20 Ogo 2010

Zahid Menipu Di Bulan Ramadhan?

Khutbah: K'jaan negeri nafi nama Lim ganti Agong

Kerajaan negeri Pulau Pinang menafikan sekeras-kerasnya bahawa nama Ketua Menteri Lim Guan Eng menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah Jumaat yang dibaca di beberapa masjid di negeri itu.

Exco Hal-Ehwal Agama negeri, Abdul Malik Abul Kassim berkata siasatan awal mendapati ianya tidak berlaku kerana teks khutbah Jumaat, yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam negeri, tidak menggunakan nama Lim.

Katanya, hanya orang yang tidak waras sahaja yang akan menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah Jumaat.

Abdul Malik berkata, beliau telah membuat siasatan awal dan mendapati kejadian itu tidak berlaku seperti yang didakwa oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga pengerusi perhubungan Umno negeri.

Abdul Malik menjelaskan, teks khutbah yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) tidak menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dengan nama Lim, seperti yang didakwa.

"Dan kalau mereka tidak baca teks sekalipun, saya percaya hanya orang yang tidak waras sahaja yang akan ganti nama Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah," katanya lagi.

Tambahnya, dakwaan itu juga tidak menyebut dengan jelas masjid yang terbabit, sebaliknya hanya menamakan kawasan Permatang Pauh, Jelutong dan Tasek Gelugor.

Ditanya lanjut, beliau berkata kerajaan negeri tidak akan mengambil tindakan lanjut atas dakwaan itu kerana "tidak timbul isu."

"Isu ini sengaja diada-adakan, sebab sememangnya tiada isu. BN yang sengaja wujudkan isu ini," katanya lagi ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Abdul Malik juga berkata, sekiranya Ahmad Zahid mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut, beliau hendaklah membuat laporan supaya dakwaan tersebut dapat disiasat.

"Kalau dia ada maklumat, sepatutnya dia buat laporan kepada kerajaan negeri, atau kepada polis atau kepada pejabat mufti, bukannya pergi beri kenyataan kepada media," katanya lagi.

Sementara itu, bercakap dalam satu sidang media pagi ini, Abdul Malik juga berkata kerajaan negeri serta JAIPP tidak menerima sebarang arahan lisan mahupun bertulis untuk menukar nama tersebut dalam teks khutbah.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa sesetengah jawatankuasa masjid menggunakan isu tersebut untuk mensabotaj kerajaan negeri.

Sudah Ada Pemimpin PAS Yang Takut Dengan Operasi Lalang

Parti Islam Semalaysia Pas bimbang suasana politik negara pada hari ini yang semakin panas. Keadaan ini berlaku selepas PRU 2008, apabila BN tidak tahu menghormati keputusan rakyat dalam sebuah negara demokrasi. Kes yang terbaru lakonan rasa tidak puas hati Presiden MCA Datuk Sri Dr Chua Soi Lek mengenai kouta 30% dalam ekuiti bumiputera. Datuk Chua telah mengambil pendirian yang berani untuk menyokong kongres China yang mencadangkan kerajaan menghapuskan kouta 30%.

Kenyataan beliau telah menimbulkan kemarahan secara terbuka oleh Tan Sri Muhyidin Yasin selaku Timbalan Presiden Umno. Pendirian beliau dipanaskan lagi dengan sokongan beberapa pemimpin umno dan NGO Melayu. Beberapa kenyataan amaran dan memperlekeh satu sama lain sedang bermain di dada akhbar.

Pas bimbang corak yang sama berlaku pada tahun 1987, ketika umno mengalami perpecahan team A dan team B, sehingga umno diharamkan oleh mahkamah. Tiba-tiba Lee Kim Sai Timbalan Presiden MCA telah mangatakan bahawa orang Melayu juga kaum pendatang dan hak keistimewaan bumiputera juga dipertikaikan. Pada ketika itu pemimpin umno yang berlagak macam hero kampung dusun berhimpun untuk membantah kenyataan Lee Kim Sai. Ada di kalangan pimpinan umno suruh bawa pisau senang hendak kupas limau jika hadir di perhimpunan di stadium TPCA Kampung Baru. Akhirnya himpunan tersebut telah dibatalkan oleh pihak keselamatan..

Kemudian operasi lalang berlaku, Lee Kim Sai ke Australia, sebaliknya yang menjadi mangsa ialah pemimpin Pas, Dap dan NGO yang disumbat di Kamunting. Ada beberapa pemimpin umno ditangkap juga, sekadar untuk main wayang kemudian dibebaskan.

Pas mengharapkan pihak kerajaan dan keselamatan jangan mengkambing hitamkan pembangkang, kerana hendak melindungi masalah dalaman parti komponen Bn. Jangan gunakan ISA dan operasi lalang, bertarunglah dalam gelanggang demokrasi di atas padang yang sama rata serta pengadil dan tiang gol yang tidak diubah-ubah. Pemimpin umno kena insaf mereka sekarang bukan sahaja tidak disukai oleh orang bukan melayu malahan juga telah ditolak oleh orang melayu, terutama generasi terpelajar dan bermaklumat. -idris ahmad

Ulasan GB

Sudah ada pemimpin PAS yang takutkan operasi lalang. Maklum sekarang sudah pandai hidup bermewahan. Sudah tebal keduniaan. Takut kehilangan jawatan, kereta, rumah besar, talileher, blazer, isteri dan anak-anak.

Tak seperti dulu, jiwa dan raga diserahkan untuk perjuangan kerana takutkan Allah melebihi segala-galanya.

Kita memang menentang ISA, menentang kezaliman, menentang Operasi Lalang malah kita menentang mereka yang mendokong kezaliman itu.

Jika kita takut dengan mereka atau lebih rendah lagi, takut dengan Operais Lalang yang belum tentu ada, ini alamat dan petanda buruk untuk jemaah, untuk parti. Percayalah!


Isu Scorpene: Nurul Izzah Jawab Zahid

Kenyataan saya dalam temubual bersama KOMPAS adalah berdasarkan jawapan rasmi Menteri Pertahanan pada 17 Mac 2010 bahawa kapal KD Tunku Abdul Rahman tidak dibenarkan menyelam kerana mengalami masalah teknikal.

Justeru, saya sedia disiasat oleh pihak polis dan saya berharap permulaan siasatan ini akan membawa kepada isu-isu berkait lain terutamanya dalam soal pembelian yang diberi kepada syarikat pilihan serta penyelenggaraan kapal selam tersebut dan siasatan yang sedang dilangsungkan oleh pihak perundangan Perancis terhadap kapal selam yang sama.

Menyebut tentang imej dan keselamatan negara, yang kononnya terjejas daripada kenyataan saya, ingin saya bangkitkan kenyataan Menteri di parlimen pada hari yang sama yang menyatakan bahawa masalah teknikal sebegini juga dihadapi oleh banyak negara lain di seluruh dunia. Kalau maklumat tentang status selaman mana-mana kapal selam di seluruh dunia dapat diperolehi secara terbuka, di manakah rasionalnya bahawa kenyataan saya menggugat keselamatan negara?

Pada hemat saya, kenyataan yang menggugat keselamatan negara adalah kenyataan seperti dibuat pada 6 Ogos 2010 bertajuk Kapal selam sertai latihan terbitan Bernama, di mana diakui bahawa Latihan Kemahiran Laut yang lazimnya dilakukan tiga kali dalam setahun telah dikurangkan kepada hanya sekali setahun bagi menjimatkan perbelanjaan.

Bercakap tentang imej dan keselamatan yang menjadi asas Laporan Polis Tentera Laut Diraja Malaysia, apakah mungkin reaksi musuh-musuh negara apabila diketahui umum bahawa TLDM hanya melakukan latihan sekali setahun atas alasan berjimat cermat? Sedangkan prinsip dasar pertahanan adalah persediaan, dan persediaan ini merangkumi latihan yang mencukupi.

Saya bimbang, sebagai negara yang mempunyai sempadan laut yang luas, Malaysia hanya menjalankan Latihan Kemahiran Laut setahun sekali. Saya percaya kebimbangan saya ini turut dikongsi pegawai-pegawai TLDM khususnya dan juga seluruh pasukan keselamatan.

Di dalam hasrat untuk berjimat cermat, saya desak Kementerian Pertahanan untuk melakukan kajian menyeluruh kepada skop perbelanjaan dan pembelian yang dilakukan oleh Kementerian, seperti lawatan-lawatan ke luar negara, dan acara-acara dan pembelian-pembelian yang tidak berkaitan dengan latihan diteliti supaya penjimatan sebenar dapat dibuat demi memastikan latihan TLDM, khusunya Latihan Kemahiran Laut tidak dikorbankan.

Bukankah penderhaka sebenar adalah mereka yang menggunakan dana negara untuk membayar kos penyelenggaraan tinggi untuk syarikat anak emas pilihan dan pembelian alatan ataupun kos projek yang berganda demi memenuhi poket-poket mereka yang terpilih? Kalau benar Menteri Pertahanan seorang patriot, kenapa beliau tidak menyokong siasatan SPRM terhadap bayaran komisyen lebih RM500 juta kepada Perimekar Sdn Bhd untuk pembelian kapal selam Scorpene seperti yang dinyatakan oleh Speaker Dewan Rakyat pada 2 Julai lalu?


Zahid: Jangan politikkan isu pertahanan negara

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap semua anggota Parlimen dan pemimpin politik tidakmempolitikkan isu pertahanan negara dengan membuat kenyataan-kenyataan yang bercanggah daripada hakikat sebenar.

“Walaupun kita sering berbeza pendapat tetapi biar perkara (kenyataan) yang benar, jangan sampai menjejaskan imej negara terutama yang melibatkan aset pertahanan negara,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata wakil semua parti politik seharusnya tidak mempolitikkan isu pertahanan negara.

Ahmad Zahid berkata demikian semasa mengulas tindakan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membuat laporan polis di Balai Polis Hulu Kelang pada Selasa terhadap Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan wartawan akhbar Malay Mail, Marhalim Abas berhubung dakwaan kapal selam pertama negara KD Tunku Abdul Rahman tidak boleh menyelam.

Bercakap kepada pemberita selepas berbuka puasa di Masjid Jamek Sungai Keli di sini malam tadi, beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh berkata mereka yang membuat dakwaan itu kini terdedah kepada tindakan undang-undang kerana membuat kenyataan palsu.

Katanya, kenyataan yang dibuat oleh anggota parlimen PKR itu adalah perbuatan tidak beretika dan bermaruah malah boleh dianggap sebagai perderhaka kepada negara kerana membuat dakwaan palsu mengenai aset pertahanan negara di mata dunia.

Kenyataan Nurul Izzah yang memburukkan imej pertahanan negara itu dilaporkan akhbar Kompas di Indonesia pada 4 Ogos lepas.

“Sepatutnya sebagai seorang wakil rakyat harus mempunyai tataetika mengenai sesuatu yang benar mengenai negara tetapi cara beliau memburukkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan perbuatan yang amat jijik,” kata Ahmad Zahid.

Malay Mail pula dalam artikel pada 7 Julai lepas melaporkan kedudukan KD Tunku Abdul Rahman yang mengalami kerosakan dan tidak boleh menyelam.

“Saya telah beberapa kali memberi penjelasan di Parlimen kedudukan sebenar kapal selam itu boleh menyelam, kalau tidak bagaimana boleh menyelam dari Perancis hingga ke Teluk Sepanggar, Sabah,” tambah Menteri Pertahanan. — Bernama


Ulasan GB

Kenyataan Zahid jelas hanya untuk menegakkan benang basah kerana beliau sendiri yang mengakui di Parlimen "bahawa masalah teknikal kapalselam tersebut juga dihadapi oleh banyak negara lain di seluruh dunia."

Demikian si bebal yang cuba menutup kelemahannya dan cuba melindungi Najib dari skandal Scorpene dari terus menjadi perhatian rakyat.

Skandal Scorpene adalah skandal yang serius kerana ia melibatkan peruntukan dana awam yang besar apatah lagi ianya terkait pula dengan satu kes yang kini masih misteri: Altantuya!