26 Sep 2011

Lagi Kes Polis Pukul Orang Awam. Apakah Polis Samseng Berlesen?

Pekerja syarikat pembersihan sisa pepejal dakwa dipukul polis

JITRA: Seorang pekerja syarikat pembersihan sisa pepejal mendakwa dipukul oleh anggota polis ketika sedang menjalankan tugas di sebuah taman perumahan di Kodiang, dekat sini, pada 11.30 pagi, Sabtu lalu.

Mohd Ridzuan Mohd Noor, 23, berkata ketika kejadian dia sedang mengangkut sampah di kawasan itu dan dia menegur seorang lelaki yang tidak membuang sampah ke dalam tong sampah yang disediakan di situ.

"Saya hanya menegur supaya dia buang sampah ke dalam tong sampah. Mungkin dia tidak puas hati dengan teguran saya dan dia terus tinggikan suara dan masa tu berlaku pertengkaran mulut.

"Dia juga mengugut nak tembak saya kalau dia ada pistol sebelum dia beredar dari tempat itu," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Katanya, kira-kira 30 minit selepas kejadian pertengkaran mulut berlaku, dia didatangi lima lelaki lain yang datang dan memukulnya tanpa sebab.

"Depa (mereka) menendang saya hingga jatuh. Kemudian depa heret saya dengan tangan bergari bawa saya ke Balai Polis Kodiang dengan menaiki motosikal. Sampai di balai, saya dibawa masuk ke dalam sebuah bilik dan dipukul.
"Kemudian lelaki yang bertengkar dengan saya datang ke bilik itu dan turut memukul saya sebelum saya dibawa masuk ke dalam lokap tanpa sebab. Masa tu baru saya tau dia (lelaki yang bertengkar dengannya) adalah anggota polis," kata mangsa.

Dia berkata, dia ditahan di dalam lokap kira-kira setengah jam sebelum anggota polis tersebut melepaskannya.

"Selepas kejadian itu, saya pergi ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan dan doktor memberitahu pipi kiri, bahu dan tulang rusuk kiri ada kesan lebam. Saya juga membuat laporan polis tentang kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt Ibrahim Mohamad Yusof ketika dihubungi berkata, beliau menerima laporan tentang kejadian itu.

"Kita sudah membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan," katanya. - BERNAMA

Ulasan GB

Mentang-mentang ada kuasa, ada pistol, ada gari - maka boleh berbuat sesuka hati.

Sebelum ini sudah ada berita polis merompak, polis membunuh, polis lakukan jenayah. Polis kini seumpama penjenayah yang dilindungi undang-undang, samseng yang berlesen.

Persepsi negatif rakyat terhadap polis akan terus ada selagi pembersihan total tidak dilakukan oleh kerajaan terhadap PDRM. Pangkat dan gaji mereka sentiasa dinaikkan tetapi lansung tidak membantu menaiktarafkan professionalime mereka.

GB sudah berkali-kali katakan, kita tidak menghasut orang membenci pasukan polis tetapi tindakan polis sendiri yang menyebabkan mereka dibenci oleh rakyat.

Kebenaran akan tetap terdedah sehari ke sehari.

Inkues Sarbaini: Tak Bunuh Diri & Tak Dibunuh, Suruhanjaya Siasatan Diraja Diperlukan

Inkues: Tiada unsur jenayah dalam kematian Sarbaini

Mahkamah Koroner Kuala Lumpur memutuskan Penolong Pengarah Kastam Selangor Ahmad Sarbaini Mohamed, 56 jatuh dari pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kuala Lumpur selepas berada pada belebas tingkap bangunan itu.

Koroner Aizatul Akmal Maharani, dalam penghakimannya kepada mahkamah yang penuh sesak, berkata teori bahawa SPRM terlibat dengan kematiannya tidak boleh diterima.

Sehubungan itu, beliau menolak bunuh diri, homisid ataupun penglibatan pihak ketiga bagi alasan kematian.

"Tidak ada tanda-tanda pergelutan pada kejadian itu dan mahkamah juga menolak bahawa dia membunuh diri."

Menurut koroner, beliau percaya Ahmad Sarbaini terjatuh dari bangunan itu dan dalam keadaan sedar semasa jatuh.

"Mahkamah juga mendapati dia mati serta-merta dalam kejatuhan itu dengan kakinya terjatuh dahulu sehingga mencederakan kedua-dua belah kakinya dan juga mengalami kecederaan teruk di kepala."

Peawai Pejabat Peguam Negara Mohd Abazafree Mohd Abbas membantu dalam inkues itu manakala SPRM diwakili oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Keluarga Ahmad Sarbaini pula diwakili oleh peguam Awtar Singh mewakili manakala peguam Rosli Dahlan dan Nadia Marni Mat Zin bertindak sebagai pemerhati bagi syarikat multinasional DB Schenker Logistics (M) Bhd.

Antara penemuan penting inkues itu adalah bahawa sistem litar tertutup CCTV SPRM didapati diganggu dengan 22 jam rakaman termasuk tempoh apabila Ahmad Sarbaini datang ke premis agensi itu telah dipadamkan.

Seramai 34 saksi memberi keterangan pada inkues yang mengambil masa 14 hari untuk selesai.

Saksi-saksi yang tampil, termasuk dua ahli patologi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Faridah Md Nor dan Dr Shahrum Abd Wahid.

Ahmad Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang, ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu pejabat SPRM di Jalan Cochrane 6 April lalu.

Beliau sebelum itu ditangkap sebagai sebahagian daripada program 3B tetapi kemudiannya dibebaskan sebelum kembali kepada SPRM pada hari kejadian itu.

Beliau dilaporkan ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah membabitkan 62 pegawai Kastam.

Kawan-kawan dan ahli-ahli keluarga mendakwa terdapat unsur jenayah dalam kematiannya. Mereka berkata, Ahmad Sarbaini adalah seorang pegawai yang bersih dan telah merancang untuk menunaikan fardu haji tahun ini bersama isteri dan ibu bapanya.

Balu allahyarham Masiah @ Maziah Manap dan pengerusi Sosial Care Tan Sri Robert Phang turut hadir di mahkamah. -mk


Peguam keluarga Sarbaini: Keputusan sukar dipercayai

Keluarga allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed mahu lebih banyak masa sebelum mengulas secara rasmi keputusan inkues berhubung kematian penolong pengarah kastam itu.

Abang iparnya, Mohd Shah Jaafar berkata balu Ahmad Sarbaini letih hari ini kerana beliau telah pergi ke bangunan Tabung Haji.

Masiah @ Maziah Manap (kiri) dan Ahmad Sarbaini dijadual menunaikan fardu haji tahun ini.

Berikutan kematian Ahmad Sarbaini, anaknya akan mengantikan bapanya ke Tanah Suci.

Mengulas keputusan Mahkamah Koroner, peguam keluarga, Awtar Singh berkata adalah sukar untuk mempercayai bahawa arwah Sarbaini telah memanjat tingkap untuk melarikan diri.

"Mengapa dia perlu berbuat demikian? Dia pergi (ke sana) secara sukarela. Tambahan pula, tidak ada cap jari yang kelihatan di cermin tingkap dan mereka tidak mengambil pakaian ketua penyiasatan SPRM KL, Ahmad Fauzi (Husin), untuk menjalankan ujian DNA."

Awtar berkata SPRM perlu bertanggungjawab atas kematian itu kerana kejadian berlaku di perkarangan bangunannya.

"Kami sedang memikirkan untuk memfailkan semakan kehakiman, tetapi saya akan menunggu arahan daripada keluarganya."

Mahkamah Koroner hari ini memutuskan kematian Ahmad Sarbaini, 56, disebabkan nahas kerana terjatuh dari aras tiga bangunan SPRM dengan tidak disengajakan.

Koroner Aizatul Akmal Maharani membuat keputusan itu selepas bersidang selama 13 hari dan memanggil 34 saksi sejak 4 Julai lalu.

Aizatul juga menolak unsur dibunuh dan membunuh diri.

Ahmad Sarbaini ditemui mati di aras satu gelanggang badminton bangunan itu di Jalan Cochrane di Kuala Lumpur pada April lalu. -mk

Ulasan GB

Keputusan Koroner sudah dijangkakan. Kerana selama ini pun inkues TIDAK MENEMUI apa-apa bukti untuk membuat keputusan yang lain selain dari "tidak dibunuh dan tidak membunuh diri".

GB sudah mengulas hal ini semenjak inkues bermula:


Persoalan kini, relevankah inkues? Mengapa tidak terus tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja?

Ini kerana rakyat menjadi hairan sudah tiga inkues membuat keputusan yang hampir serupa - tidak menemui "pembunuh sebenar" kepada mangsa. Pergi balik pergi balik mahkamah yang kita perolehi, keputusan yang tidak ada keputusan.

1) Inkues kematian Gunasegaran di mana di dalam kes berkenaan koroner Siti Shakirah Mohtarudin memberikan "keputusan terbuka" berhubung inkues bagi menentukan kematian R Gunasegaran semasa dalam tahanan polis kerana tidak boleh dibuktikan dengan muktamad.

2) Inkues kematian Teoh Beng Hock di mana koroner Azmil Muntapha Abas memutuskan bahawa kes inkues itu juga adalah satu kes “keputusan terbuka” dengan beralasan yang serupa di atas: keterangan yang ada tidak mencukupi atau tidak mencapai tahap yang dikehendaki untuk merekod lain-lain keputusan.

3) Inkues kematian pengawal Istana Kelantan, Ramli Mohamad, Koroner Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat juga memberikan "keputusan terbuka" kerana dikatakan tidak mempunyai keterangan yang mencukupi untuk menyabitkan mana-mana individu yang menyebabkan kematian itu.

Apa cerita ni? Buang masa, buang wang negara dengan pewujudan inkues.

Hakim-hakim seperti "takut" untuk menetapkan hukuman dan seperti mahu melindungi pihak tertentu kerana ketiga-tiga kes di atas melibatkan pihak polis & pegawai SPRM sendiri.

Jika demikianlah keadaannya, rakyat wajar persoalkan peranan Istana Keadilan (Palace of Justice), peranan hakim-hakim dan peranan institusi kehakiman negara yang sepatutnya menjadi payung kebenaran dan keadilan tetapi kini musnah akibat dari sikap para hakim yang tidak bertaggungjawab.


Di dalam inkues kematian Sarbaini ini, apa yang nyata koroner TIDAK lansung mengarahkan siasatan mengapa CCTV tiba-tiba tidak berfungsi selama 22 jam dan rakaman termasuk tempoh apabila Ahmad Sarbaini datang ke premis agensi itu telah dipadamkan. Itu kecacatan paling besar di dalam inkues kematian Ahmad Sarbaini.

Ia adalah penting tetapi koroner mengabaikannya. GB sudah juga ulas hal ini. Petikan:

GB melihat isu ini sama seperti isu kematian Teoh Beng Hock - bahawa - Ahmad Sarbani adalah mangsa kepada pegawai-pgawai SPRM yang salahguna kuasa, angkuh dan sentiasa berdusta apabila memberi keterangan.

Kita masih tertanya-tanya: Siapa padamkan rakaman CCTV sewaktu Ahmad Sarbani disoalsiasat? Itu perlu diberikan penekanan di peringkat awal siasatan.

MUSTAHIL samasekali CCTV terhenti atau tidak berfunsi di dalam keadaan itu sedangkan CCTV dapat merakam ketibaan Ahmad Sarbani di pejabat SPRM dengan menaiki motorsikal sebelumnya. Ini bererti pihak orang dalam SPRM atau PDRM yang menyiasat TELAH menghapuskan rakaman CCTV berkenaan.


JUSTERU ITU, rakyat berpersepsi bahawa Suruhanjaya Siasatan perlu ditubuhkan. Tiada alasan lain lagi selepas ini. Jika sebelum ini pihak kerajaan menyatakan bahawa inkues perlu diadakan terlebih dahulu sebelum Suruhanjaya Siasatan, maka kini keputusan koroner itu amat tidak memuaskan kerana seperti menutup kepincangan di dalam SPRM seperti yang berlaku di dalam kes Teoh Beng Hock. Justeru itu Suruhanjaya Siasatan perlu ditubuhkan untuk membongkar misteri sebenar kematian ALlahyarham Ahmad Sarbaini.

Sebenarnya, SKMM Tidak Profesyenal, Ampu & Bodek Menjadi Budaya SKMM

Dakwaan 'Undilah' bawa mesej tersirat 'mengarut'

Penerbit video siaran pengumuman khidmat awam, 'Undilah' - Pete Teo - menyifatkan dakwaan klip video itu mempunyai mesej tersirat yang yang memihak kepada pembangkang sebagai "mengarut dan tidak masuk akal".

Semalam, ahli parlimen Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahlan dalam tweeter menulis video yang diarahkan tidak disiarkan di stesen televisyen di seluruh negara oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, minggu lalu kerana "penuh dengan mesej separa sedar.”

"Ia mengandungi nada anti kerajaan tanpa disedari oleh penonton."

Abdul Rahman juga menulis bahawa perkara pokok yang dibincangkan boleh diterima tetapi video itu condong kepada mesej-mesej yang cuba dibawa oleh pembangkang.

Ketika dihubungi, Teo memberitahu Malaysiakini bahawa dia tidak tahu bahawa Abdul Rahman, dalam laporan berita, mendakwa video itu turut memaparkan akhbar organ rasmi PAS, Harakah sehingga perkara itu dibangkitkan.

Katanya, pihak penerbitan telah berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan bahawa video berkenaan memaparkan kedua-dua pihak kerajaan dan pemimpin pembangkang secara adil.

Bagaimanapun, menurut Teo, jika Abdul Rahman mahu menjadikan babak yang membabitkan Harakah sebagai isu, terdapat juga babak dalam video itu di mana seorang lelaki membaca akhbar Malaysia Nanban, milik milik MIC.

Soalnya, dengan babak sedemikian, adakah ini bermakna video berkenaan juga mempunyai mesej pro-BN.

"Betapa mengarut dan tidak masuk akal perkara ini? Jadi adakah ini bermakna kita menyokong MIC? Babak membabitkan Nanban jauh lebih lama daripada babak Harakah," katanya.

Teo berkata terdapat juga beberapa adegan di mana Ketua Pemuda MCA, Datuk Wee Ka Siong berdiri di hadapan patung Tunku Abdul Rahman.

"Jadi adakah ini bermakna kita pro-BN? Sudah tentu, kita tidak, kita adalah pro-rakyat," katanya.

Ulanginya, video siaran pengumuman khidmat awam itu diterbitkan tanpa memihak dan pasukan penerbitannya tidak mempunyai niat menjadikan ia kontroversi.

"Kami merakamkan banyak adegan di jalanan (untuk video itu). Kebetulan ada seorang yang membaca Harakah dan seorang lagi pula yang membaca Nanban.

"Jika anda ingin menjadikan (isu), apa-apa perkara sekalipun boleh dijadikan,” katanya.

Jumaat lalu, dalam satu kenyataannya, SKMM berkata arahan penarikan video 'Undilah' adalah kerana ia masih belum mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem untuk disiarkan di televisyen. -mk

Ulasan GB

Isunya: SKMM menyatakan klip video itu tidak diluluskan oleh Lembaga Penapisan Filem. Satu Malaysia mendengar alasan yang cukup kartun dari SKMM berkenaan.

Bagi SKMM< ruang radio dan televisyen mesti hanya paparkan wajah-wajah dan perkataan-perkataan dari pemimpin BN. Pemimpin BN pula kena tapis - jika Ku Li, no way untuk disiarkan walaupun Ku Li adalah bekas pemimpin kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang bernama Rais Yatim itu.

GB dah ulas semalam. Begini bunyinya:

Ini adalah salah satu faktor yang menyumbangkan kepada tumbangnya kerajaan Barisan Nasional.

Kerana yang disukai oleh mereka hanya yang indah-indah, yang wangi-wangi dan yang muluk-muluk belaka. Hakikat yang ada cuba disorokkan dan disembunyikan.

Sama seperti kes dimana baru-baru ini Najib akui kena kencing dengan pemimpin UMNO Selangor dimana Najib menegur sikap pemimpin dan anggota Barisan Nasional (BN) berhubung pemberian 'laporan tipu' kepadanya semata-mata mahu menjaga hati tanpa bersandarkan kepada realiti sebenar, kini SKMM turut melakukan hal yang serupa.

SKMM mahu program-program yang syok sendiri - bersesuaian dengan selera menterinya untuk mengampu dan membodek sedangkan Najib sendiri sudah mengakui: penganjuran program 'syok sendiri' juga turut menyumbang kepada kekalahan BN di Selangor pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

Baguslah, BN akan kalah lagi nampaknya pada PRU13 ini - disebabkan oleh faktor ampu bodek oleh SKMM yang bermenterikan seorang yang dikenali memang kuat darjah ampu dan bodeknya!


Masyarakat Kristian: Hukum Hudud Tiada Salahnya Selagi Orang Bukan Islam Dilindungi

Walaupun MCA dan Gerakan telah mengutuk PAS kerana menyatakan semula keinginan untuk memperkenalkan hukum hudud di Kelantan, pemimpin-pemimpin Kristian berpendapat bahawa tidak ada silapnya dengan rancangan tersebut.

Ini adalah kerana semua pengikut bagi mana-mana agama sepatutnya digalakkan berusaha untuk menguatkan lagi pegangan mereka, selagi mereka tidak mengganggu hak orang lain.

Perkara yang paling penting adalah untuk memastikan bahawa hak mereka yang berbeza agama dilindungi sepenuhnya. Oleh itu apa salahnya dengan perlaksanaan hudud di Kelantan atau negeri lain pun?” Ramon Navaratnam, bekas presiden ‘Transparency International’ dan pemimpin Kristian, Malaysia Chronicle melaporkan.

“Kita tidak patut mempolitikkan semua perkara terutamanya agama. Adalah perkara biasa bagi seorang Islam dan Kristian mahupun seorang penganut Buddha dan juga Hindu untuk berusaha mengukuhkan pegangan mereka seboleh mungkin dan ini sepatutnya digalakkan. Ia hanyalah salah apabila mereka tidak mengendahkan orang lain dan mula bertindak melampau di dalam perlakuan dan amalan. Selagi rakyat bukan Islam di Malaysia dilindungi sepenuhnya, penganut Kristian dan rakyat Malaysia amnya tidak seharusnya berfikiran cetek dan bimbang tanpa sebab yang munasabah.”

Kenyataan Ramon disokong oleh Dr Paul Tan Chee Ing, presiden ‘Catholic Bishops’ Conference of Malaysia’.

“Saya berpendapat telah tiba masanya untuk membenarkan rakyat Islam di Kelantan, untuk melaksanakan hukum shariah asalkan rakyat bukan Islam dikecualikan daripada perlaksanaannya,” kata Paul, yang juga merupakan ketua ‘titular’ Katholik di diocese Melaka-Johor.

MCA dan Gerakan katakan TIDAK!

Kenyataan pemimpin-pemimpin Kristian bercanggah dengan kenyataan presiden MCA dan Gerakan iaitu Chua Soi Lek dan Koh Tsu Koon, kedua-duanya membangkang keras, walaupun sebab-sebab mereka berbuat demikian tidak jelas.

“Pegangan MCA sangat jelas. Kami bantah sekeras-kerasnya terhadap perlaksanaan hudud. Jika Umno mahu melaksanakan hudud, MCA akan menarik diri dari Barisan Nasional – mudah sahaja. Pendirian kami amat jelas. Umno ingin melaksanakan hudud, MCA tidak akan bekerjasama, kami tidak akan terlibat,” beritahu Soi Lek kepada wartawan pada hari Jumaat.

“Malaysia adalah Negara yang majoriti penduduknya beragama Islam tetapi dengan minoriti penduduk bukan beragama Islam yang ketara. Asas perlembagaan Negara kita memulihara hak-hak masyarakat majmuk, dan kerana itulah undang-undang punitif adalah sekular dan melibatkan semua pihak. Kami tidak boleh mempunyai undang-undang berlainan untuk setiap lapisan masyarakat,” kata Chang Ko Youn, timbalan presiden Gerakan di dalam kenyataannya.

Bagaimana dengan hak-hak orang Islam?

Walaubagaimanapun, seperti yang telah diutarakan oleh masyarakat Islam, kedua-dua ahli politik MCA dan Gerakan tersebut berkemungkinan melakukan apa yang mereka menuduh PAS lakukan – iaitu menghadkan hak-hak masyarakat lain.

“Pernahkah MCA dan Gerakan mengambil kira perasaan masyarakat Islam? Hudud hanyalah untuk orang Islam. Kami mahu dihakimi dibawah hukum hudud kerana ingin menjadi pengikut yang taat. Mengapa MCA dan Gerakan mahu melarang? Undang-undang Syariah telah dipraktikkan di Negara kita dan ia tidak langsung melibatkan masyarakat bukan Islam, jadi mengapa takutkan hukum hudud?” beritahu Khalid Samad, ahli parlimen PAS Shah Alam kepada Malaysia Chronicle.

Khalid juga mengecam Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin kerana mengatakan Umno menyokong hudud tetapi Negara tidak bersedia untuk melaksanakannya.

“Sebagai satu bangsa, kita masih belum bersedia untuk hukum hudud, itu benar. Ini adalah kerana kerjasama Umno dengan MCA dan Gerakan dan parti-parti komponen untuk memburukkan hudud, agar masyarakat bukan Islam dan juga segelintir umat Islam takutkannya. Jika Umno dan BN tidak mempolitikkan hukum hudud, mendidik masyarakat awam mengenainya adalah lebih mudah. Pemimpin-pemimpin agama tidak mempunyai masalah kerana mereka celik agama. Ahli-ahli politik yang memporak-perandakan keadaan,” kata Khalid.

Kelantan

Hukum hudud merupakan salah satu cabang daripada undang-undang Islam yang melibatkan 6 kesalahan jenayah, dan ia amat digeruni kerana melibatkan hukuman seperti rejam sehingga mati, pemotongan anggota badan dan sebatan. 6 jenayah hudud adalah mencuri, merompak, berzina, fitnah zina, minum arak dan murtad.

Dalam Pakatan, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim yang juga merupakan ketua umum PKR, menyokong hukum hudud dan Kelantan patut melaksanakannya selagi hak-hak masyarakat bukan Islam dilindungi sepenuhnya. DAP bagaimanapun tidak bersetuju dangan pendapat beliau.

Keadaan dalam Pakatan bukanlah suatu yang baru dan ketiga-tiga parti telah menyatakannya berulang kali. Jika PAS ingin melaksanakan hukum hudud atau negeri Islam, ia perlu mempunyai majoriti yang mencukupi di peringkat negeri mahupun kerajaan persekutuan. PKR mahupun DAP tidak terikat untuk menyokong cadangan tersebut. Di Kelantan, PAS mempunyai majoriti yang mencukupi kerana hanya 10 peratus daripada penduduknya adalah bukan Islam.

Akan tetapi, Nik Aziz Nik Mat , Menteri Besar Kelantan tidak berupaya berbuat demikian kerana kerajaan persekutuan di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad telah mengeluarkan surat melarang perlaksanaan hukum hudud di Kelantan. Nik Aziz telah mencabar Perdana Menteri, Najib Razak untuk membatalkan surat tersebut, namun, tidak mendapat sebarang maklumbalas. -mc


Top Catholic bishop tells non-Muslims to support hudud in Kelantan

Sep 23: A top Catholic bishop has thrown his support for the implementation of the Islamic criminal laws stipulating deterrent punishment on serious crimes, or hudud, in Kelantan, provided non-Muslims were given "a cast-iron guarantee that it will not be implemented on us".

In comments on the issue sparked by former prime minister Dr Mahathir Mohamad's challenge to Kelantan Menteri Besar Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Dr Paul Tan (picture) Chee Ing, president of the Catholic Bishops' Conference of Malaysia, said it was wise for non-Muslims not to oppose such laws among Muslims "if they so desire".

“I say it's time to allow Muslims in Kelantan, if they so desire, to implement shariah only for them and with that the hudud enactments provided non-Muslims are exempt from its implementation,” online news portal Malaysiakini quoted Dr Paul, also the titular head of Catholics in the Melaka-Johor diocese, as saying.

His comments come in the wake of a statement by Mahathir that Nik Aziz should implement hudud in Kelantan now that the former was no longer the prime minister who had once sent a letter warning the PAS-led state against any attempt to introduce the Islamic laws.

In response, Nik Aziz said a prime ministerial decree would not expire with Mahathir's resignation, and called on the current PM Najib Razak to revoke the Federal government's earlier stance on the issue.

'Extraordinary man'

Giving his views, Dr Paul said the issue had to do with the debate between two different Islamic schools of theology, the 'rationalists' or Mu'tazilites, and the 'traditionalists', or Ash'arites.

"I don't know if that extraordinary man, the Kelantan menteri besar (Nik Aziz Nik Mat), is a Mutazilite or an Asharite. Sometimes he sounds like a Mu'tazilite, sometimes like an Ash'arite," said Dr Paul, who added that such an ambiguity was "a good thing".

"It shows he is not dogmatic. I say let him and all who hold with him have their way so long as non-Muslims have iron-clad guarantees of their exemption. I am in favour of Kelantan Muslims having hudud implemented for them only," the portal quoted him.

Prior to this, Opposition Leader Anwar Ibrahim (left) said he was personally in favour of hudud laws being introduced in Kelantan as it would ensure justice.

Earlier, the issue, regarded as highly contentious and which in the past created rifts between DAP and PAS, has instead laid bare cracks between MCA and UMNO.

MCA president Chua Soi Lek said the Chinese-based party would leave the Barisan Nasional coalition if UMNO supported hudud laws. This was in response to UMNO deputy president Muhyiddin Yasin's cautioned comments on Kelantan's long-fought battle with the Federal government over hudud, saying he was obligated as a Muslim to support hudud but differed on the timing of its implementation. -HD (eng)

Chandran: Penentang Hukum Hudud Adalah Golongan Jahil

Hudud dianggap ‘produk’ mulia

KUALA TERENGGANU – Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong Pas Terengganu, Dr B Chandran menganggap DAP, MCA dan Gerakan yang menentang pelaksanaan hukum hudud sebagai jahil.

Menurutnya, mereka berbuat demikian bukan kerana sengaja, sebaliknya tidak mendapat penjelasan sewajarnya dan ditakut-takutkan dengan kenyataan pihak tertentu yang berkepentingan, sehingga hudud digambarkan sebagai hukum yang zalim.

Beliau berkata, perkara sedemikian pernah berlaku kepada beliau sendiri apabila gambaran-gambaran negatif diceritakan pihak tertentu sehingga pendapatnya serupa dengan orang bukan Islam lain yang menentang hukum itu.

“Mereka bukan mahu menentang kerana sengaja tetapi kerana jahil, apabila mereka tahu, tiada masalah. Itu yang saya nampak dan tidak boleh sesekali marahkan mereka. Orang bukan Islam langsung tidak belajar mengenai hudud.

“Dahulu pun saya begitu, dengar macam-macam seperti hukuman potong tangan dan potong kaki tetapi apabila mula belajar, saya melihat hudud tiada kecacatan,”
katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, di sini.

Mengulas lanjut, penolakan orang bukan Islam terutama parti politik adalah kerana mereka sangsi jika pelaksanaan hudud kelak akan memaksa mereka untuk menutup operasi premis penjualan arak.

Beliau berkata, mereka yang mengaitkan perkara itu akan berasa tidak selesa sedangkan bagi sesetengah pihak terutama orang bukan Islam, arak adalah salah satu keperluan dalam budaya mereka.

“Bagi saya, orang bukan Islam nampak apabila hukum hudud ini dilaksanakan, mereka dipaksa tutup premis arak. Itu adalah hukum jenayah Islam dan mereka tidak faham. Kalau kita katakan DAP, secara keseluruhannya parti itu mewakili orang Cina dan ada yang menjalankan perniagaan arak, sebab itu mereka membantah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang Islam memberi penjelasan sebenarnya mengenai hudud dan tidak sesekali memberi gambaran salah, selain mengetepikan fahaman politik.

Menurutnya, orang Islam terutama tokoh-tokoh Islam adalah ‘jurujual’ terbaik untuk menjelaskan mengenai perkara itu sambil menyifatkan hudud sebagai ‘produk mulia’ yang diturunkan Tuhan.

Bagaimanapun, B Chandran berkata, realiti yang dilihatnya ketika ini, ‘produk’ itu tidak akan mendapat sambutan sekiranya ‘jurujual’ tidak mampu mempromosikannya dengan kaedah terbaik kepada pengguna.

“Hudud adalah daripada Tuhan dan ia adalah produk yang mulia. Anda ada produk yang baik tetapi tidak guna juga jika ada jurujual yang tidak baik. Kalau kita tengok orang putih (Inggeris), sekalipun produk mereka tidak baik tetapi jurujualnya baik, mereka berjaya menarik pelanggan,” katanya.

Kota Bahru – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melihat negara ini lebih baik menerima hudud daripada melaksanakan hukuman mati mandatori yang menyebabkan kehilangan nyawa.

Menurutnya, hukuman gantung sampai mati menyebabkan keluarga merana, hilang tempat berlindung sedangkan hukum hudud, qisas dan takzir tidak sedemikian.

“Lebih baik terima hudud daripada hukuman mati mandatori, kenapa kita nak takut dengan hudud?

“Kita orang politik hanya nak masukkan enakmen hudud dalam senarai hukum mahkamah syariah Negeri Kelantan untuk diguna pakai hakim,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan di Dataran Wawasan, di sini semalam.

Katanya, bila berlaku kes, hakim menentukan ada prima facie atau sebaliknya dan kalau ada, ia boleh dijalankan dengan masing-masing boleh menggunakan khidmat peguam.

Mengenai perbezaan pendapat dengan Pengerusi DAP, Karpal Singh mengenai hasrat Pas melaksanakan hudud, Nik Abdul Aziz berkata, sepatutnya tidak timbul lagi masalah mengenainya.

“Saya hormati dia sebagai orang lama berkecimpung dalam bidang perundangan, tidak timbul masalah balah (berselisih pendapat) saya dengan dia.

“Apa yang penting sekarang ini ialah memahami hasrat sebenar Pas untuk melaksanakannya di Kelantan dan orang Islam sendiri kena faham bahawa hudud ini bukan kerja Pas, ia ‘sama jadi’ dengan al-Quran,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang turut menyokong hudud, beliau berkata, itu yang sebaiknya kerana umat Islam perlu lebih rapat.

“Alhamdulillah, kita nak makin rapat macam tu, mana boleh kita orang Islam nak tolak hukum Islam,” katanya. -SH



Objek Berasap Dipercayai Serpihan Satelit Ditemui Di Butterworth

Butterworth, Pulau Pinang - Penduduk Kampung Lorong Kubur gempar, berikutan penemuan satu objek berupa ketulan seakan-akan kristal yang tiba-tiba ditemui di pekarangan rumah seorang penduduk di kampung itu.

Ketulan jernih bersaiz sebesar sebiji bata pasir itu ditemui Norina Abdul Kadir, 35, semasa dia sedang mengemas halaman rumahnya pada jam 6.30 petang semalam.

“Ketika sedang menyapu daun kayu di tepi rumah saya terdengar bunyi seakan-akan benda jatuh sebelum bergegas melihatnya kerana beranggapan anak kecil saya yang baru belajar berjalan, rebah.

“Sebaik mendekati objek itu saya terkejut kerana sebelum ini tidak pernah melihatnya tambahan lagi ketulan menyerupai kristal itu mengeluarkan asap,” katanya.


Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Isu Krisis Air Air Selangor Sengaja Direka Untuk Burukkan Kerajaan Selangor

Dakwaan bahawa Selangor bakal berhadapan dengan krisis air menjelang tahun hadapan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan gabungan persatuan pengguna sengaja dibangkitkan semula untuk menonjolkan bahawa kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat di negeri ini tidak peka akan keperluan rakyat.

Demikian pandangan ahli parlimen Klang, Charles Santiago ketika diminta mengulas mengenai krisis air yang dikatakan bakal berlaku di Selangor apabila saiz margin antara bekalan dan penggunaan air semakin rapat dengan anggaran jumlah itu sudah mencapai tahap tiga hingga lima peratus sahaja bersamaan 200 juta liter sehari (jlh).

Menurut Charles, isu krisis air di Selangor dan sekitar kawasan Lembah Klang bukanlah isu baru, sebaliknya ia sengaja dibangkitkan oleh Syabas dan persatuan pengguna lain sejak dua hingga tahun lalu ekoran keengganan kerajaan negeri meluluskan projek Loji Rawatan Air Sungai Langat 2.

Jelas Charles, cadangan pembinaan loji rawatan air itu boleh diteruskan sekiranya penstrukturan semula air dapat diselesaikan dan dipersetujui semua pihak.

Walaubagaimanapun katanya, semua usaha ini memerlukan persetujuan daripada kerajaan persekutuan dan melalui Menteri Tenaga, Air dan Teknologi Hijau, Datuk Peter Chin.

"Oleh kerana sekarang kita tiada perbincangan dengan kerajaan persekutuan khususnya Kementerian Tenaga, Air dan Teknologi Hijau yang tidak mahu membuat keputusan untuk menyerahkan pengurusan air kepada kerajaan selangor, maka ia menjadi isu yang sengaja dipanjangkan.

"Sebenarnya kerajaan Selangor telah menyatakan bahawa kerajaan negeri boleh menguruskan air di negeri ini dan juga sekiranya ia tidak mendatangkan masalah, kebenaran boleh diberikan kepada projek Langat 2 untuk diteruskan. Tetapi kerajaan persekutuan masih berdegil untuk memberi pengurusan air kepada kerajaan negeri dengan memberikan alasan yang tidak boleh diterima dan tidak masuk akal,"ujar beliau.

Syabas sebelum ini mendakwa isu krisis bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bakal menjadi kenyataan apabila rizab harian penggunan air hanya mencukupi keperluan kira-kira 800,000 pengguna di kawasan Gombak.

Pengarah Eksekutif Perancangan Syabas, Sanusi Suleiman berkata, kadar rizab yang diunjurkan pihaknya ialah kira-kira 10 peratus untuk menangani keperluan waktu kecemasan.

Tambah Carles, Syabas juga dilihat menggunakan analisa tidak tepat berhubung pertumbuhan penduduk dan penggunaan air sebenar di Selangor sehingga timbulnya spekulasi yang mengatakan krisis air bakal berlaku menjelang tahun 2012.

Tegas beliau, kerajaan persekutuan mahupun Syabas sendiri tidak mahu mengeluarkan wang bagi mengurangkan penggunaan air tidak berhasil (non revenue water) dan membaiki paip air yang dipercayai boleh menangani isu krisis air untuk jangka masa panjang.

"Ini mereka tidak mahu buat. Tetapi sebaliknya apa yang mereka buat ialah mengatakan bahawa satu kajian telah dibuat dan mendakwa bahawa kerajaan negeri Selangor harus memberi kebenaran untuk meluluskan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2.

"Jika kita lihat pandangan mereka dengan mendalam, maka kita akan nampak pelbagai masalah dalam pandangan atau perspektif mereka. Mereka sengaja mengkritik kerajaan Selangor dengan mengatakan kita tidak bertanggungjawab dan tidak peka masalah rakyat,"katanya lagi.

Sementara itu, pemantauan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) di tujuh empangan dan sungai-sungai utama di Selangor mendapati kedudukan paras air di semua muka sauk bagi keperluan loji pembersihan air adalah baik dan tidak membimbangkan.

Menurut LUAS, sumber air di Selangor masih dalam keadaan yang mencukupi dengan taburan hujan yang tinggi dicatatkan di banyak kawasan terutamanya kawasan tadahan air.

Secara purata, paras air di empangan pada tahun ini adalah meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Justeru menurut pihak LUAS, Syabas perlu melihat teknologi terkini untuk merawat sumber air dan menaiktaraf loji-loji sedia ada bagi menambah kapasiti loji pembersihan air tersebut.

Jelasnya, sekiranya berlaku krisis air, ia disebabkan oleh kegagalan loji pembersihan air untuk sentiasa memastikan bekalan air bersih mencukupi. -tvsnews


[Bergambar & Video] Serangan Bom Di Gereja Di Kota Solo: Satu mati, 19 cedera

SSatu serangan bom berani mati berlaku di sebuah gereja di kota Solo, Jawa Tengah pagi ini, mengorbankan nyawa pengembom itu dan mencederakan sekurang-kurangnya 19 orang jemaah penganut Kristian yang baru selesai mengerjakan ibadat.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Ibu Pejabat Polis Indonesia Insp Jen Anton Bachrul Alam berkata 19 yang cedera dalam kejadian itu kini dirawat di dua hospital di Solo, dan sehingga pukul 4.30 petang ini, lima daripada mereka telah dibenarkan pulang.

"Berdasarkan maklumat saksi, kejadian berlaku apabila jemaah sedang keluar daripada gereja itu setelah selesai melakukan ibadat, sebahagiannya keluar, tinggal sebahagian lagi di dalam dan pelaku juga ikut keluar.

"Apabila sampai di pintu utama, dia telah meletupkan bom, sehingga mencederakan ramai orang dan masih dirawat di hospital,” katanya pada sidang akhbar di Jakarta.

Serangan oleh pengebom berani mati itu berlaku di Gereja Bethel Injil Sepenuh, Kepunton, Kota Solo pada pukul 10.55 pagi.

Anton berkata pelaku dipercayai menyamar sebagai anggota jemaah dan ikut sama melakukan ibadat.

Polis belum dapat memastikan identiti pelaku dan masih menyiasat jenis bom yang digunakan.

Polis telah menyiarkan gambar wajah mayat pengebom itu dan merayu orang ramai tampil memberikan maklumat mengenai identiti pelaku bagi membantu siasatan kejadian itu.

Kerajaan Indonesia mengutuk keras kejadian serangan bom berani mati itu dan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dijadual mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian itu. Bernama









Syarikat Dari KL Buang Al-Quran Di Bangsal Lembu Di Bachok

Buang al-Quran di bangsal lembu

BACHOK - Penduduk Kampung Pauh Sembilan dekat sini gempar apabila menemui beribu-ribu naskhah al-Quran yang ditinggalkan di sebuah bangsal lembu dipercayai untuk dilupuskan secara tidak sah.

SEBAHAGIAN daripada beribu naskhah al-Quran yang dibuang di bangsal lembu di Bachok, Kelantan semalam.

Seorang penduduk, Mamat Harun, 65, berkata, kira-kira pukul 12 tengah hari kelmarin, sebuah treler telah memasuki kampungnya dan dia sempat melihat beberapa lelaki sedang memunggah kotak ke dalam sebuah lori kecil.

Menurutnya, treler tersebut berhenti dalam jarak satu kilometer dari bangsal tempat al-Quran tersebut ditinggalkan dan terpaksa menggunakan lori kecil untuk mengangkutnya.

"Jalan ke bangsal ini sempit, jadi treler berhenti di simpang jalan dan mereka menggunakan sebuah jengkaut untuk memindahkan al-Quran dari treler ke sebuah lori kecil sebelum dihantar ke bangsal tersebut.

"Saya sempat tanya, mereka beritahu dari Kuala Lumpur dan diarahkan untuk menghantar al-Quran tersebut ke sini untuk disimpan," ceritanya ketika ditemui semalam.

Tambahnya, jarak antara rumahnya ke bangsal tersebut hanyalah 200 meter dan pada mulanya dia tidak mengesyaki apa-apa yang pelik.

Bagaimanapun dia mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena berlaku selepas beberapa orang polis dan pegawai pejabat agama datang ke kawasan tersebut petang kelmarin.

Katanya, bangsal tersebut yang seluas 1.4 meter x 2.8 meter itu pernah dijadikan tempat menyimpan makanan lembu seperti dedak dan rumput namun tetapi kini tidak lagi digunakan oleh pemiliknya.

Sementara itu, sumber Pejabat Agama Jajahan Bachok memberitahu, siasatan awal mendapati al-Quran tersebut mungkin untuk dilupuskan.

Ia berikutan terdapat kecacatan daripada segi cetakan dan reka bentuk ataupun kesilapan pada ayat al-Quran itu sendiri.

Katanya, al-Quran tersebut telah dihantar ke sini oleh sebuah syarikat dari Kuala Lumpur dan akan diserahkan kepada individu tertentu untuk dilupuskan dan bangsal tersebut hanya dijadikan transit.

"Kita telah membuat laporan polis dan siasatan akan dijalankan untuk mengesan individu terbabit kerana tindakan melupus al-Quran perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan hanya boleh dibuat di kawasan tertentu sahaja.

"Saya dimaklumkan tempat untuk melupus al-Quran ini hanya di Kuala Lumpur dan prosesnya melibatkan kos yang tinggi. Jadi, ini mungkin salah satu cara pihak tersebut untuk mengurangkan kerugian yang dialami," ujarnya.

Jelas beliau, pihaknya telah menutup kawasan tersebut dan kesemua al-Quran terbabit juga ditutup dengan rapi bagi mengelakkan ia disalah guna.

Kawasan tersebut kini di bawah pemantauan polis sehingga siasatan selesai dan tindakan susulan diambil. -kosmo

Helaian al-Quran tersilap cetak terbiar

BACHOK: Penemuan puluhan ribu kertas tertera ayat suci al-Quran yang ditinggalkan di sebuah bangsal di Kampung Tok Edeng, dekat Beris Kubor Besar, di sini, menggemparkan penduduk kampung berkenaan, semalam.

Difahamkan, helaian al-Quran tersilap cetak yang dibawa dari Kuala Lumpur menggunakan sebuah treler itu akan dilupuskan dengan cara dibakar, tetapi kerja melupuskan itu belum dilakukan.

Penduduk, Mamat Ali, 60, berkata, pada mulanya dia ternampak sebuah treler ditutupi kanvas berhenti di tepi jalan kira-kira 200 meter dari rumahnya, pada jam 12 tengah hari.

Katanya, sebaik treler itu berhenti, sebuah jengkaut menghampiri kenderaan itu dan memunggah helaian al-Quran berkenaan ke sebuah lori kecil sebelum diletakkan di sebuah bangsal.

“Sebelum itu, seorang adik angkat saya berusia 40-an di Kuala Lumpur memaklumkan mahu menghantar helaian al-Quran yang tersilap cetak untuk dibakar.

“Saya tidak menyangka jumlahnya terlalu banyak serta tindakannya itu dibimbangi menyalahi undang-undang dan sepatutnya ia dimaklumkan kepada pihak berwajib,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurut Mamat, penemuan helaian al-Quran tersalah cetak itu dimaklumkan kepada penduduk kampung lain sebelum menghubungi polis dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) untuk pemeriksaan.

Katanya, adik angkatnya akan berurusan dengan pihak Maik mengenai perkara berkenaan sementara menunggu tindakan lanjut.

Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Muhamad Shukri Mohamad, ketika dihubungi berkata, berdosa dan haram hukumnya kepada mana-mana individu yang membuang ayat suci al-Quran di merata tempat.

Katanya, Islam menggariskan beberapa peraturan dalam usaha melupuskan naskhah al-Quran sudah rosak, buruk dan tidak boleh digunakan, namun ia perlu mengikut kaedah tertentu termasuk dilakukan syarikat dilantik khas Kementerian Dalam Negeri (KDN) Bahagian Penerbitan Al-Quran yang mempunyai cawangan di negeri ini.

“Jika ayat suci al-Quran itu dibuang di merata tempat, individu terbabit disifatkan menghina kesucian al-Quran kerana jika hendak dilupus sekalipun perlu menggunakan kaedah tertentu seperti dibakar menggunakan tong khas sebelum abunya dikumpulkan dan dibuang ke laut atau ditanam di kawasan khusus.

“Kaedah ini diperakukan KDN kepada pihak yang diberi tanggungjawab. Oleh itu, saya menyifatkan tindakan pihak berkenaan membuang helaian ayat al-Quran dengan sewenang-wenangnya dosa mengikut hukum syarak,” katanya. -hm



HUDUD: Keris UMNO Menikam Tuannya

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menyifatkan tindakan Umno menyerang PAS dengan isu hudud ibarat “keris makan tuan” apabila menerima tentangan daripada parti komponen perikatan itu.

Mohamad mendakwa sejak isu itu muncul semula minggu lalu, pelbagai percanggahan pandangan antara pemimpin Umno turut diketengahkan, menyebabkan parti komponen BN mula meragui pendirian Umno.

“Mungkin pemimpin tertinggi Umno fikir isu hudud boleh kuatkan kembali perpaduan BN.

“Tiba-tiba keris makan tuan apabila MCA dan Gerakan mengugut mahu keluar BN kerana isu hudud,” kata beliau dipetik Harakahdaily hari ini.

Mohamad berkata isu hudud membuktikan Umno tidak pernah belajar daripada sejarah.

“Sejak berpuluh-puluh tahun terutama selepas PAS kembali memerintah Kelantan pada 1990, Umno mempermain-mainkan isu hudud untuk menakut-nakutkan orang bukan Islam kepada PAS.

“Tiba-tiba hari ini, Umno yang ditolak oleh majoriti pengundi bukan Islam,” kata beliau sambil menambah, “lebih buruk lagi, parti-parti di dalam BN pula berbalah sesama sendiri kerana hudud.


Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek serta pemimpin-pemimpin parti berkenaan sepatutnya sudah mengetahui pendirian Umno berhubung hukum hudud dan ia tidak perlu dijadikan isu.

Muhyiddin berkata pendirian Umno adalah sama seperti dahulu dan perkara itu sepatutnya tidak berbangkit di kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) kerana ia berbeza dengan PAS.

“Isu yang disebutkan oleh Chua tak berbangkit. Jangan timbul syak wasangka dalam pemikiran masyarakat Cina dan lain-lain termasuk masyarakat Islam tentang perkara itu.

“Bagi saya, pendirian yang kita ambil itu bukan baru tetapi sejak beberapa kepimpinan sebelum ini,” katanya mengulas kenyataan Dr Chua bahawa MCA akan keluar daripada BN jika Umno melaksanakan hukum Hudud.

Sehubungan itu tegas Mohamad, PAS tidaklah terdesak untuk menggunakan isu hudud dengan harapan isu interpretasinya terhadap sejarah akan tenggelam ketika Umno dan BN semakin berbalah sesama sendiri.

“Umno dan BN semakin berbalah sesama sendiri kerana tindakan mendakwa saya.

“Bukan setakat kenyataan kenyataan Naib Presiden MCA sahaja yang memberikan gambaran kerajaan (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) tidak cerdik kerana pendakwaan tersebut, malah beberapa tokoh Umno sendiri menemui dan menghubungi saya secara peribadi menyatakan rasa tidak setuju terhadap serangan-serangan seperti histeria semata-mata kerana interpretasi sejarah,”
kata beliau.

Semalam, Naib Presiden MCA Gan Ping Sieu berkata, tindakan mendakwa Mohamad boleh memberi negatif tanggapan terhadap kerajaan.


Mohamad seterusnya berkata, walaupun kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad cuba memberikan gambaran yang negatif terhadapnya, “tetapi orang melihat kenyataan bekas Perdana Menteri mendedahkan sifat tidak cerdik kerajaan Najib kerana pendakwaan itu.” -TMI



'Kanak-kanak' 22 tahun

Muadzam Shah (Pahang): Melihat saiz tubuh serta ketinggiannya yang hanya 90 sentimeter, pasti ramai menyangka dia kanak-kanak berusia tidak lebih dua atau tiga tahun.

Gambar: MASALAH TUMBESARAN: Cik Zaharah sedang melayan anak gadisnya, Mafuzah, yang berusia 22 tahun, tetapi hanya setinggi 90 sentimeter. Mafuzah tidak dapat berdiri lama dan terpaksa merangkak seperti bayi.

Bagaimanapun, pada hakikatnya, Cik Mafuzah Amaran, yang menetap di Bandar Tun Razak, di sini, sebenarnya berusia 22 tahun.

Cik Mafuzah, yang menghadapi masalah tumbesaran, juga sukar berjalan dan tidak boleh berdiri lama, sebaliknya merangkak seperti bayi untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain.

Adalah dipercayai beliau terbantut ketika dalam kandungan akibat kekurangan bekalan oksigen atau gangguan aliran darah.

Ibunya, Cik Zaharah Syukor, 56 tahun, berkata masalah tumbesaran anak ketujuh daripada 11 beradik itu mula dikesan selepas dilahirkan kerana tidak menyamai pembesaran kembarnya, Manisah, yang dilahirkan kira-kira 25 minit lebih awal.

'Ketika mengandungkan mereka, saya tidak tahu akan melahirkan anak kembar kerana doktor yang menjalankan pemeriksaan tidak mengesan kehadiran seorang lagi bayi.

'Selepas melahirkan Manisah, kira-kira 25 minit kemudian, jururawat yang membantu doktor menyambut kelahiran anak memberitahu ada seorang lagi bayi,' katanya ketika ditemui.

Menurut Cik Zaharah, selepas beberapa bulan kemudian, beliau menyedari anaknya itu tidak membesar seperti Manisah, lantas membawanya berjumpa doktor.

Bagaimanapun, doktor memberitahu beliau bahawa Mafuzah tidak mengalami sebarang penyakit dan tubuhnya sihat seperti bayi lain.

'Apa pun, saya bersyukur dengan kurniaan Tuhan kerana menganggap anak saya ini seorang insan istimewa.

'Bukan semua ibu memperoleh anak sepertinya dan kurniaan ini saya anggap umpama satu dalam seribu,' kata Cik Zaharah sambil menambah, walaupun Cik Mafuzah tidak boleh bertutur dan hanya boleh menyebut beberapa perkataan tertentu, dia seorang gadis yang pembersih.

Cik Mafuzah juga didaftarkan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan memperoleh bantuan RM300 ($123) sebulan. -- hm