolusi itu dalam bentuk bertulis jelas menunjukkan beliau memang meminta pengurangan (ekuiti Bumiputera). MPM tidak mahu pemimpin yang tidak menyumbang kepada pembangunan negara seperti ini,” tegas beliau.

Menurut Hasan, MPM akan mengeluarkan resolusi sendiri selepas mesyuarat tergempar har ini menuntut kerajaan tidak tunduk dengan permintaan MCA atau mana-mana NGO kaum Cina.

“Kita akan tulis surat. Pertama kepada menteri Kabinet Melayu, kedua kepada ahli Majlis Tertinggi Umno minta supaya tidak tunduk dengan permintaan kaum Cina dari MCA atau mana-mana pihak,” kata Hasan.

Dr Chua sebelum ini juga telah meminta kerajaan menambah peruntukan kepada sekolah aliran Cina kerana mendakwa pertambahan murid di samping kepentingan berbahasa Mandarin bagi menarik pelabur dari China.

Seorang lagi Ahli Jawatankuasa Pemandu MPM, Datuk Kamaruddin Kachar berkata hanya sekolah kebangsaan layak menerima peruntukan kerajaan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Perlembagaan kata sekolah bukan kebangsaan tak boleh terima peruntukan. Jadi mengapa nak bagi peruntukan (kepada Dr Chua). Kita menuntut sekolah Cina dan Tamil dimansuhkan dan hanya nak sekolah satu aliran,”katanya.

Seorang lagi Ahli Jawatankuasa Pemandu MPM, Datuk Seri Mohd Hilmi Ismail menambah hanya Malaysia masih memiliki sekolah pelbagai aliran.

“Di negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia tak ada sekolah vernakular. Hanya Malaysia ada,” ujar beliau.

MPM turut memberi amaran kepada MCA bahawa orang Melayu tidak akan memberi sokongan kepada parti itu jika ia terus mengungkit hak istimewa orang Melayu.

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia, salah satu ahli gabungan MPM sebelum ini telah membuat laporan polis terhadap Dr Chua berhubung kenyataannya yang dikatakan berbaur perkauman apabila mempersoalkan sistem kuota ekonomi Bumiputera.

Dr Chua semasa ucapannya di Kongres Ekonomi Cina Malaysia 14 Ogos lalu menuntut ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus dalam semua sektor ekonomi dikurangkan secara berperingkat tetapi mendapat tentangan hebat pelbagai NGO Melayu. -TMI


Ibrahim pula gesa pihak tak hormati kontrak sosial keluar Malaysia

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali menyertai senarai pihak yang menggesa agar mereka yang menyentuh soal kepentingan Bumiputera dan kontrak sosial supaya balik ke negara asal mereka.

Dalam kenyataan dikeluarkan pagi ini, Ibrahim berkata “siapa yang tidak menghormati kontrak sosial iaitu Perkara 153 boleh keluar Malaysia, balik negara asal nenek moyang.”

“Jangan hipokrit,” kata Ibrahim yang lazimnnya lantang dalam kenyataan dikirim menerusi khidmat pesanan ringkas.

Pendirian yang sama ditulis oleh kolumnis Mingguan Malaysia Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah Ahad lalu.

Ia disusuli dengan pendedahan kenyataan seorang pengetua sekolah menengah di Kulai Jaya, Johor dan baru-baru ini didakwa dikeluarkan oleh pengetua sekolah rendah di Kedah.

Pendirian Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas dikeluarkan ekoran kenyataan Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon semalam.

Koh berkata, rakyat perlu berhenti daripada terlalu memikirkan isu perkauman termasuk mengenai kuota serta ekuiti Bumiputera dan berhenti daripada bergaduh berhubung perkara itu.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata pertengkaran secara terbuka tidak membawa apa-apa kebaikan dan beliau sebaliknya meminta setiap individu untuk memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi negara.

“Saya merayu kepada semua agar jangan memperbesarkan isu perkauman dan kritikan.

“Jangan terlalu memikirkan tentang sudut perkauman. Jika perkara ini berterusan, kita akan semakin kurang berkongsi dan lebih banyak bertengkar,” katanya.

Koh berkata beliau menasihatkan Ibrahim agar lebih member tumpuan tentang bagaimana memperkasakan pengetahuan, pengalaman dan daya saing di kalangan Bumiputera daripada melukakan perasaan kaum lain dengan “berkata itu dan ini.”

“Komen saya terhadap Koh Tsu Koon yang tegur saya, suruh ambil tindakan positif memperbaiki nasib Bumiputera bukan dengan hanya bercakap dan melukai hati kaum lain.

“Tapi kaum lain tak luka hati kaum Bumiputera ke? Isunya, sebagai Menteri Perpaduan, kenapa dia tak tegur Cina, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan dia dan ICU kena bertanggungjawab membuat Melayu Pulau Pinang merempat,” katanya.

Ibrahim berkata Koh perlu menyatakan pendiriannya dalam soal ekuiti 30 peratus sedangkan Bumiputera 67 peratus.

“Nyatakan pendirian. Koh juga adalah dalam satu kumpulan anti-Melayu secara halus,” katanya lagi. -TMI


Ulasan GB

Dah sampai orang kata awak beridah biawak. Pun sanggup nak duduk sekandang lagi?

Isu Khutbah: UMNO Mendedahkan Kejahilannya

Asri: Jangan politikkan isu khutbah, tak salah doa pemimpin sejahtera

Dr Mohd Asri Zainul Abidin menggesa Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) tidak mempolitikkan isu membaca doa membabitkan kesejahteraan Ketua Menteri Pulau Pinang semasa khutbah sehingga boleh mencetuskan suasana tidak senang di kalangan rakyat.

Sambil menegaskan beliau tidak pasti bentuk doa yang telah dibacakan sebagaimana didakwa oleh Umno Pulau Pinang, bekas mufti Perlis kelahiran Pulau Pinang itu menganggap membacakan kesejahteraan Lim selaku Ketua Menteri atau seabgai ketua kerajaan negeri adalah perkara kecil.

“Jangan mempolitikkan isu ini, saya katakan perkara ini kepada Pakatan dan juga BN, jangan mempolitikkan,” kata beliau.

Asri menambah, parti-parti politik perlu ada semangat “negarawan” tanpa melihat sesuatu isu itu dalam skop yang terbatas atau kerangka politik semata-mata atau kepentingan kelompok tertentu.

“Saya tidak memihak kepada mana-mana pihak... kita (sebenarnya) ada banyak perkara besar untuk dilakukan bagi rakyat negara ini... isu ini (membaca doa kesejahteraan) bukanlah besar sangat pun,” kata beliau yang pulang ke tanah air dari Mekah kelmarin.

“Saya tidak tahu apakah doa yang dibacakan, kita kena melihat pada kandungan doa,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider semalam sambil menjelaskan, doa jatuh dalam empat kategori.

Doa pertama menurut beliau, meminta seseorang pemimpin diberikan petunjuk atau hidayah manakala yang kedua berharap agar seseorang pemimpin itu bersikap adil atau bersimpati dengan nasib rakyat.

“Doa ini boleh dibacakan ke atas pemimpin sama ada mereka itu Islam atau bukan Islam,”
katanya.

PR melihat Umno menggunakan isu itu menyerang kepimpinan negeri diterajui Lim sejak Mac 2008. Isu khutbah dilihat siri terbaru serangan ke atas kerajaan negeri pimpinan PR.

“Dua doa yang lain ialah kita mendoakan kesejahteraan seseorang pemimpin itu walaupun dia berlaku tidak adil, seolah-olah kita bersetuju dengan kezaliman dia, dan satu lagi ialah berdoa memuji kepimpinan, seolah-olah doa penghias kepimpinan)... kedua-dua ini tidak boleh dilakukan,” katanya.

Asri juga membangkitkan persoalan mengapa isu doa dijadikan sebagai satu isu besar sekarang sedangkan ada parti-parti politik yang pernah berdoa agar membawa kemenangan seseorang calon bukan Islam yang diletakkan dalam pilihan raya.



Katanya, jika doa kemenangan dibolehkkan ke atas calon bukan Islam, mengapa doa kesejahteraan pemimpin bukan Islam tidak boleh demi menunjukkan hidayah atau petunjuk dan agar berlaku adil kepada rakyat.

“Saya tidak mahu menyebut parti mana yang berbuat demikian, tetapi jangan mempolitikkan isu doa sekarang... pernah ada parti yang membacakan doa agar membawa kemenangan kepada calon mereka yang bukan Islam, mengapa dulu boleh tetapi sekarang tidak boleh, jadi ada doa yang boleh dan ada doa yang tidak boleh... doa untuk kebaikan kita boleh lakukan,” katanya.

Asri juga menasihatkan agar isu khutbah dan doa dilihat dari sudut agama yang akan memberikan penyelesaian adil dan berfakta, bukannya menerusi platform politik yang lebih bersifat emosional.

Ketika ditanya mengenai penggunaan nama Ketua Menteri untuk digantikan dengan nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, Asri berkata, beliau tidak pasti soal tersebut baru pulang dari luar negara.

“Aspek ini saya belum ada maklumat sebab saya baru pulang dari luar negara,” kata beliau.

Setakat semalam polis sudah pun menerima tiga laporan berhubung dakwaan penggunaan nama Ketua Menteri Pulau Pinang dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong.

Laporan Utusan Malaysia semalam memetik Imam Masjid Jamek Padang Menora, Ibrahim Ishak yang mengakui khatib ada menyebut nama Ketua Menteri dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, ia bermaksud semoga Allah membukakan hati Guan Eng untuk menerima Islam.

Khamis lepas, Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang memprotes penggunaan nama Ketua Menteri dalam doa khutbah kedua solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penggunaan nama Ketua Menteri itu dalam khutbah Jumaat dikesan sejak minggu lepas di beberapa buah masjid sekitar Tasek Gelugor, Permatang Pauh dan Jelutong.

Beliau berkata tindakan menggunakan nama Ketua Menteri bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah Jumaat adalah di luar daripada keputusan Majlis Raja-Raja.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin kerajaan negeri Pulau Pinang menafikan perkara tersebut berdasarkan siasatan awal.

“Biar siasatan dijalankan untuk menentukan khatib atau imam masjid mana yang terlibat dan kalau benar tindakan tegas akan diambil,” kata Timbalan Ketua Menteri I Dr Mansor Othman dan Exco Kerajaan Negeri Abdul Malik Kassim dalam satu kenyataan bersama semalam.

“Hanya khatib atau imam yang tak siuman berani menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dengan nama Lim Guan Eng. Sekiranya dakwaan ini benar, kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas,” kata pemimpin itu.

Dalam kenyataan itu juga, Abdul Malik dan Mansor menambah, dakwaan yang lebih merupakan fitnah terhadap kerajaan negeri adalah sangat serius kerana boleh mencetuskan kemarahan, kebencian dan ketegangan kaum dan agama dan membawa insiden yang tidak diingini.

“Lim Guan Eng, yang tidak pernah campur tangan dalam hal ehwal pentadbiran Islam, pun dianiayai,” kata mereka.

Umno Pulau Pinang mempertahankan pendirian mereka dengan menafikan dakwaan bahawa parti itu sengaja mencipta isu kononnya nama Ketua Menteri digunakan dalam khutbah untuk menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong.

Ketika menjelaskan kepada The Malaysian Insider, Timbalan Pengerusi Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman mendakwa perkara itu benar-benar berlaku di beberapa masjid, sejak awal tahun ini.

Beliau menamakan enam masjid yang menurut parti itu telah menggunakan nama sama ada “Ketua Menteri ataupun Lim Guan Eng” dalam khutbah, yang dikesan sejak Februari lalu.

Ulasan GB

Rasulullah S.A.W sendiri pernah berdoa agar Islam dikuatkan oleh salah satu dari dua Umar. Dan akhirnya Umar bin Al-Khattab memeluk Islam.

Oh, begitu jahil puak UMNO ni dari Presiden sampai ke akar umbinya terhadap agamanya.

Rakyat Pilih Pakatan Rakyat Di Facebbok

Pakatan Rakyat Mendahului BN 47.02 Peratus Dalam E-PRU13

Pilihan Raya Umum ke-13 masih diawang-awangan dan menjadi teka-teki penganalis politik negara tetapi di dalam dunia maya pertembungan antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional untuk mendapatkan sokongan rakyat Malaysia sudah pun bermula dengan rancaknya.

Hasilnya Pakatan Rakyat mendahului BN dengan peratusan undi sebanyak 47.02 peratus.

Inisiatif peminat laman web sosial Facebook telah mewujudkan akaun E-Pilihan Raya Umum 13 Facebook Malaysia di mana rakyat Malaysia boleh mengundi secara maya bagi memilih parti politik yang bakal menubuhkan kerajaan pusat.

Undian terkini yang diperolehi menunjukkan Pakatan Rakyat mendahului BN dengan memperolehi 47.02 peratus atau 5,274 undi manakala BN hanya memperolehi 22.98 peratus atau 2,578 undi.

Parti Bebas yang turut bertanding berjaya mengaut 4.37 peratus atau 490 undi sahaja.

Jumlah pengundi yang didaftarkan dia dalam akaun tersebut adalah seramai 11,217 orang.

Walaupun ini hanya bersifat undian maya yang dibuat di laman sosial itu, kesimpulan keputusan setakat ini mendapati sokongan rakyat Malaysia terhadap BN sudah merosot.

Timbalan Angkatan Muda KEADILAN Pusat, Fariz Musa berkata walaupun undian itu secara maya, ia menggambarkan satu senario baru politik di negara ini yang mana rakyat mahukan perubahan tampuk pemerintahan daripada BN kepada Pakatan Rakyat.

"Keputusan ini walaupun tidak rasmi tetapi menggambarkan keadaan sebenar politik negara yang mana rakyat mahukan perubahan pemerintah. Dasar yang di bawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tentang 1 Malaysia jauh terpesong daripada apa yang beliau katakan 'Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan'. Kita lihat rakyat sekarang berada dalam keadaan tertekan dengan faktor ekonomi apatah lagi dengan kenaikan harga baru-baru ini.

"Najib dan BN sebenarnya tidak mempunyai tanggungjawab dalam memastikan hak rakyat terus terbela, malah beliau hanya tahu menekan rakyat bila berhadapan dengan masalah kewangan negara. Yang terbaru tentang saman ekor sehinggakan disenarai hitam dan rakyat dipaksa untuk membuat bayaran penuh baru boleh diperbaharui lesen mahupun cukai jalan kenderaan mereka.

"Rakyat sudah mula menunjukkan hukum mereka terhadap BN, isyarat jelas rakyat berikan kepada BN bahawa Najib gagal dalam pentadbirannya. Dalam masa ekonomi semakin teruk rakyat terbeban dengan kenaikan harga Najib masih lagi boleh bersenang lenang bercuti di luar negara," jelas Fariz kepada Suara Keadilan.

Tambah Fariz, keputusan maya itu menunjukkan rakyat sudah mula menunjukkan sokongan mereka terhadap Pakatan Rakyat.

"Kita melihat rakyat sudah boleh menerima kehadiran Pakatan Rakyat di dalam politik negara ini, sokongan itu menunjukkan usaha Pakatan Rakyat dalam membangunkan kebajikan rakyat sudah meresapi jiwa dan semangat mereka.

"Dari sudut negatif pula kita jangan terlalu leka dengan keputusan tersebut kerana kita tidak tahu siapa sebenarnya yang mengundi, mungkin Umno-BN sengaja melakukan perkara tersebut agar Pakatan Rakyat tidak perlu bekerja keras untuk menguatkan parti. Apa yang saya harapkan usaha yang lebih keras perlu dilakukan oleh anggota KEADILAN dari peringkat akar umbi hingga ke peringkat atas," kata beliau lagi.

Keputusan maya itu juga menunjukkan rakyat sudah mula telah menghantar isyarat awal yang jelas kepada BN sebelum PRU-13 bahawa mereka sudah serik dengan pentadbiran yang penuh dengan skandal rasuah dan salahguna kuasa.

Pengundi menganggap pentadbiran BN di bawah Najib tidak mampu memberi keselesaan hidup kepada rakyat berbanding sebelum ini.

Selain itu juga kegagalan BN meningkatkan taraf ekonomi negara ini juga menjadi faktor utama rakyat merasa tertekan yang dikaitkan dengan isu kenaikan harga barang dan ppenarikan subsidi.

Kekangan kebebasan bersuara dan tekanan ke atas media juga menjadi antara faktor utama kemerosotan sokongan rakyat kepada BN.

Sokongan padu kepada Pakatan Rakyat pula memberi petunjuk jelas bahawa rakyat yakin gagasan itu bersedia untuk menggalas tugas menubuhkan kerajaan pusat yang baru selepas PRU-13 nanti.

Keyakinan rakyat berasaskan penerimaan rakyat terhadap dasar ketelusan, keadilan dan keterbukaan yang menjadi tunjang perjuangan Pakatan Rakyat.

Perubahan ke arah ini dapat di lihat daripada dasar serta program yang dilaksanakan di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan di mana pimpinan Pakatan Rakyat tidak meletakkan agenda memperkayakan peribadi, keluarga atau kroni semasa memegang tampuk kuasa.

Selain itu pengundi dalam Facebook juga melihat faktor membela rakyat yang menjadi teras Pakatan Rakyat mendapat perhatian berbanding BN. -SK