27 Mac 2011

Blogger Umno Mengelitik Nak Tengok Video Lucah!

Entah apa yang tidak kena dengan seorang blogger Umno ini. Penulis pernah juga membaca beberapa tulisannya sebelum ini, yang pada hemat penulis agak berhujah berbanding penulis blog pengampu Umno yang lain. Blogger yang dimaksudkan itu tidak lain dan tidak bukan adalah seseorang yang memakai nama gelaran Mummy Rokiah.

Dalam entri terbarunya yang bertajuk "Nik Aziz tidak berhak memberi komen sebelum beliau menonton video tersebut", Mummy Rokiah mempersoalkan tindakan Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang berasa malu mengenai penayangan secara umum video seks seorang yang dikatakan sebagai pemimpin kanan Pakatan Rakyat. Berikut penulis petik kembali tulisan Mummy tersebut:

(Sebelum itu, berikut diperturunkan keratan asal laporan berita yang telah dikeluarkan oleh Akhbar Sinar Harian)


Perbuatan tidak bermoral

KOTA BHARU - Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan perbuatan menayangkan rakaman video seks yang dikatakan membabitkan seorang pemimpin pembangkang bersama seorang pelacur warga China di sebuah hotel kepada pihak media sebagai perbuatan tidak bermoral.

Mursyidul Am Pas itu berkata, lebih memalukan apabila perbuatan itu didalangi tiga 'individu bergelar' dan pernah menjadi pemimpin sebuah kerajaan negeri.

Katanya, beliau berasa amat malu untuk membaca berita mengenai pendedahan skandal terbabit ­kerana ia dilaporkan oleh ­semua media massa di negara ini.

“Saya berasa malu, berasa seolah-olah berada di negara lain. Saya tak tahu kenapa pemimpin yang rata-ratanya berbangsa Melayu dan beragama Islam menjadi individu yang tidak bermoral.

“Kita orang Melayu sudahlah duit tak ada, ilmu tak ada, moral pula hancur. Mana lagi bahagian yang bangsa lain boleh tertarik dengan kita?" katanya kepada pemberita selepas ­menyampaikan kuliah mingguan di Dataran Ilmu, di sini, semalam.

Nik Aziz berkata, pemimpin atau tokoh yang mempunyai gelaran sepatutnya menunjukkan tauladan yang baik, bukan mempamerkan keaiban orang lain.

“Mereka ini diberikan gelaran sedemikian rupa dengan harapan boleh membimbing rakyat, tapi apa yang berlaku adalah ­sebaliknya.

“Kalau pemimpin sanggup buat macam ini, rakyat apa lagi. Seks ini benda yang aib tetapi tiba-tiba ia dipertontonkan kepada umum, macam tak ada ­agama, ” katanya.

Isnin lalu, rakaman video aksi seks yang dikatakan membabitkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri ­Anwar Ibrahim dipertontonkan kepada editor kanan dan wartawan di Carcosa Seri Negara.

Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim ­Tamby Chik; ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuib Lazim (kumpulan Datuk T) mengakui terlibat dalam pendedahan video terbabit. -sinarharian-


Berikut pula adalah ulasan yang dibuat oleh Mummy Rokiah dalam blognya:

Siapa yang lebih bermoral, pelakonnya atau individu yang mendedahkannya? Nik Aziz seharusnya menonoton dahulu video tersebut sebelum memberi kenyataan tentang moral seseorang pemimpin.

Risikonya jika Nik Aziz menonton dirisaukan jantung Nik Aziz tidak bersedia mengepam dengan laju dan akan mendatangkan kemudaratan kelak.

Malah ada wartawan wanita yang menelan air lior geli geleman dan nak termuntah semasa dipertontonkan kepada mereka di Carcosa Seri Negara.

Apapun masa akan menentukan segalanya.


CATATAN PENULIS:

Berdasarkan komen-komen yang dibuat oleh para blogger Umno, amat malanglah bagi mereka yang beragama Islam, tetapi dilihat terlalu obses terhadap menyerang peribadi lawan, sehingga sanggup menolak hukum Allah ke tepi.

Kenyataan Mummy Rokiah yang menganggap Nik Aziz perlu untuk melihat sendiri video lucah terbabit seolah-olah mempersendakan golongan ulama dan orang-orang yang beragama supaya melakukan dosa kepada Allah.

Dalam perkara ini, kita semua sentiasa jelas. Baik ustaz mahupun orang biasa. Menonton video lucah itu difatwakan HARAM dalam Islam. Tidak ada seorang pun daripada mana-mana pihak yang mengatakan boleh untuk melihat sebuah video lucah. Ulasan Nik Aziz yang malu dan kecewa dalam isu tontonan video lucah bukanlah disebabkan untuk mempertahankan Anwar semata-mata seperti yang didakwa oleh mereka.

Tuan Guru bercakap atas dasar dosa pahala yang terletak pada bahu seorang individu dan pemimpin yang beragama Islam. Nik Aziz beranggapan bahawa sebagai sebuah negara majoriti umat Islam, sepatutnya tidak ada mana-mana pihak yang sanggup untuk menayangkan video seks secara terbuka!Ini seolah-olah mengajak orang mencuri secara beramai-ramai. Dan apabila para ulama seperti Nik Aziz dan Dr. Asri menegur akan perkara ini, para penulis blog Umno yang jahil (atau dalam bahasa sopannya tidak reti) dalam agama sanggup menegakkan soal moral kononnya dalam isu video seks ini.

Bagi penulis, barang ditakdirkan Allah bahawa jika benar Anwar sekalipun yang berzina dalam video tersebut, adalah HARAM hukumnya untuk mana-mana individu melihat video terbabit, apatah lagi menghebahkan perkara itu kepada umum. Ini seolah-olah berusaha membanyakkan dosa kepada diri sendiri. Bayangkan, jika seorang sahaja yang pernah melihat video tersebut, satu dosa sudah tertanggung atas bahu Rahim Tamby Chik. Dan jika sudah sampai berpuluh dan beratus yang menyaksikannya, berapa pikul dosa yang sedang dipikul Datuk T pada saat ini?

Jika benar Anwar berzina sekalipun, itu dosa beliau dengan Allah. Kita tidak boleh mengenakan Hudud ke atas Anwar memandangkan tiada empat saksi yang melihat kemungkaran tersebut. Di sinilah besarnya keadilan dalam Islam. Adil kepada sang tertuduh. Penulis bukanlah seorang ustaz untuk mengulas panjang dalam isu ini, tetapi penulis ingin menyedarkan lebih ramai orang yang telah meletakkan prinsip moral (kononnya) itu lebih tinggi daripada Islam itu sendiri.

Sehingga kerana moral kononnya, kita sanggup menunjukkan kejahilan kita sebagai umat Islam. Malah, ramai pula para pemimpin yang mengaku yang dia juga pernah menonton video tersebut. Mengapa perlu tonton? Untuk kepastian?Adakah terdapat kepastian dalam kemungkaran?Jika benar Anwar itu berdosa kerana berzina, Allahlah yang akan menghukum Anwar berdosa, bukan Si fulan bin si fulan yang menyaksikan video tersebut yang menghukum Anwar itu berzina atau tidak.

Kepada semua pihak, hentikan kegilaan ini. Baik di pihak Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional. Usah membodohkan diri dengan memohon suruhanjaya itu dan suruhanjaya ini. Kelak akan ada beribu-ribu umat Islam yang berdosa kerana melihat sebuah video lucah secara terang-terangan. Dan jika itu berlaku, doakan bahawa bala Allah itu jauh daripada kita. -paspb2

Ulasan GB

Asalkan UMNO, tak kira lelaki atau perempuan, tua atau muda, nampaknya, mereka adalah jenis mereka yang tak tahu hukum agama. Kalau tahu hukum agama seperti golongan ustadz atau menteri sekalipun seperti yang bernama Jamil Khir, maka lebih diutamakan kedudukan dan pangkat daripada hukum Allah.


Ternyata, sebelum Anwar diputuskan bersalah, telah pun wujud pihak-pihak yang telah meletakkan beliau di dalam kesalahan dengan menuduhnya sebagai ‘aktor’ di dalam filem tersebut. Ini menyalahi kaedah syarak yang masyhur yang berbunyi al-aslu bara’at az-dzimmah (seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan).

Di dalam keghairahan pihak-pihak tertentu ingin ‘mengenakan’ ketua pembangkang itu, mereka umpama dirasuk syaitan kerana sudah tidak ada lagi perasaan malu dan takut untuk berbuat dosa. Dosa apakah yang dimaksudkan di sini? Dosa di dalam mengajak manusia untuk menonton filem lucah secara beramai-ramai!!!

Tidak kiralah siapa pelaku dan pelakon di dalam filem jijik tersebut, menontonnya tetaplah merupakan suatu dosa, malah perbuatan mengajak dan menonton filem porno tersebut secara beramai-ramai itu, sungguh lebih jijik rasanya!!! Bagi yang mengajak, sesungguhnya sudah hilang maruah dan sifat malunya kepada Allah, dan bagi yang diajak pula, kenapakah sanggup memenuhi ajakan haram ini? Apa pun motifnya, sebelum pihak-pihak terbabit cuba membuktikan kesalahan dan dosa Anwar, mereka nampaknya telah terlebih dahulu menjerumuskan diri sendiri ke lembah hina dan dosa dan merekalah yang seharusnya dihukum terlebih dahulu! - mykhalifah


Aiya Apek, Lu Pun Mahu Cakap Soal Moral Kah?

Soi Lek sendiri terpalit dengan seks haram

Presiden MCA itu tidak layak bercakap soal moral dan integriti - Tian Chua.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Batu Tian Chua menegaskan bahawa Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek tidak layak bercakap soal moral dan integriti kerana beliau sendiri mengaku melakukan perhubungan seks haram bersama rakan wanita yang dirakamkan dalam video.

Naib Presiden PKR itu membidas kenyataan Chua dalam akhbar The Star semalam menggesa supaya Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan bahawa beliau (Anwar) bukanlah si pelaku dalam video seks yang didalangi oleh Datuk T.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Tian Chua berkata, “saya pasti rakyat Malaysia turut sama berkongsi rasa mual apabila seorang ahli politik yang mempunyai rekod kurang moral yang diketahui umum cuba memberi komen mengenai moral dan integriti.

“Seluruh rakyat Malaysia arif tentang skandal seks yang melibatkan Soi Lek dan dia sendiri mengakui bahawa dia menjalinkan hubungan seks di luar perkahwinan dengan seorang wanita dan dirakam dalam video,” katanya.

Menurut beliau, perancangan Umno untuk memfitnah Ketua Umum PKR melalui video seks terbaru semakin ditolak rakyat apabila individu-individu yang telah dibuktikan terbabit dalam skandal seks sebelum ini tampil untuk menjadi juara moral dan integriti.

“Rabu lalu ramai rakyat Malaysia ketawa apabila mantan ketua menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik yang terpaksa meletakkan jawatan politik kerana terbabit dalam kes rogol kanak-kanak bawah umur muncul kononnya untuk memastikan bakal pemimpin negara mempunyai moral.

Moral dan integriti

“Hakikatnya, individu-individu ini tidak layak untuk bercakap mengenai moral dan integriti. Mereka juga tidak wajar dibenarkan menukar prinsip keadilan bahawa yang menuduh perlu membawa bukti dan seseorang itu tidak bersalah sehinggalah dibuktikan sebaliknya.

Ujar Tian Chua, “kenyataan Soi Lek semalam secara jelas ingin meletakkan beban bukti kepada Anwar sedangkan kumpulan yang menuduh beliau mempunyai rekod yang buruk di dalam politik.

“Kalau benar individu-individu ini mahu bersyarah mengenai moral, maka mereka perlu menunjukkan teladan yang baik kepada pimpinan muda dan rakyat Malaysia,” terangnya.

“Oleh itu, saya mengulangi desakan yang telah dibuat oleh rakan-rakan saya supaya, Soi Lek meletakkan semua jawatan politik dan bersara terus sebagai tanda dia insaf selepas skandal seksnya tersebar luas.

“Saya juga menyeru supaya Rahim meletakkan semua jawatan dalam kerajaan terutamanya sebagai Pengerusi Risda keranapenglibatannya dengan kes rogol kanak-kanak bawah umur masih kekal dalam ingatan rakyat sehingga kini.

“Jika Soi Lek tidak sanggup menunjukkan teladan yang baik, dia tidak wajar campur tangan dalam skandal video seks yang didalangi

Umno ini kerana rekod moralnya sangat memualkan,” ujar Tian Chua. -FMT


Video seks: Siapa Soi Lek mahu desak Anwar

Desakan Presiden MCA, Datuk Chua Soi Lek supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim memastikan kebenaran dakwaan terlibat dalam video seks lucah sepertimana yang hangat diperkatakan diselar oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Lim ketika berucap dalam ceramah penerangan isu fitnah III malam tadi di sini berkata, Soi Lek yang tidak mempunyai moral yang tinggi kerana terbukti terlibat dalam video seks sebelum ini tidak layak untuk bercakap mengenai hal ini kecuali beliau adalah orang yang bersih.

"Siapa Soi Lek yang cuba mendesak Anwar supaya mengesahkan watak pelakon dalam video seks lucah tersebut. Apakah jika beliau sendiri berpengalaman dan tercemar imej diri dan parti MCA sebelum ini, maka beliau layak untuk bertanya sedemikian?

"Hanya orang yang ada moral tinggi sahaja yang patut bertanyakan perkara ini kepada Anwar," katanya lagi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan turut menyelar Datuk Seri Najib kerana mendakwa Umno tidak mempunyai kaitan dengan isu video seks lucah itu.

"Jika Umno tidak terlibat, apakah Tan Sri Rahim Thamby Chik ini bukan orang Umno. Bila pula beliau keluar dari Umno?" tanya beliau lagi.

Lim juga mendesak Najib supaya tidak bermain dengan cara politik yang kotor semata-mata untuk menyekat kemaraan Anwar.

Katanya lagi, berpolitik harus dengan cara yang bermoral serta berakhlak tinggi, bukannya dengan menjadikan konspirasi yang tidak sudah-sudah semata-mata untuk membenamkan kebangkitan Anwar untuk merampas tampuk pemerintahan negara.

Hadir bersama ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Sungei Petani, Datuk Johari Abdul, Chegu Bard serta kepimpinan PR negeri dan Kedah. -HD


Operator Loji Nuklear Fukushima Dikritik Hebat

Operator logi reaktor nuklear Fukushima dikritik pedas kerana dilihat tidak telus dalam menghadapi krisis kebocoran radiasi serta gagal melindungi para pekerjanya.

Kerajaan Jepun mengatakan Perusahaan Elektrik Tokyo (Tepco) sepatutnya bercakap benar dan pantas memberikan maklumat.

Badan atom Jepun juga menyatakan bahwa operator loji reaktor Fukushima telah melakukan beberapa kesalahan diataranya pakaian seragam yang dipakai oleh para pekerjanya.

Reaktor nuklear Fukushima mengalami kebocoran kerana gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun pada 11 Mac lepas.

Jumlah mangsa korban sudah melepasi 10,000 orang dan lebih dari 17,000 orang dinyatakan hilang.

Badan Nuklear PBB, IAEA, telah telah menghantar kumpulan tambahan ke reaktor Fukushima untuk mengatasi krisis kebocoran ini.

Pengarah IAEA, Yukiya Amano mengatakan kepada New York Times bahwa krisis ini dapat bertahan sampai berminggu-minggu, bahkan sampai berbulan-bulan.

Sepatutnya lebih benar

Jurucakap kerajaan Jepun, Yukia Edano mengatakan Tepco harus lebih terbuka dalam menghadapi krisis kebocoran radiasi.

"Kami dengan keras meminta Tepco untuk memberikan keterangan kepada kerajaan dengan lebih benar dan pantas, " ujar Edano.

Kritikan ini dilakukan setelah tiga pekerja Tepco melecur terkena tahap radiasi 10 ribu kali lebih tinggi dari tahap normal.

Hidehiko Nishiyama, jurucakap badan keselamatan nuklear dan industri (Nisa), mengatakan para pekerja itu memakai pakaian seragam yang tidak benar.

Nishiyama juga mengatakan bahwa Tepco sudah mengetahui tingginya radiasi beberapa hari sebelum terjadinya kebocoran.

"Terlepas dari adanya kesadaran mengenai tingkat radiasi yang tinggi atau tidak, yang pasti ada masalah dari cara mereka bekerja," ujar Nishimaya.

Ragam Dunia: Lebih Ramai Cari Pasangan Guna Internet

Rabat: Perkahwinan di Maghribi semakin berubah wajah hari ini kerana ramai pemuda dan pemudinya mencari pasangan menuju ke souk atau kedai, merujuk kepada perkahwinan siber.

Di negara yang banyak perkahwinan masih diatur, satu klik tetikus komputer akan membawa seseorang itu ke ‘Internaut to Soukzouaj,’ iaitu laman percuma membenarkan golongan muda Maghribi yang kesunyian mencari teman hidup mereka.

“Laman mencari jodoh ini dicetuskan pada Jun 2010. Ia masih baru namun ia menampakkan kejayaan kerana ia percuma dan terletak berhampiran,” kata Yasser Nejjar, pengasas soukzouaj.ma.

Setiap hari hampir 2,600 pengunjung yang mencari pasangan melawat laman itu, dua pertiga daripadanya wanita. Ia menunjukkan satu peta Maghribi dibahagi kepada 16 bahagian dan pengguna boleh mengklik bahagian negara yang mereka pilih untuk memulakan pencarian.

“Hari ini, sebagai contoh, ada 1,670 wanita mendedahkan profil mereka manakala lelaki hanya 870. Saya berpendapat, keadaan ini menandakan wanita lebih berani berbanding lelaki,” kata Nejjar.

“Kebanyakan mesej menunjukkan ada keinginan kuat untuk mendirikan rumah tangga secara halal yang sejajar dengan ajaran agama,” tegasnya.

Pemerhati di kalangan masyarakat Maghribi menganggap laman perkahwinan sebagai satu fenomena baru, dikait dengan bentuk komunikasi baru, walaupun jika kebanyakan perkahwinan diatur keluarga di sebuah negara di mana Islam menjadi agama rasmi.


“Pada hari ini wanita membuat tuntutan,” kata pakar sosiologi, Soumaya Naamane Guessous.

“Mereka mahukan suami yang menyayangi, menghormati mereka, lelaki yang tidak dipengaruhi ibu mereka dan membenarkan mereka tidak tinggal dengan mentua.”

Katanya, kejayaan soukzouaj, agak terpisah daripada hakikat bahawa ia percuma, di sebuah negara di mana perkahwinan diatur adalah satu kebiasaan, ia berikutan hakikat ‘gadis muda tidak lagi menerima pelamar pertama yang mengetuk pintu keluarga mereka atau dicadangkan keluarga.’ – Agensi

Ulasan GB

Tiada apa kesaalahan mencari jodoh melalui internet.

Tetapi perlu berhati-hati bahawa di internet bermacam-macam hal boleh berlaku, kerana maklumat yang dipaparkan dari sebelah sana belum pasti benar dan sahih.



[Video & Bergambar] Demo Terbesar Di London Bantah Bajet Kerajaan Potong Perbelanjaan Awam

Ratusan ribu orang menyertai perarakan tunjuk perasaan di London menentang pemotongan besar perbelanjaan awam yang dilakukan kerajaan Britain.

Ini merupakan aksi protes terbesar di Britain sejak tunjuk perasaan antiperang lapan tahun lalu sebelum penyerbuan ke Irak.

Perarakan utama berlangsung damai tetapi sekelompok penunjuk perasaan, yang sebahagian membawa bendera hitam anarkis, menyertainya untuk kemudian menyerang bank-bank dan kedai-kedai di pusat membeli-belah utama di kota London.

Di sini, para penunjuk perasaan terlibat bertempur dengan pihak polis.

Tunjuk perasaan ini diselenggarakan oleh sejumlah syarikat buruh. Pemimpin Parti Buruh, Ed Miliband, menyampaikan pidato di depan penunjuk perasaan.

Masih ada alternatif

Menurut perhitungan, jumlah perasaan mencecah 250,000 orang. Panitia penyelenggara menyatakan, jumlah ini jauh lebih besar dari yang mereka duga.

Para menteri kerajaan mengatakan pemotongan perlu dilakukan untuk memulihkan kewangan awam.

Tetapi, Miliband mengatakan, "Partai Konservatif meminta agar saya tidak datang dan berbicara hari ini. Tetapi saya bangga bersama anda. Ada alternatif yang boleh dilakukan."

Setelah lebih tiga jam berlalu, warga terus melimpahi kawasan perarakan membentuk barisan dan memenuhi lapangan Hyde Park di pusat London dan juga melewati bangunan parlimen.

Dalam rusuhan di pusat membeli-belah, polis menyatakan seorang ditahan. -bbc
















Sokong Saranan Dr.Asri Adakan Perhimpunan Menentang Politik Lucah

Bekas mufti saran perhimpunan anti-politik lucah

Bekas mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengajak semua pihak menganjurkan satu perhimpunan besar bagi menyatakan kebencian rakyat terhadap politik lucah dan kotor.

"Semua pihak tanpa mengira agama, parti dan kaum hendaklah menyatakan bantahan mereka terhadap budaya kotor dan jelek di kalangan politikus dan media di negara ini," tulis Dr Mohd Asri dalam blognya.

"Kita menentang politik lucah dan politik selak kain," katanya.

Berikut itu, katanya, semua politikus tanpa mengira parti hendaklah menghentikan amalan mendedahkan aib peribadi musuh politik yang bukan membabitkan kezaliman terhadap rakyat.

"Ia adalah amalan jijik dan kotor. Sama ada dalam Umno, PKR, PAS, DAP dan lain-lain, amalan ini hendaklah dihentikan segera. Ia dosa dan jijik; sama ada kerana memfitnah, ataupun mendedah aib peribadi orang.

"Ia bukan lambang kekuatan minda pendedah tersebut, sebaliknya hanyalah sekadar mengambil kesempatan dari kelemahan orang lain atau setelah memangsakan orang lain," tulisnya lagi.

Menurut Dr Mohd Asri, bahasa, perbuatan dan isyarat lucah dan kotor hendaklah tidak disebarkan kepada masyarakat awam negara ini, kerana ia akan menyebabkan generasi baru terkesan dengan nilai-nilai negatif.

"Maka orang politik hendaklah bersopan dalam bahasa dan pertuturan. Mereka hendaklah bersih dari unsur-unsur kotor yang merupakan lambang pemikiran yang selekeh dan peribadi yang rendah. Mereka menjadi contoh kepada rakyat. Namun, sopan tidak menafikan ketegasan," katanya.

Media pula, tegasnya, hendaklah menjadi wacana yang bermaruah, bukan penyumbang atau penggalak kepada budaya lucah dan kotor dalam politik.
Media yang menggalakkan fitnah, atau pendedahan unsur lucah, tambahnya, hendaklah dipulau oleh masyarakat bermaruah.

"Ahli politik yang kita mahu ialah mereka yang mampu mencetuskan idea ke arah kebaikan negara, mampu memimpin rakyat dengan pemikiran yang bernas dan menzahirkan nilai-nilai diri yang positif.

"Mereka yang kontang idea, tiada nilai karismik dalam kepimpinan, gersang nilai budi dan adab hendaklah diusir dari pentas politik kita.

"Mereka yang sebeginilah yang akan cenderung mencari kelemahan peribadi musuh disebabkan gagal membina kekuatan diri," tambahnya.

Oleh itu, katanya, rakyat hendaklah bangkit menentang semua bentuk kezaliman dan penindasan hak, tanpa mengira agama, kaum dan parti.

"Bebas dari fanatik kepartian, tetapi menjadi manusia yang berprinsip dalam menegakkan kebenaran," tegasnya lagi. -mk

Ulasan GB

Satu pendirian tegas dan berani dari Dr Mohd Asri terhadap apa yang berlaku sekarang ini.

Bukan saja isu video seks, tetapi juga perbicaraan di mahkamah kini telah dipenuh-saratkan dengan hal-hal lucah melampau yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Aksi-aksi jijik dan lucah melampau sengaja dihebohkan di dalam mahkamah yang kemudiannya disiarkan oleh para media semata-mata untuk mengaibkan figur yang dijadikan sasaran untuk dipenjarakan.

Ianya berlaku lagi kali ini dengan lebih dasyat, sebuah video yang dicipta khusus dan pemilik serta penyiarnya lansung tidak ditangkap dan dikenakan tindakan sekalipun amat terang dan nyata ia menyalahi undang-undang.


Malaysia Tidak Kalis Bencana Gempa & Tsunami

Kuala Lumpur - Kekerapan kejadian gempa bumi sejak beberapa tahun kebelakangan ini dipercayai mengakibatkan kedudukan titik gempa di Sumatera, Indonesia beralih dan semakin menghampiri Malaysia, kosmo melaporkan.

Pakar geologi, Profesor Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, beliau tidak menolak kemungkinan itu kerana titik gempa biasanya akan mengalami pergerakan sebanyak satu sentimeter setahun jika gempa bumi kerap berlaku di sesebuah kawasan.

Beliau berkata, hakikat tersebut terbukti apabila penduduk negara kini semakin kerap merasai kesan gegaran gempa bumi yang berlaku di negara-negara sekitar rantau ini berbanding sebelum ini.

Sementara itu sebelum daripada ini, Pengarah Institut Pembangunan dan Alam Sekitar (Lestari), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Ibrahim Komoo di dalam satu rencananya pernah menyatakan:

"Apabila berlaku bencana kecil seperti tanah runtuh, selalu dianggap ia kejadian sekali sahaja atau kes terpencil."

Bagaimanapun, rakyat Malaysia sepatutnya mengubah paradigma tersebut memandangkan sejak 10 tahun kebelakangan, beberapa kejadian tanah runtuh yang besar berlaku dan terbaru dilanda ombak besar tsunami.

Oleh itu, Malaysia bukan kawasan yang bebas bencana, kata Ibrahim.

Pakar kejuruteraan geologi atau kaji bumi itu berkata, walaupun Malaysia bukan dalam lingkungan kawasan berlakunya bencana, tetapi terdedah kepada bencana disebabkan kita terletak dalam kawasan laut terbuka.

Justeru bencana seperti ombak besar dan angin taufan dari kawasan luar boleh melanda negara bila-bila masa seperti yang dibuktikan oleh fenomena tsunami.

Malah katanya, kira-kira 25,000 tahun dahulu, sebuah gunung di Tawau, Sabah pernah meletup.

"Sehubungan itu, kemungkinan dia berlaku (meletup) akan datang, adalah tidak mustahil," katanya.

Perubahan paradigma kata beliau penting sebagai langkah berjaga-jaga dan sikap kewaspadaan yang tinggi terhadap apa juga yang berlaku di luar Malaysia kerana ia boleh membawa kesan kepada negara.

Tsunami merupakan bahasa Jepun bermaksud ombak pelabuhan dan ia digunakan sebagai istilah khusus untuk menggambarkan ombak besar.

Ia disebut tsunami kerana dibincangkan secara saintifik di Jepun, negara yang juga dilanda ombak tersebut.

Ombak ini menurut Ibrahim sangat besar dan boleh berkelajuan mencapai 800 kilometer (km) sejam.

Menurut Ibrahim, berdasarkan rekod yang berlaku di Indonesia, ombak tsunami boleh mencapai ketinggian sehingga 35 meter.

Ombak tsunami yang melanda negara baru-baru ini berpusat di Lautan Hindi iaitu kepingan lautan (Hindi) menjunam masuk ke kepingan Sunda (Sumatera).

Oleh kerana dihalang oleh Pulau Sumatera, Malaysia bernasib baik kerana kekuatan ombak diminimumkan oleh halangan pulau tersebut.

Dalam pada itu beliau memberitahu, fenomena kepingan lautan tersebut antara punca peta dunia berubah.

Proses tersebut yang berlaku melibatkan hanya pergerakan kira-kira lapan milimeter setahun bagaimanapun mengubah kedudukan atau menenggelamkan pulau-pulau.

Pergerakan ini berlaku kerana sifat semula jadi Bumi yang dinamik.

Satu ketika, benua kecil India terasing dengan selatan Asia tetapi apabila berlaku pergerakan kepingan bumi secara berterusan, India bercantum dengan Asia

Pergerakan berterusan ini menjadi punca pembentukan Banjaran Himalaya dan gempa bumi.

Berdasarkan rekod, kira-kira 280 juta tahun dahulu, benua Afrika dan benua Amerika Selatan mungkin bercantum, manakala Pulau Langkawi terletak berhampiran dengan Australia.

Sementara itu, berdasarkan rekod gempa bumi yang besar, China antara yang terawal menerima kesannya yang membunuh kira-kira 6,000 orang.

Tragedi ini berlaku 70 tahun Sebelum Masihi.

Selepas itu, lebih 40 gempa bumi besar dicatatkan di seluruh dunia tetapi magnitudnya yang paling besar ialah di Chile (1960) dan Alaska (1964) iaitu masing-masing berukuran 8.5 dan 8.6 skala Richter.

Bermakna, magnitud gempa bumi yang menimbulkan tsunami baru-baru ini adalah yang terbesar dalam sejarah yang direkodkan manusia kerana ia mencapai 9 pada skala Richter.

Dua gempa bumi besar yang menyebabkan tsunami ialah pada 1896 di Jepun yang mengorbankan 22,000 orang dan di Alaska tetapi hanya mengorbankan 131 orang.

Pada 1883 pula, ombak tsunami yang berpunca daripada letupan gunung berapi Krakatoa di Indonesia antara yang terbesar dan membunuh ramai mangsa di Jawa.

Prof. Madya Mohd. Ali pula menyatakan, struktur bumi di sekitar Lautan Hindi tidak aktif dan tidak menunjukkan tanda-tanda akan berlakunya sebarang gempa bumi yang besar terutama di bawah aras laut.

"Itulah antara sebab utama amaran awal tidak dapat dikeluarkan kerana tiada siapa menduga kejadian sebegitu buruk akan berlaku,'' katanya.

Sebelum ini bencana yang sebegini besar memang tidak pernah berlaku atau direkodkan dalam sejarah.

"Walaupun demikian rekod menunjukkan terdapat lebih kurang 30,000 gegaran berlaku di sekitar Lautan Hindi dan Lautan Pasifik sekitar 1961 hingga 1967,'' katanya lagi.

Gegaran berkenaan menurut Mohamad Ali adalah kecil dan tidak dapat dirasai serta tidak memberikan sebarang kesan kepada struktur bangunan.

Bagaimanapun gempa yang berasal daripada dasar lautan amat jarang berlaku dan jika berlaku, ia akan memberikan impak yang besar.

Gempa bumi yang berlaku bawah permukaan laut pernah direkodkan bermula 0 kilometer sehingga 700 km bawah laut.

"Semakin dalam gempa yang berlaku, semakin kuat kesannya dan gempa yang berlaku baru-baru ini hanya 40 km di bawah paras bumi,'' katanya.

Menurut Mohamad Ali, gempa bumi yang berlaku di dasar laut akan mengakibatkan gelombang ombak besar dan menyebabkan pelbagai kerosakan besar di kawasan tepi pantai.

"Biasanya pertembungan antara benua lautan dan daratan (dua jisim berlainan) akan menghasilkan kekuatan yang amat luar biasa.

"Pertembungan berkenaan akan menghasilkan gegaran kuat di lautan yang kemudiannya dijelmakan dalam pepejal.

"Kemudian tenaga disebarkan kepada jisim air yang membentuk serakan dan apabila sampai ke pantai menghasilkan gelombang besar dan dengan cepat menghempas pantai dan memusnahkan apa saja yang ada di depannya," katanya.

Biasanya sesuatu perkara yang jarang berlaku akan menghasilkan magnitud lebih kuat berbanding gegaran yang berlaku di daratan yang lebih kerap tetapi magnitud rendah kerana tenaga kurang.

Makin jauh pusat gempa di bawah paras laut semakin kuat gelombang yang dihasilkan di permukaan.

Menurut Mohamad Ali, gegaran berkenaan dapat dirasai hingga ke India, Sri Lanka dan sebahagian benua Afrika mungkin kerana dipengaruhi oleh arah dan kelajuan tiupan angin.

Biasanya terdapat beberapa siri gegaran selepas gempa bumi dan akan stabil dalam masa satu atau dua minggu.

Ada kalanya beberapa tempat mungkin mengalami gegaran kuat di daratan dan menghasilkan kemusnahan besar seperti di California, Amerika Syarikat.

Ini berlaku apabila ada zon sesar di mana lapisan bumi akan bergesel antara satu sama lain dan ada rekahan.

Tetapi mengapakah gegaran tidak dapat diramalkan lebih awal?.

Mohamad Ali berkata, ketiadaan sistem amaran pemantauan seismik di sekitar Lautan Hindi berbanding Lautan Pasifik seperti sekitar Jepun menyebabkan amaran awal tidak dapat dikeluarkan.

"Mungkin kerana fenomena berkenaan tidak pernah berlaku di sekitar Lautan Hindi.

"Bagaimanapun kita harus mengambil iktibar mengenai apa yang telah berlaku walaupun negara terletak jauh dari Lingkaran Api Pasifik,'' katanya.

Mohamad Ali menambah, langkah-langkah sewajarnya perlu diambil kerana apa yang berlaku menunjukkan negara telah mula mendapat kejadian alam luar biasa yang lebih kerap berbanding tahun 60-an.

Mohamad Ali berkata sudah tiba masanya kerajaan mewujudkan geohazard centre (pusat pemantauan malapetaka alam).


Misteri Gadis Terjun Dari KB Mall Terjawab

Gadis hilang kasih sayang

KOTA BHARU - Remaja perempuan yang cuba membunuh diri dengan terjun dari tingkat tiga bangunan pasar raya KB Mall sambil bersenjatakan pisau mengalami masalah mental selepas dipercayai putus cinta dan kurang kasih sayang keluarga.

Sebelum itu, remaja yang berusia 19 tahun itu juga, bertindak sedemikian selepas dipercayai tidak ada kasih sayang daripada keluarganya yang tinggal di Johor.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, remaja terbabit dikatakan tinggal bersama neneknya sejak tiga bulan lalu dan dipercayai kedua-dua ibu bapanya juga mengalami masalah rumah tangga.

Beliau berkata, berikutan kedua ibu bapanya di Johor tidak memberi kasih sayang yang sempurna kepadanya, dia mengambil keputusan pulang ke Kota Bharu dan tinggal bersama neneknya di Lorong Purnama, Jalan Salor, dekat sini.

“Saya difahamkan, remaja terbabit mengalami tekanan perasaan lagi apabila dia berpisah dengan teman lelakinya dan ditambah pula krisis keluarganya,” katanya ketika ditemui di sini pada Majlis Perbarisan Sempena Peringatan Hari Polis ke 204 Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu.

Azham berkata, remaja terbabit yang bekerja dekat Wakaf Che Yeh mengalami kecederaan di mulut dan dilaporkan stabil itu kini menerima rawatan lanjut di Wad Psikiatri, Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II Kota Bharu.

Beliau berkata, hasil siasatan polis turut menemui sebilah pisau yang dipercayai digunakan ketika cuba membunuh diri dan kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh diri.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 petang kelmarin, remaja terbabit cuba diselamatkan oleh sepasukan anggota bomba dan polis yang bergegas ke tempat kejadian selepas menerima maklumat daripada orang ramai.

Sebelum kejadian, remaja terbabit dikatakan berlegar-legar di tingkat tiga bangunan pasar raya KB Mall sambil bersenjatakan sebilah pisau.

Sehubungan itu, Azham menasihatkan remaja lelaki dan perempuan supaya tidak mengambil tindakan yang boleh mendatangkan kemudaratan sehingga boleh membawa maut.

“Saya mengingatkan remaja supaya memberi fokus kepada masa depan yang berguna dan menjalankan kegiatan luaran lebih positif.

“Ibu bapa juga dinasihatkan untuk memberi perhatian kepada perkembangan anak-anak masing-masing kerana kurangnya kasih sayang boleh menyebabkan kejadian tidak diingini berlaku seperti ini,” katanya. -SH


Berita Berkaitan Sebelum Ini:

[Bergambar & Video] Gadis Terjun Dari KB Mall. Apa Yang Sebenarnya Berlaku?

Radiasi Naik 10 Kali Ganda, Air Tercemar Berrisiko Sebabkan Barah

Sendai: Paras radiasi di perairan berhampiran loji nuklear Fukushima yang dilanda tsunami melonjak 10 kali ganda dalam tempoh beberapa hari.

Ketika petugas loji itu bergelut untuk menstabilkan stesen jana kuasa itu, tahap radiasi kini menjadi ancaman kepada orang awam.

Pegawai agensi keselamatan nuklear Jepun, Hidehiko Nishiyama, berkata seseorang yang meminum 500 mililiter air tercemar berdepan risiko barah.

Katanya, pengambilan air dalam jumlah itu menyamai kadar pendedahan dibenarkan untuk tempoh setahun.

Bagaimanapun, Nishiyama menolak kemungkinan kesan terhadap hidupan air dapat dilihat dalam tempoh segera.

Ketika ini, paras iodin 131 di Lautan Pasifik berhampiran Fukushima adalah 1,250 kali ganda daripada tahap dibenarkan.

“Secara umumnya, bahan radioaktif yang dibebaskan ke laut akan merebak mengikut arus dan perlukan lebih banyak rumpai laut dan hidupan lain untuk menyerapnya,” katanya mengulas hasil ujian dikeluarkan Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo (Tepco), semalam.

Selain iodin, bahan cemar lain yang dikesan Tepco adalah caesium yang mampu bertahan selama 30 tahun.

Bahan itu didapati 79.6 kali ganda lebih tinggi daripada tahap dibenarkan.


Jepun mengalami gempa bumi sekuat 9 magnitud pada 11 Mac lalu, sebelum diikuti tsunami yang melanda pantai timur laut negara itu.

Setakat ini, jumlah korban rasmi dikeluarkan kerajaan meningkat kepada 10,151 dan tidak banyak harapan dapat dipertaruhkan bagi mengesan 17,053 mangsa lain yang masih hilang.

Paras radioaktif iodin, caesium and kobalt di perairan berhampiran reaktor satu dan tiga loji berkenaan terus membimbangkan apabila didapati 10,000 kali ganda lebih tinggi berbanding situasi biasa. - AFP


Radiasi semakin banyak dilepaskan

Lebih ramai penduduk Fukushima pindah

TOKYO: Paras radioaktif di perairan berhampiran loji nuklear Daiichi, Fukushima semakin meningkat semalam, dua minggu selepas ia mengalami kebocoran akibat gempa bumi 9 skala Richter disusuli ombak tsunami.

Seramai 700 jurutera bertungkus-lumus mengepam air radioaktif dari loji yang terletak 240 kilometer ke utara Tokyo, bagi menstabilkannya selain menggerakkan semula pam air bagi menyejukkannya.

Ada pihak mengesyaki reaktor itu bocor selepas tentera Amerika Syarikat turut membantu usaha menyejukkannya.

Agensi keselamatan nuklear berkata, ujian menunjukkan tahap iodin radioaktif melonjak ke paras 1,250 kali lebih tinggi berbanding kadar normal di sekitar kawasan perairan di loji berkenaan.

Perkembangan terbaru di loji dan radiasi itu menyebabkan pihak berkuasa kini menggerakkan operasi memindahkan penduduk dalam lingkungan 20 hingga 30 kilometer dari loji nuklear berkenaan.

Selain itu, di Tokyo, bandar 13 juta penduduk, mencatat tahap radiasi 0.22 mikrosievert sejam, enam kali ganda paras normal.

Ia masih dalam kategori normal Persatuan Nuklear Dunia iaitu 0.17 hingga 0.39 mikrosievert sejam.

Tetapi, seorang pegawai di Kementerian Sains mengesahkan bahawa tahap radiasi harian di kawasan 30 kilometer ke barat laut loji berkenaan, paras melebihi had setahun.

Begitupun, pegawai kanan dari Agensi Keselamatan Industri dan Nuklear Jepun, Hideko Nishiyama berkata, pencemaran yang berlaku memberi risiko kecil kepada kehidupan laut.

“Arus lautan akan memecahkan zarah radioaktif dan menjadi sangat cair ketika dimakan oleh ikan atau hidupan laut lain,” katanya.

Nishiyama berkata, pihaknya sedang berusaha mencari jalan untuk menulenkan air di kawasan laut di situ agar tidak menjejaskan alam sekitar.

Air mengandungi sisa radioaktif ditemui di dalam bangunan yang menempatkan tiga daripada enam reaktor yang terjejas di loji berkenaan.

Khamis lalu, tiga pekerja melecur di reaktor nombor 3 selepas terdedah kepada paras radiasi 10,000 kali ganda lebih tinggi daripada paras normal di loji terbabit.

Reaktor ini adalah satu-satunya menggunakan campuran plutonium dan uranium. Plutonium adalah isotop radioaktif paling bahaya.

Tidak hairanlah, di sebalik jaminan pihak berkuasa, perkembangan terbaru meningkatkan kebimbangan ke atas eksport makanan laut Jepun.


Krisis nuklear di loji Daiichi Fukushima, kini membayangi usaha mencari dan menyelamat mangsa gempa dan tsunami yang melanda Jepun 11 Mac lalu dan menyebabkan lebih 27,500 orang terbunuh atau hilang.

Ada negara sudah mengeluarkan larangan ke atas susu dan keluaran hasil pertanian dari wilayah di sekitar loji itu. – Reuters/Agensi


200 Ribu Rakyat Jerman Berdemonstrasi Menentang Penggunaan Logi Nuklear

Sekitar 200,000 orang turun ke jalanraya-jalanraya di Jerman semalam, menentang penggunaan logi nuklear di negara tersebut.

Aksi tersebut dilakukan setelah terjadi kerosakan logi nuklear Fukushima, Jepun, akibat gempa bumi dan tsunami.

Di Berlin 100,000 para demonstran mendesak kerajaan menghentikan penggunaan nuklear.

Desakan yang sama disampaikan lebih kurang 40,000 rakyat yang berdemontrasi di kota Hamburg, Munchen, dan Koln.

Mereka meminta 17 reaktor di Jerman ditutup selamanya.

Krisis akibat kerosakan reaktor di Fukushima mendorong Chanselor Jerman Angela Merkel menghentikan secara sementara tujuh reaktor.

Dibekukan

Pada ketika ini ketujuh-tujuh reaktor tersebut menjalani pemeriksaan. Para pejabat mengatakan mungkin beberapa di antaranya tidak akan lagi dioperasikan.

Sejak bencana nuklear di Chernobyl pada 1986 banyak pihak di Jerman menentang penggunaan nuklear untuk menghasilkan ternaga.

Kerajaan sepuluh tahun lalu memutuskan bahwa logi nuklear di Jerman akan ditutup pada 2021 namun Kanselir Merkel mengubah keputusan tersebut dengan menambah usia reaktor rata-rata 12 tahun.

Perkembangan di Jepun membuat rencana Merkel dibekukan untuk sementara waktu.

Sekitar 23% keperluan tenaga di Jerman diambil dari tenaga nuklear.

Pada hari Jumat kelmarin para pemimpin Kesatuan Eropah sepakat membuat keputusan semua logi nuklear di kawasan akan diperiksa.

Presiden Perancis Nicolas Sarkozy menjelaskan semua reaktor akan menjalani pengujian dan bila dinyatakan tidak lulus, reaktor tersebut tidak boleh beroperasi. -BBC

Ulasan GB

Itu rakyat di sebuah negara maju, yang mengambil iktibar dari apa yang berlaku di Fukushima Jepun.

Di Malaysia lain ceritanya. Kebodohan kerajaan menggadaikan nyawa rakyatnya untuk meneruskan program nuklear.

PM, TPM dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Maximus Ongkili, ingin meneruskan rancangan pembinaan loji pemprosesan logam radioaktif tanah jarang (rare earth) di Gebeng, Kuantan, yang bernilai hampir RM700 juta yang dikatanya adalah selamat dan tidak membahayakan kesihatan awam.

GB sudah ulas sebelum ini: Loji Nuklear Gebeng: Kalau Selamat Suruh Semua Menteri Pindah Ke Sana

Eskay Didakwa Kata 'Buat Sampai Anwar Jatuh'

Ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dikatakan membuat perancangan mengumpul bahan tertentu di Siam dalam usaha membalas dendam terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, dakwa bekas pegawal peribadi allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob, hari ini.

Mohamad Mahti Abdul Rahim, 63, berkata pada 8 Mac, Eskay memberitahunya bahawa beliau menyalahkan Anwar terhadap saman RM20 juta ringgit yang didengar di mahkamah berhubung komisyen projek 'jambatan bengkok'.

“Saya telefon dia (Eskay) pada 11 Mac. Dia marah-marah (mengatakan) Datuk Seri Anwar tak guna, Datuk Seri Anwar dah curi duit kita, saya akan buat dia sampai jatuh. Saya nak balik pi (pergi) Siam, nak kumpulkan bukti-bukti nak jatuhkan Datuk Seri Anwar,” kata Mahti seorang bekas pegawai polis yang pernah rapat dengan Eskay.

Eskay adalah bekas Konsul Thailand di Malaysia dan dilaporkan mempunyai jaringan kenalan yang luas di negara jiran itu.

Pada 21 Mac lalu, Eskay menayangkan sebuah video seks lucah yang didakwa seorang ahli politik kanan mengadakan hubungan seks dengan seorang pelacur di Kuala Lumpur.

Panggilan telefon

Selain Eskay, bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik dan bendahari PERKASA Datuk Shuib Lazim juga mengaku bertanggungjawab di atas penayangan video lucah itu.

Mahti berkata selepas mendedahkan pada sidang akhbarnya semalam bahawa Eskay sakit hati dengan Anwar Ibrahim yang dikatakan enggan membalas 'jasanya', beliau dihubungi Shuib.

Katanya, panggilan telefon diterima petang semalam dan Shuib menwarkan untuk berjumpa dengannya bagi menerangkan apa yang berlaku.

Namun, pertemuan itu tidak menjadi kenyataan.

"Saya percaya Shuib (anggota ketiga kumpulan Datuk T) dan (bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri) Rahim Thamby Chik tidak terlibat dan mungkin dipengaruhi dia (Eskay).

“Ni semua jadi mangsa, Datuk Shuib dan Tan Sri Rahim Thamby Chik,” katanya pada sidang media kedua di ladang ternakan kambingnya di Kundang, Selangor, hari ini.

“Saya percaya Najib tak tahu menahu pasal benda ni. Tak ada konspirasi kerja dia seorang. Dia mungkin mempengaruh orang. Dia ada kepentingan. Dulu dia boleh masuk dengan (Tun Dr) Mahathir (Mohamad), sekarang mungkin nak tackle (Datuk Seri) Najib (Abdul Razak).

Pada sidang media semalam, Mahti seorang anggota polis yang kemudian menjadi pengawal peribadi kepada Megat Junid berkata Eskay sakit hati kerana Anwar enggan menjadi saksi dalam kes saman sivil yang membabitkan projek 'jambatan bengkok'.

Tambahnya hari ini, pertemuannya dengan Eskay dengan tiga rakan yang lain berlangsung di Starbucks, Midvalley Mall, Kuala Lumpur pada 19 Januari lalu di mana dia terdengar Eskay membuat ugutan.

"Saya tanya bicara nanti siapa jadi saksi? (kes saman ke atas Merong Mahawangsa dan pengarahnya, Datuk Yahya A Jalil berhubung kontrak 'jambatan bengkok') Si Kitol (Mahti melabel Eskay, sebagai SK yang ditakrifnya Si Kitol) kata Anwar.

“Saya tanya betul ke Anwar nak mai (mari), dia kata dia mesti mai kalau tak saya akan buat sampai dia jatuh. Lapan telinga dengar,” katanya. -mk

Pengendali UMNO-Reform Kata Bukan Anwar Ibrahim Dalam Video Itu

Ada kalanya keghairahan menyebabkan kita hilang pertimbangan. Kemarahan melampau merugikan. Tindakan terburu-buru juga akan membodohkan dan yang paling dahsyat ialah rangkuman kesemua ini, keghairahan, kemarahan dan tindakan terburu-buru menyebabkan kita melakukan kesilapan yang akhirnya menjadi satu penyesalan.

Hari ini ramai yang membicarakan sama ada video itu benar – melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pendedahan demi pendedahan dilakukan. Persoalan Datuk T sama ada Trio atau hanya individu kembali wujud dengan pendedahan Badrul Hisham Shahrin dan Johari Abdul. Mereka semua dipanggil pada hari pertama menonton secara eksklusif dan berbual dengan Datuk T dan Tan Sri Rahim Thamby Chik.

Benar persoalan yang mahu ditanya adalah BENARKAH ANWAR IBRAHIM ORANG YANG TERLIBAT DALAM VIDEO ITU? Semakin ghairah persoalan itu. Mereka yang dipanggil pada petang/malam 21hb March 2011 – setakat ini membuat pengakuan bahawa orang dalam video itu BUKAN ANWAR IBRAHIM.

Mereka yang melihat video itu dan berbual secara peribadi dengan Rahim Tamby Chik pada hari tersebut adalah Badrul Hisham Shahrin dan Johari Abdul – kedua-duanya dari PKR.

Dalam kenyataan Badrul Hisham Shaharin ada seorang BLOGGERS UMNO yang mengikutinya untuk menonton video lucah Carcosa itu. Beliau tidak mahu menyeret bloggers UMNO tersebut dan tidak mahu menyusahkannya.

Apabila diajukan soalan siapa dia, BADRUL HANYA MENJAWAB TUNGGU DIA BERITAHU SENDIRI. Satu tindakan baik dan amat dihormati. Siapa bersama Badrul Hisham pada 21hb March 2011 yang menonton video itu dan bukan kalangan PKR tetapi UMNO ? Saya perlu menyatakan bahawa orang yang dikatakan bersama Badrul Hisham Shaharin, merujuk kepada kenyataan media beliau - yang beliau rujuk sebagai : BLOGGERS UMNO itu adalah saya sendiri!

Saya telah diajak oleh Badrul Hisham Shahrin menghadiri panggilan Datuk T ke Shangrila pada malam 21hb March 2011. Mungkin sayalah seorang blogger UMNO, ahli UMNO yang dapat menonton video lucah Carcosa pada hari video itu didedahkan.

Mungkin itulah sebabnya saya katakan pada awal tulisan ini – ada kalanya keghairahan itu merugikan dan menyulitkan.

Mungkin tidak menonton lebih baik dari menonton. Akhirnya – sebelum spekulasi berterusan mengatakan mengenai orang UMNO yang hadir menonton bersama Chegubard yang juga adalah rakan baik saya – saya membuat pengakuan bahawa saya adalah orang ke 3 selepas dimaklumkan bahawa Johari Abdul, Badrul Hisham menonton pada malam 21hb March 2011 tersebut dan saya adalah ahli UMNO dan bloggers UMNO yang dimaksudkan oleh Chegubard.

Saya juga dalam pengakuan ini menetapkan bahawa kehadiran saya adalah kerana jemputan/pelawaan dan kemahuan saya menuruti rakan saya Badrul Hisham Shaharin dan ini dilakukan atas kapasiti saya sendiri dan tidak melibatkan mana-mana pihak lain, organisasi dan badan lain yang saya sertai. Sekian di maklumkan.




Ketika Chegubard di hantar ke hadapan IJN untuk dijemput oleh bodyguard-bodyguard T Stooges, saya tidak sempat untuk turut bersama menemani chegubard ke IJN. Mungkin kerana kesuntukkan masa, chegubard telah terus dihantar oleh Sani dan Din Binjai ke hadapan IJN seperti yang dijanjikan.

Kemudian barulah Sani menjemput saya di Lembah Pantai untuk sama-sama menunggu apakah kesudahan perjumpaan sulit chegubard. Saya difahamkan chegubard telah ditemani seorang rakan rapatnya yang juga seorang ahli UMNO dan saya juga saling mengenali dengan rakan tersebut. Ternyata nilai persabahatan itu sebenarnya tidak terkira walau merentasi batasan parti.

Dan di bawah ini, adalah pengakuan terbuka rakan yang dimaksudkan di atas. Cuma dalam pengakuan di bawah, tidak dinyatakan asas pendirian rakan chegubard, samada mempercayai sosok yang berada di dalam video seks itu adalah Anwar Ibrahim atau sebaliknya.

TETAPI, sewaktu ditanya oleh pemberita apakah pendirian rakan yang menemani chegubard, dengan yakin chegubard menjawab rakannya itu juga menyatakan pendirian bahawasanya beliau juga yakin bukan Anwar Ibrahim yang menjadi pelakon di dalam video seks tersebut.


Ulasan GB

Itu pengakuan dari blogger UMNO sendiri yang sudah menonton, bersetuju bahawa yang berlakon itu bukan Anwar Ibrahim.

Sedangkan blogger pencacai UMNO yang lain, yang tak menonton, bising-bising terpekik terlolong menyatakan ia Anwar Ibrahim.

GB kata isu seks video ini akan terus membogelkan konspiratornya sendiri. Tunggu saat dan ketika. Wamakaru wamakarallah wallahu khairul maakirin