26 Dis 2012

Mereka Mengaku Menghalang Konvoi Oren, Patutkah Polis Berdiam Diri?

Konvoi Jelajah Oren: 'Kami memang rancang sekatan'

JEMPOL - Pemuda Umno bahagian Jempol mendakwa, insiden kekecohan yang berlaku pada Jelajah Oren ‘Selamatkan Felda’ di Felda Bukit Rokan Utara Ahad lalu sebenarnya berpunca daripada tindakan provokasi pihak berkenaan.

Ketuanya, Mohd Nizam Aman berkata, tidak timbul isu pemuda Barisan Nasional (BN) bersama penduduk bertindak agresif semasa kejadian seperti didakwa.

“Keadaan mula tegang ketika konvoi jelajah terbabit sampai ke persimpangan Felda Bukit Rokan Utara yang dicetuskan oleh kumpulan itu.

“Saya tidak berada di lokasi kerana mengadakan sekatan di Felda Bukit Rokan Barat. Tapi saya diberitahu penduduk yang juga terdiri daripada pemuda BN telah menghalang perjalanan mereka kerana sejak awal lagi kami semua tidak setuju kumpulan itu masuk ke Felda,” katanya.

Menurutnya, mereka sememangnya sejak awal lagi merancang mengadakan sekatan jalan di lebih 30 tanah rancangan di sana sebaik sahaja mengetahui kehadiran konvoi jelajah berkenaan.

Bagaimanapun katanya, tujuan sekatan bukan untuk mencetuskan huru-hara tetapi hanya untuk menghalang konvoi itu terus diadakan.

“Kami generasi kedua Felda menolak kehadiran mereka. Tiada sesiapa pun mengalu-alukannya.

“Tiada apa yang perlu diselamatkan kerana nasib peneroka semakin baik di bawah Felda. Lagipun selama ini tidak pernah mana-mana parti politik selain Barisan Nasional (BN) yang membantu peneroka,” katanya.

Mohd Nizam berkata, dia bagaimanapun kesal dengan insiden yang berlaku kerana dua pemuda BN juga turut mengalami cedera ringan.

Sementara itu, penganjur konvoi tersebut menyifatkan ia kejadian terburuk dan terhebat di Negeri Sembilan berbanding di negeri lain.

Pengarah Program Kembara Oren Negeri Sembilan, Abdul Rahman Ramli berkata, kekecohan yang tidak disangka-sangka itu turut memberi kesan kepada peserta konvoi apabila dua daripada mereka cedera.

Katanya, kejadian berlaku apabila rombongan konvoi itu tiba berdekatan persimpangan Felda Bukit Rokan Utara dan kemudiannya dihalang oleh beberapa individu.

“Semasa perbincangan sedang dijalankan, secara tiba-tiba kumpulan yang menghalang konvoi Oren ini bertindak agresif, dengan memukul kenderaan pacuan empat roda kami dan secara meluru ke arah Ketua Penerangan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Noraza Muda.

“Pada waktu yang sama, seorang lagi Ahli Jawatankuasa Anak, Razali Rashad turut dipukul, sehingga mendatangkan kecederaan di kening, manakala Noraza cedera di kepala akibat dipukul dengan kayu.

“Melihatkan keadaan Noraza dalam keadaan separuh sedar, kami memberinya rawatan ringan sebelum pasukan polis membantu menghantarnya ke Hospital Jempol untuk mendapatkan rawatan pesakit luar,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas 2 berkata, keadaan Noraza bagaimanapun kini stabil. -SH

Ulasan GB

Sekarang mereka (UMNO BN) telah secara terang membuat pengakuan bahawa mereka menghalang konvoi oren berkenaan. Akibat dari "halangan" itu mereka bertindak liar dan ganas terhadap para peserta konvoi.

“Kami generasi kedua Felda menolak kehadiran mereka. Tiada sesiapa pun mengalu-alukannya." Fasal yang mana di dalam Undang-undang yang mereka gunakan boleh menghalang ornag lain untuk memasuki mana-mana kawasan di dalam negara ini?

Undang-undang ciptaan dan rekaan sendiri lantaran takut dengan konvoi berkenaan?

Kemudian setelah ada pengakuan sejelas itu, apa pula tindakan polis selanjutnya terhadap mereka yang mencabul undang-undang ni?

Bukankah sepatutnya mereka ditangkap dan ditahan kerana mencabuli perlembagaan dan undang-undang negara?

Menteri Pengangkutan Pentingkan Kroni, Rompak Duit Rakyat

Kenyataan Menteri Pengangkutan bahawa pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) diteruskan, bukti beliau lebih pentingkan kroni berbanding bantahan dan kehendak rakyat, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teja, Chang Lih Kang.

Mengikut Datuk Seri Kong Cho Ha, Putrajaya akan tetap teruskan operasi AES walaupun Jabatan Peguam Negara membeku semua prosiding kes saman, minggu lalu.

Beliau turut mengakui pelaksanaan sistem itu mendapat tentangan rakyat dan bermasalah dari sudut perundangan, tetapi tetap berdegil tidak akan berhenti mengeluarkan saman.

“Kedegilan menteri seperti Cho Ha jelas menunjukkan dia hanya menjaga kepentingan kroni, bukan rakyat. Padahal semua pihak berpandangan sistem itu ada masalah,” kata Lih Kang ketika dihubungi.

Dua syarikat yang mengendali AES ialah Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd, yang mempunyai hubungan dengan Umno Johor dan menteri dari MCA.

Kedua-dua syarikat itu mensasarkan 10 juta saman dikeluarkan setahun dan bakal mendapat keuntungan sehingga RM700 juta hasil kutipan saman.

Kerajaan berbelanja RM800 juta untuk menyediakan kamera di 831 lokasi.

Kerajaan juga didakwa menyediakan kos senggaraan sehingga RM3.8 bilion untuk lima tahun. Sepatutnya, kerajaan mengambil hasil saman AES, bukan bekerjasama dengan syarikat swasta.

“Jika Cho Ha menteri bermaruah, beliau patut malu dan letak jawatan. Jika tidak, rakyat sendiri akan pecat beliau dalam pilihan raya nanti,” tegas Lih Kang.

Menurutnya, penerusan saman AES merupakan usaha pimpinan Umno BN untuk memeras wang rakyat.

“Kedegilan pemerintah yang tetap mahu laksana AES amat mencurigakan. Tiada sebab lain, mereka hanya mahu terus rompak wang rakyat,” katanya.

Sejak dimulakan pada 23 September lalu, sebanyak 300,000 saman AES dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya.

AES ditentang ekoran terlalu banyak kelemahan termasuk had laju tidak relevan dan kamera di sepanjang lebuh raya yang terlalu banyak sehingga menyebabkan saman berganda. -KD

Putrajaya kekalkan kamera perangkap kelajuan AES walaupun saman dibekukan

KUALA LUMPUR, 26 Dis — Putrajaya akan meneruskan operasi kamera perangkap kelajuan kontroversi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) walaupun pembekuan pada pendengaran saman oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) minggu lepas, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha.

Kong memberitahu The Malaysian Insider pihak berkuasa tidak akan berhenti mengeluarkan saman AES walaupun mendapat tentangan hebat daripada orang ramai dan pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

“Kerajaan tidak akan menghentikan saman AES ini, seperti yang sudah diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet lalu,” kata Kong merujuk kepada kelulusan perbelanjaan dianggarkan kementerian itu di bawah Bajet 2013 bulan lepas.

Setiausaha agung MCA itu akhirnya menjelaskan isu berkaitan pemberhentian semua prosiding mahkamah berkaitan dengan saman AES oleh AGC untuk mengkaji isu-isu undang-undang yang dibangkitkan, selepas seminggu isu ini berada dalam keadaan tergantung.

“Saman itu masih sah dan akan terus dikeluarkan. Keputusan pembekuan itu terpulanglah kepada AGC untuk membuat keputusan,” jelas beliau menunjukkan bahawa kementeriannya tidak campur tangan dalam perkara ini.

Sementara itu, Kong juga mengakui saman AES tersebut bermasalah dalam sudut perundangan dan kementeriannya sedang mencari jalan untuk menyelesaikan perkara yang dibangkitkan tersebut.

“Saya fikir tidak lama lagi masalah ini akan diselesaikan,” jelas beliau.

Kong juga memberitahu AGC sudah dalam peringkat perbincangan dengan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menyelesaikan isu ini secepat mungkin.

Pembekuan saman oleh AGC berpunca daripada rungutan pelbagai pihak terhadap sistem AES yang sudah mengeluarkan hampir 300,000 saman sejak ia dimulakan pada 23 September lalu.

Sejurus selepas itu Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar mengisytiharkan kontroversi berterusan ke atas sistem penguatkuasaan lalu lintas adalah “permainan politik” dan mencabar Putrajaya untuk menangguhkan operasi AES.

Ahli parlimen pembangkang itu menuduh Putrajaya tidak telus dalam berurusan dengan kedua-dua syarikat — Beta Tegap Sdn Bhd dan Ates Sdn Bhd — diberi kontrak untuk memasang dan menjalankan sistem kamera-perangkap kelajuan yang mencetuskan kemarahan orang ramai terhadap apa yang dilihat sebagai penswastaan penguatkuasaan undang-undang lalu lintas.

Mahfuz, yang juga pengerusi gerakan anti-AES Kumpulan Anti Saman Ekor (KASE) juga menuntut JPJ untuk mengembalikan wang pesalah trafik yang sudah membayar denda mereka.

The Malaysian Insider melaporkan minggu lalu Putrajaya mempertimbangkan untuk menggantung pelaksanaan sistem tersebut kerana saman berganda dengan perangkap kelajuan polis di sepanjang lebuh raya.

Projek swasta bernilai RM700 juta bermula pada bulan September dengan 14 kamera fasa percubaan tetapi JPJ berikrar untuk melancarkan sebanyak 831 kamera menjelang akhir 2013 untuk menangkap pemandu laju dan mencegah lebih banyak kematian di jalan raya.

Pihak polis, yang menguatkuasakan undang-undang hadlaju berkata, mereka akan meneruskan penguatkuasaan dan meletakkan perangkap kelajuan mudah alih berhampiran kamera AES, meningkatkan prospek saman berganda untuk pemandu ingkar.
.

[BERGAMBAR] Detik Cemas Banjir Di Setiu Terengganu

Dibawa arus... Seorang pemuda Khairi Said, 27, yang sedang menunggang motosikal mengalami detik cemas apabila nyaris dihanyutkan arus deras ketika melalui Jalan Permaisuri-Penarik di Kampung Tasik di Setiu, Terengganu, Selasa Beliau yang bertekad meredah banjir untuk ke tempat kerja gagal mengawal motosikalnya, lalu dihanyutkan arus deras di kawasan sawah terbiar berhampiran Sungai Setiu.

Kejadian berlaku sungguh pantas dan orang ramai yang berada dikawasan itu yang menyedari kejadian tersebut turut membantu mangsa.

Jurufoto BERNAMA Arjasneh Ahmad yang kebetulan berada di situ sempat merakamkan detik-detik cemas itu.

Kelihatan Khairi juga turut dihanyutkan arus deras setelah usahanya untuk menyelamatkan motosikal miliknya gagal. Foto ihsan: BERNAMA


Isu Tapis Calon: Siasat Najib Razak Dan Taib Mahmud Dahulu!

Orang pertama yang harus disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, jika benar UMNO betul-betul serius mahu menapis calonnya yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

“Walaupun gaji Perdana Menteri atau Menteri Kabinet boleh dikatakan tinggi, pastinya ia tidak begitu tinggi sehingga begitu mudah mampu berbelanja sehingga RM80,000 untuk majlis hari jadinya dan RM410,000 untuk majlis pertunangan anak perempuan beliau, dan juga barangan mewah yang diperagakan isterinya, Rosmah Mansor yang diketahui umum memiliki sejumlah besar beg tangan Birkin,” kata Ahli Parlimen DAP Serdang, Teo Nie Ching.

Nie Ching dalam kenyataannya mempertikaikan keikhlasan Najib Razak untuk membersihkan imej UMNO-BN dengan menapis calon BN untuk PRU-13.

Menurutnya, kerjaya politik Najib bermula dengan mewarisi kerusi ayahnya pada usia 23 tahun, dan memegang jawatan menteri pada usia 25 tahun sehingga dilantik menjadi Perdana Menteri pada 2009 setelah Tun Abdullah Ahmad Badawi berundur.

“Saya pasti ramai yang tertanya-tanya bagaimana beliau dapat mengumpulkan begitu banyak kekayaan ketika menjadi ahli politik sepenuh masa sejak usia pertengahan 20-an,” ujar Nie Ching.

Beliau juga menambah seorang lagi ahli politik yang mesti disiasat secepat mungkin ialah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud.

Menurut beliau, laporan sebuah NGO yang berpusat di Switzerland, Bruno Manser Fund menganggarkan aset keluarga Taib Mahmud bernilai RM64 bilion, dengan harta kekayaan Taib sendiri bernilai RM46 bilion.

“Adakah Perdana Menteri dan Pengerusi BN akan menukar fikirannya dan tidak mahu calon BN disiasat untuk amalan rasuah?” ujar Nie Ching lagi.

Beliau yang juga Timbalan Setiausaha Publisiti DAP turut menyarankan supaya calon BN melakukan pengisytiharan harta secara terbuka sekiranya mereka benar-benar serius mahu mempamerkan imej yang lebih bersih.

“Kami menyeru Perdana Menteri Najib Razak dan BN untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka boleh berubah, jika tidak mereka mesti bersedia untuk diubah oleh rakyat pada PRU-13 nanti,” tambah beliau. – Roketkini

Kes Saman Anwar-Khairy Digantung, Khairy Diperintah Bayar Anwar RM30k

Putrajaya: 24 Dis - Mahkamah Rayuan memerintahkan perbicaraan kes saman fitnah RM100 juta ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar, yang ditetapkan untuk pendengaran Rabu ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, digantung.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Clement Allan Skinner membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Khairy untuk menggantung prosiding tersebut sementara menunggu rayuan berhubung keengganan Mahkamah Tinggi mengetepikan perintah bertarikh 26 November yang menghalang beliau memfailkan pembelaan dalam saman berkenaan.

Dalam penghakimannya, Hakim Clement berkata mahkamah berpuas hati bahawa terdapat keadaan khusus bagi menggantung perbicaraan itu seperti yang dinyatakan dalam permohonan Khairy.

Beliau berkata jika Mahkamah Tinggi meneruskan perbicaraan itu tanpa menunggu keputusan rayuan Khairy, ia akan menjejas integriti rayuan dan menjadi sia-sia jika pemohon berjaya.

Selain itu, katanya, jika perbicaraan tersebut diteruskan dan keputusan dibuat tanpa memberi peluang kepada Khairy untuk membela diri, prasangka yang dialami pemohon tidak boleh dipampas dengan kos.

Bagaimanapun, pada prosiding, Isnin, Mahkamah Rayuan memerintahkan Khairy membayar kos sebanyak RM30,000 kepada Anwar.

Hakim Clement, yang bersidang bersama Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dan Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim, menetapkan 3 Jan depan sebagai tarikh pengurusan kes untuk rayuan Khairy.

Pada 26 November lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hue Siew Kheng menolak permohonan Khairy untuk mengetepikan perintah beliau yang menghalang Ketua Pemuda Umno itu memfailkan pembelaan dalam saman fitnah tersebut.

Hakim Hue membuat keputusan itu selepas mendapati peguam Khairy gagal mematuhi arahan mahkamah ketika pengurusan kes pada 29 Jun lepas, iaitu semua pihak yang berkenaan memfailkan senarai saksi dan ringkasan kes bagi tujuan perbicaraan.

Pada 7 Mac 2008, Anwar memfailkan saman itu selepas mendakwa Khairy mengeluarkan perkataan berunsur fitnah dan menyebabkan ia disiarkan beberapa laman web termasuk Malaysiakini.com dalam bentuk klip video yang bertajuk 'Anwar and kin no threat'.

Ketua pembangkang itu berkata klip video yang disiarkan Malaysiakini.com mengandungi perkataan berunsur fitnah yang dituturkan Khairy dalam satu ceramah di Lembah Pantai pada atau sekitar 20 Februari 2008.

Khairy, dalam penyataan yang difailkan pada 8 Oktober 2010, berkata beliau bergantung kepada pembelaan justifikasi dan perlindungan bersyarat.

Khairy diwakili peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah manakala Datuk Sulaiman Abdullah mewakili Anwar. - BERNAMA

4 Ribu Rakyat Perancis Peluk Islam Setiap Tahun


Badan Statistik rasmi di Perancis mendedahkan bahawa dalam setahun, ia mencatatkan ada empat ribu warga Perancis yang memeluk agama Islam.

Hal ini menyamai dengan apa yang ditunjukkan oleh kajian kementerian dalam Negeri Perancis.

Diumumkan pula oleh para ahli Agama di Perancis, sejauh ini terdapat tujuh puluh ribu warga Perancis yang berpindah Agama menjadi Agama Islam.

Hal ini membuat Agama Islam menjadi pertama yang dijadikan pilihan sebagai pegangan hidupnya, diikuti oleh Kristian Katolik dengan penganut setiap tahun berjumlah 2900 orang dan Yahudi 300 orang.

Menurut para ahli sosiologi Perancis, sebelum usia 15 – 20 tahun merupakan alasan utama yang membuat mereka yakin untuk masuk Islam, dengan alasan pencarian rohani mereka.

Tapi sekarang berbeza, alasan utama mereka memeluk Islam adalah iklim sosial, sebagaimana disampaikan oleh Al-Alokah.

Meskipun sejak dahulu Muslim sudah ada di Perancis, baik Perancis daratan mahupun wilayah kependudukannya di luar Eropah, imigresen massa Muslim ke Perancis di abad 20 dan 21 telah membuat negara ini menjadi salah satu negara dengan komuniti muslim terbesar di Eropah.

Detik Islam