28 Feb 2015

Ust Ahmad Awang: Multaqa Nak Kukuh Atau Nak Pecahkan Pakatan Rakyat?


Multaqa PAS 'bagai simbah minyak ke api'

Terlebih dahulu saya ingin ucapkan tahniah kepada jawatankuasa penganjur atas berlangsungnya program Multaqa Ulama II yang baru sahaja selesai diadakan.

Usaha untuk menghimpunkan keseluruhan ahli PAS yang berlatarbelakang pendidikan agama melalui suatu multaqa adalah satu usaha besar yang sudah pastinya penuh cabaran.

Mungkin tidak salah kalau dikatakan ianya merupakan usaha menghadirkan keseluruhan kekuatan dan kemampuan ulama’ PAS dari seluruh negara demi menzahirkan peranan dan pengaruh ulama’ di dalam PAS.

Oleh kerana ia digambarkan sebagai ‘program mega’ yang begitu sifatnya, maka tidak salah kalau dikatakan bahawa harapan rakyat, dan ahli PAS khususnya, pasti begitu tinggi.

Mungkin diharapkan bahawa ia akan menjelaskan lagi arah tuju PAS sebagai rakan Pakatan Rakyat, yang sambil bergerak dalam kerangka gabungan ini, dapat mencapai aspirasi perjuangannya.

Sudah pasti seluruh rakyat mengharapkan kemelut yang berterusan dalam Pakatan, entiti politik yang dilihat sebagai harapan rakyat untuk menggantikan BN, akan dapat ditamatkan atau paling kurang dilunturkan hasil multaqa ini.

Kemungkinan diharapkan bahawa golongan ulama’ akan memberi nasihat dan tunjuk ajar yang berpaksikan carian mereka daripada khazanah keilmuan Islam yang begitu luas sehingga segala masalah dan perbalahan dapat diatasi berlandaskan al-Quraan dan sunnah.

Bagi ahli PAS pula, pastinya harapan yang tinggi bahawa perbalahan dalaman yang seolah-olah tidak terurus, sehingga mengusutkan lagi perasaan ukhuwwah dan silaturrahim dalam PAS itu sendiri, akan akhirnya dapat ditangani melalui kata-kata permata yang akan dihasilkan dari multaqa ini.

Kerana semestinya golongan ulama’ yang berkumpul melalui multaqa ini akan dapat melihat dan merasai keperluan menyelesaikan perbalahan yang semakin meruncing.

Di mana hasilnya?

Sewajarnya golongan ulama’ akan memberikan peringatan berhubung soal ukhuwwah dan persaudaraan dalam Islam. Sudah pasti kesan dari multaqa ini adalah penyatuan hati dan merapatkan saf, bukan sebaliknya.

Malangnya, apa yang diharapkan jelas tidak tercapai. Rakyat yang mengharapkan pembelaan kerana bakal ditimpa berbagai corak tekanan, sama ada ekonomi, sosial mahupun politik sudah pasti berasa hampa dan kecewa.

Bukan sekadar tidak memenuhi harapan bahawa Pakatan dapat dikukuhkan dan ditunjukkan jalan ke arah kerjasama yang lebih mantap dan bermakna, malah diungkitkan pula permasalahan-permasalahan yang dihadapi dan kemungkinan tergadainya prinsip Islam dengan penyertaan PAS dalam Pakatan.


Secara umum ia merupakan usul yang sama seperti usul multaqa ulama’ yang dianjurkan dua tahun lepas yang meminta tahalluf siyaasi (kerjasama politik) ‘dikaji semula’.

Tetapi setelah ditegur dan dikritik, maka diperjelaskan bahawa ‘kajian semula’ itu bermaksud “kaji semula ke arah memperbaiki dan mempekukuhkan lagi”!

Kalau benar itulah yang dimaksudkan pada ketika itu, maka di mana hasil kajiannya? Tidakkah hasil kajian itu patut dikemukakan dalam Multaqa II, lebih-lebih lagi dalam keadaan suasana perbalahan yang dihadapi dewasa ini?

Sudah pasti cadangan-cadangan dari Multaqa Ulama II ke arah pengurusan perbalahan dan penyelesaiannya amat sangat dialu-alukan. Malangnya, cadangan sedemikian rupa tidak sama sekali dikemukakan. Sebaliknya diulang kembali kekhuatiran dan ketakutan yang sama.

Begitu juga hampa dan kecewa pastinya ahli PAS yang sedang melihat perbalahan dalaman yang semakin meruncing.

Pecahkan atau kukuhkan Pakatan?

Multaqa ulama tidak menyediakan kata-kata hikmah serta kaedah bijaksana bagaimana ianya perlu diurus dan ditangani. Apa yang dilakukan sebaliknya adalah menyimbah lagi minyak ke atas api yang sedang membara, tidak mendatangkan penyelesaian tetapi sebaliknya merumitkan lagi.

Ia seolah-olah mengesahkan tuduhan-tuduhan liar bahawa ada pihak yang membawa fahaman sekular liberal dalam PAS, adanya usaha menjatuhkan presiden dan sebagainya.

Sedangkan itu semua pertuduhan yang bersifat rambang. Adakah perlu majlis sebesar dan sepenting Multaqa Ulama II membincangkannya tanpa pernah dibuat “tabayyun” dan membawa bukti lalu terus menjatuhkan hukuman?

Agenda apa sebenarnya yang diutamakan oleh multaqa ini? Mengusahakan perpecahan Pakatan atau pengukuhannya? Mengusahakan kesatuan saf dalaman PAS atau merenggangkannya?

Yang dilihat, ia dianjurkan hanya pada tahun pemilihan. Yang dilihat multaqa menghasilkan usul pecah-belah dan persengketaan.

Adakah benar persepsi sebahagian bahawa program-program liqa’, neqad, ijtima’dan multaqa itu sendiri tidak lain melainkan usaha kempen untuk menjatuhkan pihak tertentu dan menaikkan yang lain?

Amat malanglah sekiranya ia benar sehingga tumpuan usaha ulama’ yang dibawa dari seluruh negara adalah untuk memburuk-burukkan pimpinan tertentu dan menjatuhkan mereka dan menaikkan golongan sendiri.


Politiking sempit sebegini tidak layak bagi ulama’, apatah lagi dengan menggunakan nas-nas al-Quran dan hadis yang tidak kena pada tempatnya.

[VIDEO & GAMBAR] Logi Sisa Toksid Di Sendayan Terbakar, Kualiti Alam Kawasan Sekitar Terancam


Empat Gudang Simpan Sisa Toksik Di Sendayan Terbakar

Empat gudang menyimpan sisa toksik jenis Forest Chemical di Pusat Pengurusan Sisa Berjadual Kualiti Alam di Bukit Nanas, Sendayan dekat sini, terbakar kira-kira pukul 1.30 tengah hari tadi.

Kejadian itu menyebabkan kepulan asap hitam tebal menyelubungi kawasan kebakaran.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 ketika dihubungi Bernama berkata usaha mengawal kebakaran setakat pukul 5.30 petang ini masih dijalankan bagi mengelak api merebak ke kawasan lain.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini," katanya.

Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 1.41 tengah hari dan sebanyak dua jentera bersama-sama 14 anggota bergegas ke lokasi kejadian, katanya.

Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dan Perkhidmatan Perubatan Penyelamat Kecemasan (EMRS) turut dikejarkan ke lokasi kejadian, katanya.

Menurutnya operasi memadamkan kebakaran turut dibantu sebuah jentera bersama-sama enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat Seremban.

Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.- BERNAMA




Haji Hadi Wajar Dilantik Mursyidul Am PAS, Lepaskan Jawatan Presiden


PAS Batu mahu Abdul Hadi jadi Mursyidul Am

Di tengah-tengah kemelut PAS dengan PasMa tiba-tiba ada satu bahagiannya menyarankan Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengosongkan kerusi presiden.

PAS Kawasan Batu melalui Yang Dipertuanya, Ishak Surin mahu Abdul Hadi berbuat demikian pada pemilihan Muktamar PAS ke 61 Mei ini.

Katanya, ia bagi memberi laluan kepada tokoh baharu untuk mengepalai parti Islam terbesar itu.

“Saranan ini tidak bermaksud PAS Kawasan Batu mahu mengetepikan beliau dalam arus perdana politik tanahair, sebaliknya mencadangkan tokoh karismatik PAS ini diangkat lebih tinggi mengetuai Majlis Syura Ulama (MSU) sebagai Mursyidul Am bagi mengggantikan murabbi ummah, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninggal dunia pada 13 Februari lalu,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Ishak seterusnya memberitahu, sesuai dengan kedudukan Abdul Hadi di peringkat antarabangsa selaku Naib Kesatuan Ulama Sedunia, menjulangnya sebagai Mursyidul Am adalah sangat tepat, efisyen dan mampu membawa PAS menangani pelbagai isu dalaman, tempatan dan antarabangsa, lapor MalaysiaGazette.

PAS Kawasan Batu juga bersikap terbuka dalam pemilihan pucuk pimpinan parti yg diizinkan oleh Perlembagaan PAS dan tidak mustahil boleh berlaku pertandingan pada semua jawatan utama termasuk kerusi nombor satu PAS pada pemilihan kali ini, katanya.

“Bagi menjaga keutuhan jemaah dan mengecilkan sikap berpuak-puak yang mula menular ketika ini, maka PAS Kawasan Batu mohon Tuan Guru Abdul Hadi mempertimbangkan saranan ini dan melihat ianya sesuatu yang positif dalam jaringan mata rantai perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS,” ujarnya.

Untuk rekod, jawatan Mursyidul Am PAS diwujudkan pada era kepimpinan ulama, dan Yang DiPertua Agong Pas ketika itu, Haji Yusuf Rawa menjadi Mursyidul Am yg pertama sebaik melepaskan jawatan Yang DiPertua Agong (Presiden) pada masa tersebut.

Tempat kosong yang ditinggalkan oleh Yusuf itu kemudiannya diisi oleh Fadzil Mohd. Noor sebagai Presiden.

Setelah Yusuf Rawa meninggal dunia, jawatan Mursyidul Am diamanahkan pula kepada Nik Aziz.

Sehubungan itu, PAS Kawasan Batu berkeyakinan penuh, jika diterima saranan itu, kepimpinan Abdul Hadi mampu memperkasakan MSU sebagai badan yang berwibawa dalam memandu jemaah berada pada landasan yang tepat, progresif, dirahmati dan mendapat limpahan redha Allah. -FMT


SARAN TG ABDUL HADI BERI LALUAN TOKOH BAHARU ISI KERUSI PRESIDEN, PERKASAKAN MSU JADI MURSYIDUL AM PAS

1. Pas Kawasan Batu menyarankan agar Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengosongkan kerusi Presiden pada pemilihan Muktamar Pas ke 61, Mei ini, bagi memberi laluan kepada tokoh baharu untuk mengepalai parti Islam terbesar ini.

2. Saranan ini tidak bermaksud Pas Kawasan Batu mahu mengetepikan beliau dalam arus perdana politik tanahair, sebaliknya mencadangkan tokoh karismatik Pas ini diangkat lebih tinggi mengetuai Majlis Syura Ulama (MSU) sebagai Mursyidul Am bagi mengggantikan murabbi ummah, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang meninggal dunia pada 13 Februari lalu.

3. Sesuai dengan kedudukan Tuan Guru Abdul Hadi di peringkat antarabangsa selaku Naib Kesatuan Ulama Sedunia, menjulangnya sebagai Mursyidul Am adalah sangat tepat, efisyen dan mampu membawa Pas menangani pelbagai isu dalaman, tempatan dan antarabangsa.

4. Pas Kawasan Batu juga bersikap terbuka dalam pemilihan pucuk pimpinan parti yg diizinkan oleh Perlembagaan Pas dan tidak mustahil boleh berlaku pertandingan pada semua jawatan utama termasuk kerusi nombor satu Pas pada pemilihan kali ini.

5. Bagi menjaga keutuhan jemaah dan mengecilkan sikap berpuak-puak yang mula menular ketika ini, maka Pas Kawasan Batu mohon Tuan Guru Abdul Hadi mempertimbangkan saranan ini dan melihat ianya sesuatu yg positif dalam jaringan mata rantai perjuangan Islam yg dibawa oleh Pas.

6. Untuk rekod, jawatan Mursyidul Am Pas diwujudkan pada era kepimpinan ulama, dan Yang DiPertua Agong Pas ketika itu, Haji Yusuf Ar Rawa menjadi Mursyidul Am yg pertama sebaik melepaskan jawatan Yang DiPertua Agong (Presiden) pada masa tersebut.

7. Tempat kosong yg ditinggalkan oleh Hj Yusuf Ar Rawa itu kemudiannya diisi oleh Tuan Guru Dato' Fadzil Mohd Noor sebagai Presiden. Setelah Hj Yusuf Ar Rawa meninggal dunia, jawatan Mursyidul Am diamanahkan pula kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

8. Sehubungan itu, Pas Kawasan Batu berkeyakinan penuh, jika diterima saranan ini, kepimpinan Tuan Guru Abdul Hadi mampu memperkasakan MSU sebagai badan yang berwibawa dalam memandu jemaah berada pada landasan yang tepat, progresif, dirahmati dan mendapat limpahan redha Allah SWT.

KENYATAAN MEDIA,
HAJI ISHAK BIN SURIN
Yang DiPertua Pas
Kawasan Batu, Kuala Lumpur
26 Februari 2015


ULASAN GB

Alhamdulillah.

GB sudah lama mengusulkan supaya TGHH diangkat menjadi Mursyidul Am PAS, iaitu sebelum TG Nik Aziz kembali ke rahmatullah lagi. Di dalam satu entri pada 26 Ogos 2014 GB telah menulis "Haji Hadi Perlu Diangkat Mursyidul Am PAS, Lepaskan Jawatan Presiden." Petikan ulasan GB ketika itu:

Haji Abdul Hadi, dengan kedudukannya di peringkat dunia sudah diakui sebagai Naib Presiden Majlis Ulamak Sedunia, beliau hendaklah diangkat menjadi Mursyidul Am PAS menggantikan TG Nik Aziz yang kelihatan sudah uzur. Dengan kedudukan itu beliau akan menentukan dasar perjuangan PAS dan institusi Majlis Syura Ulama di dalam PAS dapat diperkasakan.

Jawatan "Presiden" parti hendaklah digalas oleh orang lain. Ia memerlukan pemimpin yang boleh bekerjasama dengan semua pihak di dalam Pakatan Rakyat, tidak bermuka-muka dan tidak hanya memenuhi aspirasi orang-orang tertentu di dalam parti. Soalnya siapa? Ramai yang masih layak. Ustaz Ahmad Awang, Ust Abd Ghani Shamduddin... diantara nama-nama yang boleh dicalonkan.

Perubahan perlu dilakukan. Ahli-ahli PAS perlu berani untuk melakukannya!

Kemudian dalam pada itu ada pula yang tak mahu TGHH lepas kan jawatan Presiden sekalipun nanti dilantik menjadi Mursyidul Am. Cukup takut dia orang lain menjadi Presiden PAS. Apakah agaknya baginya cuma Haji Hadi saja seorang yang berstatus ulamak? Orang lain tak boleh jadi pemimpin utama PAS? Itu bukan lagi wala namanya, tetapi TAKSUB melampau.


Jika demikian Haji Hadi hendak juga dijadikan Presiden walaupun telah dilantik sebagai Mursyidul Am, lebih baik Hj Hadi dilantik juga memegang jawatan-jawatan Ketua Ulamak, Ketua Pemuda & Ketua Muslimat jika takut keputusan-keptusan mesyuarat J/K PAS Pusat tidak memihak kepada kehendak mereka!

Allahyarham Ustaz Fadzil Mohd Noor sendiri menyatakan bahawa jawatan Presiden PAS tidak semestinya dipegang oleh seorang yang berstatus ulamak.


Semuga kata-kata Allahyarham tersebut menjadi kenyataan...