1 Sep 2009

Era Najib Altantuya : Harga Minyak Naik Bebankan Rakyat

Tindakan menaikkan harga minyak hanya akan menzahirkan lagi bebanan kepada rakyat dengan penyusulan kenaikan harga barangan lain, pada bila-bila masa.

Secara sindiran, Ketua Angkatan Keadilan Malaysia, Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata, kenaikan harga minyak ini adalah hadiah merdeka daripada kerajaan UMNO-Barisan Nasional, sempena sambutan kemerdekaan Negara, semalam.

“Saya merasakan kenaikan harga minyak merupakan hadiah merdeka daripada kerajaan UMNO-Barisan Nasional, ini merupakan perkara yang bertentangan dengan slogan yang sering dilaungkan oleh media propaganda milik kerajaan Barisan Nasional iaitu Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan," katanya.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kenaikan harga minyak RON95 dari RM1.75 kepada RM1.80 dan RON97 dari RM1.80 kepada RM2.05 seliter, bermula hari ini.

Biarpun alasan yang diberikan ekoran kenaikan harga minyak dunia AS$40 setong kepada AS$82 setong, namum persoalannya adakah tindakan ini wajar memandangkan Malaysia adalah sebuah negara pengeluar minyak.

Menurut beliau, tindakan yang dilakukan oleh kerajaan merupakan penindasan hak rakyat, tambahan ketika ini negara sedang mengalami masalah ekonomi yang agak meruncing.

“Sudah jelas dengan kenaikan harga minyak, negara Malaysia merupakan negara pengeluar minyak dan tindakan kerajaan ini merupakan tindakan menindas hak rakyat di dalam di mana negara kita sedang mengalami masalah ekonomi yang meruncing dan dalam masa yang sama rakyat ditekankan dengan kenaikan harga barang. Jadi sudah pastilah, kenaikan harga minyak ini akan membebankan lagi tambahan rakyat sedang bersedia menghadapi hari raya aidilfitri,"katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata tindakan ini adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab dan dilakukan bagi mengaburi mata rakyat.

“Bagi kita, ini tidak bertanggungjawab kerana kerajaan hanya menggunakan semula mantera , sebelum ini yang mengatakan harga minyak di negara kita lebih murah berbanding dengan negara-negara jiran. Kenyataan Datuk Ismail Sabri semalam jelas menyatakan kita guna RON95, RON97 terlalu tinggi untuk negara kita. Ini termasuk hujah-hujah yang tidak masuk akal di mana mereka cuba menjustifikasikan harga minyak,” katanya.

Shamsul berkata, tindakan kerajaan ini merupakan tindakan yang amat malang kepada rakyat dan Pakatan Rakyat berharap rakyat mengambil sikap dengan menolak kerajaan Barisan Nasional pada pilihan raya akan datang.

Ketika diminta mengulas lanjut mengenai negara Malaysia sebagai sebuah negara pengeluar minyak, beliau berkata tindakan itu amat malang kepada rakyat dan menggesa agar kerajaan memulangkan hasil kekayaan bumi kepada rakyat.

“Saya lihat ini soal pengurusan, so kita lihat negara seperti Venezuela contohnya, kerajaan mereka telah memulangkan semula hasil masyur dari negara mereka kepada rakyat.

“Mereka meletakkan kepentingan ini kepada rakyat tetapi tidak di Malaysia, dalam keadaan pasaran harga minyak di luar negara dinaikkan, harga minyak tetap dinaikkan. Dalam keadaan harga menurun, pun dinaikkan juga,” katanya.

Beliau meminta menteri yang bertanggungjawab untuk memberikan alasan yang konkrit dalam hal ini dan bukan memperbodohkan rakyat.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Zulkifli Ahmad menegaskan kerajaan harus bijak mengurus kekayaan minyak negara.

"Kita selaku megara pengeluar minyak yang merupakan pengeluar minyak bersih, tidak wajar menunjukkan bahawa kenaikan yang seperti ini berbanding dengan negara- negara pengeluar minyak. Jadi kalau kita bandingkan dengan negara Singapura, negara- negara yang tidak punya minyak, itu bukan perbandingan yang baik. Ini jelas menunjukkan bahawa perlu ada satu political wheel untuk benar-benar mengizinkan dan mengurus harta kekayaan minyak kita ini yang mesti pada akhirnya rakyat mendapat manafaat itu," katanya.

Tambah beliau, kerajaan perlu membuktikan bahawa tadbir urus ekonomi negara ini boleh dilaksanakan dengan baik.

"Sebagai negara pengeluar minyak, kita tidak menunjukkan bahawa kita adalah penjaga yang baik dalam mengurus harta kekayaan kita,"katanya.

Sementara itu, Presiden Parti Keadilan Malaysia, Wan Azizah Wan Ismail membidas pucuk pimpinan yang menaikkan harga petrol ketika rakyat sedang dibelit kegawatan ekonomi dunia dan bakal berdepan dengan kos berlipat kali ganda, menjelang musim perayaan pertengahan September ini.

Beliau mempersoalkan, apakah ini hadiah Perdana Menteri Najib Razak kepada rakyat yang membuta tuli menyokong pentadbiran pemimpin yang popular dengan slogan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.

"Sambutan hari merdeka diberikan kepada kita, naik harga minyak. Belum lagi 1 September, naik harga minyak. Padahal kita diberitahu bahawa 1 September barulah minyak petrol naik harga, tapi belum habis kita merasa 31 Ogos, harga minyak dah naik,"katanya. TVA/TVS




Era Najib Altantuya : Kenapa Kepala Lembu Jadi Mangsa?

Tak perlu pijak atau ludah kepala lembu yang sudah mati jika nak sampai mesej, kata Setiausaha Politik Menteri Besar, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Menurutnya, lembu juga adalah makhluk ciptaan Allah dan tak perlu diperlakukan sebegitu semata-mata untuk untuk membantah cadangan memindahkan kuil yang boleh dikaitkan sebagai binatang suci kepada masyarakat india.

Mengulas kenyataan Presiden Perkasa, Ibrahim Ali di akhbar hari ini, Nik Nazmi menegaskan Islam mengajar umatnya supaya menghormati antara satu sama lain, termasuk masyarakat bukan Islam dan bukan melakukan perkara yang dianggap menghina agama lain.

“Saya fikir itu pandangan Dato’ Ibrahim Ali, tetapi kalau walau apa pun objektifnya tidak perlu dibawa kepala lembu yang sudah mati untuk dibuat pointnya, sedangkan dalam islam sendiri pun kita di ajar supaya saling hormat-menghormati sesama manusia serta haiwan ciptaan Allah.” Katanya.

Menurut Nik Nazmi, kelakuan pihak yang mengheret kepala lembu yang masih berdarah ke pintu masuk bangunan SUK Selangor sebaik sahaja selepas solat Jumaat pada bulan yang mulia ini, merupakan satu tindakan yang menjejaskan imej Islam itu sendiri.

“Sebab hari itu hari jumaat, seharusnya dalam bulan ramadhan seperti ini banyak jalan penyelesaian terbaik boleh dibuat.”Katanya lagi.

Menurutnya, protes dengan kepala lembu tidak bertepatan langsung dengan rasa marah penduduk yang membantah tindakan kerajaan negeri dalam soal ini.

Dalam perkembangan lain, beliau menyelar kenyataan mantan Menteri Besar, Khir Toyo yang kononnya kerajaan pakatan rakyat gagal menyelesaikan masalah rakyat dan akan tumbang kerana kelemahan ini.

“Itu saya fikir satu pendapat peribadi beliau, secara umumnya kita tengok pelbagai perkara dapat kita perkenalkan bahkan dapat merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor,.Pemberian 20 meter padu air percuma dapat diperkenalkan yang selama dua penggal Khir Toyo pegang ia tidak dapat dilaksanakan”Katanya.

Malah, katanya lagi Kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan Tan Sri Khalid telah banyak menyelesaikan masalah penduduk seperti di Kampung Berembang dan masalah lain yang merupakan warisan daripada kerajaan umno Barisan Nasional.

Malah pentadbiran Pakatan Rakyat Selangor sejak setahun lalu, banyak mencapai kejayaan, khususnya dalam kegawatan ekonomi ketika ini.

“Bayaran zakat misalnya,turut meningkatkan pelaburan dalam negeri tahun lalu yang mencatatkan keupayaan kadar yang tinggi .Jadi ini menunjukkan keyakinan serta kepercayaan orang ramai kepada pengurusan zakat di selangor. -TVS



Era Najib Altantuya : PAS Gesa Musa Tidak Disambung Kotraknya Sebagai KPN

Pas menggesa kerajaan menimbang semula kontrak untuk menyambung tugas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan berikutan kadar jenayah yang semakin meningkat dan pelbagai dakwaan penglibatan polis dengan konspirasi kongsi gelap.

Naib Presidennya Mahfuz Omar berkata, pelbagai dakwaan mengenai integriti dan kreadibiliti polis, membuktikan kegagalan Musa Hassan dalam mengemudi pasukan polis.

"Satu persoalan yang amat besar terhadap intergriti dan kredibiliti KPN sendiri sebagai seorang yang bertanggungjawab mengetuai pasukan polis dan menjaga keselamatan negara ini.

"Saya mohon kerajaan mempertimbangan kembali apakah keperluan untuk menyambung kembali tugas dan perkhidmatan KPN sepertimana yang diwar-warkan, dikatakan KPN akan disambung tugasnya," katanya pada sidang media pagi tadi.

Mahfuz menegaskan, kontrak tugas Musa tidak wajar disambung bagi membolehkan satu penstrukturan semula pasukan polis dilakukan, seterusnya membebaskan pihak polis daripada konspirasi kongsi gelap seperti yang didakwa pelbagai pihak.

Mahfuz turut memohon campurtangan Yang DiPertuan Agong agar menolak cadangan kerajaan untuk menyambung kontrak Musa demi keselamatan rakyat di negara ini.

"Saya mohon campurtangan Yang DiPertuan Agong yang mempunyai kuasa terakhir untuk menolak cadangan kerajaan bagi menyambung perkhidmatan Musa Hassan sebagai KPN.

"Kes ini sangat serius berkaitan dengan masa depan keselamtan negara, saya mohon Yang DiPertuan Agong menolak sebarang usaha dan permohonan yang dibuat oleh Perdana Menteri untuk menyambung tugas KPN dan sekiranya telah dikemukakan dan direstui, oleh kerana tarikh tamat tempoh dan pengumuman rasmi belum dibuat maka Yang Dipertuan Agong boleh menarik balik perkenaan berkenaan," katanya.

Mahfuz turut menggesa satu siasatan menyeluruh dilakukan terhadap dakwaan ke atas Musa Hassan dan pegawai polis yang terlibat dengan dakwaan pengaruh kongsi gelap dan penyalahgunaan kuasa.

Sehubungan itu, beliau meminta supaya satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menjamin keselamatan dan masa depan negara.

"Saya minta satu Suruhanjaya DiRaja, kes-kes seperti ini saya rasa tidak boleh lagi disiasat oleh polis sendiri kerana tidak berupaya menyiasat kes yang membabitkan penglibatan polis dan konspirasi polis dengan kegiatan kongsi gelap.

"Siasatan harus dibuat, termasuk ke atas KPN sekarang Musa Hassan dan pegawai lain yang difikirkan oleh suruhanhjaya untuk memastikan mereka yang terlibat dalam konspirasi kegiatan kongsi gelap ini harus dibersihkan dari pasukan polis," katanya.

Mahfuz juga menyentuh mengenai surat Timbalan Menteri Dalam Negeri Johari Baharum bertarikh 29 Ogos 2007 kepada Menteri Dalam Negeri yang diterajui Tun Abdullah Ahmad Badawi seperti yang didedahkan Malaysia Today.

Surat berkenaan merupakan pemakluman dan meminta pertimbangan daripada Perdana Menteri terhadap laporan mengenai kesan terhadap tindakan mahkamah yang diambil ke atas Goh Cheng Poh.

Cheng Poh merupakan penjenayah yang telah dibuang daerah oleh kerajaan kerana penglibatannya dalan jenayah negara.

Mahfuz berkata, menerusi laporan berkenaan terdapat unsur yang menunjukkan KPN dan Peguam Negara cuba memihak kepada Cheng Poh.

"Saya hairan mengikut laporan ini pada waktu itu ada ura-ura KPN dan Peguam Negara akan membuat satu afidavit yang berasingan selepas Cheng Poh mengemukakan saman terhadap Kementerian Dalam Negeri dan Timbalan Menteri Dalam Negeri.

"KPN dan Peguam Negara cuba untuk membuat satu afidavit yang berasingan yang mendedahkan satu pertentangan dengan keputusan yang telah dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri," katanya.

Terbaru, dakwaan bahawa Musa terlibat dengan kegiatan kongsi gelap, diperkuatkan lagi dengan kemunculan satu lagi akuan bersumpah oleh pegawai kanan polis yang pernah berkhidmat di pejabatnya.

Akuan bersumpah itu juga didedahkan oleh Malysia Today.



Era Najib Altantuya : Tolak Politik Perkauman UMNO BN - Wan Azizah

Rakyat Malaysia perlu terus menolak politik perkauman dan terus berjuang atas landasan yang sama untuk membina sebuah negara yang dinamis.

Presiden Parti Keadilan Rakyat PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata cubaan pihak tertentu untuk memperalatkan perbezaan kaum dan agama bagi tujuan politik sempit tidak akan berjaya jika rakyat bersatu untuk mencapai kepentingan sama dan tidak termakan dengan slogan-slogan yang di canangkan oleh Umno-Barisan Nasional.

"Saya seorang isteri, tidak lebih daripada itu. Juga seorang doktor tetapi apabila dilakukan kezaliman tiap- tiap kita punya potensi. Tapi kita punya hati, perasaan untuk sama- sama berjuang. Marilah sama- sama kita berjuang. Ini negara kita. Tidak kira Melayu, Cina atau India. Darah yang mengalir dalam badan kita sama. Kita sama- sama sakit, gembira, sedih. Kita satu keluarga dan kita mampu menjaga dan membina negara kita dengan lebih baik," kata Azizah.

Azizah berucap sempena sambutan hari kemerdekaan anjuran Pertubuhan Pembangunan Wanita WDO di Kelang selangor malam tadi.

WDO adalah pertubuhan yang memberi tumpuan kepada program-program pembangunan ekonomi dan sosial wanita serta masyarakat umumnya.

Azizah berkata kaum wanita mempunyai peranan yang besar dalam pembangunan sesebuah negara.
Sehubungan itu beliau menyeru kaum wanita negara ini bangkit sama berjuang mengimbangi kuasa monopoli kaum lelaki dari segenap sudut termasuk pendidikan, ekonomi, sosial dan juga politik.

"Peranan wanita dalam membangunkan negara sungguh besar. Kita sama- sama bergandingan bukan bersaing. Dan negara kita ini perlukan penglibatan kita. Bukan setakatkita lihat dan tunggu apa yang akan jadi," ujar Azizah lagi.

Sementara itu, Exco Selangor, Roziah Ismail menyeru golongan wanita negara ini supaya merapatkan jurang sesama mereka dalam usaha memacu negara dipersada dunia.

"Sebenarnya masalah wanita belum cukup kita tangani dengan baik. Adanya jurang yang besar antara wanita Cina, Melayu dan India. Bila kita bercakap tentang wanita tidak ada beza dalam mana- mana pun. Tanpa wanita, sesebuah keluarga itu tidak akan berperanan dengan baik," kata Roziah.


Era Najib Altantuya : Polis Lembab Dan Double Standard - Mahfuz

Naib Presiden Pas, Mahfuz Omar menyifatkan polis bertindak terlalu lembab dalam menangani isu demontrasi kepala lembu yang berlarutan sejak Jumaat lalu.

Beliau mempertikaikan tindakan polis yang hanya mengakui kesilapan menempatkan anggota yang tidak berpengalaman dalam menangani demonstrasi berkenaan.

Mahfuz yakin, ia didalangi Umno-Barisan Nasional demi kepentingan politik mereka untuk memburuk-burukkan kerajaan pakatan rakyat Selangor dengan mengupah kumpulan berkenaan mengadakan bantahan.

"Nampak terlalu lembab tindakan pihak polis yang hanya mengatakan bahawa silap mereka menghantar polis yang terlalu baru.

"Saya lebih melihat bahawa isu ini adalah isu yang ada kepentingan politik kepada Umno-BN yang mengadu domba hubungan antara kaum yang selama ini harmoni dalam negara untuk mencetuskan satu keadaan tegang," katanya pada sidang medianya pagi tadi.

Menurutnya, perbuatan berkenaan kononnya dilakukan untuk mengembalikan sokongan orang Melayu terhadap Umno, tetapi akhirnya memberi tamparan hebat kepada parti berkenaan.

"Saya minta pemimpin Umno yang mengupah mereka membuat protes seperti ini terlebih dahulu merujuk kepada mufti dan minta pandangan mufti dalam kes ini harus tampil ke hadapan untuk membuat pernyataan yang betul.

"Saya minta pemimpin Umno menghentikan sebarang bentuk provokasi perkauman dan keagaaman yang sempit semata-mata untuk mengadu domba demi kepentingan politik mereka," katanya.

Beliau turut menafikan dakwaan terdapat ahli Pas terlibat dalam demonstrasi berkenaan.

Jumaat lalu, kira-kira 50 orang mengheret kepala lembu di hadapan pintu masuk bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, selepas solat Jumaat.

Tunjuk perasaan berkenaan dilihat sebagai cubaan pihak tertentu menghasut penduduk Islam supaya membantah permindahan sebuah kuil dari Seksyen 19 ke sebuah tapak, jauh dari kawasan perumahan di Syeksyen 23. -TVA


Era Najib Altantuya : Dia Muncul Di Celah Kepala Lembu

Saya sudah jangka bahawa Datuk Ibrahim Ali akan muncul di celah-celah kepala lembu bersama keperkasaannya. Selaku Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) beliau tidak boleh berdiam diri. Barangkali ada yang menuduhnya menyibuk, itu tidak menjadi hal kerana Perkasa sememangnya memperjuangkan keperkasaan Pribumi.

Di tengah hujan yang saban hari mencurah di Lembah Klang, pihak Perkasa bergegas ke Seksyen 23 Shah Alam. Mereka membuat tinjauan dengan menemuramah penduduk. Maka hasil tinjaunan tersebut mendapati bahawa penduduk tidak mendapat hasutan daripada mana-mana pihak. Penduduk juga tiada niat menghina mana-mana kaum, terutamanya penganut Hindu.

Kata Ibrahim Ali, kepala lembu itu sebagai simbolik menunjukkan bahawa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan barisan Exco kerajaan negeri yang “bodoh” seperti lembu yang mudah dicucuk hidung.

Bernas sungguh hasil tinjauan oleh anak buah Ibrahim Ali. Saya percaya Ibrahim Ali “bercakap benar” kerana YB Pasir Mas, Kelantan ini tidak suka berbohong. Kalau “lompat” katanya, dia betul-betul lompat. Kalau derhaka katanya, dia betul-betul derhaka. Malah dia juga ada kesungguhan dalam tindakan. Siapa yang kenal dia pasti tahu bagaimana dia memujuk dan merayu Tok Guru menyokongnya dalam PRU 2008. Selepas menang, Ibrahim Ali pun jadi seperti Ibrahim Ali yang dulu-dulu.

Cuma terdapat sedikit kemusykilan. Kenapa baru sekarang, selepas 1Malaysia mengutuk tindakan provokatif dan kurang cerdik itu, barulah kepala lembu “diletakkan” ke atas kepala MB dan barisan Exconya? Alangkah baiknya kalau pada hari perarakan tersebut, terus beritahu bahawa kepala lembu ini tiada kaitan dengan mana-mana kaum, apatah lagi berniat menghina penganut Hindu, melainkan sebagai simbolik memprotes tindakan MB dan kerajaan negeri.

Sewaktu perarakan bukan main bersemangat. Kepala lembu dipijak dan ditendang. Marah kepada Kerajaan Selangor, tetapi kepala lembu yang dipijak. Cerdik sangatkah perbuatan itu? Seandainya kepala lembu boleh bercakap, pastinya ia akan berkata: “Baculnya manusia ini. Marah orang, kepala aku yang ditendang. Kalau berani, kalau jantan, pergilah tendang kepala orang yang kamu marah tu!”

Akibatnya 1Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya. UMNO, MIC, PKR dan PAS melahirkan kekesalan masing-masing. Harap-harap kekesalan itu bukan kepura-puraan. 100 laporan polis dibuat. Desakan diambil tindakan tegas ke atas mereka yang bertanggungjawab dilaungkan di sana sini. Maka gedeber-gedeber yang “tersilap” langkah mula kecut telur. Tiada siapa mengaku membawa kepala lembu. Menurut penduduk Seksyen 23, tindakan provokatif itu dilakukan oleh pihak luar.


Lain kali kalau ada pihak luar datang ke tempat kita ingin melakukan tindakan provokatif, kita wajib menegahnya. Tempat kita adalah tanggungjawab kita.

Walau apapun alasannya, siasatan polis yang bakal siap akan membongkar segala persoalan. Diharapkan semua pihak bersabar dan tidak mengeruhkan lagi keadaan. Parti politik, NGO atau individu usahlah mengambil kesempatan menangguk di air keruh kerana isu keagamaan bukan sebarangan isu kerana ia mudah mencetuskan perbalahan.

Sekiranya kontroversi ini sukar untuk diselesaikan, adalah bijak Kerajaan Selangor merujuk kepada Sultan yang merupakan lambang perpaduan rakyat berbilang kaum. Nasihat daripada Baginda Sultan boleh dijadikan jalan penyelesaian. -satumalaysia

Era Najib Altantuya : SPR Kekalkan ADUN Siputeh

Seperti yang dijangkakan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan telah tidak berlaku kekosongan pada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh, Kedah, dan ia masih disandang wakil rakyat Barisan Nasional (BN), Datuk Abu Hassan Sarif.

Perkara ini diumumkan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, dalam satu kenyataan media sebentar tadi.

Tindakan SPR tersebut jelas menunjukkan bahawa mereka terus-terusan menjadi kuda tunggangan UMNO.

Yang nyata ialah ADUN Siputeh Datuk Abu Hasan Sarif, telah gagal hadir ke sidang Dun dua kali berturut-turut tanpa izin Speaker. Ini sepatutnya telah melucutkan keanggotaan ADUN berkenaan jika mengikut undang-undang tubuh negeri Kedah.

Tetapi sepertimana yang rakyat 1Malaysia tahu, UMNO BN adalah di dalam keadaan yang tidak bersedia untuk menghadapi sebarang ppilihanraya kecil lagi setelah tewas sebanyak tujuh kali di tangan Pakatan Rakyat.

Sementara itu, banyak pihak membidas tindakan SPR yang disifatkan sebagai menjadi agen kepada parti UMNO/BN.

"Sekalipun mungkin mereka merujuk kepada Peguam Negara, namun yang nyata keputusan mereka ternyata tidak mematuhi undang-undang tetapi lebih kepada cuba untuk menyelamatkan kerusi itu dari dirampas oleh Pakatan Rakyat," kata seorang pemimpin PR.

"Datuk Aziz boleh keluarkan apa juga alasan, tetapi penipuan sepertimana yang berlaku semasa isu DUN Behrang dan Changkat Jering dimana SPR memperakui surat yang diterima dari ADUN-ADUN berkenaan untuk menghalang kekosongan kerusi berkenaan jelas menunjukkan SPR hanyalah kuda tunggangan UMNO-BN," tambahnya.

Era Najib Altantuya : Arak Kepala Lembu Memalukan

Demo mengarak kepala lembu berdarah tidak selesai di Shah Alam sahaja bahkan semua pihak ingin memberikan pandangan masing-masing.

Ini kerana demo yang secara kasarnya memperlihatkan kemarahan umat Islam setempat kepada kerajaan negeri yang didakwa menyokong penganut agama Hindu, tidak boleh diterima oleh Islam itu sendiri.

Bagi mereka, tindakan ini bertentangan dengan Islam sendiri kerana asas rujukan Islam sebenar iaitu Al Quran menolak tindakan sedemikian.

Di Kelantan, negeri yang sekian lama diperintah oleh parti Islam, PAS, tindakan itu ditolak oleh kebanyakan pemimpin mereka.

Bekas Pengerusi Abim Kelantan, Datuk Mohamad Mustafa yang kini Adun PAS Demit, Kelantan, berkata tindakan menghina agama Hindu dengan mengarak kepala lembu ini bertentangan dengan ajaran Islam.

“Mereka ini cuba menunjuk hero apabila mencanangkan merekalah pembela agama tetapi langkah membawa kepala lembu yang diletakkan di pejabat SUK Selangor adalah perbuatan yang tidak bertanggung jawab dan memalukan umat Islam di negara ini,” ujarnya lagi.

Pandangan beliau ini selaras dengan tindakan kerajaan negeri Kelantan dalam toleransi beragama. Di Kelantan ada kuil dan patung Budha terbesar di Asia Tenggara dan kekal di situ sehingga kini walaupun PAS sudah berpuluh tahun memerintah negeri itu.

Oleh itu, jika tindakan mengarak kepala lembu dan menghina agama Hindu mahu dikaitkan dengan Islam ia ternyata meleset bahkan ia sebenarnya ada motif lain.

Exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa menyarankan agar semua pihak bertindak secara bijaksana, tidak terpengaruh dengan unsur emosional dalam menilai kebenaran sesuatu berita sebelum mempercayainya secara keseluruhan.

Saranan demikian dibuat ekoran tekanan politik pihak tertentu yang sanggup melakukan apa sahaja termasuk sentuhan sentimen seperti mencetuskan isu perkauman dan isu agama peri mengembalikan kuasa yang hilang.

Bagi beliau, apa yang berlaku adalah kemungkinan adanya kumpulan tertentu bersama agendanya yang tersendiri di sebalik perbuatan itu yang sengaja mencuri kesempatan politik bagi memprovokasi satu pihak lain dengan mengapi-apikan isu perkauman masyarakat dalam negara melalui isu tersebut.

Sehubungan itu beliau meminta pihak polis bertindak segera menangani isu berkenaan bagi mengelak timbulnya impak yang lebih buruk antara hubungan kaum.

Husam menegaskan kegagalan polis berbuat demikian boleh menimbulkan kecurigaan yang lebih besar. Malah membiarkan peristiwa ini berlaku sekaligus menunjukkan kelemahan inteligent polis samada dari sudut kemahiran ataupun sikap yang tidak jitu dalam etika kepolisannya.

Di samping itu beliau kagum serta menghormati sikap bertenang yang diambil oleh penduduk Selangor samada dari kalangan orang Islam mahupun bukan Islam dalam menghadapi isu berkenaan.

“Mereka tidak bertindak negatif. Keadaan itu menandakan kepercayaan rakyat kepada kerajaan Pakatan Rakyat tetap teguh, sukar dikhianati dengan mudah oleh mana-mana pihak,”
kata Husam semasa ditemui selepas majlis berbuka puasa di Dun Semerak, Pasir Puteh dekat sini.

Jumaat lepas media melaporkan sekumpulan penduduk Seksyen 23 Shah Alam bersama beberapa NGO Melayu mengarakkan kepala lembu ke bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor bagi membantah langkah kerajaan negeri mahu memindahkan kuil Hindu di Seksyen 19 ke Seksyen 23, kawasan kejiranan mereka.

Manakala Setiausaha Gabungan NGO Malaysia, Mohd Jurit Ramli berkata, beliau difahamkan kepala lembu itu sebagai simbol pemimpin yang dicucuk hidung. Bagaimanapun beliau menegaskan bahawa membawa kepala lembu itu bukan inisiatif pihaknya.

Dalam pada itu Husam percaya orang yang bertanggungjawab membawa kepala lembu dalam perarakan tersebut sengaja ingin menimbulkan huru hara di kalangan masyarakat dengan hasrat untuk merampas kerajaan Selangor. -Mohd Zuharman

Era Najib Altantuya : Musa Tak Perlu Dilantik Semula

Parti Islam SeMalaysia memohon Yang Dipertuan Agong supaya tidak memperkenankan cadangan kerajaan untuk menyambung perkhidmatan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang akan berakhir 14 September ini, lapor harakahdaily.

Naib Presiden PAS Dato' Mahfuz Omar berkata, Yang Dipertuan Agong berkuasa penuh untuk menolak cadangan tersebut.

"Yang Dipertuan Agong berkuasa penuh untuk menolak cadangan ini. Yang Dipertuan Agong pernah menolak cadangan Perdana Menteri sebelum ini untuk menyambung perkhidmatan Ketua Hakim Negara," kata beliau dalam satu sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.

Gesaan itu dibuat berikutan kegagalan pihak polis menangani kadar jenayah yang semakin meningkat di negara ini.

Beliau juga mencadangkan satu penstrukturan semula dibuat terhadap pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk pembersihan ke atas semua anggota yang didakwa terlibat dengan kumpulan kongsi gelap seperti yang pernah didakwa.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut mendesak satu suruhanjaya diraja ditubuhkan untuk menyiasat segala dakwaan yang membabitkan Musa sendiri.

Penubuhan suruhanjaya berkenaan penting ujarnya kerana pihak polis sendiri tidak berupaya menyiasat kes membabitkan pasukan polis dengan kumpulan kongsi gelap.

"Saya mintak satu suruhanjaya diraja ditubuhkan untuk menyiasat segala dakwaan membabitkan ketua polis negara sendiri.Ia tak boleh lagi disiasat oleh polis sendiri kerana polis sendiri tak dapat menyiasat kes yang membabitkan penglibatan polis dengan kumpulan kongsi gelap," katanya.

Mahfuz juga yakin masih ramai calon yang layak menggantikan tempat Musa sebagai Ketua Polis Negara.

"Saya percaya sudah tentu ada calon yang terbaik dalam negara kita dan itu kita serah kepada Yang Dipertuan Agong untuk mempertimbang calon-calon di kalangan pegawai polis yang mempunyai integriti yang tinggi," katanya.

Pada 2007, Musa Hassan didakwa terbabit menerima suapan sebanyak RM2.1 juta bagi melepaskan sekumpulan gengster.

Blogger Raja Petra Kamaruddin dalam blognya Malaysia Today Sabtu lalu pula menyiarkan akuan bersumpah yang didakwa dibuat seorang pegawai polis yang pernah menjadi pembantu peribadi Musa.

Antara dakwaan pegawai polis itu, Musa membiarkan penjenayah memanipulasi kenaikan pangkat anggota polis dan jawatan mereka.

Beliau juga mendakwa diarahkan untuk menyelaraskan arahan mengenai pangkat dan jawatan para pegawai polis berdasarkan draf dan cadangan yang dibuat oleh (ketua sindiket) BK Tan.

Musa juga dituduh mengarahkan supaya diwujudkan blog tanpa nama pemiliknya untuk menuduh timbalan menteri dalam negeri ketika itu Datuk Mohd Johari Baharum menerima rasuah RM5.5 juta daripada tiga kepala penjenayah.

Sehubungan itu, Mahfuz meminta kerajaan mempertimbang cadanagn untuk menyambung perkhidmatan Musa yang jelas tecalar dengan dakwaan-dakwaan negatif.

Video Berkaitan



Era Najib Altantuya : Spiderman Panjat Menara Petronas

Spiderman Perancis, Alain Robert yang terkenal dengan kebolehannya menakluk bangunan pencakar langit tanpa bantuan kelengkapan memanjat, sekali lagi ditahan kerana memanjat Menara Berkembar Petronas setinggi 88 tingkat itu tanpa permit, hari ini.

Robert, 47, hari ini ditahan kira-kira pukul 7.40 pagi setelah dikatakan berjaya sampai ke puncak menara itu dalam percubaannya mulai pukul 6 pagi.

Ini merupakan percubaan ketiganya sejak 1997, yang mana sebelum ini dia pernah memanjat Menara 1 dan 2 namun ditahan polis ketika berada di tingkat 60 bangunan berkembar tertinggi di dunia itu.

Pada bulan Februari lalu Alain Robert telah memanjat bangunan setinggi 62 tingkat di Hong kong, juga tanpa sebarang peralatan memanjat.

Beliau mengambil masa hanya 40 minit untuk tiba di atas bangunan Pusat Cheung Kong milik lelaki terkaya Hong Kong, Li Ka-shing.

Dia pernah memanjat bangunan setinggi 283 meter itu pada 2005.


Ulasan GB

Demikianlah, setinggi-tinggi bangunan, masih boleh berlaku "pencerobohan".
Berapa kalikah lagi Petronas akan "diceroboh" oleh tangan-tangan yang ghaib yang mengaut keuntungan Petronas?



Era Najib Altantuya : Mogok Lapar Di Buah Pala

Berikut adalah perkembangan situasi di Kampung Buah Pala. Hari ini adalah hari terakhir pagi penduduk untuk mengosongkan tanah kampung tersebut berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 20 Ogos lalu yang menolak rayuan 23 keluarga untuk terus tinggal di situ.

11.40 pagi: Kumpulan penduduk diarah meninggalkan Komtar. Mereka bagaimanapun menjadi marah kerana telah dihalang daripada memasuki bangunan pentadbiran negeri di tingkat 3.

11.30 pagi: Seramai 10 wakil penduduk berkumpul di Komtar dan menuju ke arah pejabat Ketua Menteri.

11.20 pagi: Polis menerima surat daripada penduduk yang meminta perlindungan polis daripada pemaju tetapi menyatakan mereka tidak boleh menyebelahi mana-mana pihak kerana isu itu telah diputuskan oleh mahkamah.

10.30 pagi: Para penduduk dan penyokong tiba di ibu pejabat polis untuk menyerahkan memorandum merayu pihak polis supaya menghentikan kerja-kerja perobohan.

8.30 pagi: Keadaan senyap sunyi dengan segelintir penduduk berkawal di pintu masuk kampung.

GEORGETOWN: Tempoh bagi penduduk Kampung Buah Pala untuk mengosongkan tanah kampung itu berakhir hari ini dan mereka bercadang untuk menyerahkan memorandum kepada polis pada pukul 10 pagi sebelum mengadakan mogok lapar.

Keadaan senyap sunyi dengan segelintir penduduk berkawal di pintu masuk kampung.

Penduduk Kampung Buah Pala diarahkan mengosongkan tanah kampung itu berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 20 Ogos lalu yang menolak rayuan 23 keluarga untuk terus tinggal di situ.

Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan yang dibuat pada 24 Jun lalu bahawa penduduk kampung mesti mengosongkan rumah mereka dan menyerahkan hak milik mereka kepada pemaju.

Pemaju Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd telah gagal melakukan kerja-kerja merobohkan kampung tersebut sebanyak dua kali berikutan bantahan yang dilakukan oleh keluarga-keluarga yang terlibat.

Pengarah eksekutifnya, Thomas Chan berkata, syarikat itu akan mengambil alih milikan tanah kosong kampung itu pada bila-bila masa selepas 1 September. -MSTAR


Era Najib Altantuya : Apa Bezanya 1Malaysia Dengan Hadhari?

Selepas pilihanraya 8 Mac 2008 yang menyaksikan pakatan pembangkang menafikan majoriti 2/3 Barisan Nasional (BN) di parlimen dan beberapa buah negeri seperti Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang terlepas dari cengkaman parti pemerintah sementara negeri Kelantan berjaya dipertahankan oleh PAS, suhu politik negara tidak pernah reda.

Bagi pencinta demokrasi, ini adalah satu perkembangan yang baik. Ini adalah kerana selama ini, Malaysia hanya diperintah dengan oleh BN (dahulu dikenali sebagai Perikatan) dengan majoriti 2/3 di parlimen. Oleh kerana itu, banyak keputusan yang membabitkan kepentingan negara contohnya seperti dasar PPSMI dibuat tanpa ada perdebatan dan perbincangan yang serius di parlimen sebelum dilaksanakan. Setelah lebih lima tahun dilaksanakan, kerajaan terpaksa memansuhkan dasar PPSMI setelah ditekan kuat oleh Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP).


Selepas PRU 12 yang lalu, BN mempunyai pesaing yang kuat yaitu Pakatan Rakyat (ditubuhkan oleh PAS, BN dan DAP selepas Tsunami politik 8 Mac). Perkembangan ini telah memberikan keutungan kepada rakyat oleh kerana kedua-dua BN dan Pakatan terpaksa membuat dasar-dasar yang popular dikalangan rakyat untuk memenangi hati mereka. Ini dapat dilihat apabila harga bahan bakar pernah diturunkan lebih dua tiga kali dalam sebulan oleh kerajaan BN apabila ditekan oleh Pakatan.

Ini adalah diantara keuntungan yang diperolehi oleh rakyat apabila parlimen tidak dikuasai secara mutlak oleh sesuatu parti politik. Jika dikurangkan lagi majoriti parti yang memerintah, sudah pasti lebih banyak imbuhan yang diperolehi oleh rakyat pada masa akan datang.

Kini pemerintah telah mula sedar, tanpa rakyat siapalah mereka. Ini dapat disaksikan bagaimana PM Najib yang kini sedang hangat mencanangkan slogan 1Malaysia, berusaha keras untuk memenangi kembali sokongan rakyat yang telah dirasakan semakin tidak memihak kepada BN.

Tambahan lagi dikala senario politik negara telah banyak berubah. Jika dahulu, pilihanraya kecil (PRK) tidak kira dikawasan mana sekalipun, pasti akan memihak kepada BN. Selepas 8 Mac, BN kalah PRK secara berturut-turut di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau, Manek Urai dan terbaru di Permatang Pasir.

BN hanya menang di Batang Ai dan tidak meletakkan calon (pertama kali dalam sejarah) di Penanti.


Kerajaan Pakatan yang baru menguasai negeri-negeri seperti Selangor, Pulau Pinang dan Kedah jika terus menerus dibuai mimpi tidak mustahil akan menerima hukuman dalam PRU akan datang. Ketika itu barulah mereka tahu bahawa rakyat tidak mengundi membuta-tuli. Rakyat mengundi untuk perubahan dasar-dasar yang lapuk dan bukannya setia kepada sesuatu parti atau individu secara membuta tuli.

Demokrasi Malaysia yang semakin rancak dan subur kini telah dicemari oleh politik perkauman yang cuba dihidupkan semula oleh kumpulan-kumpulan tertentu bagi memastikan formula pecah dan perintah yang diilhamkan oleh penjajah British dapat terus dihidupkan.

Bagi kelompok ini, jika Malaysia bebas dari politik perkauman, ini adalah satu perkembangan yang merbahaya kerana ianya akan turut melenyapkan peluang-peluang ekonomi yang selaama ini dinikmati mereka. Oleh kerana itu, sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan ideologi “politik perkauman” terus hidup dan ini akan memanjangkan usia “politik” kelompok-kelompok tertentu.

Media arus perdana seperti Utusan Malaysia dan TV3, secara konsisten terus-menerus membakar sentimen orang-orang Melayu bahawa mereka sudah kehilangan kuasa. Walaupun apa yang dilakukan oleh Utusan Malaysia dan TV3 ini bercanggah dengan dasar 1Malaysia yang dibawa oleh PM Najib, tidak pula kita dengar Utusan Malaysia dan TV3 diberi amaran oleh PM agar perkara-perkara yang mengapi-apikan sentimen perkauman haruslah dihentikan secara serta-merta.


Ini telah menyebabkan ramai pihak percaya bahawa percubaan untuk menghidupkan kembali api perkauman ini adalah satu gerakan yang terancang. Terbaru, pada 28 Ogos 2009, kira-kira 50 orang yang mendakwa mereka penduduk Seksyen 23 Shah Alam, berkumpul di Masjid Negeri selepas solat Jumaat sebelum berarak ke bangunan SUK Selangor dengan membawa kepala lembu sebagai bantahan terhadap cadangan untuk memindahkan kuil ke kawasan mereka.

Insiden “kurang ajar” ini telah memeranjatkan pelbagai pihak oleh kerana perbuatan berarak membawa kepala lembu dan memijak-mijak kepala lembu tersebut adalah satu tindakan yang menghina agama Hindu oleh kerana bagi agama Hindu, lembu adalah binatang yang suci dan dianggap sebagai tuhan.

Lebih memeranjatkan lagi apabila Polis Di Raja Malaysia (PDRM), tidak melakukan apa-apa dan hanya membiarkan sahaja kumpulan terbabit melaksanakan sesuatu aktiviti untuk menghina agama orang lain secara terbuka.

Tindakan polis ini telah menambahkan lagi ketidakpercayaan rakyat terhadap badan tersebut dan tuduhan-tuduhan bahawa PDRM berat sebelah kepada parti politik tertentu semakin dilihat benar.


Permohonan maaf yang dilakukan oleh Ketua Polis Daerah (KPD) Shah Alam, Noor Azam Jamaluddin sehari selepas kejadian tersebut tidak mencukupi tanpa tindakan yang agressif dari PDRM untuk membawa pelaku-pelaku perkara terkutuk tersebut kemuka pengadilan.

Mengapa jika demonstrasi dianjurkan oleh Pakatan atau NGO (badan bukan kerajaan) yang pro demokrasi seringkali berhadapan dengan tindakan daripada PDRM? Dalam beberapa kejadian, PDRM telah menangkap pemimpin-pemimpin Pakatan atau NGO sebelum bermulanya demonstrasi bagi mengagalkannya.

Mengapa dalam kes “perarakan kepala lembu” polis tidak bertindak agressif dan efisyen? Alasan pegawai junior ditempat kejadian sebagai sebab untuk PDRM tidak bertindak pantas adalah alasan yang tidak boleh diterima.

Apakah kerajaan dan PDRM mahu melihat pergaduhan agama di Malaysia berlaku seperti diantara penduduk Hindu dan Muslim di India? Atau seperti apa yang pernah berlaku diantara penduduk Islam dan Kristian di Ambon, Indonesia?

Mempertahankan kekuasaan politik tidak seharusnya dijadikan alasan untuk memusnahkan asas-asas kenegaraan Malaysia seperti hormat menghormati diantara rakyat yang berlainan bangsa dan agama. Apabila bertanding dalam pilihanraya yang perjalanannya bebas dan adil, kita harus menerima hakikat bahawa akan ada pihak yang menang dan kalah.

Kekalahan janganlah dijadikan sebab untuk terus-menerus mengapi-apikan sentimen perkauman sekaligus memporak-perandakan keharmonian diantara rakyat. Jika kerajaan PM Najib serius dengan gagasan 1Malaysia, pelaku-pelaku biadap pada 28 Ogos lalu harus diseret kemuka pengadilan. Tidak perlu gunakan ISA. Gunakan undang-undang yang sedia ada seperti Akta Hasutan untuk memberikan pengajaran kepada mereka.

Jika tidak, benarlah kata ramai pihak bahawa slogan 1Malaysia yang dibawa oleh PM Najib tidak ada bezanya dengan Islam Hadhari yang satu ketika dahulu dibawa oleh Tun Abdullah Badawi. -Amin ISkandar

Era Najib Altantuya : EGM Ong vs EGM Chua - BN Di Ambang Kehancuran

Krisis MCA dijangka bertambah meruncing apabila dua mesyuarat agung luar biasa (EGM) mungkin diadakan susulan pemecatan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek daripada parti, minggu lalu.

Ini berikutan keputusan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat, untuk memanggil EGM ketika penyokong Dr Chua turut merancang mengadakan mesyuarat berkenaan dalam usaha membatalkan pemecatan Timbalan Presiden itu.

Ong dalam satu kenyataan di dalam blognya semalam berkata, beliau terpaksa menggunakan klausa 30.1 perlembagaan parti untuk mengarahkan EGM diadakan bagi membolehkan perwakilan menyatakan pendirian berhubung kontroversi pemecatan Chua berikutan skandal seksnya pada 2007.

"EGM ini juga diadakan bagi mengetahui sama ada ahli parti bersetuju dengan cara penyelesaian isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

"Mengadakan EGM adalah satu keputusan yang besar dan ia lebih bererti ketika negara sedang menyambut kemerdekaan ke-52," katanya.

Rabu lalu, Majlis Presiden MCA memecat Chua berkuat kuasa serta-merta kerana skandal seksnya yang dikatakan memberi imej buruk kepada parti, tetapi keputusan itu dibantah sesetengah pemimpin dan ahli MCA.

Berikutan itu, penyokong Chua berusaha mendapatkan tandatangan perwakilan MCA bagi mengadakan EGM bagi membatalkan pemecatannya.

Mengikut perlembagaan MCA, EGM boleh diadakan melalui tiga kaedah, iaitu persetujuan satu pertiga perwakilan, arahan daripada presiden dan satu pertiga anggota Jawatankuasa Pusat parti.

Ong berharap ahli MCA dapat membuat keputusan terbaik demi kepentingan parti, bukannya dipengaruhi oleh faktor diri beliau.

"Suara ahli parti lebih penting bagi meneruskan kelangsungan MCA yang menjadi tonggak penting kemerdekaan negara selama ini. Keputusan ini juga diharap mengembalikan kekuatan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang," katanya.

Chua ketika dihubungi pula mempersoalkan tindakan Ong menggunakan kuasanya mengarahkan parti mengadakan EGM, sedangkan Presiden MCA itu sebelum ini menyelar usaha sekumpulan ahli untuk mengadakan EGM yang dianggap boleh memecahbelahkan parti.

"Keputusan Ong itu mengelirukan penyokong dan ahli MCA, sekali gus menunjukkan pendiriannya yang sering berubah-ubah. Ketika saya dipecat dan penyokong saya berura-ura mahukan EGM, Ong menyelar dengan mengatakan ini akan menyebabkan MCA berpecah.

"Tetapi kini dia sendiri yang inginkan EGM dan perkembangan terbaru ini tidak akan menghalang penyokong saya untuk terus mendapatkan tandatangan dan mengadakan EGM seperti yang diinginkan.


"Jika satu pertiga perwakilan meminta EGM dan semua syarat dipenuhi, parti tidak boleh menafikan permintaan itu dan apa yang kami lakukan adalah menggunakan kuasa perwakilan yang menjadi akar umbi dalam menentukan kedudukan kita dalam parti, berbanding Ong yang menggunakan kuasa Presiden," katanya.

Chua berkata, tindakan penyokongnya yang mahukan EGM bukan untuk membela beliau, tetapi lebih penting bagi menentukan hala tuju MCA pada masa akan datang.

"Kami komited untuk terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tetapi kecewa apabila MCA yang dipimpin Ong gagal menyatupadukan parti dan menggariskan hala tuju seperti yang dilakukan Perdana Menteri.

"Bahkan, terlalu banyak politiking dalam MCA hingga mengabaikan tuntutan dan aspirasi rakyat, malah tiada usaha langsung daripada MCA untuk menjayakan kempen 1Malaysia," katanya.

Chua yang baru pulang daripada bercuti di luar negara, semalam berkata beliau akan meneliti agenda Ong dalam menganjurkan EGM kerana apa yang berlaku sekarang membuktikan alasan Presiden MCA itu memecatnya adalah tidak benar.

"Dia beritahu pemecatan saya untuk membentuk imej parti yang baik dan jika itu benar, ahli MCA semestinya mengalukan keputusan itu dan berasa lega tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila ramai ahli yang kecewa dan berasa marah.

"Sekarang, orang sudah nampak siapa sebenarnya yang menjejaskan nama baik MCA walaupun dia mahu tonjolkan dirinya seolah-olah kelihatan baik dan bersungguh-sungguh memerangi rasuah dalam kes penyelewengan PKFZ," katanya.


Sementara itu, Setiausaha Agung MCA, Datuk Wong Foon Ming ketika dihubungi mengesahkan menerima arahan daripada Ong pagi semalam supaya memanggil EGM.

Beliau berkata, satu mesyuarat akan diadakan hari ini bagi membincangkan tarikh, masa dan tempat EGM akan diadakan, selain agenda yang akan dibawa ke mesyuarat itu.

Wong berkata, EGM itu akan diadakan dalam tempoh 30 hari dan beliau berharap notis mengenai boleh dikeluarkan hari ini. -BH

Era Najib Altantuya : Siputeh - PKR Sudah Siap Sedia

Timbalan Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) Fuziah Salleh, berkata partinya bersedia menerima sebarang keputusan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung dengan pengosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh.

Bagaimana pun katanya, apa sahaja keputusan yang diumumkan oleh SPR hari ini, parti PKR akan menerimanya, namun begitu sekiranya mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah jelas menerangkan Datuk Abu Hassan Sarif melakukan tindakan tidak mengikut peraturan.

“Kalau kita ikutkan undang-undang perlembagaan, perlu ada pilihan raya kecil sebab mana-mana Ahli Dewan sekiranya mereka tidak hadir perli meminta atau memaklumkan kepada Dewan ketidakhadiran mereka.

“Jadi dalam konteks ini, beliau tidak hadir dan langgar tatatertib. Justeru kita andaikan bahawa SPR harus ikut peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Menyentuh mengenai persediaan PKR sekiranya pilihan raya kecil akan diadakan di DUN terbabit, beliau berkata, partinya sudah pun bersedia untuk melakukan gerak kerja untuk pilihan raya kecil kali ini.

“Kita sudah lama bersedia memandangkan hampir setengah tahun sebanyak lapan kali pilihan raya kecil sebab itu semua jentera parti bersedia,” katanya.

Menurutnya, dalam usaha memastikan jentera parti kuat, partinya telah menambahkan kemahiran agar dapat memantapkan lagi gerak kerja.

“PKR sebenarnya sentiasa bergerak. Kita telah lakukan dua gerak kerja iaitu gerak kerja khusus dan gerak kerja kempen.

“Gerak kerja khusus dilaksanakan secara berterusan bagi memperkukuhkan anggota parti manakala gerak kerja kempen hanya akan berjalan bila adanya pilihan raya,” katanya. -SH

Era Najib Altantuya : Nasib Siputeh Hari Ini

Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia akan membuat keputusan hari ini sama ada 'memperkenan' atau sebaliknya permintaan Speaker DUN Kedah untuk melucutkan status Adun Kota Siputeh, Datuk Abu Hasan Sarif yang gagal hadir tanpa izin ke sidang Dun dua kali berturut-turut.

Bagi Pakatan Rakyat pilihanraya kecil ini penting untung meneruskan kesinambungan kemenangan Pasca Pilihanraya Umum dan juga memberi isyarat kepada Umno@BN bahawa Pakatan Rakyat tidak tergugat dengan melompatnya Adun Lunas Mohamad Radzi Salleh sebagai calon 'bebas'.

Bagi Umno@BN pilihanraya kecil ini adalah sesuatu yang ingin dielakkan setelah baru menerima aib ketujuh setelah tewas dengan majoriti besar di Permatang Pasir.Jika pilihanraya kecil diadakan Umno hampir pasti akan berputih mata sekali lagi dengan kebangkitan rakyat yang semakin menolak Umno@BN. Mungkinkah Umno@BN akan boikot pilihanraya kecil Kota Siputeh seperti di Penanti jika diumumkan kosong oleh SPR untuk mengelakkan aib yang seterusnya?

Jika pilihanraya kecil Kota Siputeh tidak diadakan kita tunggu apakah alasan SPR yang akan diguna pakai untuk menidakkan sebarang pilihanraya kecil. Apa yang pasti jika pilihanraya kecil diadakan ada pihak yang bakal berputih mata. Paling tidak pun Adun Kota Siputeh sekarang Datuk Abu Hassan Sarif yang bakal kehilangan taraf Yang Berhormat dan pelbagai elaun yang bukan sedikit akan hilang begitu sahaja. -angkasanuri

Era Najib Altantuya : Selamat Jalan BN - Simbolik Sambutan Merdeka Di Parlimen

Sambutan hari kemerdekaan yang berlansung semalam diadakan di Dataran Parlimen adalah merupakan yang paling ringkas dalam sejarah apabila berlangsung kurang 40 minit.

Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-52 diadakan sederhana kali ini berikutan penularan penyakit selesema babi atau H1N1 dan bulan Ramadan.

Program sambutan kali ini dimulakan dengan pergerakan masuk 500 anggota kontinjen keselamatan yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Hishamudin Jumat Abas Jumat diikuti dengan pergerakan masuk Kawalan Kehormat Utama (KKU) daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Kawalan Kehormat Utama terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat diketuai Mejar Mohd. Radzi Othman.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba pada pukul 7.45 pagi diikuti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak beberapa minit selepas itu.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah tiba pukul 8 pagi dan sejurus itu lagu Negaraku dinyanyikan bersama pertunjukan lintas udara oleh pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Seri Paduka kemudian melakukan pemeriksaan terhadap KKU dengan diiringi Pancaragam Pusat RAMD.

Seterusnya, acara menaikkan Jalur Gemilang dan nyanyian Negaraku dengan selingan tembakan 14 das meriam dilakukan sebelum bacaan ikrar oleh tujuh warga pendidik yang secara simbolik mewakili tujuh kaum utama di negara ini.

Program kemudian diteruskan dengan persembahan koir Malaysia Tanah Airku oleh Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) dan persembahan lagu Muhibbah, Jalur Gemilang dan 1Malaysia dinyanyikan.

Menjelang pukul 8.30 pagi, acara sambutan berakhir selepas Yang di-Pertuan Agong mengambil tabik hormat.

Seri Paduka dan para pembesar serta pemimpin lain mula meninggalkan majlis selepas itu.

Ada pihak yang melihat acara sambutan kemerdekaan di dataran parlimen adalah sebagai satu simbolik kepada sebuah majlis perpisahan - perpisahan Parlimen menyudahkan pemerintahan Barisan Nasional selama 52 tahun. Ia merupakan lambaian terakhir Parlimen untuk kerajaan BN dan Parlimen menunggu ketibaan Pakatan Rakyat sebagai sebuah kerajaan baru yang lebih adil dan berwibawa.

Dan benar kata media, sambutan itu kecil tapi "penuh bermakna".