6 Feb 2009

Ulasan Isu Hangat 6 Feb 2009

Kesemua 28 ahli dewan undangan negeri Pakatan Rakyat Perak boikot majlis angkat sumpah Menteri Besar kerajaan haram BN. Zambry Abd Kadir, ADUN Pangkor yang dicalonkan oleh BN sebagai Menteri Besar setelah merampas kuasa (coup de tat) di Perak melalui kaedah kotor tidak akan diakui oleh rakyat Perak sebagai Menteri besar sekalipun direstui oleh pihak Istana.

Kedudukan 28 kerusi masing-masing oleh BN dan Pakatan Rakyat tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk BN diizinkan pembentukan kerajaan di Perak kerana kedudukan ahli Bebas yang dikatakan menyokong BN tidak tertakluk kepada mana-mana undang-undang yang menyatakan calon Bebas jika menyokong BN secara automatik memberikan laluan kepada BN untuk mendapat majoriti. Sementelah lagi kedudukan mereka masih lagi di dalam kes mahkamah setelah Speaker menerima surat perletakan jawatan mereka. Mengapa tidak menunggu keputusan mahkamah? Mengapa ada kong kali kong di sini?

Itu sebab mengapa, Mursyidul Am PAS menyifatkan kerajaan baru Perak yang bakal diketuai Dato' Dr Zambry Abdul Kadir (BN - Pangkor) sebagai sebuah kerajaan haram. Tindakan yang dilakukan Umno merampas kerajaan yang dipilih rakyat Perak jelas membelakangi tamadun manusia.

FRU MENGGANAS, MASJID DIBEDIL GAS PEMEDIH MATA!

Dengan sikap seperti binatang, tanpa menghormati dan memperdulikan umat Islam yang baru selesai solat Jumaat, anggota FRU telah bertindak melepaskan gas pemedih mata secara rambang ke arah orangramai di perkarangan Masjid Ubudiyah. Malah mereka melakukan kekasaran dan kezaliman kepada rakyat yang sedang cuba untuk merafak sembah ke bawah duli Sultan Perak. Malah kanak-kanak sekolah yang baru selesai solat Jumaat dan hendak menuju ke sekolah agama yang tidak menyertai perhimpunan juga turut menjadi mangsa keganasan polis.

Seramai 9 orang telah ditahan di ibu pejabat polis Kuala Kangsar. Mereka adalah Yusuf Jaafar,Muhammad Faiz Muhammad Arshad,Muhammad Ismail SM A. Kadir, Pat Latif Mansur, Isha Riduan Ishak, Idris Muhammad Amin, Adi Helmy Muhammad Nasir, Meor Safizal Meor Muhammad Amin dan Zulhaizam Zulkifli.

BARANGAN NIZAR DICURI

Nizar memberitahu pemberita bahawa pejabatnya telah kosong dan barang-barangnya telah diambil tanpa notis dan tanpa kebenaran serta pengetahuannya.

Sidang akhbar Nizar diganggu dua kali oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Rahman Hashim dan Ketua Polis Ipoh, Azisman Alias.

Kata Nizar "Saya bersyukur semasa hadir ke SUK hari ini dan selepas mendengar arahan Setiausaha kerajaan negeri Perak, Dato' Dr Abdul Rahman Hashim, saya amat terkejut dengan sikap beliau itu."

"Ia merupakan pertama kali beliau bersikap begitu sepanjang saya menjadi Menteri Besar dan saya yakin Dr Abdul Rahman akan menjadi penyebab kejatuhan kerajaan BN selepas ini," tambah beliau.

LOMPAT PARTI: BEZA TINDAKAN BN DAN PR

Di dalam Pakatan Rakyat, tiada unsur paksaan, tiada penculikan, tiada sogokan tetapi itu semua berlaku di dalam BN. Jadi dimanakan maruah kerajaan BN yang hendak dibentuk di Perak? Sultan Perak perlu bertanggungjawab di atas kemelut yang berlaku kerana baginda enggan untuk menerima permintaan Nizar supaya DUN dibubarkan untuk rakyat Perak membuat pilihan yang adil dan saksama, malah baginda dengan titah yang angkuh angkuh meminta Nizar yang dipilih oleh rakyat supaya meletakkan jawatannya.

TINDAKAN MAHKAMAH KE ATAS SULTAN DAN BN

Persengkokolan pihak istana bersama dengan BN melantik menteri besar untuk kerajaan haram BN di Perak akan menghadapi tindakan undang-undang.

Pelucutan jawatan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin oleh Sultan Azlan Shah jelas di luar batas kuasa dalam peruntukan Artikel 16 (6) Undang-undang Tubuh Negeri.

"Dalam undang-undang, keputusan Sultan Perak boleh dipersoal di mahkamah undang-undang. Saya meminta Sultan menghentikan dan berhenti daripada melantik seorang MB BN baru dan ahli majlis mesyuarat selepas tengah hari ini," kata Karpal Singh.

Beliau berkata, tindakan ini tidak boleh, dalam apa jua cara, dilihat sebagai ancaman kepada sultan tetapi merupakan peringatan tegas bahawa pemerintah diperlukan untuk bertindak di dalam lingkungan had dan batas perlembagaan Undangundang Tubuh Negeri Perak yang merupakan undangundang tertinggi di negeri itu.

MUHYIDDIN: DERHAKA NIZAR TIDAK BOLEH DIPANDANG RINGAN(?)

Kenyataan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mahu derhaka terhadap Sultan Perak Sultan Azlah Shah tidak boleh dipandang ringan, kata Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Saya begitu terperanjat apabila beliau membuat kenyataan mahu derhaka kepada raja, sesuatu yang langsung tidak menggambarkan beliau menghormati Perlembagaan dan kedudukan Sultan Azlan Shah sebagai Raja bagi negeri Perak," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tetapi Muhyiddin terlupa malah tidak menyentuh lansung tindakan Najib dan UMNO yang merampas kuasa di Perak dan sepatutnya ia jenayah yang lebih serius kerana ia merompak mandat rakyat.




Kezaliman Tuanku Dikenang Selama-lamanya!

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun,

Episod menyedihkan pagi tadi ialah apabila Menteri Besar Perak yang sah telah dihalau dari bangunan SUK.

Kemudian diikuti ribuan rakyat berhimpun ingin merayu kepada Tuanku untuk memohon agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan.

Belum pun sempat merafak sembah kepada Tuanku, mereka dihalang dan dikasari oleh makhluk berpakaian seragam.

Itu semua berlaku di depan mata Tuanku tatkala pulang dari menunaikan solat Jumaat dari masjid.

Namun Tuanku terus memejamkan mata terhadap apa yang berlaku dengan meneruskan agenda memperkenan upacara mengangkat sumpah seorang Menteri Besar yang tidak direstui rakyat.

Jika Tuanku boleh menerima mengadap Timbalan Perdana Menteri dengan sekalian ADUN (termasuk yang melompat) apakah yang menghalang Tuanku menerima mengadap sekalian rakyat Perak yang ingin bertemu Tuanku?

Rupa-rupanya Tuanku berdua petah bertitah tetapi menzalimi rakyat dengan tidak terperi dasyatnya.

Itu petanda buruk bakal menimpa istana. Petanda buruk bakal menimpa negara. Petanda buruk bakal menimpa semua.

Kepada Sultan Azlan Shah dan anakandanya Raja Nazrin Shah, rasanya rakyat Perak sudah tidak tertanggung marah dan benci kepada baginda. Jikalah tuanku rakyat biasa, mungkin semalam juga lemparan kasut telah dihadiahkan ke muka baginda. Mujurlah baginda golongan "yang tak boleh ditegur dan tak boleh disentuh" kami rakyat tak dapat berbuat apa-apa.

Kalau dengan ayat di atas kami dikatakan derhaka, derhakalah ia kerana:

Tidaklah masin garam sebuku,
Masin lagi garam segenggam


Tidakkah sampai berita mengenai perhimpunan rakyat yang berlansung malam tadi kepada tuanku bagaimana rakyat yang hadir memenuhi segenap ruang kediaman Menteri Besar menunjukkan tanda kasih rakyat kepadanya yang ada masa itu Istana Kinta dengan segala isinya telah menjadi mahligai kebencian sekalian rakyat?

Jika lahir Jebat-Jebat yang ramai di Perak, Tuankulah Mansyur Shahnya yang telah "membunuh Hang Tuah" kesayangan rakyat.

Dan "Hang Tuah" yang Tuanku titahkan "dibunuh" itu akan tetap terbela oleh rakyat yang telah siap siaga memabawa Tuanku ke muka pengadilan - lihat berita di bawah:



Dan berpencaklah Tuanku nanti bersama rakyat jelata di gelanggang.

Pedang sebilah di tangan kanan
Telur sebiji di tangan kiri
Beduk selaras di bahu kanan

Dengan membuang songkok, membuang songkoklah,
Dengan membuang keris, membuang kerislah

Menyinsing-nyinsing lengan baju
menyinsing-nyinsing pesak seluar

Jangan sampai mahkota tercampak dik perbuatan Tuanku berdua
Jangan sampai Tuanku pula diletak di luar pagar istana
Nantinya maruah raja Melayu terhina angkara siapa?
Dan nantinya juga
Jangan disalahkan rakyat jika institusi Raja bersanggah ke muzium selama-lamanya!


Ampun Tuanku beribu-ribu ampun.
di atas segala kekasaran dan kejelikan tindakan dan perkataan patik.

Terkini: FRU Mengganas Di Masjid Ubudiah

Polis anti rusuhan melepaskan gas pemedih mata terhadap ratusan orang yang berkumpul di sekitar Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar.

TERKINI

6 Feb 2009 - Terciptalah sebuah kerajaan BN negeri Perak paling hina dan kotor yang direstui istana dalam sejarah Malaysia dengan membelakangkan mandat rakyat.

4.22pm Mesyuarat beberapa pemimpin kanan Pakatan Rakyat di pejabat datuk Seri Anwar Ibrahim berlangsung selepas jam 4 petang tadi.

Mereka dijadual mengadakan sidang media, mengulas perkembangan terkini di Perak yang menyaksikan kewujudan dua menteri besar - Datuk Dr Zambry Abd Kadir bagi pihak BN dan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin bagi pihak Pakatan Rakyat.


- imej ikhsan malaysianinsider

4.13 ptg : YB Khalil Idhamlim melaporkan Keadaan masih belum reda sepenuhnya dengan kelihatan masih ramai yang berkeliaran di perkarangan mesjid dan sebahagiannya berada di dalam mesjid membaca surah yassin.

Peserta Menandatangani Banner yang berbunyi:

DAULAT TUANKU
KEMBALIKAN MANDAT DAN MARUAH RAKYAT
BUBARKAN DUN NEGERI PERAK
ADAKAN PILIHANRAYA SEMULA



- imej ikhsan muslimeenunited

4.05 pm Peserta perhimpunan bersurai


- imej ikhsan muslimeenunited

4.00pm Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Pangkor, Datuk Dr Zambry Abd Kadir mengangkat sumpah sebagai menteri besar baru Perak, memimpin kerajaan BN yang berjaya menumbangkan Pakatan Rakyat melalui rampasan kuasa dengan lompat parti.



3.48pm Tiada penunjuk perasaan di depan Istana Iskandariah, tempat majlis angkat sumpah menteri besar baru Perak, tetapi masih ada lebih kurang 1,000 penyokong Pakatan Rakyat di Masjid Ubudiah.

Dilaporkan 10 orang berjaya ditangkap polis. Tiada kenyataan rasmi polis dikeluarkan, setakat ini.

3.30pm Terdapat lebih kurang 10,000 rakyat menuju ke istana. Jemaah terpaksa berpatah balik bagi mengurangkan risiko diserang oleh pasukan FRU.



3.25 ptg - Imam masjid Ubudiyah sedang berdoa. Orang ramai yang berada di dalam masjid sedang mengaminkan beramai ramai. Keadaan di luar masih kedengaran siren polis dan bunyi tembakan gas pemedih mata.

3.25pm Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan sidang media khas di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya jam 4.30 petang ini.

3.20pm Polis berjaya memecahkan halangan para penyokong Pakatan Rakyat.

Sebuah kenderaan yang bernombor pendaftaran kuning (diraja) dibaling batu oleh penunjuk perasaan.

3.18pm Sebahagian penyokong Pakatan Rakyat berhimpun di kawasan masjid.

Polis melepaskan lebih banyak gas pemedih mata, termasuk ke arah kawasan masjid dan beberapa kediaman berhampiran tempat ibadat itu.

3.15 ptg Raja Nazrin baru dapat melepasi sekatan rakyat yang berada di depan masjid. Kelihatan masih ramai yang berkumpul dan menghalang lalu lintas. Kelihatan kenderaan dif dif kehormat masih lagi di sekat. Keadaan di sana, mendung dan berangin. Gas Pemedih mata sudah merebak di bawa angin sekitar 1 kilometer jauhnya.

3.11pm Kelihatan sejumlah orang berbaring di atas jalan menuju istana untuk menghalang sesiapa ke arah istana.

Sekejap tadi polis berjaya menyuraikan kumpulan 300 orang tadi.

3.08pm Kira-kira 300 orang menghalang jalan menuju istana. Polis pencegah rusuhan melepaskan gas pemedih mata bagi kali ketiga ke arah mereka.

Sementara itu, polis menangkap para penyokong menteri besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.

Tiada angka rasmi jumlah tangkapan diketahui, setakat ini.

Kira-kira 500 orang, termasuk wanita dan penyokong Pakatan Rakyat berkumpul di Masjid Ubudiah selepas solat Jumaat sebentar tadi.

Mereka merancang berarak ke Istana Iskandariah, Kuala Kangsar yang terletak beberapa ratus meter dari masjid untuk menyampaikan keluhan kepada Sultan Perak mengenai kemelut politik Perak.

Pelbagai lapisan rakyat merayu Sultan Azlan Shah menimbang semula keputusan baginda memecat Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat bagi membolehkan Barisan Nasional mengambil alih kepimpinan negeri tanpa diadakan sebarang pilihanraya.

Walaupun ditembak dengan gas pemedih mata, orang ramai bergabung semula di atas jalan depan Masjid Ubudiah..

kredit: malaysiakini, tvantara dan lain-lain sumber

Polis pencegah rusuhan dari arah Istana Iskandariah sedang menuju ke arah ratusan penyokong Pakatan Rakyat itu.

Sebahagian kumpulan itu berundur semula ke dalam kawasan pagar masjid, sementara sebahagian lagi lari bertempiaran di tepi jalan menuju istana apabila diserang polis.

Sultan Perak seketika lagi dijadualkan menerima lafaz angkat sumpah Datuk Dr Zambry abdul Kadir dari UMNO sebagai Menteri Besar.

Majlis itu diadakan walaupun Menteri Besar Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Datuk Seri Nizar Jamaluddin tidak meletakkan jawatan.


Foto & Video "Malam Pertahankan PR Di Perak"

Berikut ialah koleksi gambar yang GB dapat kumpulkan yang diperolehi dari siber. Terutama untuk mereka yang tak dapat hadir malam tadi dan yang malas nak merayau di blog-blog. GB cilok mana yang terjumpa.

Diberitakan tidak kurang 10,000 yang hadir di kediaman Menteri Besar Perak. Juga terdapat berita menyatakan ada usaha untuk memadam bekalan eletrik ke kediaman MB namun usaha itu dipatahkan oleh petugas PR malam tadi.

Pemimpin-pemimpin tertinggi PR dari segenap lapisan nampaknya ramai yang hadir. Menunjukkan insyaAllah Perak akan terus kekal di bawah Pakatan Rakyat sekalipun cuba dirampas oleh BN menggunakan taktik Mafia.

ALBUM PERISTIWA
(Klik Atas Gambar)



Gambar-gambar dari pelbagai sumber:
malaysianinsider
sinarrasul
mstar
yb khalil idhamlim


TERKINI

Video baru (Perhimpunan Selamatkan PR))dikemaskinikan di bawah.

9.00 pg MB Perak Datuk Nizar Jamaluddin dan barisan exco kembali bertugas pagi ini di bangunan SUK, namun telah dihalang oleh ratusan angggota polis yang berkawal di situ sementara menunggu Menteri Besar UMNO, Zamry Ab Kadir mengangkat (se)sumpah petang ini dimana kesemua 28 ADUN Pakatan rakyat telah membuat keputusan memboikotnya.

Oleh itu Nizar dan anggota exco Islam yang lainnya telah pergi ke Masjid Ubudiah yang terletak bersebelahan dengan Istana untuk Solat Dhuha. Orangramai dijemput hadir.







Surat Nizar kepada Sultan Perak

Mengadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Shah Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah Paduka Sultan Negeri Perak Darul Ridzuan Yang bersemayam di atas takhta Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan dengan beberapa amat kebesaran dan kemuliaannya.

Assalamualaikum

Ampuan Tuanku,

Dengan hormat dan takzimnya patik merafa'kan sembah dan berdoa kehadrat Allah Suhanahu Wata'ala, mudah-mudahan Duli Yang Maha mulia Tuanku sentiasa berada dalam keadaan selamat dan kesejahteraan.

Ampuan Tuanku,

MERAFA' SEMBAH MEMAKLUMKAN PERKEMBANGAN TERKINI DEWAN UNDANGAN NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN

Warkah yang tidak sepertinya ini sebagai pengganti diri patik untuk menyembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku mengenai isu kedudukan terkini Dewan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan.

Patik merafa' sembah menjunjung kasih di atas perkenan Duli Yang Mah Mulia Tuanku pada pagi ini. Patik memohon izin untuk menyembahkan beberapa perkara:

1. Artikel XVl (6) Undang-undang Perlembagaan Negeri Perak menyatakan bahawa "If the Menteri Besar ceases to command the confidence of the majority of the Legislative Assembly, then, unless at his request His Royal Highness dissolves the Legislative Assembly, he shall tender the resignation of the Executive Council". Ini bermakna sokongan Menteri Besar itu perlu diputuskan oleh Persidangan Dewan Undangan Negeri.

2. Jumlah Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional adalah sama iaitu 28 orang. Adalah kurang tepat andaian Barisan Nasional mempunyai majoriti. YB Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perak telah memutuskan bahaw Adun bagi kawasan Behrang, Changkat Jering dan Jelapang bukan lagi Adun. YB Yang Dipertua Dewan Undangan

Negeri Perak dan Kerajaan Negeri Perak juga telah memfailkan satu permohonan untuk satu perisytiharan bahawa ketiga-tiga Adun berkenaan bukannya Adun untuk kawasan-kawasan tersebut, di Mahkamah Tinggi pada pagi ini. Sewajarnya kita menunggu keputusan mahkamah dalam kes tersebut.

Ampuan Tuanku,

Atas alasan di atas dan berdasarkan prinsip demnokrasi dan Raja Berperlembagaaan, Patik dengan ini merafa' sembah memohon agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan bagi membolehkan rakyat memilih semula kerajaan yang dikehendaki mereka.

Ampuan Tuanku,

Patik dengan ini merafa' sembah bahawa pimpinan Pakatan Rakyat sebulat suara meminta patik untuk tidak meletak jawatan sehingga krisis perlembagaan ini diputuskan oleh Mahkamah atau Dewan Undangan Negeri Perak.

Ampuan Tuanku,

Patik akhiri warkah yang tidak sepertinya ini dengan sekalung penghargaan ke atas keprihatinan dan pertimbangan Duli Yang Maha Mulia Tuanku, mudah-mudahan Allah Subhanahu Wata'ala melanjutkan usia Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan seluruh kerabab Tuanku dan semoga sentiasa berada di dalam kesejahteraan dan kebahagian yang berkekalan.

Amin Ya Rabbal 'Alamin

Ampun Tuanku,

Patik dengan segala hormat takzimnya; bagi pihak Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat

YAB Dato' Seri Ir Haji Mohammad Nizar bin Jamaluddin
Menteri Besar Perak Darul Ridzuan


Masih Berharapankah Kita Di Perak ?

Bumi seperti bergegar, langit seperti nak runtuh. Tak ada lagi bumi patik nak pijak, tak ada lagi langit patik nak junjung. Raja sebagai payung rakyat tiba-tiba bertitah seperti orang kehilangan akal untuk mengundang rakyatnya menjadi penderhaka. Benarkah Sultan Azlan Shah mengizinkan rampasan kuasa dilakukan oleh tangan yang tidak bermaruah serta mengizinkan negerinya diambil alih dengan cara sebegitu keji dan kotor? Jika demikian samalah raja itu sendiri sebenarnya tidak bermaruah, sekeji dan sekotor orang yang merampas kuasa itu. Dah nak terbalik ker dunia kita?

MB Perak Datuk Seri Mohd Nizar tidak melepaskan jawatannya. Bukan untuk menderhaka, tetapi sebagai "leader of the House" memohon untuk tidak melepaskan jawatannya. Pemimpin Pakatan Rakyat menyokong penuh pendirian Nizar.

Presiden PAS, Ustadz Abdul Hadi menyatakan kita tidak mahu diadakan secara rampasan kuasa yang tidak terhormat mengikut moral demokrasi maka perlulah diserahkan kepada rakyat dan dalam masa yang sama kita mendokong raja berperlembagaan.

Dari sudut teknikalnya, kerajaan BN masih belum boleh dibentuk di Perak dan kerajaan Pakatan Rakyat masih sah di sudut undang-undang.

Prof Abdul Aziz Bari dari UIA menyatakan "Sultan telah melakukan kesilapan". Beliau menerangkan tentang perlunya status 3 orang ADUN dari Behrang, Changkat Jering and Jelapang yang mengisytiharkan menyokong Barisan Nasional (BN) setelah keluar dari Pakatan Rakyat (PR) sebagai ahli Bebas.

Abdul Aziz menyatakan mahkamah mesti membuat keputusan sebelum satu-satu persidangan khas dewan undangan negeri boleh dijalankan untuk meluluskan undi tidak percaya ke atas MB Nizar.

Hanya selepas itu Sultan boleh menitahkan perletakan jawatan Nizar, dan memberi laluan untuk BN mengambil alih kerajaan negeri.

Menurut Undang-undang Tubuh Negeri Perak, terdapat tiga cara untuk menukar kerajaan. Pertama, melalui pembubaran Dun. Menteri Besar Perak menasihati Paduka Seri Sultan Perak supaya membubarkan Dun bagi membolehkan pilihan raya peringkat negeri diadakan dan memberi mandat rakyat memilih kerajaan yang baru.

Kedua Menteri Besar Perak dan semua Exco meletakan jawatan dan menyerahkan jawatan kepada parti yang mendapat kerusi majoriti memerintah Perak.

Ketiga melalui usul undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri. Sekiranya pilihan pertama dan kedua tidak berlaku, rakyat kena menunggu sidang Dewan Undangan Negeri dipanggil bagi membolehkan Usul Undi tidak percaya dibentangkan.

Justeru, selagi Sidang Dun belum bersidang dan Usul Undi Tidak Percaya dibentangkan dan mendapat undi majoriti, selagi itulah Kerajaan Pakatan Rakyat kekal memerintah.

Dan sekalipun BN diberikan peluang berkuasa dengan cara rampasan kuasa ala mafia, sampai bilakah ia mampu bertahan?

Tetapi Sultan Azlan lebih arif mengenainya. Tak begitu?

Oleh itu UMNO jangan cepat melompat, Pakatan rakyat jangan cepat bermuram durja!