21 Jan 2010

Ahli Parlimen BN Ponteng

Mungkinkah budaya ponteng dikalangan wakil rakyat BN merupakan tabiat mereka atau wujud bentuk protes berterusan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Najib Razak?

Jika dalam tragedi 14 Disember 2009 menyaksikan sejumlah besar daripada Ahli Parlimennya (MP) ponteng di Dewan Rakyat, situasi itu nampaknya gagal dijadikan iktibar oleh mereka samada sengaja atau buat-buat lupa, tidak pula diketahui.

Terbaru, tiga MP BN ponteng lagi dan kali ini melibatkan lawatan pemimpin dari luar negara yang gagal disambut oleh mereka sehingga menyaksikan pemimpin dari Korea itu menyindir sikap berkenaan.

Ketiga-tiga MP itu ialah MP Pulai, Nur Jazlan Mohamed; MP Sabak Bernam, Abd. Rahman Bakri dan MP Putatan, Marcus Mojigoh yang sepatutnya hadir bagi mewakili BN bagi menyambut kunjungan hormat Naib Speaker Parlimen Korea Selantan, Moon Hee Sang ke Parlimen semalam.

Malah Moon Hee Sang turut memuji kehadiran MP Pakatan Rakyat (PR) seperti yang diakui oleh Timbalan Yang Dipertua (TYDP) Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee.

“Lebih memalukan, ketiadaan wakil BN itu dipersoalkan oleh Hee Sang kerana hanya wakil pembangkang sahaja yang hadir iaitu Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong dan ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Loon.

“Ia menjadi ketara kerana rombongan Korea Selatan itu terdiri daripada wakil kerajaan dan pembangkang,’’ tegasnya Kiandee.

Terdahulu, dalam tragedi 14 Disember tahun lalu, sejumlah 74 daripada 137 MP BN ponteng di Dewan Rakyat yang menyaksikan Bajet 2010 hanya diluluskan dengan kelebihan majoriti tiga undi.

Undi kemenangan BN itu termasuklah melalui bosnya, Najib Razak bersama timbalannya, Muhyiddin Yasin yang hadir dalam keadaan tergesa-gesa pada malam itu.

Lebih menarik, MP PR berjaya mencatatkan kehadiran 78 peratus berbanding BN hanya 48 peratus.

Turut ponteng pada malam pengundian itu ialah sejumlah besar Menteri bersama timbalan menteri.

Mengikut konvensyen yang diamalkan di negara lain, termasuk negara Komanwel, Parlimen akan dibubarkan dan Perdana Menteri boleh digantikan jika bajet nasional tidak diluluskan.

Selepas peristiwa itu, Najib kononnya mahu menghukum anak buahnya yang ponteng itu namun sehingga kini tindakan itu gagal dilaksanakan.

Untuk rekod, ini merupakan kali ke dua MP Pulai, Nur Jazlan Mohamed dan MP Putatan, Marcus Mojigoh ponteng selepas perangai sama ditonjolkan pada sesi Dewan Rakyat 14 Disember lalu. -erapakatan

Program Subsidi Beras Poilitik Murahan Noh Omar

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia, Datuk Noh Omar dilihat terdesak memenangi hati rakyat khususnya Selangor setelah reputasi Umno-Barisan Nasional merundum pada pilihanraya umum ke 12.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Muda, Mat Shuhaimi Shafie, matlamat utama Noh Omar adalah semata-mata mahu mengangkat dirinya sebagai orang nombor dua di Selangor selepas Najib Razak, Pengerusi BN dan Umno negeri.

Shuhaimi berkata taktik Noh Omar melaksanakan program Subsidi Beras Untuk Rakyat atau Subur ini mendedahkan politik murahan yang dibawa beliau untuk meraih sokongan.

“Beliau terdesak untuk memastikan yang sokongan itu beralih kepada dia, maka dia menggunakan duit kementerian, saya nak tegaskan duit kementerian itu ialah duit rakyat, bukan duit daripada poket Dato Noh Omar sendiri, jadi duit ini dia tidak boleh dibelanjakan program di kepala otak dia saja, tak boleh sebab ini duit rakyat, dia mesti belanjakan di seluruh negara. Melalui program Subur memanglah dia katakan dia belanjakan di seluruh negara dan sebagainya, tetapi dari segi pelaksanaan, kita tidak nampak yang pelaksanaan itu diadakan untuk membantu rakyat, melainkan hanya untuk menaikkan imej Menteri Pertanian, iaitu Dato Noh Omar sendiri”, jelas Shuhaimi.

Beliau bercakap demikian ketika ditemui di pejabatnya di Kota Kemuning baru-baru ini.

Shuhaimi berkata agensi persekutuan diperalatkan untuk membeli sokongan pengundi bagi Umno.

“Apa yang Noh Omar buat macam penubuhan Majlis Pembangunan, dia Umno ni mereka buat 3 perkara, pertamanya melalui ICU di bawah JPM mereka mengagihkan keuntungan ini melalui 3 agensi, melalui Kementerian Pertanian yang ada program Subur, MPPP dan melalui Jabatan Pembangunan Negeri”, ujarnya lagi.

Kata Shuhaimi, rakyat Selangor menuntut keterbukaan dalam segala aspek apabila menolak Umno kerana gagal mempamerkan pentadbiran yang telus dan tiada kebertanggungjawaban khususnya pengagihan peruntukan kerajaan pusat kepada negeri ini.

“Rakyat negeri Selangor menolak Umno, kalau rakyat Selangor menyokong Umno, mereka tindakan meletakkan Kerajaan Pakatan Rakyat sebagai pemerintah, jadi orang-orang yang dilantik di MPPP, Subur, Majlis Pembangunan ICU, ini adalah orang-orang yang telah ditolak rakyat daripada segi kebertanggungjawaban, ketelusan itu pun sudah terkeluar, orang yang minoriti yang mengagih-agihkan peruntukan kepada orang lain, jadi daripada segi kuasa dia tidak ada kuasa untuk melakukan itu”, tambahnya lagi. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN -TVS



UMNO Tidak Hadir Di Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak

Dewan Pemuda PAS Perak menunggu kenyataan balas daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Umno Perak berkaitan isu perlantikan Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid.

Menurut Naib Ketuanya, Salman Saleh berkata, pada Persidangan Ke-169 Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) yang dipengerusikan oleh Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah (gambar) baru-baru ini, Kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) tidak menghantar wakil.

“Ini disebabkan (Menteri Besar lantikan BN), Zambry Abdul Kadir selaku Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam telah mengikuti rombongan Datuk Seri Najib Razak ke Arab Saudi,” kata beliau kepada Free Malaysia Today, kelmarin.

Beliau menerangkan, walaupun Penasihat Agama Islam kepada Menteri Besar Datuk Najmuddin Alias Al-Hafiz hadir sebagai wakil, tapi beliau tidak layak untuk hadir dalam persidangan tersebut.

“Di sini jelas Umno tidak mementingkan urusan agama Islam ditambah pula dengan suasana tegang berkaitan kalimah ‘Allah’ dan berbagai isu agama Islam yang perlu ditangani segera,” katanya.

Katanya, Umno seolah-olah tidak menghormati Raja Dr Nazrin Shah semasa persidangan tersebut berlangsung kerana tiada seorang pun wakilnya yang hadir dalam persidangan berkenaan.

“Mengenai isu AJK masjid yang belum selesai, jelas memperlihatkan bahawa Umno tidak serius dalam perkembangan agama Islam di Negeri Perak khasnya.

“Dewan Pemuda mendesak supaya Umno menghormati keputusan perlantikan AJK masjid yang telah diperkenan oleh Raja Dr Nazrin Shah dan tidak menggunakan saluran media untuk mencari kesalahan yang sepatutnya dibawa semasa persidangan tersebut,” tegasnya. -FMT

2 Lagi Surau Jadi Mangsa Serangan.

Nampaknya serangan demi serangan ke atas rumah ibadat berlaku di negara ini. Dan polis kelihatan belum berjaya membendungnya.

Terbaru surau Silaturrahim Jln Ismail dan surau Pt. Beting Jln. Salleh, Muar JOHOR jadi mangsa. Surau Silaturahim di Jalan Ismail mengalami kebakaran pada langsir dan cermin manakala Surau Parit Beting pula mengalami kebakaran di ruang solat wanita, permaidani dan pintu.

“Ada tanda hitam pada pintu,” kata Timbalan Ketua Polis Daerah Muar Lee Choon Guan di surau Parit Beting.

Tetapi pihak polis mengambil langkah berhati-hati dalam mengesahkan sama ada dua kejadian terbaru ini juga ada kaitan dengan isu kontroversi kalimah “Allah”.

“Pasukan forensik saya ada menemui kesan-kesan minyak, yang kemungkinan dibawa dari luar,” kata beliau.

Terdahulu Ketua Polis Daerah Muar, Mohammed Nasir Ramli enggan mengesahkan sama ada insiden ini adalah akibat tindakan khianat.

YB Gwee Adun Bentayan, bersama YB Dr. Sheikh Ibrahim Adun Sg. Abong, YB Dr. Mohammad Taslim Adun Maharani dan beberapa jawatankuasa dari DAP dan PAS telah melawat di tempat kejadian tersebut pada tengahari tadi. Semasa lawatan, pihak dari ke tiga-tiga dun telah memberi sumbangan untuk membaiki kerosakan.

Jawatankuasa surau memberitahu kemungkinan kebakaran dilakukan pada waktu pagi sekitar 2.00pagi hingga 4.00.pagi. Jawatankuasa surau ini mengucapkan terima kasih diatas kunjungan dari YB dan bersyukur kerana surau ini masih boleh digunakan untuk solat.

Jawatankkuasa surau merasa kecewa kerana ada manusia yang sanggup melakukan perbuatan keji ini terutama di tempat ibadat. Pn. Rukamah Samon yang datang ke surau jam 11.00pagi merasa terkejut bila tempat beliau mengajar mengaji kepada kanak-kanak telah terbakar dan tingkap cermin pechah. Beliau terus melaporkan perkara tersebut kepada Pengerusi surau. Pihak polis turut hadir di tempat kejadian dan sedang membuat siasatan.

Sejak 8 Januari lalu, beberapa tempat ibadat- sebahagian besarnya gereja - menjadi sasaran serangan bom api dan perbuatan vandalisme.

Ianya dipercayai ekoran keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Disember lalu yang mengetepikan larangan kerajaan ke atas bukan Islam daripada menggunakan perkataan Allah sebagai terjemahan bagi perkataan 'God'.

Ekoran itu, mahkamah berkenaan memutuskan bahawa mingguan Katholik, Herald, boleh menggunakan perkataan Allah dalam versi bahasa Malaysianya.

Bagaimanapun, keputusan itu ditangguhkan sementara menunggu selesai rayuan oleh kerajaaan terhadapnya.

Di Bawab BN, Rakyat Terbeban Dengan Rantaian Kenaikan Harga

Zaman inflasi tinggi kian menjelang, apabila harga petrol dan tol dijangka melonjak, menjejaki langkah kenaikan harga gula dan roti. Pengumuman kerajaan pada awal tahun ini, bahawa sistem "dua harga petrol" akan dilaksanakan pada 1 Mei, ditambah pula beberapa lebuh raya yang akan dikaji semula harga tolnya pada Januari tahun ini, dijangka akan menambah beban rakyat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan pada 7 Januari, bahawa kerajaan akan memperkenalkan satu mekanisme harga petrol untuk memastikan subsidinya hanya dinikmati mereka yang berpendapatan rendah, atau betul-betul memerlukannya.

Harga petrol pastinya naik

Mereka yang menikmati subsidi bahan api ini akan membeli minyak dengan harga selepas ditolak subsidi, sementara mereka yang tidak lagi layak untuk menikmati subsidi, perlu membayar mengikut harga pasaran tanpa subsidi.

Menurut Ismail Sabri Yaakob (gambar kanan), subsidi kerajaan untuk petrol RON95 buat masa ini adalah 30 sen/liter, lantas menurunkan harga minyak ini kepada paras RM1.80/liter. Dengan kata lain, rakyat tempatan mahupun warga asing yang tidak layak menikmati subsidi, akan membeli petrol dengan harga RM2.10 atau lebih tinggi.

Walaupun golongan berpendapatan rendah masih terlindung dengan subsidi menurut Ismail Sabri Yaakob, namun arus inflasi dijangka tidak dapat terelak lagi. Jika ditinjau dari pengalaman lalu, setiap kali kenaikan harga minyak akan memberi tekanan dari segi inflasi kepada semua lapisan masyarakat.

Misalnya, apabila harga minyak antarabangsa melonjak kepada US Dollar 130 pada tahun 2008, kerajaan Malaysia telah menaikkan harga minyak dari RM1.92 kepada RM2.70, bersamaan 78 sen atau 40.6%. Lantaran itu, kadar inflasi yang berada di bawah paras 3% pada awal tahun, telah melonjak kepada 8.5% pada Julai.

Menurut maklumat dari Kementerian Kewangan, sewa rumah, bekalan air dan elektrik, gas semula jadi dan bahan api yang lain mencakupi nisbah 21.4% dalam Consumer Price Index (CPI).

Kesan Inflasi daripada kenaikan harga minyak

Pada hakikatnya, kesan yang paling besar terhadap inflasi bukannya datang dari harga minyak, tetapi kesan rantaiannya, khususnya dalam sektor pengangkutan dan makanan. Antaranya, kadar inflasi mencecah kemuncak 8.5% pada Julai 2008, disebabkan kos pengangkutan yang melonjak secara mendadak sebanyak 22%. Kos pengangkutan mencatat 15.9% dalam CPI, malah sektor pengangkutan mencecah 41% dalam kepenggunaan sumber tenaga negara. Pendek kata, naik turunnya harga minyak memberi kesan yang besar terhadap sektor pengangkutan.

Pada masa yang sama, produk komersial dan perkhidmatan dalam setiap lapisan ekonomi melibatkan pengangkutan, yang membawa kesan rantaian terhadap semua keperluan harian, termasuklah makanan, pakaian, sehinggalah barang kehendak seperti kereta, rumah dan sebagainya.

Jikalau ditambah makanan dan minuman bukan alkohol (31.4%), pengangkutan (15.9%), dan sewa rumah, bekalan air dan elektrik, bahan api yang lain (21.4%), kesemuanya mencatat jumlah 68.7% daripada CPI.

Ringkasnya, apabila harga minyak bertambah dari RM1.80 kepada RM2.10, kos tambahan yang ditanggung oleh rakyat bukan hanya 30 sen/liter, tetapi inflasi yang berlaku berikutan kesan rantaian kenaikan harga minyak.

Inflasi lebih tinggi daripada perangkaan rasmi

Pada hakikatnya, inflasi yang menimpa rakyat sebenarnya lebih tinggi daripada perangkaan rasmi yang diumumkan. Misalnya, perangkaan rasmi yang diumumkan pada Julai 2008 adalah 8.5%, setelah kenaikan harga minyak secara mendadak dari RM1.92 kepada RM2.70.

Namun demikian, perangkaan yang tidak rasmi menunjukkan kos pembekal bahan mentah melonjak 10-20%, malah harga makanan di warong melonjak dalam lingkungan 25-40%. Bahkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga menaikkan harga elektrik pada kadar 26%, tahun 2008 dengan alasan penambahan kos bahan api.

Ketika ditemuramah, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA) menyatakan kenaikan harga minyak melambungkan kos pengangkutan, menjurus kepada kenaikan harga bahan mentah dan berakhir dengan kenaikan harga makanan. Oleh itu, peniaga warong terpaksa menaikkan harga.

Secara puratanya, rakyat Malaysia membelanjakan 40% pendapatannya untuk makanan. Kenaikan harga minyak telah menyebabkan mereka berbelanja lebih (lebih daripada 50%) untuk makanan. Antaranya, disebabkan ketidaksempurnaan sistem pengangkutan awam, penduduk bandar perlu bergantung kepada kereta untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat.

Hidup semakin menyempit apabila kebanyakan penduduk bandar makan di luar, secara langsung telah menjadi golongan yang paling merasai bahang inflasi. Seandainya dikira mengikut pendapatan RM2,500 sebulan, kenaikan harga minyak dari RM1.80 kepada RM2.10 akan melonjakkan perbelanjaan petrol golongan menengah ini sebanyak 17%; ditambah pula kenaikan harga makanan sebanyak 5-10%. Jelas, pilihannya makin kurang, dengan pendapatan yang terhad ini. (Bahagian pertama, bersambung) -MR

*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.

Shabery Cheek Cuba Kelirukan 1Malaysia

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek menegaskan kerajaan tidak mengeluarkan sebarang peruntukan dalam Bajet 2010 bagi membiayai projek Pasukan 1Malaysia F1 Team.

Menurutnya, perbelanjaan melaksanakan projek itu dibiayai syarikat swasta yang terlibat seperti Proton, Naza Group, Air Asia, Lotus Car dan lain-lain dalam pertimbangan komersial syarikat masing-masing.

“Kerajaan tidak mengeluarkan wang rakyat walaupun sesen untuk projek ini. Kerajaan hanya memberi sokongan dan mengalu-alukan projek swasta sebegini.

“Perbelanjaannya adalah dari syarikat swasta yang terlibat atas pertimbangan komersial syarikat masing- masing. Ini tidak membazir kerana ia akan memberi elemen pemasaran yang besar pada negara apabila menyertai kejohanan F1 itu nanti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Pas yang membidas Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang didakwa membazirkan wang rakyat dengan memberi peruntukan ‘hangus’ RM1 bilion dalam Bajet 2010 untuk Formula 1.

Pas menyifatkan BN cuba melepaskan tanggungjawab ekonomi negara kepada rakyat dengan mengurangkan subsidi gula sehingga menyebabkan harga gula naik 20 sen sekilogram dan mencadangkan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Ahmad Shabery berkata, dakwaan pembangkang itu tidak berasas sama sekali, sebaliknya perbelanjaan syarikat swasta untuk projek Pasukan 1Malaysia F1 Team juga tidak mencecah RM1 bilion.

Pasukan 1Malaysia F1 Team, usaha sama kerajaan dan swasta akan menyertai perlumbaan F1 mulai tahun ini. Projek itu melibatkan gabungan kepakaran Proton dan Lotus dengan disokong Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Persatuan Permotoran Malaysia (MAM), Naza Motor dan Air Asia. -SH


Petronas Jalin Kerjasama Dengan Mercedes Untuk Formula One

KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) telah memeterai perjanjian lima tahun dengan pengeluar kenderaan Mercedes, untuk menjadi penaja utama bagi pasukan Mercedes GP, juara kejohanan Formula Satu (F1).

Pasukan itu, mulai 2010, akan dikenali secara rasmi sebagai Pasukan F1 Mercedes GP PETRONAS.

Syarikat minyak dan gas negara itu, dalam satu kenyataan Isnin berkata, kerjasama itu akan membolehkan urusan perniagaan dengan Mercedes yang akan menyokong usaha-usaha pengembangan antarabangsanya, terutamanya dalam perniagaan minyak pelincir dunia.

Syarikat itu berkata hak eksklusif sebagai rakan kongsi dan perkaitan dengan jenama premium Mercedes yang dikenali di seluruh dunia, akan meningkatkan kedudukan jenama global PETRONAS dan Malaysia.

Petronas juga akan terus mengambil peluang daripada pendedahan antarabangsa yang ditawarkan oleh sukan itu untuk membangunkan aktiviti perniagaannya.

Usahasama itu juga memberikan peluang kepada PETRONAS untuk mengambil kesempatan ke atas sejarah sukan bermotor Mercedes yang panjang menjadi tambahan kepada usaha-usaha pembangunan kemahirannya, sebagai satu sumbangan ke arah pembangunan industri sukan bermotor di Malaysia.

Selain Mercedes, syarikat itu akan meneruskan usahasama sebagai penaja utama Grand Prix F1 PETRONAS Malaysia, yang terbukti berjaya mempromosikan Malaysia secara berkesan di peringkat antarabangsa. -- BERNAMA


Ulasan GB

Baca kenyataan Ahmad Shabery Cheek dengan kenyataan Petronas sendiri yang GB lampirkan. Memang benar kerajaan tak labur banyak duit untuk Pasukan 1Malaysia F1 Team tetapi kerajaan melalui Petronas membelajakan berbillion untuk menaja pasukan luar iaitu Mercedes GP.

Tiada lansung rasa tanggungjawab sosial oleh Petronas. Yang menjadi perkiraan ialah laba yang diperolehi apabila menaja Mercedes yang lebih terkenal dari menaja Lotus.

Jumlah perbelanjaan sudah tentu lebih besar untuk menaja Mercedes. Petronas tidak boleh menafikannya.

Petronas telah merembat wang royalti Kelantan dan Terengganu bertahun-tahun. Dan doa bala akan terus berjalan. Bila dah pecah perut nanti baru diketahui bahawa gergasi minyak ini menyedari dia selama ini mentedarah wang haram.

Sudah Bersediakah Perak?

Katakanlah benar pilihanraya akan dipanggil semula di Perak, persoalannya, mampukah PAS mempamerkan prestasi cemerlang seperti yang ditunjukkan di dalam pilihanraya umum ke 12 yang lalu?

Menurut Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pada keseluruhannya sokongan rakyat terhadap Pakatan itu tidak luntur dan jika pilihan raya diadakan mereka yakin akan menang, mengakui sokongan Melayu terhadap Pakatan Rakyat di Perak telah merosot sedikit terutama di kawasan pedalaman.

Menurut beliau berdasarkan bancian, Pakatan telah kehilangan antara 7 hingga 8 peratus sokongan daripada pengundi Melayu.

Ketika berkuasa selama 10 bulan berikutan kemenangan pada pilihan raya 2008, gabungan pimpinan Nizar itu memperolehi 40 peratus sokongan daripada masyarakat Melayu.

Ahli parlimen Bukit Gantang itu mengakui Pakatan Rakyat gagal menembusi kubu-kubu BN di kawasan pendalaman.

"Kemerosotan juga berpunca kerana media alternatif gagal mencabar media tradisional seperti Utusan Malaysia dan akhbar lain.

Selain itu, kemerosotan didakwa berpunca daripada isu seperti kononnya semasa menjadi Menteri Besar, beliau adalah boneka DAP, dan kononnya beliau telah menderhaka kepada Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Menurut perakexpress.com,

Zambry tak mahu DUN dibubarkan kerana takut kehilangan jawatan Menteri Besar. Najib sudah cuci tangan. Dia mau membersihkan imejnya di Perak dan mahu menyingkir Zambry dari jawatan Menteri Besar.

Semua orang tau, rampasan kuasa di Perak dirancang oleh Najib. Tiga ekor katak yang melompat, dibayar oleh Najib dan semasa perisytiharan mereka sebagai calon bebas, ketiga-tiga calon PR itu diapit oleh Najib.

Semasa mula-mula BN merampas kuasa di Perak, Najib telah berjumpa Sultan untuk menghantar nama Menteri Besar Perak pada pukul empat petang. Tetapi pada pukul enam petang, Pak Lah memintas perancangan Najib dengan mencalonkan Zambry sebagai Menteri Besar.

Lembu punya susu, sapi dapat nama. Najib kerja keras, Zambry jadi Menteri Besar.

Keputusan mahkamah Persekutuan telah pun diketahui. Keputusan lima orang hakim yang mengadili kes Nizar Zambry telah lama menghantar keputusan kepada Ketua Hakim Negara, Zaki Tun Azmi.

Ketua Hakim Negara meminta keempat-empat hakim yang memihak kepada Nizar supaya menimbang semula keputusan tersebut tetapi mereka tetap tidak berganjak. Ini bukan lagi menjadi rahsia. Tanya Nizar kalau tak percaya.

Menurut sumber, Sultan Perak telah dimaklumkan tentang perkara ini dan Sultan juga bersetuju supaya DUN dibubarkan, untuk mengelakkan perkara yang tak diingini berlaku sekiranya DUN bersidang lagi. Imej Sultan dan Negeri Perak sudah teruk dan sekiranya DUN tidak dibubarkan, maka imej Sultan juga akan terus merudum.


Dan perakexpress.com meramalkan bahawa hampir pasti pilihanraya akan diadakan pada Mac 2010 ini. Betul tak betul spekulasi itu bukan soalnya.

Ini diperkuatkan lagi, dengan laporan tindakan kerajaan mewajibkan semua anggota polis membuat kad pengenalan awam (Mykad) yang tujuannya semua orang tahu, sebagai satu usaha untuk menambahkan pengundi BN di dalam pilihanraya.

Dalam pada yang sama, setelah setahun berlalu, Pakatan Rakyat nampaknya tidak masih di tahap yang sama, mengharapkan keputusan mahkamah berpihak kepada Nizar, mengharapkan pilihanraya semula diadakan segera dari hari ke sehari untuk mengembalikan kuasa rakyat dan untuk mengembalikan kepimpinan PR di negeri Perak.

Tetapi usaha untuk mendekati rakyat diabaikan. Bukankah sepatutnya ruang masa setahun yang ada itu sepatutnya diisi dan dimenafaatkan untuk menggerak-gempur seluruh Perak serta melakukan aktiviti-aktiviti yang memberi kesan kepada rakyat supaya PR terus bertakhta di hati mereka?

Apa yang berlaku, PR masih tersandung dalam esakan tangis berpanjangan ekoran rampasan kuasa itu, dipenuhi dengan emosi sentimental dengan mengharapkan simpati rakyat terhadap apa yang berlaku.


Ada yang lari ke alam siber, untuk bersama-sama berblogging meninggalkan medan DUN mereka sendiri yang sepatutnya DUN merekalah yang lebih berhak untuk diberikan perhatian dan tumpuan. Sebahagian besar masanya dibuang untuk melakukan kerja di alam siber yang sebenarnya tidak perlu kerana sudah begitu ramai yang simpatisan terhadap episod Perak yang boleh membantu mereka. Langit kini hampir runtuh kerana kini telah terlalu banyak blog dengan terlalu ramai pelayar yang bertempur-tempur di alam siber dengan aktiviti-aktiviti salintampal untuk menyebarluaskan maklumat alternatif.

Tapi jangan lupa, keberkesanan alam siber kini juga sudah diragui peranannya apabila "on the ground" keadaan tidak diselenggara dengan usaha yang meyakinkan rakyat. "Tragedi" Bagan Pinang menyaksikan bahawa sekalipun lebih 80% blogger PR berkempen di alam siber untuk Bagan Pinang, PR hanya memungut sekitar lebih kurang 2000 undi dan PR tewas pula di situ. BN menang dengan majoriti 5300 undi. Bandingkan jika lansung tiada blog yang membantu Bagan Pinang, kemungkinan angka yang diperolehi oleh calon PAS (PR) jauh lebih rendah. Keputusan yang signifikan itu nampaknya tidak diambil oleh PR untuk dijadikan pelajaran di dalam meneruskn perjuangan.

Pelajarannya apa? Alam siber hanya faktor suplimentari. Yang terlebih penting ialah kerja-kerja di bumi DUN sendiri. Ketukan pintu di rumah pengundi, pertemuan di kedai-kedai kopi, balai rakyat, surau dan masjid, majlis-majlis penerangan "setiap" malam di DUN masing-masing, aktiviti-aktiviti yang efektif seperti kelas tiusyen, debat orang kampung, kursus memasak dan menjahit untuk kaum Hawa, tamrin perkaderan untuk remaja, pembentukan kumpulan usahawan berjaya di kalangan pnganggur siswazah, membawa dan memperkenalkan teknologi maklumat kepada orang kampung dan apa jua aktiviti positif yang boleh membantu memperkasakan PR di kalangan rakyat.

Apakah kesempatan itu telah dilakukan sewaktu setahun yang lalu?

Jika tidak, jangan ditangisi jika esok pilihanraya, rakyat memberikan endorsement kehadiran UMNO BN memerintah Perak.

Terdesak Raih Sokongan, Umno-BN Perbesar Isu Kalimah Allah

Umno-Barisan Nasional yang dilihat terdesak bagi meraih sokongan rakyat mula menggunakan alat propagandanya Utusan Malaysia memperbesarkan isu penggunaan kalimah Allah.

Pemimpin PKR, Datuk Chua Jui Ming berkata, tindakan sambil lewa Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam menjejak petualang serangan ke atas rumah ibadat jelas mengiyakan syak di kalangan rakyat mengenai peranan Umno disebalik isu ini.

Jui Ming berkata, merupakan sesuatu yang pelik apabila polis mengambil masa lebih dari dua minggu bagi menjejak dalang berkenaan walaupun rakaman kamera litar tertutup yang mengandungi imej penyerang telah diberika oleh pihak gereja.

“Syak wasangka mesti ada, siapa yang menghasut kita tahu... Utusan Malaysia yang menghasut tiap-tiap hari sehingga ke hari ini saya tahu. Kerana bila terjadi kejadian bom ini saya membeli akhbar Utusan Malaysia, saya hendak tahu Umno yang sebenarnya memiliki Utusan Malaysia apa sikap Utusan.

“Saya dapat tahu penghasut utama dalam isu ini tidak lain tidak bukan, Utusan Malaysia yang dimiliki oleh Umno,” katanya.

Menurutnya, bagi memadam syak wasangka rakyat, Ketua Polis Negara perlu mendedahkan nama individu mahupun organisasi yang bertanggungjawab ke atas serangan berkenaan.

Katanya, strategi ini digunakan Umno-BN itu untuk kepentingan politik mereka setelah tergugat dengan penolakan lebih 70 peratus masyarakat India dan Cina dan hampir 50 masyarakat Melayu terhadap rejim itu.

“Oleh kerana itu kita hendak tahu apa muslihat Umno dalam isu ini tidak lain tidak bukan atas kepentingan Umno sendiri.

“Tetapi kenapa empat negeri itu (Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu) menjadi antara negeri termiskin atas benyak sebab, rasuah yang kian meningkat, institusi-institusi kerajaan Persekutuan terus dikawal, di dalam cengkaman Umno sehingga pada hari ini tidak ada kebebasan di Malaysia. Oleh kerana itu orang Melayu sendiri telah mula beralih kepada Pakaran Rakyat,”katanya.

Jui Ming berkata, rejim itu juga menimbulkan isu ini bagi mengelakkan rkayat daripada mengetahui mengenai laporan Union Bank of Switzerland (UBS) bahawa rezab luar Malaysia menjunam sehingga 50 peratus.

Katanya laporan itu turut menyatakan, situasi yang dialami negara ini sebagai 'ganjil' berikutan Malaysia memperoleh keuntungan ratusan bilion ringgit melalui perdagangan antarabangsa namun rezab negara semakin berkurangan.

“Apa yang diberitahu wang rezab khazanah Malaysia pada tahun lalu telah menjunam sebanyak 50 peratus akhirnya sampai hujung tahun lalu, 25 peratus sudah hilang daripada rezab luar Malaysia. Dia kata ia ganjil, kerana ‘hot money’ tiada lagi di Malaysia. Tidak ada lagi sejak krisis kewangan Asia 1997/98 wang panas sudah lari dari Malaysia ,”katanya. -TVS



Bila AJK Cabang Merasa Dirinya Pokok. Khalid Nafi Cabang PKR Pimpinannya Lumpuh

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan Parti Keadilan Rakyat cabang Kuala Selangor yang diketuainya 'lumpuh' dan telah dibubarkan.

Beliau mengulas dakwaan timbalan ketua PKR cabang Kuala Selangor, Arshad Abu Bakar, bahawa cabang itu telah terbubar, ekoran tindakan 11 anggota jawatankuasanya yang dipilih serta ketua pemuda dan wanitanya, telah meletak jawatan.

Bercakap kepada pemberita di Shah Alam selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri, Abdul Khalid berkata, tidak ada mesyuarat diadakan untuk membubarkan cabang itu.

"Pemilihan akan berlaku tahun ini untuk AJK baru pada Mac. Itulah sebabnya sesetengah nak berhenti," katanya.

Khalid berkata krisis seperti itu adalah satu perkara lazim yang menimpa beliau.

"Mereka yang tidak sealiran dan tidak sehaluan lebih baik keluar daripada menyukarkan parti untuk diurus," katanya.

"Khalid berkata bahawa pada awal 2007 PKR Kuala Selangor mempunyai tidak sampai 100 orang ahli tetapi sekarang bilangannya adalah 3,000 orang.

Alasan hilang kepercayaan itu perkara biasa...ataupun ayat itu ditulis oleh Umno,"
katanya.

Sementara itu, Bernama memetik Arshad mendakwa cabang itu telah terbubar.

'Khalid punca kecelaruan Kuala Selangor'

Dakwaannya berasaskan tindakan 11 anggota jawatankuasanya yang dipilih serta ketua pemuda dan wanitanya telah meletak jawatan.

Setakat ini, Arshad berkata hanya tinggal tiga pemimpinnya yang dipilih terdiri beliau sendiri, Khalid serta seorang AJK, Faridah Abdul Rahman.

Arshad mendakwa 11 AJK cabang serta Ketua Angkatan Muda, Nazarudin Darmawan, dan Ketua Wanita, Fauziah Sulaiman, meletak jawatan antara November tahun lalu dan 18 Jan tahun ini.

Katanya mereka yang meletak jawatan itu bagaimanapun masih kekal sebagai anggota PKR tetapi mereka telah hilang kepercayaan terhadap Khalid untuk menerajui cabang Kuala Selangor.

Mereka mendakwa Khalid telah meletakkan PKR Kuala Selangor dalam keadaan 'penuh kecelaruan' tanpa asas tadbir urus yang kukuh.

Khalid juga dituduh tidak mengambil inisiatif memperkukuhkan parti meskipun ada ahli bukan Melayu di Ijok dan Batang Berjuntai telah keluar parti. -malaysiakini

Ulasan GB

Cabang nak lawan pokok? Dah terbalik.

Anyway, tahniah Tan Sri Khalid. Jawapan Tan Sri kali ini mantap terutama ayat ini:

"pada awal 2007 PKR Kuala Selangor mempunyai tidak sampai 100 orang ahli tetapi sekarang bilangannya adalah 3,000 orang.

Alasan hilang kepercayaan itu perkara biasa...ataupun ayat itu ditulis oleh Umno,"