11 Apr 2011

[Video] Sentimen UNDUR TAIB Memuncak - Pakatan Menang Pusingan Pertama

Undur-kekal Taib: BN kini diheret PR

Walaupun belum sampai ke tahap untuk menggulingkan kerajaan Barisan Nasional di Sarawak, namun Pakatan Rakyat sekurang-kurangnya berjaya untuk mengheret Barisan Nasional ke dalam gelanggangnya pada pusingan awal PRN Sarawak 2011.

Sentimen "Undur Taib" semakin memuncak di kawasan bandar majoriti Cina, sehingga BN mulai tertekan dalam suasana sedemikian.

Ramai yang akan bersetuju bahawa suasana di bandar-bandar utama Sarawak kini tidak berbeza dengan suasana PRU ke-12 pada tahun 2008, yang akhirnya mencetuskan "tsunami politik" untuk menafikan majoriti dua pertiga BN, selain empat kerajaan negeri beralih tangan kepada pembangkang (tidak termasuk Kelantan yang pada asalnya di bawah PAS). Antara persamaannya yang mungkin paling menakutkan BN adalah wang dermaan yang dikutip dari khalayak ramai yang menghadiri ceramah politik - sehingga mencatat puluhan ribu ringgit Malaysia - dibaca sebagai tanda rakyat komited kepada agenda perubahan.

Najib akhirnya memberi jaminan bahawa Taib Mahmud akan berundur selepas PRN Sarawak, tanpa menyebut tarikh mahupun menamakan penggantinya. Pengumuman sedemikian tidak memberi jaminan yang lebih daripada pengumuman sebelum terbubarnya DUN Sarawak, selain mengulanginya buat kali kedua.

Jaminan yang mengundang malapetaka

Pakatan Rakyat, terutamanya DAP semestinya mengambil kesempatan untuk mengasak agar BN membuat pengumuman terperinci, termasuk jadual waktu Taib Mahmud mengundur, penggantinya dan sebagainya. Malah, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution menunjukkan satu keratan akhbar pada 7 November 1995 yang memetik Taib Mahmud bahawa beliau akan berundur dalam masa lima tahun. Kesemua ini cukup untuk menyanggah jaminan daripada Najib dan Taib Mahmud.

Walau bagaimanapun, langkah Najib untuk mengulangi jaminan yang sama semalam - walaupun berniat untuk meredakan ketidakpuasan rakyat, tetapi mungkin mengundang malapetaka di sebaliknya. Pertama, beliau menafikan bahawa Taib Mahmud adalah liabiliti, atau beban kepada BN. Selagi Najib enggan mengakui masalah yang ada pada Taib, maka pembangkang mempunyai alasan yang cukup untuk mempertikaikan keikhlasan Najib.

Keduanya, pengumuman Najib boleh ditafsir sebagai "campur tangan dari Semenanjung", sentimen yang cuba diwujudkan sepanjang kempen BN Sarawak untuk menangkis serangan PR. Sentimen inilah yang dipermainkan supaya rakyat menolak parti politik dari Semenanjung. Namun, senjata ini sekarang mungkin makan tuannya kerana Najib dari Semenanjung dilihat bersuara untuk menentukan kekal-undur Ketua Menteri Sarawak.

Pergolakan kuasa dalaman

Lebih ketara, pengumuman ini semestinya menempangkan Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri, dan membuka lembaran baru pergolakan kuasa dalam PBB sendiri. Keadaannya mungkin sikit berbeza, namun ada persamaannya jikalau dibandingkan dengan Gerakan di Pulau Pinang pada tahun 2008. Setelah Presiden Gerakan Koh Tsu Koon berundur dari jawatan KM Pulau Pinang untuk bertanding di kawasan parlimen, tanpa menamakan penggantinya, maka berlakulah pergelutan dalaman antara beberapa orang calon yang melihat dirinya layak untuk menyandang jawatan KM.

Kesudahannya seperti yang disaksikan, Gerakan kehilangan kuasa kerajaan negeri di Pulau Pinang. Senario ini mungkin sukar diulangi di bumi kenyalang, namun ia sudah memadai seandainya BN gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Sarawak. Dan seandainya SUPP (yang berperanan seperti MCA di Semenanjung) mengalami kekalahan yang besar, maka ia merupakan tamparan sengit kepada slogan 1Malaysia oleh Najib Razak.

Lanskap politik kemudiannya...

Jikalau keputusan PRN Sarawak 2011 menyaksikan pengundi Cina tetap memihak pembangkang, maka senario ini bakal meletakkan Najib dalam keadaan dilema.

Mencurahkan lebih usaha untuk memikat hati pengundi Cina, atau mengambil langkah drastik untuk "menghukum" pengundi Cina yang tidak menyokong BN - semestinya akan menjadi perbalahan pendapat dalam UMNO dan BN sendiri. Silap selangkah Najib dalam membuat keputusan bakal meletakkan tanda noktah pada tempoh jawatan PM-nya.

Justeru itu, apa yang boleh dilakukan oleh Najib dan regimnya sekarang adalah menabur "gula". Peruntukan demi peruntukan ditabur untuk memastikan kemenangan BN dalam PRN Sarawak, pertarungan yang bakal mempengaruhi semangat BN untuk menghadapi PRU ke-13.

Namun demikian, Najib semestinya sedar bahawa pendekatan sedemikian tidak boleh dikekalkan selama-lamanya. Sebelum PRU ke-12, BN menang dalam PRK Machap dan Ijok, setelah menabur "gula pilihan raya" yang bernilai puluhan juta ringgit. Akhirnya kemenangan itu terbukti hanyalah pembohongan yang dibeli dengan wang ringgit.

Demikianlah dilema yang dihadapi Najib Razak, atau lebih tepat sebenarnya, kebuntuan yang dihadapi Barisan Nasional sekarang. -MR

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.








Heli Dah Terhempas, TPM Lagi Cakap Mahu Menang Besar

TPM minta 'jasa baik' guru di S'wak sokong BN

Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta 'jasa baik' para guru di Sarawak supaya menyokong BN dalam pilihan raya negeri itu pada 16 April depan.

Beliau yang juga timbalan perdana menteri menggesa mereka membantu BN menang besar, dengan memangkah calon-calonnya dalam pilihan raya negeri Sabtu depan.

Muhyiddn yang juga timbalan pengerusi BN berucap kepada kira-kira 400 guru yang mengikuti satu program untuk pendidik di Sibu petang ini.

Selepas ini, kata Muhyiddin, pembangkang akan mendakwa BN berkempen melalui guru-guru, tetapi tegasnya, ianya bukan hanya satu peringatan lembut, tetapi juga peringatan yang penting.

Sambil mengkritik kempen Pakatan Rakyat untuk membawa perubahan, Muhyiddin berkata, rancangan pembangunan mungkin terjejas jika berlaku perubahan tersebut.

Menurutnya, rancangan pembangunan akan terjejas jika berlaku gangguan atau perubahan mengikut cara pembangkang.

Beliau mengumpamakan kempen pembangkang untuk perubahan itu umpama 'tikus membaiki labu' - satu pepatah Melayu yang bermaksud tindakan yang akan memburukkan lagi keadaan. -mk


Helikopter terhempas selepas hantar rombongan TPM

Helikopter Bell Jet milik Sabah Air yang terhempas di Dataran Sibu. — Foto ihsan dari Facebook


SIBU, 11 April — Salah sebuah helikopter yang menghantar rombongan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terhempas di Dataran Sibu berhampiran Wisma Sanyan di sini kira-kira 2 petang tadi.

Tiada penumpang dalam helikopter ketika kejadian.

Helikopter milik Sabah Air itu dipercayai terhempas akibat angin kencang.

Menurut Ketua Polis Sibu Shafie Ismail, juruterbang cedera parah dan dihantar ke Hospital Sibu untuk rawatan.

Helikopter itu, salah satu daripada tiga helikopter yang digunakan untuk membawa rombongan timbalan perdana menteri, ketika kejadian sedang berlepas untuk menuju lapangan terbang Sibu.

Laporan media juga menyebut helikopter itu terhempas beberapa minit selepas Muhyiddin tiba di lokasi yang sama untuk menghadiri satu majlis di hotel berhampiran.

Dalam pada itu, Bernama Online memetik Setiausaha Akhbar Muhiyddin, Hafiz Abdul Halim berkata beliau ketika itu sedang

berjalan menuju ke RH Hotel, kira-kira 100 meter dari dataran itu terkejut dengan kejadian itu.

“Helikopter itu tidak mengalami apa-apa masalah semasa kami berlepas dari Bintangor atau semasa dalam penerbangan. Saya sedang berjalan menuju hotel apabila saya dengar ia terhempas,” kata Hafiz yang sebelum itu menaiki helikopter itu bersama-sama dua pegawai keselamatan.

Muhyiddin dan pegawai khas beliau yang menaiki helikopter berasingan turut mendarat di dataran yang sama sebelum kejadian itu. Mereka juga baru pulang dari Bintangor.

“Timbalan Perdana Menteri dan rombongannya selamat,” kata Hafiz.-TMI


Ulasan GB

Itulah sikap TPM yang bernama Muhyiddin Mohd Yassin yang tak pernah ambil iktibar terhadap apa juga yang berlaku. Sekalipun, helikopter yang dinaki selamat tetapi helikopter yang membawa rombongannya terhempas. Bukankah itu satu PENGINGATAN untuk beliau?

Kalau TPM itu seorang yang perihatin, majlis perjumpaan untuk melobi guru-guru itu dibatalkan. Sudahlah ianya menyalahi etika, memperalatkan guru untuk kepentingan politik BN, kemudian lansung tak tunjukkan keprihatinan terhadap juruterbang helikopter yang cedera parah tersebut dengan menziarahinya.

GB sudah ulas isu ini di SINI.

Menjelang Muktamar: Angin Perubahan Sedang Bertiup Dalam PAS?

Husam dicalon tanding presiden PAS

Dalam satu keputusan yang mengejutkan, PAS Kawasan Bukit Bintang telah mencalonkan exco kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa untuk bertanding jawatan presiden PAS dalam muktamar Jun ini.

Keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat agungnya Jumaat lalu bertempat di Markas PAS kawasan Batu.

Mesyuarat itu juga mencalonkan bekas naib presiden, Mohamad Sabu untuk bergandingan dengan Husam bagi jawatan timbalan presiden.

Bagi tiga jawatan naib presiden pula, kawasan tersebut sebulat suara mencalonkan untuk mengekalkan penyandangnya, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar.

Seorang lagi calon naib presiden ialah bekas menteri besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, kata yang dipertua PAS Bukit Bintang, Mohd Radzi Hashim.

Manakala calon bagi jawatankuasa PAS pusat pula, diserahkan untuk diputuskan oleh jawatankuasa kawasan itu.

Pada 2009, PAS Bukit Bintang pernah mencalonkan Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat untuk bertanding presiden. Bagaimanapun mursyidul am PAS itu menolak pencalonan tersebut.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Mohd Radzi berkata pencalonan itu dibuat kerana Bukit Bintang percaya pemimpin berkenaan “boleh memimpin dalam suasana politik sekarang”.

“Akar umbi mahukan pemimpin yang boleh membawa perubahan dengan kehendak semasa tanpa memperlekehkan peranan (presiden sekarang) Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Beliau (boleh) lebih (berperanan dengan) diletakkan di Majlis Syura. (Oleh itu) Majlis Syura dapat diperkasakan dengan mengawasi dan memandu jawatan eksekutif,” katanya.

Menurutnya lagi, jika Abdul Hadi menganggotai Majlis Syura, maka beliau boleh membantu Nik Aziz antaranya menasihati ahli supaya tidak melanggar disiplin parti.

Mohd Radzi berkata, pencalonan bagi kepimpinan baru itu dilihat mampu untuk menarik golongan muda yang mahu perubahan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Gabungan antara ulama dan profesional dapat memperkasakan bagi menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya.

Sementara itu, Mohd Radzi berkata beliau dan barisan kepimpinan kawasan itu dikekalkan dalam pemilihan kali ini. -mk

Ulasan GB

PAS Kawasan Bukit Bintang telah memulakan satu pencalonan "yang lain daripada yang lain" untuk jawatan Presiden. Ia agak memeranjatkan tetapi tidak menyalahi perlembagaan atau adab jemaah.

Yang pasti, melalui pencalonan yang dikemukakan, Bukit Bintang mahu satu perubahan untuk jemaah. Ia juga gambaran suara hati akar umbi di dalam parti.

GB tidak mahu ulas panjang, kecuali satu, selain Husam yang dicalonkan sebagai Presiden, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin turut dicalonkan sebagai Naib presiden oleh Bukit Bintang. Datuk Seri Nizar memang diperlukan sekarang ini di dalam pimpinan jemaah sekurang-kurangnya di jawatan Naib Presiden. GB berharap Datuk Seri Nizar akan sedia mempertimbangkannya kali kali setelah beliau menolak pada muktamar yang lepas.

PAS perlu menonjolkan pemimpin yang boleh diterima oleh masyarakat Malaysia, kerana kita pada bila-bila akan diserahkan Allah kuasa untuk mentadbir negara, bukan sekadar mentadbir PASTI atau negeri lagi.

Justeru itu persediaan ke arahnya perlu ada dan muktamar kali ini adalah muktamar pemilihan pemimpin yang akan diketengahkan oleh parti untuk ke Putrajaya.

Allah BERHAK untuk memilih sesiapa yang dikehendakinya hatta "yang hitam dari Habsyi" untuk memimpin hizbullah ini.

Rakyat Tertekan, Harga Ayam Dijangka Naik Lagi

Peniaga ayam di Pasar Chow Kit, di sini, menjangkakan harga ayam naik 50 sen lagi menjadikan harganya RM8 sekilogram sepanjang minggu ini.

Tinjauan Harian Metro ke pasar itu semalam, mendapati kebanyakan peniaga menjangka harga ayam akan terus naik berdasarkan trend kenaikan dan penurunan harga yang berlaku kebelakangan ini. Pada awal bulan ini, harga ayam dicatatkan RM7 sekilogram, meningkat kepada 50 sen pada minggu lalu, iaitu RM7.50 dan dijangka meningkat lagi pada minggu ini.

Peniaga ayam, Rosli Misanti, 42, berkata harga ayam tidak stabil, turun dan naik dalam tempoh sebulan tanpa kawalan harga yang ketat.

“Kebanyakan peniaga meramalkan harga ayam akan terus naik sehingga RM8.50 sekilogram. Kini, seekor ayam dijual dengan harga kira-kira RM12 dan jika kenaikan harga ayam terus berlaku, tidak mustahil ia akan mencapai harga RM16 seekor,” katanya.

Rosli melahirkan rasa kesal kerana peniaga sering dipersalahkan dengan kenaikan harga ayam di pasaran, sedangkan mereka tidak terbabit langsung dalam menentukan harga ayam. Mereka hanya mengikut harga pasaran ditentukan dan belian daripada pembekal, iaitu ayam belum diproses dibeli dengan harga RM5.50 sekilogram. Dia yang sudah 15 tahun menjual ayam berkata, inilah kali pertama berhadapan dengan kenaikan harga yang mendadak.

Katanya, dulu 300 ekor ayam habis dijual setiap hari, kini 200 ekor pun belum tentu habis kerana harga yang mahal membuatkan orang ramai kurang membeli dan permintaan terhadapnya turut berkurangan.

Peniaga ayam, Zulkifli Hatta, 50, berkata jualan ayam yang naik dan turun dalam tempoh sebulan menyebabkan perniagaannya rugi kerana permintaan terhadap ayam berkurangan.

“Dulu saya akan menjual 100 ekor ayam sehari dan kini hanya mampu jual 80 ekor saja dan jika ada pelanggan minta kurangkan harga saya akan kurangkan sebanyak 20 sen kerana kasihan kepada mereka.

“Walaupun peniaga lain menjual dengan harga tetap, saya terpaksa mengurangkan lagi bagi memastikan stok ayam habis dijual,” katanya. -hm

Parti BN Dah Jadi Parti Tupperware?

Kekecohan rebut Tupperware di ceramah PM

Kekecohan berlaku di stadium tertutup MBKS malam tadi selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razal meninggalkan tapak perhimpunan ceramahnya kerana hadirin berebut cuba mendapatkan 'ole-ole' yang dibawanya - iaitu bekas makanan dan minuman berjenama Tupperware.

Ketika 2,000 orang beredar dari stadium itu, ratusan lagi mengerumuni pintu masuk untuk merebut bag 'ole-ole' yang diberikan secara percuma itu.

Bag itu mengandungi poster Najib dan sama ada sebuah bekas makanan atau minuman daripada jenama terkenal Tupperware.

Apabila keadaan menjadi tidak terkawal, beberapa pekerja terpakasa memindahkan kotak-kotak barangan itu daripada pintu masuk.

Jatuh tergolek

Sebaik sahaja kotak yang dibawa mencecah lantai, puluhan orang lagi akan menyerbu ke arah tersebut. Kebanyakan mereka adalah golongan berusia dan kanak-kanak yang terus mengoyakkan kotak itu dan merampas 'ole-ole' yang ada.

Dalam kekecohan itu, ramai yang jatuh. Seorang wanita tua dilihat tergolek di lantai tetapi terus berpegang erat kepada bag yang berjaya diambilnya itu.

Wartawan dan anggota polis yang berada di lokasi tercenggang melihat kejadian yang tidak disangkakan dan ada yang menasihatkan orang ramai supaya bersabar menunggu giliran mendapat hadiah daripada BN itu.

Seorang hadirin memberitahu Malaysiakini bahawa beliau datang apabila terbaca di akhbar mengenai program anjuran BN yang menjemput semua penduduk sekitar Kuching.

“Ada makanan dan hadiah percuma. Sesiapa pun akan datang,” kata lelaki pertengahan umur yang tidak mahu namanya disiarkan.

Ditanya sama ada beliau datang untuk menyokong perdana menteri dan BN, lelaki itu berkata dia hadir untuk melihat wajah Najib secara dekat.

Seorang wanita tua pula berkata, beliau dan penghuni sebuah rumah pangsa dibawa dengan bas dari Jalan Ban Hock. Katanya, akibat kekecohan itu, dia gagal mendapat bag 'ole-ole' BN itu.

Sebelum majlis bermula, semua hadirin diberikan sehelai kemeja T 1Malaysia dan diminta menyarungkannya ketika itu juga. Hadirin juga diberikan burger dan air minuman botol.

Ulasan GB

Nak ketawa pun ada bila baca berita di atas. Parti BN dah jadi parti tupperware. Berpusu-pusu dilaporkan hendak mendapatkan ole-ole yang dibawa oleh Najib.

Memang rakyat Sarawak memerlukan tupperware untuk menadah air hujan. BN di bawah Abdul Taib Mahmud telah gagal menyediakan air bersih kepada penduduk Sarawak sekalipun telah 30 tahun memerintah Sarawak.

Kasian sungguh nasib rakyat Sarawak. Lain yang diminta, lain yang Najib bawa.

Nak tahu ceritanya klik SINI

Inilah peluang keemasan untuk tukar kerajaan Sarawak.

TERKINI: Helikopter Bawa Rombongan TPM Terhempas Di Sibu

Sibu: Sebuah helikopter yang baru menghantar anggota rombongan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, terhempas ketika hendak mendarat di padang berhampiran Wisma Sanyan, di sini kira-kira jam 2 petang tadi.

Gambar: Sebuah helikopter terhempas setelah menurunkan tiga penumpang termasuk Setiausaha Akhbar kepada Menteri Pelajaran Hafiz Abdul Halim, di Dataran Sibu pada jam 1.40 tengah hari ini. Manakala Juruterbang helikopter itu dikejarkan ke Hospital Sibu dan keadaanya tidak di ketahui. -Bernama

Helikopter milik Sabah Air itu dipercayai terhempas akibat angin kencang. -BH

Ulasan GB

Helikopter tempas. Mujur TPM tidak ada bersama.

Entah apa perancangan TPM di Sibu, kita tidak tahu, tapi Tuhan Maha Tahu.

Ini bukan kali pertama helikopter yang membawa rombongan Muhyiddin bermasalah.

Kali pertama ialah pad abulan Ogos tahun lalu di mana helikopter Nuri Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM) yang membawanya terpaksa membuat pendaratan cemas di Tuaran Sabah akibat cuaca buruk.

Selain Muyiddin, ketika itu turut berada dalam pesawat yang membawa 14 penumpang serta anak kapal itu ialah setiausaha akhbar beliau Datuk Ainon Mohd serta Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Yahya Hussin, demikian lapor Bernama.

GB sewaktu itu telah mengulas di SINI. Petikan:

Muhyiddin telah menggunakan kemudahan harta kerajaan (helikopter nuri) untuk melakukan kerja-kerja partinya, UMNO bukan untuk melakukan kerja-kerja sebagai Timbalan Perdana Menteri. Dan biar saja Allah menegur pebuatannya kerana teguran manusia tiada satu pun yang didengar oleh Muhyiddin ini. -GB


Hasil Ratu Cantik Mak Nyah Tetap Haram Walaupun Atas Nama Kerja Amal

Hasil tetap haram'

“Haram tetap haram. Walaupun matlamat mahupun niat dipasang bertujuan untuk kerja amal dan kebajikan, cara yang dilaksanakan ternyata salah di sisi Islam,” kata Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid, ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan muka depan Metro Ahad semalam mengenai penganjuran pertandingan ratu cantik mak nyah secara tertutup di sebuah hotel terkemuka di pantai timur yang bertujuan mengutip dana untuk diserahkan kepada anak yatim dan rumah kebajikan.

Mohd Tamyes berkata, keadaan dan sifat pertandingan itu sendiri ternyata salah iaitu dengan menggunakan peserta pertandingan terdiri daripada golongan mak nyah sebagai aset peraduan untuk mengutip dana sumbangan yang jelas haram dalam Islam.

“Hasil diperoleh melalui penganjuran pertandingan ratu cantik golongan mak nyah itu sudah semestinya tidak halal di sisi agama dan tidak wajar untuk didermakan kepada mana-mana pihak walaupun ia bertujuan membantu golongan memerlukan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Dr Niekmah Adam berkata, asas penganjuran pertandingan terbabit sudah terpesong daripada landasan agama iaitu dengan menggunakan golongan mak nyah sebagai aset peraduan.

“Sungguh menghairankan, apabila terdapatnya penganjuran peraduan seperti ini yang membabitkan golongan mak nyah dianjurkan di salah sebuah negeri pantai timur dan turut dihadiri beberapa kenamaan yang seakan-akan menyokong penganjuran peraduan itu,” katanya.

Dr Niekmah berkata, penganjuran peraduan bertujuan mengumpul kutipan dana sebelum diserahkan kepada badan amal dan kebajikan adalah perkara yang tidak dihalalkan dalam Islam kerana hasil dana itu diperoleh daripada sumber tidak benar.

“Perkara seperti ini tidak seharusnya terjadi di kalangan masyarakat Islam dan penelitian selain kesedaran dalam diri setiap individu amat diperlukan bagi membanteras apa juga perkara dilaksanakan yang tidak mengikut landasan sebenar ajaran Islam,” katanya.

Semalam, Metro Ahad melaporkan satu pertandingan ratu mak nyah dianjurkan secara tertutup di sebuah hotel terkemuka di pantai timur dengan berselindung di sebalik motif kerja amal untuk membantu golongan kurang bernasib baik.

Lebih menggemparkan, pertandingan Miss Malaysia 2010 membabitkan ratu dari seluruh negara itu turut dihadiri golongan kenamaan bergelar Datuk manakala artis terkenal, Noraniza Idris bertindak sebagai juri.

Penganjur dikatakan memilih negeri itu sebagai tuan rumah berikutan kekaburan undang-undang syariah di negeri itu untuk menghukum golongan mak nyah, jika berpakaian dan berkelakuan seperti wanita di khalayak.

Pertandingan ratu cantik mirip di Pattaya, Thailand itu terbongkar selepas didedahkan di beberapa laman web sejak Selasa lalu.

Wartawan Metro Ahad berjaya menjejaki seorang peserta, Lina (bukan nama sebenar) untuk mendapatkan gambaran jelas mengenai acara itu.

Dia mengakui ia disertai individu beragama Islam yang kebanyakannya sudah menukar jantina menerusi pembedahan dan suntikan hormon. -hm





[Bergambar] Najib & Taib Menangis - TGNA Tawan Hati Rakyat Sarawak

BN dibayangi ‘dilema’, Pakatan mula raih sokongan

Sementara kempen pilihan raya negeri sudah pun melepasi pertengahan jalan, kehadiran pengikut dan penyokong dalam jumlah berbeza pada majlis dihadiri kedua-dua Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan Barisan Nasional (BN) alami “dilemma” menuju hari penentuan Sabtu ini.

Jumlah kehadiran jelas memperlihatkan BN, yang memerintah negeri ini sejak lebih empat dekad lalu, seolah-olah berada dalam “mood” yang berbeza.

Lebih 900,000 pemilih akan keluar mengundi Sabtu ini sempena pilihan raya negeri kali ke-10.

Pengundi Sarawak yang lazimnya dilihat sebagai konservatif berduyun-duyun hadir untuk mendengar ceramah pada perhimpunan dihadiri Anwar dan beberapa pemimpin utama Pakatan Rakyat, antaranya Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di kerusi DUN Batu Kawah, yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan dari pusat bandar Kuching.

Menurut pemerhati sekitar 8,000 orang hadir pada majlis ceramah itu, menyebabkan kesesakan teruk kira-kira dua jam.

Pada masa yang sama, Najib hadir pada majlis bertemu pemimpin 1 Malaysia di Kuching.

Meskipun penganjur majlis itu menggunakan bas untuk membawa orang ramai dari luar kawasan Kuching ke stadium tertutup Majlis Bandaraya Kuching Selatan, hanya sekitar 1,000 pengikut dan penyokong hadir.

Setiap hadirin majlis itu diberikan kemeja-T 1 Malaysia dan bendera untik dikibarkan ketika pemimpin-pemimpin kerajaan BN memasuki stadium.


Mengiringi Najib selaku Pengerusi BN ialah lima calon Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), dan pemimpin-pemimpin parti komponen, antaranya Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Selepas Perdana Menteri dibawa masuk ke dewan dengan sambutan permaidani merah, sebahagian pengikut dan penyokong yang dibawa meninggalkan stadium untuk ‘bersiar’siar’ di kawasan stadium. Malah sebahagian lagi hadirin masih berada dalam kenderaan yang digunakan untuk membawa mereka.

Apabila Perdana Menteri mula berucap, hadirin dalam jumlah besar, yang memakai kemeja-T 1 Malaysia mula keluar sedikit demi sedikit dari stadium.

Mereka yang berada di dalam dewan pula memperlihatkan wajah bosan tetapi sekali sekali bertepuk apabila Najib menyampaikan poin-poin yang ‘bersemangat’ dan menarik perhatian.

Sementara Pengerusi BN itu berusaha untuk meredakan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan Tan Sri Abdul Taib Mahmud dengan menegaskan bahawa Ketua Menteri Sarawak itu akan melepaskan jawatannya segera selepas pilihan raya, beribu-ribu hadirin yang berkumpul di Batu Kawah bersorak gembira apabila pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat memberitahu penyokongnya supaya percaya bahawa pemimpin itu tidak akan berbuat demikian.

Menurut pemberita yang membuat liputan ceramah di Batu Kawah, Anwar menerima sokongan besar daripada hadirin.

Dalam ucapannya, Ketua Pembangkang itu meminta rakyat negeri Sarawak supaya percaya pada Pakatan Rakyat dan pemimpin-pemimpinnya sambil menambah bahawa “Pek Moh”, istilah Hokkien yang digunakan untuk menggambarkan Taib dan pemimpin dalam kerajaan, supaya belajar daripada kepimpinan Lim, Nik Aziz dan pemimpin-pemimpin yang lain.

“Mereka tidak pernah mencuri tanah rakyat,” kata beliau.

Anwar membawa pengalaman kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang dengan mengatakan bahawa di “Selangor, anda mendapat air percuma tetapi di Sarawak, hanya air hujan yang percuma.”


Rakyat Sarawak akan keluar mengundi Sabtu ini, persekitaran yang cukup getir bagi BN manakala Pakatan Rakyat memperlihatkan peningkatan sokongan.

Sementara pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mengakui bahawa BN akan mempertahankan negeri bumi Kenyalang ini, tetapi ramai juga berpandangan bahawa pihaknya akan mengurangkan jumlah kerusi dimenangi perikatan itu.

Kini, BN mempunyai 63 kerusi di Dewan Undangan Negeri manakala DAP enam, PKR dan Parti Cinta Malaysia masing-masing satu. -TMI


'Super Sunday' melanda Sarawak


Suhu politik di Sarawak mula bergelagak dan lazimnya malam Ahad yang sunyi dikejutkan dengan kedua-dua BN dan pakatan Rakyat memperhebatkan kemprn masing-masing.

Pertarungan paling sengit berlaku di Kuching, malam semalam. DAP melabelkannya sebagai 'Super Sunday', di mana hadirin sehingga melebihi 10,000 orang membanjirinya dua rali yang dianjurkannya.

Jumlah hadirin terbesar adalah di Batu Kawah, dengan dianggarkan tidak kurang 8,000 orang yang datang dan sanggup berdiri berjam-jam lamanya semata-mata untuk mendengar ceramah daripada tiga 'orang kuat' Pakatan - setiausaha agung DAP Lim Guan Eng, ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mursyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat.

Sebaik sahaja Anwar menyebut mengenai “video seks', para hadirin gelak dan ramai yang dilihat kurang mempercayai bahawa pelaku di pita itu adalah dirinya seperti yang didakwa.

Kehadiran orang ramai menyebabkan kesesakan lalu lintas sehingga lima kilometer di Jalan Batu Kawah. Ada juga yang membawa kerusi plastik masing-masing dan berada di jambatan Batu Kawah, kira-kira 200 meter dari lokasi ketua pembangkang itu sedang berucap.

"Saya juga diberi amaran - sekarang ini seorang pegawai Kastam telah meninggal dunia, DNA saya juga akan ditemui di sana,” kata Anwar sambil disambut gelak ketawa daripada hadirin.

Dalam nada yang lebih serius, beliau juga menimbulkan isu kitab Injil berbahasa Melayu yang dirampas di Pelabuhan Klang dan Kuching oleh Kementerian Dalam Negeri.

31,500 kitab Injil berkenaan dirampas dan ditahan kerana dikatakan mengandungi beberapa perkataan yang dilarang termasuk penggunaan kalimah Allah.

"Nama bapa kepada Nabi Muhammad ialah Abdullah (maknanya hamba Allah) dan beliau dilahirkan 70 tahun sebelum kedatangan Islam, jadi ini bukan isu,” kata Anwar.

Beliau juga membidas kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri berkempen di Sarawak.

Sambil menyifatkan ia sejarah dalam pilihan raya Sarawak, katanya kehadiran Najib membuktikan BN kini terlalu takut dengan kuasa rakyat yang kini sudah tidak boleh menerima lagi Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Nik Aziz pula dalam ucapannya mahu rakyat di Sarawak memilih pemimpin yang amanah dan tidak mengkhianati rakyat dan tidak melakukan kemungkaran di bumi Allah.

Beliau yang juga menteri besar Kelantan berkata, apa yang sudah terbukti, Pakatan Rakyat telah mempamerkan urus tadbir yang baik di negeri-negeri yang diperintah mereka termasuk Kelantan yang diperintah sudah lebih 20 tahun dengan menerapkan nilai agama Islam
.

"Pilihan raya ini tempat kita nak pilih pemimpin yang baik dan amanah.

Batu kawah Pakatan ceramah"PAS berkawan dengan DAP dengan PKR dan berjanji untuk menjaga rakyat dengan lebih baik.

"Jadi pilih calon Pakatan Rakyat. Kalau calon DAP bertanding, pangkah DAP, kalau PKR tanding, pangkah PKR, kalau PAS tanding pangkah PAS," katanya yang turut mendapat tepukan gemuruh hadirin.

Buaya dua kaki

Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang ketika berucap, turut menyeru rakyat Sarawak memilih calon Pakatan Rakyat.

Dalam nada berseloroh, katanya, wakil DAP di Batu Kawah, Christina Chew berkeupayaan menangkap 'buaya dua kaki' yang sering memakan harta rakyat negeri ini.

"Di Sarawak ada banyak sungai, dalam sungai ada banyak buaya, bukan buaya empat kaki, tapi buaya dua kaki.

"Kalau empat kaki takpa, kita boleh tembak saja tapi ini buaya dua kaki, kita kena undi Christina untuk ajar itu buaya dua kaki," kata Lim yang menyebabkan hadirin tidak kering gusi.

Sambil merayu penduduk di bumi Kenyalang itu agar berhenti memberi mandat kepada BN, beliau juga mahu rakyat jangan terus tertipu dengan janji Taib yang mahu menjadikan Sarawak negeri terkaya.

"Nak jadi kaya mesti zero corruption, kalau tidak, you zero income
", katanya.

Lim seterusnya mengajak hadirin menukar rangkap lagu 'I want nobody nobody but you' nyanyian Wonder Girls kepada 'No money no money for you' untuk ditujukan kepada Taib. -mk















Mayat Lelaki Rentung Dalam Kereta

Lelaki mati dibunuh dalam kereta hangus

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dipercayai dibunuh ditemui rentung dalam sebuah kereta hangus terbakar di Happy Garden, Bangsar di sini, awal pagi semalam.

Difahamkan, sebelum kejadian empat lelaki menculik mangsa dan bertindak kejam membunuh serta membakar mayat mangsa.

Menurut sumber, mangsa yang dipercayai ahli kumpulan samseng dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya beberapa hari lalu.

“Mangsa dipercayai diculik sekumpulan samseng lain dipercayai tidak berpuas hati dengan mangsa dan bermotif dendam. Bagaimanapun, mayat ditemui itu masih belum dikenal pasti,” katanya.

Sumber berkata, akibat dendam mangsa dibunuh dengan beberapa kesan tikaman sebelum kumpulan itu membawanya ke tempat kejadian dan membakarnya.

“Penjenayah seolah-olah tidak mempunyai belas kasihan apabila mencurahkan petrol ke atas kereta milik mangsa sebelum membakar mayat mangsa bertujuan menghilangkan bukti jenayah,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mayat mangsa yang ditemui sudah terbakar 90 peratus.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, hasil pemeriksaan di tempat kejadian tidak menemui dokumen peribadi mangsa.

“Mengikut keterangan saksi, pada mulanya sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna putih dilihat berhenti berhampiran sebuah kereta jenis Honda Civic di tepi jalan.

“Selepas itu, seorang daripada empat lelaki dalam kereta berkenaan keluar dan menyimbah petrol ke atas kereta Honda Civic itu,” katanya.

Menurutnya, sebaik api mula marak, lelaki terbabit masuk ke dalam kereta Perodua Myvi berkenaan lalu memecut laju bagi mengelakkan perbuatan mereka dilihat orang awam.

Saksi yang terkejut dengan insiden itu bertindak menghubungi polis dan bomba sebelum usaha memadamkan kebakaran berjaya dilakukan.

“Apabila api berjaya dipadamkan polis menemui mayat seorang lelaki yang berusia lingkungan 30-an hampir 90 peratus rentung di dalamnya,” katanya.

Ku berkata identiti mayat mangsa masih belum dikenal pasti dan polis kini giat memburu empat lelaki terbabit. -hm


Mayat lelaki dalam Honda Civic

KUALA LUMPUR – Kelibat empat lelaki yang menyimbah sejenis cecair ke arah sebuah kereta Honda Civic lama di satu tempat letak kenderaan membongkar satu rahsia apabila satu mayat lelaki ditemui rentung di dalam kereta tersebut di Happy Garden, Jalan Klang Lama di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, tindakan empat lelaki itu disedari oleh seorang awam pada pukul 3.30 pagi ketika dia melalui kawasan letak kereta itu.

“Pada mulanya keempat-empat lelaki yang menaiki kereta Perodua Myvi warna putih didakwa mendekati kereta mangsa yang berhenti di kawasan letak kereta tersebut.

“Keempat-empat lelaki itu terus masuk ke dalam kereta Honda Civic itu sebelum mereka keluar dalam keadaan tergopoh-gapah,” kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.


Najib Janji Tukar KM Sarawak, Siapa Boleh Percayanya Lagi?

Najib mula kempen enam hari, jamin Taib akan undur ‘segera’

Dilihat sebagai sudah merasai rasa tidak puas hati di kalangan penduduk Sarawak terhadap Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Datuk Seri Najib Razak dalam mesej pertama sempena kempen enam hari menjelang hari penentuan Sabtu ini menegaskan perubahan kepimpinan akan dilaksanakan secepat mungkin selepas pilihan raya.

Berucap pada perhimpunan 1 Malaysia di stadium tertutup Majlis Bandaraya Kuching Selatan di sini malam ini, Najib yang juga Perdana Menteri dan Pengerusi BN menggesa orang ramai tidak risau mengenai kedudukan Taib yang telah pun bersetuju untuk meletakkan jawatan apabila tiba masa yang sesuai.

“Percayalah saya, percayalah saya, apabila tiba masa yang sesuai, kami akan laksanakan yang ini (peralihan kepimpinan). Jangan cepat dan percaya dengan pembohongan pembangkang,” kata Najib.

Najib berjanji bahawa perubahan dalam kepimpinan tertinggi sudah pun disusun dan “perubahan secara tiba-tiba” akan menyebabkan ketidaktentuan di negeri bumi Kenyalang itu.

“Tuan-tuan dan puan-puan, jangan risau. Kami telah mengadakan perancangan agar perubahan akan berlaku dalam kepimpinan tinggi Sarawak, sebagaimana telah dirancang dan perubahan yang telah disusun,” katanya lagi.

Presiden Umno ini tiba di Kuching petang ini dalam usaha mengetuai kempen pilihan raya yang tinggal enam hari menjelang hari pengundian Sabtu ini.

Najib dijadual untuk menghabiskan enam hari di Sarawak, sesuatu yang tidak pernah disaksikan ketika pilihan raya negeri itu.

Malah ini kali pertama sejak 1987 kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri dipertandingkan.

Beliau memberi jaminan itu ketika kempen pilihan raya terus dibayangi dakwaan mengenai rasuah dan salah guna kuasa Taib, yang merupakan ketua menteri paling lama berkuasa itu.

Kepimpinannya genap 30 tahun pada 26 Mac lalu.

Petang tadi, Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa langkah Najib sendiri “mengetuai” BN Sarawak sepanjang kempen enam hari yang berbaki menunjukkan Taib telah pun gagal dalam usaha mempertahankan bumi Kenyalang.

Najib kemudian mengecam pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat dengan mendakwa mereka juga mempunyai sejumlah pemimpin yang sudah berumur.

“Jika mereka bercakap mengenai umur, mereka juga mempunyai pemimpin-pemimpin yang sudah berumur. Saya mahu tanya, (Penasihat DAP) Lim Kit Siang, sudah berapa lama beliau sudah berada dalam politik? Empat puluh dua tahun dalam politik. Beliau bukan baru dalam ini (politik), beliau sudah lama dan beliau sekarang 72 tahun.

“Bagaimana dengan (Mursyidul Am PAS Datuk) Nik Aziz (Nik Mat)? Beliau lagi tua, 80 tahun. (Presiden PAS Datuk Seri) Haji Hadi juga tua?

“Malah, (Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri) Anwar Ibrahim sudah tua meskipun beliau tidak mahu mengaku,” katanya lagi.

Najib menambah, Anwar seorang yang banyak masalah dan orang yang sedemikian tidak boleh menerajui kerajaan atau pun negara. -TMI

Ulasan GB

Najib sendiri yang berjanji akan tukarkan Ketua Menteri Sarawak. Apa ertinya itu? Ertinya Najib sudah membaca bahawa rakyat Sarawak tidak lagi memerlukan Abdul Taib, dan kedudukan BN goncang kerana dan jika terus mempertahankan Abdul Taib sebagai KM Sarawak.

Tetapi janji Najib, apakah anda mempercayainya? Sedangkan jika beliau hendak menukarkan KM Sarawak, ia telah dilakukan sebelum PRN lagi.

Jadi, rakyat Sarawak, bagi pendapat GB tidak mungkin boleh diperbodohkan lagi.

No more empty promises, its now or never. Kata rakyat Sarawak.

MasyaAllah, Mujur Binatang Ini Berjaya Ditangkap

Alor Setar: Dua beradik perempuan berumur 13 dan 12 tahun bukan saja melalui detik mencemaskan apabila dilarikan seorang lelaki lebih 17 jam, malah seorang daripada mangsa dipercayai dirogol sebelum diselamatkan bapa mereka keesokan harinya.

Sebelum kejadian culik itu, kedua-dua mangsa berjalan untuk pergi ke sebuah kedai berhampiran rumah mereka di Kampung Perepet, Kota Sarang Semut, kira-kira jam 5.30 petang, kelmarin apabila didatangi seorang lelaki berusia 20-an yang menaiki sebuah Perodua Kancil berwarna perak.

Lelaki itu menarik tangan kedua-dua mangsa masuk ke dalam keretanya dan melarikan mereka ke Yan untuk menemui rakan suspek.

Mangsa merayu suspek supaya menghantar mereka pulang, bagaimanapun suspek enggan berbuat demikian sebaliknya suspek membawa mangsa meronda-ronda sekitar pantai di Kuala Sala dan Pendang.

Difahamkan seorang daripada mangsa dirogol suspek ketika mereka berhenti tidur di dalam kereta di Tokai, Pendang.

Bagaimanapun, dua beradik itu diselamatkan bapa mereka yang melihat kelibat dua anaknya dalam kereta dipandu suspek di Simpang Empat, Kuala Sala pada jam 10 pagi semalam, ketika berusaha mencari mereka dengan menunggang motosikal.

Dia mengekori Perodua Kancil suspek kira-kira 12 kilometer sehingga kereta itu kehabisan minyak di Tebengau, Kuala Kedah, dekat sini, sebelum menahan suspek.


Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Azaman Mohd Jan, berkata bapa mangsa yang bekerja sebagai pesawah membuat laporan kehilangan anaknya pada Sabtu lalu, kira-kira jam 8.30 malam.

“Bapa mangsa terkejut diberitahu anak lelakinya bahawa kedua-dua kakaknya yang berusia 13 dan 12 tahun tiada di rumah pada malam itu.

“Bagaimanapun, keesokan harinya bapa mangsa yang menaiki motosikal ternampak kedua-dua anaknya berada di dalam sebuah Perodua Kancil berwarna perak yang dipandu seorang lelaki yang tidak dikenalinya di kawasan Kuala Sala, kira-kira jam 10 pagi.

“Dia mengekori kereta itu sehingga stesen minyak Tebengau dan menahan kereta terbabit sebelum membawa suspek ke Balai Polis Kuala Kedah,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, bapa mangsa membuat satu lagi laporan berhubung dakwaan anaknya dipercayai dirogol suspek terbabit.

“Mangsa mengadu ada melakukan hubungan seks dengan suspek di Mukim Bendang Tokai, Pendang pada malam berkenaan.

“Kami juga membawa gadis berkenaan untuk pemeriksaan di hospital kerana seorang daripadanya mengakui ada melakukan hubungan seks pada sebelah malam dia mendakwa dilarikan lelaki terbabit,” katanya.

Azaman berkata, suspek berusia 21 tahun ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dipenjara 20 tahun serta sebatan. -hm



Bapa berkas lelaki larikan dua beradik


ANGGOTA polis menahan lelaki yang didakwa melarikan dua beradik kelmarin.

ALOR SETAR - Kerunsingan seorang bapa sehingga tidak lena tidur selepas kehilangan dua orang anak perempuannya yang keluar membeli barang di Kampung Perpat, Kota Sarang Semut dekat sini kelmarin terungkai apabila mereka ditemui semula pagi semalam.

Dua beradik itu yang masing -masing berusia 12 tahun dan 14 tahun tidak pulang ke rumah selepas keluar berjalan kaki ke kedai pada pukul 5.30 petang kelmarin untuk membeli barang.

Bapa mereka, Mohamad Sofi Sudin, 39, berkata, kejadian itu mengejutkan mereka sekeluarga kerana kedua-dua beradik itu tidak pernah pulang lewat.

Mengimbas kejadian itu, Sofi berkata, dia menyedari kedua-dua anaknya hilang selepas mereka tidak pulang sehingga pukul 8.30 malam kelmarin.

"Saya tidak sedap hati kemudian keluar mencari anak-anak saya di serata kampung tetapi gagal," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini semalam. -kosmo


Ulasan GB

Moralnya: Kes penculikan melibatkan kanak-kanak terutama perempuan berlaku ketika mereka pergi membeli barang-barang di kedai. Justeru hal ini perlu diberikan perhatian supaya ibu/bapa tidak mudah membiarkan kanak-kanak ke kedai tanpa pengawasan, apatah lagi jika pergi dalam tempoh yang agak lama dan tak kembali dalamasa waktu yang boleh dijangkakan.




Omega Yang Dibisingkannya Di PRN Sarawak

Gelagat seorang pemberita wanita dari stesen penyiaran 8TV yang bertanya soalan berkaitan jam tangan Omega pada sidang media Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hotel Continental di sini, petang ini, mengundang kemarahan wartawan akhbar Sarawak.

Seorang wartawan akhbar Sarawak itu memintas dan menegur pemberita penyiaran berkenaan kira-kira jam 2.30 petang dengan menyatakan sidang media itu berkaitan isu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

“Lebih baik tanya isu pilihan raya dan manifesto Pakatan Rakyat.

Bukannya dengan bertanyakan soal-soal seks yang tidak masuk akal,” kata wartawan akhbar Sarawak itu sebelum disambut tepukan wartawan lain.

Sarawak memiliki banyak akhbar tempatan yang hanya berpangkalan di negeri itu, kebanyakannya dikawal rejim Taib Mahmud tetapi mereka dipercayai mula berpaling tadah.

Pemberita penyiaran itu (gambar) dilihat cuba mengheret isu video fitnah berbanding perkembangan PRN Sarawak hingga meresahkan puluhan wartawan lain.

Beliau dipercayai diarah pihak atasannya supaya bertanyakan soalan itu kepada Anwar bagi menggembar-gemburkan isu video fitnah yang tidak mendapat perhatian rakyat Sarawak.

Anwar pada sidang media itu menyifatkan soalan berkenaan jam tangan Omega itu membuktikan media arus perdana tidak putus-putus mencari jalan merosakkan reputasinya.

“Untuk apa saya menjawab soalan-soala ini (isu video fitnah)?

Bukankah Azizah (isteri Anwar) sudah mengadakan sidang media berkenaan perkara ini?

“Inilah cara Barisan Nasional (BN) memperkudakan media dengan soalan yang tidak berkenaan,” kata Anwar yang kelihatan sedikit berang dengan soalan itu. -jalanpulang


Anwar naik angin ditanya tentang video seks

Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim naik angin apabila bertanya tentang video seks lelaki yang didakwa miripnya dengan seorang wanita muda.

Ketua pembangkang itu naik angin bila ditanya wartawan tentang jam
Omega, yang didakwa trio Datuk T yang menayang video itu, ditinggal Anwar di bilik hotel tempat rakaman itu didakwa dibuat.

Anwar: Apa kena mengena jam Omega. sudah establish ke benda tu?

Wartawan: Datuk Seri adakah...

Anwar: Jawab soalan tu. adakah sudah establish.

Wartawan: Dalam tweet sebelum ni...

Anwar: Pasal apa saya nak jawab?

Wartawan: Itu sebab saya tanya.

Anwar kemudiannya bertanya kepada wartawan penyiaran itu, sama ada berani bertanya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tentang kaitannya dengan wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu.

Anwar: Pernah ada orang tanya?

Wartawan: Sebelum ni Datuk Seri...

Anwar: Media kena honest. Dia tak boleh menjadi perkakas orang yang zalim dan menghina. kalau ada basis.

Wartawan: Dulu Datuk Seri ada janji untuk jelaskan di mana Datuk Seri ketika...

Anwar: (Datuk Seri Dr Wan) Azizah (Wan Ismail) dah jawab. Saya tau soalan you untuk bantu Utusan tulis Anwar gagal jawab.

Wartawan: Bukan macam tu Datuk Seri.

Anwar: Dah habis soalan?

Wartawan: Belum

Anwar: Habiskan soalan.

Wartawan lain: Apa pendapat Datuk Seri tentang....

Anwar: Biarkan dia habiskan soalanya. Saya mahu tunjukkan kepadanya bagaimana Umno operate.

Wartawan: Tak ada kena mengena dengan Umno. Saya media, saya jalankan tugas saya.

Anwar: Ya, saya tahu tugas media.

Wartawan: Sebelum ni Datin Seri Wan azizah kata ada jam dalam tangan.

Anwar: Ya.

Wartawan: Tapi belum lagi serah pada polis.

Anwar: Bila yang polis minta?

Wartawan: Jadi jam tu ada pada Datuk Seri?

Anwar: Bila yang polis minta? bila yang polis minta?

(Beberapa orang cuba menghentikan perbalahan tersebut)

Anwar: Tak apa, tak apa. saya nak tengok media perkakas Umno tanya soalan. Soalannya polis minta. bila polis minta. polis tak minta.

Wartawan: jadi...

Anwar: You tanya soalan I jawab.

Wartawan: Datuk Seri tak jawab soalan saya.

Anwar: You bagitau polis minta, saya bagitau polis tak minta.

Malaysiakini: Adakah Datuk Seri akan menyerahkannya?

Anwar: Biar polis minta. Apa isunya? Isunya ialah video. Mereka akan tanya hotel mana, adalah saya pergi ke hotel tersebut. Mengapa harus saya melayan soalan-soalan ini? Biar polis yang mengendalikannya. Soalan berikutnya. -mk


Ulasan GB

Jam Omega yang ditanya sewaktu PRN Sarawak. Rendah sangat mentaliti wartawan berkenaan.

Bermula kisah jam Omega ialah semasa Datuk Eskay menyatakan bahawa kononnya beliau telah diminta oleh Anwar untuk mengambil jam tersebut yang tertinggal di dalam bilik hotel.

Kemudian, tiba-tiba katanya yang ditemui ialah video seks.

Di dalam sidang media pula Eskay ini mengaku pula dia juga ada di dalam lakonan video berkenaan.

Bukankah bengap namanya tu, nak menipu tapi terbarai?

Tentang jam Omega pula. Ia tidak memberi apa-apa makna. Jika Eskay dapat tunjukkan jam Omega kepunyaan Anwar, beliau boleh dicaj mencuri. Jam Omega tidak signifikan di dalam kes ini kerana, mana-mana pihak pun boleh mendapatinya di kedai. Ini jam Omega milik Anwar. Habis cerita.

So apa yang bising sangat pasal Omega. Kalau "telur" Omega yang diperolehi mungkinlah ada kesannya. Sebab telur Omega tulen milik Anwar tak mungkin ada di kedai. Pun Eskay tak boleh curi. Kalauia di kedai itu bukanlah telur Omega tulen milik Anwar atau silap haribulan ia telur Omega tiruan.