2 Mac 2014

Kassim Ahmad Jatuh Sakit Sebelum Debat Bermula!

Kulim: Pemikir dan penulis kontroversi, Dr Kassim Ahmad yang mencetuskan kegemparan dengan kemunculan semula mengkritik hadis di Seminar Pemikiran Kassim Ahmad dimasukkan ke Hospital Kulim sejak Rabu lalu kerana kesukaran bernafas.

Rombongan media MySuara yang sepatutnya menemubual beliau secara eksklusif semalam di rumahnya dimaklumkan oleh isterinya, Sharifah Fawziah bahawa beliau dikejarkan ke hospital dengan ambulan dan ditahan wad.

"Dia agak penat kerana selepas seminar tempoh hari, ramai orang datang ke rumah dan menerima banyak panggilan telefon. Anak kami mungkin akan membawanya ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut," jelasnya sambil membawa kami meninjau bilik pejabat Dr Kassim di dalam rumah mereka..

Di bilik bacaan dan penulisan itulah Dr Kassim menghabiskan masa emasnya dalam usia 80 tahun untuk menghasilkan tiga karyanya iaitu Mencari Jalan Pulang, Islamic Renaissance dan Jalan Yang Lurus.

Masing-masing diterbitkan ZI Publications, Brainbowpress dan Pekan Ilmu.

Dr Kassim sebelum ini menyewa di Tanjung Bunga, Pulau Pinang sebelum berpindah ke rumah baru yang dibelikan anaknya Shauqi Kassim di Kulim pada 2006.

MySuara kemudian menziarahi beliau di Hospital Kulim ketika waktu melawat sebelah petang.

Dr Kassim kelihatan sedang berehat dengan dibekalkan tiub oksigen untuk membantu penafasannya.

"Pagi tadi saya sudah pesan roti canai tetapi sampai lewat dan saya sudah minum pagi. Selera makan saya baik walaupun sudah tua. Nasinya sedap cuma lauk ikannya tidak berapa sangat," jelasnya yang sedang menikmati makan tengahari.

"Saya boleh berdialog lagi 3 jam," seloroh Dr Kassim dalam suara perlahan, serak dan batuk ringan.

Dalam pertemuan ringkas selama 30 minit itu, Dr Kassim sempat menerangkan pandangannya dan menjawab soalan-soalan tambahan dengan bersemangat.

Penampilan Dr Kassim seperti pesakit lain menyebabkan kelibatnya di Hospital Kulim tidak disedari.

Malah sepanjang temubual berlangsung beberapa orang doktor yang lalu lalang teruja apabila melihat buku Jalan Yang Lurus dan mengetahui pesakit mereka adalah penulis buku tersebut. -mysuara.net

ULASAN GB

Debat belum pun bermula, Kassim Ahmad dah jatuh sakit.

Kita tidak tahu samada Kassim Ahmad sebelum yang dikatakan menolak hadith "mempelajari" apa yang menimpa ke atasnya. Sakit - kemudian kena berjumpa doktor. Kita tidak duduk di rumah dengan semata-mata berdoa. Kenapa kena pergi hospital dan bertemu doktor. Kerana dengan ilmu dan kepakaran yang ada doktor itu, penyakit boleh diubati sekalipun yang menyembuhkan tetap Allah swt jua. Ada hadith Nabi juga yang mefhumnya, jika kamu sakit bertemulah tabib (donktor). Bukankah Kassim Ahmad kini juga tanpa disedari terpaksa mengikut anjuran hadith berkenaan sekalipun beliau mengisytiharkan beliau anti-hadith?

Begitu juga dalam hal agama. Memang Allah telah menurunkan Al-Quran sebagai panduan hidup manusia. Tetapi Al-Quran itu ialah garis panduan kasar yang kemudiannya diperincikan oleh Rasulullah saw melalui hadith-hadithnya. Sebagai contoh Al-Quran memerintah manuisa "aqimussolah" - dirikan solat - tetapi bagaimana rupa solat yang hendak didirikan? Iktidalnya bagaimana, rukuknya bagaimana, sujudnya bagaimana malah kiblatnya ke mana? Penjelasan dan perinciannya itu tiada di dalam Al-Quran. Itu sebab mengapa Rasulullah diturunkan sebagai contoh tauladan untuk manusia, bukan sahaja menunjukkan bagaimana untuk mendirikan solat tetapi juga penjelasan untuk bermacam hal dari aspek tauhid, ibadah, muamalat, munakahat, siyasah dan lain-lain.

Begitulah hal-hal yang lain selain dari doktor, iaitu jika kereta anda rosak, pergilah cari foreman kereta, jika anda ingin menempah baju, carilah tukang jahit, jika anda kebingungan dalam hal agama, carilah ustaz/ulamak yang mahir - bukan mentafsir ikut kefahaman sendiri-sendiri. Maka tidak wajar untuk menyatakan ulamak sebagai kasta paderi.

Jika hadith di tolak dan masing-masing hanya berpegang kepada Al-Quran semata-mata, seribu orang membaca Al-Quran maka akan wujud seribu pentafsiran... apakah akan jadi kepada umat Islam? Seribu kiblatlah jawapannya!

Semuga "sakit" yang dialami itu membuka mata kumpulan anti-hadith ini.

Gejala Papar Gambar Peribadi "Tak Senonoh" Di Laman Sosial Membimbangkan

Pengguna Facebook dinasihati elak papar gambar peribadi ‘tidak senonoh’

Walaupun laman sosial sering dijadikan platform untuk ekspresi perasaan dan emosi, namun tabiat memaparkan gambar tidak senonoh di dalamnya dilihat amat menjengkelkan.

Golongan remaja khususnya perlu berwaspada ketika mempamerkan sesuatu gambar terutamanya berkaitan peribadinya kerana ia berkemungkinan boleh memalukan keluarga mereka kelak.

Presiden Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia Datuk Seri Dr Saharuddin Awang Yahya berkata laman sosial Facebook misalnya, digunakan oleh semua lapisan masyarakat dan setiap pemilik akaun laman itu perlu berhati-hati memaparkan gambar peribadi mereka.

"Contohnya apabila pasangan kekasih mempamerkan gambar seperti bercium, berpelukan yang tidak senonoh, ia boleh mendorong pengguna Facebook lain terjerumus dalam kegiatan tidak bermoral itu.

"Kita tahu golongan remaja memerlukan ‘ruang peribadi’ dan kurang senang jika ia diceroboh pihak lain, namun mereka harus mengetahui had mereka ketika menggunakan laman sosial, kerana ia bukan sahaja boleh menjejaskan imej mereka, malah imej keluarga dan negara,” katanya.

Katanya, gambar terutama wanita atau lelaki dalam keadaan mendedahkan tubuh badan tidak sepatutnya dirakam kerana ia boleh disalah guna, termasuk disebarkan secara meluas melalui laman sosial.

"Ada juga pengguna laman sosial yang suka berkongsi gambar milik orang lain hanya bertujuan untuk menjatuhkan maruah mereka atas pelbagai alasan,"
katanya.

Aktivis sosial itu mengingatkan golongan remaja bahawa, Facebook tidak mempunyai sebarang sekatan dan ia juga boleh mendorong golongan tertentu untuk ‘mengedit’ gambar sehingga boleh menimbulkan keadaan yang kurang senang.

"Perbuatan memaparkan gambar sebegitu akan menjadi perbualan masyarakat malah menimbulkan fitnah," katanya sambil menambah orang ramai juga memberi pelbagai komen yang tidak bermoral.

Beliau berkata sebagai rakyat dalam negara berbilang kaum, tidak perlu untuk mengamalkan budaya barat yang bercanggah dengan nilai-nilai murni. – Bernama

Fitnah Murtad: Rakyat kesal Polis Tidak Bertindak Ke Atas Macai UMNO


Aktivis kecam penipuan dakwaan murtad di ruang siber

Seorang aktivis hak wanita terkejut apabila mengetahui bahawa gambarnya dan beberapa orang lain yang menghadiri satu majlis kerajaan, telah tersebar di ruang siber sebagai 'bukti' orang Islam di negara ini menjadi Kristian.

Gambar tersebut yang tersebar di dalam blog sejak 2012 menunjukkan dia berada di kalangan satu kumpulan duduk di bangku kayu, kebanyakannya wanita yang memakai tudung.

Dalam satu kenyataan menafikan dakwaan di blog tersebut, pegawai Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Yu Ren Chung berkata gambar itu sebenarnya dirakamkan di dewan utama Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) di Bukit Tunku, Kuala Lumpur, dan bukan di sebuah gereja seperti yang didakwa oleh blog itu.

Katanya, majlis itu dianjurkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 29 Februari 2012 untuk membincangkan Dasar Keluarga Negara, dan dihadiri terutamanya oleh kakitangan awam dan juga sebilangan kecil wakil-wakil NGO.

Bagaimanapun, blog di Malaysia dan Indonesia itu telah menggunakan gambar tersebut dengan mendakwa ia menunjukkan orang Islam baru sahaja dibaptiskan, dengan sesetengahnya menyalahkan DAP dan PAS berhubung isu itu. -mk



ULASAN GB

"Fitnah" sudah menjadi darah daging para macai UMNO. Tak serik-serik sekalipun Raja Fitnah mereka, papaomo namanya, telah dihukum beberapa kali oleh mahkamah.

Pihak polis semacam sengaja membiarkan fitnah macai itu bermaharajalela, tetapi begitu effisyen apabila melibat anggota Pakatan Rakyat sepertimana kes video satira Teresa Kok.

Akibat darinya, maka berlaku ketegangan di kalangan rakyat dengan hal-hal agama dan rasisma. Kerajaan UMNO BN persis merestuinya kerana ia memberikan "political mileage" terhadap partinya terutama apabila pihak media yang begitu berat sebelah sentiasa memaparkan kononnya pihak PR sentiasa sebagai pihak yang bersalah.

Namun hukum kebenaran dan keadilan tetap berjalan. Yang memfitnah akan tetap menerima hukumannya sekalipun polis tidak bertindak ke atas mereka. Tunggu dan lihat!