17 Mei 2015

[VIDEO & GAMBAR] Penyokong Terengganu Murusuh Malam Tadi


Kuala Terengganu: Penyokong Terengganu bertindak liar dengan membaling batu ke arah kereta Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman di luar Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini selepas pasukan itu gagal layak ke final Piala FA 2015, malam Sabtu.

Penyokong merusuh selepas perlawanan akibat tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil, Mohd Amirul Izwan Yaacob tidak mengesahkan gol keempat Terengganu menerusi percubaan Ahmad Nordin Alias pada minit ke-89 kerana berada pada kedudukan ofsaid.

Kemenangan 3-2 yang diraih skuad 'Penyu' pada perlawanan separuh akhir kedua itu, gagal menghalang wakil Singapura, Lions XII untuk mara ke final menerusi peraturan gol di tempat lawan setelah kedua-dua pasukan terikat 4-4 secara agregat.

Sebahagian besar penyokong Terengganu bertindak liar dengan melakukan kerosakan ke atas harta benda awam di stadium dengan memecahkan pintu kaca di laluan masuk selain dilaporkan turut membakar sebuah ambulans yang diletakkan di perkarangan stadium.

Keadaan tersebut memaksa pihak stadium memanggil Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang bertindak melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan kira-kira 15,000 penyokong Terengganu yang cuba menimbulkan kekecohan.

Sebuah bas yang membawa penyokong Lions XII turut dirosakkan oleh segelintir penyokong Terengganu yang tidak dapat menerima keputusan perlawanan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Idris Abdul Rafar yang ditemui pemberita di venue berkenaan, enggan memberikan ulasan lanjut tetapi memberi jaminan siasatan menyeluruh akan dilakukan mengenai insiden kekecohan itu.








[VIDEO] Morsi & Yusuf Al-Qardhawi Dijatuhi Hukuman Mati Oleh Rejim Bangsat Al-Sisi


Mesir jatuh hukuman mati ke atas Morsi

Bekas Presiden Mesir, Mohammed Morsi dijatuhkan hukuman mati kerana terbabit rusuhan dalam penjara pada 2011.

Morsi bersama 105 yang lain menerima hukuman berkenaan selepas didapati bersalah ketika bantahan menggulingkan kepimpinan Hosni Mubarak memuncak.

Turut sama menerima hukuman berkenaan ulama terkenal, Sheikh Yusuf al-Qaradawi yang kini berlindung di Qatar.

Hukuman ke atas Morsi dan mereka yang lain masih belum dimuktamadkan kerana keputusan akhir akan ditentukan Mufti Besar Mesir, badan tertinggi agama di negara berkenaan.

Selain itu mereka yang dijatuhkan hukuman masih boleh membuat rayuan walaupun Mufti Besar memberi persetujuan hukuman mati dijalankan.

Menurut laporan al Jazeera, mahkamah akan membuat keputusan akhirnya pada 2 Jun ini.

Ia hukuman terbaru yang dijatuhkan ke atas Presiden Mesir yang pertama dipilih rakyat melalui proses demokrasi.

Sebelum ini, Morsi yang juga salah seorang pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin telah dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun kerana dituduh memberi arahan untuk menahan dan mendera penunjuk perasaan ketika berkuasa.

Beliau yang digulingkan tentera pada Julai 2013 selepas rusuhan jalanan besar-besaran yang mengorbankan ribuan nyawa rakyat Mesir.

Sejak itu negara yang dicengkam rejim tentera di bawah pimpinan Jeneral Abdul Fattah al-Sisi, beliau mengharamkan Ikhwanul Muslimin dan menangkap para pemimpin serta penyokongnya.

Pada 2014, al-Sisi mengadakan pilihan raya presiden dengan jumlah peratusan mereka yang keluar mengundi hanya 46 peratus.