19 Jul 2012

Papagomo Gagal Batalkan Saman RM10 juta

Batal saman: Mahkamah tolak permohonan Papagomo

KOTA BHARU: Blogger mesra Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris yang dikaitkan dengan blog Papagomo hari ini gagal membatalkan tuntutan saman seorang peguam terkenal, Datuk Sukri Mohamed terhadapnya.

Mahkamah Tinggi di sini menolak dengan kos saman dalam kamar ke atas beliau atas alasan teknikal perundangan.

Sukri bekas anggota parlimen Machang, sebelum ini pernah menggemparkan negara berkahwin dengan seorang artis, menuntut gantirugi sebanyak RM10 juta ekoran berita fitnah yang disiarkan blog milik defendan.

Dalam tuntutan samannya, Sukri mendakwa defendan bertanggungjawab menulis dan menyebabkan tersiarnya sebuah artikel di dalam ruangan blog; http://www.papagomo.com bertajuk “ratusan ribu wang rakyat lesap disamun penasihat Sultan Kelantan” pada 4 Mei 2011.

Artikel tersebut disifatkan secara jelas menyebut secara langsung berita tidak benar dan tidak berasas yang dikaitkan dengan plaintif.

Katanya, defendan menulis dan menyebarkan berita yang tidak benar mengenai plaintif yang didakwa menyalahgunakan wang rakyat dengan menggunakan kedudukan sebagai Penasihat Sultan.

Mahkamah juga menolak dengan kos saman dalam kamar blogger terbabit untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang atas alasan sekarang defendan menetap di sana.

Kes didengar di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim. Sukri diwakili peguam Hisham Fauzi dan Rusilawati Zakaria, manakala Wan Muhammad Azeri diwakili Shahrul Aswad Ismail.

“Selaras dengan itu mahkamah mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan ikatan dokumen untuk perbicaraan dan pengurusan kes pra-bicara pada 5 September hadapan,” kata Hisham. -HD

Laporan sebelum ini
klik untuk baca






[MELAMPAU] Anak Dicabul, Ibu Tunggal Dakwa Dihalau Guru Besar

Shah Alam – Seorang ibu tunggal mendakwa bukan hanya dimarahi malah dihalau guru besar ketika dia cuba mendapatkan penjelasan berhubung kejadian cabul melibatkan anaknya, baru-baru ini.

Gambar: Maryam menunjukkan laporan polis dan borang aduan salah laku murid yang dibuat berhubung kejadian cabul melibatkan anak perempuannya, baru-baru ini.

Wanita yang mempunyai tiga anak itu, dikenali Maryam, 32, dihalau guru besar di sebuah sekolah agama di sini, kira-kira jam 9.30 pagi, kelmarin.

Maryam mendakwa, guru besar sekolah tersebut memarahi dan menghalaunya kerana dia membuat laporan polis berhubung kejadian yang berlaku terhadap anak perempuannya yang berusia 9 tahun itu.

Menurut Maryam, kejadian cabul itu berlaku ketika anaknya berada di sekolah pada 8 Mei lalu.

“Apabila pulang daripada sekolah dia (anak) menceritakan rakan sekelasnya sering usik payu dara dan kemaluannya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Maryam yang juga kerani Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah itu berkata, keesokannya dia bertemu Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM) dan menceritakan kejadian itu.

Menurutnya, dia diarahkan mengisi borang aduan salah laku murid dan PKHEM berjanji akan merujuk perkara tersebut dengan guru disiplin serta guru besar.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak mendapat sebarang berita berhubung aduan yang dibuat.

“Sekali lagi saya bertemu dengan PKHEM iaitu tiga minggu selepas aduan dibuat, tetapi jawapan yang diberikan amat mengecewakan.

“Setelah berfikir dan mendapatkan nasihat, saya terus membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis lalu,” katanya.

Maryam mendakwa, dia yang bekerja di pejabat PIBG di sekolah tersebut bagaimanapun diarahkan keluar daripada sekolah selepas laporan polis itu diketahui oleh guru besar.

“Dia (guru besar) kata sekiranya saya tidak berpuas hati dan ada masalah, saya perlu keluar serta membawa semua barang di dalam pejabat,” dakwanya.

Menurutnya, disebabkan itu, dia membuat satu lagi laporan polis di IPD Shah Alam, kelmarin.

Katanya, dia juga sudah membuat aduan di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Tiga.

“Saya terkilan dengan apa yang berlaku. Saya mahu menuntut keadilan bagi anak saya tetapi tidak disangka diri saya turut menjadi mangsa,” katanya. -SH

Tak Usah Banyak Alasan, Najib Memang Takut Debat

Alasan kerajaan kononnya perdebatan sesuai dibuat di Parlimen hanya untuk menutup ketakutan Datuk Seri Najib Razak berdebat bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor, Azmizam Zaman Huri berkata, keengganan Perdana Menteri itu tidak perlu ditutupi kerana umum tahu seberapa banyak alasan pun, pokoknya, Najib memang takut berdebat.

“Sebab itulah mereka takut berdebat. Lagi banyak cakap, lagi banyak keburukan terkeluar. Tambah pula, mereka tidak boleh menjawab isu-isu yang dibawa Pakatan Rakyat.

“Mereka (Umno) tahu PR kalau bercakap, lebih banyak fakta. Itu semua alasan mereka takut debat. Sekarang rakyat hanya tunggu debat Najib Razak dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya kepada Keadilan Daily.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengatakan perdebatan cukup hanya di Dewan Rakyat.
Azmizam menyifatkan kenyataan Muhyiddin itu sebagai dangkal malah memalukan dirinya.

Kata beliau, Muhyiddin perlu sedar negara ini tidak mengamalkan ketelusan dalam laporan media terutama arus perdana, sebaliknya hanya menyiarkan berita di pihak kerajaan.

“Memang berlaku perdebatan dalam Parlimen, tapi rakyat tidak pernah tahu. Beliau juga lebih tahu laporan Parlimen yang disiarkan di TV telah disunting.

“Kalau kita bandingkan dengan Taiwan, jika Parlimen bermula, mereka wujudkan saluran TV khas secara langsung untuk rakyat menilai dan mendengar perdebatan wakil rakyat mereka,” jelas Azmizam.

Tambah beliau, sikap berdolak dalik membuktikan Umno BN terlalu takut berdepan Pakatan Rakyat.

“Kalau Timbalan pun cakap debat lebih sesuai hanya di Parlimen, rakyat patut fikir, layakkah beliau diangkat sebagai Perdana Menteri kelak.

“Pemimpin Umno perlu terima arus politik semasa, bukan lagi memberi seribu satu helah mengelak berdebat,” katanya. -KD

Najib Berbahasa Arab, "Mufsidun" & "Muslihun"

PM label peserta BERSIH golongan 'mufsidun'

Perdana Menteri Datuk Seri Najib menyeru warga imam dan ahli jawatankuasa masjid di seluruh negara supaya tidak menjadi golongan "mufsidun" yang mengadakan perhimpunan BERSIH di kota suci Mekah dan Madinah.

Katanya, golongan imam perlu menjadi seperti kumpulan "muslihun" - kumpulan yang disifatkannya sebagai golongan yang melakukan pembaharuan atau tranformasi.

Najib berkata, golongan "mufsidun" membuat kerosakan perpaduan antara kaum dan sesama umat Islam dan imej negara.

Katanya lagi, perhimpunan BERSIH yang diadakan di dua kota itu pada April lalu menyebabkan "imej negara ini rosak sehingga berkemungkinan kuota haji akan ditarik balik".

"Ini bukan satu perkara yang boleh dipandang enteng oleh sesiapa. Pernah (kerajaan Arab Saudi) tidak membenarkan jemaah sebuah negara (menunaikan haji).

"Ini bukan perkara yang perlu dimainkan. Saya tahu ada negara sudah sampai di Jeddah, tetapi disuruh patah balik. Dibayar harga minyak, disuruh balik, tak boleh tunai ibadah haji," katanya.

Menurutnya, kerajaan membenarkan sesuatu perhimpunan atau berbeza pendapat dengan kerajaan tetapi dibuat "mengikut cara, undang-undang dan berhemah".

Najib berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan dalam Majlis Perhimpunan Perdana warga imam dan ahli jawatankuasa masjid seluruh negara yang dihadiri lebih 10,000 orang di Serdang pagi ini.

Bagaimanapun, Najib yang juga menteri kewangan berkata selepas beliau mengadakan perbincangan dengan Raja Abdullah, maka kuota jemaah haji Malaysia "tidak dikaji semula".

"Saya nak beritahu tok-tok imam, kerajaan sudah berusaha melalui saluran tertentu dan tertutup, saya juga ada hubungan yang rapat dengan Raja Abdullah untuk menyampaikan laporan sebenar (mengenai BERSIH).

"Kita khuatir ribuan (jemaah) boleh jadi tak dapat (tunai haji) tahun ini... Kita menjelas dan meyakinkan kerajaan Arab Saudi, (maka mereka) tidak kaji semula kuota haji. Alhamdulillah, ini perjuangan kita," katanya. -mk

Ulasan GB

Najib ni buat orang ketawa sahaja apabila beliau mendedahkan kejahilannya apa pengertian "muslihun" dan "mufsidun".

GB pun tak tahu siapa yang mengajar bahasa Arab kepada Najib ini atau siapa yang menyediakan teks ucapan beliau tersebut. Jamil Khirkah? Fathul Barikah?

Tetapi sebijik macam blogger-blogger pencacai UMNO, yang hanya tahu sepatah dua bahasa Arab (tapi tak tahu makna) maka yang itu diputar-putarkan sampai lunyai seperti perkataan "harbi", "khawarij" dan seumpamanya. Bila ditanya apa ertinya, terpinga-pinga nak menjawabnya. Itu belum lagi kena test baca Al-Quran.

Setahu GB sudah empat perkataan Arab yang pernah diucapkan Najib, "wasatiyyah", "Maqasid Al-Shariah" dan kini "mufsidun" & "muslihun".

Rasanya elok kita bagi teka teki untuk Najib:

Diantara yang di bawah ini yang mana satukah yang dikatakan "muslihun" dan yang mana satu "mufsidun"? :)











[TERKINI] Ada Isyarat Pilihanraya Bakal Diadakan Dalamasa Terdekat

SPR bertemu parti politik pagi ini, isyarat PRU makin hampir

PUTRAJAYA, 19 Julai — Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengadakan pertemuan dengan pimpinan parti-parti politik dari Semenanjung Malaysia pagi ini.

Aktiviti simulasi tempat mengundi yang diadakan semasa majlis perjumpaan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia bersama parti-parti politik dan taklimat Pilihan Raya Umum ke-13 di Putrajaya Marriott Hotel & Spa pada 18 Julai, 2012.

Selain itu, SPR juga akan mengadakan simulasi pilihan raya, bagi menerangkan kepada parti-parti politik tentang perubahan-perubahan yang telah dilakukan dalam proses pilihan raya seperti penggunaan dakwat kekal.

Penggunaan dakwat kekal adalah salah satu daripada tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang telah mengadakan tiga demonstrasi di ibukota untuk menuntut reformasi pilihanraya.

Menurut seorang petugas SPR yang tidak mahu namanya disiarkan, pertemua ini adalah petunjuk pilihan raya umum (PRU) ke-13 semakin hampir.

“Biasanya, ini petanda PRU makin hampir.

“Mungkin selepas Raya.

“Tetapi yang ada kuasa adalah perdana menteri.

“SPR sudah bersiap sedia untuk menjalankan pilihan raya pada bila-bila waktu, kata petugas SPR itu kepada The Malaysian Insider.

Telah banyak spekulasi mengenai tarikh pilihan raya. Sebelum ini, ramai menyangka PRU ke-13 akan diadakan sekitar bulan Jun.

Angka terkini jumlah pengundi berdaftar seperti yang diwartakan oleh SPR pada 7 Jun 2012 adalah berjumlah 12,912,045 juta orang. -TMI

Presiden PAS jangka PRU13 selepas raya

RABAT: PAS menjangkakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan pembubaran parlimen bagi mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, selepas cuti Hari Raya Aidilfitri akan datang.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, BN berkemungkinan menggunakan peluang itu kerana pengundi luar akan sukar untuk pulang ke kampung dua kali berturut-turut selepas baru sahaja menghabiskan cuti Aidilfitri mereka di kampung halaman.

"Kita jangka BN akan menggunakan peluang mengadakan pilihan raya selepas cuti hari raya Aidilfitri ini.

"Sudah tentu jika itu berlaku, pengundi akan berfikir banyak kali untuk pulang sekali lagi ke kampung masing-masing selepas mereka baru sahaja balik bercuti hari raya," katanya ketika ditemui Harakahdaily di Muktamar Parti Islam Pembangunan dan Keadilan (PJD) Maghribi di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membayangkan PRU-13 tidak akan diadakan tahun depan dan menganggap tahun ini adalah masa yang terbaik.

Dalam kenyataannya kelmarin itu, Muhyiddin juga turut membayangkan ianya "mungkin beberapa bulan akan datang".

Mengulas lanjut, Tuan Guru Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, banyak faktor yang akan menjadi pertimbangan rakyat untuk pulang kali kedua ke kampung termasuk soal kos yang terpaksa ditanggung dan cuti yang terpaksa diambil mereka.

"Jika berlaku, kesannya akan lebih teruk lagi berbanding dengan kesan PRU musim haji," katanya.

Sehubungan itu katanya, jika BN memanggil pilihan raya selepas cuti Aidilfitri, ianya sekaligus akan menyusahkan rakyat khususnya yang berada di perantauan.

Sebelum ini, PAS juga membantah keras jika PRU-13 kali ini dibuat di musim haji kerana ianya bakal menafikan hak hampir 30,000 rakyat negara ini yang pergi mengerjakan haji di Mekah untuk mengundi.

Awal bulan lalu, Najib ada membayangkan PRU-13 hanya akan diadakan selepas genap tempoh lima tahun penggal ini.

Bagaimanapun kenyataan terbaru dari Muhyiddin kelmarin seperti mengesahkan desas-desus bahawa PRU-13 berkemungkinan diadakan September atau penghujung tahun ini dan bukannya tahun hadapan.
-HD


Kini Sharifah Sofea Pula Bertudung, "Ini Satu Permulaan Babak Baru ..."


Alhamdulillah, bertambah lagi artis bertudung. Kali ini Sharifah Sofea pula yang bertudung.

Selepas beberapa orang selebriti wanita melakukan penghijrahan dengan imej bertudung, kini bertambah seorang lagi selebriti mengikut jejak langkah sama ke arah sesuatu yang lebih positif.

Menerusi akaun twitter milik beliau, Sharifah Sofia sedia berkongsi gambar terbarunya yang ayu dan manis mengenakan hijab beserta ungkapan

'Here’s to a new chapter… Bismillah!'.

Penghijrahan ini dikuatkan lagi dengan langkah yang telah diambil oleh pelakon ini dengan memadamkan gambar-gambar lama beliau tanpa tudung.

Tahniah diucapkan kepada Sharifah Sofia di atas penghijrahan ini. -yastro.net



PNSB Rugi Semasa BN, Tapi Jana Untung Bawah PR

Rugi untuk empat tahun berturut-turut di bawah pentadbiran Umno-BN Selangor, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) mula mencatat keuntungan di bawah Pakatan Rakyat.

Menurut Setiausaha publisiti DAP, Tony Pua, PNSB mengalami kerugian selepas cukai berjumlah RM 0.9 juta pada tahun 2005, RM7.5 juta (2006), RM1 juta (2007) dan RM15.6 juta pada 2008.

“Selepas beralih kepada Pakatan, PNSB merekodkan keuntungan RM8 juta pada 2009, RM23.4 juta pada 2010 dan RM 28.4 juta pada 2011,” kata Pua semalam di petik daripada portal web Free Malaysia Today.

Berdasarkan dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), menunjukkan PNSB mempunyai jumlah aset berjumlah RM761 juta bagi tahun 2010 dan RM823 juta bagi tahun 2011.

Pada tahun 2008 dan 2009 PNSB masing-masing memiliki aset bernilai RM111 juta dan RM115 juta.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata demikian bagi menjawab dakwaan Pengerusi Biro Profesional Muda MCA, Chua Tee Yong mengenai beban hutang yang terpaksa ditanggung PNSB ekoran pembelian tanah di Bukit Beruntung 2 dan Bestari Jaya dari Kerajaan Negeri.

Beritahunya lagi, berdasarkan laporan akaun PNSB tahun 2009, perbadanan itu dalam keadaan kewangan yang sihat, bebas hutang serta memiliki wang tunai dan simpanan tetap sebanyak RM76 juta.

Tony turut mengulangi cabaran kepada Chua untuk berdebat bagi membuktikan kebenaran tentang isu ini.

“Walaupun Chua menolak tawaran debat saya, saya berharap bahawa dia akan menimbang semula tawaran itu untuk membahaskan hutang Talam yang dia bangkitkan atau mungkin sekurang-kurang boleh mengajar saya tentang perakaunan yang sepatutnya,” ujarnya lagi. -selangorku

Mahathir, Dunia Tahu Kamu Memang Seorang Diktator, Usah Dolak-dalik!

Mahathir kini cuba untuk mengelak label bahawa beliau seorang diktator sekalipun satu dunia sudah mengenalinya bahawa beliau memang seorang dikator!

Gambaran sifat autokratik Mahathir telah ditunjukkannya sejak beliau berkuasa pada tahun 1981 terutamanya pada akhir tahun 1980an ketika kedudukannya tercabar. Sejak 1980an, hubungan eksekutif dengan cabang-cabang kerajaan yang lain yang wujud dalam sistem demokrasi moden telah mengalami perubahan yang besar, akibat dari tindakan Mahathir selaku Perdana Menteri.


Pertama: Sejarah membuktikan bahawa kedaulatan dan kemuliaan raja-raja Melayu selaku ketua negara dan ketua negeri dilanggar oleh mereka yang hari ini beria-ia mempertahankan kedaulatan raja-raja.

Dalam ucapan di Parlimen pada 18 Januari 1993, Perdana Menteri pada waktu itu, Dr Mahathir meniup api kebencian rakyat terhadap raja-raja Melayu. Beliau mengugut untuk menghapuskan terus sistem beraja yang sedia termaktub dalam Perlembagaan.

“Bukanlah mustahil jika satu hari kelak tuntutan dibuat untuk menghapuskan Sistem Beraja sama sekali walau apa pun yang diperuntukan oleh Perlembagaan,” kata Mahathir.

Seterusnya Mahathir, dengan sokongan Kabinet Umno dan BN, meluluskan usul imuniti raja-raja Melayu dilucutkan sekaligus memusatkan lebih banyak kuasa kepada eksekutif.

Kedua, Bekas Ketua Hakim, Tun Mohd Dzaidin Abdulah berkata, mahkamah-mahkamah Malaysia hari ini telah akur kepada kehendak ahli-ahli politik dalam cabang eksekutif kerajaan dan ia berpunca daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Hakim yang bersara itu menegaskan, pindaan terhadap Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan semasa pentadbiran Dr Mahathir pada tahun 1980-an telah melemahkan sayap badan kehakiman.

“Akibat pindaan, kuasa kehakiman mahkamah-mahkamah telah dikurangkan dan mereka hanya mempunyai kuasa apabila diberikan Parlimen,” kata Mohd Dzaidin, dan menambah bahawa “Parlimen lebih hebat daripada badan kehakiman.”

Pada tahun 1988, Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Salleh Abas telah disingkirkan oleh Dr Mahathir perdana menteri ketika itu.

Mohd Dzaiddin berkata kejadian itu adalah disebabkan perbezaan dalam pendapat antara Dr Mahathir dan Salleh atas peranan-peranan dua cabang kerajaan berkenaan.

Seorang daripada enam bekas hakim yang terbabit dalam krisis kehakiman pada 1988 mendedahkan bagaimana integriti badan kehakiman telah dicerobohi dengan campurtangan Mahathir.

Bekas Hakim Mahkamah Agung, Tan Sri Azmi Kamaruddin mendakwa, Dr Mahathir mahu meminta Artikel 121 dalam Perlembagaan Persekutuan – satu peruntukan mengenai pemisahan kuasa antara badan perundangan, badan kehakiman dan kerajaan.

“Saya rasa beliau mahu memerintah seperti seorang diktator. Beliau (Dr Mahathir) sudah pun mengetuai badan perundangan (dan) beliau mahu badan kehakiman juga diletak di bawah kuasanya. Itulah niatnya,” kata Azmi.

Beliau berkata, Dr Mahathir sebenarnya sangat bijak “membunuh dua ekor burung dengan seketul batu”.

“Saya kata begitu kerana apa yang beliau lakukan sangat bijak kerana beliau mahu meminta perlembagaan dan meletakkan badan kehakiman di bawahnya,” tambah Azmi.

Ketiga, Seterusnya penyalahgunaan peruntukan I.S.A yang memberi kuasa kepada Menteri Dalam Negeri menahan sesiapa sahaja tanpa bicara digunakan dengan sewenang- wenangnya terhadap musuh-musuh politik Mahathir terutama sekali dalam Operasi Lalang pada tahun 1987.

Dalam Operasi Lalang ini, 106 ahli politik terutama parti pembangkang ditahan di bawah tahanan ISA dan pembatalan dua akhabar harian berlesen, The Star dan Sin Chew Jit Poh serta dua akhbar mingguan, The Sunday Star dan Watan.

Operasi Lalang ini menimbulkan kontroversi kerana mereka yang 'bersalah' terlepas.

Sebaliknya pemimpin pembangkang yang berada di tepi 'arus' telah ditangkap dan dipenjarakan di Kem Tahan Kamunting Taiping selama 2 tahun atau lebih
.

Tahanan politik ini ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri yang membenarkan penahanan tanpa bicara, sama ada orang itu bersalah atau tidak.

Malaysia telah mendapat kritikan di peringkat antarabangsa pada ketika itu.

Keempat setelah Kelantan jatuh ke tangan PAS pada tahun 1990, Mahathir dengan niat jahatnya menyekat pembangunan ke Kelantan. Beliau telah menggunakan kuasanya sebagai Perdana Menteri menghukum rakyat Melayu/Islam Kelantan kerana menolak UMNO/BN. Dengan menafikan konsep federalisma, beliau tidak segan silu membuat kenyataan yang mengakui bahawa partinya memang sengaja menyekat pembangunan di kelantan untuk mendapatkan semula sokongan terhadap UMNO/BN. (Rujuk video di bawah)

Kelima Lebih buruk lagi selepas PRU12 pada tahun 1999, apabila terengganu turut jatuh ke tangan PAS, Mahathir selaku Perdana Menteri telah tiba-tiba merobek dan menghapuskan perjanjian royalti di antara Petronas dengan kerajan-kerajaan Negeri pengeluar minyak termasuk kelantan dan terengganu dengan menggantinya dengan wang ehsan. Itu pun tidak diserahkan kepada kedua-dua kerajaan negeri tersebut semata-mata kerana ia dikuasai oleh PAS.

Selain daripada lima faktor di atas yang menunjukkan Mahathir seorang diktator, banyak lagi hal-hal lain seperti perkenalan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang merupakan buahtangan Mahathir selaku PM untuk menyekat mahasiswa dari bergiat aktif di dalam politik.

Ia tidak terhenti dengan AUKU, bahkan pemindaan terhadap Akta Rahsia Rasmi (O.S.A) untuk terus mengurangkan ketelusan dan pertanggungjawaban dalam proses birokrasi, manakala media massa perdana baik bercetak mahupun eletronik dikuasai oleh kerajaan atau parti pemerintah yang bertindak sebagai alat propaganda BN dan dalam masa yang sama sebagai instrumen untuk menekan pembangkang.

Itu belum lagi kisah bagaimana kamu mengatur strategi untuk menyebabkan Musa Hitam terpaksa meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1986, kemudian kamu atur lagi strategi untuk mengenepikan Ghafar Baba sebagai TPM pada tahun 1993 dan akhirnya kamu juga yang memecat Anwar Ibrahim sebagai TPM pada 1998.

Tiada seorang pun TPM yang selamat semasa kamu menjadi PM kecuali Abdullah Ahmad Badawi, itupun kamu kutuk dia habis-habisan selepas beliau menjawat jawatan PM.

Begitu juga kes-kes kroni-kroni UMNO yang kamu selamatkan daripada rasuah, campurtangan kamu dengan urusan SPR, tekanan-tekanan ke atas penjawat awam yang tidak memihak kepada kamu dan lain-lain.

Justeru itu Mahathir tidak perlu berdalih atau menunjukkan beliau seorang PM yang "bersih" sedangkan satu dunia mengenalinya sebagai seorang diktator moden yang kejam lagi zalim. Bagaimana kamu hendak menutup kebenaran itu wahai Mahathir?