18 Mac 2010

MTUC Desak Kerajaan Serius Hayati Masalah Rakyat

Kerajaan Umno Barisan Nasional tidak serius menangani masalah ekonomi rakyat berikutan pandangan golongan berpendapatan rendah tidak diambil kira sebelum rang undang-undang cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dibawa ke Parlimen.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud berpendapat kesan terhadap rakyat, perlu dikaji sebelum bacaan pertama rang undang-undang dibawa ke Parlimen.

Rang undang-undang GST dibentang di Parlimen untuk bacaan pertama tahun lalu tetapi kerajaan pada saat akhir membatalkan cadangan membawa rang itu bagi bacaan kedua.

Bacaan kedua rang undang-undang itu tidak diteruskan kerajaan Umno BN berikutan bantahan pelbagai pihak khususnya pimpinan Pakatan Rakyat, sehari sebelum demontrasi anti-GST dijadual berlangsung.

"Kalau memang mereka ini serius, sebelum dikemukakan di Parlimen, pandangan dan pendapat orang ramai perlu diambil kira.

"Jadi seolah-olah oleh kerana kebimbangan takut akan ditentang oleh rakyat atau ditentang oleh orang ramai maka dia ubah polisi dan sebagainya jadi saya fikir ini satu isu yang tidak boleh sekejap kata nak buat sekejap kata tak nak. Memang kami MTUC menentang pengenalan GST,"katanya.

MTUC meminta kerajaan Umno BN supaya lebih peka dalam menghayati masalah rakyat yang dibebani krisis ekonomi global.

"Tidak seriusnya pihak pemerintah dalam hal-hal besar seperti ini. Jadi kalau memang dia mengetahui hal yang berkaitan dengan ini, isu GST ini patutnya ditangani lebih serius sebab hal ini adalah melibatkan rakyat," katanya.



PRU13 Umno-BN Akan Terjejas Jika Terus Nafikan Royalti Rakyat Kelantan - Ku Li

Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah tidak menolak kemungkinan kedudukan Umno-BN akan terjejas pada pilihan raya umum ke-13 jika rakyat Kelantan terus dinafikan hak dapatkan royalti.

“Susahlah sikit kalau tidak bersama dengan apa yang menjadi harapan rakyat. Orang panggil menentang arus.

“Apapun kena tengok pada pilihan raya nanti, sebab saya bukan tok nujum,” kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat Parlimen Pasir Puteh di Dewan Maahad Saniah dekat sini, petang tadi.

Hadir sama pada majlis tersebut Ahli Parlimen Pasir Puteh Mohamed Husein.

Tengku Razaleigh dalam perjalanan ke Kuala Terengganu bagi menyampaikan ceramah berkaitan isu royalti anjuran NGO malam ini.

Hampir dua bulan lalu Tengku Razaleigh menyampaikan ceramah yang sama di Kota Baru dengan menegaskan Kelantan berhak menerima wang royalti lima peratus.

Dalam pertemuan singkat itu beliau sekali lagi mempersoalkan kredibiliti kerajaan Umno yang terus mempertikaikan hak Kelantan dalam isu royalti dengan menganggap sebagai berfikiran sempit.

“Saya rasa sempit sangat pemikiran kita, kalau Umno pun kenapa tak mahu bagi kepada rakyat Kelantan? Apa kerana PAS menang, tak mahu bagi?

“Kalau begitu silap, minyak ini hak rakyat seluruhnya. Soal politik soal lain. Ini soal kehidupan, soal kemajuan rakyat bersama.

“Masalah orang (rakyat) hendak kepada Umno atau PAS itu hak dia (rakyat) masing-masing.

“Duk bercakap 1 Malaysia… 1 Malaysia… tapi macam mana 1 Malaysia kalau sebelah sini ‘rebeh’ (tidak diberi keadilan),” katanya.

Menjawab usaha NGO yang bertindak akan menyerahkan memorandum bersabit isu tuntutan royalti minyak kepada Yang di-Pertuan Agong Sabtu ini, Tengku Razaleigh menyifatkan ia satu tindakan yang baik.

“Baguslah kalau hendak bawa memorandum kepada Agong supaya Agong lebih maklum.

“Tambahan dulu rakyat Terengganu dapat royalti tapi dinafikan selepas ia diperintah PAS,” katanya.

Semalam Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) dan Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) mengumumkan dua memorandum melibatkan Kelantan dan Terengganu berkaitan tuntutan royalti akan diserah kepada Yang di-Pertuan Agong sempena keberangkatan baginda ke Terengganu Sabtu ini.

Bulan ini genap 10 tahun Terengganu dinafikan hak royalti oleh kerajaan pusat. -MI

Abdullah Karim Siap Sedia Untuk Dipanggil

Exco Pemuda PAS Abdullah Karim - yang mendakwa terdapat 'konspirasi' beberapa pemimpin parti itu bagi menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat - sedang menunggu dipanggil memberikan penjelasan berhubung perkara itu.

“Setakat ini (saya) belum dapat makluman rasmi berkaitan perkara tersebut. Saya serahkan sepenuhnya kepada keputusan pimpinan pusat PAS ,” katanya ketika ditanya sama ada aduannya dibuka kembali.

Semalam, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali memberitahu Malaysiakini, walaupun aduan Abdullah terhadap tiga pemimpin parti itu ditolak pada mulanya, pihaknya akan memanggil exco terbabit bagi mendengar sendiri penjelasannya.

Selepas kontroversi penggantungan jawatan ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad dua bulan lalu, Abdullah tampil sebagai tokoh muda paling lantang mengkritik keputusan jawatankuasa disiplin PAS itu.

Beliau juga dilaporkan menyatakan keraguannya terhadap peranan pejabat agung PAS yang diberi kuasa menapis aduan ahli-ahlinya apabila mendakwa laporannya sendiri tidak mendapat sebarang respons.

Malaysiakini difahamkan ketiga-tiga pemimpin yang disebut oleh Abdullah amat rapat dengan pemimpin kanan PAS, termasuk presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya Nasharuddin Mat Isa.

Difahamkan juga seorang daripada mereka memegang jawatan penting dalam PAS Selangor manakala seorang lagi pernah menjadi calon PAS pada tahun 1999.

Ketika dihubungi Malaysiakini melalui e-mel malam tadi, Abdullah bagaimanapun enggan mendedahkan nama-nama terbabit kerana hanya pejabat agung merupakan pihak yang terbaik untuk dirujuk dalam isu tersebut.

“Saya masih menunggu perkembangan lanjut (berhubung aduan itu). Dan pada masa yang sama saya akan dapatkan nasihat dari kawan-kawan dan pimpinan PAS di Malaysia,” katanya yang kini menetap sementara di United Kingdom. -mk

Zahrain Memang Muka Tak Tahu Malu, Minta Pingat "Datuk Seri" Dari "Pemimpin Cauvanis Dan Komunis"

Kelancangan melulu Datuk Seri Zahrain Hashim terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang Dewan Rakyat, semalam bukan satu yang menghairankan kerana ia datangnya dari seseorang yang hipokrit dan gila pangkat.

Malah, Ahli Parlimen Bayan Baru itu sanggup membelakangi keputusan mesyuarat parti dan secara diam-diam menulis surat kepada Lim Guan Eng bagi memperoleh gelaran Datuk Seri walaupun kemudian melabelkan Ketua Menteri Pulau Pinang itu sebagai cauvinis dan komunis,

Bercakap pada sidang media di lobi Parlimen, Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasuition mendedahkan Zahrain pernah mempengerusikan mesyuarat di Pulau Pinang yang dihadiri semua wakil rakyat negeri itu dan mengambil ketetapan untuk tidak meminta atau menerima apa- apa gelaran.

Namun dalam diam, bekas Pengerusi Perhubungan Negeri PKR Pulau Pinang itu menulis surat kepada Lim Guan Eng meminta gelaran 'Datuk Seri' biarpun kini mengecam Ketua Menteri Pulau Pinang itu sebagai komunis.

"Semasa Zahrain mempengerusikan mesyuarat di Pulau Pinang, mesyuarat memutuskan semua wakil rakyat Pulau Pinang tidak akan menerima apa-apa gelaran Datuk walaupun ditawarkan.

"Apa yang dia (Zahrain) buat selepas itu? Dia menulis pada Ketua Menteri meminta gelaran tersebut," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Setiausaha Agung PKR itu melabel Zahrain sebagai seorang yang hipokrit dan kini berperanan sebagai tentera baru Umno dan mengibaratkan kecaman Zahrain sebagai 'menepuk air di dulang, akhirnya terpercik ke muka sendiri'.

"Ini karektor dia (Zahrain). Yang menariknya Bayan Baru menulis kepada pemimpin yang dia sendiri label sebagai komunis dan cauvinis semata-mata untuk meminta gelaran," katanya. -TVS

Pemimpin PAS Disebut Cuba Jatuhkan Kerajaan PR Selangor

Walaupun dilanda dilema, bekas pengerusi Gerakan Rakyat Integriti dan anti Korupsi (GERAK) Mohd Nazree Mohd Yunus bersedia tampil membantu siasatan berhubung dakwaan terdapat 'konspirasi' untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat.

"Jika terdapat arahan daripada parti (PKR) dan Pakatan Rakyat, saya akan tampil dan berkongsi maklumat yang ada.

"Buat masa ini saya serahkan kepada pimpinan Pakatan untuk selesaikannnya. Saya yakin (ketua umum PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim juga maklum berhubung dakwaan ini," katanya yang baru menyertai PKR.

Sebuah blog melaporkan, Mohd Nazree - yang dianggap saksi terpenting - secara sukarela bersedia tampil membantu siasatan PAS terhadap aduan exco Pemuda Abdullah Karim, bahawa tiga pemimpin parti Islam itu terlibat dalam 'konspirasi' di sebuah negeri Pakatan.

Menulis dalam blog Malaysia Waves, Abdul Rahman Talib - atau lebih dikenali sebagai Tulang Besi - mendedahkan, tiga pemimpin tersebut amat rapat dengan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Mohd Nazree menjelaskan, beliau dalam dilema untuk mendedahkan identiti pemberi maklumat kepadanya semasa memimpin GERAK kerana perkara tersebut mungkin menyalahi etika dalam dunia pemantauan rasuah.

"Saya pun dalam dilema juga. Dulu saya dalam badan bebas, kita tidak pernah partisan," katanya sambil mendakwa tidak tahu-menahu sekiranya terdapat manupulasi pihak-pihak tertentu terhadapnya.

Mohd Nazree juga enggan mendedahkan nama pemimpin PAS tersebut atau membuat apa-apa kenyataan lanjut buat masa ini.

"Kita tunggu dulu, hormati pimpinan PAS (yang sedang menyiasat). Saya tidak mahu mengganggu tugas mereka menyiasat," katanya. -malaysiakini

Ulasan GB

Bangkai gajah tak dapat ditutup dengan nyiru, jauh sekali dengan blogger pro-UG.


Kes Datuk Ramli : SPRM Tewas Dalam Rayuan Ketepikan Keputusan Mahkamah Sesyen

Mahkamah Tinggi hari ini mengenepikan rayuan oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap keputusan Mahkamah Sesyen untuk melepas dan membebaskan bekas Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Yusoff terhadap dakwaan menggunakan pesawat polis untuk tujuan peribadi hampir tiga tahun lalu.

"Selepas menyemak bukti yang berkaitan dan asas penghakiman oleh hakim mahkamah sesyen, saya mendapati hakim (mahkamah sesyen) itu tidak silap. Oleh itu kami mengenepikan rayuan ini," katan Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli.

Sebelum ini dalam hujah untuk mengenepikan keputusan mahkamah sesyen itu Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Bache berkata hakim mahkamah sesyen gagal menilai permohonan di bawah undang-undang di mana Ramli, bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, didakwa.

Pada 27 Julai lepas hakim Supang Lian berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dan Ramli, 57, wajar dilepas dan dibebaskan.

Pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya SPRM Kevin Morais dan Joyce Blasius, memanggil 75 saksi dalam perbicaraan yang berlangsung selama 59 hari antara 13 Mei 2008 dan 6 Julai tahun lepas.

Ramli, yang ketika itu diwakili oleh Datuk Muhammad Shafee Abdullah dan James Tsai, didakwa pada 19 Nov 2007 atas tuduhan menyalahguna kuasanya sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman untuk perolehan kewangan dengan mengarahkan dan menggunakan pesawat Cessna Caravan Polis Diraja Malaysia untuk membawanya melakukan pengawasan dari udara terhadap dua lot di Ulu Tungku, Lahad Datu, di mana syarikat hartanahnya Kinsajaya Sdn Bhd mempunyai kepentingan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 7.50 pagi pada 15 Jun 2007 di Unit Udara Polis Sabah, Tanjung Aru dekat sini.

Ramli mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu, yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda minimum RM10,000 di bawah Seksyen 15(1) Akta Pencegahan Rasuah, dan telah dibebaskan dengan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.

-Bernama

Kita Akan Serang Balik Kenyataan Askar Upahan BN

Pakatan Rakyat bertegas tentang kenyataan palsu yang dikeluarkan oleh Zahrain semalam. Demikian kata Setiausaha Agung KEADILAN Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan media di parlimen tengahari tadi.

Pakatan Rakyat tidak akan berdiam diri dan akan membuat serangan balas terhadap kenyataan tersebut dan menggangap isu itu cuba mengelirukan rakyat.

"Kita ada tiga saluran untuk memberi maklum balas terhadap ucapan tersebut sama ada melalui minta laluan, tunggu giliran kita pada minggu depan dan menyerang melalui media.

"Menilai ucapan dan persembahan Zahrain semalam prestasinya naik secara mendadak secara tiba. Sepanjang dia menjadi ahli parlimen, beliau tidak pernah mengambil bahagian berbahas didalam setiap perbahasan samada dalam perbentangan bajet dan juga dewan," ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa sepanjang dua tahun di dalam parlimen, Pakatan Rakyat boleh berdepan dan berbahas dengan ahli parlimen Barisan Nasional (BN) dan buka semua ahli parlimen dari BN berani berdepan dengan Pakatan Rakyat.

"Bagi saya kelompok yang keluar parti ini digunakan oleh BN sebagai tentera upahan dalam membuat serangan terhadap Pakatan Rakyat. Ini dapat dilihat dengan kehadiran menteri yang ramai semalam, kita dapat lihat bagaimana persiapan ini dibuat sebelumnya

"Pakatan Rakyat tidak akan merubah daripada berdepan dengan BN sebagai musuh politik utama kita, kita berdepan dengan pembunuh Altantuya, kita berdepan dengan perasuah dan perompak harta rakyat dan kita berdepan dengan kerajaan yang tidak menghormati undang-undang

"Kita akan hadapi tentera upahan ini yang menyekat laluan kita tetapi kita anggap ini sebagai halangan kecil dan fokus Pakatan Rakyat tidak akan berubah. Zahrain digunakan sebagai watak baru yang ditonjolkan oleh BN dalam membongkar segala rahsia dalam Pakatan Rakyat dan juga Datuk Seri Anwar Ibrahim

"Saya nak semua tahu Zahrain terbabit membuat satu lantikan terhadap syarikat RM2 dalam projek pengurusan Bukit Jambul Glof Club dan ini bertentangan polisi competency, accountability and transparency (CAT). Kita nak Zahrain kemukakan dahulu kenapa mesti syarikat yang baru didaftar untuk bersaing dalam mendapat projek yang bernilai hampir RM40juta, kenapa Zahrain memberi sokongan kepada syarikat terbabit jika dia tiada kepentingan kenapa dia bersungguh untuk dapatkan projek tersebut.

"Pada Jun 2009 sewaktu menjadi pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), antara keputusannya semua wakil rakyat KEADILAN tidak akan menerima gelaran Datuk walau ditawarkan tetapi Zahrain menulis kepada Ketua Menteri agar diberikan gelaran Datuk Seri. Dalam hal ini kita dapat lihat sikap beliau yang tidak betul dan bertentangan dengan keputusan mesyuarat tersebut," jelasnya

Saifuddin menegaskan berkenaan 16 September dan tidak menafikan tentang usaha 16 September tetapi kenyataan yang dikeluarkan oleh Zahrain adalah tidak benar.

"Zahrain menyatakan Anwar telah berpakat dengan Timbalan Speaker yang akan membuat undi tidak percaya, untuk makluman timbalan speaker hanya ada dua orang sahaja iaitu Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Datuk Ronald Kiandee, jadi kita akan cabar Zahrain untuk menyatakan siapa timbalan speaker tersebut.

Beliau menegaskan untuk memanggil Yang Di-Pertuan Agong hanya boleh dilakukan oleh Perdana Menteri dan tidak ada orang lain layak.

Sultan Selangor Tidak Akan Hadir Mesyuarat Agung Pertama Perkasa

Sultan Sharafuddin Idris Shah telah memutuskan untuk tidak berangkat merasmikan mesyuarat agung pertama Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang dijadualkan pada 27 Mac ini.

Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Banir berkata pembatalan itu bagi mengelakkan salah tanggapan dan manipulasi pihak-pihak tertentu terutamanya dalam keadaan politik sekarang.

Pada asalnya baginda telah berkenan berangkat dan menyampaikan titah perasmian selepas mengambil kira perjuangan Perkasa yang mempertahankan institusi raja, hak-hak orang Melayu dan Bumiputera serta kemuliaan agama Islam sebagai agama rasmi negara.

Baginda bercadang untuk menasihatkan Perkasa agar tidak terlalu ekstrem dan tidak terlalu perkauman dan harus berusaha mencapai objektif menerusi saluran dan undang-undang sedia ada, katanya pada sidang media, di sini Khamis.

Namun kata Mohamad Munir, selepas mengambil kira nasihat beberapa Anggota Dewan Diraja Selangor, Sultan Sharafuddin membatalkan hasrat kerana berpandangan walaupun Perkasa sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tetapi ianya diterajui seorang ahli politik.

"Baginda khuatir keberangkatan baginda akan disalahtafsir oleh pihak-pihak tertentu sebagai memihak kepada ahli politik berkenaan," katanya.

Mohamad Munir berkata baginda turut berharap pihak yang terlibat tidak menyalahkan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali kerana beliau tidak berniat untuk menggunakan nama Sultan Selangor semasa menghantar jemputan ke mesyuarat tersebut.

Surat mengenai pembatalan hasrat baginda bertarikh 12 Mac lepas itu telah dihantar ke pejabat Perkasa dan menjelaskan sendiri maksud pembatalan keberangkatan Baginda itu, katanya.

Bagaimanapun kata beliau, Sultan Sharafuddin tetap berharap mesyuarat agung pertama Perkasa itu dapat berjalan lancar dan pertubuhan itu akan menjadi sebuah NGO Bumiputera yang beintegriti.-- BERNAMA


Akhbar China Press Tak Dikenakan Tindakan

Kementerian Dalam Negeri berpuas hati dengan penjelasan China Press mengenai laporan peletakkan jawatan Tan Sri Musa Hassan sebagai Ketua Polis Negara.

Akhbar itu juga bersedia memohon maaf kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, kata Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Ahmad Fuad Abdul Aziz hari ini.

"Ketua Editor mengaku silap kerana memuatkan berita tersebut tanpa disahkan kebenarannya.

"China Press dan Ketua Editornya bersedia memohon maaf kepada Menteri Dalam Negeri. Mereka berharap bertemu dengan Menteri bagi tujuan ini," katanya dalam satu kenyataan media.

Sehubungan itu, menurut Ahmad Fuad, KDN menyerahkan kepada China Press untuk mengambil tindakan dalaman terhadap pengarang yang bertanggung jawab.

“China Press juga secara serius bersedia mengambil tindakan disiplin dalaman ke atas Ketua Editornya di atas kelalaian dan salahlaku sehingga menjejaskan kredibiliti syarikat dan integriti Kerajaan.

“KDN menyerahkan kepada budi bicara pengurusan China Press menentukan bentuk tindakan disiplin yang perlu dikenakan kepada Ketua Editornya," katanya.

Sabtu lalu, akhbar harian Cina itu menyiarkan laporan bahawa Musa telah mengemukakan surat peletakan jawatannya kepada Hishamuddin dan juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beberapa jam selepas berita itu disiarkan, Musa dan Hishamuddin segera menafikannya.

Kementerian Dalam Negeri juga mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada China Press menuntut penjelasan mengapa berita itu disiarkan sedangkan kerajaan menganggapnya sebagai tidak tepat dan belum disahkan lagi.

Bagaimanapun keesokannya, Hishamuddin selepas perasmian Penggal Ketiga Parlimen Ke-12 oleh Yang di-Pertuan Agong, mendedahkan bahawa rombakan barisan pimpinan tertinggi pasukan polis akan dilakukan.

Katanya lagi, rombakan berkenaan bukan sahaja akan membabitkan KPN tetapi juga pegawai kanan yang lain, termasuk empat pengarahnya. -mk




Kaukus : Awal-Awal Wakil Bebas Dah Bertelagah

Ahli Parlimen Bebas “paling awal” sejak pilihan raya umum 2008, Datuk Ibrahim Ali berkata tidak perlu diadakan kokus Ahli Parlimen Bebas bagi mewakili tujuh wakil rakyat di Parlimen sekarang.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini, Ibrahim (kanan) dari Pasir Mas menjelaskan bukan semua ahli Parlimen bersetuju dalam setiap isu.

Oleh itu katanya, kokus wakil rakyat Bebas hanya akan menjejaskan tujuan kewujudan anggota Dewan Rakyat Bebas.

“Ada masanya anda mungkin mempunyai pendirian tersendiri dalam satu-satu perkara.

“Saya merasakan keperluan mengadakan kokus ada baik dan ada buruknya. Jika kokus dibentuk secara rasmi, ia akan menjadi satu institusi, macam barisan politik,” katanya.

“Jadi lebih baik sebagai bebas daripada membentuk kokus,” katanya.

Tetapi Ibrahim juga menekankan bahawa Ahli Parlimen Bebas juga mempunyai peranan tersendiri untuk dimainkan dan dalam keadaan di mana wakil BN atau Pakatan Rakyat tidak hadir, kewujudan wakil rakyat bebas adalah penting.

“Sebagai contoh ambil kes rang undang-undang ISA, saya tidak tahu pendirian mereka.

“Saya mahu ISA dikekalkan dengan beberapa pindaan,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen PKR kawasan Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohd. Hashim melahirkan idea kokus Ahli Parlimen Bebas Isnin lalu.

Spekulasi meningkat sama ada wakil rakyat bebas boleh bekerjasama sekiranya kokus yang disyorkan itu menjadi kenyataan.

Dialog Royalti Minyak Di KT Malam Ini Diteruskan

Dialog royalti minyak anjuran Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) dan Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) di Kuala Terengganu malam ini diteruskan sebagaimana telah dirancang dengan komitmen akan disertai oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

“Setakat ini, dialog ini diteruskan dan Tengku Razaleigh juga sudah menyatakan komitmen untuk menyertai dialog,” kata Setiausaha Bersama Gegar Zaidan Abdullah ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Ketika ditanya mengenai laporan bahawa tiada permit diberikan, Zaidan yang juga Setiausaha Mampat berkata, majlis tersebut diadakan dalam dewan kawasan persendirian iaitu di Terengganu Ekuestrian Resort sendiri dan biasanya tidak memerlukan permit pihak berkuasa.

“Mengikut amalan-amalan masa lalu, majlis yang diadakan dalam dewan dalam Terengganu Ekuestrian Resort tidak diperlukan permit, cuma kami memaklumkan pihak polis.

“Dalam hal ini, kami juga akan memaklumkan pihak polis mengenai dialog ini,” kata beliau dengan mengharapkan tidak akan timbul sebarang masalah.

Pertemuan malam ini merupakan forum kedua dihadiri oleh Tengku Razaleigh selepas ceramah di Kota Baru akhir Januari lalu.

Pada pertemuan di Kota Baru, beliau yang juga pengasas dan bekas pengerusi Petronas menegaskan bahawa Kelantan juga layak menerima wang royalti hasil pengeluaran minyak, bukannya wang ihsan.

Laporan Bernama semalam menyebut polis Terengganu member amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan keadaan tidak aman di negeri itu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata ia termasuk mereka yang cuba mengadakan perhimpunan haram bagi menyerahkan memorandum berhubung royalti minyak kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, Sabtu ini.

“Saya ingin menasihatkan pihak-pihak berkenaan bahawa itu bukanlah tempat yang sesuai untuk menyerahkan memorandum atau mengemukakan bantahan kerana Yang di-Pertuan Agong berangkat ke Terengganu di atas urusan-urusan tertentu.

“Saya tidak mahu mana-mana pihak cuba mengambil kesempatan di atas kehadiran Tuanku untuk melakukan sesuatu yang di luar program yang telah ditetapkan oleh pihak istana,” katanya.

Mampat dan Gegar dilaporkan bercadang untuk menghimpunkan kira-kira 10,000 orang bagi menyerahkan dua memorandum berhubung tuntutan royalti minyak kepada Tuanku Mizan di Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

Mengulas mengenai program ceramah dan dialog yang akan dianjurkan di Terengganu Ekuestrian Resort malam ini, beliau berkata pihaknya belum menerima permohonan permit daripada pihak berkenaan untuk berbuat demikian.

“Setakat ini saya tidak ada menerima sebarang permohonan permit. Kita akan ambil tindakan kepada mereka yang kita rasakan akan menimbulkan masalah keselamatan,” katanya yang menasihatkan penganjur supaya tidak meneruskan program itu bagi mengelakkan tindakan undang-undang.-Malaysian Insider

Krisis MCA Meruncing, Pemimpin MCA Bidas Ong Ka Ting

Bekas Presiden MCA, Tan Sri Ong Ka Ting dianggap telah melanggar janji untuk tidak terlibat dalam politik dan mencampuri hal ehwal dalaman parti apabila mengumumkan bertanding jawatan presiden pada pemilihan parti itu 28 Mac ini.

Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Yap Pian Hon berkata, Ka Ting tidak mempunyai alasan munasabah untuk bertanding kerana telah berjanji untuk tidak lagi terlibat dengan parti sebelum ini.

“Tindakan ini menyebabkan implikasi dan contoh kepada veteran pemimpin parti komponen Barisan Nasional lain untuk membuat perkara sama seperti beliau,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, Ka Ting tidak menunaikan tanggungjawab sebagai pemimpin veteran dengan menasihati dan berbincang bersama kepimpinan parti sekarang untuk mencari jalan penyelesaian masalah parti.

Dalam pada itu, seorang ahli CC MCA, Datuk Ti Lian Ker berkata, kehadiran Ka Ting tidak sesuai dalam keruncingan parti sekarang.

“Ini menyebabkan masyarakat hilang keyakinan terhadap MCA kerana permasalahan dalaman yang masih lagi belum selesai.

“Permasalahan sekarang juga berpunca daripada rejimen lama MCA yang berlarutan dan semakin meruncing.

Beliau berkata, kemunculan Ka Ting tidak akan diterima sepenuhnya kerana masyarakat umum sekarang lebih bijaksana untuk menilainya. -SH

Shafie Apdal Hina Orang Asli, Menyatakan Mereka Bukan Protes Tapi Jalan-jalan Di Putra Jaya

Penerangan dari pihak kerajaan berkaitan pindaan ke atas Akta Orang Asli setakat ini masih belum memadai, malah tidak menjelaskan isu sebenar, kata seorang pembentang kertas kerja dalam satu konvensyen semalam.

Wakil masyarakat ini juga melihat penerangan dari pihak kerajaan dalam cadangan pindaan akta berkenaan tidak lebih daripada cubaan untuk membendung sentimen di kalangan Orang Asli yang nampaknya tidak sabar lagi untuk menduduki tanah milik mereka sendiri.

Aturcara program sehari itu memperuntukkan satu sesi pembentangan kepada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) untuk menerangkan cadangan pindaan Akta 134 yang dirancang untuk dibentangkan di parlimen selewat-lewatnya pada Jun ini.


Disogok data lama

Namun, JHEOA tidak menggunakan peluang tersebut untuk menerangkan dasar berkenaan tetapi masih mengemukakan data-data lama, kata Suki Mee ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Dasar pemberimilikan tanah Orang Asli -- Satu tinjauan'.

"Kalau mereka bersungguh-sungguh hendak beri penerangan, mereka akan bentangkan cadangan pindaan akta itu kepada kita di sini, barulah boleh mendapat maklum balas yang jelas daripada Orang Asli," kata anggota Persatuan Siswazah Orang Asli Semenanjung Malaysia (PSOA) itu.

Katanya lagi, pengumuman peruntukan sebanyak RM150 juta yang dibuat oleh menteri berkaitan hal ehwal Orang Asli, Datuk Seri Shafie Apdal semalam juga bukanlah satu cara yang konkrit untuk merungkai permasalahan sedia ada.

"Kami datang ke konvensyen ini untuk bercakap soal tanah, bagaimana RM150 juta ini dapat menyelesaikan masalah tanah ini?," katanya lagi ketika ditemui Malaysiakini pada sidang berkenaan.

Dalam sesi pembentangan kertas kerjanya sebelum itu, Suki berkata situasi yang dihadapi oleh masyarakat Orang Asli kini semakin meruncing kerana lebih 60% daripada tanah mereka masih belum mendapat sebarang pengiktirafan daripada kerajaan.

"Agensi-agensi seperti Risda tidak akan dapat memberi bantuan sekiranya tanah yang diusahakan (Orang Asli) belum diwartakan dan diluluskan oleh kerajaan negeri," katanya lagi.

Tanah dirampas

Seorang lagi pembentang kertas kerja, Prof Madya Dr Bahari Belaton berkata keadaan inilah yang memangsakan masyarakat Orang Asli kerana kerajaan negeri berkuasa merampas tanah Orang Asli sewenang-wenangnya kerana tiadak bukti pemilikan tanah berkenaan.

"Kalau betul mereka sedang berusaha untuk memberi milik tanah kepada Orang Asli, kenapa tidak ada kerja-kerja mengukur tanah-tanah ini diadakan?" katanya dalam sesi pembentangan.

Dalam kertas kerjanya itu, Bahari mengupas 19 seksyen utama dalam akta berkenaan yang perlu ditambahbaik dari segi perlindungan dan kesejahteraan warga berkenaan.

"Kupasan ini dibuat berdasarkan kepada beberapa maklumat awal berkenaan kerangka pindaan ini, sama ada secara bertulis atau menerusi penglibatan beberapa ahli PSOA dalam bengkel dan program berkaitan akta 134," kata Bahari dalam kertas kerja tersebut.

Tambahnya, pindaan yang dicadangkan itu perlu mengambil tujuan untuk mengutamakan kepentingan Orang Asli dan memperkukuh hak keistimewaan masyarakat itu.

Jelasnya, ini perlu dilakukan dengan memperhalusi klausa-klausa sedia ada dengan istilah perundangan yang memberi lebih perlindungan kepada kepentingan golongan itu bagi mengelakkan mereka ditindas.

Usir orang tak diingini

Beliau memberi contoh peruntukan dalam Seksyen 14 dan 15 yang memberi kuasa kepada ketua pengarah JHEOA dan polis untuk mengusir dan menghalang orang-orang yang tidak diingini dan berniat jahat daripada memasuki kawasan Orang Asli.

"Perkataan 'tidak bermoral' atau 'berniat jahat' perlukan penjelasan yang sewajarnya supaya perkara ini tidak boleh disalahgunakan oleh pihak berkuasa.

"Perkataan 'tidak diingini' juga perlu diperjelaskan supaya isu ini tidak disalahgunakan oleh pihak yang berkepentingan," katanya dalam pembentangan tersebut.

Jelasnya, peruntukan sedia ada menyebut, pihak berkuasa berkenaan 'boleh' berbuat demikian, tetapi ini perlu digantikan dengan istilah yang lebih proaktif seperti 'perlu' atau 'wajib.'

"Maksudnya, apabila ia dikuatkuasakan, orang politik yang hendak masuk untuk berkempen contohnya tidak boleh dibenarkan masuk ke kawasan Orang Asli. Orang yang tidak digemari ini boleh diusir setelah mendapat persetujuan dua pertiga daripada masyarakat Orang Asli," katanya.

Satu lagi cadangan yang dikemukakan adalah untuk merombak pentadbiran JHEOA supaya dapat mengambil peranan lebih pro-aktif, manakala satu badan lain perlu ditubuhkan bagi memantau perjalanan dalam jabatan berkenaan.

Bahari berkata, penubuhan itu perlu memandangkan JHEOA dikatakan akan distruktur semula menjadi sebuah agensi perbadanan.

"Setakat ini, menteri (pembangunan luar bandar dan wilayah) mempunyai kuasa mutlak ke atas JHEOA," katanya lagi yang juga mahu JHEOA diterajui oleh masyarakat Orang Asli sendiri secara majoriti, khususnya bagi jawatan tertinggi dalam jabatan tersebut," katanya.

Konvesyen disanjung

Datuk Seri Shafie Apdal pada ucapannya semasa merasmikan penganjuran konvensyen itu semalam bagaimanapun menyanjung tinggi usaha menjayakan sidang berkenaan.

Katanya, usaha untuk memberi pendedahan kepada golongan berkenaan mengenai dasar tanah dan perundangan itu adalah satu usaha yang lebih baik berbanding daripada membuat "rusuhan ataupun demonstrasi."

Katanya, usaha melalui perhimpunan seperti itu tidak memberi faedah kepada masyarakat Orang Asli.

Ucapan ini jelas ditujukan kepada pihak yang bertanggungjawab menganjurkan satu demonstrasi di hadapan pejabat Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) di Gombak bulan lalu.

Bercakap kepada kira-kira 500 orang wakil masyarakat Orang Asli dari seluruh negara, beliau juga berkata resolusi yang dicapai melalui konvensyen berkenaan akan disusuli dengan tindakan mengikut kehendak Orang Asli

Katanya lagi, resolusi berkenaan juga akan diteliti oleh satu kumpulan tumpuan yang turut dianggotai wakil masyarakat Orang Asli.

Salah seorang yang akan menganggotai kumpulan berkenaan ialah Rashid Ka', presiden Persatuan Siswazah Orang Asli Semenanjung Malaysia (PSOA) yang juga penganjur kepada sidang berkenaan. -mk


Tanah 'ditipu', orang Asli protes di Putrajaya

Lebih 2,000 Orang Asli ke Putrajaya bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada perdana menteri berhubung dasar pemberimilikan tanah.

Bagaimanapun kehadiran sesetengah mereka sejak jam 12.45 tengah hari tadi, dengan beberapa bas telah dilencongkan oleh pihak polis ke sebuah auditorium di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Kira-kira seribu daripada mereka disuruh berdialog dengan menteri berkenaan, Datuk Seri Shafie Apdal di auditorium itu.

Kira-kira seribu lagi petang tadi berkumpul di persiaran di hadapan pejabat Perdana Menteri bersedia untuk berarak bagi menyampaikan memorandum berkenaan.

Mereka bagaimanapun dihalang berbuat demikian oleh anggota polis yang bertugas sekitar kawasan itu.

Bagaimanapun setelah perbincangan kira-kira 15 minit, pihak polis memberi jaminan untuk membenarkan lima orang wakil Orang Asli untuk menghantar memorandum berkenaan.

Keputusan itu disambut dengan pekikan "boo" oleh Orang Asli.

Polis juga meminta Orang Asli supaya tidak berarak dan mempamerkan kain rentang serta sepanduk mereka.

Pakai pakaian tradisional

Kumpulan itu bagaimanapun akur untuk tidak menghalang laluan ke JPM dan berkumpul di bahu jalan.

Dalam perhimpunan ini, orang Asli membawa sepanduk dan kain rentang,antaranya berbunyi 'Hak Kami Selaku Orang Asal Perlu dihormati', 'Jangan Hapuskan Akta Kami' dan 'Iktirafkan Wilayah Adat Kami'.

Ada juga Orang Asli yang memakai pakaian tradisional mereka.

Perhimpunan tersebut anjuran bersama Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM) dan juga Jaringan Kampung Orang Asli Perak.

Perhimpunan hari ini adalah yang kedua seumpamanya, selepas satu demonstrasi di hadapan pejabat JHEOA di Gombak pada 24 Februari lalu.

Kira-kira 2.30 petang, kumpulan tersebut berjaya menyerahkan memorandum tersebut kepada perdana menteri melalui pegawai tugas-tugasnya, Datuk Ghazali Ibrahim.

Memorandum tersebut diserah oleh presiden POASM, Majid Suud. Kedengaran tepukan gemuruh selepas dimaklumkan bahawa memorandum tersebut telah berjaya diserahkan.

Lima minit kemudian satu lagi memorandum diserahkan kepada Shafie oleh penyelaras Jaringan Kampung Orang Asli Perak, Tijah Yok Chopil.

'Kami tidak berpecah dua'

Memorandum pertama yang diserahkan oleh Majid berkaitan perlantikan senator Orang Asli yang telahpun diserahkan kepada perdana menteri pada 9 Disember tahun lalu.

Bercakap kepada pemberita, Majid berkata kumpulan itu tidak pernah berpecah dua seperti yang didakwa.

Sebaliknya, tambahnya, kumpulan tersebut tiba lewat dan tidak berjaya mengikuti program bersama Shafie di kementerian tersebut.

"Sebenarnya ada kawan saya yang terlewat kerana datang dari jauh. Kalau ikut jadual kita hendak serah memorandum (pada) jam 2.30, (tetapi) dia tak sampai lagi. Ini yang jadi masalahnya. Ini kumpulan yang sama, tak ada berbeza kumpulan," katanya.

Memorandum kedua yang diserahkan Tijah pula berkaitan bantahan ke atas dasar pemberimilikan tanah Orang Asli.

Sembilan perkara yang digariskan dalam memorandum itu antaranya menyebut, dasar berkenaan diluluskan tanpa melibatkan rundingan dengan masyarakat Orang Asli dan bercanggah dengan peruntukan dalam perlembagaan.

Memorandum tersebut turut menuntut supaya dasar pemberimilikan dimansuhkan dan hak wilayah adat Orang Asli hendalah diwartakan sebagai Rizab Orang Asli.

Turut dikepilkan dalam memorandum berkenaan ialah cadangan pindaan Akta Orang Asli (Akta 134) yang dikemukakan Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia.

Menteri: 'Bukan protes, tapi jalan-jalan di Putrajaya'

Ketika ditemui pemberita kemudiannya, Tijah (bawah) yang juga pengasas Jaringan Kampung Orang Asal Semalaysia berkata, kumpulan Orang Asli yang diketuainya itu tidak sempat hadir di program yang diadakan di kementerian Shafie.

"Masa penyerahan memo tadi saya tidak dengar Datuk Seri Shafie sebut apa-apa jaminan. Saya hanya mampu menekan beliau dan wakil perdana menteri supaya menyampaikan kepada perdana menteri.

"(Saya juga menekan supaya) meneliti memorandum ini dan lupuskan terus dasar pemberimilikan tanah dan teliti tuntutan kami," katanya.

Manakala Shafie pula, ketika diminta mengulas mengenai perhimpunan hari ini, sambil tersenyum berkata: "Mereka datang bukan untuk protes tetapi untuk berjalan-jalan melawat Putrajaya dan kita juga bagi mereka makan-makan."

"Yang majoriti ini kumpulan yang jumpa dengan saya tadi. Sebenarnya mereka nak datang, di samping nak menyaksikan penyerahan memorandum ini.

"Mereka juga datang untuk cuti sekolah hendak ambil gambar di Putrajaya sebab mereka cuma tengok Putrajaya dalam televisyen.

Tambahnya, beliau sedia mendengar apa-apa masalah yang dikemukakan oleh masyarakat, khususnya daripada Orang Asli.

"Jika ada sesiapa kata kami mengabaikan atau menidakkan hak mereka, itu tidak benar kerana kita telah menbelanjakan lebih daripada RM400 juta setahun untuk memastikan pendidikan dan prasarana mereka (terjamin).