27 Feb 2010

Selain membunuh suspek berdepan kes bersekududukan

Pemandu teksi, yang berdepan dengan tuduhan membunuh kerana dipercayai mendera sehingga mati anak perempuan teman wanitanya, juga bakal dihadapkan ke mahkamah syariah kerana bersekedudukan dengan ibu mangsa sehingga melahirkan seorang anak luar nikah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, DSP Bakhtiar Rashid berkata, polis akan merujuk lelaki berumur 28 tahun itu dan ibu mangsa, 25, ke Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk tindakan lanjut setelah didapati tidak berkahwin tetapi hidup bersama sehingga mempunyai seorang anak berusia setahun enam bulan hasil perhubungan selama enam tahun.

"Ibu mangsa masih belum bercerai dengan suaminya, tetapi berlagak seperti sepasang suami isteri dengan suspek,” katanya di sini, hari ini.

Semalam, kanak-kanak perempuan, Syafia Humairah Sahari, 3, dilaporkan mati dipercayai akibat didera oleh teman lelaki ibunya di rumah mereka di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali dekat ini, pada Khamis lepas.

Bakhtiar berkata, suspek itu kini ditahan reman tujuh hari sehingga 4 Mac ini di lokap Balai Polis Kuala Kubu Baru bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Katanya, polis akan memohon untuk melanjutkan reman sehingga 14 hari terhadap suspek bagi menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Selain itu, katanya, suspek juga positif dadah setelah ujian air kencing diambil semasa dalam tahanan.

Bakhtiar berkata, polis juga akan menahan enam individu termasuk ibu mangsa dan saksi di tempat kejadian yang mempunyai kaitan dengan kes kematian kanak-kanak perempuan itu.

"Kita akan membuat tangkapan secara menyeluruh termasuk kemungkinan menahan emak (ibu mangsa) yang melakukan perbuatan sama mendera anaknya itu.

“Saksi akan turut diambil keterangan berikutan ada beberapa orang yang melihat kejadian berlaku tetapi tidak melaporkan kepada polis,” katanya.

Selain itu, katanya, polis akan mengambil keterangan bapa mangsa yang kini ditahan reman tanpa boleh dijamin di Penjara Sungai Buloh sejak 2006.

Bakhtiar berkata, hasil bedah siasat ke atas mayat Syafia Humairah di Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) pada 10.30 pagi ini mendapati kematian kanak-kanak itu adalah akibat kecederaan serius berikutan terdapat pendarahan di otak dan pecah pada bahagian abdomen.

"Hasil bedah siasat yang dijalankan juga mendapati terdapat penderaan berterusan pada badan mangsa. Ada kesan-kesan kecederaan luaran yang baru dan lama dilakukan dipercayai dipukul oleh benda keras.

"Pada bahagian belakang tubuh badan mangsa pula terdapat lebam selain leher, pipi dan bahunya,” katanya.

Menurutnya, keluarga ibu mangsa telah menuntut mayat kanak-kanak itu dari Bilik Mayat HKKB pada kira-kira 1.30 petang tadi dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuang, Sungai Buloh petang ini. – Bernama



Umno-BN Korup Hingga Ke Akar Umbi

Ketua Umum KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan amalan penyelewengan dan rasuah yang berlaku di kalangan pemimpin Umno-Barisan Nasional sudah sampai ke tahap "busuk sehingga ke akar umbi".

Berucap pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina KEADILAN 2010 di Dewan Majlis Bandaraya Petaling Jaya di Bandar Utama 3, beliau berkata rasuah kini sudah dianggap menjadi amalan biasa dalam Umno-BN menjangkiti tidak kira pemimpin atasan mahupun orang bawahan.

Merujuk kepada kehilangan enjin jet tempur F-5E dan kerosakan kapal selam Scorpene sehingga gagal untuk menyelam, Datuk Seri Anwar menyelar sikap dengki Umno-BN yang kebelakangan ini asyik menyerang pemimpin Pakatan Rakyat dalam usaha mereka untuk merampas kembali negeri berkenaan.

"Baru-baru ini Lim Guan Eng dituduh sebagai anti-Melayu, Nik Aziz memerintah Kelantan selama 20 tahun seorang yang ringkas, pakaiannya ringkas, tak pernah curi balak, tidak ada kontrak berjuta-juta, tidak ada saham, itu pun dituduh rasuah juga.

"Tapi Umno curi wang rakyat berjuta-juta masih lagi bebas dan tidak ada tindakan dikenakan," katanya dihadapan lebih 3,000 penyokong Pakatan Rakyat.

Sambil menyatakan komitmen Pakatan Rakyat untuk membebaskan Malaysia daripada korupsi kroni Umno-BN, beliau turut menyeru agar rakyat bangkit melawan pemimpin yang korup dan menyalahgunakan kuasa badan pentadbiran kerajaan untuk kepentingan sendiri.

Selain itu beliau menyatakan semangatnya untuk terus berdiri teguh dalam Pakatan Rakyat dan berjuang menegakkan keadilan walaupun beliau kini diancam dengan konspirasi fitnah terhadapnya.

Ketua Pembangkang itu juga membidas media massa milik Umno-BN seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian yang diperalatkan tuan mereka sepanjang prosiding perbicaraan beliau.

"Walaupun saya menerima sedikit tekanan dan diaibkan tapi itu tidak akan patahkan semangat saya untuk terus berjuang.

"Kini mereka mahu serang isteri (Datuk Seri Dr Wan Azizah) saya pula. Ini Utusan Malaysia "xiao ren" (orang gila) punya akhbar," katanya sinis.

Majlis rumah terbuka itu turut dihadiri Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, empat Naib Presiden KEADILAN Dr Lee Boon Chye, R. Siavarasa dan Mohamed Azmin Ali, serta Mustaffa Kamil Ayub.

Hadir sama Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution Ismail, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan beberapa wakil duta daripada Taiwan, China dan beberapa negara Eropah.

Majlis diserikan dengan nyanyian lagu tradisional Tahun Baru Cina oleh pemimpin PR dan pertunjukan tarian singa. -SK

Gempa Dasyat Melanda Chile, Amaran Tsunami Dikeluarkan

Sekurang-kurangnya 64 disahkan maut apabila satu gempa bumi sekuat 8.8 pada skala Richter menggegar tengah selatan Chile, hari ini.

Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (AS) melaporkan, gempa bumi tersebut berlaku pada pukul 3.34 pagi waktu tempatan (2.43 petang ini waktu Malaysia), 90 kilometer dari timur laut bandar Conception pada kedalaman 35 kilometer.

AFP melaporkan sebentar tadi Pusat Amaran Tsunami Pasific Amerika Syarikat mengeluarkan amaran kemungkinan tsunami melanda Chile dan Peru berikutan gempa kuat tersebut.

Pusat gegaran berikutan kejadian gempa jam 3.34 pagi waktu tempatan (2.34 petang waktu Malaysia) itu terletak di 91 kilometer (km) di utara bandar Concepcion di Chile dan 110km dari barat daya Talca, juga di Chile, lapor Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik juga mengeluarkan amaran bahaya tsunami kepada Ecuador.

Difahamkan, setakat ini kemungkinan tsunami sudah berlaku belum dapat disahkan lagi tetapi mengikut ukuran gempa, ia berpotensi untuk membawa tsunami.

Sementara itu Pulau Okinawa awal hari ini digegarkan gempa kuat awal selepas kali terakhir 15 tahun lalu dengan menyebabkan tsunami kecil.

Gempa berukuran 7.0 magnitud berlaku di kedalaman 22 kilometer (km) dengan pusat gegaran terletak di 81km di barat daya ibu negeri Naha, lapor Pusat Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS).

Agensi Meteorologi Jepun kemudian mengeluarkan amaran tsunami di pesisiran Okinawa, tetapi menariknya semula.

Agensi juga turut mengeluarkan amaran berasingan mengenai kemungkinan berlakunya tanah runtuh di Okinawa, apabila hujan diramal berlaku di pulau itu lewat hari ini.

Bagaimanapun, laporan terbaru menyebut berlaku peningkatan ombak setinggi 10 sentimeter (4 inci) di sebelah selatan Okinawa yang membawa tsunami kecil.

Ia adalah gegaran kuat berlaku di Okinawa sejak 1996 selepas Agensi Meteorologi Jepun meletakkan alat mengesan gegaran gempa di pulau yang turut menjadi pangkalan tentera Amerika Syarikat itu.

Setakat ini, dua orang berusia 66 dan 74 dilaporkan cedera akibat gempa itu tetapi mereka tidak mengalami kecederaan serius.

Paip air dilaporkan rosak teruk di 20 tempat dengan pokok dilaporkan tumbang terutama di bahagian tengah Okinawa.

"Gempa bumi ini amat menakutkan dan mengejutkan kami daripada tidur," kata Yasushi Ohama, seorang pegawai kerajaan Jepun di pulau itu.

"Bagimanapun penduduk tidak panik dan perniagaan berjalan seperti biasa di sini," katanya.

Di Tokyo, Perdana Menteri, Yukio Hatoyama berkata kerajaan akan menubuhkan pusat perhubungan di pejabat Perdana Menteri untuk mengumpulkan maklumat mengenai kejadian gempa itu.



Rosmah Bukan Wanita Pertama Malaysia

DDatin Seri Rosmah Mansor hanya bertaraf isteri kepada seorang Perdana Menteri sahaja dan tidak layak menggelar atau menganggap diri beliau sebagai Wanita Pertama Malaysia atau "First Lady" disisi Perlembagaan, kata pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Dr Abdul Aziz Bari.

Dalam konteks gelaran Wanita Pertama Malaysia usaha meletakkan gelaran itu pada bukan yang hak adalah sesuatu yang tidak bermoral dan tidak bersopan menurut pakar perlembagaan itu.

"Wanita Pertama Malaysia ialah Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dan tidak boleh mana-mana pihak membuat tuntutan ke atas penghormatan itu hatta isteri Perdana Menteri sekali pun.

"Rakyat negara ini harus faham protokol kepimpinan negara sebagaimana yang dipertuntukkan dalam Perlembagaan," Prof Abdul Aziz.

Menurut Perkara 32 (2) dalam Bab 1 berkaitan "Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, dan isterinya" jelas dinyatakan, " Isteri Yang di-Pertuan Agong (digelar Raja Permaisuri Agong) hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang lain di dalam Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong".

"Oleh kerana Yang DiPertuan Agong mestilah seorang lelaki maka isteri baginda menjadi Permaisuri Agong dan bagindalah yang menurut Perlembagaan memegang gelaran Wanita Pertama Malaysia bukannya mana-mana pihak lain," jelas Prof Abdul Aziz lagi.

Ditanya mengenai laporan media yang sering mengaitkan Datin Seri Rosmah sebagai "Wanita Pertama", beliau menyatakan perkara itu menyalahi protokol negara dan tidak menghormati kedudukan mulia Permaisuri Agong.

"Dalam Perlembagaaan termaktub dengan jelas dalam Perkara 70 berkaitan kekananan Sultan, Raja dan Yang DiPertua Negeri selepas Yang DiPertuan Agong dan Permaisuri Agong," tegas beliau.

Perkara 70 (1) berhubung "Keutamaan Raja dan Yang di-Pertua Negeri" menyatakan "Tertakluk kepada keutamaan Yang di-Pertuan Agong dan Isterinya, Raja dan Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri-Negeri hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang lain dan setiap Raja atau Yang di-Pertua Negeri hendaklah, di dalam Negerinya sendiri, diberi keutamaan daripada Raja dan Yang di-Pertua Negeri yang lain".

Perkara 70 (2) pula menyatakan, "Tertakluk kepada Fasal (1), Raja hendaklah diberi keutamaan daripada Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri dan, antara mereka sendiri, mengikut tarikh mereka menjadi Raja, dan Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri hendaklah, antara mereka sendiri, diberi keutamaan mengikut tarikh mereka dilantik sebagai Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri; dan jika Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri dilantik pada hari yang sama, maka yang lebih tua hendaklah diberi keutamaan daripada yang lebih muda".

"Maksud kedua-dua fasal dalam Perkara 70 tersebut ialah selepas YDP Agong dan Permaisuri kekananan atau "seniority" Sultan, Raja dan Yang DiPertua Negeri adalah mengikut tarikh mereka dilantik memegang jawatan masing-masing. Umpamanya yang paling kanan selepas YDP Agong dan Permaisuri Agong ialah Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan diikuti oleh yang lain.

"Tidak disebut dalam Perlembagaan isu kekananan Perdana Menteri dalam hirarki kepimpinan negara. Kalau Perdana Menteri tidak disebut apa lagi isteri kepada Perdana Menteri!," ujar beliau.

Prof Abdul Aziz menasihati media dan agensi kerajaan supaya mempelajari sistem protokol negara sebelum memberi apa-apa gelaran kepada mana-mana individu.

"Malaysia bukannya sebuah republik seperti Amerika Syarikat di mana Presiden adalah Ketua Kerajaan dan juga Ketua Negara, dan isteri beliau adalah Wanita Pertama.

"Malaysia mengamalkan sistem raja berperlembagaan yang mana YDP Agong adalah Ketua Negara dan Permasuri Agong adalah Wanita Pertama.

"Saya berpendapat menamakan Rosmah sebagai wanita pertama hanya helah politik oleh kuncu-kuncu beliau untuk menaikkan namanya," jelasnya lagi.

Beliau diminta mengulas laporan BERNAMA bertajuk "Rosmah Tekankan Pentingnya Peranan Wanita Pertama" yang disiarkan semalam.-SK

Menteri UMNO Sabit Kes Rasuah Perlu Letak Jawatan

Menteri Informasi, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim yang mengemukakan saranan supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim melepas jawatan Ketua Pembangkang, sepatutnya lebih dulu mendesak menteri yang pernah disabitkan atas kesalahan rasuah dan pecah amanah, supaya meletak jawatan.

Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi (GERAK) yang membidas Rais kerana mencadangkan Anwar Ibrahim supaya melepas jawatan semata-mata kerana terlibat dalam perbicaraan konspirasi kedua sedangkan mahkamah belum membuat sabitan.

Menyifatkan cadangan itu berniat jahat dan bertujuan mengalihkan kebimbangan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap isu integriti institusi kehakiman, Gerak menganggap kenyataan Rais itu semata-mata bermotif politik..

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan Ahli Lembaga Pengarah GERAK, hari ini, mereka menyeru Rais supaya melaungkan nada sama terhadap ahli politik yang memegang jawatan dalam kerajaan supaya melakukan perkara sama.

"Mereka yang sabit kesalahan oleh Jawatankuasa Disiplin atas kesalahan rasuah politik dalam Perhimpunan Agung UMNO, selain terpalit dengan kontroversi melibatkan projek mega seperti isu PKFZ dan isu moral, sepatutnya turut berbuat demikian.

"GERAK berpendirian, seseorang itu tidak bersalah dan dilihat sebagai tidak bersalah selagi mahkamah tidak memutuskannya sebagai bersalah," kata kenyataan itu.

Mengikut kenyataan berkenaan, GERAK berharap semua pihak menghormati hak seseorang warganegara untuk mendapatkan pengadilan melalui proses mahkamah yang bebas dari campur tangan mana-mana pihak.

"Tindakan mengaibkan maruah dan peribadi seseorang amat bertentangan dengan nilai Integriti," kata kenyataan itu lagi.

GERAK turut mendesak kerajaan supaya menumpukan usaha memulihkan keyakinan dan kepercayaan rakyat dan negara luar terhadap kebebasan dan keadilan proses perundangan negara. -TVS


Segalanya Terbongkar Apabila Pakatan Rakyat Diberi Mandat

Saya tertarik dengan kenyataan Tengku Razaleigh bahawa beliau masih setia kepada prinsip dan perjuangan UMNO. Hati saya berkata mungkin beliau maksudkan perjuangan dan “legacy” zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Dr Ismail. Kita semua tahu tak ada prinsip dan “legacy” UMNO Baru yang perlu Ku Li bela dan pertahankan. Malah dari kenyataan umum yang dibuat oleh Ku Li kebelakangan ini, banyak dasar kerajaan Barisan Nasional dibidas oleh Ku Li. Malah rasanya tak ada satu pun dasar UMNO hari ini yang Ku Li pertahankan sekarang. Jadi agak terkejut bila saya dengar Ku Li masih setia kepada perjuangan UMNO. Tapi siapalah saya nak mempersoalkan pendirian orang lain.

Yang saya nak utarakan hari ini ialah tentang UMNO Baru. Sebenarnya semasa UMNO Lama diharamkan dan ditutup oleh Dr Mahathir pada tahun 1987, Ku Li tidak dibenarkan masuk parti baru itu. Itu arahan Che Det. Kita tak boleh lupa dengan tindakan Pendaftar Pertubuhan yang telah meluluskan UMNO Baru sebagai pengganti UMNO Lama. Kita tak harus lupa dengan keputusan Pendfatar Pertubuhan yang telah membolehkan UMNO Baru mengambil alih semua aset dan harta UMNO 1946 dan tidak membenarkan pemimpin kanan parti seperti Tengku Razaleigh dan Allahyarham Tunku Abdul Rahman menjadi ahli. Satu tindakan yang tidak bermaruah, salah dan tidak sah.

Tapi inilah budaya politik UMNO Baru. Ketepikan pemimpin sah yang mempunyai ramai pengikut dan tak perlu ikut undang-undang. Maka apakah sah sebenarnya UMNO Baru ini? Anak-anak muda yang berminat dengan politik hari ini mesti menyedari perkara ini. Jangan kita mudah lupa sejarah. InsyaAllah, bila Pakatan Rakyat diberi mandat opleh rakyat nanti, kita akan kaji semula semua ini.

Jadi kalau Ku Li nak tahu sama ada UMNO Baru ini sah, dan harta-harta yang diambil dari UMNO Lama itu sah; dan sama ada harta-harta yang diberi kepada kroni-kroni oleh pemimpin atasan UMNO Baru itu pun sah; Ku Li mestilah membantu perjuangan Pakatan Rakyat.

Kes saya dengan jaguh wartawan A Kadir Jasin yang terkenal sebagai orang yang memuja Dr Mahathir mungkin dapat memberi gambaran tentang ke mana perginya harta UMNO Lama. Kadir telah menuduh saya menjadi “orang perantaraan” dalam pembahagian harta itu kepada UMNO Baru dan orang orang tertentu. Lalu Kadir tuduh saya jadi kaya-raya. Kita tunggu drama ini di Mahkamah dan lihat siapa sebenarnya yang dapat harta-harta itu dan siapa pula yang jadi “orang perantaraan” yang sebenar.

Tapi lebih seronok lagi kalau rakyat memberi mandat kepada Pakatan Rakyat. Di bawah Pakatan Rakyat, kehakiman dan undang-undang akan dijamin adil dan saksama. Satu Suruhanjaya bebas akan kita bentuk untuk menyiasat semua penyelewengan. Kalau harta bekas perdana menteri Thailand Thaksin Shinawatra yang diperolehi secara haram di zaman pemeneritahannya boleh diambil tindakan oleh kerajaan Thailand sekarang, mengapa tidak di Malaysia suatu hari nanti? -myzaidibrahim

Saidatul Perlu Cermin Diri Dulu - Datuk Halik

Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Datin Saidatul Badru Said Keruak diminta supaya mencermin dirinya dahulu kerana umum mengetahui beliau menyertai KEADILAN kerana niat tertentu, kata Ketua KEADILAN Cabang Kota Belud, Datuk Halik Zaman.

Beliau mengulas kenyataan Datin Saidatul yang disiarkan dalam media arus perdana semalam yang meminta supaya Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail menginsafi kesilapan dan kembali ke pangkal jalan.

Datuk Halik mempersoalkan tindakan bekas pemimpin KEADILAN itu yang tiba-tiba mahu menjadi jaguh dengan cuba menaburkan fitnah terhadap Datuk Seri Dr Wan Azizah.

"Kita menjadi musykil di hati, yang Saidatul ini beria-ia dan jadi tukang sibuk minta Datuk Seri Dr Wan Azizah berbuat demikian itu kenapa? Apakah ada 'imbuhan lumayan' menanti di atas kesungguhan beliau untuk merendahkan maruah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarga?," soal Datuk Halik.

Menurut beliau lagi Datin Saidatul seharusnya sedar bahawa sejak dahulu lagi penyokong KEADILAN di Sabah telah mencurigai keikhlasan dirinya yang menyertai parti dengan niat tertentu.

"Mana tidaknya, suami beliau adalah rakan baik Najib. Masuk akalkah suami baik dengan Najib, isteri sokong PKR ? Dari sana sudah terserlah 'sumbangnya' penglibatan beliau dalam PKR," jelasnya.

Datuk Halik turut mempersoalkan sumbangan yang telah diberikan Datin Saidatul sepanjang berada dalam KEADILAN dan memegang jawatan di Sabah sehingga terdapat banyak anasir yang cuba memecahbelahkan parti itu.


"Penyokong-penyokong PKR sedar dan maklum hal ini tapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana kebijakkan Saidatul membodek Kak Wan (Datuk Seri Dr Wan Azizah) ketika itu. Penyokong PKR hanya lihat pakai mata sahaja. Sebab itulah di zaman Saidatul tidak ramai rakyat Sabah berminat untuk menyertai PKR kerana putar belit Saidatul demi menyelamatkan Umno Sabah," kata beliau lagi.

Menurut Datuk Halik lagi, Datin Saidatul kini mungkin tidak senang duduk melihatkan perkembangan dan sambutan baik yang diberikan rakyat Sabah kepada KEADILAN.

"Itulah sebabnya dia menggunakan kesempatan berdasarkan kedudukan beliau dalam PKR sebelum ini untuk cuba menggoncang kepercayaan rakyat kepada PKR. Beliau sangka rakyat dan penyokong PKR akan mempercayainya berdasarkan dia pernah 'duduk semeja' dengan PKR," ujarnya lagi. -Suara Keadilan


Insaflah Wan Azizah – Saidatul Badru

KUALA LUMPUR 25 Feb. – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail diminta supaya menginsafi kesilapan dan masih belum terlambat untuknya kembali ke pangkal jalan.

Bekas Naib Presiden PKR, Datin Saidatul Badru Tun Said Keruak berkata, semua yang mengaku beragama Islam perlu ingat bahawa kehidupan manusia tidak hanya berakhir di dunia sahaja tetapi akan berterusan hingga ke akhirat.

Menurutnya, beliau yang juga seorang wanita, isteri dan mempunyai anak-anak mengakui amat memahami situasi yang dihadapi oleh Wan Azizah iaitu keperluan untuk menjaga maruah suami.

“Tetapi kita sebagai isteri juga mempunyai tanggungjawab kepada negara. Sekiranya, suami sudah merosakkan negara kita mesti minta dia berhenti dan tidak (lagi) menyokong tindakannya.

“Letakkanlah kepentingan negara mengatasi kepentingan suami untuk mencapai cita-cita peribadinya. Kasihanlah kepada penyokong dan rakyat yang tidak tahu apa-apa, fikirkanlah maruah anak-anak dan hidup mereka di dunia dan akhirat.

“Kita bukan nak hidup di dunia sahaja, saya tahu Wan Azizah mengetahui hal sebenar dan saya kecewa demi kepentingan politik suami dan dirinya (sanggup) dia berbohong kepada rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Datuk S. Nallakaruppan yang menyatakan bahawa Wan Azizah selayaknya diberi anugerah ‘Pelakon Wanita Terbaik 2010' atas kehebatan ‘lakonannya’ ketika berhadapan dengan rakyat.

Beliau yang juga bekas rakan karib, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara sinis bersedia mengemukakan cadangan itu kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim untuk dipertimbangkan.-UM


Kerajaan Kelantan Akan Siar Iklan Balas Terhadap Isu Royalti

Kerajaan negeri Kelantan pula menyiarkan iklan penjelasan balas satu halaman lapan perkara berhubung pertikaian royalti minyak menjawab penerangan dibuat oleh kerajaan pusat di akhbar-akhbar Bahasa Malaysia Ahad lalu.

Iklan itu disiarkan dalam akhbar PAS Harakah dalam edisi terbarunya yang berada di pasaran sejak semalam.

Sebagaimana iklan penjelasan kerajaan pusat, penerangan kerajaan negeri Kelantan juga menjawab dengan menyentuh lapan perkara.

Iklan penjelasan kerajaan negeri Kelantan ini memulakan penerangannya dengan berkata “asas tuntutan bayaran tunai bagi pengeluaran petroleum di luar pantai Kelantan”.

Ia menambah, “Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA), yang mula berkuat kuasa pada 1 Okt 1974, membawa kepada tertubuhnya Petronas dan diserah hak petroleum yang didapati dan diperoleh di daratan atau luar pantai Malaysia kepada Petronas.

“Di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974, setiap daripada 13 negeri di Malaysia telah menandatangani perjanjian yang sama dan Geran Penyerah Hakkan pada tarikh yang berbeza dalam tahun 1975/1976 dengan Petronas bagi menyerah hak pemilikan masing-masing terhadap petroleum kepada Petronas dengan pertimbangan Petronas membayar kepada setiap negeri di mana petroleum dihasilkan samada di daratan dan lautan dengan bayaran tunai dalam bentuk jumlah tahunan setara dengan lima peratus daripada nilai petroleum yang dihasilkan di mana-mana negeri yang berkenaan.

“Kami tidak bersetuju dengan jawapan yang diberikan dalam iklan dibuat atas nama kerajaan persekutuan baru-baru ini,” katanya.

Oleh itu kata iklan penjelasan itu, kerajaan negeri Kelantan memutuskan untuk menjawab lapan soalan iaitu “Menurut Akta Pembangunan Petroleum1974, apakah istilah yang digunakan untuk pembayaran yang dibuat untuk pengeluaran minyak dan gas?”, “Mengikut Perjanjian di antara Petronas dan kerajaan negeri dalam tahun 1975/1976, apakah syarat untuk mendapatkan hak lima peratus bayaran tunai kepada kerajaan negeri?”, “Apakah kedudukan di Sabah dan Sarawak mengenai isu pembayaran royalti?” dan “Apa yang dimaksudkan dengan bayaran “Wang Ehsan”?”.

Empat persoalan lain ialah “Adakah Kerajaan Negeri Kelantan atau kerajaan negeri lain di Semenanjung Malaysia mempunyai hak untuk menuntut bayaran tunai tersebut daripada Petronas?”, “Mengapa Wang Ehsan yang ditawarkan oleh kerajaan persekutuan untuk Kelantan hanya dalam jumlah RM20 juta?”, “Apa kedudukan kenyataan yang dibuat oleh bekas Pengerusi Petronas, YB Tengku Razaleigh Hamzah bahawa royalti yang harus dibayar untuk Kelantan berdasarkan pengeluaran petroleum diperolehi daripada di luar perairan negeri serta mempersoalkan pemberian Wang Ehsan?” dan “Adakah Ketua Pembangkang mengetahui mengenai kedudukan hak-hak kerajaan negeri dalam masalah ini?”

Iklan penjelasan kerajaan pusat pada 21 Feb lalu juga menggariskan lapan persoalan, yang menurut Tengku Razaleigh sebelum ini sebenarnya ia menimbulkan implikasi baru dan mengelirukan.

Penjelasan kerajaan negeri Kelantan ini telah diumumkan oleh Exconya Datuk Husam Musa selaku pengerusi jawatankuasa khas pertikaian bayaran royalti dibentuk oleh Kota Baru, 23 Feb lalu.

Pakatan Rakyat Berazam Untuk Tawan Johor

Ketua Umum KEADILAN Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendirian dan keyakinan beliau bahawa Pakatan Rakyat akan terus menyerang Johor walaupun negeri tersebut dicanang sebagai kubu kuat Umno-Barisan Nasional.

Bercakap dihadapan lebih 3,000 ribu penyokong pada Ceramah Perdana anjuran KEADILAN Cabang Sekijang, Segamat malam tadi, Datuk Seri Anwar berkata Johor kini menunjukkan perubahan ke arah menyokong Pakatan Rakyat akan berjanji akan terus menggerakkan aktiviti ceramah ke seluruh Johor dalam masa terdekat.

"Mereka kata inilah kubu kuat Umno, kubu apa? "Saya berjanji akan datang. Minggu depan saya turun ke Johor lagi, jangan main-main, saya serang Johor betul-betul," kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu disambut tepukan gemuruh hadirin yang hadir.

Sementara itu, beliau turut mempersoalkan tujuan kedatangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz ke Washington, Amerika Syarikat 25 Februari lalu.

Datuk Seri Anwar menjelaskan kedatangan menteri tersebut adalah kerana kerajaan terdesak ekoran tekanan Amerika Syarikat agar beliau diberi keadilan sewajarnya berhubung kes Konspirasi II.

"Mereka (Umno-BN) kata Amerika campurtangan. Sekarang kenapa Nazri pergi Washington semalam? Untuk tujuan apa? Nak terang kepada orang Amerika pula?" soal beliau.

Malah kata Datuk Seri Anwar lagi Peguam Negara Tan Sri Abd Gani Patail akan sentiasa cemas dan ketakutan untuk memberikan sebarang kenyataan berhubung kes beliau itu.

"Gani tidak akan berani mahu pergi bersidang dan bercakap dengan mereka (Amerika) mengenai kes saya. Nak cari pasal bila orang tanya dekat dia. Tergagap-gagap kalau orang Amerika tanya. Dekat sini (Malaysia) tak apa, sebab depan hakim pilihan dia," kata Ketua Pembangkang itu lagi.

Majlis ceramah turut dihangatkan lagi dengan kempen "Boikot Utusan" yang diketuai oleh Ketua Angkatan Muda KEADILAN Johor Zabidie Abas bersama pimpinan Pakatan Rakyat dan penyokong yang hadir.

Langkah simbolik membakar akhbar itu adalah sebagai usaha memberi kesedaran kepada rakyat supaya tidak melanggan akhbar milik Umno itu yang sentiasa mengaburi dan membohongi rakyat dengan laporan dan berita memburukkan Datuk Seri Anwar serta Pakatan Rakyat.

Sebelum ini, kempen yang sama telah dijalankan di Selangor dan Perak.

Turut hadir pada ceramah di Sekijang termasuk Datuk Chua Jui Meng, Ahli Parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye, Ahli Parlimen Batu Tian Chua, Ketua Wanita KEADILAN Zuraida Kamarudin, Ketua AMK Pusat Shamsul Iskandar Mohd Akin serta Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Johor Annuar Salleh.

Datuk Seri Anwar juga sempat beramah mesra serta menghadiri sambutan Tahun Baru Cina bersama pimpinan dan penyokong Pakatan Rakyat Johor di Segamat. -suarakeadilan

Sampai Bila Pimpinan PAS Nak Memusuhi Blogger?

Mutakhir ini semacam wujud satu kecenderungan pihak pimpinan tertinggi PAS memusuhi blogger. Sebabnya, dikatakan blogger terlalu banyak menyerang pimpinan PAS secara terbuka, menyerang pimpinan PAS kerana tidak mengikut saluran yang betul, kerana blogger tak wala' dan tak mempunyai adab jemaah.

Inilah jenis pimpinan PAS yang kita ada pada hari ini. Pimpipinan jenis promitif yang masih terbelenggu dengan kebekuan tradisi yang merugikan parti, yang merugikan jemaah.

Jenis pemimpin yang hanya mahu dipuja dan dipuji, tetapi enggan ditegur dan enggan mengakui kelemahan dan malu pula untuk memperbaiki diri.

Sedangkan blogger yang rencam dan datang dari pelbagai latarbelakang pendidikan dan pengalaman tiba-tiba dimusuhi, tiba-tiba diserang di atas apa juga platform, samada seminar, konvensyen atau apa juga perhimpunan yang diadakan semata-mata untuk mengutuk blogger kononnya mereka pelontar "fitnah yang benar" - satu istilah yang dicipta setelah mengetahui bukan fitnah yang diutarakan tetapi kritikan yang tidak dapat dijawab oleh mereka yang memegang kuasa pimpinan.

Diakui atau pun tidak, blogger (atau dikenali pejuang siber sebelum wujudnya blog) telah memainkan peranan penting memberikan kemenangan kepada PAS dan Pakatan Rakyat bermula zaman reformasi seawal 1998. Baca kisah Dari Mahazalim ke GB.

Ada pula yang berhujjah, oh yang memberikan kemenangan itu bukan kerja blogger, tapi Allah. Kita bercakap soal syariat mereka bercakap soal hakikat walaupun ilmu hakikat mereka tak seberapa. Benar hakikatnya Allah yang memberikan kemenangan, tetapi syariatnya, syahadahnya, Allah memberikan kemenangan dengan menghantar para blogger untuk membantu perjuangan PAS, membantu perjuangan Islam, membantu perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan.

Dan di tahun lalu, kita menghadapi siri pilihanraya kecil yang banyak. Blogger seperti biasa memainkan peranannya yang tulus suci untuk parti. Dan kita dikurniakan kemenangan demi kemenangan, seperti kemenangan yang diperolehi di dalam PRU 2008 - kemenangan yang cemerlang. Namun yang menang berapa ramai yang menghargai blogger, malah parti sendiri, apa ingatan yang ada tuan-tuan berikan untuk untuk blogger seperti ingatan terhadap para pejuang bahasa di dalam muktamar yang lalu?

Allah menghantar peringatan kepada pimpinan PAS dengan mengurniakan kekalahan pertama PAS di Bagan Pinang!

Pun masih gagal menyedarkan pimpinan. Masih mendabik dada: kemenangan kami adalah hasil usaha kami semata-mata... blogger tidak ada peranannya!


Kini setelah tingkah laku pemimpin jadi perhatian para rakyat, tiba-tiba para blogger dimusuhi, yang menang berprinsip kacang lupakan kulit, yang pegampu menjadi pencacai untuk menghentam blogger yang tidak disukainya sekalipun ke peringkat menyerang peribadi seperti yang dilakukan ke atas Ustadz Zolkharnain.

Tak ramai pemimpin PAS yang menyokong blogger. Selain Khalid Samad (yang akhirnya menjadi korban pemimpin gila kuasa), yang lain mengambil sikap membisu - play safe - khuatir kena black-listed oleh pimpinan tertinggi atau takut dicop tidak wala agaknya.

GB sama blogger anti UG yang lain seperti penarik-beca, al-hussyein, al-bakistani, tulang besi, topeng perak, MSK, rakyatmarhaen, dangomamat, misaimerah, bawean dan lain-lain juga tidak terlepas dari diserang. Kiri dan kanan atas dan bawah, namun berkat doa "thabbit aqdama wansurna" dan sokongan para pembaca blog ini, kami masih boleh berblogging sehingga hari ini.

Diadakan konvensyen blogger, tetapi dengan niat mereka hanya untuk memperalatkan blogger dan untuk mengumpulkan sokongan untuk mereka yang hampir rebah, sehingga kini, tiada hasil positif yang yang dapat digarap dari konvensyen itu.

Sekalipun parti tidak mengiktiraf blogger seperti GB sekalipun, alhamdulillah GB telah pun melaksanakan tugas yang akhirnya diterima sekalipun mereka sendiri tidak menyedarinya.

Sewaktu Perak dilanda tsunami politik dan Datuk Seri Mohammad Nizar terkontang kanting sendirian berjuang untuk mempertahankan negerinya daripada dirampas oleh UMNO BN, pemipin Pakatan Rakyat pada awalnya mengambil sikap membisu, malah Presiden PAS berada di laurnegara ketika itu.

Sehari sebelum rampasan kuasa berlaku GB menulsi di SINI. GB menyatakan antara lainnya:

APA YANG PERLU PAKATAN RAKYAT LAKUKAN?

1) Di dalam keadaan kemelut yang ada kini, Pakatan Rakyat Pusat perlu memanggil mesyuarat tergempar untuk membincangkan episod ini dengan lebih teliti.

2) Datuk Seri Anwar sepatutnya mesti dilihat pro-aktif di dalam usaha untuk menyelamatkan Pakatan Rakyat Perak dan tidak sepatutnya meletakkan tanggungjawab hanya kepada Menteri Besar Perak

3) Presiden PAS, TG Haji Abdul Hadi Awang perlu memendekkan lawatannya ke luarnegara dan kembali ke tanahair segera untuk sama membantu menyelesaikan kemelut ini sebagai Presiden sebuah parti komponen di dalam Pakatan Rakyat.

4) Suara rakyat adalah suara keramat. Rakyat perlu digembelengkan untuk merafak sembah kepada ke bawah duli DYMM Sultan Perak merayu supaya kuasa dikembalikan kepada rakyat untuk mendapatkan mandat pemerintahan. Sebarang kerajaan yang terbentuk bukan dengan pemilihan rakyat adalah batal dan tidak boleh berkuat-kuasa di dalam sebuah negara yang menjunjung tinggi perlembagaan dan lunas-lunas demokrasi.


Kerana kelembapan bertindak dipihak pemimpin PR, keesokan harinya (5 Feb 2009)berlakulah rampasan kuasa itu. Dan hanya pada 9 Mei 2009, satu perhimpunan di adakan di kediaman rasmi Menteri Besar Perak yang dihari oleh pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat yang terdiri dari Datuk Seri Anwar, Datuk Seri Abdul Hadi dan Lim Kit Siang.

Rakyat tersangat kesal. Nasi sudah menjadi bubur. Namun perjuangan diteruskan juga. Tiada siapa berani mengusik istana. Kerana pantang Melayu dehaka. GB terpaksa mengambil risiko dengan menulis di SINI dan di SINI.

Cukup sekadar itu untuk Perak dan boleh tinjau-tinjau di arkib tulisan GB mengenai isu di Perak. Begitu juga dengan isu-isu lainnya. Semua tersimpan di dalamnya.

Tatkala isu royalti minyak menjadi hangat, kita merasakan yang boleh melawan kerajaan pusat di saat ini hanyalah kuasa Allah s.w.t. Maka pada 12 Jan 2010, GB mencadangkan satu munajat perdana di adakan. GB katakan:

Kini untuk mengisi kemenangan, untuk menjaga kemenangan, kita merasakan adalah amat wajar Kerajaan PAS Kelantan mengadap Rabbul-Jalil sekali lagi untuk mempastikan hak rakyat Kelantan dikembalikan oleh kerajaan Pusat.

Keangkuhan dan kezaliman manusia-manusia bernama Najib, Muhyiddin, Mustapa Mohd, Awang Adik Hussin dan lain-lain yang seangkatan dengan mereka perlu ditamatkan. Hak kerajaan dan rakyat Kelantan perlu dilunaskan sebelum mereka menjahanamkan royalti dengan nama baru - wang ehsan - untuk tujuan yang buruk, merampas Kelantan dari PAS.

Jangan tunggu esok kerana esok mungkin sudah terlambat!


Dan alhamdulillah, kerajaan Kelantan peka dan mendengar seruan itu. Maka kemudiannya, satu majlis solat hajat perdana diadakan di Kota Bharu pada 28 Januari lalu.

Dan beberapa minggu yang lalu, di saat isu royalti dihangatkan kembali, pimpin PR nampaknya masih leka. Kita gegarkan mereka supaya sedar dan jangan leka. Kita katakan:

Berdasarkan Perjanjian Akta Pembangunan Petroleum 1974 yang ditandatangani dintara Kerajaan Negeri Kelantan dengan Petronas, tindakan Dato Seri Mustapha Mohammad yang secra berterusan menafikan hak royalti minyak Kelantan itu boleh diambil tindakan mahkamah.

Para peguam Pakatan Rakyat perlu berusaha untuk mengheret Mustapha dan kerajaan BN ke muka pengadilan. Jangan kesemua peguam hanya bertumpu kepada inkues Teoh dan liwat Saiful.

Kelantan Bangun! PR Bangun!


Dan alhamdulillah pada 23 Februari lalu, PR akhirnya bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Petroleum yang dipengerusikan oleh Datuk Husam Musa.

Justeru, apakah GB seorang blogger celaka seperti yang diutarakan oleh beberapa orang penyokong tegar UG?

Tak kisah jika itu hendak digelarkan kepada GB. GB hanya mampu berserah kepada Allah. Sampai bila PAS nak memusuhi blogger? Sampai bila hanya nak bergantung kepada blogger pengampu dan pencacai? Yang GB tahu, PAS akan menanggung akibatnya. Bagi kami, hasbiyallah lailahailla huwa alaihi tawakkaltu wahuwa rabbul arsyi 'il-azhiim. Lawanlah Dia jika anda mampu.

5,000 Sertai Perarakan Maulidur Rasul Di Selangor

Seramai 5,000 umat Islam terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat menyertai perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Selangor semalam.

Perarakan sejauh dua kilometer melibatkan 110 kontinjen bermula di Stadium Shah Alam dan berakhir di Stadium Malawati, Shah Alam. Ia disertai beberapa institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta badan-badan berkanun dan syarikat swasta.

Majlis berkenaan dirasmikan Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah. Turut hadir adalah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan EXCO kerajaan Negeri.

Dalam ucapannya, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Ramli Mahmud berkata, tema Maulidur Rasul pada tahun ini ialah 'Memantapkan Ukhuwah, Memperkasakan Ummah'.

Beliau menggesa umat Islam membetulkan tekad dengan menumpukan soal utama bagi memacu pembangunan ummah dan mengelak anasir yang boleh memecah belah perpaduan rakyat.

Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dipilih pemenang perarakan bagi kategori Badan Kerajaan hasil gimik menarik.

"Mungkin sebab kita buat gimik dengan membawa kerusi roda, jadi nampaklah imej kebajikan. Yang penting komitmen semua, jalan ikut aturan walaupun kita praktis tak lama," kata jurucakap JKM.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pula memenangi perarakan kategori badan berkanun walaupun penyertaan mereka semata-mata untuk untuk meraikan sambutan ulang tahun kelahiran Rasulullah.

"Kemenangan ini adalah bonus kepada kita bukan kata kita sasarkan kepada kemenangan tetapi kepada program ini sendiri. Jadi bila menang itu satu bonus bagi MBPJ pagi ini," kata wakil MBPJ.

Majlis turut diserikan dengan persembahan dari Amy Search, kumpulan nasyid Rabbani dan Hijjaz.

Dalam pada itu, kerajaan Selangor turut menyediakan enam anugerah sempena sambutan Maulidur Rasul berteraskan nama tokoh Islam iaitu Anugerah Saidina Ali, Anugerah Saidatina Khadijah, Anugerah Uthman Ibnu Affan, Anugerah Imam Al-Ghazali, Anugerah Khalid Al-Walid dan Anugerah Umar Abdul Aziz.

Muhammad Mu'az Mohd Abd Azis dipilih penerima Anugerah Saidina ali manakala Anugerah Umar Abdul Aziz (Datuk Mohd Talha Abd Rahman), Anugerah Saidatina Khadijah (Prof Dr Jawiah Dakir), Anugerah Imam Al Ghazali (Mohd Salleh Ashaari), Anugerah Khalid Al Walid (Datuk Khalid Abu Bakar) dan Anugerah Uthman Ibnu Affan (Mohd Ilham Ikhsan).

Bercakap kepada TV Selangor, Mohd Talha berterima kasih atas penghargaan kerajaan negeri walaupun tidak pernah mengharap balasan atas setiap jasanya. -TVS