8 Apr 2010

PRK Hulu Selangor: PKR Ada Kelebihan – Khir Toyo

Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempunyai kelebihan dalam pilihanraya kecil parlimen Hulu Selangor 25 April ini kerana berjaya memainkan isu-isu perkauman khususnya untuk menarik pengundi Melayu.

Selain itu, bekas menteri besar Selangor berkata, 16,964 pengundi Cina iaitu 26.3 peratus daripada 64,500 pengundi yang mengundi PKR dalam pilihanraya umum lalu belum kembali kepada Barisan Nasional (BN).

Khir Toyo yang juga bekas pengerusi perhubungan Umno Selangor itu berkata, PKR telah memainkan isu perkauman apabila mendesak BN supaya meletakkan calon Melayu di parlimen tersebut.

"PKR yang rasis telah membuat provokasi kepada Umno supaya meletakkan calonnya kerana PKR akan meletakkan calon Melayu.

"Banyak penyokong Umno sudah termakan isu dan kemungkinan besar mereka akan mengundi parti pembangkang yang meletakkan calon Melayu.

"PKR boleh letak calon Melayu tetapi jika BN letak calon Umno, maka orang tidak akan percaya lagi kepada parti itu," katanya ketika diminta mengulas keputusan BN untuk meletakkan calon MIC dalam pilihanraya Hulu Selangor.

Semalam semasa menutup Kovensyen BN Selangor di Shah Alam, Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN negeri mengumumkan BN akan meletakkan calon dari MIC.

Sebelum ini, ada ura-ura Umno mahu meletakkan calonnya bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib bertanding di kerusi tersebut.

Mengulas perkara tersebut, Dr Khir yang kini Adun Sungai Panjang berkata, dakwaan tersebut merupakan provokasi yang dibuat oleh PKR bertujuan untuk memecahbelahkan undi Melayu.

"Umno tidak boleh bertanding di situ kerana ia merupakan kerusi tradisi MIC.

Jika Umno meletakkan calonnya, orang tidak akan percaya lagi kepada parti Melayu itu," tambahnya.

Bekas menteri besar Selangor itu berkata, daripada kira-kira 32,000 pengundi Melayu, 15,000 merupakan penyokong PAS dan Umno hanya 17,000 orang.

Beliau menambah, sehingga ini pengundi Cina yang menyokong pembangkang dalam pilihanraya umum 2008 belum kembali ke pangkuan BN.

"Saya rasa pengundi Cina akan menjadi penentu kemenangan kali ini," katanya.

Dr Khir juga berkata, kerajaan Selangor akan menggunakan semua jentera kerajaan untuk membantu kemenangan calon Pakatan Rakyat.

Katanya, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim telah membuka sebuah pejabat di Hulu Selangor sebagai persiapan menghadapi pilihanraya kecil itu.

"Dia (Khalid) tidak pernah melawat Hulu Selangor tetapi oleh kerana adanya pilihanraya (kecil) beliau telah mengadakan mesyuarat exco dan saya difahamkan meluluskan berjuta-juta ringgit untuk penduduk di kawasan parlimen tersebut.

"Khalid sudah mula tabur janji dan projek untuk penduduk Hulu Selangor," tambahnya lagi.

Pilihanraya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang dari PKR, Datuk Zainal Abidin Ahmad baru-baru ini.Dalam pilihanraya lalu, Zainal mengalahkan calon MIC, Datuk G Palaninel dengan majoriti 198 undi.

PKR dijangka meletakkan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim bertanding di situ.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan 17 April sebagai hari penamaan calon dan 25 April hari mengundi. -FMT

Dakwaan DSAI Terbukti Benar, Asiasoft, Agen Yahudi Kini Dihalang Masuk Bukit Aman

Musa Hassan: Asiasoft tidak lagi dibenar masuk Bukit Aman

Asiasoft, syarikat didaftarkan di Singapura dan berpangkalan di Tel Aviv, tidak lagi dibenarkan memasuki ibu pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjalankan kerja-kerja pengkomputeran, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan hari ini.

Menurut beliau, siasatan berhubung dakwaan itu telah dijalankan dan pihaknya tidak lagi membenarkan syarikat tersebut memasuki PDRM bagi menjalankan kerja-kerja pengkomputeran.

“Dah lama kita siasat... bila isu ini timbul balik dan didedahkan di Parlimen kita siasat lagi, malah kita juga telah menyekat kemasukan syarikat tersebut,” katanya.

Difahamkan siasatan berhubung isu tersebut pernah dijalankan polis selepas menerima laporan polis yang dibuat pada 14 Julai 2008 oleh seorang wartawan bebas Johari Ismail.

Kelmarin, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kononnya terdapat perisik Israel di Bukit Aman.

Anwar dalam perbahasan di Dewan Rakyat berkata, beliau mempunyai dokumen bahawa perisik Israel mempunyai akses kepada maklumat strategik negara melalui Asiasoft (M) Sdn Bhd, yang merupakan subkontraktor bagi projek menaik taraf sistem komunikasi dan teknologi PDRM.

Beliau mendakwa kehadiran dua bekas pegawai tentera Israel dalam syarikat itu disedari oleh pegawai tertinggi PDRM dan juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Menurutnya Syed Hamid telah diberi taklimat berhubung perkara itu pada 23 Nov 2008 di bilik VIP Lapangan Terbang Antarabangsa KL.

Dalam penjelasannya kepada Bernama hari ini, Musa mengingatkan semua ahli politik supaya tidak mempolitikkan isu keselamatan negara untuk menarik perhatian rakyat.

Beliau berkata, isu berkaitan keselamatan negara bukan satu isu yang boleh dipolitikkan untuk meraih sokongan rakyat kerana ia merupakan satu isu sensitif yang boleh mengancam kesejahteraan negara.

“Sebagai ahli politik sepatutnya mereka boleh bezakan yang mana isu boleh cakap dan yang mana tak boleh kerana ini melibatkan soal keselamatan negara.

“Sudah banyak kali kita ingatkan mereka dan sepatutnya mereka faham,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, Johari dalam satu sidang media berkata pendedahan Anwar di Parlimen bertujuan menarik perhatian rakyat dengan cuba mempolitikkan isu keselamatan negara.

“Ini soal keselamatan negara jadi jangan politikkan isu ini kerana ia boleh menggugat kesejahteraan negara. Dia (Anwar) sanggup mengeluarkan isu lama untuk kepentingan peribadi tanpa memikirkan kesannya kepada negara,” katanya.

Beliau mendakwa isu tersebut pernah dikeluarkan oleh pengendali blog MalaysiaToday Raja Petra Kamaruddin dalam blognya pada tahun 2008 tetapi tidak mendapat perhatian umum.

Sementara itu di lobi Parlimen, Anwar berkata polis perlu meneruskan siasatan berhubung dakwaannya itu dan beliau sedia bekerjasama membantu siasatan.

Ulasan GB

Katakanlah benar sudah ada laporan polis yang dibuat pada 14 Julai 2008 oleh seorang wartawan bebas Johari Ismail, mengapa tiada siasatan? Mengapa apabil DSAI dedahkan maka kini baru nak halang Asiasoft masuk ke ibu pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM)?

Mempolitikkan isu keselamatan? Masih nak berdalih untuk dengan membuat tuduhan sedemikian. Siapa sebenarnya yang menggadaikan aspek keselamatan selama ini dengan membenarkan agen yahudi itu memasuki PDRM bagi menjalankan kerja-kerja pengkomputeran?

Oleh itu dakwaan DSAI terbukti BENAR. Ketua Polis Negara perlu bertanggungjawab dan letak jawatan SEGERA.

Keceluparan Noh Omar Menjerat Diri

Timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Selangor, Datuk Noh Omar hari ini memohon maaf berhubung ucapannya di konvensyen BN Selangor semalam sekiranya ia menyinggung perasaan mana-mana pihak.

"Saya telah membaca petikan ucapan daripada mendiang Tun Tan Siew Sin dan Mendiang Tun Sambanthan," kata Noh yang juga menteri pertanian dan asas tani.

Dalam ucapannya, Noh memetik ucapan Tan dan Sambathan pada 1960-an yang memuji orang Melayu kerana memberi kerakyatan kepada bukan Melayu.

"Saya tidak berniat untuk menyinggung perasaan mana-mana kaum, bagi saya ianya adalah bahan sejarah yang amat penting demi memastikan Negara ini terus berada dalam keadaan aman dan rakyat berbilang kaum dapat hidup harmoni sesuai dengan konsep 1Malaysia.

"Di samping itu, tujuan saya membaca petikan ucapan-ucapan tersebut adalah untuk mengukuhkan lagi semangat kerjasama dan setiakawan di kalangan ahli dan para pemimpin parti-parti komponen Barisan Nasional.

"Jika petikan ucapan tersebut tidak sesuai lagi dibaca di zaman sekarang dan boleh menyinggung perasaan mana-mana pihak, maka saya mohon maaf," katanya ketika membaca kenyataan bertulis.

Noh membuat permohonan maaf itu dalam satu sidang akhbar khusus untuk akhbar Cina di kafeteria Parlimen petang ini.

Sidang akhbar itu diusahakan oleh setiausaha Kelab Penyokong BN, Huan Cheng Guan.

Noh berkata beliau mengadakan sidang akhbar itu untuk media berbahasa Cina sahaja kerana mereka sahaja yang menyiarkan petikan tersebut.

-malaysiakini-

Ulasan GB

Habislah BN. Keceluparan Noh Omar akhirnya memakan diri. Minta maaf? huhu senang-senag camtu jer ke.

Mungkin kena tabur fulus kot, tapi untuk sektika, lepas tu pengundi bukan Melayu tetap ingat Noh Omar punya ucapan. Sama jer taraf menteri ni dengan Presiden PERKOSA. Sikapnya rasis, sikapnya menentang aspirasi 1Malaysia.

Tembak Sahaja Anwar Sampai Mati Wahai UMNO

Anwar Mimpi Ngeri Umno-BN
Oleh Datuk Halik Zaman

Kita sudah jangkakan kematian Altantuya, Teo Beng Hock dan Kugan yang akhirnya boleh di kategorikan sebagai macam mati katak. Tiada untung ruginya kepada kerajaan dan negara.

Mereka mati pun tidak menguntungkan dan hidup pun tidak membongkar sesuatu kerugian. Kenapa mereka mati? Kerana terdapatnya sesetengah individu yang tidak suka mereka hidup lagi.

Pasal Anwar Ibrahim, berbagai 'torture' dan tekanan batin yang beliau terima semasa hidupnya. Andainya Altantuya, Teo Beng Hock dan Kugan di hidupkan dari mati pun mereka tidak sanggup untuk hidup sekali lagi seandainya mereka tahu nasib mereka akan bersamaan seperti insan yang bernama Anwar Ibrahim. Sebab itu Anwar kalau mati jadi WIRA semasa hidupnya beliau di pesona. Gigihnya semangat waja sebagai pejuang bangsa dan Negara. Matinya pun ditaburi bunga raya.

Tuduhan liwat yang Anwar hadapi bukanlah satu isu yang baru dan bukanlah suatu perkara yang pertama kali berlaku, sebaliknya ini ialah kali yang kedua selepas percubaan pertama agak gagal dan mendukacitakan kerajaan Umno di bawah Mahathir.

Lantas Anwar di aibkan, dihina, dituduh dengan berbagai tuduhan, dikeji, dicerca, ditangkap, dicederakan sehingga mata lebam hampir buta. Isteri dan anak-anaknya diaibkan dimata masyarakat. Kalau isteri dan anak-anaknya bukan seorang Islam, mereka sudah lama ambil jalan singkat. Bukan ditingkat 15 bangunan SPRM, tapi dibangunan KL Tower dan satu persolan akan timbul, "Ini salah siapa? Ini dosa siapa? Jawapannya ada dihati anda."

Ikut fikiran logik, kes liwat Anwar akan berakhir di mana? Bukan juga dipenjara Sungai Buloh. Semua rakyat tahu sebelum hakim-hakim Malaysia memberi keputusan "rumah sementaranya di Sungai Buloh". Sebab rakyat pun tahu fungsi fungsi hakim Malaysia seperti satu cerita purbawara 'correct, correct. correct'. Ia telah dijadikan jenaka oleh dunia. Dunia ketawa melihat kita.

Kes liwat Anwar, tidak akan berakhir di Penjara Sungai Buloh sahaja. Salah kalau ada para pemimpin Umno menganggap bila Anwar dipenjara akan berakhirlah pengaruh Anwar dalam sejarah politik Malaysia. Banyak lagi cabaran demi cabaran yang hebat hebat akan para pemimpin Umno hadapi kerana rasa simpatinya rakyat Malaysia atas derita yang ditanggung oleh Anwar selama ini.

Kali ini bukan ikut senario 1998 tapi ikut senario 2010 di mana generasi muda kini sudah bisa berfikir dan sudah bisa mengundi. Generasi muda hari ini fikiran mereka tidak mudah dikongkong dan mereka bebas memberi keputusan sendiri dalam PRU-13 nanti.

Kerajaan Umno nak guna kuasa mahkamah pun rakyat sudah tahu? Fungsi mahkamah nak ikut cakap siapa? Tidak elok mengheret mahkamah ke medan politik. Lebih baik gunakan kuasa sendiri kerana sendiri ada punya kuasa. Heret sahaja Anwar ke padang Dataran Merdeka ikut cara wayang cowboy.

Buat pesta ramai ramai. Jemput semua Ahli ahli Kabinet, Ketua Polis Negara dan kroni kroni semua. Tembak sahaja Anwar sampai mati. Tutup cerita.

Ikut formula George Bush di Iraq. Gantung sahaja Saddam Hussein sampai mati. Iraq akan aman damai hingga hari ini.


Itu negara Iraq dah amankan? Kerana Saddam Hussein sudah mati digantung negara Iraq pun aman damai hari ini walaupun AMAN tidak pernah wujud dalam kehidupan rakyat Iraq. Kalau formula George Bush lah yang membawa perdamaian dinegara yang bergolak itu, kita fikir orang yang berfikiran begitu bukan sahaja 'senile' tapi gila diluar kawalan. -sk

Tajuddin Pasir Salak Cuba Tunjuk Samseng, Patut Disiasat

Kulasegaran Dakwa Tajuddin Ancam Pukul

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Ipoh Barat daripada DAP, M.Kulasegaran, hari ini mendakwa kononnya wakil rakyat Pasir Salak daripada Barisan Nasional, Datuk Tajuddin Abdul Rahman, mengancam untuk memukul beliau di lobi Parlimen.

Beliau membuat usul kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia supaya satu siasatan dijalankan berhubung ancaman itu.

"Lima belas minit lepas, semasa saya di luar dewan, tiba-tiba Pasir Salak datang mengancam saya dan nak pukul saya dan mengatakan bahawa saya telah cemar nama baik dia.

"Dia beri amaran kepada saya jika saya tidak berhenti, dia akan hantar orang ke kawasan saya pukul saya," katanya sebaik dewan selesai membincangkan isu mengenai insiden kekecohan semalam membabitkan Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena).

Kulasegaran mahu supaya tindakan susulan diambil kerana Tajuddin pernah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap beliau di Dewan Rakyat pada tahun lepas.

Ketika diminta mengulas, Tajuddin mempertikaikan tindakan Kulasegaran menggunakan laman blog untuk membuat fitnah dan mencerca beliau.

"Buat apa saya nak ugut dia? Saya sekadar marah beliau kerana membuat kenyataan tak bertanggungjawab. Saya dapat maklumat, dia gunakan blog buat tuduhan yang bukan-bukan terhadap saya.

"Saya sudah senyap selama ini dengan semua kenyataan bodoh yang dibuatnya di blog. Tadi, semasa saya jumpa beliau, saya kata...hentikan perbuatan sia-sia ini," katanya. - BERNAMA

Usul Rujuk DSAI Ke JK Hak Dan Kebebasan Juga Sepatutnya Ditarik Balik

Usul yang dikemukakan semalam untuk merujuk Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana menyebut "Umno-Apco" ditarik balik hari ini.

Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said menarik balik usul berkenaan atas nasihat Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia serta berpuas hati dengan penjelasan Mahfuz bahawa beliau tidak berniat untuk menyelewengkan Dewan dengan ungkapan berkenaan.

"Atas menjaga kemuliaan, persefahaman dan integriti Ahli Yang Berhormat dan memandangkan Yang Berhormat Pokok Sena telah memberikan penjelasan mengenai hal yang berlaku semalam, saya kemukakan usul 26(1)(p) untuk dibuat ketetapan bagi membatalkan usul terdahulu yang diluluskan semalam," katanya.

Terdahulu Pandikar Amin, dalam usaha menyelesaikan isu itu berkata beliau telah bersemuka dengan kedua-dua pihak untuk mendapatkan penjelasan mengenai insiden semalam selain meminta persetujuan mereka untuk tidak memanjangkan perkara berkenaan.

"Saya telah memanggil Kuala Krau (Ismail) dan Pokok Sena (Mahfuz) dan semalam Pokok Sena dalam penjelasannya berkata dia tidak punya niat untuk menyelewengkan Dewan (dengan perkataan Umno-Apco-Umno).

"Saya harap ini yang terakhir dan apa yang berlaku semalam kita jadikan iktibar...untuk merujuk seorang Yang Berhormat ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan merupakan sesuatu yang besar dan ini soal integriti seorang Yang Berhormat," katanya.

Justeru, katanya semua Ahli Parlimen perlu mengamalkan disiplin dan tidak sewenang-wenangnya melemparkan perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya selain saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

Persidangan Dewan Rakyat kecoh semalam apabila Ahli Parlimen Barisan Nasional dan pembangkang saling berbalah selepas tidak bersetuju dengan keputusan Timbalan Speaker Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang meluluskan usul Ismail untuk merujuk Mahfuz ke jawatankuasa itu atas alasan ia mengelirukan Dewan apabila berkali-kali Mahfuz mengungkap "Umno-Apco, Upco-Umno".

Keadaan berkenaan menyebabkan persidangan Dewan bukan sahaja terpaksa ditangguhkan selama 15 minit, tetapi turut ditamatkan kira-kira 75 minit lebih awal kerana keadaan menjadi tidak terkawal. - Bernama

Ulasan GB

Jika usul terhadap mahfuz Omar mengenai UMNO-APCO ditarik balik, Nazri sepatutnya menarik balik usulnya terhadap DSAI. Sememangnya UMNO ada kaitannya dengan APCO. Nak bantah apa lagi? Buktinya Nazri sendiri membuat pengakuan APCO dibayar untuk program komunikasi yang diikuti.




Nazri: APCO dibayar ikut program komunikasi

KUALA LUMPUR, 7 April — Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata firma perunding APCO Worldwide akan dibayar mengikut program komunikasi yang dilaksanakan seperti ditetapkan.

Beliau berkata jumlah pembayaran kontrak sebenarnya hanya dapat ditentukan selepas kontrak-kontrak tersebut tamat dan ia diuruskan oleh Jabatan Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulisnya bagi menjawab soalan Tian Chua (PKR-Batu) yang ingin tahu mengenai jumlah pembayaran kepada APCO serta kementerian mana yang menanggung kos tersebut.

Menjawab soalan mengenai jumlah kos yang dibelanjakan oleh setiap kementerian yang berkaitan dengan program 1 Malaysia, Mohamed Nazri berkata jumlah kos program 1 Malaysia ditentukan oleh kementerian dan agensi kerajaan yang berkenaan. — Bernama

Najib Akui PRK Hulu Selangor Ujian Besar BN Selangor...

PRK Hulu Selangor Ujian Besar Bagi BN Negeri

SHAH ALAM: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pilihan raya kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini, merupakan ujian besar kepada Barisan Nasional (BN) Selangor.

Sehubungan itu, Perdana Menteri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor berkata beliau mahukan semua jentera BN di negeri ini bertindak secara muafakat dan bekerja kuat untuk memenangi pilihan raya kecil itu.

Semangat setiakawan dan kerjasama di kalangan parti komponen BN perlu dikukuhkan sebagaimana Perdana Menteri pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman membina Parti Perikatan pada tahun 1955, katanya semasa menyampaikan amanat pada Konvensyen Barisan Nasional Selangor sehari di sini Rabu.

"Selepas peristiwa 13 Mei 1969, Perikatan diperkukuhkan lagi oleh penggantinya Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang menubuhkan BN bagi menggantikan Perikatan dan Umno tidak merampas kuasa pada ketika kekecohan itu kerana percaya dengan struktur parti seperti BN akan memberi lebih kejayaan pada Malaysia," kata beliau.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada PKR Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac lepas akibat barah otak. Penamaan calon ialah pada 17 April.

Beliau berkata apabila menjadi anggota BN, ini tidak bermakna parti-parti komponen akan sentiasa mendapat apa yang dihajati.

Bagaimanapun, bagi menawan semula Selangor daripada pembangkang, Najib berkata BN perlukan kerjasama semua parti dan tidak ada parti boleh melakukannya berseorangan bagi meraih sokongan dan undi daripada kaum lain termasuk Orang Asli.

Kekalahan BN Selangor dalam pilihan raya umum 2008 sudah tentu menjadi waktu yang amat mencabar, amat menguji ketahanan dan daya juang untuk menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran, katanya.

"BN Selangor masih kuat dan bersemangat untuk meneruskan perjuangan malah keazaman, iltizam politik kita bukan sekadar meneruskan perjuangan tetapi untuk kita memahami, menginsafi dan menghayati bahawa rakyat Selangor telah menolak BN pada pilihan raya umum yang lepas," katanya.

Namun, Najib berkata penolakan pengundi Selangor terhadap BN diangap sebagai sementara sahaja dan sebagai mesej dan peringatan bahawa sebenarnya mereka tidak mahu pembangkang tetapi mahu BN berubah.

Beliau berkata: "Mesej yang berikan pada kita pada 2008, jalan dibuai dengan keseronokan, jangan dibuai dengan slogan, faham dengan kuasa rakyat, mereka boleh mengubah.

Kalau kita berubah, InsyaAllah, mereka tak suka pembangkang, hari ni saya diberitahu (seseorang) saya bukan nak pembangkang tetapi nak BN berubah."

Ada pengundi yang sedar dan tahu bahawa pembangkang itu indah khabar dari rupa dan masalah mereka lebih berat daripada apa yang dialami oleh parti komponen BN di mana ada di kalangan pemimpin-pemimpin kanan mereka meninggalkan parti kerana tidak sefahaman lagi dengan pucuk pimpinan, katanya.

Oleh kerana itulah, Najib berkata sentimen, kesedaran rakyat dan angin sedang bertiup kencang ke arah BN.

Pada konvensyen itu, Najib bersama pemimpin BN pusat dan negeri membacakan ikrar yang dipanggil Deklarasi Darul Ehsan yang antaranya ialah berubah dan melakukan tranformasi untuk menjadi barisan hadapan dalam menjuarai isu rakyat.

Mereka juga berikrar antaranya untuk bersungguh dan ikhlas berkhidmat demi membela nasib rakyat dan mengembalikan maruah dan peranan negeri Selangor sebagai pemangkin kemakmuran ekonomi negara agar nikmat kemajuannya dapat dirasa oleh semua bangsa.

Turut hadir pada konvensyen itu ialah Timbalan Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh Omar, Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu, Naib Presiden MCA dan juga Pengerusi MCA Selangor Datuk Seri Ir Donald Lim Siang Chai, Presiden PPP, Datuk M.Kayveas, Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta Pengerusi Konvensyen BN Selangor Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed.- BERNAMA

Ulasan GB

Macam BN dah nak kalah jer keadaannya... tapi PR jangan lena. Teruskan bekerja bersungguh-sungguh untuk pastikan BN benar2 kalah nanti.

Shahidan Masih Idam Jawatan MB Perlis

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu menafikan wujud 'fear factor' dalam kalangan penjawat awam termasuk wakil rakyat di negeri ini sehingga boleh menjejaskan urusan pentadbiran negeri seperti yang didakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Datuk Seri Shahidan Kassim.

“Tiada 'fear factor'. Sekarang ini bukan saya yang menakutkan tetapi saya ditakutkan. Saya tidak pernah cop mana-mana pihak kerana mahu menjaga hubungan sesama manusia walaupun berbeza pendapat dari dalam atau luar parti,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2009 yang pertama 2010 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, semalam.

Ketika membahaskan rang undang-undang itu kelmarin, Shahidan mendakwa, wujud 'fear factor' atau perasaan takut dalam kalangan penjawat awam termasuk wakil rakyat di negeri ini untuk berhubung atau berbaik-baik dengannya (Shahidan) akibat larangan atau teguran oleh pegawai Dr Md Isa.

Menteri Besar berkata, beliau juga tidak pernah menghalang mana-mana pihak untuk pergi menunaikan umrah yang ditaja oleh pihak tertentu kerana ia adalah urusan agama yang tidak wajar dipolitikkan.

Mengenai kajian penilaian yang dijalankan oleh Majlis Tindakan Anak Negeri Perlis (Mantap), beliau yang ADUN Bintong berkata, ada memberi respons setelah ditanya oleh akhbar .”Saya jarang memberi respons kepada akhbar tetapi apabila mereka tanya, saya hanya beri respons,” katanya.

Ketika itu, Shahidan bangun sambil berkata: "YB baik, tapi tidak tegur orang yang wujudkan suasana ini dan libatkan jentera parti dan orang yang membantunya seperti mengeluarkan kata-kata, dok kena bayar hutang (yang kononnya ditinggalkan oleh Shahidan sewaktu menjadi Menteri Besar)."

Dr Md Isa memberi jaminan akan mengambil maklum dan tindakan untuk membaiki keadaan agar menjadi lebih baik.

“Wakil Pas ada membangkitkan soal tukar pucuk pimpinan. Itu adalah perkara biasa kerana di peringkat Pusat pun berlaku pertukaran kepimpinan dengan beberapa kali perubahan tarikh.

Pendirian saya adalah akan bersama di sini untuk memajukan negeri kita tanpa mengira orang Barisan Nasional (BN) atau Pas,” katanya.

Shahidan yang tidak berpuas hati dengan penjelasan Menteri Besar itu terus bertanya, siapakah yang dimaksudkan dengan perubahan tarikh itu.

Dr Md Isa lantas menjawab: “Saya merujuk kepada PKR (Parti Keadilan Rakyat)" lalu disambut oleh Shahidan: “Saya terasa dengan kenyataan itu kerana Dr Md Isa pernah berkata dalam akhbar kononnya ada orang yang tergila-gila nak jadi MB”.

Menteri Besar lalu menjawab: “Saya tak kata begitu”.

ADUN Pas dari Sanglang, Hashim Jasin kemudian mencelah, “Ramai gila nak jadi MB, yang dok (ddudk) depan tu pun”, menyebabkan mereka yang berada di dalam dewan tertawa.

Shahidan kemudian mencelah: “Tengok-tengok, ia (MB) sesuai untuk saya. YB (Hashim) dah 70 tahun”.

Persidangan Dewan kemudian ditangguhkan. -SH

Dia Calon Terbaik PR Untuk PRK Hulu Selangor

Menurut sumber dalaman parti, Ketua Umum KEADILAN Anwar Ibrahim mengesahkan bekas menteri undang-undang itu adalah calon terbaik untuk mengekalkan kerusi tersebut.

"Zaid seorang tokoh yang dikenali. Semua orang kenal beliau dan agak popular, termasuk di kalangan bukan Melayu. Anwar sedar hal ini.

"Tambahan pula, Zaid dilihat sebagai ahli politik yang berprinsip, sejak beliau melepaskan jawatan menteri. Orang ramai menghormati pendirian beliau ini," kata sumber dalaman itu.

Pada 2008, Zaid menentang keputusan kerajaan pusat untuk menahan tiga individu – seorang pemimpin pembangkang, seorang blogger terkenal dan seorang wartawan – di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Apabila diminta untuk akur kepada keputusan kerajaan, bekas ahli parlimen Kota Bharu itu meletak jawatan. Zaid seorang peguam kemudian bertukar menjadi ahli politik bertindak keluar Umno dan menyertai KEADILAN pada tahun berikutnya.

Sementara itu, sumber itu berkata kemenangan Zaid dalam pilihan raya kecil nanti, akan melonjak namanya bagi memainkan peranan yang lebih penting dalam parti dan Pakatan Rakyat.

"Anwar mewawancara beberapa calon tetapi beliau telah menetapkan Zaid sebagai pilihannya. Kepimpinan parti akan membuat pengumuman tentang hal ini lewat minggu ini," katanya KEADILAN yakin bahawa bekas menteri itu boleh menarik sokongan ketiga-tiga kaum di kawasan majoriti Melayu itu.

Kawasan parlimen itu mempunyai segolongan besar pengundi berbangsa Cina dan India serta dianggap sebagai tempat menguji sentimen rakyat dalam menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

Zaid: Biar kepimpinan parti membuat keputusan (tajuk kecil) Apabila dihubungi, Zaid enggan mengulas. "Saya serahkan perkara ini kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat pengumuman rasmi," kata beliau.

Kerusi parlimen Hulu Selangor menjadi kosong berikutan kematian Dr Zainal Abidin Ahmad dari KEADILAN pada 25 Mac lalu.

Penamaan calon ditetapkan pada 17 April dan hari mengundi pada 25 April ini.

Pada pilihan raya umum 2008, Zainal telah menewaskan G Palanivel, ahli parlimen di kawasan itu selama tiga penggal dan juga timbalan presiden MIC dengan kemenangan tipis 198 undi.

Barisan Nasional dijangka meletak Palanivel untuk bertanding sekali lagi walaupun terdapat beberapa bantahan daripada kalangan Umno.

Beberapa pemimpin Umno merasakan bahawa calon Melayu lebih berpeluang memenangi kerusi itu berbanding calon dari MIC, yang dilihat telah hilang sokongan dari masyarakat India.

Juga terdapat spekulasi beberapa puak dalam Umno yang tidak berpuas hati akan meletakkan calon bebas.

Tiga tokoh lain menyatakan hasrat untuk bertanding sebagai calon bebas.

Teratas dalam senarai ialah pemimpin tempatan yang berpengaruh V Chandran.

Chandran, bekas ketua bahagian MIC Hulu Selangor, yang dipecat dari parti baru-baru ini, adalah penyokong kuat Palanivel.

Dua lagi calon ialah Presiden Majlis Belia India Malaysia A Rajaratnam dan T Ananthan, bekas pekerja Tamil Nesan yang gagal memenangi kerusi Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat dalam pilihan raya MIC yang lalu.

Dalam satu wawancara baru-baru ini, kedua-dua Chandran dan Ananthan mengisytiharkan bahawa mereka mahu "mengajar" (presiden MIC) Sammy Vellu.

Hampir 53 peratus atau 34,020 dari sejumlah 64,500 pengundi berdaftar di Hulu Selangor adalah Melayu, 16,964 (26.3 peratus) pengundi Cina dan 12,453 (19.3 peratus) India. -FMT

Pelajar dirogol fail saman RM5 juta terhadap Kolej Masterskill

Seorang pelajar perempuan sebuah kolej perubatan swasta hari ini memfailkan saman sebanyak RM5 juta terhadap pengurusan kolejnya itu kerana dakwaan berlaku cuai dalam menjaga keselamatan pelajar sehingga dirinya dirogol.

Peguam plaintif Mohd Zubairi Salleh dan Mohd Rafizi Abdullah memfailkan saman itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Plaintif menamakan Masterskill (M) Sdn Bhd yang beribu pejabat di alamat G-8, Jalan Kemacahaya 11, Taman Kemacahaya, Batu 9, Cheras, Selangor yang mempunyai kampus cawangannya di Kota Bahru beralamat di Seksyen 19, Jalan Hamzah sebagai defendan.

Mengikut pernyataan tuntutannya, semasa kejadian plaintif merupakan seorang penuntut tahun pertama Diploma Kejururawatan dan penghuni asrama yang disediakan kolej itu.

Pada 9 Feb lalu kira-kira pukul 8.15 pagi, sewaktu plaintif berada dalam asrama kolej defendan di Tanjung Mas, di sini, plaintif bersama lima rakan sebilik telah didatangi seorang lelaki yang tidak dikenali dengan cara dipercayai memasuki asrama dan menceroboh masuk bilik mereka.

Lelaki tersebut kemudiannya bertanyakan kepada mereka siapa yang bernama “Serena” di dalam bilik tersebut namun setelah dimaklumkan bahawa tiada perempuan yang bernama “Serena” di kalangan mereka, lelaki itu terus meninggalkan bilik plaintif.

Setelah melihat lelaki itu keluar, plaintif kemudiannya keluar menuju ke bilik air untuk mandi tetapi secara tiba-tiba lelaki tadi menolak pintu bilik air tersebut dan terus meluru masuk ke bilik air itu.

Plaintif cuba untuk menyelamatkan diri tetapi penceroboh itu bertindak mengeluarkan pisau dan mengacu ke arah plaintif menyebabkan plaintif tidak mampu untuk melawan dan kemudiannya berlaku kejadian rogol tersebut dan lelaki itu kemudiannya melarikan diri.

Sehubungan itu plaintif mendakwa kejadian itu berlaku akibat kecuaian langsung defendan atau ejennya yang didapati cuai dalam menjaga keselamatan plaintif sehingga seorang penceroboh boleh memasuki asrama defendan.

Kejadian rogol itu menyebabkan plaintif kehilangan masa depan dan maruah diri kerana sebelum kejadian itu keluarga plaintif telah meletakkan kepercayaan penuh ke atas defendan untuk menjaga keselamatan diri plaintif di asrama dengan andaian bahawa asrama defendan selamat daripada semua aspek keselamatan.

Akibat daripada tindakan kecuaian defendan itu, plaintif sehingga kini masih lagi terkejut dan malu serta mendapati dirinya terus menerus mengalami keaiban, kesusahan dan tekanan hidup.

Kegagalan defendan melaksanakan kewajipan berhati-hati ke atas plaintif, kehidupan plaintif menjadi kelam kabut akibat tafsiran serong rakan-rakan, masyarakat dan sahabat handai.

Kesemua musibah yang menimpa mengakibatkan tekanan perasaan dan trauma yang berpanjangan ke atas diri plaintif.

Biarpun notis tuntutan bertarikh 10 Mac lalu telah dibuat dan dikemukakan plaintif terhadap defendan, namun sehingga kini defendan masih gagal atau cuai untuk menjelaskan tuntutan tersebut.

Atas faktor itu, plaintif menuntut defendan membayar ganti rugi teladan sebanyak RM3 juta, ganti rugi bagi kecederaan perasaan, trauma dan tekanan mental sebanyak RM2 juta, ganti rugi am, kos tindakan dan faedah pada kadar yang difikirkan adil dan sesuai oleh mahkamah dalam kes itu. — Bernama